"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Tuesday, October 6, 2009

Alzheimer penyebab nyanyuk




Sel-sel Alzheimer


PENYAKIT Alzheimer ialah bentuk penyakit nyanyuk (dementia) paling umum yang dialami oleh manusia berusia 65 tahun dan ke atas. Ini bukan sebahagian daripada proses penuaan normal, tetapi penyakit yang menyebabkan kehilangan progresif sel saraf otak.


Memandangkan sel saraf ini penting untuk pemikiran normal, daya ingatan dan fungsi otak, mereka yang menghidap penyakit Alzheimer mengalami kemerosotan fungsi otak yang mengganggu kegiatan harian normal mereka.


Secara beransur-ansur, pesakit Alzheimer hilang keupayaan mereka untuk melakukan kegiatan harian paling asas seperti memberus gigi, memakai pakaian, mandi dan lain-lain.

Pada akhirnya, keupayaan mereka untuk berjalan dan bercakap juga mungkin terjejas atau hilang sama sekali.


Dikenali sebagai penyakit 'The Long Goodbye', penyakit ini lazimnya meliputi tempoh lebih sepuluh hingga 20 tahun. Walaupun penyelidikan intensif dijalankan kebelakangan ini, penyakit Alzheimer masih belum difahami sepenuhnya dan tiada penawar yang diketahui, lantas pengesanan dan rawatan awal merupakan satu-satunya pilihan untuk menguruskan penyakit dengan berkesan.


Menurut Pakar Runding Geriatrik Pusat Perubatan Universiti Malaya, Prof Dr Philip Poi Jun Hua, Alzheimer sejenis penyakit otak degeneratif yang dialami oleh kira-kira 24 juta orang di seluruh dunia.


"Perkara yang sering dikhuatiri ialah kepatuhan pengambilan ubat kerana penyakit Alzheimer menjejaskan daya ingatan seseorang. Pesakit mungkin lupa mengambil ubat atau terlupa mereka telah mengambil dos.


"Maklum balas daripada para penjaga pesakit menunjukkan bahawa sering kali, pesakit enggan mengambil ubat kerana berpendapat mereka tidak menghidap sebarang penyakit.


Kaedah pemberian ubat baru ini memberikan pilihan tambahan yang amat dihargai kepada kira-kira 50,000 rakyat Malaysia lanjut usia yang menghidap penyakit ini," katanya ketika majlis pelancaran rawatan transdermal penyakit Alzheimer's, Exelon Patch.


Sementara itu, Ketua Perubatan, Novartis Corporation (Malaysia), Dr Premila Paranchothy, memberitahu, rawatan ini menawarkan manfaat terapeutik yang unik dengan mengekalkan kandungan ubat yang sama dalam aliran darah, lantas mengurangkan kesan sampingan gastrousus seperti loya dan muntah.



"Keupayaan memberi pesakit rawatan yang berkesan menerusi tampalan yang mudah dan senang digunakan merupakan satu kemajuan besar. Bagi penjaga, tampalan ini memberikan jaminan yang nyata bahawa pesakit telah mengambil ubat, jadi mereka tidak perlu lagi bimbang tentang perkara ini," katanya.



Dalam pada itu, Dr. Philip memberitahu, Alzheimer sekarang menjadi masalah kesihatan umum utama yang semakin serius dihadapi oleh golongan warga emas dan memerlukan penjagaan keluarga mereka.



"Alzheimer merupakan penyakit nyanyuk yang biasa menyerang warga emas. Mengikut statistik Asia Pasifik, penghidap penyakit ini telah mencecah 18 juta orang. Lebih kurang 60,000 orang di Malaysia merupakan penghidap Alzheimer. Dijangka pada tahun 2020, angka ini akan berganda kepada 120,000 orang," katanya.



Tambah Dr. Philip, berkorban masa dan tenaga menjaga warga emas yang menghidap penyakit Alzheimer atau nyanyuk bukanlah satu perkara mudah.



"Penyakit Alzheimer bukan hanya nyanyuk yang disebabkan proses penuaan. Sebaliknya, ia adalah sejenis masalah kesihatan yang memerlukan perhatian daripada keluarga pesakit. Ia menyebabkan keupayaan fungsi otak menurun dan memusnahkan kemahiran daya ingatan dan pemikiran seseorang," jelasnya.


Risiko untuk menghidap Alzheimer, penyakit yang sinonim dengan warga tua ini, meningkat seiring dengan pertambahan usia.



Menurut Dr. Philip, simptom dementia yang paling awal adalah menjadi pelupa terutama mengenai perkara penting dan dilakukan setiap hari. Mereka perlu dibawa berjumpa doktor bagi menjalani pemeriksaan bagi mengesahkannya.



Jelasnya, sebaik sahaja menusia mencecah 20 tahu, proses kematian sel-sel di dalam otak mula berlaku dan menyebabkan otak mengecut. Kemusnahan sel-sel otak secara berterusan menyebabkan kualiti daya ingatan semakin berkurangan.



Dr. Philip memberitahu, dementia merujuk kepada sekumpulan gejala yang berkaitan dengan hilang ingatan, berlaku secara perlahan-lahan tanpa disedari tetapi akhirnya boleh menjadi bertambah teruk.


Akibatnya, seseorang sukar mengingat sesuatu dan menjejaskan keupayaannya untuk berfikir dengan baik hingga boleh mengganggu aktiviti normal dan rutin seperti makan dan menguruskan kebersihan diri.



"Selain kemerosotan pemikiran, pesakit turut mengalami perubahan dari segi personaliti dan tingkah laku serta perasaan mereka.



Menurutnya, sekiranya pesakit mendapat rawatan pada peringkat awal, ia sekali gus mampu mengurangkan masalah penjagaan yang membebankan ahli keluarga.



"Mengesan gejala Alzheimer pada peringkat awal merupakan satu kelebihan. Doktor boleh memberi panduan tentang tanda-tanda awal demetia. Jika pesakit benar-benar disahkan mengidap Alzheimer, keluarga pesakit mempunyai lebih masa untuk membuat rancangan pada masa depan. Rawatan boleh dilakukan awal dan ia lebih efektif," katanya.



Dr. Philip menjelaskan, ketika diagnosis dijalankan, doktor memerlukan maklumat pesakit daripada keluarga dan kawan-kawan, ujian fizikal dan neurologikal serta ujian makmal. Selain itu, doktor akan melakukan ujian neuropsikologikal di samping melakukan imbasan imej menggunakan CT atau Magnetic Resonance Imaging (MRI).



Katanya, imbasan PET merupakan langkah utama untuk mendapatkan maklumat.
Mengimbas sejarah Alzheimer, penyakit ini ditemui oleh Dr. Alois Alzheimer pada 1907 ini, dinamakan Alzheimer, bersempena nama beliau.


Dementia boleh dibahagikan kepada dua,


pertama dementia berbalik (reversable) yang boleh dikawal dan


kedua tidak berbalik iaitu kekal.



Hasil daripada bedah siasat terhadap seorang wanita, Dr. Alzheimer mendapati otak wanita tersebut bukan saja mengecut malah, dipenuhi dengan gumpalan protein yang luar biasa yang dipanggil plak amiloid dan serat yang berbelit-belit (neuro fibrillary).



Individu yang berisiko untuk mendapat penyakit ini ialah seseorang yang menghidap hipertensi apabila mencecah usia 40 tahun ke atas, penghidap diabetes, kurang melakukan senaman, paras kolesterol yang tinggi dan faktor keturunan iaitu mempunyai ahli keluarga yang menghidap penyakit ini pada usia lingkungan 50-an.



Antara simptom lain dementia ialah lupa perkara yang sering dilakukan, cepat penat, sukar membezakan masa, tempat dan orang, hilang daya logik, pelupa, tidak mapu melakukan kegiatan harian dan menyiapkan diri sendiri, tidak boleh menumpukan perhatian, susah mengingat perkataan ketika bercakap dan sukar menamakan objek.



Selain itu, pesakit Alzheimer sering tertekan, merepek, tidak sabar, sukar membezakan masa dan yang paling teruk ialah mereka gagal mengawal ketika membuang air kecil atau besar, tidak mampu berfikir, bercakap dan bergerak malah terdapat juga penghidap Alzheimer hilang sifat malu dan bercakap mengenai hal yang boleh memalukan keluarga atau bertelanjang di tempat umum.


Berikut merupakan sedikit panduan bagi keluarga yang ingin menangani ahli keluarga mereka yang menghidap Alzheimer:



l Selalulah bergurau senda dengan mereka kerana warga emas yang nyanyuk cenderung menyimpan kemahiran bersosial mereka.



l Sebagai orang yang lebih muda, wujudkan mood positif ketika berbual-bual dengan mereka. Berinteraksilah dengan mereka dengan bahasa yang lembut dan sopan sebagai tanda hormat.



l Ingatilah masa-masa indah yang pernah dilalui bersama mereka kerana kebanyakan pesakit nyanyuk tidak mengingati apa yang telah berlaku dalam tempoh 45 minit.



l Ketika berbual-bual dengan mereka, wujudkan suasana tenang. Elakkan bunyi bising seperti telefon bimbit dan radio. Perkenalkan diri anda dan jelaskan hubungan anda dengannya sambil menyentuh tangan dan bahunya.



l Berbual-bual dengan mereka dengan menggunakan bahasa dan ayat yang mudah difahami. kita perlu faham bahawa golongan ini mudah tersentuh. Jadi, anda tidak perlu meninggikan suara. Cukup sekadar bahasa yang jelas dengan nada rendah.



l Pesakit nyanyuk biasanya mudah lupa, jadi anda perlu bersabar setiap kali menunggu jawapan mereka.


l Wujudkan suasana yang bahagia dengan berbual sambil bercerita perkara lucu. Sekiranya mereka dalam mood sedih, cuba tukar persekitaran dan topik cerita.

Strok akibat seks




STROK yang diakibatkan seks atau orgasma kerap berlaku di kalangan orang tua.

PADA Disember 2007, seorang wanita berumur 35 tahun dari Illinois, Amerika Syarikat menunjukkan simptom yang menyamai strok semasa melakukan hubungan seksual.


Kebas separuh muka, pertuturan yang tidak jelas sebutannya dan lengan kiri yang lemah telah membawa wanita itu ke hospital.


Lumpuh muka, pertuturan yang teruk dan lengan kiri yang tidak dapat digerakkan telah memaksa doktor untuk menggunakan ubat lerai darah beku di dalam otaknya dalam cubaan segera untuk menghalang strok daripada menjadi lebih teruk. Ia berkesan.


Wanita itu kemudiannya menunjukkan peningkatan kesihatan yang cepat, dan simptom strok hampir tidak kelihatan langsung 12 jam selepas prosedur itu.


Doktor memberi perhatian lanjut terhadap kes ini memandangkan wanita berkenaan tidak mempunyai sejarah penyakit kardiovaskular - masih muda, tidak merokok dan tiada masalah kesihatan yang serius.


Strok yang diakibatkan seks atau orgasma dikatakan jarang berlaku di kalangan orang muda, tetapi faktor yang bergabung untuk menyebabkannya berlaku bukanlah sesuatu yang baru.

Hanya penyatuannya yang menjadikannya unik.


Dan masalah yang dihadapi wanita tadi dikelaskan sebagai gangguan jantung yang dipanggil PFO, di mana bukaan kecil pada dinding jantung antara kedua-dua bahagian atas jantung yang membenarkan darah melintasi jantung dan mengalir terus ke otak.

Sejenis Lagi Tumbuhan Perawat Kanser





BATANG pokok ini berduri seperti jarum. Durinya terbit antara lima, enam atau tujuh bilah di setiap pangkal daun, malah ada yang terbit lebih daripada tujuh batang duri. Amalan tradisi akan memilih daun yang mempunyai tujuh duri dipangkalnya.



Daunnya berkilat berbentuk runcing pada hujung dan pangkal, lembut dan rangup jika diramas serta berlendir. Urat daun berselang-seli dan ada yang bertemu di bahagian pangkal daun, sementara urat sebelah belakang daun berwarna ungu.


Daun mudanya elok dimakan begitu saja. Rasanya seperti pucuk paku. Sedap jika dimasak lemak, tetapi untuk mengekalkan khasiatnya, baik dimakan sebagai ulam.

Bunganya berwarna kuning kemerahan mempunyai lapan hingga 12 kelopak dengan stigmanya berwarna putih. Bunga tujuh duri ini terbit di bahagian pucuk dahan.

Nama saintifiknya Pereskia bleo dari keluarga Cactaceae. Batang yang tua berkilat sementara batang mudanya berwarna hijau muda bertompok-tompok putih. Batangnya jika dikerat-kerat atau dicantas akan mengeluarkan lendir. Ia mudah bertunas serta mudah ditanam melalui keratan batangnya.

Untuk tujuan ulam, anda dinasihatkan supaya menceraikan daun daripada batangnya satu persatu. Ini kerana, walaupun batang mudanya juga lembut, tetapi masih mempunyai duri halus yang berbisa. Amalan memakan daunnya dikatakan terhindar dari darah tinggi, kencing manis dan barah.

Aktif seks punca kanser





HPV boleh dipindahkan kepada pasangan dan ia mengambil masa antara 10 hingga 15 tahun untuk berkembang.

KANSER serviks atau kanser pangkal rahim terjadi pada saluran reproduksi wanita dan menjadi penyebab utama kematian akibat kanser di seluruh dunia.


Biarpun mudah dikesan melalui saringan awal, namun masih ramai yang tidak berusaha mencegahnya.


“Mereka hanya bertemu doktor apabila keadaan sudah kritikal.


“Kajian juga mendapati kanser serviks masih dipandang ringan oleh sesetengah wanita, bahkan tidak ramai yang melakukan ujian pap smear yang dapat mengesan kanser
berkenaan pada peringkat awal.

“Kebanyakan wanita bekerja mengatakan mereka terlalu sibuk selain malu untuk menjalani pemeriksaan itu,” ujar Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Selangor Medical Center, Dr. B.K. Tan.




Jelasnya, kanser serviks berpunca daripada beberapa faktor termasuk hubungan seks.


“Salah satu faktornya ialah kehadiran antibodi kepada Virus Papilloma Manusia (HPV) iaitu virus yang sama menyebabkan ketuat alat kelamin.


“Virus yang berjangkit melalui hubungan seks ini dipercayai boleh menyebabkan perubahan pada sel pangkal rahim seterusnya membawa kepada perkembangan sel kanser.


“Bagi wanita yang dijangkiti virus ini, mereka terdedah kepada risiko kanser serviks manakala bagi lelaki, mereka terdedah kepada kanser dubur.

“Wanita yang mempunyai ramai pasangan seks atau terbabit dengan pasangan yang juga ramai pasangan seks lebih mudah mendapat jangkitan HPV. Keadaan lebih buruk apabila wanita itu merokok manakala tubuhnya kurang daya tahan,” katanya.


Tambah Tan, kanser serviks hanya boleh terjadi kepada wanita yang pernah mengadakan hubungan seks. HPV boleh dipindahkan kepada pasangan dan ia mengambil masa di antara 10 hingga 15 tahun untuk berkembang.


“Kanser ini boleh dikenal pasti berdasarkan beberapa gejala seperti rasa sakit atau pendarahan ketika melakukan hubungan seks.


“Selain itu, jika berlaku pendarahan dalam faraj antara haid, lelehan berdarah di faraj yang berbau dan pendarahan pada wanita menopaus, juga mungkin tanda kehadiran kanser ini,” katanya.


Menurut satu kajian, kanser serviks menjadi punca kematian kira-kira 270,000 wanita setiap tahun dengan seorang wanita meninggal dunia setiap dua minit di seluruh dunia.


Memetik laporan Daftar Kanser Kebangsaan pada tahun 2003, anggaran kejadian kanser serviks di Malaysia ialah 16.5 wanita dalam setiap 100,000 penduduk. Penyakit ini mencakupi 12.9 peratus kanser yang dihidapi wanita.


Bagaimanapun, menurut Kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di kalangan 100 wanita di negara ini pada tahun 2003 mendapati 23 peratus daripada responden menyatakan mereka tidak perlu melakukan ujian pap smear kerana menganggap mereka tidak mungkin menghidap kanser itu.


Antara lain, faktor kesibukan menjadi penghalang dengan 18 peratus, diikuti malu (9.6 peratus) dan tidak pernah mendengar langsung mengenainya (20 peratus).


“Pelbagai kempen telah dilakukan dan sepatutnya kesedaran untuk melakukan ujian saringan ini menjadi tanggungjawab setiap wanita yang pernah melakukan hubungan kelamin sekurang-kurangnya setahun sekali bagi menentukan tahap kesihatan rahim mereka.


Jika tidak, mereka mungkin akan tersenarai dalam 3,000 hingga 4,000 kes baru yang dilaporkan setiap tahun di negara ini,” kata Tan.



KANSER serviks hanya boleh terjadi kepada wanita yang pernah mengadakan hubungan seks.
________________________________________


Vaksin



Sebagai usaha untuk mengurangkan risiko kematian disebabkan kanser serviks, kaum wanita di Malaysia kini boleh mendapatkan vaksin HPV Kuadrivalen.
Vaksin yang dihasilkan khusus untuk mencegah kanser serviks, prakanser faraj dan prakanser vulva yang disebabkan oleh HPV jenis 16 dan 18 itu semakin kerap diperkatakan.




Malah Kementerian Kesihatan juga mengambil langkah untuk memberi suntikan pelalian itu kepada 300,000 pelajar perempuan bagi mencegah penularan kanser serviks



“Suntikan HPV adalah cara paling baik untuk menentang penyakit ini,” kata Tan.
Vaksin ini telah diluluskan dan sudah lebih 30 juta wanita di seluruh dunia mengambilnya.



Ia berfungsi sebagai pencegah ketuat alat kelamin dan lesi (zona tisu rosak) serviks gred rendah yang disebabkan oleh HPV jenis 6, 11, 16 dan 18.



“HPV jenis 16 dan 18 merupakan punca bagi hampir 70 peratus kes kanser serviks, kanser vulva dan kanser faraj serta punca bagi 50 peratus lesi.



“Sementara itu, HPV 6 dan 11 menyebabkan kira-kira 90 peratus ketuat alat kelamin. Empat jenis HPV ini menyebabkan kira-kira 35 hingga 50 peratus lesi gred rendah serviks, faraj dan vulva,” jelas Tan.


Bagaimanapun, pemvaksinan tidak akan melindungi pesakit daripada jenis HPV dan ia boleh menghalang virus daripada jenis HPV 16 dab 18 sahaja.


“Pemvaksinan bertujuan mengurangkan risiko daripada dijangkiti HPV 16 dan 18 yang menjadi punca kanser serviks. Ia tidak boleh menghalang sepenuhnya penerima suntikan pelali itu daripada mendapat kanser ini.



“Oleh itu, pemeriksaan rahim secara berkala amat digalakkan bagi mengelakkan pengesanan kanser pada peringkat akhir yang boleh mengancam nyawa,” kata Tan.



http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=1004&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_01.htm