وَمَا كَانَ لِنَفۡسٍ أَن تَمُوتَ إِلَّا بِإِذۡنِ ٱللَّهِ كِتَـٰبࣰا مُّؤَجَّلࣰاۗ
"Dan (tiap-tiap) makhluk yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, iaitu ketetapan (ajal) yang tertentu masanya (yang telah ditetapkan oleh Allah)..." [Surah Aali Imran 145]
#Setiap yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin dan ketetapan daripada Allah swt, sebagai suatu ketetapan yang telah ditentukan waktunya.
فَإِذَا جَاۤءَ أَجَلُهُمۡ لَا یَسۡتَـٔۡخِرُونَ سَاعَةࣰ وَلَا یَسۡتَقۡدِمُونَ
"...Kemudian apabila sampai tempoh mereka, tiadalah mereka akan dapat meminta dikemudiankan sesaatpun dan tidak pula mereka akan dapat meminta didahulukan" [Surah an-Nahl 61]
#Apabila tiba ajal seseorang itu maka nyawanya akan diambil tidak lambat dan tidak cepat walau sesaat pun sebagaimana yang telah ditetapkan di dalam Qadha' dan Qadarnya.
وَمَا یُعَمَّرُ مِن مُّعَمَّرࣲ وَلَا یُنقَصُ مِنۡ عُمُرِهِۦۤ إِلَّا فِی كِتَـٰبٍۚ
"...Dan tidak diberikan seseorang berumur panjang, juga tidak dijadikan seseorang pendek umurnya, melainkan ada kadarnya di dalam Kitab Ilahi (Luh Mahfuz)..." [Surah Fatir 11]
#Hampir setiap hari kita mendengar dan mendapat khabar berita tentang kematian seseorang samada kaum kerabat kita, jiran tetangga, sahabat sekerja dan masyarakat sekeliling. Inilah antara Qadha' dan Qadar yang perlu kita imani yang pasti berlaku pada setiap makhluk yang bernyawa. Kita wajib beriman bahawa setiap manusia pasti akan mati.
#Cuma diingatkan apabila mendapat sesuatu berita kematian maka hendaklah berkata baik kepada si mati dan bukan bercakap atau mengungkit perkara yang tidak baik. Daripada Sayidatina Ummu Salamah r.ha bahawa Rasulullah saw bersabda:
إِنَّ الرُّوحَ إِذَا قُبِضَ تَبِعَهُ الْبَصَرُ فَضَجَّ نَاسٌ مِنْ أَهْلِهِ فَقَالَ لَا تَدْعُوا عَلَى أَنْفُسِكُمْ إِلَّا بِخَيْرٍ فَإِنَّ الْمَلَائِكَةَ يُؤَمِّنُونَ عَلَى مَا تَقُولُونَ ثُمَّ قَالَ اللهُمَّ اغْفِرْ لِأَبِي سَلَمَةَ وَارْفَعْ دَرَجَتَهُ فِي الْمَهْدِيِّينَ
"Sesungguhnya roh apabila diambil nescaya penglihatan mata mengikutnya. Ketika itu orang ramai di kalangan ahli keluarganya riuh rendah, lantas bersabda Baginda saw: "Jangan kamu doa atas diri kamu kecuali yang baik. Ini kerana para malaikat mengaminkan apa yang kamu kata. Kemudian Baginda berdoa: "Ya Allah, ampunkan bagi Abi Salamah, angkatlah darjatnya di kalangan orang yang mendapat petunjuk…” (HR Muslim)
#Diharuskan ahli keluarga mengalirkan air mata kesedihan atas musibah kematian namun dilarang meratapi kematian tersebut. Sabda Nabi saw:
اثْنَتَانِ فِي النَّاسِ هُمَا بِهِمْ كُفْرٌ الطَّعْنُ فِي النَّسَبِ وَالنِّيَاحَةُ عَلَى الْمَيِّتِ
“Dua perkara pada manusia yang kedua-duanya adalah dari perbuatan orang kafir iaitu mencela keturunan (seseorang) dan meratap atas mayat" (HR Muslim)
♡Ketahuilah bahawa setiap kita akan mati dan bakal menjadi jenazah. Dan seseorang itu tidak akan mati kecuali dengan izin Allah swt. Oleh itu, persiapkanlah diri kita dengan amal yang soleh dan amalan yang dapat membahagiakan kita di alam barzakh dan di alam Mahsyar♡
No comments:
Post a Comment