"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Wednesday, January 9, 2008

KEMURUNGAN

Wanita dan kemurungan
OLEH SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN
KENYATAAN Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Dr. Mohd. Kamil Hassan sempena sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2007 peringkat negeri itu di Sekolah Menengah Teknik Tanah Merah baru-baru ini, menarik perhatian.
Hari Kesihatan Mental Sedunia 2007 diraikan pada 10 Oktober lalu, kali ini membawakan tema Kesihatan Mental dalam Perubahan Dunia: Impak Budaya dan Kepelbagaian.
Beliau melahirkan kebimbangannya tentang masalah kesihatan mental di kalangan penduduk negeri di sebelah pantai timur itu yang semakin merisaukan dan tidak boleh dipandang ringan.
Untuk rekod, pada tahun lepas sebanyak 11,828 pesakit mental mendapatkan rawatan di klinik-klinik kesihatan di Kelantan dengan 17 peratus darinya tercicir temu janji atau tidak hadir ke klinik sebagaimana yang ditetapkan.
“Kita berharap pesakit-pesakit ini datang untuk mendapatkan rawatan susulan bagi memastikan penyakit mereka tidak berulang lagi kerana sekiranya ia berulang, mereka boleh membahayakan diri sendiri dan orang lain,” katanya.
Malangnya, kepercayaan masyarakat kepada hantu, jin dan semangat jahat menyebabkan rawatan bomoh dan pawang lebih dipercayai oleh masyarakat untuk mengubat penyakit mental berbanding rawatan moden.
Ketua Jabatan Sosiologi dan Antropologi Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr. Ling How Kee berkata, rawatan moden di hospital kerajaan dan swasta menjadi pilihan terakhir untuk mengubat penyakit jiwa, gila dan gangguan perasaan.
“Penyakit mental sering dikaitkan dengan perbuatan sihir, ilmu hitam oleh pihak-pihak tertentu atau rasuk oleh semangat jahat.
“Ada yang menolak sama sekali kaitan faktor kesihatan dengan penyakit itu,” katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Pelbagai Rawatan dan Bantuan Penyakit Mental pada Persidangan Kesihatan Mental, di Kuching baru-baru ini.
Empat penyebab utama masalah kesihatan mental sebagaimana yang digariskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ialah kemurungan, keresahan, insomnia dan bunuh diri.
Kali ini kita akan memberikan perhatian kepada kemurungan atau dalam istilah perubatannya dikenali sebagai depresi. Ia merupakan satu penyakit biasa yang melanda sesiapa sahaja.
Wanita mempunyai dua kali lebih kebarangkalian mendapatnya jikalau dibandingkan dengan lelaki.
Kemurungan merupakan satu masalah perubatan yang boleh dirawati, artikel ini akan menerangkan mengenai rungutan lazim kemurungan, bagaimana ia didiagnosis dan apakah ia boleh dirawat?
Mengenali kemurungan
Menurut Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Prof. Madya Dr. Shah Reza Johan Noor, kelainan perubatan ini yang dipanggil kemurungan, biasanya digambarkan sebagai perasaan sedih untuk julat masa tertentu dan juga kehibaan yang berlaku akibat dari kehilangan mahupun kematian insan tersayang.
‘‘Ia mengganggu aktiviti harian, pola pemikiran, perasaan, kelakuan, perangai dan juga kesihatan fizikal. Harus diingatkan yang ia bukanlah satu kelemahan diri mahupun kesalahan atau kecacatan diri seseorang wanita.
‘‘Banyak faktor boleh menyebabkan kemurungan, sejarah kemurungan dalam keluarga memungkinkan anda ke arah kelainan diri ini. Penyakit-penyakit seperti penyakit tiroid, kanser dan juga masalah neurologi boleh mengakibatkan kemurungan,” katanya.
Penyalahgunaan ubat-ubatan serta alkohol boleh membantutkan keseimbangan bahan kimia dalam otak, lantas mencetuskan kemurungan.
Tekanan atau stres yang melampau juga boleh mendorong ke arah kelainan ini. Kadangkala kemurungan boleh berlaku walaupun kehidupan anda adalah sihat dan normal.
Antara penyebab stres termasuklah penat lelah dalam usaha untuk mengimbangkan di antara tugasan di rumah dan juga tempat kerja, mempunyai pekerjaan yang berat dan membebankan, status ibu atau bapa tunggal, masalah kewangan serta, perceraian ataupun kematian pasangan hidup.
‘‘Kemurungan juga menjadi lebih teruk sewaktu fasa-fasa reproduksi seperti semasa kedatangan haid, kehamilan, kematian janin atau bayi, kelahiran bayi (meroyan), kemandulan dan juga semasa tua tatkala haid sudah tidak ada (menopaus).
‘‘Sekiranya intensiti kemurungan bertambah, ia perlulah diberikan rawatan lanjut,” ujar beliau.
Simptom-simptom kemurungan
Dr. Shah Reza berkata, rungutan ini mungkin berlangsung setiap hari, sepanjang hari untuk minimum dua minggu. Lazimnya perkara-perkara berikut akan terjadi:
* Hilang minat pada sesuatu yang memang merupakan satu kesukaan/minat
* Rasa sangat sedih, langsung tidak bermaya
* Rasa tidak berguna dan juga rasa bersalah
* Perubahan selera makan, berat badan mungkin meningkat ataupun menurun
* Ada juga yang berfikir akan kematian, tidak mahu hidup lagi
* Masalah dengan pemikiran dan juga hilang tumpuan. Kesukaran untuk membuat keputusan dan menjadi tidak rasional. Kelupaan bertambah
* Tidur bertambah-tambah, ada juga yang tidak boleh tidur langsung, perasaan bosan melampau, mengantuk menjadi-jadi
* Rasa tidak bertenaga dan letih sentiasa.
Ada juga kemurungan ini yang dimanifestasikan secara fizikal dan mental seperti:
* Sakit kepala, bahagian lain di badan juga menjadi sakit dan mengilukan
* Masalah dengan sistem penghadaman dan pencernaan
* Masalah seksual
* Perasaan negatif serta perasaan tidak berbaloi, tidak berperasaan serta kegagalan
* Selalu dalam kebimbangan dan ketakutan.
Kebiasaannya rungutan-rungutan ini berlangsung dalam jangka masa minimum dua minggu. Julat masa ini dilabelkan sebagai satu episod. Walaupun simptomatologi mungkin tidak terlalu ketara, dapatkanlah rawatan serta bawa berbincang dengan doktor anda.
Sekiranya kemurungan ini tidak serius dan anda mungkin boleh menguruskan diri sendiri, langkah-langkah yang boleh dilakukan adalah seperti berikut:
* Jangan terlalu membuat permintaan yang bukan-bukan terhadap diri puan. Logik mesti ada
* Buatlah keputusan yang logik dan realistik, jangan anggap anda boleh melakukan kesemua kerja yang ada walaupun kerja-kerja tersebut merupakan rutin pada satu masa lampau
* Sekiranya anda harus membuat satu keputusan yang penting dalam kehidupan, berbincanglah supaya keputusan dicapai setelah pro dan kontra dipertimbangkan
* Elakkan dari penggunaan alkohol serta ubat-ubatan yang bukannya preskripsi
* Berhubunglah dengan mana-mana individu yang boleh dipercayai, termasuklah kumpulan sokongan yang boleh membantu menstabilkan perasaan serta emosi anda
* Jangan ingkar arahan doktor dalam pengambilan ubat-ubatan preskripsi. Temu janji yang berikutnya perlu diingat dan ditanda dalam diari atau kalendar anda
* Adakan ketetapan untuk tidur serta masa bangkit. Tidur yang secukupnya boleh membantu kesihatan
* Amalkan gaya hidup serta tatacara kehidupan yang sihat. Makanan haruslah berzat, banyakkan meminum air.
Rawatan
Rawatan untuk kemurungan memang wujud, cuma cara dan kaedahnya berbeza bagi setiap individu. Persoalan yang mungkin bermain di minda anda – bilakah anda akan sembuh dan apakah risiko serta kesan sampingan setiap rawatan yang diambil.
Ubat antikemurungan
‘‘Ubat ini biasanya digunakan pada kemurungan yang serius. Ia mengembalikan keseimbangan bahan kimia di kepala, puan akan menjadi normal setelah beberapa minggu penggunaan.
‘‘Jenis-jenis ubat antikemurungan yang dipreskripsikan berbeza mengikut individu mengambil kira sejarah lampau, kesihatan serta keluarga,” ujar Dr. Shah Reza.
Secara amnya ubat antikemurungan berkesan sekiranya anda:
* Mengambilnya sebagaimana arahan
* Memberitahu doktor sekiranya terdapat kesan sampingan
* Mengikuti kesemua pelan pemulihan yang dinasihatkan oleh doktor
* Lazimnya kesan tidak diingini berlaku dalam masa satu hingga dua minggu pertama. Kesan sampingan yang biasa termasuklah loya, pening-pening lalat, sembelit, ruam pada kulit, rasa mengantuk ataupun kesukaran untuk tidur, berat badan mungkin meningkat ataupun menurun, rasa resah sentiasa.
Selain itu, anda juga mungkin mengalami masalah dengan seks seperti hilang nafsu syahwat. Sekiranya ada rungutan-rungutan lain, beritahulah doktor dengan segera. Jangan ponteng temu janji untuk peringkat awal kerana optimisasi ubat masih lagi perlu dibuat.
Psikoterapi
Pakar terapi akan bersama anda untuk menghilangkan kemurungan, rawatan tersebut mungkin secara individu ataupun berkumpulan (dengan permasalahan kemurungan yang sama). Kadangkala rawatan ini juga dikembarkan dengan ubat antikemurungan.
Kombinasi ubat dan psikoterapi ini digunakan sekiranya rawatan yang diberikan terdahulu gagal, ataupun kemurungan tersebut serius serta memerlukan pemantauan masa yang panjang dan lebih teliti.
Perawatan menggunakan cahaya
Ini juga merupakan salah satu alternatif perawatan untuk mereka yang tidak serius. Kemurungan ini berkala dan bermusim.
Anda akan didedahkan pada cahaya berspektra lebar setiap pagi selama 20 minit. Kemurungan jenis ini lazimnya berlaku pada mereka yang tinggal di tempat yang mana waktu siangnya pendek.
Hospitalisasi
Kemasukan ke hospital diperlukan sekiranya persekitaran puan tidak meredakan kemurungan yang dihidapi, tekanan keterlaluan dan anda mungkin dihujani dengan pemikiran bukan-bukan yang boleh mengancam nyawa.
Rawatan diberikan lebih tegas di hospital manakala pengamatan dilakukan dengan lebih teliti.

BAKTERIA BAIK

Terima kasih bakteria baik

Oleh: SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN

SETIAP kali anda menikmati hidangan selepas ini, jangan lupa untuk mengucapkan terima kasih kepada bakteria baik di dalam sistem pencernaan anda.
Sistem gastrousus kita bukan sahaja mengandungi bakteria baik tetapi juga bakteria jahat (berbahaya dan membawa mudarat).
Kita memerlukan bakteria baik untuk menghalang atau mengehadkan pertumbuhan bakteria jahat yang tidak dikehendaki yang hidup di dalam tubuh kita.
Kewujudan bakteria jahat boleh menyebabkan kita mengalami masalah kembung perut, sendawa, sindrom usus rengsa (IBS), sakit perut, cirit-
birit, sembelit, alahan makanan dan melemahkan sistem imun badan.
Merck Consumer Health Care (CHC) baru-baru ini melancarkan BION®3, makanan tambahan tiga dalam satu serba lengkap yang pertama di Malaysia – menggabungkan jenis 12 vitamin, 12 jenis zat mineral dan tiga probiotik secara unik dalam satu tablet.
Berbeza daripada multivitamin dan mineral tambahan lain yang boleh didapati di pasaran tempatan, BION®3 mengandungi kultur probiotik semula jadi Lactobacillus gasseri, Bifidobacterium bifidum dan Bifodobacterium longum yang merupakan bakteria baik untuk sistem penghadaman dan memastikan badan kita cergas dan sihat.
Bakteria ini bukan sahaja telah dibuktikan secara saintifik dapat membantu menggalakkan keseimbangan semula jadi antara bakteria baik dan jahat serta menyokong sistem penghadaman, malahan dapat meningkatkan kandungan khasiat dan bioketersediaan nutrien.
Menurut Pengarah Penyelidikan Pembangunan Antarabangsa/Kebangsaan bagi Merck CHC di Jerman, Dr. Stefan Henke, probiotik dalam BION®3 dipelihara secara hidup dan dilindungi dalam proses pengeluaran untuk memastikan kestabilan dan aktiviti probiotiknya.
Rumusan unik ini kemudian disediakan dalam bentuk tablet yang inovatif.
“Tiga lapisan perlindungan yang menyelaputi tablet memastikan probiotik dalam BION®3 dapat hidup dalam asid kuat perut dan terus berkesan sepanjang perjalanan dari mulut ke usus, di mana ia paling bermanfaat.
“Apabila sampai ke usus, BION®3 akan membebaskan 10 milimeter nutrien probiotik yang akan melekap pada dinding dalam usus dan mula ‘menakluki’ kawasan tersebut, sekali gus membina benteng pertahanan menentang bakteria jahat,” ujar beliau.
Kajian menunjukkan bahawa probiotik memberikan perlindungan terhadap penyakit gastrousus seperti sindrom usus terganggu, penyakit Crohn, ulser kolitis, dan alahan makanan.
Satu kajian yang dijalankan khusus ke atas BION®3 juga menunjukkan bahawa BION®3 dapat menguatkan sistem imun badan dan memendekkan tempoh selesema sebanyak dua hari.
Sementara itu, pakar pemakanan merangkap Setiausaha Kehormat Persatuan Kajian Kegemukan Malaysia (MASO), Dr. Norimah A. Karim menyifatkan penuaan, gaya hidup yang sibuk, tekanan dan diet kurang sihat adalah antara punca utama penyakit gastrousus.
“Ramai orang sedar tentang faktor ini dan implikasinya terhadap kesejahteraan badan tetapi malangnya, mereka sukar untuk membuat perubahan dalam dunia serba kompetitif hari ini.
“Orang ramai tidak sempat lagi untuk berehat seketika dan menikmati keindahan hidup,” kata beliau.
Dalam pada itu, Dr. Henke juga yakin BION®3 dalam bentuk tablet yang mudah dimakan dapat membekalkan semua nutrien penting kepada badan dan menjaga kesejahteraan badan.
“BION®3 sedia dijual di lebih 30 negara dan kami percaya BION®3 juga akan mendapat sambutan menggalakkan di Malaysia di mana penggunanya lebih arif dan prihatin tentang kesihatan,” jelasnya.
BION®3 ialah makanan tambahan kesihatan seimbang yang selamat dan berkesan dalam membekalkan multivitamin dan mineral dengan probiotik, tiga dalam satu yang pertama.
Kehadiran probiotik meningkatkan penyerapan vitamin dan mineral sambil melindungi sistem penghadaman dan menguatkan sistem imun badan.
Khasiat pemakanan tambahan ini dibekalkan dalam tablet tiga lapis yang melindunginya di dalam perut untuk memastikan probiotik yang berguna hanya dibebaskan apabila sampai ke usus.
BION®3 boleh didapati di semua farmasi utama di seluruh negara dalam botol 30 dan 90 tablet. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.merck.com.my.
Apa itu probiotik?
Probiotik ialah bakteria baik yang terdapat di dinding usus untuk menjadikan kita kuat dan sihat. Ia menggalakkan kesihatan yang baik, menghasilkan keseimbangan dan membantu sistem penghadaman berfungsi dengan baik.
Fakta yang anda perlu tahu mengenai sistem gastrousus anda:
* Ekosistem yang kompleks terdiri daripada lebih 400 spesies bakteria
* Terdiri daripada bakteria baik dan bakteria jahat
* Bakteria baik ialah penghuni normal di dalam usus dan tidak membawa mudarat kepada badan. Ia membantu menggalakkan penghadaman dan penyerapan nutrien yang lebih berkesan ke dalam tubuh
* Bakteria baik membantu menghalang atau mengawal pembiakan bakteria jahat yang tidak diingini atau patogen yang turut hidup di sana. Disebabkan wujudnya bakteria baik dan bakteria jahat di dalam perut kita, maka kita mestilah memastikan keseimbangan populasi mereka.
Walau bagaimanapun, terdapat beberapa faktor dan keadaan yang boleh mengganggu populasi bakteria baik ini iaitu penuaan, stres, pengambilan antibiotik, pil pencegah kehamilan, gaya hidup yang tidak sihat dan diet tidak seimbang.
Gangguan keseimbangan di dalam sistem gastrousus boleh menggalakkan pembiakan bakteria jahat dan meningkatkan risiko penyakit keradangan, penyakit berjangkit dan bermacam penyakit lain lagi.
Apakah yang terjadi apabila keseimbangan mikroflora usus terganggu?
Gejala yang perlu diperhatikan ialah kembung perut, senak perut, sakit perut, cirit-birit dan sembelit. Hilang selera makan, jangkitan dan alahan kulit juga menjadi petanda masalah keseimbangan mikroflora usus.
Konsep inovatif BION®3: Apakah keistimewaannya?
* Suplemen tiga lapisan (probiotik, multivatamin dan mineral) dengan saluran pelindung gastrousus. Saluran pelindung ini melindungi probiotik daripada asid gastrik perut dan asid hempedu serta membolehkan ia sampai ke bahagian duodenum usus dalam kuantiti yang mencukupi untuk bertindak balas dengan berkesan
* Suplemen multivitamin dan mineral lengkap yang mengandungi probiotik yang diawet secara hidup dan dilindungi semasa proses pembuatan. Kestabilan dan aktiviti kultur probiotik ini adalah dijamin. Jangka hayat Bion®3 adalah selama 2.5 tahun
* Gabungan tiga jenis probiotik boleh memberikan perlindungan sepenuhnya kepada saluran gastrousus. Laktobasilus gasseri aktif di sepanjang usus kecil manakala Bifidobakterium bifidum dan Bifidobakterium longum aktif di bahagian bawah usus kecil hingga ke kolon.
Gabungan unik ini memberikan perlindungan sepenuhnya daripada bakteria jahat yang mungkin ada di sepanjang saluran gastrousus.
Kebaikan probiotik untuk kesihatan yang terbukti secara klinikal:
* Meringankan serta mengurangkan gejala alahan terhadap laktosa (susu)
Enzim laktase menukarkan laktosa (di dalam produk tenusu) kepada glukosa dan galaktosa yang boleh digunakan oleh tubuh kita. Mereka yang menghidap alahan terhadap laktosa mempunyai tahap enzim laktase yang tidak mencukupi.
Ini bermakna laktosa tidak boleh dihadamkan dan diserap, mengakibatkan cirit-birit, senak perut, kembung perut dan sakit di bahagian abdomen. Probiotik seperti Laktobasilus gasseri menghasilkan laktase, oleh itu ia dapat membantu meningkatkan tahap enzim yang rendah sekali gus mengurangkan gejala alahan ini.
* Meningkatkan penghadaman
Mikroflora usus yang seimbang mempunyai kesan positif ketara terhadap penghadaman. Ia membantu mengawal ketidakhadaman dan senak perut selepas makan.
* Meningkatkan penyerapan mineral
Probiotik juga membantu meningkatkan penyerapan mineral seperti kalsium, magnesium dan fosforus di dalam badan.
* Menghasilkan vitamin
Probiotik berkeupayaan menghasilkan vitamin seperti dan vitamin C dan beberapa jenis vitamin B.
* Melegakan gejala cirit-birit
Probiotik telah terbukti secara klinikal dapat melegakan gejala cirit-birit dan memendekkan tempoh serta kekerapan cirit-birit. Probiotik memulihkan keseimbangan mikroflora, yang menjadi tidak seimbang akibat sesetengah ubat seperti antibiotik yang membunuh semua jenis bakteria termasuk bakteria baik.
* Menguatkan sistem ketahanan badan
Sistem gastrousus ialah organ ketahanan badan yang terbesar bagi tubuh. Keadaannya yang menentang bakteria dan merupakan sistem yang seimbang dapat melegakan tekanan imunologi yang dikaitkan dengan sistem badan yang tidak sihat.
Telah terbukti bahawa probiotik mempunyai kesan anti-kolonial ke atas bakteria yang memudaratkan. Kesan positif lain seperti menghalang penghasilan bahan toksik (kesan sampingan daripada metabolisme badan atau dari bakteria jahat) juga telah dibuktikan.
Probiotik juga didapati memberi kesan positif ke atas beberapa penyakit gastrousus seperti IBS dan penyakit radang usus. Kajian terkini menunjukkan bahawa dengan pengambilan probiotik yang teratur, selesema biasa dan gejala yang teruk dapat dikurangkan.
* Hidup sihat dengan vitamin dan mineral
Vitamin ialah faktor bersama bagi mekanisme enzim dan hormon, mempengaruhi perkembangan dan fungsi organ yang berlainan, menjadikannya faktor pelindung penting bagi sel.
Mineral ialah komponen struktur bagi makro-molekul (tulang hormon) dan merupakan sebahagian daripada cecair tubuh. Ia juga adalah sebahagian daripada enzim dan tindak balas berenzim, iaitu sebagai penghubung serta membantu memindahkan dan membebaskan oksigen (seperti unsur besi dalam eritrosit dan sel otot).

PENYAKIT SELAPUT MATA

Penyakit selaput mata pada kanak-kanak

Penyakit selaput mata pada kanak-kanak juga dikenali sebagai penyakit katarak kongenital dalam bahasa perubatan. Katarak kongenital ialah satu keadaan di mana kanta mata yang asalnya bersifat jernih dan lut- cahaya telah bertukar menjadi keruh dan keadaan ini dikesan selepas kelahiran.
Kanta mata berfungsi untuk memfokus cahaya yang masuk ke dalam mata dan membentuk imej pada retina.
Penyakit katarak menghalang cahaya masuk ke dalam mata dan menyebabkan imej yang kabur terhasil pada retina mata.
Penyakit ini boleh menjejaskan penglihatan pesakit dan boleh menyebabkan pesakit menjadi buta sekiranya tidak dirawat dari peringkat awal lagi.
Katarak kongenital boleh berlaku pada satu mata sahaja ataupun melibatkan kedua-dua belah mata. Penyakit ini juga berlaku tanpa mengira jantina lelaki ataupun perempuan.
Mereka yang mempunyai sejarah keluarga penyakit ini juga mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mewarisinya. Katarak kongenital dilaporkan berlaku antara satu hingga enam kes dalam setiap 10,000 kelahiran di Amerika Syarikat.
Bagaimanapun tidak terdapat data yang lengkap tentang insiden kes-kes katarak kongenital di negara lain di seluruh dunia. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula menganggarkan jumlah kes katarak kongenital mungkin dikesan dalam jumlah yang lebih tinggi di negara-negara sedang membangun.
* Punca
Keadaan katarak kongenital yang berlaku pada satu mata sahaja merupakan kes jarang-
jarang berlaku. Pesakit yang mengalami katarak kongenital pada satu mata sahaja biasanya turut mengalami kecacatan kongenital mata yang lain seperti keabnormalan struktur hadapan mata, keabnormalan struktur primer vitreous (gelemaca) dan satu keadaan dikenali sebagai lentikonus posterior.
Pesakit yang mengalami masalah katarak kongenital pada kedua-dua belah mata pula biasanya mempunyai sejarah keluarga penyakit katarak kongenital serta beberapa penyakit yang lain.
Antaranya ialah kelahiran pramatang dan jangkitan kuman semasa dalam kandungan seperti rubella, syphilis, toxoplasmosis dan herpes.
Gangguan metabolik seperti hypoglisemia, hyperglysemia, hypokalsemia dan galaktosemia turut menyebabkan berlakunya penyakit katarak kongenital.
Pesakit yang mengalami penyakit seperti sindrom Down, sindrom Edward dan sindrom Patau juga dilaporkan berisiko mendapat penyakit katarak kongenital.
* Tanda-tanda
Penyakit katarak kongenital boleh dikesan seawal bulan pertama kelahiran. Antara tanda awal ialah anak mata hitam kelihatan berwarna putih. Keadaan ini boleh berkekalan untuk satu tempoh masa yang lama atau menjadi lebih serius secara perlahan-lahan.
Keadaan ini menyebabkan penglihatan kanak-kanak berkenaan menjadi kabur dan terhad. Mereka juga sukar untuk mengenali objek yang kecil dan halus.
Kanak-kanak dengan masalah ini menunjukkan gejala silau pada cahaya matahari dan perkembangan fizikal yang perlahan berbanding kanak-kanak normal yang lain.
Sekiranya mata kanak-kanak menjadi juling dan keadaan bola mata yang bergerak-
gerak (nystagmus), ini menunjukkan penyakit katarak kongenital berada pada peringkat yang kritikal.
* Komplikasi
Penglihatan kanak-kanak yang kabur ini sebenarnya mengganggu perkembangan otak.
Umur sekitar empat bulan hingga dua tahun pertama sangat kritikal untuk perkembangan mata dan otak kanak-kanak.
Input visual yang dilihat akan dihantar ke otak bagi membolehkan kanak-kanak mengenali pelbagai jenis objek.
Sekiranya proses ini terganggu, kanak-kanak itu tidak dapat mengenali objek yang dilihat kerana bahagian otak yang berperanan mengawal deria penglihatan tidak berkembang dan berfungsi dengan baik.
Fenomena ini juga dikenali sebagai amblyopia atau mata malas. Kanak-kanak dengan masalah ini hanya boleh mengenali objek yang besar dan ini akan mengganggu proses pembelajaran terutamanya kebolehan menulis dan membaca.
* Kaedah Rawatan
Kanak-kanak yang mengalami gejala klinikal seperti yang dinyatakan perlu menjalani pemeriksaan yang menyeluruh oleh doktor pakar mata.
Pesakit yang mengalami gangguan penglihatan yang serius pula mungkin perlu menjalani pembedahan.
Bagi pesakit yang mengalami gangguan penglihatan yang minimum pula, mereka perlu mendapatkan pemeriksaan pakar mata secara berkala bagi memastikan keupayaan penglihatan berada pada tahap yang memuaskan.
Pembedahan katarak perlu dilakukan pada peringkat awal bagi mengelakkan risiko pesakit menjadi buta.
Kanta mata tiruan juga mungkin perlu dimasukkan ke dalam mata semasa pembedahan bagi menggantikan kanta mata asli yang telah bertukar menjadi keruh. Antara pilihan selain pembedahan ialah kanta sentuh atau cermin mata bagi menggantikan fungsi kanta mata asal.
Kanak-kanak yang telah menjalani pembedahan katarak juga akan memerlukan pemeriksaan lanjut oleh pakar mata dari semasa ke semasa. Perkara ini penting bagi memastikan pesakit dapat melihat dengan baik selepas pembedahan.
* Salah Anggapan Masyarakat
Masyarakat kita biasanya mempunyai tanggapan yang salah mengenai penyakit katarak kongenital. Antaranya ialah:
* Pembedahan katarak menyebabkan mata buta
* Tunggu hingga kanak-kanak membesar terlebih dahulu sebelum diberi rawatan atau pembedahan
* Tiada rawatan yang khusus untuk merawat penyakit ini
* Anggapan bahawa pembedahan katarak menyebabkan mata menjadi buta adalah salah sama sekali.
Pembedahan katarak boleh mengembalikan penglihatan pesakit ke tahap yang lebih baik dan ia perlu dilakukan seawal selepas diagnosis dibuat.
Sekiranya pembedahan dibuat selepas pesakit menunjukkan tanda-tanda ambylopia, keupayaan melihat pesakit bukan lagi berada pada tahap yang maksimum.
Pesakit mungkin perlu menjalani rawatan lanjut bagi mengatasi masalah amblyopia.
* Sikap menunggu sehingga kanak-kanak membesar terlebih dahulu juga perlu dihindari sebelum pesakit mencapai tahap amblyopia dan keupayaan melihat yang terhad ini akan berkekalan sepanjang mereka membesar sehingga dewasa. Keadaan ini akan menjadi lebih parah sekiranya pesakit turut tidak menjalani sebarang rawatan untuk masalah amblyopia.
* Penyakit katarak kongenital kini boleh dirawat menggunakan cara rawatan dan teknologi moden. Anggapan bahawa tiada rawatan khusus untuk penyakit ini adalah amat tidak tepat.
Rawatan ini disediakan oleh semua hospital kerajaan dan swasta yang mempunyai kepakaran dalam bidang oftalmologi di seluruh Malaysia.
* Peranan Ibu bapa
Para ibu bapa dan penjaga memainkan peranan yang sangat penting dalam diagnosis awal dan rawatan yang tepat untuk penyakit ini.
Segeralah membawa anak berjumpa doktor pakar mata sekiranya mengalami gejala seperti yang dinyatakan di atas.
Penyakit katarak kongenital boleh dirawat dan tidak seharusnya dibiarkan sehingga menyebabkan pesakit menjadi buta.
Rawatan awal amat penting bagi membolehkan pesakit mempunyai keupayaan melihat yang baik dan jelas sepanjang pembesaran mereka dan apabila dewasa kelak.
Budaya ‘tunggu dulu’ dan ‘tidak apa’ juga perlu dikikis dari masyarakat kita. Anak-anak kita berhak membesar dengan penuh keriangan dan keceriaan.
Oleh itu, janganlah kita sebagai ibu bapa membiarkan mereka membesar dalam dunia yang penuh kegelapan.
GLOSARI
* Katarak – penyakit kanta mata yang sepatutnya jernih dan lutsinar menjadi gelap dan mengganggu penglihatan
* Kongenital – suatu sifat atau keadaan yang muncul sejak lahir, mungkin berpunca daripada faktor genetik atau faktor lain
* Amblyopia – keadaan mata malas, penglihatan mata pesakit tidak jelas sedangkan struktur fizikal mata kelihatan normal
* Retina – lapisan sel peka cahaya di bahagian belakang bebola mata yang menangkap imej yang dilihat untuk diproses oleh otak
* Hipoglisemia – kandungan gula (glukosa) dalam darah yang rendah daripada normal
* Hyperglysemia – kandungan gula dalam darah yang tinggi daripada normal
* Hypokalsemia – kandungan kalsium dalam darah yang rendah daripada normal
* Galaktosemia – masalah metabolik genetik yang jarang ditemui, menyebabkan penghidap tidak dapat menggunakan gula jenis galaktosa
* Sindrom Down – masalah kromosom yang juga dikenali sebagai Trisomy 21 iaitu kehadiran tiga kromosom ke-21 yang menyebabkan pelbagai jenis masalah tumbesaran dan masalah kognitif. Risiko penyakit ini meningkat dengan usia ibu ketika mengandung.
* Sindrom Edward – masalah kromosom yang juga dikenali sebagai Trisomy 18 iaitu kehadiran tiga kromosom ke-18 yang menyebabkan beberapa masalah kesihatan. Jangka hayat pesakit juga amat rendah dengan hanya lima hingga 10 peratus penghidap penyakit ini hidup selepas satu tahun dilahirkan.
* Sindrom Patau – masalah kromosom yang juga dikenali sebagai Trisomy 13 iaitu kehadiran tiga kromosom ke-13 yang mengganggu pertumbuhan pesakit dan merendahkan jangka hayat pesakit. Risiko penyakit ini meningkat dengan usia ibu ketika mengandung.

MUDAH LETIH,SUKAR TIDUR

Mudah letih, sukar tidur


“Saya seorang wanita yang sudah menopaus dan tidak mengalami masalah kesihatan yang kronik. Namun, pada kebanyakan masa saya mudah letih dan ini membataskan aktiviti harian saya. Selain itu, saya mengalami kesukaran untuk tidur pada waktu malam dan ada kalanya saya mudah mendapat kejang otot, terutamanya ketika cuaca sejuk. Adakah masalah saya boleh dibantu dan apakah makanan yang sesuai untuk saya?”
JAWAPAN: Selepas menopaus, seseorang wanita itu lebih berisiko untuk menghidap masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi, peningkatan kolesterol dalam darah dan beberapa masalah yang berkait dengan kewanitaan.
Masalah kesukaran tidur atau sukar untuk mendapat tidur yang berkualiti kerap dialami oleh wanita menjelang usia menopaus.
Akibat rehat yang tidak mencukupi, ia akan menjurus kepada keletihan. Walaupun begitu keletihan boleh juga dikaitkan dengan pemakanan yang tidak seimbang dan kekurangan sesetengah nutrien.
Bagi mereka yang sering keletihan, mereka boleh mengamalkan pengambilan suplemen vitamin B kompleks setiap hari.
Kumpulan vitamin B seperti B2, B6, Biotin dan inositol merupakan vitamin yang larut air dan mudah disingkirkan daripada tubuh.
Oleh itu, nutrien ini perlu digantikan secara berterusan. Kumpulan vitamin B ini diperlukan untuk pelbagai fungsi seperti untuk kesihatan saraf dan perlindungan hati.
Vitamin B kompleks juga sangat diperlukan di saat-saat penting seperti ketika stres termasuk juga bagi mereka yang sering sibuk bekerja.
Dengan itu, lebih bermanfaat untuk menangani keletihan, mengawal-atur kolesterol darah dan kemurungan ringan lebih awal demi menjaga sistem saraf dan pelbagai fungsi tubuh yang lain kekal sihat.
Suplemen lain yang boleh ditambah dalam diet harian anda adalah seperti Spirulina yang kaya dengan pelbagai vitamin dan nutrien yang diperlukan tubuh, termasuk untuk kecergasan.
Selain itu, wanita selepas menopaus juga berisiko tinggi untuk mengalami masalah osteoporosis ataupun kerapuhan tulang.
Antara nutrien yang diperlukan untuk kesihatan tulang adalah kalsium. Cadangan pengambilan untuk wanita menopaus adalah sekitar 1,200 miligram setiap hari.
Sekiranya anda mendapati diet anda kurang dengan kalsium anda boleh memenuhi keperluan ini dengan pengambilan suplemen kalsium.
Kalsium bukan sahaja penting untuk kesihatan tulang dan tumbesaran tetapi kajian juga mendapati kekurangan kalsium turut meningkatkan kecenderungan kekejangan otot dan saraf.
Ia turut penting untuk merehatkan otot yang mungkin dapat membantu anda tidur dengan lebih baik (diambil sebelum tidur).
Gabungan kalsium dengan mineral lain seperti vitamin D, magnesium dan zink pula akan meningkatkan penyerapannya dan memberi kesan sinergistik kepada kesihatan tubuh secara umum.

BARAH GINJAL

Lelaki lebih mudah kena barah ginjal

Oleh Hafizah Iszahanidhafiza@nstp.com.my

Lebih 90 peratus pesakit berusia 45 tahun ke atas SECARA umum lelaki lebih kerap berhadapan dengan penyakit barah ginjal berbanding wanita. Mengikut anggaran umum, jumlah lelaki yang berhadapan dengan penyakit ini adalah dua kali ganda daripada wanita. Malah, risiko barah ginjal semakin tinggi seiring dengan peningkatan usia. Lebih 90 peratus daripada kes membabitkan mereka yang didiagnos dengan barah ginjal adalah pesakit yang berusia 45 tahun ke atas.

Pakar Onkologi Klinikal dan Presiden Persatuan Onkologi Malaysia, Dr Gucharan Singh Khera, berkata umumnya pada waktu didiagnos, barah berkenaan sudah mengalami metastatis (merebak ke bahagian tubuh yang lain) di kalangan satu pertiga pesakit. Dr Gucharan berkata, sehingga kini 208,000 orang di seluruh dunia didapati menghidap barah buah pinggang setiap tahun manakala 102,000 individu meninggal dunia akibat penyakit itu setahun. Pada tahun lalu, 51,000 kes barah ginjal didiagnos di Amerika Syarikat dengan membabitkan 13,000 kematian. Katanya, walaupun wujud kemajuan dalam usaha memahami mekanisme pertumbuhan pelbagai jenis barah, barah ginjal masih menjadi penyakit yang belum difahami sepenuhnya.
“Apabila barah ginjal berada pada tahap lanjut, ia sangat sukar dikawal. Pada umumnya barah ginjal adalah penyakit yang tidak bertindak balas dengan kemoterapi atau terapi hormon,” katanya. Menurut laporan kedua Daftar Kanser Kebangsaan mengenai kes barah di Malaysia pada 2003, ada 305 kes barah ginjal disahkan secara diagnosis di Semenanjung. Faktor risiko
· Pesakit yang menjalani dialisis ginjal dan mereka yang mempunyai sejarah barah ginjal dalam keluarga berhadapan dengan risiko yang tinggi untuk diserang penyakit ini.
· Merokok adalah faktor risiko utama barah ginjal. Perokok memiliki kebarangkalian dua kali ganda lebih tinggi berhadapan barah ginjal berbanding mereka yang tidak merokok.
· Obesiti dan penggunaan ubat penahan atau pelega kesakitan dalam jangka panjang juga boleh mengundang masalah ini. Simptom
· Darah dalam air kencing
· Sakit belakang
· Sakit pada sisi badan yang tidak hilang
· Sakit atau pembesaran pada abdomen
· Kehilangan berat badan yang tidak diketahui puncanya
· Hilang selera makan
· Badan letih dan lesu Rawatan Rawatan barah ginjal bergantung pada tahap seriusnya penyakit itu dan keadaan kesihatan pesakit secara menyeluruh. Terapi utama bagi barah ginjal adalah pembedahan. Bagaimanapun, ia hanya berkesan jika semua barah dapat dibuang. Rawatan radiasi juga boleh dibuat apabila barah sudah merebak ke luar ginjal. Selain itu, pesakit boleh menggunakan rawatan kemoterapi tetapi rawatan ini hanya boleh dilakukan pada sesetengah pesakit saja. Ada kaedah terapi baru yang digunakan kepada pesakit barah ginjal yang bertindak ke atas bahagian khusus sel barah. Rawatan ini menunjukkan keberkesanannya dalam rawatan pesakit barah ginjal lanjutan. Ini termasuk ubat menghalang pertumbuhan sel darah baru dan ubat yang mensasarkan faktor pertumbuhan sel penting yang lain. Bayer Schering Pharma baru-baru ini, memperkenalkan sejenis pil oral yang diambil dua kali sehari. Pil ini dikenali sebagai Nexavar yang bertindak merencatkan pembentukan salur darah baru yang membekalkan darah dan nutrisi kepada tumor.

BAYARAN HOSPITAL SWASTA?

'Jumpa tak sampai sepuluh minit, bayar RM180'

"JUMPA tak sampai 10 minit. Sekadar tanya khabar dan beri sedikit nasihat, tetapi caj sampai RM180. Kalau sekali dua tak apa juga. Ini sampai 11 kali. Itu yang buat kosnya melampau tinggi," demikian antara rungutan seorang pesakit ketika dikunjungi wartawan Berita Harian di wadnya di sebuah pusat perubatan ternama di ibu negara. Pesakit berkenaan, Sharini Hafinaz yang dimasukkan ke wad kerana mengalami masalah tulang berkata, apa yang membuatkan dia semakin tidak puas hati ialah sepanjang tujuh hari menerima rawatan di situ, seingatnya tidak sampai 11 kali doktor terbabit melawatnya. Namun, dia nyata terkejut kerana apabila menerima bil perubatan, jumlahnya nyata jauh daripada jangkaan, malah ada yang tidak munasabah kerana ada caj yang baginya tidak memadai dengan perkhidmatan diberikan.

"Saya rasa kalau dia datang atau tidak sama saja. Sekadar bersembang dan tanya khabar siapa pun boleh buat. Memang saya tak puas hati dengan rawatan dan cajnya," katanya. Sharini yang menerima bil keseluruhan berjumlah RM6,623 terpaksa membayar caj sebanyak RM930 bagi kos perundingan doktor sedangkan dia langsung tidak berpuas hati dengan perkhidmatan doktor itu kerana seakan kurang pakar dalam bidangnya. Wartawan Berita Harian ketika menyemak bil perubatan Sharini mendapati ada tiga pecahan caj bagi perundingan dan caj tertinggi ialah RM180 bagi rawatan susulan yang menurut Sharini ialah kunjungan terakhir doktor itu dalam tempoh singkat.
Selain itu, Sharini turut mempertikaikan kos perubatan iaitu ubat dibekalkan kepadanya kerana dia perlu membayar sebanyak RM782 bagi jumlah ubat yang baginya tidak seberapa, malah katanya, sepanjang di wad, dia hanya dibekalkan dengan tiga jenis ubat. Selain itu, fisioterapi sebanyak RM1,025, tetapi baginya ia tidak menjadi isu kerana peralatan digunakan memang canggih dan memuaskan hati serta berbaloi dengan caj sebanyak itu. Seperkara lagi dirasakan amat tidak berbaloi ialah caj wad kerana kemudahan dan peralatan disediakan dalam wad dua katil itu sangat asas pada bayaran semahal hotel bertaraf empat bintang. "Saya asalnya ditempatkan di bilik satu katil. Di sana, kelebihannya hanya kerana ada peti sejuk. Sofa pun tak ada. Tapi cajnya mahal. Lebih baik saya pindah ke bilik dua katil. Sama saja," katanya.
Bagaimanapun Sharini memuji kualiti layanan yang diterimanya di situ kerana kebanyakan kakitangannya ramah serta mesra. Namun, apabila merujuk kepada perkhidmatan doktor yang merawatnya, dia rasa seperti sia-sia menerima lawatannya. Sementara itu, seorang pesakit yang enggan namanya disiarkan berkata, sepanjang pengalamannya menerima rawatan di situ, didapati kadar caj bagi pesakit yang membuat bayaran sendiri dan mereka yang ditaja syarikat insurans atau panel sangat berbeza. Katanya, jika pesakit membuat bayaran sendiri, cajnya lebih rendah, tetapi jika ia menggunakan insurans atau panel, cajnya melambung tinggi hingga kadang kala mencecah kos maksimum di situ. Wartawan Berita Harian sempat meninjau beberapa wad di situ dan apa yang diperhatikan ia seakan tidak ada beza dengan mutu wad di hospital kerajaan dan beberapa hospital swasta lain yang mengenakan caj lebih rendah. Contohnya, caj bagi wad empat katil ialah RM98 sedangkan ia nampak sama seperti wad kelas sama di hospital kerajaan, tiada televisyen, tiada sofa dan kebanyakan peralatannya sangat asas. Tinjauan di Pusat Perubatan Kajang Plaza menunjukkan keadaan jauh lebih baik. Sekurang-kurangnya, bayaran bagi wad tiga katil hanya sebanyak RM60 dan lengkap dengan televisyen.

JAGA PEMAKANAN DI MUSIM CUTI

Jaga pemakanan di musim cuti
Oleh Nurul Anuar Kari
Bulan Disember menandakan waktu cuti hujung tahun yang turut dipenuhi perayaan, sambutan cuti sekolah dan pastinya kenduri kahwin.
Musim perayaan dan cuti seperti ini sememangnya digunakan ramai untuk berehat bersama keluarga dengan mengadakan jamuan makan dan memasak hidangan-hidangan istimewa.
Bagi sesetengah orang pula, bulan ini tentu banyak membawa ‘rezeki percuma’ dan dapat menjimatkan perbelanjaan makanan harian, sekurang-kurangnya sehingga mendapat gaji seterusnya.
Jemputan kenduri kahwin, rumah terbuka sempena Hari Raya Haji, sambutan Krismas dan sambutan tahun baru 2008 pasti membawa bersamanya banyak keceriaan, banyak makanan yang lazat dan kemudiannya banyak penyakit kronik.
Ramai yang lupa untuk mengawal pemakanan mereka dengan mengambil banyak makanan manis, berlemak dan banyak garam serta minuman manis dan bergas.
Alasan mudah yang sering diberi, ‘sekali sekala, bukannya selalu’. Jika anda perasan berat badan anda semakin meningkat, sering berasa letih dan haus serta malas bergerak, itu menunjukkan ‘sekali sekala’ telah menjadi ‘selalu’ dan masalah kesihatan anda telah pun bermula.
Lebih teruk lagi jika anda melihat semua ini pada ahli keluarga yang lain terutamanya kanak-
kanak yang akan menanggung kesan berpanjangan daripada tidak mengawal pemakanan.
Makanan sumber penyakit
Terdapat perumpamaan yang mengatakan ‘anda adalah apa yang anda makan’. Ini benar jika dilihat dari aspek kesihatan badan kerana pemakanan tidak seimbang pasti membawa kepada masalah kesihatan dalam bentuk bermacam jenis penyakit.
Mungkin ramai sudah menyedari beberapa jenis makanan tidak sihat bukan sahaja untuk kanak-kanak malahan kepada golongan dewasa.
Bukan hanya makanan segera makanan yang telah diproses dan makanan ringan juga tidak sihat jika selalu dimakan.
Pakar Perunding Perubatan dan Kardiologi Hospital Pakar Putra Melaka, Datuk Dr. Nor Izham Aziz menjelaskan, bukan hanya gula, garam dan minyak berlebihan dalam masakan sahaja yang membawa masalah kesihatan malahan makanan yang dimasak itu sendiri dapat membawa penyakit.
“Sebagai contoh, daging merah (lembu, kambing, kibas) mempunyai banyak kolesterol yang tidak baik untuk kesihatan jantung dan salur darah.
“Tidak guna mengurangkan gula, garam dan minyak dalam masakan jika seseorang itu makan daging merah dengan banyak terutamanya ketika banyak daging diagihkan ketika Hari Raya Haji,” katanya.
Menurut Dr. Nor Izham, cara masakan daging merah yang berlemak atau menggunakan banyak santan seperti rendang juga hanya lebih memudaratkan lagi kesihatan ‘penggemar’ masakan tersebut, terutamanya jika mendapat banyak rendang percuma ketika kenduri kahwin.
Tambahnya, daging merah yang mempunyai kolesterol lebih tinggi boleh membawa kepada masalah darah tinggi dan masalah jantung di kemudian hari.
Ini berbeza pada Hari Raya Aidilfitri di mana seseorang itu berpeluang menurunkan berat badan terlebih dahulu dengan berpuasa selama sebulan di samping menurunkan kadar kolesterol dan tekanan darah mereka.
Beberapa penyelidikan turut mengaitkan pengambilan terlalu banyak daging merah dengan risiko kanser usus besar, prostat, esofagus, hati dan kanser paru-paru.
Daging merah bukan sahaja mengandungi lemak tepu dan besi yang lebih tinggi malahan turut dikatakan mengandungi beberapa bahan kimia yang menyebabkan mutasi genetik yang membawa kepada kanser.
Ini tidak bermakna anda perlu berhenti terus daripada makan daging tetapi perlu mengawal pengambilan daging merah dalam hidangan harian.
Sempena Hari Raya Haji, daging yang diagihkan juga perlu diutamakan kepada mereka yang memerlukan. Jangan pula mereka yang setiap hari makan daging turut berebut daging ‘percuma’ yang diagihkan itu.
Selain itu, musim perayaan dan cuti turut menyaksikan kegemaran menghidangkan makanan dengan banyak gula atau garam yang boleh menyebabkan masalah diabetes dan obesiti.
Kuih yang manis, kek, aiskrim, gula-gula dan minuman bergas yang manis pula adalah antara makanan yang menjadi pilihan untuk dihidang kepada tetamu yang berkunjung.
Makanan yang telah diproses kini menjadi pilihan untuk dihidangkan kepada tetamu bagi memudahkan kerja tuan rumah.
Dr. Nor Izham mendedahkan antara 70 hingga 80 peratus makanan harian penduduk di negara ini kini terdiri daripada makanan yang telah diproses.
“Makanan yang diproses mempunyai kandungan gula dan garam yang lebih tinggi di samping pengawet dan pewarna bagi meningkatkan rasa makanan tersebut dan menarik minat pembeli membeli produk berkenaan.
“Kini 80 peratus sumber garam badan juga diambil daripada makanan yang diproses dalam jumlah yang jauh lebih tinggi daripada diperlukan badan,” ujarnya.
Menurut beliau, pengambilan berterusan makanan diproses boleh membawa kepada masalah obesiti yang seterusnya boleh membawa kepada rintangan insulin, diabetes, sakit jantung dan strok.
Ini lebih berbahaya bagi kanak-kanak yang menjadi sasaran jualan makanan diproses memandangkan mereka membeli mengikut rasa yang sedap berbanding kandungan nutrisi makanan tersebut.
Suatu hari kelak mungkin tidak pelik lagi jika melihat kanak-kanak yang sangat obes atau menghidap penyakit golongan dewasa seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung.
Beringat sebelum terkena
Makanan adalah satu keperluan hidup, seperti udara untuk bernafas. Semua jenis makanan ada baik dan buruknya tetapi masalah hanya timbul jika sesuatu jenis makanan menjadi hidangan utama secara berpanjangan.
Tidak menjadi kesalahan untuk makan rendang atau masakan daging lain di musim perayaan.
Tidak juga menjadi kesalahan menjamu selera dengan makanan yang sedikit manis, agak masin dan istimewa.
Pasti pelbagai ‘makanan percuma’ dihidangkan dengan sempena sambutan perayaan. Tetapi perlu berwaspada kerana masalah kesihatan badan akan mula timbul jika pengambilan makanan tidak diseimbangkan dengan sayur-sayuran, buah-buahan, air yang cukup dan senaman ringan bagi membakar tenaga berlebihan.
Selain mengurangkan pengambilan daging, makanan dengan karbohidrat tinggi juga tidak elok diambil terlalu banyak.
Pengambilan daging sepatutnya boleh diselang-seli dengan ayam atau ikan bagi mempelbagaikan jenis makanan dan menjaga keseimbangan pemakanan.
Cara masakan juga perlu dijaga bagi mengurangkan gula, garam dan minyak serta menggantikan masakan bergoreng dengan cara masakan sup, kukus atau panggang.
Masakan seperti rendang pula mungkin boleh digantikan penggunaan santan di dalamnya dengan susu seperti yang mula dilakukan dalam masakan kari kini.
Masakan tradisional Melayu yang terkenal dengan pedas, berlemak (santan), masin dan manis juga tidak perlu dihapuskan bagi menjaga kesihatan masyarakat negara ini tetapi mungkin dapat disesuaikan bagi mengurangkan bahan yang membawa mudarat jika diambil dalam kuantiti yang banyak.
Penggunaan minyak berlebihan, mentega dan krim juga perlu dikawal supaya cukup untuk memberikan rasa lazat kepada masakan tanpa mengancam kesihatan diri.
Bagi hidangan untuk tetamu pula, lebih elok jika dihidangkan sesuatu yang mudah dan dimasak sendiri daripada menghidangkan makanan yang telah diproses bagi mengawal jumlah gula, garam dan minyak yang digunakan.
Minuman bergas dan manis pula boleh digantikan dengan air jus atau air kosong yang lebih menyegarkan badan dan tidak membebankan fungsi buah pinggang dan meningkatkan tekanan darah.
Selain itu, golongan bukan Islam yang mengambil alkohol ketika sambutan Krismas atau tahun baru juga perlu berwaspada kerana alkohol bukan sahaja membahayakan kesihatan dalam jangka pendek malahan boleh membawa mudarat jangka panjang jika pengambilannya tidak terkawal.
Di samping itu, anda juga boleh mengamalkan tabiat makan dalam jumlah kecil beberapa kali sehari bagi memenuhi keinginan merasa pelbagai jenis makanan.
Berbanding tiga hidangan makanan yang berat setiap hari, boleh juga digantikan dengan enam atau lebih hidangan kecil sepanjang hari.
Ini dapat membantu mengurangkan beban kepada sistem penghadaman badan, mengimbangkan bekalan tenaga yang dibekalkan makanan serta mengelakkan rasa letih dan mengantuk sepanjang hari.
Masalah pemakanan sihat telah lama bertapak di dalam masyarakat negara ini yang rata-ratanya hidup semakin mewah hasil kemajuan ekonomi.
Dengan pendapatan yang lebih tinggi sepatutnya memberikan lebih pilihan kepada orang ramai membeli pelbagai jenis makanan untuk keseimbangan diet harian tetapi sebaliknya ramai telah mengambil jalan mudah.
Kini ramai daripada mereka yang lebih berkemampuan memilih untuk membeli makanan yang telah diproses atau makanan segera atas dasar mengajar masa ataupun kerana malas untuk masak di rumah.
Bagaimanapun, peningkatan penyakit berkaitan pemakanan seperti diabetes, darah tinggi dan penyakit jantung juga telah membuka mata sesetengah rakyat Malaysia tentang pentingnya menjaga pemakanan.
Kerajaan juga telah mula menjalankan pelbagai kempen untuk cara hidup yang lebih sihat dan pemakanan yang seimbang bagi menjamin kesihatan jangka panjang rakyat negara ini.
Seperti juga keseimbangan hidup yang memerlukan rehat yang cukup, senaman dan aktiviti riadah bersama keluarga, pemakanan seimbang dapat menjamin kualiti hidup yang lebih baik kelak.
Belum terlambat untuk generasi kini kembali ‘pulih’ daripada masalah kegemukan, obesiti dan penyakit daripada pemakanan tetapi adalah lebih penting untuk memastikan generasi seterusnya dilindungi daripada masalah kesihatan jangka panjang dengan memberikan mereka makanan yang sihat dan seimbang.
Walaupun sempena cuti dan perayaan, jangan dilupakan untuk beringat dan berpada-pada dalam menikmati juadah yang dihidangkan. Mereka yang sudah menghidap penyakit seperti diabetes, darah tinggi dan jantung pula perlu lebih berwaspada dalam memilih jenis dan jumlah makanan dan minuman yang diambil.
Hidup hanya sekali, tetapi hidup yang panjang ini pasti sukar dilalui jika badan sering tidak selesa dan dalam kesakitan.
Jangan dianggap menjaga pemakanan sebagai satu sekatan untuk menikmati kehidupan kerana tanpa badan yang sihat, sudah tentu hidup tidak dapat dinikmati lagi.

CACAR AIR,SI MANJA ANDA DAN ANDA

Cacar air, si manja anda & anda

Oleh: DR. ZULKIFLI ISMAIL

Cacar air dianggap sebagai lumrah kehidupan dan sesuatu yang perlu dilalui oleh setiap kanak- kanak tetapi tahukah anda penyakit ini boleh mendedahkan anda kepada jangkitan kedua apabila dewasa? Minggu ini Program Positive Parenting membincangkan isu ini.
Ruam merah mula muncul di seluruh badan anak anda. Beberapa hari kemudian, bintik-bintik seperti jerawat ini menjadi lepuhan bercecair. Anak anda demam, hilang selera makan dan meragam. Dia terperap di dalam rumah dan tidak dapat pergi ke tadika. Doktor memberi amaran untuk memastikan anak anda tidak menggaru ruamnya (walau segatal mana pun) kerana menggaru boleh menyebabkan jangkitan bakteria pada kulit. Malah anda terkejut apabila doktor menerangkan kemungkinan berlakunya komplikasi serius seperti radang peparu atau ensefalitis (radang otak). Sebelum ini, anda menganggap cacar air hanyalah jangkitan biasa yang ringan. Bukankah semua orang dijangkiti sekali seumur hidup dan pulih sepenuhnya?
Tidak lama kemudian, gejala yang sama mula muncul pada adiknya. Anda tiada pilihan lain kecuali mengambil cuti kerja untuk menjaga mereka. Tanggungjawab menjaga dua anak kecil yang sakit memang meletihkan, lebih-lebih lagi jika anda sudah mengandung tiga bulan.
* Mengenai cacar air
Cacar air ialah sejenis jangkitan yang disebabkan oleh virus Varicella-zoster yang amat mudah berjangkit dan boleh merebak menerusi sentuhan fizikal dan melalui udara daripada titisan bersin atau batuk. Kanak-kanak yang dijangkiti boleh menyebarkan virus dua minggu sebelum ruam muncul dan sehinggalah semua lepuhan menjadi kering.
Selagi anak anda sihat, kesan jangkitan cacar air biasanya bersifat ringan dan akan hilang dalam masa dua minggu. Namun begitu ia lebih berbahaya di kalangan kanak-kanak yang mempunyai sistem imun lemah, menghidap ekzema atau mengambil ubat steroid (contohnya penghidap asma).
Anda perlu mencegah anak anda daripada menyebarkan penyakit dan memastikan dia tinggal di rumah dan tidak menghadiri kelas tadika. Malangnya, adalah lebih sukar untuk mengelakkan anggota keluarga lain daripada dijangkiti. Risikonya sangat tinggi kerana mereka berada berdekatan dengan satu sama lain. Cuba jauhkan anak anda daripada wanita hamil dan sesiapa yang belum pernah menghidap cacar air atau belum diberi vaksin.
Antara langkah untuk merawat cacar air termasuk menegah anak anda menggaru dan mencegah jangkitan sekunder, menggalakkannya minum banyak air dan memastikan pengambilan khasiat pemakanan secukupnya dan mengawasi sebarang komplikasi serius. Sejenis agen antivirus yang dinamakan acyclovir akan mengurangkan tahap keterukan penyakit tetapi ubat ini perlu diberikan pada peringkat awal jangkitan.
Kehidupan selepas menghidap cacar air. Selepas jangkitan cacar air, virus Varicella-zoster ‘menyorok’ dalam keadaan tidak aktif dalam urat saraf individu. Virus in boleh aktif semula beberapa tahun kemudian apabila anak anda sudah dewasa atau jika sistem imunnya lemah. Turut dikenali sebagai herpes zoster, kayap ialah sejenis ruam menyakitkan yang boleh menyebabkan neuralgia postherpetik, sejenis penyakit yang mengakibatkan kulit terasa sakit selama berbulan atau bertahun walaupun ruam sudah hilang.
* Mencegah anak anda daripada dijangkiti cacar air
Hanya melalui vaksin boleh mencegah cacar air ialah menerusi imunisasi. Vaksin dihasilkan dengan menggunakan virus Varicella-zoster yang lemah dan diberikan kepada kanak-kanak berusia 1 dan 12, dewasa serta remaja yang belum pernah dijangkiti cacar air. Walaupun vaksin ini boleh mencegah jangkitan cacar air bagi kebanyakan kanak-kanak, sebilangan kecil masih boleh dijangkiti. Namun begitu jangkitan tersebut adalah lebih ringan dengan tanda-tanda yang tidak begitu serius dan parutan kulit yang berkurangan.
Seperti semua vaksin lain, vaksin cacar air boleh mendatangkan kesan sampingan – paling umum ialah kemerahan, kesakitan dan bengkak di tempat suntikan. Bincanglah dengan doktor anda untuk mengetahui lebih lanjut mengenai vaksin ini.
* Cacar air & kehamilan anda
Oleh kerana cacar air boleh menjangkiti semua orang pada sebarang peringkat usia – baik kanak-kanak kecil mahupun remaja, dewasa dan warga tua – risiko wanita hamil bertemu dengan penghidap virus Varicella-zoster adalah sangat tinggi. Keadaan ini amat membahayakan jika anda belum pernah menghidap cacar air.
Bahaya kepada anda. Cacar air semasa dewasa mungkin membahayakan dan boleh menyebabkan komplikasi serius seperti radang peparu atau ensefalitis, walaupun keadaan sedemikian jarang berlaku. Kesan parut pada orang dewasa juga lebih teruk.
Bahaya kepada bayi anda. Jangkitan cacar air yang berlaku pada peringkat awal kehamilan menyebabkan kecacatan semasa lahir, berat lahir yang rendah atau kecacatan anggota pada janin. Jika anda dijangkiti seminggu sebelum melahirkan anak atau dalam tempoh sepuluh hari selepas beranak, jangkitan tersebut boleh mengancam nyawa bayi baru lahir.
* Mengurangkan risiko jangkitan
Jika anda hamil dan belum pernah menghidap cacar air, bincanglah dengan doktor tentang risiko anda dan janin anda. Minta suami dan anak-
anak anda (walaupun mereka sudah mencapai usia remaja) untuk mendapatkan vaksin bagi mengurangkan risiko mereka menghidap penyakit tersebut dan menjangkiti anda. Vaksin cacar air untuk dewasa meliputi 2 dos yang diberikan dalam selang masa 4 minggu.
- Penulis ialah Pakar Runding Pediatrik, bekas Presiden Persatuan Pediatrik Malaysia dan Pengerusi Jawatankuasa Positive Parenting. Program Positive Parenting diurus oleh Persatuan Pediatrik Malaysia dengan sumbangan geran pendidikan tanpa syarat dari GlaxoSmithKline. Untuk maklumat lanjut, kunjungi www. mypositiveparenting.org