"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Saturday, April 10, 2010

Kematian Page yang perlahan

MARGARET PAGE, 60, dari Wellington, New Zealand, sudah 20 tahun menderita akibat pendarahan pada otak. Bermula dari 2006, wanita yang menghadapi kesukaran untuk bergerak dan bertutur itu meneruskan hidup dengan sokongan dan bantuan kakitangan rumah jagaan St. John of God Wellington setelah suaminya tidak lagi dapat menyuapnya makanan atau memandikannya.

Sebelum itu, Page aktif melakukan selam skuba, berkayak dan mengajar kanak-kanak seni mempertahankan diri karate. Penderitaannya itu bagaimanapun berakhir pada 30 Mac lalu.

Namun, kematiannya menimbulkan kontroversi di seluruh New Zealand apabila wanita itu memilih untuk menamatkan hayatnya dengan tidak mengambil sebarang makanan atau minuman sehingga ke akhir nyawanya.

Nazak

Akibatnya, 16 hari terakhir Page diisi dengan kesakitan yang tidak mampu dibayangkan. Malah, seminggu terakhir ketika Page berada dalam keadaan nazak, keluarga dan kakitangan pusat jagaan itu terpaksa berdepan dengan tekanan emosi yang tinggi kerana terpaksa menyaksikan kemerosotan kesihatan dan fizikal tubuh yang berlaku amat perlahan itu.

Nur Umaisarah Sameaun, 23, atau Umai, yang pernah tersesat di dalam hutan tebal Gunung Tahan selama 19 hari dari 7 hingga 26 Februari 2008 ketika menyertai Ekspedisi Komander Kesatria anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis, mungkin lebih memahami situasi yang dihadapi Page.

“Sehingga hari kedua tersesat, saya masih mempunyai bekalan makanan. Itu pun sekadar sepeket kecil bijirin dan coklat. Tetapi apabila masuk hari ketiga setelah makanan habis, perut mula terasa lapar, pedih dan menyengat.

“Saya tidak ada pilihan selain minum air sungai. Saya minum hingga kenyang,” kenang pelajar Perakaunan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat, Johor, itu.

Sukar, kata Umai, untuknya menerima keadaan itu kerana beliau seorang yang kuat makan.

“Tetapi selepas seminggu berada dalam keadaan itu, perut saya berasa lali. Setiap kali perut berasa pedih kerana lapar, saya akan minum air atau tidur untuk melupakan rasa lapar itu.

Tidur

“Apabila bangun daripada tidur, rasa lapar itu kembali terasa tetapi sudah berkurangan,” dedahnya yang mengenyangkan perut sehingga 16 hari dengan air sungai semata-mata.

Susulan daripada kejadian itu, Umai kehilangan berat badan sebanyak 14 kilogram dan hilang selera makan selain keseluruhan badan berasa lemah sehingga menyebabkannya ‘malas’ bergerak.

“Tak tahu kenapa selera makan saya menurun. Sekarang saya boleh bertahan agak lama tanpa makanan berbanding kebiasaan,” ujarnya.

Menurut Profesor Madya Dr. Ida Normiha Hilmi dari Unit Endoskopi Jabatan Gasteroenterologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), keadaan itu berlaku kerana penurunan kadar metabolik dalam tubuh.

“Dalam keadaan kebuluran, apabila simpanan glikogen dalam karbohidrat yang menjadi pembekal tenaga utama tubuh kehabisan, dua keadaan berlaku pada tubuh.

“Pertama, pemecahan atau peleraian lemak yang terkumpul di dalam tubuh untuk menggantikan peranan glikogen dalam karbohidrat, dan kedua, kadar metabolik tubuh menurun untuk menyimpan tenaga.

“Jadi, apabila kadar metabolik atau pembakaran kalori menurun, tubuh tidak merasakan perlu untuk makan seperti sebelum ini.

“Tetapi dalam keadaan ini, sekiranya seseorang itu mengekalkan kuantiti pengambilan makanannya seperti sediakala, dia berisiko untuk menghidap obesiti kerana kadar pembakaran kalori tidak selaras dengan kadar ambilan makanan,” jelas Ida.

Seseorang itu akan dapat bertahan lebih lama dalam keadaan kebuluran sekiranya dia memiliki lebih banyak lemak.

“Tempoh sebenar seseorang itu dapat bertahan dalam keadaan kebulur bergantung kepada beberapa faktor termasuk jumlah lemak yang tersimpan di dalam badan, mempunyai komplikasi lain seperti lemah jantung atau bengkak hati dan tahap kesihatan tubuh,” terangnya.

Ketika merujuk Umai yang bertahan sehingga lebih 16 hari tanpa makanan, Ida membuat kesimpulan bahawa pelajar itu sebelum itu berada dalam kesihatan fizikal yang baik dan cukup nutrien.

“Lama juga dia bertahan tanpa makanan kerana air sebenarnya tidak dapat menggantikan keperluan nutrien tubuh yang hilang.

“Dia juga mengambil masa yang agak singkat untuk beradaptasi. Ada kes mogok lapar di Ireland yang dapat bertahan sehingga berbulan lamanya. Jadi tempoh sebenar seseorang itu dapat bertahan dengan kebuluran tidak tetap,” komen Ida.

Protein organ

Komplikasi sebenar, katanya, hanya bermula sebaik sahaja kesemua lemak sudah habis digunakan. Selepas itu tenaga akan diperoleh daripada protein yang membentuk otot dan organ dalaman tubuh.

“Otak dan jantung mungkin menjadi antara organ terakhir yang akan dileraikan untuk mendapatkan tenaga kerana organ-organ itu penting untuk memastikan seseorang itu terus hidup,” ujarnya.

Pilihan Page untuk tidak makan atau minum, menurut Ida, mungkin cara untuk mati yang paling perlahan.

“Tetapi ia tidak semestinya yang paling menyakitkan kerana seseorang itu tidak akan menyedari bila lemaknya sudah kehabisan atau bila sel-sel organnya sedang terlerai, melainkan dia mempunyai komplikasi dalaman seperti masalah jantung,” tambah Ida.

Pensyarah Perubatan Gastroenterologi dan Hepatologi Pe diatrik, PPUM, Dr. Chai Pei Fan, pula berkata, kebuluran yang dialami kanak-kanak berbanding orang dewasa hampir sama.

“Bagaimanapun kanak-kanak lebih cepat menunjukkan simptom kebuluran seperti tidak sedarkan diri, sawan, kembung, kulit menjadi kering, dan suhu badan menurun kerana simpanan tenaga mereka kurang berbanding golongan dewasa.

“Bayi yang baru dilahirkan, contohnya, hanya mempunyai simpanan tenaga yang dapat bertahan untuk 24 jam sebelum masuk ke fasa anabolik di mana tenaga diperoleh daripada lemak dalam badan,” kata Chai.

Indikator kepada HIV

BANYAK yang diperkatakan mengenai simptom dan gejala pandemik virus HIV positif.

Demam, penurunan berat badan, keradangan kulit yang luar biasa dan sakit berpanjangan merupakan diagnosis lazim bagi pesakit kurang daya tahan penyakit manusia.

Namun, tidak ramai yang mengetahui bahawa kesihatan mulut terutama gusi mampu menjadi petanda awal kepada penyakit yang belum ada ubat itu.

Menurut Pakar Klinikal Periodontologi, Fakulti Pergigian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Masfuah Razali, salah satu penyakit berkaitan gusi yang mampu menjadi indikator HIV ialah ulser nekropsi akut periodontitis (ANUP).

Secara umum, ANUP tergolong dalam kategori penyakit nekropsi periodontal (NPD). Dalam kategori tersebut, terdapat dua jenis penyakit gusi yang semakin jarang ditemui iaitu penyakit gingivitis ulser nekropsi akut (ANUG) dan NUP.

Kedua-duanya sering terjadi akibat tekanan perasaan, tahap kebersihan mulut yang tidak baik dan tabiat merokok.

“Simptom utama ialah kesakitan di bahagian gusi tertentu, mulut berbau (halitosis) dan kewujudan ulser yang berbentuk kawah.


MASFUAH RAZALI

“Komplikasi sistemiknya ialah demam, sakit kepala dan lemah tubuh,” jelas Masfuah yang ditemui Jurnal di Kuala Lumpur baru-baru ini.

ANUG adalah radang gusi akut yang sangat menyakitkan dan ia berkembang secara progresif jika tidak dirawat pada peringkat awal.

Tambah Masfuah, ANUG hanya menyerang pada bahagian gusi manakala NUP lebih serius kerana ia melibatkan kehilangan tulang dan gusi yang merupakan sokongan penting kepada gigi.

Berbanding ANUG, ANUP banyak ditemui pada individu yang dijangkiti HIV.

Risiko

“Paling utama, gusi akan bertukar menjadi warna putih akibat jaringan nekrosis yang disebabkan oleh bakteria. Ini akan menyebabkan kematian tisu daripada gusi,” katanya.

Kebiasaannya jangkitan menyerang kawasan gusi dan jangkitan turut melibatkan tulang yang menyokong gigi.

Tambah Masfuah, ANUG merupakan penyakit oral yang jarang ditemui pada individu sihat serta tinggal di negara maju.

Bagaimanapun ia mudah ditemui di negara tidak membangun atau kurang membangun.

“Di benua Asia, sehingga 28 peratus kes ANUG-HIV positif ditemui di Kemboja dan 23 peratus kes ditemui di India.

“Di Malaysia, hampir 18 peratus kes dijumpai membabitkan individu positif HIV yang kebanyakannya penagih dadah melalui perkongsian jarum suntikan,” tegas Masfuah.

Meskipun begitu, jangkitan pada gusi sering ditemui pada pesakit HIV dan penagih dadah tegar. Malah kajian di Amerika Syarikat (AS) mendapati antara lima hingga 11 peratus pengidap ANUP adalah pesakit HIV positif.

Ini jelasnya, mungkin berpunca daripada kegagalan sistem pertahan badan untuk melawan bakteria daripada menjangkiti gusi.

Ujar Masfuah, mulut yang normal mengandungi pelbagai mikroorganisma yang seimbang. Namun bagi pesakit ANUG, mikroorganisma jenis anaerobik, termasuk Bacteroides dan Fusobacterium serta Spirochetes membiak secara tidak terkawal.


JANGKITAN bakteria tahap kronik yang telah tersebar hingga ke gigi.

Antibiotik

Apabila keadaan ini berlaku, pesakit akan mengalami kesakitan dan seterusnya mengalami kesukaran untuk membersih serta menggosok gigi.

“Lazimnya, rawatan membersihkan gigi akan dilakukan dengan segera bagi membuang kawasan yang dijangkiti bakteria di samping pesakit akan diberikan ubat kumur khas,” katanya.

Bagi memastikan jangkitan tersebut benar-benar hilang, pesakit akan dibekalkan antibiotik khas. Menurut Masfuah, pengambilan antibiotik adalah kaedah rawatan terbaik untuk penyakit ini.

“Jika lambat dirawat, kemungkinan besar pesakit akan menderita kesakitan serta kehilangan gigi akibat kerosakan pada tulang gigi,” tegas Masfuah.

Kadangkala, keradangan pada gusi yang wujud akibat pembiakan bakteria jenis patogen turut disebabkan oleh kekurangan nutrisi.

Lebih teruk, bukan saja menyebabkan kesakitan, bau nafas juga akan menjadi busuk, tubuh lemah serta limpa nodus membengkak.

“Keradangan jenis ini akan mengakibatkan gusi menjadi kemerah-merahan dan bengkak. Bukan berwarna putih dan terjadi di perantaraan gusi dan gigi,” ungkap Masfuah.

Leptospirosis undang derita

KEBELAKANGAN ini, kisah mengenai virus kencing tikus (leptospirosis) kembali menjadi bualan ramai.

Ini berikutan kematian pelawak terkenal, Allahyarham Din Beramboi (yang mulanya dikatakan akibat kencing tikus, namun disahkan demam denggi berdarah) dan seorang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terpaksa dipotong dua belah kaki serta sebelah tangan akibat virus ini.

Secebis kisah Wan Aini Wan Ibrahim, pelajar berusia 21 tahun yang kini menjalani hidup sebagai insan istimewa sangat menyentuh hati.

Gadis ini mulanya hanya mengalami demam biasa selama dua hari, namun tidak mendapatkan rawatan doktor kerana menganggap ia tidak serius.

"Ia berlaku selepas raya puasa tahun lalu. Jadi saya ingatkan ia demam biasa akibat tersalah makan sahaja," katanya yang dihubungi Kesihatan baru-baru ini.

Disebabkan demamnya tidak kebah, Wan Aini dibawa rakannya ke Klinik Desa Tanjung Malim untuk mendapat rawatan dan pada peringkat awal, disyaki menghidap demam denggi berdarah.

Kemudiannya, setelah demam semakin teruk, dia dirujuk ke Hospital Slim River dan semasa di hospital itu, Wan Aini tidak sedarkan diri (koma) selama kira-kira 17 hari.

Dalam tempoh itu juga, kedua belah kaki dan tangan kiri serta dua batang jari kanannya mula mengalami gangren (sel darah mati).

Disebabkan keadaannya agak serius, Wan Aini dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh.

"Doktor di sana menasihati saya menjalani pembedahan untuk memotong bahagian yang mengalami gangren untuk mengelakkan keadaan menjadi lebih teruk," katanya.

Atas permintaan keluarga dan memudahkan urusan penjagaan, Wan Aini dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu, Kelantan pula.

Gadis dari Kampung Durian Telor, Pasir Akar, Hulu Besut, Terengganu itu terpaksa menerima hakikat kedua-dua kaki pada paras bawah lutut, tangan kiri dan dua jari tangan kanannya dipotong akibat penyakit itu.

Menurut Wan Aini, berdasarkan maklumat yang ditulis doktor pada satu dokumen, dia menghidap leptospirosis.

"Saya sendiri tak pernah mendengar perkataan itu. Jadi, saya minta tolong seorang sahabat untuk mendapatkan maklumat tentangnya," katanya lagi.

Wan Aini pasrah dengan ketentuan Ilahi terhadapnya. Walaupun awalnya merasa sukar untuk menerima hakikat, dia yakin ada hikmah yang tersembunyi.

Nasihat dan semangat yang diberikan ibu bapa, kakak, adik-beradik dan rakan-rakan menjadi dorongan gadis ini bangkit meneruskan kehidupan.


PERSEKITARAN yang kotor mengundang masalah penyakit berjangkit.

"Sekurang-kurangnya saya masih dianugerahkan nyawa untuk terus bernafas dan berbakti di atas muka bumi ini," kata pelajar Pengajian Bahasa Malaysia Dengan Pendidikan ini.

Walaupun kini pergerakannya tidak lagi seperti dulu, Wan Aini tidak mahu menjadikan ia penghalang untuk terus mengejar kecemerlangan.

Minatnya untuk bergelar pendidik tidak pernah luput, malah dengan kekurangan ini menjadikan semangat gadis tabah terus membara untuk meneruskan pelajaran.

"Saya yakin ketentuan Allah SWT itu ada sebabnya. Mungkin keadaan saya ini boleh memberi semangat dan harapan kepada insan lain agar tidak mudah berputus asa," kata Wan Aini lagi.

Bakal meneruskan pengajian pada Julai nanti, gadis ini akan mula memakai kaki palsu yang disumbangkan oleh pihak kebajikan HRPZII dan menjalani rawatan fisioterapi minggu depan.

Ujarnya, kehidupannya masih seperti dulu. Segala keperluan diri dilakukan sendiri dan sebolehnya Wan Aini tidak mahu menyusahkan sesiapa terutama kedua ibu bapanya.

Sememangnya kes seperti Wan Aini jarang berlaku di Malaysia. Namun kita perlu berwaspada kerana musibah itu tidak mengira siapa dan bila.

Menyingkap perangkaan Kementerian Kesihatan Malaysia, pada 2007 sahaja kes leptospirosis meningkat secara mendadak kepada 929 berbanding 527 kes pada tahun sebelum itu. Sejauh manakah berbahayanya penyakit ini dan apakah tindakan yang harus dilakukan untuk mencegahnya? Kesihatan minggu ini mendapatkan penjelasan lanjut mengenainya.

Simptom-simptom:

Masa pengeraman di antara dua hingga 26 hari (anggaran 10 hari). Ia boleh berlaku dalam dua fasa:

1. Pesakit mengalami simptom-simptom penyakit yang pelbagai. Antara 75 hingga 100 peratus pesakit bermula dengan demam secara tiba-tiba, menggigil, sakit-sakit badan, sakit kepala. Manakala 25 hingga 35 peratus kes melibatkan batuk tidak berkahak dan 50 peratus kes mengalami sakit perut, muntah, loya, cirit-birit. Pesakit akan pulih sebelum mereka kembali jatuh sakit.

2. Keadaan pesakit menjadi lebih teruk hingga menyebabkan organ-organ dalaman gagal berfungsi.

Kebanyakan kes sembuh, bagaimanapun kematian boleh berlaku dalam kes-kes yang serius dan tidak mendapat rawatan yang sewajarnya. Pesakit boleh mendapat kegagalan fungsi buah pinggang, hati, masalah pernafasan, pendarahan yang teruk, sel darah merah pecah hingga menyebabkan penyakit kuning dan infeksi di bahagian otak (meningitis)

Persekitaran

Penyakit ini boleh berlaku kepada mereka yang berkerja di ladang-ladang, sawah, penternakan binatang, di kawasan setinggan, tapak pembinaan kawasan perumahan di mana kuman itu didapati hidup di tanah atau air kotor kerana sistem saliran yang kurang memuaskan seperti air bertakung.

Mereka yang berkunjung di tempat-tempat air kotor seperti air sungai atau tasik yang tercemar turut berisiko tinggi. Ia juga boleh berleluasa semasa musim banjir apabila seseorang meredah air banjir yang telah dicemari dengan kuman Leptospira. Kuman ini memasuki badan seseorang jika terdapat luka di kaki atau di mana-mana bahagian badan.

Mereka yang mempunya risiko untuk mendapat penyakit ini adalah mereka yang melakukan pekerjaan seperti pekerja rumah penyembelihan, doktor haiwan, pekerja sistem pembentungan, pesawah, peladang, penternak dan anggota tentera.

Diagnosis jangkitan

Dikesan melalui ujian darah. Darah pesakit akan diambil dan ujian serologi ELISA (antibodi) akan dilakukan. Ujian air kencing biasanya positif pada minggu kedua selepas serangan penyakit dan kekal selama 30 hari.

Rawatan

Kebanyakan jangkitan yang disebabkan oleh kuman ini akan sembuh dengan sendirinya. Pesakit yang mendapat jangkitan leptospira yang lebih serius akan dirawat dengan ubat antibotik seperti Doxycycline, Erythromycin, Penicillin, Cefotaxime dan Ceftriaxone untuk memendekkan tempoh penyakit dan mengurangkan pengeluaran kuman leptospirosis di dalam air kencing pesakit. Jangka masa rawatan selalunya antara lima hingga tujuh hari.

Penjagaan sokongan perlu diberikan kepada pesakit yang mengalami komplikasi seperti pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang. Mereka mungkin memerlukan rawatan untuk mencuci buah pinggang melalui dialisis, bantuan sokongan pernafasan, pemindahan darah dan lain-lain.

Disiplin perlu ketika berdiet - Schmeichel

KEHADIRAN penjaga gawang yang disenaraikan salah seorang daripada 125 pemain bola sepak terhebat dunia oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), Peter Schmeichel, 46, ke negara ini awal Mac lalu ternyata menjadi buruan peminat. Dalam pertemuan singkat, Mingguan Malaysia dipilih melakukan temu bual eksklusif bersama Schmeichel.

Bezanya kali ini, Schmeichel bukan sahaja berkongsi panduan bermain bola sepak dengan baik tetapi bagaimana dia menjaga kesihatan. Lihat sahaja badannya yang masih segak dan gagah walaupun pada usia 40-an. Selain latihan yang gigih, Schmeichel juga mengamalkan disiplin dalam diet dan tidak ketinggalan menghabiskan masa bersama keluarga untuk berehat. Tanpa bergantung kepada suplemen, dia percaya latihan fizikal seperti di gim membantu badan menjadi sihat dan kuat. Bahkan, Schmeichel menasihatkan generasi muda supaya lebih bersungguh-sungguh dalam setiap perkara yang dilakukan. Ikuti kisah Schmeichel yang berkongsi gaya hidup sihat sejak menceburi bidang sukan.

"Saya seorang yang ringkas. Apa yang penting adalah kerja keras. Untuk menjadi pemain bola sepak yang berjaya kita perlu mencapai satu tahap yang tertentu. Ia merupakan kerja 24 jam dan tidak pernah berhenti. Apabila anda bermain di negara seperti England, anda bermain dua perlawanan seminggu. Jika anda bermain untuk negara anda, ia dibawa ke Jun. Anda perlu fokus untuk apa yang anda buat.

"Jika bercuti, setengah orang gemar melakukan sukan air tetapi kami kurang melakukan kerana ia boleh menyebabkan kecederaan. Kecederaan akan menyukarkan pemain terlibat dengan perlawanan seterusnya.

"Bercerita tentang pemakanan, bagi saya, kanak-kanak perlu mendapatkan nutrisi dan vitamin yang cukup. Ini penting agar mereka memperolehi tenaga dan kekuatan melakukan aktiviti harian. Macam saya, susah nak kata. Tetapi saya suka makan. Tentang diet, saya memang berdisiplin.

"Saya sebenarnya bukan seorang yang mengambil suplemen secara rutin. Saya lebih gemar ke gim sejak dulu lagi. Gim bukan sahaja penting untuk tubuh yang sihat tetapi ia memberi kita tenaga. Latihan fizikal amat penting untuk badan.

"Apa yang penting, anda tahu apa yang anda lakukan. Nak makan boleh tetapi kena berhati-hati. Disiplin dalam diet penting jika ingin memiliki tubuh badan yang sihat. Makan dan minum mengikut peraturan amat penting. Selain pemakanan, fikiran yang tenang juga penting. Jika saya terlalu penat dengan kerja, isteri dan anak adalah pengubat segalanya.

"Nasihat saya kepada mereka yang baru hendak berjinak-jinak dalam bidang ini, apabila anda inginkan sesuatu, ia datang daripada diri sendiri. Anda mengeluarkan segala yang terdapat dalam diri. Begitu juga dengan generasi muda, anda perlu tahu apa yang anda inginkan. Anda perlu fokus apa yang anda lakukan. Seperti peserta-peserta rancangan Tiger Futbol Starz anjuran biskut Tiger, mereka mempunyai peluang. Apa yang penting mereka perlu berani mengeluarkan bakat masing-masing.

"Ramai bertanya sama ada anak saya, Kasper, 23 yang turut mengikut jejak langkah saya sebagai penjaga gol, mengikuti saya ke United. Saya tidak tahu sama ada dia akan bermain buat Manchester United (MU).

"Untuk bermain di sana, anda perlu mencapai tahap tertentu. Saya menyertai MU ketika berusia 27 tahun tetapi Kasper sudah membuat penampilan pertama pada usia 17 tahun, keadaan jelas berbeza. Generasi muda sekarang lebih mempunyai peluang yang tinggi. Cuma perlu ada kesungguhan."

Kehidupan baru pesakit Parkinson muda

BAGI Pandirajan Subramaniam, 45 tahun, hidup dengan penyakit Parkinson (PD) sejak berusia 32 tahun telah menyekat kebebasannya, keupayaannya untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang suami dan keseronokannya untuk membesarkan dua orang anak seperti bapa muda yang lain.

Dia merasa ada sesuatu yang tidak kena pada tahun 1998 apabila dia mula mengalami keadaan terketar-ketar dan ketegangan di sebelah kanan badannya. Dua tahun kemudian, telah didiagnos menghidap PD.

Hancur luruh perasaannya apabila diberitahu bahawa dia menghidap penyakit yang tidak boleh diubati yang hanya akan menjadi bertambah teruk. Dia amat terharu dan sebak memandangkan PD biasanya dialami oleh orang tua. Pada ketika itu, dia hanya boleh memikirkan bagaimana dia boleh menyara hidup isteri dan anak-anaknya.

Pada mulanya dia tidak percaya, dan telah menemui ramai doktor serta berjumpa ramai pengamal perubatan tradisional bagi mengubati penyakitnya. Ia benar-benar mengecewakan. Dia masih tidak sembuh walaupun telah menjalani banyak rawatan oleh bomoh. Akhirnya, dia terpaksa menerima hakikat penyakit ini dan pergi mendapatkan rawatan sempurna untuk para pesakit PD.

Walaupun keadaan fizikalnya bertambah lemah, Pandirajan terus bertugas sebagai seorang pekerja penyelenggaraan di kilang penapisan minyak sawit di Johor. Tugasnya amat mencabar dan memerlukannya melaksanakan kerja-kerja pengimpalan, mengangkat dan memindahkan jentera berat. Selepas itu, dia kerap jatuh di tempat kerja dan pertuturannya mula tidak jelas dan menjadikannya sukar untuk berkomunikasi dengan para pekerja lain.

Apabila dia berjalan, ia menjadi semakin laju. Ini menyebabkannya jatuh tersungkur. Ada kalanya, kakinya tiba-tiba menjadi amat berat dan kejang. Pengurusnya bimbang akan keselamatannya dan menasihatkannya supaya berhenti pada tahun 2008. Akhirnya, dia terpaksa berhenti secara medical boarded out dan terpaksa bergantung kepada isterinya yang bekerja sebagai tukang jahit dengan pendapatan RM 700 hingga RM 800 sebulan. Dia berasa bersalah dan amat sedih kerana tidak dapat menyara hidup isteri dan keluarganya.

Walau bagaimanapun, masih terdapat harapan apabila Pandirajan telah dipilih sebagai penerima pertama Lloyd Tan Parkinson's Trust Fund yang menawarkan bantuan kewangan kepada para pesakit PD yang layak daripada kumpulan berpendapatan rendah untuk menjalani pembedahan Rangsangan Otak Dalaman (DBS).

Dia dijadualkan menjalani pembedahan DBS bagi melegakan simptom PD seperti terketar-ketar, ketegangan dan dyskinesia. Profesor terkemuka di dunia, Prof Tipu Aziz dari United Kingdom (UK) melakukan pembedahan pada 6 April lalu di Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Prof. Tipu Aziz, pakar DBS yang berpangkalan di UK, akan berada di Malaysia dari empat hingga 14 April ini bagi menyedarkan orang ramai mengenai prosedur pembedahan DBS.

Pakar neurologi dan pengasas Lloyd Tan Parkinson's Trust Fund, Dr Chew Nee Kong berkata ramai tidak sedar bahawa PD bukan saja dialami oleh orang tua.

"Pesakit sebelum usia 40 tahun dikenali sebagai Penyakit Parkinson Pada Usia Muda (young-onset Parkinson's Disease, YOPD) dan kira-kira 5-10 peratus pesakit PD tergolong dalam kategori ini. Emosi para pesakit YOPD dikatakan lebih terganggu berbanding pesakit tua kerana mereka masih muda dan masih banyak lagi yang perlu dilakukan seperti bekerja, menyara nafkah keluarga dan mengalami kehidupan sosial.

"Para pesakit YOPD merupakan subset khas PD yang memerlukan pendekatan rawatan yang berbeza berbanding kumpulan orang tua. DBS amat disyorkan untuk para pesakit YOPD pada peringkat awal penyakit kerana pembedahan boleh meningkatkan kualiti hidup mereka, keseronokan hidup berkeluarga dan bergaul bersama rakan-rakan tanpa rasa malu kerana tidak berupaya mengawal pergerakan mereka. Namun, DBS memerlukan kos pembedahan yang besar," tambah Dr Chew.

PD adalah sejenis gangguan sistem saraf yang kronik dan progresif yang meningkatkan ketidakupayaan pesakit. Penyakit ini menyebabkan kehilangan upaya simptom motor akibat pengurangan dopamine, neurotransmitter yang menghantar mesej kepada bahagian-bahagian otak yang mengawal pergerakan para pesakit.

Air isotonik bukan ubat demam

Ibu mengandung berisiko

1) Adakah ibu mengandung menghadapi masalah jika dijangkiti denggi?

2) Apakah penyelesaian untuk ibu dan kandungannya, adakah rawatannya sama seperti pesakit denggi yang lain?

Saiful, Alor Setar, Kedah.

Dr. Malik

1) Ya, risiko menghadapi masalah untuk ibu mengandung adalah tinggi kerana ianya boleh melibatkan 2 nyawa jika berlaku pendarahan dalaman.

2) Rawatannya sama seperti pesakit lain, Cuma perlu diberi lebih perhatian untuk mengatasi masalah yang mungkin timbul.

Denggi boleh membunuh

1) Berapa lamakah selepas demam seharusnya saya berjumpa doktor semula untuk mengetahui sama ada saya menghidap demam denggi atau tidak?

2) Selain demam, apakah tanda-tanda lain demam denggi?

3) Benarkah demam denggi boleh membunuh?

Azie, Seremban, Begeri Sembilan

Dr. Malik

1) Seharusnya jumpa dalam dua-tiga hari pertama terutama jika demam adalah teruk dan tidak seperti demam biasa.

2) Perlu berwaspada terhadap ruam merah yang timbul dan jika mengalami kelemahan membuatkan seseorang tidak larat bangun atau membuat aktiviti-aktiviti harian.

3) Sememangnya boleh.

Denggi perlu rawatan segera

1) Apakah yang perlu saya lakukan jika anak saya diserang demam denggi?

2) Bagaimana dengan pemakanan anak saya?

3) Benarkah dengan minum air yang mengandung isotonik boleh bantu menyurutkan demam anak saya.

Zie, Selayang, Kuala Lumpur

Dr. Malik

1) Perlu mendapatkan rawatan doktor dengan segera dan mengikut arahan doktor yang merawat.

2) Perlu tumpukan perhatian kepada kandungan dalam badan, jadi kenalah meminum air sebanyak mungkin. Jikalau tidak dapat makan pada beberapa hari pertama demam, bukanlah masalah besar.

3) Tidak, air isotonik hanya membantu seperti air jernih biasa. Air bukanlah ubat untuk menyurutkan "demam".

Lenguh badan tanda denggi

1) Adakah demam denggi bermula dengan sakit kepala?

2) Benarkah mereka yang diserang denggi mengalami lenguh-lenguh badan?

3) Jika saya pergi berurut untuk mengilangkan lenguh tersebut, adakah ia memberi kesan kepada saya?

Zaki, Shah Alam, Selangor

Dr. Malik

1) Tidak semestinya, hanya boleh bermula dengan demam dan sakit-sakit sendi dan badan juga.

2) Ya.

3) Tidak, harap jangan pergi berurut kerana ia boleh menyebabkan lebam dan pendarahan didalam otot jika urutan dibuat secara "kasar".

Makan bukan punca gemuk

HAIRAN betul tengok Laila. Dia makan banyak tapi badannya kecil dan langsing. ''Kadang-kadang tengok dia makan tak berhenti. Mulutnya asyik mengunyah namun berat badannya tak pernah berganjak,'' kata Naemah kepada saya.

Naemah berasa hairan kerana setelah tiga bulan mengamalkan diet yang ketat dia masih belum mampu menurunkan berat badannya. Sedangkan sahabatnya Laila yang makan banyak tidak pula menjadi gemuk.

Jelaslah bagi kita bahawa faktor makan bukannya sebab yang tepat mengapa seseorang menjadi gemuk. Seseorang menjadi gemuk disebabkan tubuhnya tidak mampu menukar makanan kepada tenaga untuk digunakan. Sebaliknya makanan disimpan menjadi lemak. Orang yang mengalami masalah ini tentu akan berasa letih dan kekurangan tenaga.

Apabila dia makan lebih banyak untuk meningkatkan tenaganya, makanan tersebut terus menjadi lemak pada badan dan dia akan bertambah gemuk.

Adakah berat badan satu masalah bagi anda? Adakah anda sedang mencari-cari panduan yang berkesan untuk menurunkan berat badan? Adakah anda sering mencuba untuk kurus tetapi gagal? Adakah anda berasa kecewa apabila doktor dan para pakar tidak mampu membantu anda menurunkan berat badan?

Sebenarnya anda tidak bersendirian dalam menghadapi masalah ini.

Ramai yang bermasalah dan mencari-cari jalan jalan keluar masalah berat badan. Kerana itulah wujudnya pelbagai perniagaan pelangsingan yang rata rata mengambil peluang ke atas anda. Apabila anda mengunjungi pusat-pusat sebegini dan gagal mereka mempersalahkan anda semata mata. Anda akan dituduh makan banyak dan tidak berdisiplin, atau mereka sekali lagi cuba mengosongkan kocek anda dengan menawarkan sesuatu program yang lebih mahal.

Hakikatnya, anda tidak perlu berbelanja mahal untuk kurus. Anda hanya memerlukan pengetahuan yang baik mengenai jenis makanan yang mampu meningkatkan kadar metabolik dan senaman yang berkesan untuk mencapai berat badan idaman anda.

Bila enzim dan hormon pembakar lemak tidak ada dalam badan kita, sudah tentu badan tidak mampu membakar lemak. Akibatnya berat badan tidak berganjak meskipun berpuasa dan berdiet dengan bersungguh-sungguh. Jadi diet dan kaedah meningkatkan enzim dan hormon badan perlulah seiring.

Perubahan dalam hidup anda

Anda adalah apa yang anda makan. Makan adalah satu daripada nikmat anugerah Tuhan dalam hidup kita. Makanan yang sedap mengghairahkan selera sehingga apabila kenyang kita masih mahu makan. Oleh kerana makanan kita mengandungi banyak lemak dan gula, kita berhadapan dengan masalah pengambilan lebihan gula dan lemak. Kesilapan memilih makanan menjadikan ramai rakyat Malaysia menjadi gemuk. Keadaan ini disebut sebagai klinikal obesiti.

Di negara kita terdapat beraneka jenis makanan hasil integrasi budaya antara penduduk berbilang bangsa. Tidak kurang juga makanan segera dari negara luar. Hampir semua jenis makanan menggoda selera makan kita.

Lebihan berat badan dan obesiti

Mengikut istilah ada perbezaan di antara overweight dan obesiti. Overweight adalah lebihan berat badan daripada yang sepatutnya dari segi saiz kerangka badan.

Misalnya seorang ahli bina badan atau ahli sukan tertentu mungkin mempunyai berat badan yang lebih. Ini kerana kelebihan pada otot berat tulang badan dan kandungan air berbanding orang biasa namun dia tidak mengalami obesiti. Jadi yang dimaksudkan dengan obesiti ialah kelebihan lemak badan.

Jelaslah bagi kita bahawa menimbang berat sahaja bukan satu ukuran yang tepat bagi mengukur tahap obesiti.

Cara yang tepat adalah mengukur ketebalan lemak. Anda boleh mengambil ukur lilit lengan paha dan perut sebelum memulakan program melangsingkan badan. Jadikan ukuran sebagai rujukan anda menentukan keberkesanan program

BMI yang sering di jadikan rujukan ukuran berat adalah tidak tepat dijadikan takat rujukan kerana ia mengambil kira keseluruhan berat kita (berat tulang, otot dan lemak) tanpa mengambil kira amaun lemak dalam badan.

Jadi, apabila anda bersedia untuk memulakan program menurunkan berat badan anda perlu mengambil ukuran ukur lilit pinggang, lengan, dada, leher. Ini lebih tepat berbanding berat semata mata.

Persediaan mental untuk kurus

1) Sudahkah anda memikir dengan teliti mengapa anda mahu mengurang berat badan? Keazaman dan kekuatan minda sangat perlu kerana tanpa keazaman yang kukuh anda tidak mungkin mampu menghadapi cabaran yang hebat sewaktu menjalani proses menurunkan berat badan.

2) Adakah anda ingin mengurangkan berat badan untuk diri sendiri atau untuk orang lain? Mereka yang mahu kurus atas desakan naluri sendiri lebih berjaya pada amnya.

3) Adakah anda bersedia untuk memberi tumpuan dan kesungguhan menukar tabiat, jenis makanan dan aktiviti anda bagi menjayakan rancangan pengurangan berat badan?

Jawapan ya kepada soalan-soalan di atas memberi erti anda bersedia untuk memasuki era baru dalam hidup anda. Semestinya hadiah yang menunggu anda sangat besar ertinya dalam kehidupan anda dan keluarga.

Makanan yang perlu dalam diet

Banyak kalori boleh dikurangkan dengan mengelak makanan berlemak dan bergula. Kalau membeli makanan pilihlah makanan yang labelnya menunjukkan kandungan kalori atau kandungan gula yang rendah. Makan daging merah, daging ayam dan ikan. Makan makanan yang kandungan gula sedikit. Perlu diingat jus buahan juga mengandungi gula yang tinggi. Minuman beralkohol mengandungi kalori yang tinggi.

Makanan yang berkanji dan jenis tenusu patut ada dalam diet harian kerana ia membantu badan kita mendapat zat dan vitamin untuk keperluan kesihatan. Kita juga perlu mengambil bahan dan bijirin sayuran tiap-tiap hari. Dadih, susu kurang lemak, keju dan apa-apa makanan yang mengandungi susu rendah lemak. Kaum wanita perlu mengambil kalsium untuk mengelak reput tulang.

Kaunseling pil diet

Pil diet boleh menyebabkan tekanan darah meningkat ke paras bahaya. Janganlah sekali-kali ambil pil diet tanpa preskripsi doktor kerana tidak berbaloi untuk mendedahkan diri kepada bahaya semata-mata kerana ingin badan yang cantik.

Saya tidak bersetuju dengan pil diet kerana ia hanya boleh menurunkan berat badan buat sementara sahaja. Jika kita tidak berubah sikap dan aktiviti kita, kita akan tetap berhadapan dengan permasalahan sebegini. Pengambilan pil diet tidak harus jadi amalan secara rutin kerana kesan sampingan yang tidak baik.

Jalan utama mengurangkan berat badan adalah mengurangkan pengambilan kalori dan mengambil hanya makanan yang mempunyai glycemic indeks rendah serta bersenam.

Inilah jalan utama untuk membakar kalori dalam badan. Ia cara yang penting untuk mengurangkan berat badan dan mengekalkan berat badan yang dikehendaki.

Senaman dapat menghalang berbagai penyakit dan meningkatkan kesihatan secara keseluruhan. Tidak menjadi hal untuk kita memilih apa sahaja senaman asalkan ia dapat membakar kalori dalam badan kita. Untuk menjadikannya berkesan, senaman hendaklah diikuti dengan amalan pemakanan yang sihat dan seimbang.

Sekurang-kurangnya sehari kita perlu membuat senaman selama 30 minit. Kita perlu tukar gaya hidup pasif kepada gaya hidup aktif. Bila ada peluang untuk berjalan kaki kita berjalan. Bila ada peluang untuk naik tangga kita naik dengan kaki bukan dengan lif atau eskalator.

Kaunseling dalam pemilihan diet selalunya diadakan untuk mengurangkan berat badan. Terdapat dua jenis terapi diet iaitu diet berkalori rendah (800-1500 kalori) harian dan diet yang kalori sangat rendah bawah daripada 800 kalori dengan mengguna cecair protein.

Hentikan memakan makanan yang kaya dengan karbohidrat, pada peringkat permulaan anda akan berasa lapar, cuba alihkan perhatian anda dengan aktiviti yang menyibukkan. Ambil hanya makanan berprotein seperti telur ikan dan berfiber seperti sayur dan buah. Selepas seminggu tubuh anda akan segar dan kembali bertenaga dan lemak akan mula pecah.

Risau minyak ikan tercemar

Isteri saya sedang hamil 4 bulan. Soalan saya adakah DHA sesuai untuk diambil pada masa begini dan ada kerisauan mengenai kemungkinan sumber ikan yang tercemar?

Jawapan

Asid dokosaheksanoik (DHA) dijumpai dalam membran-membran sel di seluruh tubuh, namun konsentrasi yang lebih tinggi dan paling penting untuk fungsi otak, mata dan saraf-saraf. Ia penting semasa kehamilan apabila otak, mata dan saraf-saraf . Janin akan bergantung sepenuhnya kepada ibu mereka untuk mendapatkan nutrien, maka dengan itu wanita hamil seharusnya mengambil jumlah DHA yang mencukupi untuk membolehkan perkembangan otak dan mata yang sepenuhnya.

Pengambilan zat makanan yang baik semasa kehamilan dan penyusuan boleh memberi kesan kepada perkembangan kanak-kanak di kemudian hari. Kajian mendapati kanak-kanak yang dilahirkan oleh ibu yang mengambil DHA semasa hamil dan penyusuan memiliki tahap kecerdasan dan pencapaian yang lebih baik dalam ujian pada usia 4 tahun berbanding dengan kanak-kanak yang dilahirkan oleh ibu yang tidak mengambil DHA.

DHA paling diperlukan semasa trimester ketiga kehamilan, iaitu apabila perkembangan otak janin mengalami perkembangan yang pesat. Namun, pengambilan boleh juga dimulakan pada trimester kedua iaitu apabila janin sudah stabil. Sebarang kekurangan zat semasa trimester kedua boleh dilihat dalam susu ibu selepas bayi dilahirkan.

Ramai yang risau tentang sumber ikan yang tencemar. Oleh itu pilihlah sumber ikan (seperti tuna yang kaya DHA) yang diuji dari persekitaran yang terpilih serta pengedar yang mempunyai reputasi baik. Kombinasi sekitar dua puluh tujuh peratus DHA dan tujuh peratus EPA adalah menyamai kandungan dalam susu ibu dan ideal untuk makanan untuk minda untuk wanita hamil dan ibu menyusu.

Thursday, April 8, 2010

Kesedaran lelaki masih rendah

APABILA membincangkan tentang aspek kesihatan, wanita memang diakui mempunyai lebih 'kesedaran' berbanding lelaki. Ini kerana lelaki mungkin dihalang oleh 'keegoan' yang agak tinggi untuk membicarakan soal penyakit apatah lagi yang melibatkan kesihatan reproduktif.

Mengambil iktibar daripada senario itu, Persatuan Urologikal Malaysia (MUA) dan Yayasan Kontinens Malaysia (CFM) telah berganding usaha untuk mewujudkan kesedaran tentang kesihatan prostat yang menjejaskan kehidupan ramai golongan lelaki di negara ini.

Sebagai memenuhi langkah awal usaha tersebut, satu laman web pengguna, www.men5050.com dan talian bantuan bebas tol (1800-88-5050) beserta buku panduan pesakit mengenai kesihatan prostat telah diwujudkan.

Laman web dan buku panduan tersebut boleh diakses dalam Bahasa Inggeris dengan adaptasi Bahasa Melayu dan Cina bakal diterbitkan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Kerjasama ini mendapat sokongan syarikat pembuat dan pembekal ubat terkemuka, GlaxoSmithKline (GSK).

Presiden MUA, Professor Dr. Azad Hassan Abdul Razack berkata, adalah diharapkan agar dengan adanya bantuan seperti laman web, talian bebas tol dan buku panduan tersebut meningkatkan lagi kesedaran dan pemahaman tentang kesihatan prostat.

Umur meningkat

Di samping itu, ia akan membantu orang ramai untuk mendapatkan rawatan segera apabila mengalami simptom berkenaan sekali gus memperbaiki kualiti hidup mereka.

"Apabila umur meningkat ke separuh abad, sepatutnya mereka boleh melalui hidup yang bebas daripada tanggungjawab kerja dan anak-anak," kata Azad Hassan

Malangnya, ramai daripada mereka mendapati diri dibelenggu masalah prostat seperti benign prostatic hyperplasia (BPH) yang menyebabkan masalah pembuangan air kencing yang amat menyusahkan.

"BPH adalah sejenis penyakit di mana kelenjar prostat membengkak dan menghalang saluran urin yang menyebabkan simptom seperti aliran air kencing yang lemah dan terhenti-henti atau tersekat semasa membuang air kecil atau rasa terdesak dan kerap membuang air kecil.

"Simptom-simptom ini memberi kesan yang ketara terhadap keyakinan, mobiliti dan kebebasan diri seseorang.

" Ini tidak termasuk bagaimana ia juga menjejaskan kehidupan individu lain yang terdekat dengan pesakit seperti isteri, anak-anak dan sebagainya," ujarnya.

Sementara itu, Presiden CFM, Dr. Peter Ng, berkata, berdasarkan penelitian kemungkinan lelaki yang berumur lebih daripada 50 tahun akan mengalami pembesaran prostat adalah sebanyak 50 peratus.

"Kemungkinan tersebut akan meningkat menjadi 90 peratus pada usia 80-85 tahun," katanya ketika memberi ceramah penerangan tentang penyakit tersebut di Tropicana City Mall, Damansara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ceramah tersebut adalah salah satu aktiviti bersempena Karnival Utamakan Keluarga: Sehati Sejiwa Untuk Keluarga yang dianjurkan oleh Persatuan Kemajuan Wanita Selangor, baru-baru ini.

"Bayangkan kesukaran yang dihadapi jika anda terpaksa membuang air kecil hampir di setiap kawasan rehat di sepanjang lebuh raya atau mencari tandas dalam kompleks beli-belah yang penuh sesak.

"Malangnya bagi kebanyakan kaum lelaki ini adalah satu kenyataan yang perlu dihadapi, di mana tidur juga sering terganggu kerana kerap rasa hendak terkencing pada waktu malam," terang Ng.

Kajian menunjukkan, BPH menjejaskan kehidupan kira-kira 50 peratus lelaki yang berusia 50 tahun dan ia lebih lazim dengan meningkatnya usia.

Apabila umur sudah mencecah 85 tahun, ia akan menjejaskan kehidupan kira-kira 90 peratus daripada jumlah lelaki.

"Penyakit ini jelas sekali bersangkutan dengan usia, tetapi ini tidak bermakna kita perlu menerimanya sahaja tanpa sebarang ikhtiar kerana terdapat cara untuk mengubatinya.

Pilihan rawatan

"BPH ialah sejenis penyakit yang boleh dan patut dirawat supaya simptomnya boleh dikurangkan kesannya dan tidak perlu menjadi tumpuan utama dalam kehidupan kaum lelaki," ujarnya.

Mereka yang merana akibat BPH mempunyai banyak pilihan rawatan untuk membantu melegakan simptom-simptom, mengelakkan komplikasi dan mengurangkan keperluan untuk pembedahan.

Jika penyakit dikesan pada peringkat awal, pembedahan adalah cara rawatan yang biasa.

Begitupun terdapat juga kaedah terapi perubatan yang terbukti berkesan seperti penghalang alfa dan penghalang 5 alpha reductase.

"Ini adalah matlamat utama dalam rawatan iaitu untuk mengelakkan komplikasi dan memperbaiki kualiti hidup," katanya.

Walaupun tidak ada cara untuk meramalkan siapa yang akan mengalami risiko lebih tinggi dalam pembentukan komplikasi, data sedia ada menunjukkan bahawa satu pertiga daripada mereka yang merana akibat BPH akan mengalami simptom yang lebih buruk.

Oleh itu, salah satu cabaran besar dalam menangani beban BPH ialah perlunya kaum lelaki mendapatkan diagnosis dan rawatan awal sebelum berlakunya sebarang komplikasi.

Hidup lebih sihat

KEMPEN Jom Lebih Sihat yang diperkenalkan oleh Lifebuoy Malaysia pada awal Mac lalu diperluaskan dengan pelancaran siri jelajah Malaysia baru-baru ini.

Jelajah Jom Lebih Sihat Bersama Amy Mastura & Giant itu akan berlangsung selama lima minggu di lima lokasi yang berbeza di seluruh negara.

Siri jelajah tersebut bertujuan mengukuhkan lagi usaha-usaha Lifebuoy mendidik orang ramai tentang kepentingan kebersihan peribadi melalui penggunaan produk-produk terkini.

Usaha tersebut sedikit sebanyak diharap dapat menjauhkan masyarakat daripada penyakit-penyakit berbahaya yang sedang menular pada hari ini.

Program jelajah ini juga akan merangkumi aktiviti-aktiviti seperti sesi demonstrasi langkah-langkah membasuh tangan yang betul dan peraduan Spin & Win di mana orang ramai mempunyai peluang untuk memenangi hadiah-hadiah menarik

Lifebuoy juga akan mengadakan tawaran hebat dua kali sehari semasa jelajah itu di mana pembeli boleh mendapat satu pek pengisian semula dengan setiap pembelian 1 liter sabun mandi jenama berkenaan.

Menurut Pengurus Bahagian Penjagaan Kulit, Unilever (M) Holdings Sdn. Bhd., Lenny Chuah, kempen Jom Lebih Sihat mencerminkan komitmen yang berterusan kepada masyarakat dalam memastikan semua rakyat Malaysia, tidak kira bangsa, kepercayaan atau status sosial dan ekonomi, sihat sepanjang masa walaupun dalam keadaan risiko kesihatan yang tinggi.

"Dengan kerjasama Giant, yang merupakan salah satu tempat beli-belah terbesar dan penyanyi, Amy Mastura sebagai duta kempen Jom Lebih Sihat, kami mempunyai sasaran untuk menghulurkan lebih banyak bantuan kepada masyarakat untuk memastikan mereka sihat dan bebas penyakit," kata Lenny.

Sementara itu Pengurus Pemasaran, GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd, syarikat yang memiliki Giant, Norine Majaman, percaya kempen sebegini dapat membantu memperbaiki mutu kesihatan seterusnya kehidupan masyarakat.

Beliau berkata, pihaknya berharap dapat memainkan peranan aktif dalam program pendidikan dan kesedaran umum bagi meningkatkan tahap kebersihan diri di kalangan rakyat Malaysia.

Dalam pada itu Kempen Malaysia, Jom Lebih Sihat merupakan sebahagian daripada azam Lifebuoy untuk menggalakkan semua rakyat Malaysia menjalani kehidupan yang lebih sihat serta memberi golongan yang kurang bernasib baik peluang untuk hidup bebas daripada masalah kesihatan melalui pemberian produk-produk penjagaan kebersihan.

Melalui kempen tersebut juga, Lifebuoy akan menyumbangkan sebuku sabun dengan setiap pembelian produk jenama tersebut kepada golongan kurang bernasib baik di Malaysia dari 1 Mac hingga ke 31 Mei 2010.