"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Monday, October 25, 2010

Melatonin rawat insomnia

MASALAH sukar tidur sering diajukan kepada saya. Berapa jam waktu tidur yang mencukupi. Mengikut kajian waktu tidur sekitar lima hingga enam jam adalah ideal. Orang yang mengamalkan waktu tidur sebegini akan hidup lebih lama dan mempunyai kesihatan tubuh sangat baik berbanding mereka yang tidur banyak terutamanya pada siang hari.

Adalah tidak benar manusia memerlukan tidur 10 jam sehari. Jika waktu tidur terlalu panjang sudah tentu kita terpaksa menghabiskan sebahagian besar daripada hayat untuk tidur sahaja. Mereka yang tidur terlalu banyak mungkin mempunyai masalah mendapatkan tidur yang berkualiti. Meskipun mereka tidur dalam tempoh masa yang panjang namun badan tidak memperoleh rehat secukupnya disebabkan oleh kualiti tidur yang kurang baik.

Tidur yang berkualiti mesti dipandang berat kerana ia membolehkan tubuh badan kita terpelihara. Semasa tidur tubuh mengumpul tenaga. Sel-sel tubuh juga mula mengalami proses pemulihan. Pelbagai zat dan bahan protein akan dirembes oleh tubuh kita pada waktu malam. Di antaranya hormon yang memelihara tubuh. Begitu juga dengan enzim yang bertindak membaiki sel-sel. Bila tidur terganggu, hormon dan enzim yang keluar turut terganggu membuatkan tubuh tidak dapat dipulihkan atau direhatkan secukupnya.

Proses kitaran ini dinamakan circadian rhythm yang bertindak umpama jam biologi dan bekerja secara berperingkat mengikut waktu yang ditetapkan. Setiap bahan kimia tubuh kita dirembes oleh kelenjar dalam badan mengikut circadian rhytm.

Pernahkah anda mendengar perkataan melatonin? Melatonin adalah bahan kimia semulajadi yang terhasil di dalam otak kita. Apabila waktu malam paras melatonin mula meningkat. Ini membuatkan kita mengantuk dan mampu tidur nyenyak. Pada waktu siang pula paras melatonin merosot menyebabkan kita hilang rasa mengantuk. Kitaran melatonin penting bagi membolehkan tubuh kita kekal dapat mengimbangi antara aktiviti tidur dan jaga.

Melatonin merupakan bahan yang membolehkan kita lena. Kadar melatonin yang rendah menyebabkan seseorang mengambil masa panjang untuk tidur. Keadaan itu menyebabkan seseorang resah dan gelisah. Kadar melatonin yang tinggi dalam darah menimbulkan rasa tenang dan mudah lena.

Apabila kita ke luar negara yang berbeza waktu, (misalnya ke Eropah), paras melatonin akan cepat berubah sehingga akhirnya kita boleh mengubah dengan cepat tabiat tidur kita mengikut waktu.

Tidur boleh dibahagikan kepada dua fasa iaitu REM sleep (Rapid eye movement) dan NREM (Non rapid eye movement).

Semasa fasa REM anak mata bergerak dengan laju ke atas ke bawah. Ini adalah tidur yang nyenyak dan biasanya aktiviti otak sangat aktif sehingga membawa mimpi mimpi yang indah. Fasa NREM pula adalah tidur yang mendatar dan seseorang akan mudah terjaga. Cuba lihat seorang anak kecil atau bayi yang tidur. Dalam fasa REM dia mungkin bangun menangis namun tidur semula dengan nyenyak apabila didodoikan seolah-olah tiada mimpi buruk yang mengganggu. Apabila tidurnya memasuki fasa NREM, dia akan menangis jika didodoi sekali pun. Dalam keadaan itu adalah lebih baik bayi tersebut dibangunkan sahaja kerana dia sudah puas tidur.

Tekanan perasaan yang kuat dan juga stres mampu mengganggu paras melatonin dalam darah dan mengganggu tidur membuatkan seseorang menjadi insomnia. Pengambilan ubat seperti valium tidak boleh diamalkan kerana boleh menyebabkan ketagihan. Disebabkan faktor itu doktor lebih berminat memberikan kaunseling agar pesakit dapat mengurangkan pengambilan ubat-ubatan.

Masalah tidur kerap melanda masyarakat moden dewasa ini. Gangguan paras melatonin yang serious menyebabkan keletihan dan tubuh menjadi lesu kerana proses baik pulih tubuh terganggu. Melatonin boleh ditambah melalui suplemen harian.

Pengidap insomnia mengalami masalah ketidakseimbangan melatonin yang ketara. Golongan ini juga mengalami masalah metabolik seperti kencing manis dan gout. Terdapat juga pengidap insomnia menderita masalah mental seperti schizophrenia dan manic disorder. Keadan ini berlaku disebabkan ketidakseimbangan transmitter dalam otak dan juga hormon. Selain hormon seperti melatonin otak kita juga boleh bertindak dengan kehadiran dopamine yang memberi signal kepada otak kita. Ketiadaannya membuat kita menjadi letih dan lesu. Penyakit seperti parkinson bersangkut paut dengan transmitter sebegini.

Cara yang baik menangani masalah insomnia adalah dengan meningkatkan kandungan melatonin dalam badan. Terdapat makanan seperti soya dan buah-buahan jenis beri kaya dengan melatonin. Melatonin boleh dibeli dalam bentuk pil atau krim untuk mendapatkan tidur yang berkualiti dan tubuh badan yang sihat. Paras melatonin dapat ditingkatkan dengan aktiviti senaman, bersukan dan mendengar muzik yang indah. Bagi sesetengah orang paras melatonin meningkat dengan membaca atau berkhayal yang indah-indah. Sebab itu timbulnya teknik-teknik khayalan seperti mengira, membayangkan sesuatu yang indah untuk memulakan proses tidur. Para pengamal hypnosis iaitu satu teknik penguasaan minda turut menyarankan teknik khayalan yang mampu meningkatkan paras melatonin dalam darah kita dan merangsang tidur yang berkualiti.

Satu cara yang baik untuk merangsang tidur adalah menukar cadar baru selain memastikan bilik tidur cantik kemas dan bersih. Pastikan tiada hama pada tilam yang menggigit pada waktu malam membuatkan kulit terasa gatal gatal. Elak minum kopi atau sebarang minuman yang mengandungi banyak kafein serta pastikan perut tidak terlalu lapar atau terlalu kenyang.

Seseorang yang tidurnya berkualiti akan mendapat kesihatan yang lebih baik. Jiwanya akan terasa bahagia dan kecergasan fizikal dan mindanya akan bertambah. Seorang pensyarah yang mencuba krim melatonin memberitahu:

‘‘Sejak menggunakan krim melatonin dan mempraktikkan tidur berkualiti, saya dapati tahap kecergasan meningkat.

Semasa berdiskusi dengan teman sejawat yang jauh lebih muda mereka memuji ketepatan dan kepantasan saya
menyelesaikan masalah dan membuat analisis. Tahap matematik saya juga meningkat.’’
Semakin usia meningkat paras melatonin dalam darah akan merosot kerana kelenjar pineal yang menghasilkan melatonin mengecut. Jika kita membiarkan perkara ini berlaku maka kualiti tidur akan terjejas dan hormon lain dalam badan juga merosot.

Adalah dicadangkan rawatan menggunakan krim dan juga kapsul melatonin bagi membaiki masalah ini. Krim dan kapsul melatonin membantu pemulihan kelenjar pineal. Ia membuatkan anda tidur nyenyak dan nyaman seperti bayi.

Hasilnya anda menjadi lebih muda, otak cergas dan riang semula.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1024&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_02.htm

Kesan kepada lelaki lebih parah

PERKATAAN payudara itu sendiri secara tidak langsung sudah merujuk kepada wanita. Lalu tidak hairanlah jika membicarakan mengenai penyakit kanser payudara, pasti ia disasar kepada golongan itu.

Disebabkan fahaman tersebut, ramai lelaki mengambil jalan mudah memandang remeh tentangnya. Bagi mereka, penyakit itu ‘eksklusif’ untuk wanita dan jika ada pun di kalangan lelaki, peratusannya sangat rendah.

“Lelaki juga sebenarnya berisiko diserang penyakit yang sama,” kata Penyelaras Pusat Sumber Kanser Payudara Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan, Dr. Nik Munirah Nik Mahdi.

Malah katanya, kebanyakan kanser payudara yang menyerang lelaki kesannya jauh lebih buruk. Ini kerana ia akan menular kepada organ lain dengan cepat sehingga membawa kematian.

Jelas beliau lagi, walaupun jarang berlaku, kanser payudara yang menyerang golongan lelaki adalah lebih berbahaya kerana sel kanser itu lebih agresif berbanding sel kanser yang menyerang golongan wanita.

Merujuk kepada kajian Majlis Kanser Nasional, dari 1999 hingga 2006 bagi negeri Kelantan, seramai enam lelaki telah meninggal dunia akibat penyakit itu.

Pada tahun lalu sahaja kata beliau, sebanyak tiga kes dikesan dengan satu daripadanya meninggal dunia (kanser tahap 4) manakala dua lagi kembali berkerja setelah menjalani rawatan dan pembedahan.

Menurut Dr. Nik Munirah, daripada semua kes kanser di dunia, 0.1 peratus melibatkan kaum lelaki. Ini bermakna satu daripada 1,000 lelaki akan mendapat penyakit itu.

Mengikut perangkaan katanya, 0.22 peratus kematian lelaki di dunia disebabkan kanser jenis itu. Di Amerika Syarikat sepanjang tahun ini (setakat Oktober) sahaja, sebanyak 1,907 kes dikesan dan 390 daripadanya meninggal dunia.

Seperti juga kanser payudara wanita, keturunan merupakan faktor utama lelaki mendapat kanser payudara terutama andai melibatkan keluarga terdekat,” kata Dr. Nik Munirah.

Menurutnya, sama seperti kanser jenis lain, risiko seseorang lelaki untuk mendapat kanser menjadi tinggi berbanding dengan mereka yang tidak mempunyai keluarga menghidap kanser.

Selain itu, risiko lain seperti pengambilan alkohol, tempat tinggal seseorang di kawasan radiasi tinggi (kuari dan kilang uranium) juga turut menyumbang. Penyakit Sindrom Klinefelter (47 XXY) di mana menyebabkan hormon estrogen tinggi dalam darah bagi lelaki juga menyumbang kepada kanser jenis itu.

“Saya percaya pengambilan makanan seperti makanan segera turut tidak terkecuali walaupun tiada kajian khusus dibuat bagi mengesahkannya,” kata beliau.

Jelas beliau lagi, kebanyakan pesakit lelaki yang menghidap kanser paydara berumur melebihi 40 tahun, bagaimanapun ia boleh berlaku pada sebarang usia.

Pengesanan

Pemeriksaan saringan mamografi hanya dilakukan untuk wanita sahaja. Ia merupakan kaedah unggul untuk mengesan kanser payudara di peringkat awal, di mana kanser itu belum disedari oleh wanita tersebut. Mamografi boleh mengesan kanser payudara satu tahun lebih awal sebelum wanita tersebut mendapat sebarang sindrom atau tanda-tanda.

Bagaimana pula dengan lelaki?

Menurut Dr. Nik Munirah, kanser payudara lelaki berlaku pada bahagian tisu payudara.
Sebarang keganjilan pada payudara lelaki merupakan simptom utama mereka menghidap kanser.

“Biasanya mereka akan merasa benjolan atau ketulan di belakang puting susu (nipple) dan payudara akan membesar sebelah (gynaecomastia).

‘‘Lelaki tersebut juga akan mengalami pengeluaran cecair dari puting, perubahan warna kulit di payudara atau puting susu tertarik ke dalam, katanya.

Jelas beliau, mungkin lelaki tersebut tidak sedar dengan perubahan payudara mereka. Namun, isteri atau keluarga terdekat boleh membantu kerana perubahannya sangat ketara.

“Kekadang isteri yang merasakan payudara suaminya kelihatan besar sebelah,” katanya.
Dr. Nik Munirah tidak menolak kemungkinan pengambilan steroid boleh menyebabkan payudara lelaki membesar namun ia berlaku di kedua-dua belah.

Seandainya seseorang lelaki itu disyaki menghidap kanser payudara, kata Dr. Nik Munirah, pemeriksaan ultrasound akan dilakukan. Biasanya ketulan (sekiranya ada) akan kelihatan dengan jelas.

Bagi kanser payu dara lelaki, biasanya pemeriksaan mamografi tidak akan dilakukan melainkan ia benar-benar diperlukan untuk diagnosis sekiranya tidak yakin dengan keputusan ultrasound.

“Ujian tisu biopsi akan dilakukan untuk pengesahan tisu barah di makmal patologi. Sel kanser payudara lelaki adalah lebih agresif daripada sel payudara wanita, cepat merebak ke organ lain dan menyebabkan kematian,” kata Dr. Nik Munirah.

Puncanya kata beliau, sehingga kini masih tidak diketahui. Kanser payudara lelaki merebak melalui salur limfa dan salur darah. Sama seperti kanser payudara wanita, sekiranya penyakit dapat dikesan di peringkat awal, harapan untuk sembuh adalah tinggi.

“Lebih 90 peratus harapan untuk sembuh sekiranya penyakit kanser dikesan pada tahap 1,” kata beliau lagi.

Rawatan

Bagi penentuan jenis rawatan yang diperlukan, doktor akan mengesan peringkat mana pesakit menghidapi kanser, keadaan kesihatan keseluruhan dan kesediaan pesakit sendiri.

“Seperti juga kanser payudara wanita, pembedahan mastektomi dijalankan bagi membuang keseluruhan payudara yang dijangkiti dengan cara membuang tisu termasuk lobul, liang, tisu lemak dan bahagian kulit termasuk puting serta aerola,” kata Dr. Nik Munirah.

Manakala pembedahan lumpectomy dijalankan bagi membuang bahagian yang dijangkiti sahaja.
Selepas pembedahan, pesakit perlu melalui rawatan radioterapi dan/ atau kemoterapi.

Radioterapi katanya menggunakan pancaran tenaga tinggi seperti sinar-X untuk membunuh sel kanser.

Bagi kanser payudara lelaki, terapi jenis itu digunakan untuk menyingkirkan sel-sel yang tertinggal di dada, otot dada dan ketiak selepas pembedahan.

Manakala kemoterapi pula kata Dr. Nik Munirah adalah sejenis dadah yang digunakan untuk membunuh sel kanser.
Rawatan kemoterapi melibatkan dua atau tiga ubat berlainan berbentuk pil atau suntikan melalui vena di bahagian lengan (intravena).

Kesedaran

“Secara amnya, tiada kesedaran di kalangan lelaki walaupun tahu mereka juga berisiko (walaupun kecil, 0.1 peratus)
untuk mendapat kanser payudara,” kata Dr. Nik Madihah.

Biasanya kata beliau, mereka lebih memikirkan golongan wanita yang akan menghidap penyakit itu dan bagaimana mereka perlu bertindak sekiranya isteri, adik perempuan atau ibu mereka mendapat penyakit tersebut.

Buat masa ini katanya, tiada pemeriksaan saringan dijalankan untuk kaum lelaki tetapi mereka boleh datang ke hospital untuk pemeriksaan doktor dan seterusnya melakukan pemeriksaan ultrasound jika perlu.

Kata beliau sehingga kini tiada kumpulan sokongan yang khas untuk lelaki di Malaysia. Bagaimanapun kumpulan NGO seperti

BCWA (di Selangor) dan KAWAN (Kelantan) diwujudkan untuk semua pesakit kanser payudara tidak kira wanita atau lelaki.

“Kesedaran paling penting dalam menangani sebarang jenis penyakit. Kepada golongan lelaki, sila beri perhatian terhadap kesihatan anda kerana anda adalah ketua keluarga yang menjadi tunjang kepada isteri dan anak-anak,”
katanya lagi.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1024&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_01.htm