"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Saturday, April 2, 2011

Plastik daripada bulu ayam



BULU ayam boleh menggantikan bahan petroleum dalam proses pembuatan plastik.


JURNAL yang dikeluarkan oleh Persatuan Bahan Kimia Amerika Syarikat dari Anaheim, California mendedahkan penyelidik menemui langkah terbaru mencipta plastik mudah urai daripada buangan bulu ayam.
Ujar wakil penyelidik, Yiqi Yang, pihaknya sedang giat menjalankan uji kaji keberkesanan penciptaan termoplastik daripada bulu pelepah spesies burung terutama ayam.

"Namun, tidak ada satu pun yang berjaya kekal dalam bentuk asal apabila basah namun teknik ini adalah yang pertama kali digunakan oleh kami dalam usaha menghasilkan kualiti terbaik menentang kebasahan kesan air," katanya.

Tambahnya lagi, pihaknya sedang mencuba untuk membangunkan plastik daripada sumber asli yang boleh dikitar semula untuk menggantikan bahan asas petroleum dalam penciptaan sebelum ini.

Pihak yang bertanggungjawab dalam pembangunan bahan biologikal dan biofiber Institut Pertanian dan Sumber Semula Jadi Universiti Nebraska-Lincoln menegaskan, pendekatan pihaknya bersifat mesra alam dan berfungsi melestarikan keseimbangan alam sekitar.

"Bulu ayam adalah prospek terbaik kerana ia mudah dan biasanya terabai.

"Selalunya lebih 1.3 bilion kilogram bulu ayam terbuang begitu sahaja di Amerika Syarikat setiap tahun. Ada baiknya jika ia dimanfaatkan untuk diproses menjadi makanan haiwan," cadangnya selain diproses untuk bahan plastik.

Bulu ayam terbina daripada keratin iaitu sejenis protein yang ditemui daripada struktur rambut, tanduk, kuku dan bulu yang boleh menambah kekuatan dan ketahanan plastik.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0403&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_02.htm

BPA ubah lelaki jadi wanita


KLORIN di dalam kolam renang akan bertukar menjadi racun jika bercampur dengan air kencing manusia. - Gambar hiasan


AIR walaupun sangat penting kepada tubuh manusia boleh bertukar racun memberi mudarat dengan bermacam cara.

Sebagai contoh, air bersih yang diminum menggunakan bekas plastik yang mengandungi bahan kimia Bisphenol A (BPA) dan Nonyphenol mampu menjejaskan kesihatan bahkan mengganggu sistem hormon.
Profesor Madya Mohamad Pauzi Zakaria dari Jabatan Sains Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, salah satu daripada topik global yang sedang dibincangkan para saintis adalah bahan yang terkandung dalam bekas minuman plastik.

“Terdapat dua jenis bahan di dalamnya iaitu BPA dan Nonylphenol.

“Dua bahan itu digunakan untuk membuat bekas minuman seperti botol susu bayi kerana ia membuatkan plastik menjadi kuat dan tidak rapuh.

 “Namun, ia memberi kesan buruk kepada kesihatan manusia bahkan mampu menukarkan hormon di dalam badan manusia,” katanya.

BPA

Dakwanya, BPA dan Nonylphenol dikatakan lebih berbahaya terhadap lelaki kerana ia boleh menukar ciri lelaki kepada ciri wanita.

“Struktur molekul BPA dan Nonylphenol hampir menyerupai hormon yang terdapat dalam tubuh manusia.

“Jika manusia minum air menggunakan bekas plastik yang mengandungi BPA dan Nonylphenol, dua bahan ini akan menghapuskan hormon manusia sedia ada,” ujarnya.

Sebagai contoh, Pauzi berkata, jika seorang ibu minum bahan BPA dan Nonylphenol dan kemudian menyusukan anak lelakinya, bahan tersebut akan berpindah ke dalam tubuh anak lelakinya.

Secara tidak langsung, anak lelaki tersebut akan bertukar kepada ciri kewanitaan apabila dewasa kelak.

Menurut Pauzi, kajian di Tasik Apopka, Florida, Amerika Syarikat mendapati seekor buaya jantan yang terdedah kepada kedua-dua bahan itu akibat pembuang plastik di tasik tersebut telah bertukar secara perlahan menjadi buaya betina.

“Kajian pada tahun 1999 di Scandinavia pula menunjukkan ramai belia lelaki yang berumur 18 tahun secara perlahan memiliki sifat kewanitaan.

“Ini disebabkan kekerapan mereka terdedah kepada dua bahan tersebut.

“Lelaki yang sihat biasanya memiliki sebanyak 60 juta sperma untuk setiap mililiter.

 “Malangnya, belia lelaki yang terdedah kepada dua bahan ini hanya memiliki sebanyak 20 juta sperma setiap mililiter,” katanya.

Selain isu pencemaran bekas minuman, sumber air yang diminum juga berupaya mendedahkan manusia kepada risiko penyakit kanser.

AIR paip yang sudah dirawat selamat diminum begitu sahaja.


“Air yang tidak dirawat mengandungi pelbagai bahan berbahaya seperti nitrat, arsenik, mikroorganisma dan bahan kimia daripada racun perosak.

“Setelah air di empangan memasuki pusat pemprosesan air, kebanyakan bahan itu berjaya dihapuskan.

“Klorin yang digunakan turut membantu menghapuskan bakteria.

“Begitupun, jika air yang telah diklorin itu bertembung dengan sisa organik seperti air kencing, ia akan bertindak balas dengan klorin dan menghasilkan Trihalomethanes (THM) iaitu bahan karsinogenik yang boleh menyebabkan kanser,” kata Pauzi.

Klorin

Jelas Pauzi yang berpengalaman selama 30 tahun dalam bidang Sains Alam Sekitar, kandungan klorin yang
terdapat pada sumber air minuman bagaimanapun tidak terlalu banyak.

Sebaliknya, kata beliau, tempat paling berisiko adalah di kolam renang kerana kandungan klorinnya tinggi.

Mengulas lanjut, Pauzi memberitahu, THM wujud di dalam kolam renang jika terdapat ramai individu yang mandi di situ.

Jika salah seorang daripada mereka membuang air kecil atau najis yang merupakan sisa organik, ia akan bertindak balas dengan klorin lantas menghasilkan THM.

“Walaupun kandungan THM itu rendah, jika tersentuh atau diminum, kita boleh mendapat kanser dalam jangka masa panjang,” katanya kepada Jurnal.

Disebabkan itu, kata Pauzi, Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat (USEPA) telah mengharamkan rawatan air minuman menggunakan klorin.

Katanya, ada dua cara rawatan air tanpa klorin iaitu dengan menggunakan teknologi osmosis balikan (RO) dan ultra violet.

Ironinya, menurut Pauzi, kebanyakan negara masih mengekalkan rawatan klorin kerana ia murah.
Bercerita lebih lanjut, menurut Pauzi yang juga ahli jawatankuasa Persatuan Saintis Muslim Malaysia, terdapat banyak punca pencemaran air yang boleh menjejaskan kesihatan manusia.


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0403&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_01.htm

Masalah keputihan sejak usia 6 tahun

DOKTOR,

Soalan: SAYA berumur 15 tahun dan mempunyai beberapa soalan. Saya berasa risau kerana saya belum lagi datang haid.

Saya juga menghadapi masalah keputihan sejak akhir umur saya enam tahun. Apakah ini merupakan masalah yang teruk atau sebaliknya?

Perlukah saya berjumpa dengan pakar atau adakah ini cuma sesuatu yang dipengaruhi oleh tubuh badan seseorang?
Wanie, Perak.

Jawapan: Sebaiknya berjumpalah dengan doktor. Sekiranya telah ada perkembangan organ wanita, boleh tunggu sehingga berumur 18 tahun, sebaliknya jika tiada perkembangan pada organ wanita, perlulah berjumpa doktor pakar wanita pada usia 15 ke 16 tahun untuk memperhalusi penyebab masalah tiada haid.

Masalah keputihan sering berlaku pada wanita termasuklah kanak-kanak. Sekiranya keputihan itu banyak, berbau yang tidak menyenangkan atau gatal, perlulah mendapat pemeriksaan dari pakar. Ia selalunya disebabkan oleh jangkitan kuman. Kemasukan benda asing dalam faraj boleh terjadi pada kanak-kanak.


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0403&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_01.htm

Berat ideal bukan kurus

Soalan: TANGGAPAN tidak sepadan, mula timbul perasaan malu untuk mendampingi pasangan, sentiasa murung dan tidak dapat mengawal selera makan adalah punca utama yang sering mengugat masalah berat badan wanita masa kini.

Sememangnya setiap wanita mengimpikan bentuk badan yang unggul, jelita sepanjang hari dan tidak jemu dipandang. Itulah impian utama yang ingin dikecapi oleh wanita selama ini.

Oleh itu, pelbagai kaedah dan langkah dalam menyelesaikan masalah tersebut telah dilaksanakan bagi mempertingkatkan pengetahuan wanita yang mengalami masalah sedemikian.

Saya ingin pendapat doktor, apakah cara terbaik untuk menurunkan berat badan dan pada masa yang sama tidak memudaratkan kesihatan.

Salmah, Johor.

JAWAPAN: Persepsi untuk kurus perlu diubah kepada mencapai berat badan ideal. Amalan gaya hidup sihat adalah penting dan lebih utama untuk memastikan kita mencapai berat badan yang seimbang. Ini termasuk penjagaan pemakanan setiap waktu perlu dititik berat. Selain itu, melakukan senaman berkala dengan tetap amat membantu pembakaran lemak berlebihan di badan. Berat badan ideal akan menjadikan seseorang itu lebih muda dan sihat serta berkeyakinan tinggi. Ia juga melancarkan aktiviti seharian.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0403&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_02.htm

Terapi akupunktur



Shafiqa berhati-hati mencari titik akupunktur seorang pelanggan yang ingin mendapatkan rawatan.


HAJAT hati sudah lama ingin mencuba. Namun, rasa takut menguasai diri. Reaksi beberapa teman yang menjadikan rawatan itu sebagai amalan, ia tidak sakit malah badan terasa lebih ringan dan bertenaga.

Akhirnya diri digagahkan juga untuk merasa sendiri
bagaimana akupuntur dilakukan. Empat tusukan jarum halus, dua di bahagian tangan dan dua di kaki, pada mulanya hanya seakan gigitan semut. Ia hilang tidak lama kemudian, namun perasaan debar masih bersisa.

Selepas 30 minit mencuba, ternyata ia tidak sakit seperti disangka dan kesannya - urat saraf terasa seperti ‘dicaj’ semula.

Pengamal Homeopati, Nur Shazatul Shafiqa Ab. Gafa, berkata, rawatan akupunktur sebenarnya berfungsi meredakan kesakitan terutama yang berkaitan dengan saraf tanpa menggunakan sebarang dadah atau racun.

“Tidak semestinya berpenyakit, akupunktur juga ibarat satu terapi yang baik untuk kesihatan menyeluruh. Ia hanyalah rawatan alternatif dan yang paling penting, tidak memudaratkan badan” katanya yang bertugas di Pusat Homeopati dan Akupunktur Dr. Nik Omar di Bandar Baru Bangi, Selangor.

Beliau yang telah bertugas lebih tiga tahun di situ berkata, rawatan jenis itu telah diamalkan dalam perubatan China sejak 4000 tahun dahulu untuk merangsang urat saraf dan dipercayai mampu membantu merawat pelbagai jenis penyakit. Namun katanya, perubatan cara akupuntur mengambil masa yang lama dan kadangkala ia digabungkan bersama homeopati.

Antara pesakit yang biasa mendapatkan rawatan akupunktur adalah migrain, lumpuh muka (bell palsy), sakit pinggang, slip disc, sakit lutut di kalangan orang tua, gastrik, senggugut, kebas kaki atau tangan dan sebagainya.

Kata Shafiqa, rawatan yang diberi biasanya mengikut simptom yang dinyatakan pesakit. Setelah mengenalpasti bahagian tubuh yang dinyatakan, tusukan jarum dibuat selama 30 hingga 45 minit bergantung pada pesakit.

“Untuk mereka yang pertama kali datang, kita akan buat sekitar enam hingga 10 batang jarum. Bagi mereka yang berpenyakit serius pula, stimulator elektrik mungkin dipasang untuk menambah rangsangan pada jarum,” katanya.

Akupunktur juga kata beliau sesuai untuk kanak-kanak asalkan mereka boleh duduk diam sepanjang rawatan. Namun, Shafiqa tidak mengesyorkan ibu-ibu mengandung terutama tiga bulan pertama dan tiga bulan terakhir untuk melakukannya.

“Satu lagi untuk mereka yang ingin mencuba, buangkan rasa takut kerana kadangkala ia boleh menyebabkan rasa sakit bila kita stres kerana badan kita menjadi tegang,” tambahnya lagi.

Testimonial

Adik Afiq Irfan Abdul Rashid berusia lima tahun mengalami autisme peringkat ringan. Menurut ibunya, Hanifah Abdullah, perkembangan Afiq agak berbeza berbanding dengan dua orang abangnya.

“Dia lambat bertutur dan tidak suka berkomunikasi. Dia juga tidak gemar kepada aktiviti melibatkan kemahiran motor seperti menulis dan melukis,” kata wanita itu.

Disebabkan risau dengan keadaan itu, Hanifah membawa anaknya menjalani ujian khas dan pakar
mengesahkan anak itu mengalami masalah tersebut.

Beberapa penyelesaian disorkan,antaranya Afiq dihantar ke sekolah bagi membiasakan dia bergaul dengan rakan sebaya. Dia juga menjalani terapi pertuturan dan kemahiran motor di salah sebuah hospital terkemuka.

Melalui pembacaan Internet, Hanifah mengetahui manfaat akupunktur yang mampu merangsang saraf individu. Tanpa berlengah, dia membawa anaknya mendapatkan rawatan akupuntur di Pusat Rawatan Homeopati dan Akupunktur, Dr. Nik Omar akhir tahun lalu.

Afiq menjalani rawatan setiap minggu. Menurut ibunya, ketika pertama kali menerima rawatan, anak bongsunya itu langsung tidak menunjukkan reaksi ketika jarum akupuntur ditusuk di kepalanya.

“Namun kini, Afiq mula menunjukkan tindak balas seperti rasa sakit. Kami yakin ia petunjuk yang baik,” kata
beliau.

Hanifah juga gembira kerana Afiq kini sudah menunjukkan banyak peningkatan hasil mengikuti terapi pertuturan, menghadiri kelas di samping mendapatkan rawatan akupunktur.

Menurut Shafiqa yang menjalankan rawatan akupuntur kepada Afiq, jarum yang diberi pada kanak-kanak itu sekitar empat hingga lima batang setiap rawatan.

“Disebabkan dia leka bermain permainan video, dia boleh bertahan lebih kurang 30 minit sepanjang rawatan. Jika tidak, sekadar 15 minit sudah mencukupi,” katanya.


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0403&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_03.htm

Polikarbonat rosakkan hormon





BARU-baru ini Kementerian Kesihatan mengharamkan penggunaan bahan polikarbonat untuk menyimpan susu mahupun sebagai botol susu. Pengharaman tersebut kerana bahan polikarbonat dikenal pasti boleh merosakkan hormon manusia.

Adalah sukar bagi para saintis mengumpulkan data dan penjelasan yang terperinci kerana kerosakan hormon tidak dapat dikenal pasti dalam tempoh waktu yang singkat. Kefahaman dan pengetahuan mengenai isu itu masih samar walaupun kita telah melihat bukti-bukti jelas kerosakan hormon pada badan kita. Dengan kata lain kita telah melihat gejala kerosakan hormon yang sangat berleluasa namun penjelasan bagi masalah ini masih samar.

Berdasarkan statistik penyakit berkaitan hormon yang bertambah setiap tahun menunjukkan ia perlu dibendung segera. Keputusan kerajaan mengharamkan polikarbonat sebagai bekas simpanan susu bayi merupakan langkah yang baik.

Hormon merupakan bahan semula jadi yang terhasil di seluruh tubuh kita. Setiap hormon mempunyai fungsi yang unik dan tersendiri. Sebagai contohnya hormon metabolik membantu membakar makanan dan membolehkan makanan digunakan sebagai tenaga. Hormon ini membolehkan tubuh badan kita mendapat tenaga yang diperlukan. Jika hormon metabolik rendah maka seseorang itu pasti mempunyai tenaga yang rendah, cepat letih fizikalnya namun mampu bertahan dengan tenaga yang dihasilkan oleh hormon stres.

Apabila satu hormon rosak atau berkurangan maka tubuh akan bergantung kepada hormon lain pula sebagai bahan bagi mendapatkan tenaga. Ini menjadikan seseorang itu mempunyai personaliti dan ciri-ciri tenaga yang pelbagai bergantung kepada hormon yang dominan.

Signal hormon

Hormon bertindak dengan stimulasi atau pun dikenali sebagai signal hormon. Apabila kita makan makanan yang banyak gula, kelenjar hormon insulin akan mengesan paras gula yang tinggi. Signal yang dikesan adalah paras gula. Kelenjar hormon akan merembes hormon insulin yang kemudiannya menukarkan gula kepada tenaga. Tenaga ini akan digunakan oleh tubuh badan kita. Apabila kita berpuasa paras gula menjadi rendah dan ini dianggap sebagai signal oleh kelenjar hormon glucagon. Ia mengeluarkan hormon glucagon bagi menukar lemak kepada gula. Ini mewujudkan keseimbangan.

Hormon tiroid bekerja mengurai lemak dan memastikan tubuh tidak menyimpan lemak yang berlebihan. Namun apabila rosak ia tidak mampu lagi memberi respons kepada signal daripada tubuh.
Selain dari tubuh dan makanan, hormon juga saling bertindak antara satu sama lain. Kehadiran hormon cortisol (hormon stres) akan diseimbangkan dengan hormon tiroid (metabolisme). Begitu juga hormon-hormon lain yang berinteraksi dengan baik bagi menjamin kesihatan tubuh badan.

Growth Hormone (GH) misalnya berfungsi dalam tumbesaran tubuh badan bayi kepada dewasa. Dalam tubuh dewasa pula GH berfungsi mengekalkan kesegaran dan ketegapan tubuh. Seseorang yang kurang GH akan merasa lesu, kurang gembira dan tubuhnya mula mengecut, dengan kata lain proses penuaan menjadi lebih cepat.

Melatonin pula yang dihasilkan kelenjar pineal merupakan anti oksidan yang hebat bagi semua sel tubuh kita.

Melatonin juga memberikan tidur yang lena. Jika kelenjar hormon melatonin gagal berfungsi dengan baik
maka seseorang itu akan mendapat insomnia.

Polikarbonat mempunyai struktur kimia yang mampu menyamai struktur hormon dalam tubuh kita. Struktur yang sebegini bebas bergerak menuju ke arah kelenjar hormon kita membuatkan kilang hormon menjadi keliru. Dengan kata lain kehadirannya menyerupai hormon manusia dan membuatkan kepekaan kelenjar hormone kita menjadi berkurangan. Dengan kehadiran bahan polikarbonat yang kerap dan begitu banyak akhirnya akan merosakkan kelenjar hormon. Kerosakan membuatkan ia gagal mengeluarkan hormon yang diperlukan dengan tepat.

Kerosakan hormon akan jelas kelihatan sewaktu alam dewasa dan jarang sekali dilihat sewaktu kecil. Bayi yang diserang kerosakan hormon akan membesar menjadi orang dewasa yang obes atau pun mempunyai pelbagai masalah kesihatan yang lain.

Di dalam keghairahan kita mengejar arus kemajuan dan mengamalkan pembungkus plastik setiap hari wujud pula masalah baru yang menjadi misteri kepada kita. Statistik menunjukkan jumlah peningkatan dalam penyakit kanser, jantung, obesiti, buah pinggang dan lain-lain.

Kehadiran penyakit ini memberi impak yang sukar dalam kehidupan kita. Ia menelan kos rawatan yang tinggi sekali gus mengurangkan kualiti kehidupan.

Untuk mencapai tahap kesihatan yang baik, kita perlu prihatin dan menyokong usaha kerajaan. Kita juga mesti memberi nasihat kepada ahli keluarga terutamanya anak-anak kecil agar tabiat pemakanan dan penggunaan plastik dalam makanan dan minuman seharian dapat dibendung.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0403&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_05.htm

Bantu kawal berat badan



Senaman secara tetap merupakan cara mengurangkan atau mengawal berat badan yang baik.


Soalan: Ibu mengalami masalah berat badan sejak dulu. Kini saya berusia awal 30-an juga mengalami masalah yang sama. Malah keturunan sebelah ibu saya banyak mengalami masalah jantung ataupun diabetes.
Saya ingin mencegah agar masalah kesihatan ini tidak mendatangi saya. Adakah panduan umum untuk dijadikan amalan untuk saya?

Jawapan

Banyak masalah kesihatan bermula dengan masalah
berat badan berlebihan dan obesiti. Kegemukan menjadi faktor risiko yang besar kepada penyakit diabetes, tekanan darah tinggi, peningkatan tahap kolesterol, penyakit sendi dan beberapa lagi. Memandangkan anda mempunyai sejarah keluarga, secara umumnya anda lebih berisiko untuk mendapat masalah yang serupa dengan ahli keluarga yang lain.

Apa yang perlu sentiasa diingat bahawa anda masih boleh mengurangkan risiko mendapat masalah kesihatan seperti yang disebut dengan perubahan gaya hidup aktif dan juga amalan pemakanan yang sihat dan seimbang sebelum terlambat.

Mulakan dengan pengawalan makanan untuk mengurangkan berat badan. Kita memperolehi kalori daripada metabolisme karbohidrat, lemak dan protein. Kalori digunakan oleh tubuh untuk penghasilan tenaga. Tenaga diperlukan untuk fungsi asas tubuh seperti pernafasan, metabolisme dan sintesis sel-sel baru. Selain itu, tenaga diperlukan untuk aktiviti fizikal seperti bercakap, berjalan dan sebagainya. Ini akan membantu membakar kalori yang diperolehi daripada makanan.

Apabila wujudnya keseimbangan antara kalori yang diambil dengan yang dibakar, berat badan akan kekal stabil. Bagaimanapun, apabila pengambilannya melebihi daripada tenaga yang digunakan, kalori berlebihan akan ditukar kepada lemak dan mengakibatkan pertambahan berat badan.

Untuk mengurangkan atau mengekalkan berat badan kita perlu menggunakan kalori berlebihan daripada makanan dan mengurangkan pengambilan kalori mengikut keperluan tubuh kita. Sebagai contohnya, seorang wanita yang mempunyai berat badan 64 kilogram dan tinggi 160 sentimeter, maka indeks jisim tubuhnya (BMI) adalah 25 (berlebihan berat badan). Maka anggaran keperluan tenaganya adalah 1600 kcal/hari. Dengan itu, beliau perlu merangsang pengambilan kalori sebanyak 1600kcal/hari.

Untuk menjayakan usaha untuk mengawal berat badan, adalah penting bagi seseorang itu untuk merancang saiz hidangan dan menu makanan anda. Pilihlah makanan yang tergolong dalam Indeks Glisemik makanan (GI) yang rendah. Makanan GI rendah adalah lambat dicerna dan diserap, dan meningkatkan paras glukosa dan insulin secara lebih perlahan dan lebih bermanfaat untuk kesihatan. Manakala makanan dalam kategori GI tinggi pula memberi kesan sebaliknya. Kebanyakan sayur tergolong dalam makanan GI rendah. Roti putih, nasi putih, mihun goreng tergolong dalam GI tinggi. Contoh golongan makanan GI sederhana adalah nasi beras perang, capati, madu dan sebagainya.

Senaman secara tetap merupakan cara mengurangkan atau mengawal berat badan yang disarankan memandangkan ia semula jadi dan berkesan. Pengambilan astaxantin serta amalan senaman akan membenarkan pengangkutan lemak secara berterusan ke mitokondria untuk penjanaan tenaga berterusan yang kemudiannya membantu meningkatkan ketahanan dan stamina serta mengurangkan keletihan. Kadar pemulihan otot selepas senaman juga dipercepatkan serta mengurangkan pembentukan asid laktik selepas aktiviti fizikal yang intensif. Selain pemakanan seimbang, astaxantin juga mempercepatkan pengurangan lemak badan atau “pembakaran lemak” apabila digabungkan dengan senaman dan ia membantu dalam pembentukan bentuk badan dan otot.

Pengambilan astaxantin juga bermanfaat untuk kesihatan jantung. Ia menghalang pengoksidaan kolesterol LDL dan ini menyumbang kepada pencegahan aterosklerosis. Ia juga memperbaiki tekanan darah tinggi. Pigmen yang diperolehi daripada mikro alga Haematococcus pluvialis ini yang merupakan antioksida poten yang juga membantu melindungi daripada kesan tekanan oksidatif akibat glukosa darah yang tinggi.


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0403&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_06.htm

Selamatkah botol susu anak anda?





TIGA tahun lalu, Program Toksikologi Nasional Amerika Syarikat mengeluarkan laporan bahawa bahan kimia dikenali sebagai bisphenol A (BPA) mungkin menyebabkan masalah berkaitan hormon, termasuk baligh lebih awal di kalangan kanak-kanak dan ketumbuhan barah.

Kandungan bahan kimia BPA lazimnya ditemui pada botol susu bayi. Bertambah buruk lagi apabila botol air yang digunakan untuk minum ketika hamil juga mengandungi kimia ini.

Terdapat kebimbangan pendedahan terhadap BPA boleh memberi kesan kepada bayi dalam kandungan sama ada dari segi neurologi atau tingkah-laku. Bayi turut mengalami risiko yang sama jika kajian ini didapati benar.

Pertubuhan seperti Majlis Kimia Amerika mempertikaikan tidak ada bukti kuat bisphenol A memberi kesan buruk kepada manusia.

Ketika ini, Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) tidak bercadang mengharamkan BPA dalam plastik. Begitupun, Kanada telah mengambil langkah awal dengan melabelkan kimia itu berbahaya.

Namun di sebalik pendedahan tentang BPA, ibu dan bapa masih mempunyai pilihan untuk memilih menggunakan cawan atau botol susu untuk bayi ada.

Selain itu, terdapat botol susu bebas BPA di pasaran dan botol susu kaca sebagai alternatif.
Jalan yang lebih selamat untuk mengelak kontroversi berkaitan keselamatan penggunaan bekas plastik adalah dengan mengelak daripada menggunakannya.

Bukan saja keselamatan anak terjamin bahkan anda sendiri tidak perlu berasa risau.

Isu BPA bukan baru tetapi masih ada alternatif lain bagi mereka yang mahu mengekalkan botol lama.
Seorang pakar perubatan sebuah hospital persendirian di Lembah Klang memberitahu, botol susu polikarbonat telah sejak dahulu lagi. Sebagai seorang doktor, beliau sendiri belum pernah menerima atau
merawat kes bayi atau kanak-kanak akibat polikarbonat.

“Dalam kehidupan seharian, kemungkinan botol-botol minuman palikarbonat yang kita gunakan turut terdedah dengan bahan BPA atau Bisphenol A.

‘‘Justeru itu, ia bukan satu persoalan yang baru tetapi semua pihak perlu melakukan kajian terperinci agar botol susu yang digunakan tidak memudaratkan kesihatan

‘‘Adakah satu tahap nanti, ibu bapa perlu menggunakan botol kaca?,” ujar doktor tersebut yang mengutarakan pendapat ringkas.

Menurut Pegawai Perubatan Hospital Pantai Ampang, Dr. Hanafiah Bashirun, BPA adalah bahan kimia industri yang digunakan untuk mmbuat botol susu bayi polikarbonat agar botol tersebut keras dan lutsinar.

“Baru-baru ini kajian Universiti Malaya mendapati percampuran bahan BPA dengan kandungan botol susu berkenaan pada suhu tertentu memberi kesan kepada kesihatan bayi dan kanak-kanak.

‘‘BPA ini pula akan menyebabkan gangguan pada sistem hormon badan bayi sekali gus menjejaskan sistem tubuh badan bayi. Tetapi tiada sebarang kajian saintifik untuk mengesahkan fakta tersebut,” katanya.

Sebagai langkah berjaga-jaga, ibu bapa yang mampu dinasihatkan agar memilih botol susu bebas BPA, contohnya polypropylene (PP), polyethersulfone (PES), polyamides (PA).

Beliau memberitahu, botol susu yang mengandungi BPA biasanya bersifat keras dan lutsinar. Selain itu, perhatikan label kod identifikasi plastik pada bawah botol susu. Botol susu dengan BPA akan dilabel dengan ‘nombor 7', ‘nombor 7 dan PC’ atau ‘nombor 7 dan other’.

Bagi ibu bapa yang sedang menggunakan botol susu mengandungi BPA, adalah dinasihatkan agar menukar botol tersebut kepada botol ‘bebas BPA’.

Jika masih ingin menggunakan botol lama, Dr. Hanafiah menasihatkan agar mereka melakukan langkah berikut :-

l Steril botol susu bayi mengikut arahan pengendalian pada label atau yang diberikan oleh pengeluar, jika ada.

l Jika tiada panduan, pengguna perlu merendam botol susu polikarbonat dalam air yang mendidih selama lima
hingga 10 minit.

l Elak menggunakan air panas secara terus dalam botol susu bayi polikarbonat untuk membancuh susu.

l Guna peralatan mencuci botol susu yang sesuai seperti span dan berus lembut bagi mengelak permukaan dalam menjadi rosak dan bercalar.

l Sentiasa periksa permukaan dalam botol susu dan jika ada kesan calar atau rosak, ia perlu diganti.

l Jika tiada kerosakan, botol susu perlu diganti setiap enam bulan.


Katanya, kesan penggunaan botol susu yang mengandungi BPA adalah bersifat jangka panjang.

“Ini disebabkan kesan sampingan pada sistem hormon. Adalah agak sukar untuk mengesannya dalam jangka masa pendek kerana kesannya masih tidak kelihatan. Perlu diingat, tidak ada situasi kecemasan yang timbul disebabkan kesan BPA tersebut,” ujar beliau.

Kebanyakan ibu sibuk dengan kerjaya dan penggunaan susu botol adalah sebagai alternatif bagi mereka yang ingin memberi susu ibu. Seperti yang kita sedia maklum, susu yang terbaik adalah susu ibu.

Berhubung dengan tumbesaran bayi, tiada sebarang kesan pada tumbesaran bagi kanak-kanak yang berumur lima tahun ke atas yang masih menyusu menggunakan susu botol.

Ini kerana zat nutrisi yang terdapat pada susu tersebut juga penting.

Bagaimanapun pada usia tersebut, digalakkan mereka di ajar menggunakan cawan atau botol biasa terutama jika mula memasuki zaman persekolahan.

“ Biasanya pihak hospital tidak akan memberitahu atau mencadangkan jenis-jenis botol susu tertentu yang harus digunakan. Ini kerana kebanyakan hospital menggalakkan penyusuan susu badan. Akan tetapi, pada masa ini, adalah amat digalakkan penggunaan susu botol yang mengandungi BPA dielakkan,” katanya.

Kenal pasti botol susu jenis polikarbonat

l Bersifat keras dan lutsinar yang mana ia mengandungi BPA.

l Botol susu tersebut juga boleh dikenali melalui kod identifikasi plastik yang biasa didapati di bawah botol susu bayi.

l Kod identifikasinya adalah nombor 7, nombor 7 dan PC, nombor 7 dan ‘other’.

l Sementara itu, botol susu bayi yang bebas BPA biasanya dilabelkan dengan perkataan ‘BPA free’ atau bebas BPA.


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0403&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_07.htm

HRT tangani gejala menopaus



Wanita yang sedang melalui fasa menopaus masih boleh menjalani hidup dengan ceria. - Gambar hiasan


SETIAP wanita akan melalui fasa 'putus haid' atau menopaus. Usia biasa wanita memasuki fasa peralihan ini ialah sekitar 50 tahun.

Namun ia juga boleh berlaku kira-kira 10 tahun lebih awal yang disebut sebagai pra-menopaus khususnya di kalangan wanita yang mempunyai sejarah keluarga menopaus awal.

Apabila seseorang wanita menghampiri putus haid, kitaran haidnya akan menjadi tidak stabil di mana kadang-kadang ia berlaku terlalu kerap atau terlalu jarang.

Ia akan diiringi dengan simptomsimptom lain seperti kesakitan sendi, hilang tumpuan, sakit kepala, kemerahan muka, tiada keinginan untuk seks dan pelbagai lagi jenis penyakit sehingga boleh mengganggu kehidupan seharian.

Sebagai wanita mereka seharusnya peka dan mengambil berat akan tanda-tanda awal menopaus.
Tanda-tanda ini amat penting agar gejala-gejala akibat daripada perubahan hormon dan fizikal yang terpaksa ditanggung seseorang wanita dapat diatasi.

Banyak tanda-tanda awal yang akan dialami seseorang wanita dalam proses pra-menopaus.
Hakikatnya, kira-kira 80 peratus daripada wanita menopaus akan mengalami gejala seperti panas, berpeluh malam dan palpitasi (gejala vasomotor).

Sekarang ini, keperitan yang dirasai ketika pra-menopaus itu dapat dikawal dan diatasi sepenuhnya melalui kaedah Terapi Penggantian Hormon (HRT).

Selaras dengan itu, dalam usaha perubatan moden bagi meningkatkan mutu kesihatan wanita, Kolej Obsetrik & Ginekologi, Akademi Perubatan Malaysia (COGAMM) telah menyediakan garis panduan amalan klinikal pertama mengenai Terapi Hormon Semasa Menopaus di kalangan wanita Malaysia.

Inisiatif COGAMM itu membabitkan projek menerbitkan buku garis panduan untuk rujukan kepada semua pakar obsetrik dan ginekologi dalam mengurangkan sebarang kekaburan tentang HRT.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Garis Panduan Amalan Klinikal, Dr. Ong Hean Choon, HRT merupakan pilihan paling berkesan untuk menangani gejala menopaus.

Melalui rawatan HRT, ia membantu mengurangkan kesakitan dan sekali gus mengurangkan simptom menopaus.

"Ia sepatutnya menjadi sebahagian daripada pendekatan menyeluruh untuk menguruskan menopaus," katanya
ketika ditemui pada Bengkel Menopaus yang diadakan di Hotel Hilton, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Katanya, rawatan HRT terbahagi kepada dua jenis iaitu Terapi Estrogen dan Terapi Estrogen Progestin.
"Melalui kaedah ini, setiap wanita memerlukan terapi atau dos yang berlainan, kesemua itu bergantung kepada nasihat doktor dan pakar.

"Antara hormon boleh didapati seperti berbentuk pil, krim, suntikan, tampalan dan juga memasukkan alat viginal,'' ujarnya lagi.

Malah tegasnya, terdapat banyak data klinikal yang membuktikan bahawa HRT yang dimulakan di peringkat awal adalah berkesan dan selamat.

Kata beliau lagi, apabila seseorang menghampiri tempoh menopaus, keadaan dirinya menjadi lemah.
Simptom tersebut berlaku akibat perubahan tahap estrogen dalam badan daripada tinggi menjadi rendah.

Tegas Dr. Hean Choon lagi, melalui kaedah HRT ia berkesan untuk mengawal sakit kepala dan simptom akibat daripada kekurangan estrogen.

Selain itu, melalui rawatan HRT juga pesakit sebenarnya mampu mendapat perlindungan tulang daripada reput dan rosak secara perlahan-lahan.

"Apabila usia meningkat, perlindungan daripada kereputan tulang (osteoporosis) menjadi semakin penting. Banyak kejadian tulang patah yang berbahaya dapat dielakkan dengan meneruskan HRT.

"HRT jangka panjang juga boleh mengembalikan perlindungan yang diberikan oleh estrogen sebelum menopaus, iaitu daripada kemusnahan pembuluh darah yang membawa darah ke jantung, otak dan organ-organ lain,'' ujarnya.



http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0329&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_01.htm

Kit pembasmi kuman ketika melancong



Dari kiri Ziana Zin, Armin Zaharin dan Carmen Foo menunjukkan poster rangkaian produk perlindungan anti-bakteria oleh Antabax.


FAKTA perubatan mendapati bahawa 80 peratus jangkitan penyakit berjangkit disebarkan melalui tangan. Potensi itu lebih terdedah kepada mereka yang kerap mengembara atau melancong ke luar negara.
Atas dasar itu Antabax, jenama produk perlindungan anti-bakteria telah mensasarkan pelancong dari Malaysia pada Pesta Pelancongan MATTA 2011 melalui pelancaran kempen inovatif Melancong Bersih, Sihat dan Berwaspada' di Pusat Dagangan Dunia Putra, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pengurus Pemasaran Lam Soon Edible Oils Sdn. Bhd., Carmen Foo, berkata, inisiatif itu diperkenalkan kerana pihaknya percaya bahawa cara paling mudah mengurangkan kadar jangkitan ini adalah dengan memastikan tangan sentiasa dibersihkan dengan air dan sabun atau menggunakan pembersih tangan.

"Kami tidak melupakan pelancong Malaysia dan atas sebab itulah kami melancarkan inisiatif ini di Pesta Pelancongan MATTA, yang merupakan konvensyen pelancongan terbesar di negara ini.

"Tiada tempat lain sebaik konvensyen sebegini untuk mengingatkan pelancong mengenai kesihatan dan tanggungjawab mereka sewaktu meneroka dunia baru atau melawat ahli keluarga atau kenalan di luar negara," katanya.

Menurut Foo, meskipun jangkitan penyakit melalui sentuhan tangan adalah punca utama penyebaran, bahagian badan lain turut boleh dilindungi dengan menggunakan produk anti bakteria terutama ketika melancong ke negara luar.

Katanya, Antabax mempunyai rangkaian produk lengkap untuk memenuhi segala keperluan pelancong pada setiap ketika.

"Sempena konvensyen itu juga, kami mengagihkan lebih 50,000 Kit Melancong Antabax kepada pengunjung pameran.

"Setiap pek mengandungi pembersih tangan Antabax yang direka khas untuk kemudahan melancong dan digunakan bagi memenuhi segala keperluan pembersihan kulit," katanya.

Menurutnya, kit tersebut turut mengandungi panduan panggilan telefon penting termasuk syarikat kad kredit, syarikat penerbangan dan maklumat penerbangan serantau.

Pada majlis berkenaan, Duta Produk Antabax, penyanyi Ziana Zain serta suaminya, Armin Zaharin berkongsi pengalaman masing-masing mengenai cara menjaga kesihatan dan kebersihan diri ketika melancong.

Sebagai penyanyi yang banyak membuat persembahan di luar, Ziana sedar risiko tinggi dijangkiti penyakit berjangkit.

"Saya amat teliti mengenai kebersihan, bukan saja terhadap diri tetapi juga buat keluarga.

"Saya sentiasa membawa krim mandian anti-bakteria setiap kali melancong atau mengembara kerana saya tahu ia amat berkesan dan tidak mahu rutin harian saya terganggu.

"Malah semburan pembersih tangan sentiasa di dalam beg tangan kerana saya akan gunakannya ke atas apa saja tangan, tombol pintu, mikrofon, mangkuk tandas, pendek kata di mana saja tempat yang mungkin membolehkan kuman menjangkiti saya," kata Ziana.

Sementara itu sebagai Ketua Pramugara Penerbangan Malaysia, Armin mengakui sentiasa berhati-hati dalam memastikan dia tidak menyebarkan penyakit berjangkit kepada orang lain.

"Sebagai bapa dan suami, sudah pasti saya tidak mahu anak dan isteri saya jatuh sakit sejurus saya pulang ke rumah. Jadi saya begitu cermat dalam memastikan kesihatan diri.

"Selain mendapatkan suntikan vaksin selesema, saya juga memastikan penyembur pencuci tangan sentiasa berada di sisi bagi membersih tangan atau sebarang permukaan, tabiat mudah tetapi amat berguna," kata Armin.


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0329&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_02.htm