"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Saturday, September 12, 2009

Elak H1N1 gugat Hari Raya anda!

BALIK kampung! Dinantikan ramai warga kota yang merantau mencari rezeki dan juga keluarga mereka di kampung.


Namun, di sebalik kemunculan wabak Influenza A (H1N1) tahun ini, orang ramai dinasihatkan mengambil langkah pencegahan supaya tidak dijangkiti mahupun menjangkiti orang tersayang.


Pulang


Virus H1N1 boleh menjangkiti kita semasa dalam perjalanan pulang, atau kita mungkin membawa pulang virus tersebut kepada keluarga di kampung.

Oleh itu, jangan alpa dan sentiasa berwaspada demi keselamatan diri dan keluarga. Pastikan anda sentiasa membawa bersama topeng mulut dan hidung serta bahan pencuci tangan antiseptik untuk waktu-waktu yang memerlukannya.


Bagi yang mempunyai gejala selesema atau tergolong sebagai individu berisiko tinggi mengalami komplikasi jika dijangkiti H1N1, anda perlu memaki topeng mulut dan hidung di tempat tumpuan umum yang sesak. Pastikan juga tangan anda sentiasa bersih.


Jika sudah mula demam atau menunjukkan gejala selesema, pastikan anda mengasingkan diri demi keselamatan ahli keluarga, saudara mara dan juga masyarakat umum.
Bersabarlah sekitar satu minggu dari hari mula mengalami gejala selesema untuk menyambut

Hari Raya bersama keluarga dan rakan. Jangan jadikan nyawa mereka sebagai pertaruhan.


Berhemah


Gunakan masa pengasingan diri untuk berehat dan memulihkan badan. Tetapi, jika keadaan semakin teruk atau tanda amaran mula muncul, dapatkan rawatan dengan secepat mungkin.


Jangan pentingkan diri! Jika ada mempunyai gejala selesema, elakkan ke tempat tumpuan seperti rumah terbuka, majlis kenduri mahupun sembahyang berjemaah bagi mengelakkan virus H1N1 disebarkan kepada orang lain.


Dengan amalan bersalam di musim perayaan, pastikan juga anda sentiasa membawa dan menggunakan pencuci tangan antiseptik, atau basuh tangan dengan air dan sabun sekerap mungkin selepas bersalam.

Jika tidak sihat atau gejala selesema timbul selepas pulang dari kampung halaman, anda dinasihatkan menyambung cuti dan elakkan diri pergi ke sekolah, institusi pengajian atau ke tempat kerja.


Bagi pengendali sistem pengangkutan awam pula, pastikan anda menyediakan pencuci tangan antiseptik serta topeng mulut dan hidung untuk penumpang yang memerlukannya.


Jika ada penumpang yang sakit, usahakan supaya penumpang berkenaan tidak bergaul rapat dengan penumpang lain yang tiada gejala selesema.


Ingatlah, pencegahan Influenza A H1N1 bukan hanya untuk melindungi diri, malahan untuk keselamatan bersama keluarga dan sahabat handai.


Bersama kita mengawal penularan wabak ini dan melindungi diri, keluarga dan negara dari pandemik Influenza A H1N1.


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0913&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_02.htm

Gusi bermasalah punca kanser

PENJAGAAN yang baik pada kesihatan gigi mampu mengurangkan penyakit berkaitan kepala serta kanser tekak, menurut satu kajian yang mengaitkan penyakit gusi dan kanser.


Mempunyai penyakit gusi kronik yang melibatkan kehilangan tulang dan tisu lembut pada gigi secara progresif terbukti meningkatkan perkembangan sel karsinoma pada kepala dan tekak, terutama di mulut dan kerongkong.


Menurut ketua penyelidik di Institut Kanser Roswell Park, Buffalo, New York, Dr. Mine Tezal, risiko kanser menjadi lebih teruk pada pesakit periodontis, tidak kira sama ada mereka merokok atau menggunakan sebarang produk tembakau.



http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0913&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_03.htm

Mengenali kelenjar prostat

KELENJAR prostat adalah kelenjar yang mengeluarkan sebahagian cecair yang akan menjadi air mani. Ia terletak di bawah pundi kencing. Kelenjar ini akan membesar dan menimbulkan masalah apabila seseorang menjangkau usia 50-an.

Apabila membesar, ia akan mencerut saluran kencing dan seseorang akan mula mengalami tanda-tanda pembesaran kelenjar prostat.

Tanda-tanda pembesaran kelenjar prostat:

· Aliran air kencing yang perlahan, terpaksa menunggu lama untuk air kencing keluar.
· Terpaksa meneran semasa kencing.
· Air kencing masih menitik walaupun habis kencing.
· Rasa tidak puas selepas habis kencing.
· Tidak dapat menahan kencing.
· Kerap kencing pada waktu malam.
· Ada juga yang mengalami masalah air kencing tidak dapat keluar secara tiba-tiba ataupun kencing berdarah.


Ada pelbagai ubat yang boleh digunakan untuk mengatasi masalah ini. Antaranya adalah ubat alpha blocker yang akan membuka saluran kencing semasa proses membuang air kecil melalui relaksasi otot di sekitar kelenjar prostat.

Contoh ubat jenis ini yang ada di pasaran adalah terazosin, alfluzosin dan doxazosin. Ubat 5 alpha reductase inhibitor pula boleh mengecilkan kelenjar prostat jika diambil secara berpanjangan. Contoh ubat yang ada di pasaran adalah finasteride dan dutasteride.


http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Tanyadoktor/20090808133841/Article/

Bimbang warisi kanser kelenjar prostat

Tanya Doktor

Bersama Pakar Urologi Prof Madya Dr Zulkifli Md Zainuddin, Ketua Unit Urologi, Pusat Perubatan UKM, Cheras.sazree@bharian.com.my


SAYA seorang lelaki berusia 42 tahun. Ayah saya baru disahkan mengidap kanser kelenjar prostat yang sudah merebak ke tulang. Soalan saya, apakah risiko untuk saya menghidapi masalah sama? Apakah tanda-tanda kanser kelenjar prostat? Adakah cara untuk mengesan kanser ini pada peringkat awal dan apakah rawatan yang ada untuk penyakit ini? Aziz,

Subang Jaya, Selangor. RISIKO untuk saudara menghidap kanser kelenjar prostat adalah dua kali ganda lebih tinggi dari lelaki lain. Ini kerana kanser kelenjar prostat mempunyai kaitan genetik yang rapat. Bukan saja saudara, malah adik beradik lelaki dan adik beradik lelaki ayah saudara juga mempunyai risiko sama. Kanser kelenjar prostat ini boleh dikesan awal dengan cara saringan ujian darah PSA (prostate spesific antigen). Oleh kerana ayah saudara menghidap kanser kelenjar prostat, saudara perlu menjalani ujian PSA apabila umur saudara mencecah 45 tahun.


Untuk lelaki yang tidak tergolong di dalam kumpulan risiko tinggi, mereka boleh mula menjalani ujian PSA selepas berumur 50 tahun dan ujian ini perlu dijalani setiap tahun. Tahap PSA yang normal secara am kurang daripada 4 ng/dl. Jika seseorang didapati mempunyai tahap PSA lebih dari 4 ng/dl, pakar urologi akan menyarankan supaya ujian trans rectal prostate biopsy (TRUS) dikendalikan.


Ujian ini dilakukan melalui lubang dubur di mana tisu kelenjar prostat akan diambil dengan bantuan alat ultra sound. Ujian ini penting untuk memastikan kehadiran kanser dan tahap kanser kelenjar prostat. Tiada tanda khusus untuk kanser kelenjar prostat. Ia sama seperti tanda penyumbatan saluran kencing akibat pembesaran kelenjar prostat. Ini termasuk aliran kencing perlahan; air kencing yang meleleh selepas kencing; terpaksa tunggu lama untuk air kencing keluar; meneran untuk mengeluarkan air kencing dan kerap ke tandas pada waktu malam.

Pada tahap lewat pula, pesakit akan mengalami sakit di bahagian tulang terutama tulang belakang. Pemeriksaan fizikal juga boleh mengesan kanser kelenjar prostat.
Melalui pemeriksaan ini, doktor akan memasukkan jari ke dalam lubang dubur bagi memeriksa bentuk dan kekerasan kelenjar prostat. Namun begitu, sekiranya kanser dapat dikesan dengan jari, kemungkinan besar ia sudah mencapai tahap yang lewat. Ada pelbagai cara untuk merawat kanser kelenjar prostat.

Jika dapat dikesan pada tahap awal, pembedahan radical prostatectony boleh dilakukan. Pembedahan ini membabitkan pembuangan kelenjar prostat. Selain dari itu, kanser di tahap awal boleh dirawat dengan cara bracytherapy. Dengan cara ini, butiran-butiran radioaktif akan dimasukkan ke dalam kelenjar prostat dan melalui kaedah rawatan ini, kelenjar prostat tidak dibuang.


Kanser prostat pada tahap lewat pula dirawat secara manipulasi hormon. Ini kerana kanser kelenjar prostat memerlukan hormon testostorone untuk merebak. Oleh itu, ubat yang dipanggil anti androgen akan diberi untuk menurunkan paras testostorone dalam badan dan seterusnya mengawal dari kelenjar prostat ini merebak. Ubat ini boleh didapati dalam bentuk tablet atau suntikan. Paras hormon testostorone juga boleh diturunkan dengan cara pembedahan. Pembedahan ini membabitkan pembuangan kedua-dua buah zakar.


http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Tanyadoktor/20090523093957/Article/