"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Saturday, June 12, 2010

Rabun silau cetus sakit kepala

Oleh SHANIKA ABDULLATIB



SELAIN rabun dekat dan jauh, rabun silau turut menjadi masalah utama yang dihadapi oleh kebanyakan individu di seluruh dunia.
Bukan saja menyukarkan pengliharan secara normal, rabun silau acapkali mengganggu pemanduan seseorang terutama di waktu malam.
Menurut Pakar Mata Hospital Ampang Puteri, Dr. Rozita Ahmad, tidak ramai yang mengetahui bahawa silau yang dihadapi berpunca daripada dua faktor.
“Kebanyakan silau berpunca daripada astigmatism manakala yang lain berpunca daripada keradangan atau jangkitan pada mata,” jelasnya.
Astigmatism berkait rapat dengan penglihatan menjadi kabur pada semua jarak yang disebabkan oleh permukaan kornea atau kanta tidak sekata.
Apabila keadaan ini berlaku, ia akan menyebabkan pesakit melihat imej yang tidak jelas dan pecah-pecah terutama cahaya pada waktu malam.
Tambah Rozita, astigmatism yang sedikit atau kurang daripada 0.50D biasanya tidak mengganggu penglihatan.
“Namun, sekiranya ia lebih, ia boleh menyebabkan sakit kepala, mata letih dan silau yang kronik. Apabila ini terjadi, pembetulan kornea atau kanta harus dilakukan seperti pemakaian cermin mata atau kanta sentuh khas,” ujarnya.

KEADAAN kornea pesakit rabun silau (kiri). Dengan daya penglihatan yang kabur, ia menyukarkan pesakit terutama memandu pada waktu malam.


Rozita memberitahu, rabun silau boleh berlaku serentak dengan rabun dekat atau rabun jauh dan penyebab kejadian rabun jenis tersebut adalah pelbagai.
Antara faktornya ialah keturunan, kecederaan kornea mata, berlaku selepas pembedahan mata seperti pembuangan selaput katarak, ketumbuhan pada kelopak mata atau penyakit kornea seperti keratoconus.
“Bagi pesakit kencing manis, astigmatism bukanlah satu perkara luar biasa. Ia dikenali sebagai renticular astigmatism, kandungan gula yang berlebihan mampu mengubah bentuk kanta pesakit.
“Bagi pesakit diabetes yang mengalami rabun silau, mereka dinasihatkan agar tidak menjalani pembedahan terlebih dahulu,” katanya.
Bukan fotofobia
Dalam pada itu, Rozita menjelaskan, rabun silau boleh terjadi pada semua peringkat umur. Penghidap akan menyedari masalah astigmatism yang dihadapi apabila berasa tidak selesa terhadap cahaya terutama bagi mereka yang selalu memandu di waktu malam.
Namun ujar Rozita, terdapat perbezaan yang jelas antara mereka yang mengidap astigmatism dan fotofobia.
“Melalui pemeriksaan penglihatan, ujian permukaan kornea dan pantulan, pakar mata akan mengetahui sama ada pesakit tersebut mengalami rabun silau atau fotofobia,” terang Rozita.
Di samping itu, berbeza dengan penghidap jenis rabun yang lain, kadar peningkatan kerabunan mata bagi pengidap astigmatism amat perlahan dan lebih stabil.

PERMUKAAN kornea pesakit astigmatism (kiri) yang berntuk seperti bola ragbi dan tidak sekata.


Senam mata
Selain daripada penggunaan cermin mata, RGP yang menggunakan teknik orthokeratology iaitu memakai kanta sentuh separa keras semalaman bagi membentuk semula kornea menjadi rawatan alternatif bagi memperbaiki keadaan rabun tersebut.
“Teknik senaman yang dikenali Eye-Robic merupakan pilihan terbaik dalam merawat permukaan kornea dan kanta ini. Malah, ia membantu melegakan ketegangan pada otot mata,” katanya.
Bagi kes-kes tertentu, rawatan Photorefractive keratectomy (PRK), Laser-Assisted Sub-Epithelial Keratectomy (LASEK) atau Laser-assisted In Situ Keratomileusis (Lasik) akan digunakan.
“Dalam kes yang serius, pengimplanan kanta atau kornea (Restore) dilakukan bagi memulihkan tahap penglihatan pesakit,” jelasnya.

Cergas pada usia emas






SEPERTI lazimnya, dia akan bangun seawal pukul 5.30 pagi untuk menghirup udara segar sambil memanjat kesyukuran kerana masih bernafas untuk meneruskan kehidupan.
Meskipun rutinnya agak ketat, dua keping roti serat disapu mentega dan sebiji pisang pasti akan dijamahnya sebagai sarapan pagi.
"Jika tidak pun saya akan makan biskut gandum dan minum secawan kopi. Semua ini menjadi kemestian bagi saya untuk memulakan hari dengan penuh tenaga," ujar penyanyi dan penghibur terkenal, Anita Sarawak.
Anak kepada pasangan seniman S. Roomai Noor dan Siput Sarawak yang mesra disapa sebagai Kak Nita itu telah menjangkau umur 58 tahun. Membiasakan rutin harian yang sibuk sejak karier seninya bermula ketika dia berumur 15 tahun, Anita mendakwa itu telah menjadikannya individu yang berdisiplin.
Penyanyi yang pernah popular dengan lagu Dengar Ini Cerita tidak menafikan setiap manusia mendambakan kesempurnaan, kecantikan dan hidup sihat.
"Apabila kita menjangkau umur 50-an kita akan sentiasa risau. Idea penuaan mula membelenggu kita. Namun, sudah menjadi tradisi dan realiti bahawa setiap manusia tidak mampu lari daripada kitaran tersebut. Sekiranya bijak, kita mampu melambatkan proses tersebut," katanya.
Kalau ditanya apakah rahsia Anita yang kelihatan jauh lebih muda daripada usia sebenarnya, Anita menjawab, selain mengambil pendekatan menjaga kesihatan dalaman dan luaran, dia juga sering berfikiran positif.
Hakikatnya, tekanan dan rutin harian tidak pernah padam dalam kehidupan setiap orang. Tekanan membuatkan seseorang letih dan tidak bermaya.
"Maka, terapkan diri dengan kegembiraan. Ia bergantung kepada diri sendiri dan cara anda mengawalnya," terang Anita yang suka bercucuk tanam.





Dalam diet sehariannya, penyanyi tersebut lebih menggemari makanan yang dibakar dan dikukus. Seminggu dalam sebulan dia akan mengamalkan diet sayur-sayuran.
Makanan yang mengandungi protein pula lebih banyak diambilnya berbanding karbohidrat. Pada masa yang sama, Anita jarang menyentuh menu daging.
Sebagai langkah menjaga pengambilan makanannya, Anita memberitahu bahawa dia tidak akan menjamah makanan selepas pukul 8 malam. Dia juga mengamalkan minum lapan hingga lima belas botol air mineral sehari dan memastikan sekurang-kurangnya terdapat sebotol air kosong di tepi sudut katilnya sebelum tidur.
"Untuk mencapai stamina semasa menjayakan persembahan, saya akan menghabiskan masa di antara 20 hingga 30 minit setiap hari menggunakan mesin kardiovaskular," ujarnya.
Melakukan aktiviti fizikal dan berpeluh amat penting kerana ia dapat menyingkirkan toksik dalam tubuh.
Bagi Anita, melakukan kerja rumah seperti menyapu atau mengemop lantai, mengemas rumah dan menaiki tangga juga adalah aktiviti yang menyihatkan daripada langsung tidak berbuat apa-apa.
Tambah Anita: "Setiap enam bulan sekali, saya akan menjalani pemeriksaan kesihatan. Kita hanya berjumpa doktor apabila kita sakit. Bukankah lebih baik jika kita dapat mencegahnya terlebih dahulu?"
Daya ingatan
Melihat dari perspektif figura lain, mungkin ramai yang ingin mengetahui rahsia sejarawan negara, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim mengasah daya ingatan yang kuat pada usia 73 tahun.


PEMAKANAN yang sihat dan seimbang mengikut kawalan tertentu adalah antara kunci kesihatan warga emas.



"Sebenarnya, saya tiada jawapan kerana saya hanya membaca setiap hari. Dengan membaca, kita bukan sahaja mendapat banyak maklumat malah dapat menjana pemikiran.
"Otak akan bertindak menyimpan maklumat apabila ia membabitkan pemikiran kritis. Apa yang perlu adalah menfokuskan kepada sesuatu," katanya yang mahir dalam bidang sejarah selama enam dekad.
Kay Kim berpendapat, mengkaji dan menghayati sejarah itu mampu menambah kecerdasan seseorang. Akal seseorang akan menjadi semakin tajam, berpandangan jauh, cekap dan sentiasa memikirkan kesan jangka panjang bagi setiap tindakan, isu dan peristiwa.
"Otak kanan yang terlibat dengan imaginasi dan pemikiran kreatif mampu diasah dengan fakta sejarah. Ia juga membantu meningkatkan penggunaan kuasa otak sepenuhnya," kata Kay Kim.
Bahan bacaan sejarah juga membantu meningkatkan kemahiran menganalisis, membanding, meramal dan membuat kesimpulan. Secara tidak langsung, ia membantu meningkatkan kemahiran logik dan kreativiti.
Rasional dalam menentukan atau menyingkap rahsia panjang umur sukar untuk didefinisikan memandangkan sifatnya yang subjektif. Namun, amalan pemakanan sihat antara penyumbang atau faktor ke arah matlamat tersebut.
Diet sihat
"Pemakanan yang mengikut konsep piramid makanan hakikatnya memenuhi keperluan diet sihat manusia. Pada masa yang sama, ia mengelakkan kekurangan atau pengambilan zat berlebihan yang boleh menyumbang kepada risiko penyakit," kata Pakar Kesihatan Usia Pusat Perubatan Pantai, Dr. Rajbans Singh.
Apakah makanan yang sesuai untuk warga emas? Golongan tersebut, kata Rajbans, seharusnya mengambil pelbagai jenis makanan kerana tiada satu jenis makanan pun yang boleh membekalkan kesemua zat keperluan tubuh.
"Makanan yang mengandungi kanji seperti nasi, roti, mi dan ubi dapat membekalkan tenaga. Pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan pula dapat membekalkan vitamin, mineral dan serat bagi mencegah masalah seperti sembelit.
"Apabila usia meningkat, tulang mudah reput. Jadi makanan yang tinggi kalsium seperti susu rendah lemak, ikan bilis, tauhu, tempe dan sayuran berdaun hijau perlu diambil. Pada masa yang sama, nasihat daripada pakar pemakanan masih diperlukan dalam menentukan corak diet tersebut," terangnya.


ANITA (kanan) masih menunjukkan persembahan dan aksi yang bertenaga, sama seperti gandingannya, Sheila Majid, mengalahkan artis-artis lain yang jauh lebih muda daripadanya.



Sayur-sayuran bertindak sebagai antioksida dan merupakan zat penting yang dapat mengurangkan kesan negatif radikal bebas. Radikal bebas itu bertindak sebagai bahan reaktif yang berupaya memusnahkan sel membran, tisu dan organ.
Selain itu, pengambilan multivitamin boleh membantu kita menjalani kehidupan dengan lebih yakin.
"Bagi memastikan tubuh menjalankan fungsinya dengan betul, kita digalakkan mengambil suplemen dalam bentuk multivitamin. Apabila umur menjangkau 50 tahun, pengambilan nutrisi perlu selaras dengan gaya hidup," ulas Rajbans.
Perubahan gaya hidup turut mempengaruhi motivasi seseorang untuk bersenam. Meskipun begitu, masih belum terlambat bagi mereka yang berumur lebih 50 tahun untuk mengekalkan kecergasan mereka dengan melakukan aktiviti yang sesuai dengan usia mereka.
"Pada peringkat permulaan, aktiviti berjalan kaki dan melakukan aerobik (berintensiti rendah) di antara 10 hingga 15 minit sudah memadai," kata Ahli Fisioterapi Persekutuan Bola Sepak Malaysia, Mohd. Nasrul Ahmad Tajuddin.
Walaupun senaman penting untuk kesihatan, seseorang perlu tahu keupayaan badan dan tidak perlu terburu-buru untuk mencapai kecergasan yang maksimum terutama apabila sudah berusia.
Secara ringkasnya, manfaat daripada bersenam adalah sebagai pelengkap rawatan dan menjadi agen pengawal semua penyakit gaya hidup.
"Selain melancarkan aliran darah, mengawal tekanan dan paras gula dalam darah, senaman juga mampu meningkatkan daya ingatan dan membuatkan seseorang itu kelihatan awet muda," tambahnya.

Berusia tetap menarik

BARU-baru ini saya dikunjungi wanita berusia 50-an. Tanpa sebarang temujanji, beliau muncul di klinik. Katanya dia datang dari Melaka. Untuk tidak menghampakan hasratnya yang datang dari jauh pembantu saya Amy Lisa terus membawanya berjumpa saya.
Wanita berhemah tinggi itu memperkenalkan dirinya sebagai Azah. Katanya dia sudah lama berhajat untuk bertemu saya dan berbesar hati kerana dapat melaksanakan hasratnya.
Dia datang ditemani anak dan menantunya. "Suami saya banyak urusan. Insya Allah saya ajak dia datang,'' jawabnya bila ditanya perihal suaminya.
Azah terus merujuk masalah yang mengganggu kehidupannya sejak akhir-akhir ini. Dia menunjukkan mukanya yang mempunyai banyak garisan dan lekuk di sana-sini. Mulutnya tidak henti-henti bertanya bagaimana mahu mengurangkan garisan tersebut. Dia juga memberitahu telah mencuba pelbagai krim tetapi tidak berhasil.
Saya meneliti wajahnya. Bahagian bawah mata berlekuk tidak sekata. Dalam istilah perubatan estetik masalah tersebut dinamakan eye bag. Garis halus dan kasar memenuhi dahi. Pipinya masih tegang tetapi terdapat kesan lekuk di kiri kanan bibir. Ia memberi kesan wajah murung dan senyuman yang terukir tidak nampak serinya.
Pada mata pula terdapat banyak kesan kedut yang membuatkan dia kelihatan kurang menarik. Mata yang berkedut membuatkan seseorang kelihatan mengantuk. Masalah seperti ini kerap melanda mereka yang berkulit kering. Oleh kerana kelembapan kulit sukar dikawal, kulit akan tampak cepat tua dan berkedut. Mereka yang kulit berminyak pula beruntung kerana lambat sedikit mengalami masalah kulit berkedut.
''Saya tahu saya dah tua. Saya pun bukan nak jadi muda tapi saya tak suka bila semua orang yang memandang saya pasti bertanya kenapa saya kelihatan terlalu sedih. Padahal saya seorang yang riang. Agaknya air muka saya melambangkan kesedihan. Garis-garis pada wajah saya menyebabkan saya kelihatan seperti orang runsing. Cuba tengok garis pada kening saya . Ia membuatkan wajah saya tampak berkerut sentiasa,'' panjang celoteh nenek kepada sepuluh cucu itu.
Penampilannya juga menyebabkan dia digeruni oleh cucu-cucunya.
Memang benar kita semua tidak dapat lari daripada menjadi tua namun wajah yang terlalu berkedut amat tidak menyenangkan dan membuat seseorang mudah berasa rendah diri.
Saya menerangkan kepada beliau wajah kita umpama topeng muka. Ia boleh kelihatan manis atau masam bergantung kepada garisan dan lekuk pada muka. Wajah melambangkan perasaan muka. Kita dianugerahkan mimik muka bagi menzahirkan apa yang kita rasa menerusi wajah.
Apa yang perlu dilakukan adalah menaikkan pipi dan menghapuskan garisan yang amat ketara itu. Jika kita meletakkan semula kedudukan pipi dan mulut ke aras yang sepatutnya, maka sudah tentu muka akan tampak manis dan seolah-olah tersenyum. Justeru garisan dan lekuk pada wajah perlu dibetulkan jika seseorang mahu kelihatan berwajah riang.
Apabila usia meningkat, otot otot muka akan kendur dan menjadi kurang elastik di samping kolagen semulajadi juga akan hilang. Pigmentasi mula berlaku terutamanya pada kedua pipi. Hal ini terjadi kerana faktor kekurangan hormon progestron dalam badan.
Rawatan
Saya membuat rawatan secara berperingkat untuk membantu Azah mengatasi masalah yang dihadapinya.
Peringkat pertama adalah memasukkan filler hyaluronic bagi menggantikan semula kolagen yang hilang dari kulit.
Dengan hyaluronik filler saya mula mengisi ruang kosong akibat kehilangan kolagen.
Hasilnya wajah Azah kelihatan kembali tegang. Lekuk-lekuk yang membuat muka tampak kendur lenyap dan wajah kembali segar. Langkah kedua adalah dengan teknik serdev suture (telah diulas dalam isu-isu sebelum ini) untuk mengangkat semula kulit wajah kendur.
Selepas serdev suture, pipi kelihatan terangkat ke kedudukan yang lebih tinggi sedikit dan kening yang jatuh turut terangkat dengan cantik.
Selepas itu saya menggunakan anti kedutan bagi menghapuskan kesan kedutan dan laser resurfacing bagi meningkatkan keanjalan wajah.
Terdapat banyak jenis hyaluronik yang boleh digunakan untuk mencantikkan struktur wajah dan tubuh badan seseorang. Ada sistem hyaluronik yang boleh bertahan selam enam bulan, setahun dan terdapat juga yang bertahan selama lima tahun. Ketahanannya bergantung kepada jalinan asid hyaluronik yang digunakan.
Hormon bioidentical
Bagi meningkatkan paras hormon wanita menopaus, saya mencadangkan penggunaan hormon bioidentical yang mudah iaitu secara sapuan sahaja bagi menggantikan hormon yang berkurangan dalam tubuh.
Apabila hormon rendah seorang wanita akan berasa agak tertekan perasaannya, murung dan bosan meskipun tiada sebab yang munasabah. Apabila paras hormon ditingkatkan dia akan berasa lapang dan kembali ceria.

Tampilkan kaki menawan

APABILA memperkatakan tentang penjagaan diri, tumpuan sering diberi kepada wajah. Manakala kaki kurang diberi perhatian biar pun anggota badan itu amat penting untuk melengkapkan penampilan seseorang.
Oleh itu dalam tata rias diri, penjagaan kaki sepatutnya dimasukkan dalam senarai rutin harian yang mesti diberi perhatian. Sesekali apa kata manjakan kaki dengan rawatan yang dibuat sendiri di rumah.

  • Rendam kaki dalam air suam yang dicampur garam galian kira-kira 10 minit. Letak juga guli di dalam mangkuk berisi air tersebut. Pijak guli-guli itu dengan pergerakan ke hadapan dan belakang serta tekan sedikit tapak kaki kerana ia memberi kesan urutan yang melegakan. Gosok kaki dengan batu sungai untuk menanggalkan kulit mati pada kaki. Selepas direndam dan digosok, bersihkan kaki dan urut dengan krim pelembap.

  • Sedikit jus lemon dalam air rendaman membantu menyegarkan kaki.

  • Kelopak mawar bersama beberapa titik pati minyak lavender menjadikan rawatan kaki umpama spa di rumah.

  • Untuk merawat kesan retak dan pecah pada tumit cuba kaedah ini. Sapu vaselin pada tumit dan sarung stokin. Dalam beberapa minggu, tumit menjadi lembut dan kesan rekahan akan hilang.

  • Sapu campuran jus lemon yang segar, minyak castor dan pati ros pada tumit selepas membersihkan kaki. Gabungan bahan tersebut membantu melicinkan tumit.

  • Sapu minyak zaitun dengan kerap untuk kulit kaki yang lembut dan menarik.

  • Parut kulit lemon dan sapu pada kaki. Biarkan 15 minit sebelum dicuci. Amalkan setiap hari untuk kesan yang memuaskan.

  • Rawatan panas dan sejuk turut membantu melancarkan peredaran darah. Mula-mula rendam kaki di dalam air suam, kemudian alih kepada air sejuk. Buat selama 5 hingga 10 minit. Akhiri proses tersebut dengan air sejuk.

  • Elak pakai kasut bertumit. Tukar stokin setiap hari untuk elak masalah kaki berbau. v

  • Didihkan tiga cawan air bersama tiga uncang teh. Campur dengan setengah baldi air sejuk dan rendam kaki untuk atasi masalah kaki berbau.

  • Luangkan beberapa minit setiap hari untuk mengurut kaki anda dengan minyak kelapa.

  • Setiap kali selepas mandi, lap kering celah-celah kaki untuk menghindari jangkitan kulat.

  • Perah jus lemon, campurkan dengan sedikit gula dan gosok pada kaki secara lembut. Cuci dengan air sejuk. Campuran bahan tersebut mampu bertindak sebagai skrub kaki.

  • Elak gigi sensitif

    Pernahkah anda merasa denyutan ngilu pada gigi apabila minum air sejuk, menikmati manis-manisan atau ketika menghirup sup panas? Bagaimana pula dengan ais krim bercampur kek coklat yang anda idamkan, tetapi tidak berani untuk merasa kerana takut terasa sakit pada gigi anda? Jiika ya, anda mungkin mengalami masalah gigi sensitif atau kehiperpekaan dentin (dentine hypersensitivity).
    Gigi sensitif adalah keadaan yang sering dialami hampir 57 peratus pesakit gigi di dunia.
    Berdasarkan Kajian Omnibus Colgate Malaysia, 14 peratus rakyat Malaysia mengadu mengalami masalah gigi sensitif. Isu gigi sensitif ini juga kian mendapat perhatian dan menjadi keprihatinan orang ramai kerana ia sememangnya menjejaskan mutu kehidupan seharian.
    Masalah gigi sensitif ini bukan saja mengekang gaya hidup, tetapi ramai yang dirundung masalah ini terpaksa menahan kesakitan dan mereka sering enggan berjumpa dengan doktor gigi kerana takut akan kesakitan yang akan dialami.
    Gigi sensitif adalah ketidakselesaan pada sebatang gigi atau lebih, yang disebabkan oleh makanan dan minuman yang panas, sejuk, manis atau masam, ataupun hanya setakat dengan menghirup udara sejuk. Rasa sakit biasanya tajam dan mendadak, dan boleh menusuk dalam sehingga ke hujung saraf gigi anda.
    Dalam pada itu, kehadiran produk penjagaan oral berkaitan gigi sensitif di pasaran mungkin membantu golongan ini menikmati pelbagai hidangan enak tanpa batasan.
    Misalnya, kehadiran jenama ubat gigi yang telah terbukti secara klinikal, Colgate Sensitive Pro-Relief untuk merawat masalah itu dengan cepat dan kekal lama.
    Produk ini dibangunkan melalui teknologi Pro-Argin yang berupaya untuk menghalang menghindari penghantaran saraf rasa panas, sejuk, udara dan tekanan ke reseptor sakit pada gigi.
    Presiden Persatuan Pergigian Malaysia (MDA), Dr. Lee Soon Boon berkata, dengan adanya produk ini, masyarakat Malaysia yang mengalami masalah gigi sensitif boleh mendapat kelegaan cepat tanpa perlu ke klinik.
    Keberkesanannya dapat dilihat apabila pengguna mengalami kelegaan segera dengan hanya menyapu ubat gigi itu ke bahagian yang berkaitan sambil mengurut dengan hujung jari selama seminit.
    Maklumat lanjut mengenai masalah gigi sensitif dan produk Colgate Sensitive Pro-Relief boleh didapati dengan melayari laman web www.colgatesensitiveprorelief. com.my.

    Risiko kurang Vitamin E pada perokok

    Penemuan ini terdapat dalam penyelidikan mengenai vitamin E oleh Institut Linus Pauling di Universiti Oregan State yang diterbitkan dalam Jurnal Klinikal Nutrisi Amerika isu Januari 2005.
    Pengurangan gama tokoferol dengan cepat dalam perokok berbanding bukan perokok sekali gus boleh menyebabkan kanser. Ini kerana rokok menghasilkan radikal bebas yang menggalakkan kanser. Ia terjadi apabila vitamin E di dalam paru-paru dan tisu badan yang lain akan meneutralkan radikal bebas tersebut.
    Tidak seperti alfa tokoferol, gama tokoferol adalah pelindung mujarab daripada nitrogen oksida yang sangat aktif dan berbahaya kepada badan. Kajian terkini sepatutnya memadai untuk mendorong perokok supaya tidak memandang ringan perihal gama tokoferol.
    Pengambilan harian vitamin E telah lama diakui dalam merendahkan risiko mendapat penyakit degeneratif. Walau pun kebanyakan kajian yang telah diterbitkan tertumpu kepada kesan alfa tokoferol daripada vitamin E, saintis kini semakin mengalihkan perhatian mereka kepada gama tokoferol.
    Gama - anti oksida yang sangat mujarab
    Satu kumpulan penyelidik mendapati gama tokoferol, yang ditemui dalam gabungan tokoferol, nyata lebih berkesan berbanding alfa tokoferol untuk menghentikan tindakan peroksi nitrit (peroxynitrite) yang merupakan agen oksida yang kuat dan berbahaya. Oleh itu, gama tokoferol dapat melindungi sel daripada gangguan genetik dan karsinogenik (penyebab kanser) daripada nitrogen reaktif. Nitrogen reaktif mendorong kepada berlakunya arteriosklerosis dan gangguan saraf. Oleh kerana asap rokok mengandungi banyak nitrogen dioksida yang boleh ditukarkan menjadi karsinogen, gama tokoferol boleh menghalang tindakan nitrogen dioksida dan menghalang pembentukan karsinogen.
    Alfa menyingkirkan gama tokoferol badan
    Penyelidikan terkini mendapati pengambilan alfa tokoferol yang tinggi mengurangkan paras gama tokoferol dalam darah. Pengguna yang prihatin tentang kesihatan termasuk perokok yang mengambil suplemen vitamin E (hanya mengandungi alfa tokoferol) perlu menimbangkan semula perkara ini. Seperti yang telah disebutkan, kebanyakan suplemen vitamin E membekalkan hanya alfa tokoferol. Bukti terbaru mencadangkan suplemen sahaja tidak memadai.
    Kumpulan penyelidik Universiti California, Berkeley mendapati sudah tiba masanya untuk mengehadkan pandangan bahawa hanya alfa tokoferol penting. Lebih banyak kajian perlu dilakukan ke atas gama tokoferol, iaitu satu bentuk lain vitamin E yang lebih berfaedah.
    Gama lindungi perokok daripada strok dan serangan jantung
    Beberapa kajian membuktikan manfaat vitamin E penting dalam mengurangkan penyakit kardiovaskular dan kematian akibat serangan jantung, walaupun ada kajian lain yang gagal menemui hasil yang sama. Perselisihan pendapat mungkin disebabkan hanya alfa tokoferol yang dikaji dan gabungan tokoferol (terutamanya gama tokoferol) tidak diambil kira.
    Ini juga mungkin menjelaskan mengapa vitamin E yang diambil daripada makanan lebih berkesan berbanding suplemen vitamin E biasa yang hanya mengandungi alfa tokoferol. Makanan membekalkan spektrum vitamin E yang lebih menyeluruh berbanding suplemen vitamin E biasa.
    Mendapatkan yang terbaik daripada suplemen vitamin E
    Sama ada anda merokok atau tidak, dinasihatkan supaya memastikan suplemen vitamin E yang diambil mengandungi gabungan alfa, beta, gama dan delta tokoferol. Ini kerana kesemuanya berfungsi lebih baik (sinergistik) secara berkumpulan, untuk perlindungan yang lebih baik dan manfaat kesihatan yang maksimum.

    Penawar baru hipertensi

    TEKANAN darah tinggi (hipertensi) digelar "pembunuh senyap" kerana tidak menunjukkan apa-apa simptom pada peringkat awal tetapi menyebabkan bilangan kematian yang tinggi di kalangan penduduk di seluruh dunia.
    Keadaan itu terjadi apabila darah dalam badan mengalir menerusi saluran darah pada tekanan lebih tinggi daripada biasa. Ia menyebabkan kerosakan arteri, buah pinggang, otak dan organ-organ penting yang lain. Hipertensi biasanya membawa kepada kegagalan jantung dalam jangka masa panjang.
    Dianggarkan bahawa hampir satu bilion pengidap penyakit tekanan darah tinggi di peringkat global dan hampir 70 peratus daripada mereka tidak mencapai tahap tekanan darah yang sihat.
    Di Malaysia, empat daripada 10 orang dewasa merana akibat tekanan darah tinggi dengan hanya 26 peratus pesakit mempunyai tekanan darah yang terkawal.
    Di kalangan doktor, cabaran terbesar adalah mencapai tahap tekanan darah yang terkawal terlebih dahulu dan kemudian mengekalkannya pada tahap yang stabil.
    Ini bererti bahawa pesakit tekanan darah tinggi hidup dengan risiko komplikasi seperti serangan jantung, penyakit strok, kegagalan buah pinggang, buta dan maut.
    Faktor itu menuntut terapi baru bagi tekanan darah tinggi.
    Menurut Pakar Runding Kardiologi dan Presiden Persatuan Jantung Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr. Sim Kui Hian, pesakit yang sudah mengambil ubat lain, tetapi tidak mencapai matlamat tekanan darah mereka boleh mencuba Rasilez®. Ia mampu mengurangkan tekanan darah yang lebih apabila ditambah kepada terapi sedia ada.
    "Rasilez® adalah sejenis ubat yang menyasar terus kepada sumber tekanan darah tinggi, iaitu enzim renin. Oleh itu Rasilez® berfungsi dengan baik biarpun bersendirian atau dengan ubat-ubat yang lain.
    ''Ia membawa harapan kepada pesakit, walaupun mereka yang belum mencapai kawalan dengan ubat yang lain," kata Ketua Perubatan dari Denmark, Profesor Hans-Henrik Parving.
    Pihak Berkuasa Kawalan Dadah Malaysia telah mendaftarkan Razilez® untuk merawat tekanan darah tinggi secara sendirian atau kombinasi dengan ubat-ubat tekanan darah tinggi yang lain berdasarkan data dari lebih 7,800 pesakit dalam 44 ujian klinikal.
    Sembilan daripada 10 pesakit kadang-kala terlepas satu dos. Dengan Rasilez®, pesakit diberikan perlindungan dengan mengekalkan 91 peratus keberkesanan tekanan darah selepas satu dos yang terlepas.
    Rasilez® tergolong dalam kelas ubat baru yang dipanggil penghalang renin langsung. Ia bertindak dengan menyekat RAAS iaitu sejenis enzim yang mencetuskan satu proses yang boleh mendorong kepada tekanan darah tinggi. Apabila digunakan secara sendirian, Rasilez® menunjukkan lebih banyak pengurangan tekanan darah dari enzim penghalang pengubahsuai angiotensin (ACE), ramipril dan diuretik, hydrochlorothiazide (HCT) .
    l Ubat baru ini menerima pendaftarannya yang pertama pada Mac 2007 dari Pentadbiran Makanan dan Dadah AS di bawah jenama Tekturna® dan di Kesatuan Eropah pada Ogos 2007 dengan nama dagangan Rasilez®.

    Dunia terasa lebih terang – Patricia

    SETIAP kali berdepan dengan tugas, saya mula rasa risau. Saya perlu menggunakan mata dengan cekap pada jarak dekat. Kebetulan saya bekerja memasukkan data pelanggan di Pusat Pakar Mata Vista (Vista). Kadang-kadang saya berdepan dengan masalah tersalah memasukkan maklumat mereka terutama nombor kad kredit. Masalahnya, saya tidak dapat membaca nombor dan perkataan yang kecil,” luah Patricia Lai yang mengalami masalah penglihatan ketika membaca.
    Selain itu, otot mata wanita berusia 45 tahun ini sering kepenatan kerana membaca angka yang kecil. Masalah tersebut semakin rumit apabila usianya semakin meningkat. Walaupun dia tidak mempunyai masalah penglihatan yang serius , Patricia berusaha memperbaiki masalah ini.
    Baginya, ia menghalang dia melakukan kerja dengan lancar.
    Mujurlah, syarikat di tempat dia bekerja, Vista memperkenalkan inlai Kamra keluaran AcuFocus, peralatan perubatan inovatif terkini dari Amerika. Ia merupakan inlai kornea yang mengembalikan keupayaan penglihatan untuk membaca bagi penghidap presbyopia (rabun dekat).
    Berkongsi pengalaman mengenai terapi mata baru ini, Patricia bersyukur kerana tidak menghadapi sebarang kesukaran. Walaupun kesannya bukanlah dalam kadar segera, dia merasai perubahan. Dunianya kini terasa lebih terang.
    “Pada hari pertama dan kedua selepas menjalani rawatan ini, kesan masih kurang jelas. Namun, penglihatan saya semakin jelas pada hari ketiga. Hari berikutnya, penglihatan kembali rabun. Tetapi ia semakin pulih dan kini saya mampu membaca angka kecil dengan jelas,” ujarnya.
    Dengan adanya alternatif perubatan mata ini, Patricia lebih berasa yakin kerana dapat mengembalikan penglihatan untuk membaca dalam apa jua keadaan.
    Kini, dia boleh membaca jam tangannya dengan jelas.
    “Terima kasih kepada Dr Aloysius dan kakitangan Vista. Saya tidak perlu menjalani pembedahan katarak. Cukup dengan rawatan Kamra selama 20 minit, ia mengubah kehidupan saya,” ujarnya.
    Dalam pada itu, Ketua Perunding Pakar Bedah Oftalmik Vista, Dr. Aloysius Joseph Low memberitahu, majoriti orang dalam lingkungan 40-an akan mengalami pengurangan kualiti penglihatan untuk membaca yang dikenali sebagai presbyopia.
    Tambah beliau, presbyopia berlaku kerana lensa dan otot semulajadi mata kita menjadi terlalu tegang untuk memfokus kepada objek yang dekat. “Ini bermakna jarak penglihatan masih jelas, tetapi objek yang dekat kelihatan kabur. Ini memberi kesan yang besar terhadap kualiti hidup. Misalnya, membaca objek kecil seperti di telefon bimbit dan 'iPad' yang terbaru,” ungkapnya.
    Beliau menjelaskan secara lazimnya, terdapat beberapa cara lain untuk membantu penghidap presbyopia. Malangnya, sebahagian prosedur ini tidak mempunyai kesan jangka masa panjang atau berkemungkinan menjejaskan penglihatan jarak jauh pesakit.
    Selain itu, Kamra membantu penghidap presbyopia dalam mendapatkan kembali gaya hidup aktif mereka tanpa menjejaskan jarak penglihatan dekat dan jauh. Konsep ini sangat mudah, dan prosedurnya tidak merumitkan.
    Ia boleh dilakukan bersama prosedur lasik dan tidak akan menjejaskan kesesuaian pesakit untuk prosedur pembedahan untuk membaiki penglihatan di masa hadapan, contohnya seperti pembedahan katarak.

    Psikologi peminat bola

    ANDA kaki bola? Serba salah nak ambil cuti sakit atau cuti tahunan? Selepas sahaja menyaksikan perlawanan Afrika Selatan menentang Mexico, ada temu janji pula bersama rakan-rakan di kedai makan. Perlawanan yang sepatutnya tamat pada pukul 12 tengah malam, berlanjutan hingga lewat pagi. Balik rumah, si isteri pula merajuk. Pening dengan situasi ini, suami masuk bilik dan tidur. Beginilah dilema yang sering dialami oleh peminat-peminat Piala Dunia tanah air. Kehadirannya selepas empat tahun mengundang keresahan seisi keluarga. Minggu ini, Pakar Perunding Psikiatri Hospital Pantai Ampang, Dr. Daniel Zainal Abdul Rahman berkongsi pengalamannya tentang kesan demam Piala Dunia.




    Menurut Dr. Daniel, Piala Dunia tidak memberi kesan negatif terhadap kesihatan seseorang sama ada fizikal atau mental. Faktor yang menyebabkan tanggapan ini terjadi ialah persekitaran dan tingkah laku peminat bola sepak itu sendiri.



    Tambah beliau, pernah terjadi seorang peminat fanatik Piala Dunia tiba-tiba diserang sakit jantung akibat terkejut dengan kekalahan pasukan kegemarannya. Namun, Dr. Daniel menambah, mereka yang berisiko tinggi seperti pesakit jantung dan darah tinggi perlu mengawal emosi.



    "Emosi mempunyai istilah yang luas. Berkaitan dengan kemudaratan menonton Piala Dunia kepada pesakit jantung, ia sebenarnya perlu dikawal oleh pesakit itu sendiri. Apabila kita menonton perlawanan selama lebih dua jam sama ada seorang atau berkumpulan, kita sering menjamu makanan yang mengandungi gula, garam dan karbohidrat yang tinggi. Terasa seronok mengunyah makanan ringan sambil menonton. Itulah senario yang berlaku. Ia bukan sahaja memberi kesan kepada emosi malah, ia memburukkan keadaan kesihatan," ujarnya.



    Dr. Daniel memberitahu, ramai peminat fanatik yang akan meningkatkan kadar merokok dengan alasan tidak mahu mengantuk. Umum dah tahu, rokok itu sendiri memberi kesan buruk kepada kesihatan.



    Untuk keselamatan, mereka yang menghidap penyakit kronik boleh menonton secara berkumpulan. Dengan itu, mereka boleh berkongsi emosi dan mengurangkan risiko serangan penyakit secara mengejut.



    Di samping itu, terdapat kes pesakit jantung yang meningkatkan kadar pengambilan arak pada musim Piala Dunia. Tidak dinafikan arak boleh mengurangkan masalah ngantuk tetapi ia tidak baik untuk kesihatan.



    Mengulas tentang sikap fanatik atau sangat minat memberi masalah kepada kesihatan, Dr. Daniel menjelaskan ia tidak ada kaitan dengan perubatan. Situasi ini hanya menjejaskan fungsi seseorang sebagai ayah, ibu, anak atau pekerja.



    "Ia bukan gangguan psikologi kerana fanatik hanya menunjukkan sikap minat yang melampau," jelas beliau.



    Dr. Daniel menambah, secara amnya, masalah mengantuk akan timbul pada musim Piala Dunia khususnya mereka yang tinggal di negara-negara Asia kerana perbezaan masa.



    Beliau mencadangkan, peminat bola perlu bijak mengurus masa menonton. Misalnya, orang ramai boleh memilih siaran berulang pada pukul 6.30 pagi seperti yang dilakukan salah sebuah saluran televisyen swasta.



    "Terpulang pada setengah orang, ada yang minum kafein atau lebih kopi untuk mengelak daripada mengantuk. Apa yang penting, peminat bola perlu mengamalkan disiplin terutamanya pada dua minggu awal Piala Dunia. Perkara ini menjadi masalah kerana orang ramai terlalu gelojoh menonton bola sepak hingga ingin.



    Kesimpulannya, Piala Dunia itu tidak memudaratkan tetapi tingkah laku dan persekitaran peminat yang memberi kesan negatif," katanya.



    Menyentuh kesan terhadap hubungan intim atau kekeluargaan, Dr. Daniel berkata, ia terpulang kepada budi bicara suami, isteri dan keluarga.



    Bagi beliau, ia bukan penyebab kerenggangan hubungan. Jika ada berlaku perkara ini, ia sudah pun bermula sebelum Piala Dunia lagi.



    "Terdapat fenomena janda golf iaitu isteri-isteri diibaratkan menjadi janda apabila suami sibuk bermain golf pada hujung minggu. Mungkin orang ramai menyamakan keadaan ini sepanjang Piala Dunia berlangsung. Jika sebuah keluarga atau organisasi bijak mengurus keadaan, ia sebenarnya boleh mengeratkan silaturahim," katanya.



    Erat



    Di Eropah, keluarga atau suasana pejabat lebih erat kerana wujudnya suasana menonton bersama.



    Dr. Daniel menasihatkan orang ramai perlu mengubah suai tingkah laku mengikut keperluan ketika menonton perlawanan.



    "Piala Dunia tidak ada kesan buruk. Selepas sahaja perlawanan selesai, peminat bola seharusnya berehat dan tidak perlu mengadakan parti atau lepak di kedai makan hingga lewat pagi. Bagi mereka yang ingin bercuti, ambil sahaja cuti tahunan. Jangan jadikan alasan cuti sakit kerana ia akan memburukkan keadaan.



    "Ada sesetengah kes, lelaki takut ambil cuti kerana tidak mahu isteri ungkit di kemudian hari. Dalam hal ini, majikan juga perlu bijak menguruskan pekerja. Sebaiknya, pengagihan tugas yang cekap perlu dilaksana," katanya.

    Thursday, June 10, 2010

    Sklerosis rosakkan saraf otak

    SEJAK beberapa tahun lalu penganalisa data, Zamani Ahmad, mengalami masalah penglihatan yang kabur. Kadang kala objek di depannya dilihat berganda-ganda walaupun telah mengenakan kaca mata.

    Dia tidak menganggapnya sebagai masalah serius hanya berandaian disebabkan kesan kerja yang sentiasa menghadap komputer.

    Namun akhir-akhir ini dia berasakan ada kelainan pada tubuhnya terutama di bahagian tangan dan kaki yang sesekali terasa kebas selain mudah berasa letih.

    Khuatir dengan keadaan tersebut lebih-lebih lagi dengan usianya yang semakin mencecah persaraan, dia membuat temu janji dengan doktor.

    Hasil pemeriksaan, doktor mengesyaki simptom-simptom yang dialami Zamani menunjukkan kemungkinan dia mengalami apa yang dipanggil sebagai sklerosis berbilang yang lazim menyerang tanpa disedari penghidapnya.

    Sklerosis berbilang atau Multiple Sklerosis (MS) ialah sejenis serangan saraf terutama pada otak. Ia sememangnya tidak menunjukkan gejala khusus.

    Simptom-simptom yang ditunjukkan mirip kepada masalah biasa seperti keletihan, pandangan kabur dan rasa kebas pada kaki serta lengan.

    Keadaan ini menyebabkan ia sukar dikesan dan penghidapnya menderita bertahun-tahun.

    MS berlaku apabila sistem ketahanan tubuh menyerang myelin, iaitu lapisan selaput yang melindungi sel-sel saraf membabitkan otak, tulang belakang dan mata.

    Serangan yang berterusan boleh menyebabkan kerosakan kekal pada saraf mengakibatkan isyarat tidak dapat disampaikan melalui saraf ke bahagian tubuh lain seperti yang sepatutnya dan timbulnya gejala MS.

    Berdasarkan laporan perubatan, MS merupakan salah satu penyakit saraf yang paling kerap menyerang orang dewasa di seluruh dunia. Kerap kali juga menyerang golongan muda pada usia antara 20-an dan 30-an.

    Dianggarkan seorang hingga sembilan daripada 100,000 penduduk Asia mengidap penyakit ini. Statistik di Malaysia pula menunjukkan dua atau tiga orang dalam 100,000 kes.

    Perunding neurologi, Dr. Shanti Viswanathan berkata, gejala-gejala MS sukar diduga malah simptom-simptom yang dialami oleh seseorang juga berbeza antara satu sama lain.

    ‘‘Biasanya simptom ini boleh di kesan melalui penglihatan yang kabur atau pertuturan yang tidak jelas serta mengalami kebas-kebas ringan di bahagian muka serta bahagian atas badan,” katanya.

    Kata Dr. Shanti lagi, kurang kesedaran mengenai penyakit ini menyebabkan penghidapnya terus menderita.

    Menurutnya, rawatan awal sangat penting dalam melambatkan perkembangan penyakit itu.

    Namun, bagi pesakit MS kronik, mereka memerlukan rawatan sepanjang hayat.

    ‘‘Kami percaya di luar sana, ramai yang menghidap MS tetapi belum dirawat atau diketahui

    ‘‘Biarpun sehingga kini masih tidak ditemui penawar kepada penyakit ini, kaedah rawatan interferon beta mampu mengurangkan jumlah kes MS sehingga ke 40 peratus.

    “Rawatan ini juga juga dapat memperlahankan kemampuan MS merebak,” katanya.

    Sementara itu syarikat framasutikal antarabangsa, Bayer Schering Pharma melancarkan program bantuan kepada pesakit yang menghidap MS melalui kaedah rawatan interfon beta.

    Melalui kaedah ini membantu pesakit menjalani kehidupan yang lebih berkualiti jika pesakit mendapatkan rawatan awal dan secara berterusan.

    Program telah diperkenalkan sempena Hari Multiple Sklerosis (MS) Sedunia 2010.

    Program bantuan kepada pesakit MS ini yang dijalankan dengan kerjasama jabatan-jabatan kebajikan serta hospital-hospital kerajaan.

    Sementara itu, Pengarah Perubatan Bayer Bayer Schering Pharma, Dr. Shunitra Devi memberitahu, dalam kajian yang telah dilakukan jangka hayat pesakit mampu bertahan lebih lama jika mendapat rawatan awal.

    ‘‘Kami sedar kos yang mahal menjadi halangan kepada seseorang penghidap MS mendapatkan rawatan.

    “Ini antara sebab utama kami memulakan program bantuan kepada pesakit. Ia bertujuan membantu lebih ramai penghidap MS mendapatkan rawatan terbaik dari awal serta meneruskannya dalam jangka waktu lama sehingga keadaan mereka bertambah baik,” katanya.

    Elak keracunan makanan

    AHMAD pulang ke rumah dari sekolah dalam keadaan pucat dan lemah. Sambil memegang perut yang sakit, dia memberitahu ibunya bahawa telah muntah di sekolah dan cirit-birit sebanyak tiga kali. Ibu membawanya berjumpa doktor dan Ahmad disahkan mengalami keracunan makanan.

    Keracunan makanan berlaku apabila keradangan perut atau usus yang disebabkan oleh pengambilan makanan tercemar.

    Selalunya tanda-tanda keracunan makanan akan muncul dalam masa dua hingga dua puluh empat jam selepas makan.

    Bergantung kepada tahap keracunan, mereka yang mengalaminya mungkin juga akan mengalami demam dan seram sejuk, najis berdarah serta penyahhidratan.

    Walaupun keracunan makanan kerap berlaku dan biasanya merupakan sejenis penyakit yang ringan, kadangkala ia boleh membawa maut, terutamanya di kalangan kanak-kanak.

    Bakteria berjangkit

    punca keracunan

    Keracunan makanan biasanya berpunca daripada agen toksik atau agen berjangkit. Agen-agen toksik adalah seperti racun perosak pada buah-buahan dan sayur-sayuran, makanan eksotik yang tidak disediakan dengan betul (seperti siput dan ikan alu-alu), atau cendawan beracun.

    Bagaimanapun, kebanyakan kes keracunan makanan di negara ini disebabkan makanan yang telah dicemari oleh agen-agen berjangkit.

    Ini bermakna, makanan tersebut mengandungi virus, bakteria dan parasit berbahaya. Bakteria-bakteria ini membebaskan racun yang boleh menyebabkan keradangan pada lapisan usus.

    E. coli, salmonella, shigella dan staphylococci merupakan bakteria-bakteria berjangkit umum yang mengakibatkan keracunan makanan.

    Amalan kebersihan

    elak makanan tercemar

    Amalan kebersihan yang kurang baik atau penyediaan makanan yang tidak betul selalunya punca pencemaran makanan.

    Pengendali makanan sepatutnya mengamalkan kebersihan kendiri dan memastikan kawasan penyediaan makanan sentiasa bersih. Pencemaran makanan juga boleh berlaku jika makanan tidak disimpan dengan betul atau pada suhu yang tidak sesuai.

    Tuesday, June 8, 2010

    Filler untuk bibir menawan

    SAHABAT saya datang ke klinik mengadu bentuk bibirnya yang tampak jatuh dan tidak penuh. Berkali-kali dia bertanya mengapa keadaan seperti itu berlaku. Saya memberinya cermin sambil berkata: ‘‘Cuba lihat kiri kanan bibir Nor, ada garisan.’’

    Sahabat saya menjawab: ‘‘Setiap kali melihat cermin saya memang ternampak garisan itu, dan saya berasa rendah diri serta serba kekurangan.’’

    Lantas dia meluahkan hasratnya untuk memperbaiki kekurangan tersebut agar nampak berseri. Seperkara lagi dia sering dilihat sukar tersenyum walaupun sebenarnya dia selalu senyum apabila disapa. Kekurangan itu juga menyebabkan Nor sering menolak apabila diajak bergambar kerana dia nampak tidak lawa. Pada hal adakalanya kami cuti bersama, aktiviti wajib yang menjadi kenangan sepanjang hayat semestinya bergambar. Masalah tersebut menjadikannya kurang keyakinan diri dan rendah self esteem.

    Menurut Nor lagi sewaktu usianya dalam lingkungan 20-an dan 30-an bibirnya agak comel dan menarik namun selepas menganjak usia bibirnya seolah-olah mengecut pula.

    ‘‘Bila pakai gincu pun tetap tak dapat menutupi kekurangan bibir saya,’’ adu Nor lagi.

    Bibir yang menawan merupakan aset bagi seorang wanita. Siapa yang tidak kenal Angelina Jolie. Dia dikatakan memiliki sepasang bibir yang dianggap sempurna. Bila disebut namanya sahaja sudah tentu kita akan terbayang bibirnya yang tebal dan sedikit terjuih itu. Tabloid juga sering mengagung-agungkan bibir pelakon wanita tersebut yang dianggap tidak ada tandingannya.

    Syarikat kosmetik pula tidak putus mempromosikan warna dan jenis lipstik yang berkilau semata-mata mahu memikat hati wanita agar menghias bibir mereka. Bayangkan seorang wanita yang kemas berbedak, jika tidak mengenakan lipstik sudah pasti penampilannya terjejas. Tidak sempurna kemasan wajah seseorang tanpa lipstik yang tercalit indah pada bibir.

    Jadi jelaslah kepada kita bahawa bibir juga menjadi titik tumpu pada wajah seseorang.

    Bibir yang sihat berwarna sedikit kemerahan dan kelihatan lembap meskipun tidak disapu sebarang losen atau pelembap bibir. Kulit bibir yang tipis akan berwarna sekata. Apabila usia meningkat, warna bibir turut berubah menjadi kusam dan pigmentasi mula terhasil.

    Seorang rakan yang bertugas sebagai jurusolek artis memberitahu, apabila melakukan tata rias dia amat mengambil berat perihal bentuk dan warna bibir. Bentuk bibir yang mongel sememangnya cantik bagi iklan makanan yang lazat, manakala bibir tipis dan serius sesuai bagi iklan pakaian yang sarat dengan aksesori.

    Menurutnya dia akan melukis dahulu bentuk bibir yang sesuai dengan tugasannya pada hari itu dan mengenakan warna yang sesuai sebelum model tersebut dirakam gambarnya.

    Masalah bibir

    Masalah pada bibir yang sering terjadi adalah kulit bibir kering dan mengelupas. Ia biasanya berlaku apabila kita alah kepada gincu atau losen tertentu. Bibir yang kering dan merekah akan perit serta menyakitkan. Makan pun menjadi sukar akibat bibir pecah.

    Saya sering didatangi pesakit yang bermasalah untuk makan akibat bibirnya pecah. Bila kulit pada bibir bermasalah sudah pasti seseorang tidak dapat mengenakan gincu kegemarannya. Jika disapu gincu kerap kali masalah menjadi lebih teruk dan bibir semakin kering serta gatal. Ini menimbulkan rasa kecewa kepada wanita yang gemar berhias kerana tanpa lipstik sudah tentu mereka berasa tidak sempurna.

    Masalah lain adalah ulser mulut iaitu luka kecil dalam mulut. Tiada sebab yang pasti mengapa ia berlaku. Teori mengatakan ia berpunca dari kekurangan Vitamin C dan sesetengah pula menyebut ia disebabkn jangkitan virus. Tidak kurang juga yang berpendapat ia berpunca daripada stres sebab itu ia juga dikenali sebagai ulcer stress. Agak malang bagi mereka yang sering mendapat masalah ini.

    Rawatan

    Saya sering mencadangkan pengambilan Vitamin C yang banyak dan ubat sapuan untuk menahan sakit serta mengurangkan keradangan apabila masalah ini terjadi. Terdapat juga lips conditioner mengandungi vitamin dan pelembap tinggi yang baik untuk bibir kita. Ada kalanya ulser menjadi serius dan antibiotik diperlukan. Ulser yang berulang dan merebak adakalanya memerlukan rawatan di hospital. Jika ini berlaku kepada kanak-kanak lebih berbahaya kerana mereka tidak dapat makan dan minum. Ini mengganggu nutrisi tubuhnya. Jika ini berlaku segeralah mendapatkan rawatan doktor.

    Apabila gejala menjadi serius, adakalanya ia turut menyebabkan masalah pada gusi dan halitosis iaitu mulut yang berbau. Bagi kes sebegini saya mencadangkan pengambilan vitamin secara suntikan. Ia lebih cepat bertindak serta kita dapat memberikan dos yang sebenar dengan tepat.

    Apabila kurang vitamin, bahagian tepi mulut atau dipanggil angle of mouth (sudut mulut) akan pecah. Hal ini biasa juga saya kesan pada kanak-kanak yang kurang vitamin dan apabila diberikan tambahan vitamin ia sembuh dengan cepat.

    Inginkan bibir menawan?

    Apabila usia kita meningkat, kandungan kolagen semula jadi dalam bibir turut berkurangan. Bibir menjadi kecut dan tidak mongel. Suntikan filler jenis hyaluronic mampu membuat bibir tampak menarik dan mongel semula.

    Garisan pada tepi bibir yang melengkung ke bawah menjadikan wajah seseorang tampak muram dan kurang seri. Dalam kata lain, ia membuatkan seseorang tampak lebih tua daripada usia sebenar. Garisan di tepi bibir dinamakan marionette lines dan ia boleh dirawat juga dengan suntikan hyaluronic filler.

    Bagaimana Filler dilakukan pada bibir?

    Mula-mula kawasan sekitar bibir dibersihkan dan disuntik ubat bius bagi menjadikan ia kebas. Selepas itu filler akan dimasukkan dengan kaedah suntikan ke dalam bibir. Hasilnya bibir akan tampak lebih cantik dan menawan.

    Teknik mengangkat semula bibir boleh digunakan bagi menjadikan bibir tampak lawa dan menarik semula.

    Penggunaan filler banyak membantu menjadikan wajah berseri semula. Pada usia 40-an adalah sesuai bagi kita melakukan rawatan filler mencantikkan bibir. Pada waktu ini kekurangan hormon dan kolagen sangatlah ketara. Bergantung kepada jenis filler biasanya kaedah ini mampu bertahan untuk tempoh satu hingga lima tahun.

    Raikan khasiat susu

    MUNGKIN ramai tidak tahu 1 Jun lalu merupakan Hari Susu Sedunia. Walaupun susu bukan minuman yang paling digemari, ia kaya dengan protein, kalsium, vitamin B2 dan sebagainya. Ramai yang tidak menyedari bahawa mereka telah mengetepikan minuman kaya nutrien yang sewajarnya dimasukkan ke dalam diet harian. Sambutan tersebut diilhamkan oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu),

    Hari Susu Sedunia bertujuan mendidik masyarakat tentang kepentingan susu dan mengadakan aktiviti mempromosikan manfaat pengambilan susu serta industri tenusu secara menyeluruh.

    Tidak kira bayi, kanak-kanak yang sedang membesar, remaja, dewasa serta warga emas, kesemuanya memang memerlukan khasiat nutrisi asas susu untuk menjana tumbesaran tubuh badan dan minda yang sihat.

    Walaupun rasanya kurang manis dan tawar, ia sebenarnya baik untuk tubuh badan. Apatah lagi, jika kita mengamalkan gaya hidup sihat seperti bersenam.

    Pelbagai lapisan masyarakat membanjiri perkarangan Pavilion, Kuala Lumpur untuk meraikan Hari Susu Sedunia 2010 oleh Dutch Lady Malaysia. Ia turut mencatat rekod “Acara Minum Susu Terbesar” dalam Malaysia Book of Records (MBR).

    Menurut Pengarah Urusan Dutch Lady, Bas van den Berg, Hari Susu Sedunia merupakan salah satu cara menyebarkan mesej mengenai kebaikan susu di samping berinteraksi bersama pengguna dengan lebih seronok dan mudah.

    “Kami ingin menarik perhatian warga Malaysia serta meningkatkan tahap kesedaran tentang kebaikan susu dengan sambutan sedunia ini.

    “Catatan rekod bersejarah ini memang penting bagi kami dalam mengorak langkah pertama mengubah tabiat meminum susu di kalangan warga Malaysia,” ujar beliau lagi.

    Sempena sambutan tersebut, Dutch Lady Malaysia mengambil inisiatif pertama mereka cipta kotak susu UHT khas yang didatangkan dalam dua perisa iaitu Susu Rendah Lemak dan Susu Coklat. Sebanyak 250,000 kotak susu terhad itu akan diagihkan secara percuma di seluruh negara.

    Bagi membantu menggalakkan kebaikan susu di seluruh negara, Dutch Lady Malaysia telah meraih bantuan daripada Persatuan Pengakap Malaysia, Persatuan Pandu Puteri Malaysia, The Boys’ Brigade Malaysia; Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia; kelab kereta - Honda, Peugeot dan Perdana V6 Malaysia serta pasukan aktivasi AMP Radio Networks dan Media Prima Berhad.

    Antara selebriti yang hadir menyokong acara tersebut ialah Amber Chia, Reshmonu, Sasha Bashir, Najwa, Shahrizan Borhan dan Alif Satar. Dalam pada itu, semua kutipan derma hasil jualan produk Dutch Lady akan disalurkan kepada Yayasan Nur Salam bagi membiayai perbelanjaan pentadbiran harian untuk program-program sukarelawan.

    Mengenai Hari Susu Sedunia

    * Hari Susu Sedunia 2010 merupakan sambutan ketiga Dutch Lady Malaysia yang terbesar.

    * Pada hari tersebut Dutch Lady Malaysia mengedarkan susu secara percuma di plaza tol yang terpilih di daerah Utara, Sentral, Timur dan Selatan Semenanjung Malaysia serta di KL, Selangor dan Kuching.

    * Bermula 8 Mei hingga 2 Julai, Dutch Lady Malaysia juga akan mengadakan pertandingan di mana peserta hanya perlu mengira jumlah kotak susu dan menjawab dua soalan mudah.

    * Pertandingan itu membuka peluang kepada warga

    Malaysia untuk memenangi hadiah utama berupa rumah teres dua tingkat dan pakej dekorasi rumah yang bernilai RM1 juta.

    * Untuk maklumat lanjut, sila layari www.dutchlady.com.my

    Tip ringkas

    * Beri galakan dan motivasi kepada anak-anak anda untuk melibatkan diri dalam aktiviti fizikal dan senaman yang amat penting untuk kesihatan tulang.

    * Jangan biarkan anak-anak duduk sahaja di rumah bermain komputer atau aktiviti pasif kerana ia menjadkan tulang mereka lemah.

    * Paling penting, anak-anak anda yang berusia di antara satu dan dua tahun harus diberikan susu penuh kerana kandungan diet lemaknya sangat diperlukan untuk membantu

    perkembangan fizikal dan mental yang normal.

    Cantik, bijak dengan pisang?

    PISANG merupakan kurniaan alam semulajadi yang lengkap dengan vitamin penting, galian, gula yang menyihatkan dan karbohidrat untuk tenaga selain rasa yang enak.

    Selain itu, pisang juga mengandungi vitamin C - bukan sahaja membantu sistem imunisasi malah menggalakkan kulit yang sihat dan menawan.

    Buah dan kulit pisang sering digunakan untuk rawatan kecantikan terutamanya bagi menegang serta melembapkan kulit muka menjadikan wajah lebih berseri.

    Sebagai sumber buah-buahan yang mudah diperolehi di serata dunia serta harganya yang murah, pisang sewajarnya dimanfaatkan sepenuhnya bermula daripada kulit hinggalah kepada isinya.

    n Pisang mampu buat anda gembira.

    Protein dalam pisang yang dikenali sebagai triptofan ditukar kepada serotonin oleh badan manusia. Serotonin adalah sejenis bahan yang mampu menghasilkan perasaan tenang, membangkitkan mood dan secara keseluruhannya membuatkan kita gembira. Oleh itu jika anda berasa kecewa, cuba nikmati keenakan pisang, sambil merasakan perubahan perasaan daripada negatif kepada positif.

    n Meredakan ketidakselesaan perut.

    Kita sering mengalami masalah perut tidak selesa apabila bangun pagi akibat makan banyak sebelum tidur. Beberapa hirisan pisang atau pun minum pisang yang dikisar mampu meredakan 'menenangkan' perut sekali gus memulihkan rasa tidak selesa.

    n Hindari stres.

    Apabila stres atau menghadapi tekanan kadar metabolik kita akan meningkat, pada masa yang sama menurunkan paras potasium dalam badan. Pisang mengandungi potasium yang tinggi membantu mengembalikan kadar potasium dalam badan pada paras normal. Degupan jantung dan aliran oksigen dalam badan juga boleh kembali normal.

    n Merangsang otak.

    Pisang membantu merangsan fungsi otak disebabkan potasium yang terkandung di dalamnya. Hasil penyelidikan mendapati potasium membantu seseorang menjadi lebih peka dan berhati- hati. Cuba makan sebiji pisang sebelum menduduki peperiksaan atau menghadiri temuduga. Ia mungkin membantu.

    n Penampilan menawan.

    Sejak zaman nenek moyang kita, pisang telah digunakan sebagai bahan untuk topeng kecantikan wajah. Ini kerana kandungan anti penuaan yang dipercayai terdapat di dalam pisang. Cuba resipi ini untuk mendapatkan kulit menawan. Kisar pisang dengan madu dan beberapa titik oren. Sapukan pada muka, biarkan beberapa minit sebelum dibilas bersih. Amalkan selalu untuk hasil yang memuaskan.

    Minuman kecergasan

    APAKAH rahsia seorang atlet sentiasa cergas dan tidak mudah letih? Selain bersenam dan latihan yang konsisten, atlet perlukan makanan serta minuman yang mencukupi sesuai dengan sukan yang diceburi.

    Namun, adakah dengan mengambil air yang mencukupi, iaitu sekurang-kurangnya enam hingga lapan gelas atau satu liter sehari sudah mencukupi?

    Bagi seorang atlet, mereka bukan sahaja minum air untuk menghilangkan dahaga tetapi untuk menambah tenaga dan mengurangkan lesu. Kegagalan mengganti cecair yang hilang menjejaskan fungsi fisiologi tertentu seperti keupayaan bersenam, kesukaran daya tumpuan dan tahap kewaspadaan serta kepekaan merosot.

    Menurut Ketua Kluster Gaya Hidup Sihat, Institut Perubatan dan Pergigian Lanjutan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Rabindarjeet Singh, jangan tunggu dahaga untuk minum kerana ia menandakan badan kehilangan cecair.

    Apabila kita berasa dahaga, badan sebenarnya mengalami masalah kekurangan air.

    “Justeru itu, seorang individu termasuk ahli sukan perlu minum cukup air setiap hari untuk melancarkan pergerakan dan memudahkan senaman. Kebetulan, sukan utama di Asia biasanya diadakan dalam suasana panas dan lembap dengan suhu kira-kira 29-31° Celsius dan paras kelembapan di sekitar 70 hingga 90 peratus. Ia boleh menghilangkan cecair badan sebanyak satu liter sejam,” jelasnya semasa seminar Penghidratan Sukan dan Pemakanan 100PLUS Kedua di Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

    Cecair

    Dalam hal ini, ramai atlet kurang memahami bahawa pengambilan cecair yang tidak mencukupi ketika bersenam atau bersukan akan menyebabkan kekurangan air secara sukarela.

    Sekiranya hal ini berlaku, atlet akan mudah mencapai tahap keletihan walaupun tidak berasa dahaga dan prestasi mereka merosot secara perlahan-lahan tanpa disedari.

    Dalam pada itu, Penasihat Sains Pertahanan, Pertubuhan Sains Pertahanan Makmal Kebangsaan Singapura, Dr Jason Lee Kai Wei, memberitahu, penghidratan merupakan proses pemulihan badan khususnya untuk atlet yang terlibat dengan sukan yang mengeluarkan peluh.

    “Ini bermakna cecair badan yang hilang melalui peluh perlu diganti segera, sama ada ketika menjalankan aktiviti sukan atau selepasnya.

    ``Kebanyakan kita tidak sedar akan kesan penyahhidratan yang boleh menjejaskan fungsi badan dan keupayaan prestasi kita. Itu sebabnya pengambilan minuman sukan perlu digalakkan semasa latihan berkali-kali bagi membantu penyesuaian latihan,” jelasnya yang turut menjadi panel seminar tersebut.

    Perlukah minuman sukan?

    # Minuman sukan direka untuk menggantikan cecair dan meningkatkan kandungan gula dalam badan dengan segera. Baca label sebelum membeli.

    # Boleh juga menyediakan sendiri minuman bertenaga. Jus buah yang dicairkan dengan air kosong boleh membekalkan elektrolit seperti natrium, potasium dan magnesium yang hilang melalui peluh.

    # Ambil makanan yang banyak mengandungi cecair seperti buah-buahan kerana bukan saja menambah kandungan air dalam badan, tetapi membekalkan vitamin dan garam galian.

    # Minuman yang mengandungi sumber karbohidrat (glukosa, fruktosa dan sukrosa) antara gula yang mudah diserap.

    # Jangan beli minuman sukan berkarbonat atau bergas kerana akan menyebabkan perut berasa tidak selesa.

    Merokok turut bebankan hati

    SAYA menjadi perokok sejak sekian lama. Saya juga pernah cuba berhenti merokok tapi gagal. Badan yang lesu sejak kebelakangan ini meresahkan saya. Adakah merokok turut menjejaskan hati?

    Jawapan

    Apabila seseorang merokok, kandungan nikotinnya memasuki salur darah dengan cepat dan mencapai ke otak dalam masa kurang daripada sepuluh saat. Nikotin akan memberi kesan kepada peningkatan tekanan darah dan pernafasan, denyutan jantung dan paras glukos darah.

    Rokok sebenarnya bukan sekadar mengandungi nikotin dan tar, tetapi juga berbagai bahan beracun seperti arsenik, kadmium dan nikel, polonium 210 (bahan radioaktif yang boleh menyebabkan kanser hati, ulser usus, leukimia dan sebagainya.

    Penyelidikan mendapati merokok menjejaskan keupayaan hati memproses bahan-bahan tersebut. Sekiranya hati dirosakkan akibat merokok, dos ubat yang diperlukan untuk merawat juga terjejas.

    Dalam usaha menggalak penyingkiran toksik hati, herba Milk thistle banyak dicadangkan. Beberapa kajian saintifik menunjukkan herba ini memperbaiki fungsi hati dengan membersihkan hati daripada toksin berbahaya serta merangsang pembentukkan sel-sel hati yang baru. Kandungan aktifnya iaitu silymarin membantu meneutralkan kesan kerosakan akibat radikal bebas yang menyumbang kepada kerosakan hati.

    Selain keazaman, usaha berhenti merokok mungkin lebih mudah dengan penggunaan bantuan anti merokok. Perokok mungkin mempunyai azam yang kuat meninggalkan rokok, namun kesannya yang dikenali sebagai simptom 'withdrawal´ seperti sakit kepala, emosi tak menentu, rasa lesu serta keresahan mungkin menarik anda kembali kepada rokok. Bagi yang sukar menahan kesannya, sedikit bantuan mungkin diperlukan. Kini banyak kaedah boleh diperolehi. Dapatkan nasihat doktor untuk pilihan kaedah yang ada serta memudahkan usaha anda.

    Lancarkan perkumuhan

    Masalah utama saya adalah perut buncit. Ia mungkin berkaitan dengan sistem pembuangan air besar yang tidak teratur. Saya pernah mengambil laksatif, namun menghentikan pengambilannya untuk mengelak kesan sampingan. Apakah suplemen yang boleh dicadangkan dan selamat untuk jangka panjang ?

    Jawapan

    Penting menjaga kesihatan usus kerana ia boleh mempengaruhi pelbagai proses dan kesihatan. Di sepanjang saluran gastrousus, terdapat berbilion bakteria hidup yang berfungsi seakan tentera. Kewujudan bakteria baik membantu mengekalkan persekitaran usus yang baik serta merangsang fungsi pencernaan yang optimum.. Bakteria baik atau probiotik juga membantu menguatkan sistem imun untuk menentang agen penyebab penyakit.

    Masalah penghadaman seperti kesukaran membuang air besar atau sembelit seharusnya tidak dibiarkan berpanjangan. Sembelit berpanjangan menyebabkan longgokan toksik dalam tubuh serta meningkatkan risiko pelbagai penyakit, termasuklah perut buncit dan sesetengah penyakit usus. Ketidakseimbangan flora usus akan membantu mengoptimumkan sistem pencernaan sekali gus melancarkan sistem perkumuhan.

    Probiotik seperti dari strain Lactobacillus acidophilus NCFM® ternyata bermanfaat untuk memperkuat pertahanan badan daripada penyakit, memperbaiki pergerakan usus, mengurangkan sendawa dan angin berlebihan, melegakan ketidakhadaman serta memperbaiki penyerapan nutrien.

    Amalan diet yang sihat seharusnya menjadi teras makanan harian untuk mengekalkan kesihatan. Banyakkan minum air serta serat makanan secukupnya akan memberi manfaat besar ke arah memperbaiki masalah yang dihadapi serta kesihatan secara umum.

    Shahrome sengsaara kerana rokok

    61 tahun lalu, lelaki ini mula mengenali rokok. Sejak berada di tingkatan dua, dia menghisap lima batang sehari. Baginya, merokok perkara biasa. Apabila melangkah ke alam pekerjaan, dia mempunyai duit sendiri dan menghisap rokok hampir 20 batang sehari.

    Pada awalnya, dia curi-curi merokok ketika berada di darjah dua dan meneruskan tabiat berkenaan sehinggalah berusia 40 tahun dengan purata 40 batang rokok sehari.

    Dengan suara serak-serak basah, lelaki ini berkongsi penderitaan menghidap penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD).

    Sebagai penghidap COPD, Shahrome Zainal Abidin, 69, kini menjalani kehidupan yang sangat terhad lantaran penyakit tersebut walaupun sudah lama berhenti merokok.

    Pada awalnya, dia tidak menyangka diserang COPD. Dulu, Shahrome aktif termasuk menari. Namun, semuanya berubah. Kehidupannya terbatas selepas disahkan COPD. Selain sesak nafas, dia sukar membuat kerja terutamanya yang melibatkan aktiviti naik dan turun tangga.

    Sesak nafas

    Pada 2007, Shahrome dimasukkan semula ke Institut Perubatan Respiratori (IPR). Doktor mengesahkan kahaknya berwarna hijau pekat dan terpaksa ditahan 11 hari di IPR.

    Walaupun sudah hampir 29 tahun tidak merokok, Shahrome masih terasa kesannya.

    “Saya mempunyai rutin hidup yang amat memberangsangkan. Sebelum mengetahui saya menghidap COPD, saya mampu menari dalam tempoh yang lama serta melakukan banyak kegiatan lain, tetapi apabila mula mengalami batuk dan sesak nafas, mutu kehidupan saya berubah,” jelasnya.

    Sehingga kini Shahrome masih terus mengambil ubat-ubatan walaupun sudah lama menghentikan tabiat merokok. COPD yang dihidapi menjejaskan mutu hidupnya sekali gus menyebabkan beliau sering menghabiskan masa di katil hospital untuk mendapatkan rawatan.

    Pada satu tahap, dia terpaksa menggunakan gas (inhaler) dan ubat-ubatan lain untuk mengurangkan masalah COPD.

    Kini, bukan sahaja menari, bercakap laju atau ke bilik air pun Shahrome mengalami sesak nafas.

    Pakar Perunding Perubatan Dada IPR, Datin Dr. Aziah Ahmad Mahayiddin memberitahu, ramai perokok baik lelaki mahupun wanita tidak menyedari mereka menghidap COPD dan tidak kisah sekiranya mengalami sesak nafas, tidak boleh melakukan perkara berat berterusan selain mengalami keletihan walaupun menaiki anak tangga.

    COPD menurut beliau adalah penyakit berkaitan paru-paru yang berterusan dan ia boleh menjejaskan kualiti hidup anda tanpa disedari. Langkah terbaik adalah melakukan pemeriksaan doktor sekiranya ada kelainan terhadap mutu kesihatan anda. Jangan ambil mudah sekiranya berasa sesak nafas kerana anda tidak tahu mengapa ia berlaku.

    Sebagai langkah pencegahan COPD, perokok seharusnya berhenti dan bagi golongan bawah umur khususnya pelajar sekolah, jangan sesekali mencuba tabiat ini.

    Penyakit ini akan menyerang sesiapa sahaja terutama mereka yang berisiko tinggi iaitu perokok berusia 40 tahun ke atas.

    Telinga berdesing jejas kualiti hidup

    SUDAH beberapa malam Hamidah tidak boleh tidur. Kepada suami, wanita berusia 40 tahun itu mengadu telinganya kerap berdesing sejak akhir-akhir ini.

    Ia berlaku tidak menentu dan biasanya bunyi berdesing lebih kuat jika dia berada di tempat sunyi terutama sebelum tidur.

    Desingan sangat bising dan bingit seperti bunyi ‘eeee’ yang panjang serta frekuensi tinggi. Kadangkala ia seperti bunyi mesin gergaji yang sedang memotong batu-bata dan ada juga bunyi seperti cengkerik dan unggas yang tidak jemu memecah kesunyian malam.

    Keadaan itu mengganggu aktiviti hariannya dan paling merungsingkan, desingan tersebut menyebabkan dia sukar melelapkan mata.

    Pelbagai andaian bermain dalam fikiran Hamidah. Dia risau andai mengalami penyakit serius dalam telinga seperti gegendang pecah, bernanah dan sebagainya. Lebih merunsingkan wanita itu mula terfikir, adakah bunyi itu datangnya dari otak yang terletak bersebelah dengan telinga?

    Bimbang dengan keadaan yang dialami, Hamidah bertemu Pakar Telinga, Hidung dan Mulut (ENT) bagi mengesan penyakit yang dihidapi.

    Mengapa telinga berdesing?

    Perunding Pembedahan ENT, Dr. Lim Wye Keat berkata, keadaan telinga yang sentiasa berdesing dipanggil tinitus.

    Walau bagaimanapun, ia bukanlah sejenis penyakit tetapi merupakan simptom yang berlaku disebabkan beberapa perkara termasuk jangkitan telinga, objek luar atau lilin dalam telinga, alah pada bahagian hidung yang menghalang aliran cecair dan menyebabkan penghasilan lilin dengan banyak.

    Tinitus juga katanya berlaku disebabkan pendengaran terjejas sejajar dengan peningkatan usia.

    Secara dasarnya kata beliau, setiap individu normal mempunyai pendengaran luar dan dalam (desingan) semula jadi sejak dilahirkan.

    “Pendengaran luar individu normal berada pada tahap yang baik menyebabkan ia mengawal bunyi desingan semula jadi dari dalam. Kerana itu kita tidak sedar bahawa setiap orang sebenarnya mengalami keadaan telinga berdesing,” kata doktor yang bertugas di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur itu.

    Jelas Dr. Lim, tinitus terbahagi kepada dua iaitu subjektif di mana individu yang mengalami mendengar bunyi tetapi orang lain tidak manakala tinitus objektif berlaku apabila individu mendengar bunyi dan orang lain (biasanya doktor) turut mendengar bunyi tersebut.

    Tinitus jelasnya, boleh berlaku di sebelah telinga atau mungkin kedua-dua belah sekali. Sesetengah individu mengalami tinitus berpanjangan, manakala setengah lagi sekali-sekala. Ia boleh berlaku tidak kira peringkat umur bermula seawal 20-an, namun kebanyakannya mengalami ketika usia melebihi 50 tahun. Dikatakan seorang daripada lima individu berusia 55 tahun ke atas mengalami tinitus.

    Katanya lagi, tinitus juga boleh berlaku disebabkan pengambilan ubat seperti aspirin dan paras aktiviti hormon serotonin yang rendah.

    Tinitus subjektif

    Menurut Dr. Lim, kebanyakan pesakit yang datang merujuk kepadanya mengesyaki mereka mengalami kanser otak, kerosakan pada bahagian koklea, gegendang telinga dan sebagainya.

    “Berdasarkan maklumat yang diberi, saya sudah boleh mengagak mereka mengalami tinitus. Namun ada pesakit yang tidak percaya dan mahu melakukan ujian pengesanan MRI,” katanya.

    Apabila keputusan ujian menunjukkan negatif, barulah pesakit sedar bahawa pendengaran mereka sudah mula bermasalah menyebabkan mereka mengalami tinitus.

    Jelas Dr. Lim, jika disebabkan masalah seperti tahi telinga, telinga bernanah dan sebagainya, tinitus akan hilang dengan cara tahi dan nanah dibuang serta diubati dengan antibiotik.

    Jika individu mengalami masalah pada koklea pula, mereka tidak akan mendengar langsung sebarang bunyi sama ada daripada luar atau dalam.

    Jelas beliau lagi, pendengaran luar kebanyakan individu akan berkurang sejajar dengan peningkatan umur mereka. Namun tidak semua individu mengalami masalah tersebut.

    Tahap masalah katanya, bergantung kepada individu itu sendiri. Jika individu tersebut lebih sensitif dengan desingan yang berlaku, maka dia akan rasa keadaan tersebut sangat serius.

    Apa yang dilakukan Dr. Lim dalam menangani masalah seperti itu adalah dengan menasihatkan pesakit agar mengawal keadaan.

    “Perlu diingat, keadaan tinitus tidak boleh dirawat atau diubati tetapi individu boleh mengawalnya dengan cara menerima keadaan tersebut dengan hati yang tenang,” katanya.

    Dalam hal ini, penghidap mungkin perlu mendapatkan bimbingan psikologi bagi membantu mereka mengawal keadaan agar tidak runsing dan risau.

    Penggunaan topeng tinitus dan alat bantuan pendengaran juga mampu menangani keadaan itu namun tidak boleh mengatasi masalah sepenuhnya.

    Alat bantuan pendengaran bertindak seperti mikrofon yang menguatkan bunyi luar bagi mengawal bunyi desingan dalam. Namun, ramai pesakit mengadu ia tidak berkesan kerana kadang kala terdapat masalah seperti pemakaian tidak betul menyebabkan bunyi terlalu rendah atau tinggi.

    Tinitus objektif

    Apabila doktor yang merawat dapat mengesan bunyi dari dalam telinga pesakit, ini dipanggil tinitus objektif.

    Menurut Dr. Lim, ia berlaku disebabkan gerakan otot pada telinga, atau bunyi berdetik sekitar kawasan telinga tengah (dalam). Sesetengah individu mengalami bunyi yang berdetik seperti nadi (dipanggil pulsative tinnitus).

    Keadaan ini adalah biasa dan ia berlaku disebabkan perubahan aliran darah atau peningkatan arus pergolakan darah berdekatan telinga (seperti dari artereosklerosis). Namun ia juga boleh bertukar menjadi tinitus subjektif disebabkan terlalu risau dengan aliran darah tersebut.

    Jika pesakit itu mengalami masalah tinitus objektif, beliau akan merujuk perkara tersebut kepada pakar saraf bagi mendapatkan penjelasan selanjutnya kerana ia diluar kepakaran beliau.

    Menurutnya, amat jarang penghidap tinitus objektif berkait rapat dengan masalah kesihatan serius lain. Namun terdapat kes kecil seperti carotid artery aneurysm dan carotid artery dissection.

    Saranan doktor

    Dalam mengelak masalah tinitus berlaku seiring dengan peningkatan usia, Dr. Lim menyarankan agar setiap individu menjalani gaya hidup sihat.

    Menurutnya, penyakit diabetis dan darah tinggi boleh mengganggu deria pendengaran sekali gus mendedahkan penghidapnya kepada masalah tinitus.

    Dr. Lim juga kurang yakin dengan perubatan alternatif kerana ia belum terbukti secara saintifik hingga kini.

    Ambil Iodin setiap hari

    KEHAMILAN merupakan satu saat indah yang dikurniakan kepada kaum wanita. Kenikmatan tersebut lebih menyerlah dengan kelahiran bayi sihat dan sempurna. Perhatian dan penjagaan rapi bukan sahaja menjamin kesihatan diri dan kandungan sentiasa sihat, malah ia mampu mengelak sebarang risiko yang tidak dijangkakan.

    Lagi pula, bayi yang sihat datang daripada ibu yang sihat. Selain kalsium untuk membentuk tulang, wanita hamil dan bayi di dalam kandungan juga perlu mendapat iodin yang secukupnya.

    Menurut Perunding Perubatan/ Endokrinologi dari Universiti Sydney, Australia, Prof. Creswell.J. Eastman, iodin penting untuk ibu hamil bagi mengelakkan kandungan mengalami masalah.

    ‘‘Iodin penting untuk perkembangan normal otak dan sistem saraf bayi, terutamanya ketika dalam kandungan dan dua hingga tiga tahun selepas lahir,’’ ujarnya ketika ditemui pada kunjungannya ke Kuala Lumpur, baru-baru ini.

    Beliau yang turut bekerjasama dengan Institut Penyelidikan Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia dalam menghasilkan kajian mengenai Kekurangan Iodine dalam Kanak-kanak (IDD), berkata, kekurangan iodin semasa hamil dan semasa pertumbuhan kanak-kanak boleh menyebabkan kelambatan perkembangan yang mengakibatkan penurunan dalam prestasi mental.

    Menurutnya, wanita hamil dan bayi memerlukan iodin kerana ia penting bagi hormon-hormon tiroid.

    Hormon tersebut menyokong pertumbuhan dan perkembangan normal kanak-kanak dan membantu mengekalkan kadar metabolisme badan.

    Paras rendah tiroksin (yang boleh berlaku akibat kekurangan iodin) pada kanak-kanak boleh merencatkan pertumbuhan mental dan fizikal mereka.

    Justeru, janin, dan kanak-kanak perlu dipastikan mendapat iodin yang secukupnya jika mahu melihat mereka membesar dengan sempurna.

    Jelas Eastman, lazimnya iodin tidak disimpan dalam badan individu tersebut dan ia perlu diambil setiap hari.

    ‘‘Jumlah iodin yang diperlukan oleh seseorang sepanjang hayatnya adalah kurang daripada satu sudu teh.

    ‘‘Keperluan iodin adalah lebih tinggi bagi wanita hamil serta yang menyusukan bayi,” katanya.

    Banyak kajian menunjukkan kekurangan iodin akan menyebabkan pelbagai masalah kepada bayi yang dilahirkan. Ia termasuk menjadi punca kepada masalah terencat akal, pembesaran terbantut, pekak, bisu dan mengakibatkan lemah anggota badan. Pengambilan iodin sepanjang tempoh mengandung merupakan satu keperluan sama ada melalui diet pemakanan atau makanan tambahan.

    Badan kita hanya memerlukan jumlah iodin dalam kuantiti yang kecil, malah ia wujud secara semula jadi dalam kebanyakan makanan. Sebab itu pengambilan makanan yang betul akan memastikan badan mendapat bekalan yang diperlukan setiap hari.

    Ia juga boleh didapati melalui makanan tambahan yang dijual di farmasi-farmasi.

    Sklerosis rosakkan saraf otak

    SEJAK beberapa tahun lalu penganalisa data, Zamani Ahmad, mengalami masalah penglihatan yang kabur. Kadang kala objek di depannya dilihat berganda-ganda walaupun telah mengenakan kaca mata.

    Dia tidak menganggapnya sebagai masalah serius hanya berandaian disebabkan kesan kerja yang sentiasa menghadap komputer.

    Namun akhir-akhir ini dia berasakan ada kelainan pada tubuhnya terutama di bahagian tangan dan kaki yang sesekali terasa kebas selain mudah berasa letih.

    Khuatir dengan keadaan tersebut lebih-lebih lagi dengan usianya yang semakin mencecah persaraan, dia membuat temu janji dengan doktor.

    Hasil pemeriksaan, doktor mengesyaki simptom-simptom yang dialami Zamani menunjukkan kemungkinan dia mengalami apa yang dipanggil sebagai sklerosis berbilang yang lazim menyerang tanpa disedari penghidapnya.

    Sklerosis berbilang atau Multiple Sklerosis (MS) ialah sejenis serangan saraf terutama pada otak. Ia sememangnya tidak menunjukkan gejala khusus.

    Simptom-simptom yang ditunjukkan mirip kepada masalah biasa seperti keletihan, pandangan kabur dan rasa kebas pada kaki serta lengan.

    Keadaan ini menyebabkan ia sukar dikesan dan penghidapnya menderita bertahun-tahun.

    MS berlaku apabila sistem ketahanan tubuh menyerang myelin, iaitu lapisan selaput yang melindungi sel-sel saraf membabitkan otak, tulang belakang dan mata.

    Serangan yang berterusan boleh menyebabkan kerosakan kekal pada saraf mengakibatkan isyarat tidak dapat disampaikan melalui saraf ke bahagian tubuh lain seperti yang sepatutnya dan timbulnya gejala MS.

    Berdasarkan laporan perubatan, MS merupakan salah satu penyakit saraf yang paling kerap menyerang orang dewasa di seluruh dunia. Kerap kali juga menyerang golongan muda pada usia antara 20-an dan 30-an.

    Dianggarkan seorang hingga sembilan daripada 100,000 penduduk Asia mengidap penyakit ini. Statistik di Malaysia pula menunjukkan dua atau tiga orang dalam 100,000 kes.

    Perunding neurologi, Dr. Shanti Viswanathan berkata, gejala-gejala MS sukar diduga malah simptom-simptom yang dialami oleh seseorang juga berbeza antara satu sama lain.

    ‘‘Biasanya simptom ini boleh di kesan melalui penglihatan yang kabur atau pertuturan yang tidak jelas serta mengalami kebas-kebas ringan di bahagian muka serta bahagian atas badan,” katanya.

    Kata Dr. Shanti lagi, kurang kesedaran mengenai penyakit ini menyebabkan penghidapnya terus menderita.

    Menurutnya, rawatan awal sangat penting dalam melambatkan perkembangan penyakit itu.

    Namun, bagi pesakit MS kronik, mereka memerlukan rawatan sepanjang hayat.

    ‘‘Kami percaya di luar sana, ramai yang menghidap MS tetapi belum dirawat atau diketahui

    ‘‘Biarpun sehingga kini masih tidak ditemui penawar kepada penyakit ini, kaedah rawatan interferon beta mampu mengurangkan jumlah kes MS sehingga ke 40 peratus.

    “Rawatan ini juga juga dapat memperlahankan kemampuan MS merebak,” katanya.

    Sementara itu syarikat framasutikal antarabangsa, Bayer Schering Pharma melancarkan program bantuan kepada pesakit yang menghidap MS melalui kaedah rawatan interfon beta.

    Melalui kaedah ini membantu pesakit menjalani kehidupan yang lebih berkualiti jika pesakit mendapatkan rawatan awal dan secara berterusan.

    Program telah diperkenalkan sempena Hari Multiple Sklerosis (MS) Sedunia 2010.

    Program bantuan kepada pesakit MS ini yang dijalankan dengan kerjasama jabatan-jabatan kebajikan serta hospital-hospital kerajaan.

    Sementara itu, Pengarah Perubatan Bayer Bayer Schering Pharma, Dr. Shunitra Devi memberitahu, dalam kajian yang telah dilakukan jangka hayat pesakit mampu bertahan lebih lama jika mendapat rawatan awal.

    ‘‘Kami sedar kos yang mahal menjadi halangan kepada seseorang penghidap MS mendapatkan rawatan.

    “Ini antara sebab utama kami memulakan program bantuan kepada pesakit. Ia bertujuan membantu lebih ramai penghidap MS mendapatkan rawatan terbaik dari awal serta meneruskannya dalam jangka waktu lama sehingga keadaan mereka bertambah baik,” katanya.