"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Thursday, May 7, 2020

☆Tadabbur Kalamullah 20 Jumadal Akhirah 1441H☆



وَلَقَدۡ یَسَّرۡنَا ٱلۡقُرۡءَانَ لِلذِّكۡرِ فَهَلۡ مِن مُّدَّكِرࣲ

"Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan al-Quran untuk peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?" [Surah al-Qamar 40]

#Ayat ini diulang sebanyak empat kali dengan kalimah yang sama dalam surah yang sama (Surah al-Qamar) ayat 17, 22, 32 dan 40.

#Para ulama tafsir umumnya mengatakan: "Bahawa yang dimaksudkan dengan ayat ini adalah Allah telah memudahkan kita untuk membaca, menghafaz dan menggali ilmu-ilmu al-Quran".

#Namun, kemudahan tersebut tidak berguna kalau kita sendiri tidak mahu membaca, menghafaz, mengkaji dan mempelajarinya. Oleh itu, kita wajib sentiasa belajar untuk memahami isi kandungan al-Quran. Ini untuk memudahkan untuk kita beramal sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah swt.

#Imam Ibnu ‘Abdil Barr rahimahullah mengatakan:

طلب العلم درجات ورتب لا ينبغي تعديها، ومن تعداها جملة فقد تعدى سبيل السلف رحمهم الله، فأول العلم حفظ كتاب الله عز وجل وتفهمه

“Menuntut ilmu itu ada tahapan dan tingkatan yang harus dilalui. Barangsiapa yang melaluinya maka ia telah menempuh jalan salaf rahimahumullah. Dan ilmu yang paling awal (utama) adalah menghafaz kitabullah ‘azza wa jalla dan memahaminya” (Dinukil daripada Limaaza Nahfadzul Quran)

#Diriwayatkan mengenai Imam Abu Bakar al-Anbari al-Baghdadi Rahimahullah seorang ahli Nahu, ahli tafsir, sasterawan dan perawi hadis. Beliau seorang yang zuhud, jujur dan mulia. Ilmu dan hafalannya sungguh menakjubkan. Beliau pernah mengatakan bahawa beliau hafal 120 kitab tafsir al-Quran beserta sanadnya. Beliau juga mengatakan bahawa beliau hafal 13 buah almari kitab. Beliau tidak mempunyai isteri, tidak mempunyai anak dan keturunan sepeninggalannya. Yang ditinggalkan hanyalah 30 lebih karangan ilmiah yang berjumlah 50 ribu helai tulisan. Muridnya, Abu al-Abbas bin Yunus mengatakan: "Imam Abu Bakar bin al-Anbari adalah salah satu tanda kekuasaan Allah dalam hafalan" (Lihat al-Ulama' al-'Uzzab dan Tarikh Baghdad)

#Kisah ini membuktikan bahawa benar apa yang difirmankan Allah swt bahawa dipermudahkan untuk membaca, menghafaz dan menggali ilmu-ilmu al-Quran bagi yang bersungguh-sungguh mempelajari dan mengkajinya.

#Pelajarilah al-Quran semoga kita beroleh kebaikan di dunia dan di akhirat kelak. Rasulullah saw bersabda:

“Siapa yang membaca Quran, belajar dan mengamalkannya, maka dipakaikan pada hari kiamat kepada kedua orang tuanya mahkota dari cahaya. Cahayanya seperti pancaran cahaya matahari. Dipakaikan dua gelang untuk orang tuanya dimana nilainya tidak dapat dibandingkan dengan dunia dan seisinya. Keduanya berkata: “Kenapa kita dipakaikan ini? Dikatakan kepadanya: “Kerana kedua anak anda mengambil (pengajaran) dari al-Quran”(HR al-Hakim)

♡Belajarlah al-Quran dengan penuh kesungguhan dan mengkaji segala isi kandungannya, semoga Allah mempermudahkan kita memahami dan mengamalkannya di sepanjang kehidupan kita serta dimuliakan kedudukan kita di akhirat kelak. Aamiiin♡


No comments: