"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Saturday, April 3, 2010

Bahana kencing tikus

BANYAK pihak terkejut apabila deejay dan personaliti radio dan televisyen popular, Din Beramboi dilaporkan terpaksa dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Selayang setelah dipercayai dijangkiti kuman kencing tikus baru-baru ini.

Pelbagai teori tiba-tiba muncul apatah lagi Din jatuh sakit beberapa hari selepas dia menjalani penggambaran di Zoo Negara. Bagaimanapun, Din disahkan meninggal dunia akibat demam denggi berdarah.

Jangkitan kuman kencing tikus atau leptospirosis yang jarang berlaku itu dipercayai menular daripada haiwan kepada manusia dan kebiasaannya terjadi secara kebetulan.

Menurut Pakar Perunding Veterinar, Dr. Intan Suriati Abdul Manaf, leptospirosis ialah penyakit berjangkit disebabkan bakteria Leptospira sp. yang sangat tipis dan berbentuk pilin seperti mata gerudi.

Bakteria Leptospira juga boleh hidup dalam air tawar selama sebulan malah ia juga boleh membiak di air masin.

170 anak

“Banyak haiwan yang boleh menjadi pembawa kepada bakteria Leptospira, tidak kira ia haiwan peliharaan seperti kucing, arnab, lembu, babi, kuda, anjing dan haiwan liar lain seperti rakun dan serigala.

“Bagaimanapun, tikus dikesan sebagai penyebar utama bakteria ini kerana kitaran hidupnya yang suka makan dan tinggal di tempat kotor (menjadi tempat bakteria Leptospira membiak).

“Iklim negara yang lembap menjadi faktor terbaik kepada pembiakan bakteria ini. Malah, pada suhu sederhana ia boleh hidup lebih lama,” katanya.

Tambah Intan, kitaran hidup tikus yang cepat membiak dan sukar dikawal membantu penyebaran bakteria dengan lebih meluas.

“Jangka hayat tikus betina adalah di antara dua dan tiga tahun tetapi ia sudah boleh bunting dan aktif seks hanya dalam tempoh enam minggu.

“Setiap kelahiran, tikus boleh melahirkan lima hingga tujuh ekor anak tikus. Tikus betina boleh bunting sebaik melahirkan anak,” kata Intan.

Secara purata, dalam kitaran hidup seekor tikus betina, ia boleh bunting sehingga 28 kali dan melahirkan sehingga 170 ekor anak.

Tikus gemarkan sampah dan air bertakung seperti di lorong belakang hotel terkemuka, kolong bawah tanah hinggalah ke petak sawah atau kandang kuda. Rumah yang dijaga rapi juga tidak terkecuali daripada menjadi sasaran makhluk perosak tersebut.

“Bakteria Leptospira akan tersebar melalui cecair yang dikeluarkan oleh tikus seperti air kencing, air liur, darah, air mani dan najis.


DR. INTAN

Rumput

“Malah, tikus betina yang bunting boleh memindahkan bakteria tersebut kepada anak dalam kandungannya.

“Bakteria daripada kencing tikus juga boleh tersebar melalui air atau tanah. Menyentuh pokok atau tanah lembap yang tercemar juga boleh memindahkan bakteria kepada manusia.

“Oleh sebab itu, saya mengesyorkan pemakaian sarung tangan sewaktu melakukan kerja-kerja berkebun dan basuh tangan menggunakan antiseptik,” kata Intan.

Menurut beliau, jangkitan terus bakteria Leptospira daripada tubuh tikus jarang dilaporkan sebaliknya terjadi apabila haiwan peliharaan seperti kucing atau anjing meminum air dari lopak yang sudah dicemari dengan kencing tikus.

“Kebiasaannya kucing yang meminum air dari tempat bertakung yang telah dicemari kencing tikus berisiko tinggi untuk mendapat leptospirosis.

“Pemilik kucing yang membersihkan kucing dan tersentuh dengan kencing, air liur, tisu atau permukaan lembap lain juga akan terdedah kepada jangkitan ini,” ujarnya.

Gerudi

Simptom penyakit hanya akan muncul dalam masa empat hingga 12 hari selepas kuman atau bakteria Leptospira menjangkiti haiwan atau manusia.

“Lazimnya, bakteria ini boleh memasuki badan manusia melalui luka atau tisu lembut seperti dalam mulut, hidung atau mata. Jika kita pegang haiwan yang dijangkiti leptospirosis dan makan tanpa mencuci tangan, bakteria tersebut akan turut memasuki tubuh sebelum memasuki saluran darah.

“Bakteria ini akan menggerudi sel-sel dalam badan termasuk hati dan buah pinggang. Malah, dua organ tersebut adalah lokasi utama pembiakan bakteria ini.

“Akibatnya, sel-sel organ penting haiwan yang diserang bakteria ini akan rosak dan gagal berfungsi manakala pembuluh darah akan pecah sehingga membawa kepada kencing berdarah,” jelas Intan.

Dalam kes serius, leptospirosis boleh menyebabkan kematian. Tahap jangkitan berbeza antara individu atau haiwan mengikut daya ketahanan masing-masing.

“Sukar untuk mengenal pasti jangkitan ini pada peringkat awal kerana simptom yang ditunjukkan sangat umum.

“Pemeriksaan terperinci melibatkan ujian makmal, ujian darah, analisis air kencing dan beberapa ujian lain perlu dilakukan sebelum mengetahui ia berpunca daripada Leptospira,” ujarnya.

Kata Intan, simptom akan menjadi lebih serius apabila penyakit memasuki fasa kedua dan ketiga kerana ia boleh menyebabkan kegagalan fungsi buah pinggang dan kerosakan hati.


SEORANG petugas Zoo Negara mengusap tikus terbesar 'Capybara' baru-baru ini. - Gambar hiasan

“Apabila dijangkiti, biasanya bakteria Leptospira mengambil masa sekitar 10 hari untuk sampai ke organ penting sebelum menimbulkan gejala.

“Dalam tempoh ini, rawatan sewajarnya perlu diberikan untuk mengelak komplikasi tidak diingini,” kata Intan.

Seperti jangkitan bakteria lain, leptospirosis boleh dirawat dengan mengambil antibiotik seperti penisilin, streptomisin, eritromisin, tetrasiklin dan doksisiklin.

“Kos ujian mengenal pasti bakteria Leptospira tinggi sehingga menyebabkan kebanyakan pemilik haiwan yang dijangkiti kuman itu hanya mengambil rawatan berdasarkan simptom yang ditunjukkan haiwan peliharaan mereka.

“Untuk tujuan itu, antibiotik adalah pilihan utama namun ia tidak akan membunuh bakteria itu sepenuhnya sebaliknya hanya meredakan simptom jangkitan seperti demam panas, muntah, cirit-birit atau demam kuning.

“Malah selepas tiga bulan ia sihat secara klinikalnya, bakteria itu masih ada di tubuhnya,” jelasnya.

Nyah toksin atasi masalah usus

PENGUMPULAN toksin banyak dipengaruhi cara hidup yang kurang sihat seperti pencemaran udara, air dan makanan yang dipenuhi dengan pelbagai toksin. Ditambah pula dengan cara hidup yang kurang bersenam mengakibatkan bahan buangan bertoksin terkumpul di dalam usus dan terjadinya sembelit dan najis terlonggok. Najis terlonggok adalah sejenis toksin yang boleh menjejaskan kesihatan badan.

Mengikut kajian usus yang dilakukan oleh pakar, walaupun kita membuang air besar secara normal setiap hari, tetapi terdapat 6 hingga 10 paun najis terlonggok di dalam usus kita. Seringkali keseluruhan usus besar terlonggok dengan najis lama dan bahan kumuh yang mengeras. Ia hanya membenarkan najis yang lembik dan kecil untuk melalui saluran usus yang sempit. Akibatnya kebanyakan dari kita mempunyai masalah sembelit.

Sembelit merupakan masalah yang disebabkan kesukaran untuk membuang air besar dan najis terlonggok adalah bahan toksin yang terlekat di usus akibat daripada perkumuhan yang tidak sihat. Bahan toksin ini akan diserap oleh mukus usus dan boleh mengakibatkan pelbagai masalah kesihatan seperti kanser kolon, tekanan darah tinggi, masalah kesihatan jantung, hati, buah pinggang, kencing manis dan sebagainya. Bukan itu sahaja, ia juga boleh membawa masalah seperti kulit yang berkedut, jerawat dan sakit ketika datang haid. Justeru itu, cara paling berkesan untuk mengatasi masalah tersebut adalah menghapuskan sembelit dan menyahkan najis yang terlonggok di dalam usus.

Ketua Pegawai Eksekutif Zazen Health Solution, Yasotha Krishna, berkata Zazen FIR Thermal System berfungsi membantu membuang toksin secara semula jadi.

Ia merupakan pilihan gaya hidup zaman moden untuk menjamin kesihatan termasuk sistem usus. "Rawatan Sinar inframerah jauh (FIR) memberi pelbagai manfaat dan kesan terapeutik kepada tubuh yang biasanya diganggu bahan toksin yang menyekat pemulihan secara semula jadi," katanya.

Malah, terapi pemanasan dalam FIR ini juga boleh mengeluarkan air daripada tubuh badan antara 80 hingga 85 peratus yang mengandungi kolesterol, toksin, ammonia dan asid urik FIR iaitu satu bentuk tenaga dari matahari telah diperluaskan penggunaannya bagi tujuan kesihatan kerana ia membantu proses pemulihan dalam sistem tubuh seseorang.

Menurut Pakar Pediatrik, Dr. Sharmila Kylasam, tubuh badan memerlukan pembuangan toksin secara semula jadi untuk memastikan badan berfungsi secara sempurna.

Dengan itu, kualiti kesihatan lebih baik dan badan lebih bertenaga.

Mengnyahtoksik untuk kekal sihat

Penyahtoksinkan secara kerap untuk menyingkirkan bahan buangan dan toksin yang berbahaya ini membantu meningkatkan kesihatan dan kecergasan.

Menurut kajian terdapat beberapa masalah yang timbul akibat pengumpulan toksin termasuk sering keletihan, daya tumpuan dan daya ingatan yang lemah, sembelit atau cirit-birit yang kerap, peredaran darah yang lemah, kemurungan dan sebagainya.

Jika badan melalui proses membuang toksin secara baik, ia mampu menjamin kesihatan keseluruhan yang lebih baik dan rasa lebih bertenaga dan cergas. Selain itu, badan mempunyai daya ketahanan, fungsi penghadaman yang lebih baik. Bahkan, seseorang akan melalui pembuangan air besar yang kerap. Sebarang pertanyaan tentang Zazen FIR boleh hubungi 03-61577746.

Rawatan sembelit

l Bagi mereka yang tidak mengalami sebarang masalah perubatan, campur tangan utama ialah penambahan kandungan cecair (terutamanya air) dan makanan yang berasaskan fiber.

l Peningkatan makanan berasaskan fiber boleh dilakukan dengan menambah pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan, roti yang tinggi serat dan biji rami dalam pemakanan.

l Amalan pengambilan ubat pelawas secara rutin tidak digalakkan kerana ini akan menyebabkan usus bergantung penuh kepada penggunaan pelawas.

l Disimpaksi secara manual (pembuangan feses terimpak) dilakukan dengan bantuan sedasi atau anestatik am (pembiusan menyeluruh) - bagi menahan kesakitan dan melonggarkan sfinkter anal.

l Dalam perubatan alternatif dan tradisional, pengairan berkolon, enema, senaman, diet dan herba digunakan dalam mengubati sembelit.

l Bagi sembelit yang terjadi akibat penyakit usus besar yang menyempitkan saluran najis seperti kanser usus ataupun hernia, maka rawatannya adalah pembedahan.

Sembelit penyebab buasir

MENGIKUT pendapat umum, buasir adalah topik yang jarang dibincang secara terbuka. Ini adalah kerana perasaan malu iaitu buasir terjadi di bahagian sulit. Kehadiran tisu buasir adalah sebagai komponen normal di dalam anatomi manusia. Buasir biasanya terdiri daripada kusyen vaskular (yang kaya dengan saluran darah) di dubur yang bertindak sebagai lapik termampat untuk membenarkan dubur tutup sama sekali. Buasir akan menaikkan simptom atau membawa masalah apabila ia membesar, lazimnya hasil daripada tekanan atau stres yang berlebihan.

Bagi kebanyakan dewasa, di satu tahap atau lain terpaksa menghadapi dengan pendarahan, kegatalan, lelehan lendir dan kadangkala kesakitan yang memaklumkan akan situasi buasir. Malangnya, buasir cenderung untuk menjadi lebih teruk hari demi hari. Situasi ini harus dirawat secepat mungkin selepas mendapat tahu mengenainya kerana terdapatnya perubatan dan rawatan yang berkesan. Selalunya, buasir memerlukan hanya penjagaan sendiri dan perubahan dalam cara hidup di peringkat awal tanpa memerlukan rawatan yang kompleks. Paras pesakit yang mengalami buasir yang lama dan kronik akan memerlukan rawatan pembedahan sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup untuk pendarahan, kesakitan dan buasir prolaps (tergelincir keluar).

Pakar Bedah Kolorektal Pusat Perubatan Prince Court, Prof. Dr. Yunus Gul Alif Gul berkata, buasir merujuk kepada urat darah di dalam dinding dubur.

"Kedudukannya berada di bawah selaput lendir iaitu lapisan dubur yang paling dalam.

Tekanan berlebihan di bahagian rektum menyebabkan dinding vena darah teregang dan membonjol, kadangkala boleh pecah, menyebabkan buasir," katanya.

Menurut Dr. Yunus Gul, di dalam saluran dubur manusia terdapat kusyen vaskular di antara anus dengan rektum bawah, menjadikan otot-otot dubur menjadi elastik atau kenyal.

Apabila seseorang mengalami sembelit dan cuba meneran najis yang mengeras di dalam kolon dengan kuat ketika membuang air besar, struktur ini akan membengkak.

Lama-kelamaan ia menjadi kurang memberi dan akhirnya terjulur keluar daripada dubur bersama darah yang berwarna merah cerah yang menitis, tersembur atau meninggalkan kesannya apabila dikesat tisu tandas.

Walaupun pendarahan dan sembelit dilihat sebagai gejala utama buasir, cirit-birit juga boleh menjadi puncanya.

Tambah Dr. Yunus Gul, pendarahan yang berlaku daripada dubur tidak semestinya buasir tetapi boleh jadi petunjuk kepada lain-lain penyakit yang lebih serius seperti kanser kolorektal.

"Mereka yang mempunyai sebarang gejala atau pendarahan dubur lebih baik terus berjumpa doktor. Ada juga pesakit yang tidak menunjukkan sebarang gejala awal," katanya.

Dr. Yunus Gul turut melahirkan kekecewaannya apabila kebanyakan pesakit hanya berjumpa doktor setelah buasir memasuki peringkat teruk.

Pada ketika itu, katanya, pilihan rawatan yang ada hanyalah pembedahan yang sepatutnya boleh dielakkan jika mereka merujuk pendarahan awal kepada doktor.

Punca-punca buasir

l Sembelit dan meneran berlebihan ketika membuang buasir.

l Pekerjaan yang melibatkan keadaan duduk atau berdiri dalam masa yang lama.

l Obesiti, kehamilan dan melahirkan anak.

Walaupun kadangkala buasir dikatakan lebih cenderung untuk diwarisi, ini adalah lebih kepada faktor gaya hidup atau tabiat pemakanan di kalangan ahli keluarga yang menyebabkan kecenderungan untuk mendapat buasir. Penyakit ini boleh dicegah dan simptomnya dapat dikawal jika diurus pada peringkat awal. Walaupun dengan rawatan, pesakit harus mengubah cara hidup mereka untuk mengelakkan berulangnya masalah.

Rawatan

Rawatan buasir melibatkan langkah-langkah yang boleh dilakukan sendiri berdasarkan nasihat daripada doktor anda. Rawatan yang paling baik adalah pencegahan. Diet makanan yang tinggi dengan serat dan sebahagian besar dapat mengelakkan sembelit dan meneran berlebihan. Kadangkala ubat-ubatan atau prosedur pembedahan juga diperlukan untuk tujuan rawatan.

Rawatan perubatan

Ini adalah amat berguna terutamanya bagi pesakit buasir dengan tahap pertama. Jika buasir anda hanya wujud dengan ketidakselesaan yang sedikit, doktor anda boleh mencadangkan krim dari kaunter farmasi atau salap yang selalunya mengandungi anestetik sederhana atau agen melegakan kesakitan atau steroid. Bentuk rawatan perubatan ini, dengan gabungan nasihat untuk perubahan diet dan pembukaan usus yang betul, dilengkapkan dengan mandian air panas setiap hari yang dapat melegakan simptom tersebut.

Walau bagaimanapun, salap telah dikenal pasti menyebabkan tahap sensitif kulit yang tinggi dengan penggunaan jangka panjang. Pesakit dinasihatkan untuk mengelak penggunaan bagi tempoh yang lama. Daflon adalah sejenis ubat yang diestrak daripada sejenis kulit oren khas yang selalunya digunakan dalam merawat buasir. Ubat ini bertindak melindungi dan memperkuat saluran pembuluh darah di dalam tisu buasir dan mengurangkan pengembangan saluran tersebut. Ini adalah lebih sesuai bagi pesakit buasir dengan tahap pertama atau kedua dan tidak sesuai untuk merawat buasir yang di tahap seterusnya serta buasir luaran.

Prosedur lain termasuk pembedahan

l Ligasi pita getah

n Satu atau dua pita getah yang kecil akan diikat di sekitar dasar buasir dalaman untuk menghentikan pengedarnya. Dalam masa beberapa hari, buasir itu akan tanggal sendiri tanpa rasa sakit.

l Jika prosedur lain tidak berjaya atau jika anda mempunyai buasir yang besar, doktor pakar anda akan membuang tisu berkenaan dalam satu prosedur yang dikenali sebagai hemorhoidektomi. Pembedahan ini dilakukan sama ada dengan menggunakan bius setempat digabungkan dengan sedatif (ubat penenang), anestetik spina atau bius umum.

l Pembedahan eksisi. Ia dikaitkan dengan tahap kesihatan yang lebih tinggi kerana bahagian bawah kulit dan saluran anus yang kaya dengan saraf fiber akan dieksisi ketika pembedahan.

l Ligasi Arteri Buasir (HAL Doppler) lazimnya sesuai untuk buasir berdarah termasuk buasir tahap ketuga. Sejenis alat ultrabunyi yang menggunakan gelombang bunyi untuk mengenal pasti arteri buasir yang akan diligasi. Ini mengurangkan pengaliran darah kepada buasir dan mengecutkan sebahagian besar longgokan dan perhentian pendarahan. Ia adalah prosedur sehari yang tidak sakit dan dilakukan di bawah anestetik umum atau spina, memberi hasil yang baik dan harapan yang cerah.

Denggi berdarah boleh membawa maut

MINGGU ini kita dikejutkan dengan berita pemergian pelawak dan penyampai radio, Allahyarham Mior Ahmad Fuad Mior Badri atau lebih mesra dengan panggilan Din Beramboi. Sebelum ini, Din Beramboi dikatakan terkena penyakit bawaan bakteria air kencing tikus ketika menjalani penggambaran di Zoo Negara.

Bahkan deejay radio Era FM itu turut menghidapi penyakit denggi berdarah yang menyebabkan organ dalamnya gagal berfungsi dan menghadapi pendarahan dalaman.

Pihak hospital memaklumkan organ penting seperti buah pinggang dan hati gagal berfungsi. Darahnya juga telah menjadi masam dan dijangkiti kuman dan bertambah buruk apabila dia dijangkiti denggi berdarah.

Pada hari Jumaat yang lalu Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan rapi (ICU), Hospital Selayang. Kejadian ini sedikit sebanyak menyedarkan kita tentang perlunya pengetahuan penyakit seperti denggi berdarah. Mungkin ramai antara kita yang sudah biasa mendengar tentang denggi namun ramai yang tidak mengetahui lebih mendalam tentang penyakit ini. Minggu ini kita bersama Pakar Perubatan dan Gastroenterologi Pusat Perubatan Kelana Jaya, Dr. Abdul Malik Jamal Buhari untuk mengetahui lebih lanjut tentang denggi berdarah.

Apa itu denggi?

Penyakit denggi merupakan penyakit berjangkit yang berbahaya dan boleh membawa maut kerana sehingga hari ini belum ada ubat atau penawar untuk mengubati penyakit ini. Denggi boleh terjadi di kalangan orang dewasa dan kanak-kanak akibat daripada gigitan nyamuk aedes.

Penyakit ini biasanya berlangsung selama sepuluh hari dan kadangkala mengambil masa lama untuk pulih sepenuhnya. Penyakit ini kerap berlaku di kawasan bandar berbanding dengan luar bandar.

Penyakit denggi disebabkan oleh sejenis kuman virus yang dipanggil virus denggi. Virus ini tergolong di dalam keluarga togaviridae. Ia merupakan virus yang berkembang biak dalam serangga. Terdapat 4 jenis serotype virus yang telah dikenalpasti iaitu den 1, den 2, den 3 dan den 4. Semua jenis serotype ini boleh merangsang pembentukan antibodi yang berbeza.

Namun begitu, kekebalan yang dihasilkan oleh pertahanan badan tidak menyeluruh terhadap semua jenis virus denggi. Ia akan hanya melindungi individu untuk jenis virus tersebut sahaja. Virus ini masuk ke dalam peredaran darah manusia melalui gigitan nyamuk aedes dan boleh didapati dalam tempoh yang singkat sahaja iaitu empat hingga lima hari pada tahap awal penyakit.

Nyamuk aedes merupakan pembawa bagi kuman virus denggi. Gigitan nyamuk merupakan satu cara penyebaran virus denggi dari seorang ke seorang yang lain. Daripada satu gigitan ia boleh menghisap darah sebanyak dua hingga empat miligram darah iaitu 1.5 kali berat badannya.

Cara penyebarannya ialah melalui gigitan nyamuk aedes orang yang berpenyakit virus denggi kepada orang yang sihat. Terdapat dua jenis denggi yang paling berat iaitu Demam Hemoragik Denggi (DHF) dan Sindrom Kejutan Denggi (DSS).

Terdapat dua jenis penyakit denggi iaitu:

i) Demam denggi klasikal.

Pesakit menunjukkan gejala demam, ruam, sakit badan, sakit sendi dan sakit otot. Gejala penyakit ini biasanya tidak teruk dan jarang menyebabkan kematian. Demam jenis ini juga pernah dinamakan 'demam patah tulang' atau breakbone fever.

ii) Demam denggi berdarah.

Biasanya terjadi di kalangan kanak-kanak terutama dalam lingkungan umur 2-13 tahun. Pada tahap awal (selama 2-4 hari) gejala yang dihidapi adalah sama seperti demam denggi klasikal dan diikuti oleh tahap yang lebih teruk dengan gejala seperti tekanan darah rendah, ruam dan bintik-bintik merah di badan, perdarahan gusi, berak berdarah (najis berwarna hitam) disertai dengan sawan dan tidak sedar diri. Ia sering menyebabkan kematian jika rawatan tidak diberikan dengan segera. Ia juga dipanggil sebagai 'demam berdarah Filipina'.

Tanda-tanda atau gejala:

1. Demam denggi klasikal

Tanda-tanda demam denggi ini bergantung kepada usia pesakit tersebut. Bagi bayi atau kanak-kanak ciri utama ialah ruam yang disertai oleh demam panas. Manakala orang dewasa dan remaja pula demam kuat yang muncul dengan tiba-tiba yang berlangsung selama 2-7 hari, sakit kepala, sakit di belakang mata, sakit otot dan sendi yang diikuti oleh ruam yang timbul pada hari ketiga hingga keempat. Bintik-bintik merah di bawah kulit juga boleh didapati. Dan hasil daripada ujian makmal menunjukkan jumlah leukosit dan platlet dalam darah menurun.

2. Demam denggi berdarah

Demam denggi berdarah mempunyai 4 ciri klinikal utama seperti demam yang sangat panas, perdarahan, pembesaran hati dan kegagalan sistem peredaran darah. Perdarahan yang berlaku adalah seperti bintik-bintik merah di bawah kulit, perdarahan hidung, gusi, darah dalam najis (najis berwarna hitam), kencing berdarah dan kadang kala mendapat haid yang berlebihan.

Pembesaran hati terjadi pada peringkat awal penyakit. Pembesaran hati ini boleh mencapai dua hingga empat sentimeter di bawah tulang rusuk kanan. Kegagalan atau gangguan peredaran ditunjukkan melalui tanda-tanda seperti kesejukan dan kongesti kulit, kebiruan dan peningkatan kadar nadi. Mereka juga kelihatan resah dan lemah dan kemudian dengan cepat mengalami renjatan atau sawan. Keadaan ini juga dipanggil sebagai Dengue Shock Syndrome (DSS).

Setakat ini tiada rawatan yang spesifik bagi membunuh virus denggi. Namun begitu antara rawatan yang biasa dilakukan untuk membantu pesakit deman denggi ialah:

Rawatan:

Rawatan demam denggi klasikal:

Rawatan yang diberi adalah untuk menstabilkan pesakit bergantung kepada keadaan pesakit iaitu mengurangkan demam (suhu badan) dan mengelakkan dari perdarahan berlaku.

Rawatan demam denggi berdarah:

Demam yang sangat panas, kehilangan selera makan dan muntah menyebabkan dehidrasi. Pesakit digalakkan supaya minum air lebih banyak. Demam yang sangat panas juga meningkatkan risiko terjadinya sawan, oleh itu demam patut dikawal dengan antipiretik. Selain itu, pesakit akan diawasi supaya gejala perdarahan dan sawan dapat dikesan awal. Dan masa yang paling genting ialah pada hari ketiga hingga hari ketujuh. Maka pemberian aliran intravena perlu jika sekiranya kiraan hematokrit meningkat kerana ini menggambarkan darjah kehilangan plasma.

Apakah yang akan terjadi sekiranya saya tidak mendapatkan rawatan?

Demam denggi berdarah mempunyai tanda-tanda di atas dan juga pendarahan seperti:

l Mudah lebam

l Pendarahan di bawah kulit, pada hidung atau gusi

l Ia boleh diikuti dengan pendarahan seluruh badan yang juga membawa maut

Sifat nyamuk Aedes

l Gigitan pada waktu pagi dan senja. (5 pagi - 8 pagi dan 5 petang - 8 malam)

l Bertelur dalam air mati yang jernih.

Diet cara makrobiotiks

ANDA adalah apa yang anda makan" - satu ungkapan yang sangat popular. Ramai mengakui kebenaran ungkapan ini, tetapi tidak pula mempraktikkannya.

Makanan berlemak, masin, manis dan berperisa menjadi pilihan. Jika tiada semua itu, hidangan seakan tidak sempurna. Itu belum dikira jumlah yang diambil. Tidak hairan ramai kini mendapat penyakit berpunca daripada makanan.

Sedar betapa pemakanan dan kesihatan tubuh sangat berkait rapat, June Ka Lim mengakui dia agak cerewet tatkala menentukan setiap jenis makanan yang patut diambilnya.

Justeru, wanita ini mengamalkan konsep makrobiotiks sejak 20 tahun lalu.

Menurutnya, istilah makrobiotiks berasal dari Greek iaitu makro yang bermaksud besar atau panjang dan bios bermakna kehidupan. Maka makrobiotiks bermakna diet untuk hidup lebih lama.

Ia merupakan diet warisan nenek moyang masyarakat Jepun dan China berusia lebih 5000 tahun. Konsep ini diperkenalkan kembali oleh George Oshawa pada 1913 yang kemudian tersebar hingga ke Eropah. Kemudian konsep ini dibawa oleh anak muridnya, Michio Kushi yang berpindah ke Amerika Syarikat.

Memudahkan pertukaran kepada konsep ini, Ka Lim merupakan pengamal vegan sejak kecil. Bukan setakat tidak menjamah daging, mereka yang mengamalkan pemakanan ini juga tidak mengambil hasil seperti telur dan produk tenusu (susu, minyak sapi, mentega dan sebagainya).

"Saya percaya kesihatan optimum diperoleh melalui pemakanan yang berkhasiat juga bebas daripada sebarang unsur tidak baik," kata pemilik restoran Woods Macrobiotics ini.

Empat elemen makrobiotiks

1. Manusia dan alam semula jadi saling berkait rapat.

Makrobiotiks menekankan gabungan minda, jasad dan rohani pengamalnya bersatu secara harmoni dengan alam semula jadi. Pengamal konsep ini menikmati hidangan secara semula jadi dan penuh (tanpa proses kimia) seperti beras bijirin penuh, sayur, kekacang, biji-bijian, dan perasa semula jadi. Visi utama adalah hidup secara harmoni dan mengelakkan makanan berproses secara kimia.

Makanan organik bukan sekadar menikmati sayur organik. Ia merujuk kepada penanaman secara organik yang tidak menggunakan racun dan baja kimia, serta hormon penggalak atau tumbesaran tumbuhan. Penghasilan makanan organik juga tidak mencemarkan alam sekitar dan air.

"Saya percaya, alam sekitar yang sihat memberi kesan yang baik kepada kita semua," kata Ka Lim.

2. Makanan asli adalah ubat kepada segala penyakit.

- Merujuk laporan pakar pemakanan, makanan organik ditanam, dituai dan diproses secara semula jadi, maka ia mengandungi kandungan nutrien yang tinggi. Ini dapat membantu kita menjauhkan diri daripada kebanyakan penyakit.

3. Makan makanan dalam bentuk penuh.

- Ia bermaksud makanan tidak berproses dan ini adalah asas untuk diet menyihatkan. Contohnya ketika menyediakan lobak putih, jangan kupas kulit. Hanya basuh dengan bersih dan masak bersama bahagian atas (batang dan daun) untuk menyerap tenaga keseluruhan sayur tersebut.

Beras putih tidak mempunyai lapisan luar yang mengandungi vitamin B kompleks dan fiber seperti beras perang. Kandungan nutrien yang terdapat pada beras perang (yang tidak digilap) lebih berkhasiat berbanding beras putih. Kajian menunjukkan proses menggilap bijian gandum menyebabkan lebih 77 peratus vitamin B1 hilang.

4. Keseimbangan yin yang dan lima elemen api, tanah, besi, air dan kayu.

- Makrobiotiks percaya kepada pilihan makanan yang tepat untuk seseorang berdasarkan yin yang serta lima elemen seperti di atas. Yin yang merujuk kepada tenaga persamaan dan bertentangan yang melengkapi kehidupan. Yang adalah tenaga aktif yang mewakili manakala yin pula bersifat terbuka.

Woods Macrobiotics

Ka Lim mengambil keputusan membuka restoran vegan yang menyediakan makanan berasaskan organik pada 1993.

Pada mulanya ia kurang mendapat sambutan, namun lama-kelamaan semakin ramai yang sedar betapa pemakanan yang sihat sangat penting untuk kesihatan optimum.

Jelasnya, terdapat beberapa sebab orang sukar mengubah tabiat pemakanan mereka. Antaranya kerana deria rasa yang sudah sebati dengan makanan berproses dan perisa tambahan.

"Mereka juga rasa sudah selesa gaya hidup menikmati makanan segera hingga sukar untuk mengubahnya," kata wanita pencinta alam sekitar ini.

Menariknya tentang Woods, ia bukan sekadar restoran malah turut menjual produk-produk organik. Mungkin ada yang berkata, bahan organik mahal dan sukar diperolehi. Namun bagi Ka Lim, jika difikirkan dengan kos perubatan dan masalah yang bakal dihadapi kelak, tentu ramai yang sedar dan ingin bertukar kepada makanan jenis ini.

Woods Macrobiotics,

25, Jalan Telawi 2,

Bangsar Baru,

59100 Kuala Lumpur.

03-22870959

www.macrobiotics-malaysia.com

Mata menawan serlah kecantikan

MEMILIKI sepasang mata yang menawan merupakan aset yang tidak ternilai harganya. Pepatah orang tua tua mengatakan dari mata turun ke hati. Bila mata bertentang mata hati di dalam bagai nak gila.

Sesungguhnya mata memainkan peranan penting bagi menjadikan seseorang tampak cantik dan menawan. Bagi jurusolek pula dia tidak akan lupa menghias mata pelanggannya bagi menyerlahkan lagi penampilan. Jika tidak, seseorang tidak akan tampak menawan.

Terdapat pelbagai vitamin di pasaran bagi mencantikkan mata. Vitamin mata membentuk sel sel mata yang lebih baik dan kuat. Begitu juga kanta lekap beraneka warna membantu meningkatkan seri mata pemakainya.

Pelbagai warna sapuan dihasilkan dan juga celak dicipta untuk mata. Semuanya bagi menyerlahkan warna mata. Seorang teman gemar menggunakan bulu mata palsu pelbagai corak dan membentuk keningnya bagi mencantikkan mata. Mata yang bercahaya pastinya mempersonakan siapa yang memandang.

Tak kurang juga wanita yang gemar menggunakan tatu pada mata mereka. Tatu dibuat bagi mencantikkan alis mata. Tatu moden kelihatan natural dan boleh dibuat dalam pelbagai warna pilihan.

Bagaimanakah struktur mata yang sebenar?

Mata kita terletak dalam soket mata. Soket mata adalah lubang pada tengkorak yang didindingi oleh tulang tipis dan berlubang-lubang kecil dipanggil cribriform. Ia juga dikelilingi sekeping lelemak yang di namakan tarsal plate. Tarsal plate ini mengelilingi mata kita. Lemak mata bergerak sekeliling mata melalui jaringan salurannya yang dinamakan saluran limfatik. Saluran limfatik mata akan bersambung pula dengan jalinan limfatik pada maxilla (pipi), telinga dan lain lain bahagian tubuh kita. Apabila saluran ini tersumbat maka banyak lemak akan terkumpul, lemak yang mengeras akan membuat mata kelihatan bengkak dan dan cengkung.

Kaedah rawatan

Rawatan yang sesuai adalah kaedah pembedahan membuang lelemak bawah mata. Terdapat teknologi baru menggunakan fiber optik yang boleh memecahkan lemak dengan mudah, berkesan dan selamat. Fiber optik yang saiznya kurang dari satu mm memancarkan tenaga sebanyak 300 joule dengan kuasa 5 hingga 6 watt sahaja menjadikan kulit bawah mata turut tegang. Ia memberi kesan mata yang cantik dan muda.

Ada kalanya saluran darah yang tersumbat mudah pecah di bawah mata menjadikan bahagian di situ lebam dan tampak gelap. Sel sel darah akan merangsang pula melanocyte menjadi aktif menyebabkan kawasan mata menjadi lebam.

Rawatan yang baik adalah dengan menggunakan enzim khas yang boleh memecahkan dan menghadamkan sel darah yang terkumpul,

Bagi sesetengah orang lapisan lemak pada tarsal plate pula mudah menipis dan akhirnya hilang menyebabkan bawah mata tampak cengkung dan berlekuk. Perkara ini biasanya boleh di atasi dengan filler.

Jika kelopak mata bermasalah, pembedahan dibuat bagi menganjalkannya dan kening boleh diangkat ke atas menggunakan kaedah serdev suture.

Crow feet merupakan garis halus atau kedutan yang terdapat pada mata. Selalunya ia melanda mereka yang berusia 35 tahun ke atas. Ia boleh dihapuskan dengan pelbagai cara contohnya pengelupasan bersiri, laser dan filler.

Masalah lain yang sering mengganggu kulit kelopak mata adalah ekzema iaitu alahan kulit. Ekzema berlaku disebabkan alahan terhadap makanan tertentu atau alat kosmetik yang digunakan. Pengidapnya akan berasa gatal panas dan perit. Akibat digosok berulang kali, mata turut kelihatan merah dan pedih. Rawatannya adalah dengan memberikan ubat anti alergi dan juga antibiotik yang sesuai.

Stye pula merupakan jangkitan kuman jenis streptococcus yang menyebabkan kelopak ditumbuhi kudis kecil. Rawatan yang baik adalah antibiotik disapukan pada mata dan antibiotik yang dimakan. Manakala kalazion pula sejenis kutil keras yang tertanam dalam kelopak mata. Kalazion dibuang melalui pembedahan.

Tahi lalat yang terlalu besar pada kelopak mata turut mengganggu penglihatan dan membuat kelopak mata menjadi berat. Adalah lebih baik untuk kita membuangnya.

Exophthalmos merupakan masalah apabila bola mata menjadi besar dan terjojol. Hal ini biasanya berlaku pada mereka yang mengidap hyperthyroidism.

Enophthalmos pula adalah bebola mata yang termasuk ke dalam menyebabkan mata tampak kecil dari biasa.

Seorang pesakit saya menjalani pembedahan membuang lemah di bawah mata. Selepas dipancarkan laser ke bawah mata dan menyedut keluar lemak, mata akan ditampal dengan plaster kecil yang kukuh.

Masalah eyebag sememangnya melanda ramai wanita. Apabila eyebag mengganggu, mata kelihatan bengkak dan membuatkan seseorang tampak lebih tua daripada usia sebenar.

Pesakit saya itu mengadu matanya bengkak terutama apabila tiba waktu pagi. Menurutnya apabila bangun tidur mata tampak sembap menyebabkan dia lebih suka memakai cermin mata hitam bagi menyembunyikannya. Masalah tersebut mendorong dia melakukan pembedahan.

Selepas membuang satu lapisan lemak pada sekitar matanya, dia tampak lebih muda. Matanya nampak luas dan galak. Keningnya juga terangkat sedikit menjadikan kontur mata tampak lebih bundar daripada biasa.

Ketandusan tenaga punca letih

RAMAI antara kita menganggap keletihan adalah perkara biasa dalam kesibukan hidup. Kita berkejar ke sana dan ke sini sambil menyulap antara kerja dan keluarga, dan cuba melakukan banyak perkara dalam masa yang singkat. Kita mengalami keletihan serta ketandusan tenaga. Bolehkah kita berjaya memulihkan semula diri kita daripada krisis ketandusan tenaga? Jawapannya sudah tentu ya.

Sistem paling asas dalam badan kita ialah pengeluaran tenaga. Ia juga merupakan sistem paling penting kerana membuatkan badan kita berfungsi. Apabila sistem tenaga tidak berfungsi dengan baik, ia akan menjejaskan semua aspek kehidupan kita serta membahayakan kesihatan, juga membawa penyakit dan mempercepatkan proses penuaan.

Pengeluaran tenaga dalam badan manusia merupakan proses yang rumit. Makanan akan dipecahkan menjadi komponen yang lebih kecil dalam saluran penghadaman kita. Komponen-komponen yang lebih kecil ini kemudian digunakan oleh sel-sel untuk mengeluarkan tenaga. Untuk membolehkan sel-sel menukarkan makanan menjadi tenaga ia memerlukan sejenis jisim yang menyerupai vitamin, dikenali sebagai Koenzim Q10 (CoQ10). Tanpa Koenzim Q10, badan kita tidak dapat mengeluarkan tenaga; dan tanpa tenaga sudah semestinya tidak akan wujud kehidupan.

Semasa kita muda, sel-sel kita dipenuhi oleh CoQ10 dengan itu ia dapat mengeluarkan tenaga dengan banyak dan melimpah-ruah untuk menggerakkan badan kita dengan cekap dan kuat. Tetapi apabila kita semakin tua, pengeluaran CoQ10 oleh badan menjadi semakin sedikit dan ini menyebabkan kemerosotan dalam pengeluaran tenaga.

Tanda-tanda ketandusan tenaga

Anda bangun daripada tidur berasa lebih letih daripada sebelum tidur.

Adakah anda berasa begitu susah untuk bangun daripada tidur setiap pagi? Terdapat dua sebab mengapa mereka bangun tidur dan berasa lebih letih - tak cukup tidur atau mutu tidur yang tidak baik. Ramai antara kita memerlukan enam hingga lapan jam tidur untuk bangun dengan lebih segar dan aktif. Jika anda telah pun memperolehi tidur yang mencukupi tetapi masih lagi bangun dan letih, barangkali anda sedang menghampiri krisis tenaga. Tekanan atau ketegangan merupakan satu lagi pemusnah tidur dan keadaan yang lebih sukar untuk ditangani apabila anda berada di peringkat kekurangan tenaga. Tekanan selanjutnya menyusutkan paras tenaga kita, membuatkan kita dua kali ganda lebih letih daripada sebelumnya.

Anda ketagih untuk tidur tengah hari

Adakah anda berasa lebih letih apabila hari semakin lanjut? Adakah anda mengelakkan mesyuarat yang diadakan selepas makan tengah hari kerana anda tahu anda tidak dapat mencelek mata serta menahan mengantuk? Kemelesetan tengah hari seperti ini merupakan satu tanda klasik kemerosotan tenaga.

Otak yang kabur

Adakah anda berasa lembap dan tidak dapat menumpukan fikiran ataupun mengalami kesukaran untuk memberikan tumpuan pada mana-mana waktu pada hari itu? Adakah ingatan anda mengecewakan anda pada sesuatu ketika? Kehilangan daya ingatan yang tak ketara seperti ini merupakan satu lagi tanda yang badan anda sedang mengalami keadaan tenaga yang rendah.

Anda makan berlebihan kerana tenaga anda rendah

Seperti juga orang lain, barangkali anda juga menyimpan timbunan makanan ringan yang anda simpan dalam laci atau dalam peti sejuk untuk memuaskan nafsu makan anda yang seringkali berlaku apabila anda berasa letih. Apa akan jadi selepas itu? Tenaga anda meningkat buat beberapa minit, tetapi akan merudum semula dan anda terpaksa memakan banyak lagi makanan ringan. Satu-satunya unsur yang tinggal daripada semua ini ialah tambahan berat badan.

Tindak balas badan terhadap kelaparan dan keletihan adalah hampir sama. Ramai antara kita silap tanggapan kerana menyifatkan keletihan sebagai kelaparan dan terus mencari makanan walaupun anda tidak perlu berbuat demikian; akibatnya berat badan yang tidak diingini itu akan bertambah.

Tersebut di atas adalah beberapa tanda kemerosotan tenaga yang jika diabaikan akan menyebabkan kesusutan dalam sistem tenaga anda - yang akhirnya akan menjejaskan setiap aspek kehidupan anda.

Sekiranya anda sedang mengalami mana-mana satu atau lebih tanda-tanda amaran ini, anda boleh mengambil langkah untuk meningkatkan sistem tenaga anda. Walaupun CoQ10 wujud secara semula jadi dalam beberapa jenis makanan seperti daging lembu, dan sayuran, jumlah CoQ10 dalam makanan ini adalah kecil. Adalah sukar untuk mendapat jumlah CoQ10 yang mencukupi pada satu hari dalam makanan kita. Oleh itu satu-satunya penyelesaian terhadap masalah ini ialah mengambil suplemen CoQ10.

Mengambil Suplemen Koenzim Q10 Larut air (Hydrosoluble)

Masalah paling besar yang dihadapi mengenai kebanyakan produk CoQ10 ialah tentang kecekapan penyerapannya ke dalam aliran darah. Bentuk tradisi suplemen CoQ10 tidak mudah diserap oleh badan (seperti serbuk CoQ10 yang disampaikan dalam minyak kacang soya dan dimasukkan ke dalam kapsul gel lembut, tablet yang berasaskan serbuk, pil gelatin keras yang diisikan dengan serbuk). Mengapa produk CoQ10 ini tidak boleh diserapi dengan mudah? Sebabnya ialah saiz zarah CoQ10 adalah sangat besar, tidak larut dalam air dan susah hendak melarut dalam lipid, dengan itu membuatkannya sukar untuk badan menyerapinya.

Bagaimanapun, sebuah syarikat di Amerika telah berjaya membangunkan proses Biosolv yang telah dipatenkan. Proses ini dapat mengecilkan saiz zarah daripada 25 hingga 70 mikron menjadi hanya 0.3 mikron. Malah, lebih kecil daripada seekor bakteria! Dengan itu membuatkannya "larut air" (hydrosoluble). Sebagai hukum umum, lagi kecil saiz zarah maka lagi baik pula penyerapannya. Oleh itu, dengan CoQ10 yang larut air, lebih banyak CoQ10 akan dapat diserapi ke dalam aliran darah anda untuk meningkatkan paras tenaga dalam badan anda. Oleh itu, mulakanlah mengambil CoQ10 yang larut air setiap hari untuk memulih dan membaharui tenaga anda serta ucapkan selamat tinggal kepada segala rasa keletihan!

Friday, April 2, 2010

Wajah lebih cerdik Enfagrow

PENERAJU pasaran dalam kategori susu tumbesaran premium di Malaysia, Mead Johnson Nutrition, baru-baru ini telah melancarkan reka bentuk global terbaru bagi jenama utamanya, Enfagrow A+ dan Enfakid A+.

Menurut Pengurus Besar Mead Johnson Nutrition Malaysia, Singapura dan Brunei, Roger Dallas, reka bentuk global terbaru itu untuk membantu memastikan pihaknya mempunyai wajah terkini dan konsisten di semua negara.

''Di seluruh dunia, jenama-jenama Enfa telah menyokong keperluan khasiat untuk tumbesaran kanak-kanak.

''Sebagai sebahagian daripada inisiatif global, kami berbangga untuk melancarkan wajah cerdik terbaru untuk jenama ini.

''Jadi, para pelanggan kami boleh mengenal pasti jenama ini di mana-mana sahaja di dunia,'' ujarnya.

Tambah beliau, ibu-ibu kini yakin bahawa wajah cerdik terbaru tersebut mengandungi khasiat sama yang mereka yakini selama bertahun-tahun untuk anak-anak mereka.

Enfagrow A+ dan Enfakid A+ dirumus dengan lebih daripada 4X DHA (berbanding rumusan sebelumnya) dan Triple Protection Guard.

Inovasi ini menyokong impian golongan ibu untuk melihat perkembangan otak dan sistem pertahanan badan anak masing-masing dalam usaha menyediakan permulaan terbaik buat anak-anak mereka.

Jelas Dallas , apabila si manja membesar, mereka akan terdedah kepada pelbagai rangsangan yang akan membentuk dan menguatkan komunikasi antara sel-sel otak si manja untuk menyokong proses pembelajaran.

Untuk itu, nutrien-nutrien seperti DHA membantu menyokong proses penting tersebut.

Bagaimanapun apabila anak mula belajar dan meneroka, mereka akan berhubung dengan elemen-elemen yang mencabar ketahanan tubuh seperti kuman yang wujud di persekitaran.

Ini mungkin membawa kesan kepada tiga aspek penting terhadap sistem pertahanan badannya iaitu sistem pernafasan, sistem penghadaman dan ketahanan kepada jangkitan lazim.

Dalam usaha mengatasi masalah tersebut, susu Enfagrow A+ dan Enfakid A+ dengan lebih daripada 4X DHA serta Triple Protection Guard diperkenalkan untuk memastikan si manja mendapat khasiat yang mencukupi bagi perkembangan mental dan fizikal secara keseluruhannya.

Produk tersebut boleh didapati dalam tiga jenis perisa seperti original, vanila dan madu.

Kesemua perisa tersebut boleh didapati di semua pusat beli-belah utama dan farmasi di seluruh negara.

Rangkaian Enfa yang menggunakan reka bentuk label baru telah mula dijual awal bulan ini.

Tuesday, March 30, 2010

Sihat melalui pilihan makanan

BERAPA kerap anda mendapat selesema atau batuk? Adakah luka yang anda alami mengambil masa yang agak lama untuk sembuh? Adakah anda sering mengalami keletihan amat sangat atau sakit kepala? Semua gejala di atas merupakan simptom-simptom penyakit yang kerap mengganggu sistem imunisasi tubuh manusia yang setiap waktu dikeliling bakteria dan virus.

Untuk itu selain mengamalkan gaya hidup sihat termasuk bersenam dan menjaga pemakanan, setiap individu juga dinasihatkan memantau kedudukan sistem daya tahan badan.

Pakar Terapi Rawatan Semulajadi dan Nutrisi Kordel, Esther Peh berkata, untuk meningkatkan sistem daya ketahanan badan, pemilihan kombinasi makanan yang berkhasiat amat penting di samping pengambilan vitamin-vitamin tambahan.

Jelas beliau, tabiat mengambil makanan yang mengandungi banyak lemak dan gula tetapi kurang atau tidak langsung melakukan senaman juga merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada gangguan sistem daya ketahanan badan seseorang.

''Corak pemakanan dan gaya hidup yang tidak sihat mengakibatkan masyarakat Malaysia hari ini mudah dijangkiti penyakit.

''Ini kerana dunia yang semakin maju turut mengakibatkan gaya hidup serta pemakanan masyarakat hari ini menjadi semakin moden.

''Ia ditambah pula dengan kesibukan bekerja dan tiada masa untuk bersenam yang secara tidak langsung menjadi penyumbang untuk dijangkiti penyakit berjangkit,'' ujarnya ketika pada forum terbuka mengenai gaya hidup sihat di Pusat Perubatan Sunway, di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Tambah beliau, untuk merangsang daya ketahanan badan, disaran agar minum banyak air - sekurang-kurangnya lapan gelas sehari.

Selain itu, seseorang individu turut dinasihatkan mengamalkan diet yang seimbang di samping memperbanyakkan pengambilan sayuran serta buah-buahan berwarna terang.

Senaman juga salah satu cara paling cepat dan berkesan untuk merangsang sistem imun badan.

Rehat dan tidur yang mencukupi juga salah satu cara untuk tampil sihat.

"Tidur adalah salah satu cara terbaik untuk merehatkan badan dan disarankan agar tidur antara enam atau tujuh jam satu malam.

"Selain itu elak ketagihan terutama alkohol, dadah dan rokok kerana semua itu boleh merosakkan sistem imun kita," katanya.

Dalam pada itu menurut Esther, mengurangkan pengambilan ubat juga merupakan salah satu cara untuk meningkatkan sistem ketahanan badan.

Ini kerana pengambilan terlalu banyak ubat akan menjejaskan sistem pertahanan badan disebabkan kandungan dadah di dalamnya.

Bagi penyelesaian kepada masalah sistem imunisasi badan, Esther menyarakan agar orang ramai mengambil kombinasi vitamin seperti vitamin C, zink dan selenium

Ketiga-tiga kombinasi vitamin tersebut merupakan kombinasi yang bagus kerana ia memberikan perlindungan yang diperlukan.

''Sebaik-baiknya bagi mereka yang mengambil vitamin tambahan digalakkan mengambil kombinasi antara vitamin C, zink dan selenium.

''Ini kerana ketiga-tiganya mempunyai peranan masing-masing dalam memberi perlindungan kepada sistem imunisasi badan anda,'' katanya.

Beliau turut memberitahu bahawa vitamin C banyak terkandung dalam buah kiwi berbanding buah oren di samping buah jambu dan betik.

''Seperti yang kita ketahui vitamin C terkenal sebagai perangsang daya tahan dan juga diperlukan dalam pembentukan kolagen.

''Pada masa sama, ia turut mengekalkan sistem imun badan di samping mempercepatkan proses penyembuhan,'' katanya.

Melindungi kekuatan tulang

KAJIAN pakar mendapati bermula daripada usia 30 tahun jisim tulang mula berkurangan kerana kadar penguraian tulang lebih cepat daripada kadar pembinaan tulang. Jadi, untuk mengekalkan tulang yang kuat seseorang itu disaran mengambil kombinasi nutrien tulang yang betul pada tahap disyorkan.

Menyahut cabaran itu, Anlene, susu tepung yang terkenal bagi kesihatan tulang optimum untuk golongan dewasa, baru-baru ini mengumumkan bahawa ia adalah satu-satunya susu berkalsium tinggi yang diuji secara klinikal untuk melindungi kekuatan tulang dalam tempoh empat minggu.

Penemuan kajian saintifik terbaru itu adalah hasil ujian klinikal yang dijalankan di Asia Tenggara oleh pakar-pakar tulang dengan sokongan jenama tersebut.

Pengurus Kanan Bahagian Kesihatan Fonterra Brands bagi Anlene, Joanne Toad berkata, kajian ini menunjukkan mereka yang minum susu Anlene dapat mengurangkan kadar penguraian tulang dalam tempoh empat minggu.

"Kami mendapati bahawa kadar penguraian tulang adalah lebih rendah dalam tempoh empat minggu bagi mereka yang minum susu Anlene.

"Ia penting kerana jisim tulang yang berkurangan tidak dapat dikembalikan," katanya di majlis pengumuman kajian tersebut di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Hadir sama Pengurus Besar Fonterra Brands (Malaysia) Sdn. Bhd., John McKay, dan duta jenama Anlene, Datuk Michelle Yeoh.

Menurut Toad, Fonterra sebagai peneraju dalam sektor tenusu di negara ini sentiasa berusaha menghasilkan produk tenusu yang memberikan khasiat terbaik untuk semua peringkat umur.

Ia telah membelanjakan lebih daripada AS$45 juta (RM157 juta )dalam penyelidikan kesihatan tulang dan AS$14 juta (RM98 juta) hanya untuk Anlene.

"Kami sebagai pakar tenusu sentiasa menerajui inovasi dan kajian terkini melalui penyelidikan yang beterusan." katyanya

Sementara itu, Michelle yang juga pelakon antarabangsa terkenal, menggesa wanita Malaysia supaya mula menjaga kesihatan tulang seawal mungkin dengan mendapatkan lebih maklumat tentang kepentingan mengekalkan tulang yang sihat.

"Kesihatan tulang adalah satu subjek yang amat dekat di hati saya dan adalah penting bagi wanita untuk mengetahui bahawa tulang yang 'hilang' tidak dapat dikembalikan.

"Saya juga menyarankan agar rakyat Malaysia menjadikan kesihatan tulang sebagai komitmen mereka sepanjang hayat seawal yang mungkin dengan meminum susu kalsium tinggi yang sesuai," katanya

Dalam pada itu Anlene telah mengadakan pelbagai aktiviti membabitkan orang ramai berkaitan kesihatan tulang termasuk roadshow ke seluruh negara.

Sunday, March 28, 2010

Asid alfa lipoik anti oksida serba boleh

IBU saya telah mengamalkan pengambilan asid alfa lipoik atas saranan ahli farmasi sebagai vitamin tambahan untuk penghidap diabetes. Ternyata ia memberi faedah kepada ibu dari segi masalah kaki yang sering terasa mencucuk dan sedikit kebas. Apakah orang lain akan mendapat manfaat sekiranya diambil sebagai vitamin anti oksida harian walaupun mereka bukan penghidap diabetes?

Jawapan:

Asid alfa lipoik merupakan nutrien anti oksida yang dihasilkan oleh tubuh dan ia membantu menukar glukosa dalam darah kepada tenaga. Sebagai anti oksida ia adalah bahan yang melawan radikal bebas, iaitu sisa produk yang terhasil dalam tubuh. Penghasilan radikal bebas ini akan menyebabkan tindakbalas kimia yang berbahaya yang merosakkan sel-sel dalam tubuh. Kesannya, ia menyukarkan atau melemahkan keupayaan tubuh untuk melawan jangkitan, selain merosakkan organ-organ dan tisu-tisu tubuh. Di kalangan penghidap diabetes, penghasilan radikal bebas mungkin lebih ketara berbanding dengan orang yang normal. Sebab itulah masalah kebas, rasa mencucuk, pedih atau sakit terutamanya pada kaki akibat terjejasnya kesihatan saraf akan lebih ketara di kalangan penghidap diabetes.

Walaupun seseorang itu bukan penghidap diabetes, anda masih boleh memperolehi manfaat darinya memandangkan ia bersifat anti oksida yang berguna untuk melawan kesan radikal bebas. Berbanding dengan anti oksida lain yang berkesan hanya dalam persekitaran berair (seperti vitamin C) atau tisu-tisu berlemak (seperti vitamin E), asid alfa lipoik bertindak dalam kedua-dua persekitaran ini. Ini bermakna ia boleh bekerja di seluruh tubuh. Selain itu, bukti menunjukkan asid alfa lipoik boleh membantu memulih anti oksida ini dan menjadikan mereka aktif semula.

Berdasarkan laporan Science Daily pada Mei 2007, asid alfa lipoik didapati memperlahankan proses penuaan pada haiwan dengan memperbaiki pengaliran darah dan menguatkan sistem imun serta memberi kesan kepada beberapa faktor yang terlibat dalam penuaan. Hasil penyelidikan yang dibentangkan semasa persidangan mengenai diet dan kesihatan di Universiti Oregon State mendedahkan bahawa nutrien ini membantu mengekalkan paras glutation, iaitu kompaun anti oksida pelindung dan detoksifikasi. Ia juga bertindak sebagai agen anti-radang dan ia sesuai dengan pelbagai penyakit degeneratif.

Asid alfa juga merupakan anti oksida yang boleh memainkan peranan dalam melindungi sel-sel hati daripada kerosakan radikal bebas serta turut membantu vitamin-vitamin B dalam penghasilan tenaga daripada metabolisme karbohidrat, protein dan lemak.

Laser rangsang pertumbuhan rambut

BARU-baru ini saya berpeluang menghadiri aktiviti kejiranan wanita anjuran persatuan penduduk setempat. Sungguh seronok berjumpa jiran-jiran yang prihatin dan ramah. Saya sempat menyampaikan ceramah keselamatan dan kesihatan. Di situ saya sempat bertemu dengan Hajah K yang merupakan salah seorang pelanggan klinik saya.

Meskipun sudah menganjak ke usia 60-an namun dia masih lagi cantik dan menarik. Dia amat pandai menjaga penampilan. Pakaiannya kemas dan sedondon membuatkan dia tampak sentiasa cantik.

Hajah K ialah surirumah sepenuh masa namun penampilannya membuatkan ramai yang menyangka dia bekerja kerana wajahnya sentiasa kemas berbedak dan di bibirnya pasti menawan dengan secalit gincu. Matanya berseri digaris celak hitam.

‘‘Memang saya pastikan wajah dan badan saya kemas sentiasa. Hal ini saya amalkan dari muda lagi doktor.

‘‘Setiap kali bangun pagi saya membaca beberapa lembar al-Quran. Selepas solat Subuh saya berhias dulu, kemudian saya uruskan keperluan suami dan anak-anak,” katanya.

Sambil bersembang, Hajah K menarik tangan saya ke satu ruang yang agak tersorok. Dia menanggalkan tudungnya dan meminta saya melihat rambutnya.

Rambutnya masih hitam lagi tetapi kelihatan amat nipis dan ada ruang kosong yang hampir botak di bahagian tengah kepala.

“Inilah yang amat merisaukan saya. Masalah ni dah lama. Sejak anak-anak kecil hinggalah saya menopaus,’’ katanya.

Saya bertanya: “Banyakkah rambut yang gugur Hajah.’’

“Ada kalanya banyak juga doktor. Saya ada beli tonik rambut dan pelbagai ubat di farmasi untuk mengatasi masalah ini. Bila saya pakai pada awalnya saya nampak rambut kurang gugur tapi sejak akhir-akhir ini terlalu banyak yang gugur sehingga saya rasa risau. Lalu saya berhenti gunakan ubat,’’ jawab wanita itu.

Pertumbuhan rambut biasanya melalui empat fasa utama

Fasa 1

Rambut tumbuh dengan aktif dari akar rambut

Fasa 2

Ia mula memanjang

Fasa 3

Pemanjangan jadi perlahan

Fasa 4

Tiada pemanjangan, rambut berehat dan akan gugur dengan mudah

Setiap fasa pertumbuhan memerlukan vitamin dan hormon yang berbeza bagi merangsangnya. Jika seorang wanita mempunyai hormon testosterone dan progesterone yang rendah rambut akan gugur. Paras hormon progesterone wanita selepas bersalin paras akan turun dengan banyak. Wanita yang mengalami keadaan ini akan dilanda kemurungan (Post natal blues) dan rambut gugur.

Pernahkah anda mendengar perkataan gila meroyan? Sebenarnya gila meroyan adalah kemurungan selepas bersalin dan berkait rapat dengan kandungan hormon yang rendah selepas bersalin. Semasa mengandung paras hormon meningkat dengan banyak kerana placenta menghasilkan hormon bagi kegunaan kandungan.

Selepas bersalin pula paras hormon merosot kerana ketiadaan palcenta. Begitu juga bagi wanita yang menopaus. Ovari menjadi tidak aktif dan tidak lagi mengeluarkan hormon yang diperlukan olehnya. Oleh kerana ketiadaan hormon wanita akan berasa keletihan, kepanasan dan moodnya akan merosot.

Hal inilah yang berlaku kepada Hajah K. Kerana itulah selepas mendapat anak beliau mula mengalami keguguran rambut dan keadaan semakin teruk selepas beliau menopaus. Pada waktu ini kandungan hormon merosot dengan banyaknya. Namun sebagai seorang wanita yang tabah beliau menerima keadaan ini tanpa sebarang rungutan.

Hajah K berkunjung lagi ke klinik saya. Dia mahu membuat rawatan agar rambutnya kembali tebal dan tidak gugur. Apabila membuat analisis darah saya dapati tekaan saya adalah tepat. Saya mencadangkan penambahan hormon kepadanya dan memberikan krim progesterone dan estrogen untuk digunakan. Selain itu saya mencadangkan rawatan Lllt (Low level laser therapy). Rawatan ini mudah dan memakan masa 25 minit bagi setiap sesi. Laser yang dipancarkan berjarak gelombang 650 nm dan berupaya merangsang sel-sel rambut agar tumbuh subur.

Sel rambut merupakan sel hidup yang memerlukan tenaga dan bekalan zat makanan dari salur darah pada kulit kepala kita. Apbila salur darah menjadi sempit dan bilangan salur darah berkurangan maka rambut akan gugur dan tidak mampu bertahan lama.

Apabila tenaga foton dari laser dipancarkan pada rambut, ia diambil oleh sel-sel rambut dan membolehkan sel rambut menyerap tenaga. Tenaga itu kemudian digunakan sebagai tenaga dalaman yang menumbuhkan semula pembuluh pembuluh darah padanya. Hasil daripada penambahan pembuluh darah yang baru sel rambut akan mula berkembang. Selain daripada itu saya memberikan vitamin yang kaya dengan zink dan kalsium kepada Hajah k.

Selepas tiga bulan menjalani rawatan saya dapat melihat perubahan yang menakjubkan pada Hajah K. Hasil daripada penambahan hormon dan laser, bukan sahaja rambutnya ya kembali tebal bahkan wajahnya juga kelihatan lebih muda. “Saya dapati stamina saya meningkat. Saya lambat rasa letih dan mood saya lebih baik dari biasa.

‘‘Alhamdulillah, bukan sahaja rambut saya tak gugur sekarang tapi saya dapat kesihatan yang lebih baik kini,’’ katanya.

Dia juga memberitahu tidak menyangka pelbagai kesan menopaus yang dialaminya mampu diubati. Selaman dia juga menganggap menopaus sebagai takdir dan memaksa dirinya untuk cergas dan ceria meskipun kadangkala hatinya rasa tertekan. ‘‘Saya pelik kerana tiada sebab munasabah untuk saya berasa tertekan. Agaknya itulah sebab orang sebaya saya mudah tertekan. Cepat berasa kecil hati dengan orang lain meskipun hal yang berlaku sedikit sahaja,’’ katanya.

Saya setuju dengan Hajah K. Seorang wanita yang mengalami simptom tertekan selepas menopaus kebanyakannya menganggap gejala itu sebagai normal sedangkan ia boleh mengganggu perhubungan mesra dengan ahli keluarga yang lain. Gejala tersebut juga boleh dirawat.

Pemeriksaan awal kanser kolon

KANSER kolon atau kanser rektum yang juga dikenali sebagai kanser kolorektal menyebabkan 655,000 kematian di seluruh dunia setiap tahun. Ia merupakan penyebab utama kematian di kalangan lelaki Malaysia dan pembunuh ketiga di kalangan wanita negara ini.

Kanser kolon bermula dengan polip. Peringkaan permulaan polip akan tumbuh berbentuk benjolan kecil seperti cendawan di permukaan kolon. Polip adalah petanda awal kanser kolon. Kebanyakan polip tidak berbahaya tetapi ada sesetengahnya boleh bertukar menjadi kanser.

Kanser kolon boleh dicegah dan dirawat sekiranya dikesan awal. Oleh itu cara untuk mengelak daripada mendapat kanser kolon adalah dengan menjalani pemeriksaan doktor.

Pemeriksaan awal oleh doktor

Pemeriksaan awal bertujuan mengenalpasti atau mengesan kanser kepada pesakit yang tidak menunjukkan tanda gejala dan tidak mempunyai sejarah penyakit kanser kolorektal. Kanser kolon boleh menyerang tanpa sebarang tanda. Adalah penting untuk menjalani pemeriksaan, atau ujian, oleh doktor walaupun anda tidak mengalami sebarang tanda dan gejala.

Berdasarkan data yang diperolehi dari negara barat, individu yang berisiko tinggi dan mencapai usia 50 tahun digalakkan menjalani pemeriksaan awal pada usus iaitu kolonoskopi. Individu yang berisiko tinggi yang dimaksudkan adalah mereka yang mempunyai ahli keluarga yang pernah menghidap penyakit kanser kolon. Mengikut panduan American College of Gastroenterology, jika anda mempunyai saudara terdekat (ibu bapa atau adik-beradik) menghidapi kanser kolon pada usia 60 tahun ke atas atau sebelum umur 60 tahun, anda perlu mula menjalani pemeriksaan usus atau kolonoskopi pada umur 40 tahun. Atau anda perlu melakukan pemeriksaan 10 tahun lebih awal daripada pesakit yang paling muda. Sebagai contoh, jika adik beradik anda menghidapi kanser kolon pada umur 38 tahun, anda perlu menjalani pemeriksaan pada umur 28 tahun.

Pemeriksaan awal oleh doktor untuk kanser kolorektal adalah penting untuk mengelakkan kanser kolon. Tetapi, ia memerlukan banyak sumber dan tenaga manusia untuk melakukannya. Selain daripada kolonoskopi yang merupakan cara terbaik untuk mengesan kanser kolorektal, terdapat kaedah lain untuk mengesan kanser kolon seperti pemeriksaan darah dari najis, barium enema, sigmoidoskopi dan imbasan kolonografi CT.

Mengesan kanser kolon

Jika dikesan awal, peluang untuk sembuh adalah lebih tinggi bagi penghidap penyakit kanser kolon. Malangnya, kebanyakan pesakit berjumpa doktor apabila kanser pada tahap sudah teruk. Mereka enggan berjumpa doktor hingga tanda gejala berlarutan beberapa bulan.

Dan apabila mereka berjumpa dengan doktor, kanser tersebut mencapai tahap 3 (tahap yang agak teruk) atau 4 (kanser yang telah merebak ke organ lain, seperti hati atau peparu). Tahap 4 merupakan kanser terminal dan kemungkinan peluang untuk hidup adalah tipis. Diagnosis awal adalah penting dan seharusnya pesakit mendapatkan rawatan segera sejurus mempunyai tanda gejala kanser kolorektal.

Sekiranya anda mempunyai tanda gejala kanser kolon dan mendapatkan pengesanan awal doktor, doktor anda mungkin akan melakukan pemeriksaan usus atau kolonoskopi di bawah pembiusan ringan. Kolonoskopi adalah prosedur yang boleh dilakukan di bilik rawatan harian. Dalam prosedur kolonoskopi doktor akan menggunakan skop iaitu satu tiub panjang dan boleh melentur (fleksibel) dengan garis pusat ½ inci. Tiub ini disambungkan ke alat perakam kamera video untuk doktor memeriksa seluruh kolon dan dubur (rektum). Prosedur ini boleh dilihat oleh doktor dengan jelas pada skrin televisyen. Semasa prosedur, doktor boleh membuang polip atau mengambil sampel tisu yang tidak normal di dalam usus untuk dianalisis. Pembuangan polip bertujuan mengurangkan risiko pesakit mendapat kanser. Prosedur kolonoskopi berguna untuk mendiagnos penyakit dan ia juga berguna merawat pendarahan usus, membuang polip dan merawat usus yang tersumbat disebabkan kanser kolon.

Barium enema dan imbasan kolonografi adalah satu lagi cara yang sesuai untuk mendiagnos kanser kolon yang telah menyumbat lubang usus. Tetapi dengan cara ini doktor tidak dapat mengambil sampel tisu kolon untuk dianalisa. Ujian darah CEA (Carcinoembryonic Antigen) tidak tepat untuk mengesan kanser kolon. Bagaimanapun, bacaan CEA yang tinggi tidak semestinya menunjukkan pesakit menghidap kanser kolon, tetapi kemungkinan pesakit menghidap kanser paru-paru atau kanser perut. Bacaan CEA yang tinggi boleh juga dikesan di kalangan perokok. Untuk peringatan, bacaan CEA pada paras normal tidak semestinya bermaksud seseorang itu bebas dari kanser kolon.

Rawatan

Pembedahan - Harapan pesakit kanser kolon untuk sembuh adalah dengan menjalani pembedahan. Sekiranya ketumbuhan yang dialami oleh pesakit belum merebak, pembuangan sebahagian usus melalui pembedahan akan dilakukan. Cara pembedahan yang dilakukan bergantung pada lokasi ketumbuhan. Jika kanser tersebut adalah terlalu dekat dengan dubur, pesakit mungkin memerlukan beg kolostomi sementara dan kolon disambung semula selepas beberapa bulan. Lebih awal kanser dapat dikesan, lebih besar peluang pesakit dapat hidup dengan jangka masa yang lebih panjang.

Pembedahan kadang-kala juga akan dijalankan ke atas pesakit yang mengalami kanser terminal di mana penyumbatan keadaan usus tersekat disebabkan kanser yang terlalu besar dan menutup lubang usus, yang juga boleh menyebabkan kebocoran usus. Colonic stenting atau proses penggunaan pendawaian tiub adalah alternatif lain untuk mengurangkan sumbatan kolon daripada kanser kolon.

Kemoterapi - doktor menggunakan ubat anti kanser untuk menghalang pertumbuhan atau membunuh sel kanser. Kebanyakan ubat anti kanser diberi melalui suntikan. Rawatan kemoterapi adalah lebih berkesan untuk membunuh sel kanser dan menghalang perulangan. Secara umumnya, cara ini mempunyai kesan sampingan tetapi boleh dikawal secara keseluruhan.

Terapi radiasi - menggunakan Sinar X berkuasa tinggi digunakan untuk membunuh sel kanser dan menghalangnya daripada merebak. Rawatan ini juga digunakan bersama kemoterapi untuk mengecutkan ketumbuhan sebelum pembedahan.

Imunoterapi atau terapi biologi - terapi ini meningkatkan fungsi anti kanser pesakit dengan menggunakan sistem imun tubuh badan untuk melawan kanser.

Bolehkah kanser kolon dicegah?

Walaupun faktor risiko utama kanser kolon adalah gen anda, terdapat beberapa bukti yang menunjukkan anda boleh mencegah kanser ini. Anda boleh melakukannya dengan menambah pengambilan makanan berserat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran, mengamalkan diet rendah kalori, berhenti merokok, mengurangkan atau berhenti mengambil alkohol dan banyakkan bersenam adalah terbukti dapat mencegah daripada mendapat kanser.

Sekiranya anda mempunyai sejarah kanser kolon dalam keluarga, risiko anda mendapat kanser kolon adalah tinggi dan ujian pemeriksaan awal oleh doktor adalah sangat penting. Ingat, kanser kolon boleh dielakkan. Oleh itu, jika anda berada dalam kumpulan yang berisiko tinggi, jalani ujian pemeriksaan awal. Jangan tunggu sehingga anda melihat tanda dan gejalanya untuk berjumpa doktor.

Dr. Tan Huck Joo adalah presiden Persatuan Gastroenterologi & Hepatologi Malaysia. Penulis rencana ini tidak menyokong dan tidak mempunyai kaitan dengan sebarang jenama atau produk. Rencana ini adalah sumbangan Persatuan Gastroenterologi & Hepatologi Malaysia yang disokong oleh Program Perut Sihat Vitagen. Untuk mendapatkan buku mengenai kesihatan sistem penghadaman secara percuma, sila hubungi 03-56211408.

Jangan perkecil khasiat telur

TELUR pernah dianggap sumber makanan tidak menyihatkan. Bagi individu yang mengamalkan diet tinggi protein, telur sememangnya menjadi kegemaran. Tetapi tidak bagi mereka yang mengikuti diet rejim rendah lemak dan yang berhati-hati tentang paras kolesterol dalam badan.

Berbanding dengan kepercayaan tersebut, hakikatnya telur kaya dengan sumber nutrisi semulajadi. Kajian terbaru menunjukkan pengambilan telur secara kerap seiring dengan diet yang sihat dan rendah lemah tidak akan memberi kesan negatif kepada LDL-kolesterol atau menyebabkan risiko penyakit jantung.

Selain harga yang murah, mudah diperoleh dan rasanya yang enak, telur diakui padat dengan nutrisi yang diperlukan oleh badan.

Terdapat beberapa sebab pakar-pakar berpandangan bahawa manfaat telur adalah lebih banyak berbanding kandungan kolesterolnya.

Telur kaya dengan vitamin dan mineral. Sebutir telur bersaiz besar mengandungi 251 miligram choline - lebih separuh daripada yang diperlukan oleh wanita setiap hari.

Choline merupakan satu nutrisi penting terutamanya untuk wanita hamil kerana peranannya dalam pembentukan otak janin sehingga terbentuk menjadi bayi malah memberi kesan kepada memori selepas bayi dilahirkan.

Telur juga kaya sumber yang kaya dengan vitamin K. Sebutir telur mengandungi 25 mikrogram iaitu kira-kira satu pertiga daripada keperluan wanita setiap hari. Vitamin K adalah nutrisi penting untuk membekukan darah.

Masalah bahu terlepas

YATI (bukan nama sebenar) baru berusia 27 tahun membuat pemeriksaan di klinik sukan di sebuah hospital untuk membetulkan bahu yang sering terlepas sejak setahun lalu. Dia yang baru setahun bermain badminton dengan tangan kanan, tiba-tiba mengalami kesakitan pada tangan tersebut yang mengeluarkan bunyi ‘pop’.

Menurut Pakar Ortopedik dan Pembedahan Sukan dari Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC), Dr. Khaizatul Ezam Abu Bakar, bahu yang sering terlepas atau dikenali sebagai recurrent shoulder dislocation adalah komplikasi yang sering berlaku selepas dislokasi bahu (sendi bahu terkeluar selepas berlakunya kecederaan).

“Dislokasi bahu boleh berlaku pada mana-mana peringkat umur. Ia selalunya terjadi berikutan trauma atau jatuh dan boleh menjadi sakit.

Dislokasi bahu yang tidak dirawat dengan sempurna boleh menyebabkan ketidakstabilan pada sendi tersebut menyebabkannya sering tercabut atau dislokasi berulang-ulang.

Keadaan ini dikenal pasti sebagai ketidakstabilan bahu. Bila ini berlaku, pesakit mempunyai kesukaran untuk bermain atau melakukan aktiviti berat menggunakan bahu tersebut,” ujarnya.

Dislokasi boleh berlaku tanpa sebarang trauma dan spontan selepas melakukan pergerakan abduksi dan pusingan luaran (external rotation) pada bahu.

Pesakit dinasihatkan mengelak kedudukan pergerakan tersebut bagi mencegah dislokasi daripada berulang.

Tambah Dr. Ezam, ketidakstabilan sendi bahu atau sendi bahu yang longgar berlaku dalam dua keadaan iaitu traumatik dan atraumatik. Traumatik berlaku apabila kecederaan serius pada struktur sokongan sendi bahu menyebabkan sendi tersebut mudah tercabut dan dislokasi berlaku secara berulang-ulang.

Keadaan ini berlaku lazimnya pada golongan muda yang aktif bersukan. Pesakit yang lebih muda dan lebih aktif ketika berlakunya dislokasi pertama lebih berisiko untuk mendapat ketidakstabilan bahu.

Sementara itu, autraumatik berlaku pada individu yang memiliki struktur sokongan sendi yang longgar sama ada secara genetik atau keturunan.

Bukan sahaja sendi bahu individu tersebut longgar malahan turut melibatkan sendi-

sendi lain. Dislokasi yang berlaku selalunya tidak sakit dan individu tersebut mudah untuk memasukkan sendi tersebut ke keadaan asal.

“Ketidakstabilan sendi bahu yang berlaku disebabkan oleh trauma bermula apabila dislokasi sendi bahu yang pertama menyebabkan kecederaan pada struktur ligamen sokongan pada sendi tersebut,” ujarnya.

Dr. Ezam menjelaskan, sendi bahu terbentuk daripada artrikulasi pangkal tulang humerus dengan bahagian glenoid tulang skapula. Glenoid atau soket sendi bahu mempunyai permukaan yang rata dan ia dikelilingi oleh labrum (mangkuk rawan) yang turut menyelaputi tulang humerus,” jelasnya. Apabila dislokasi berlaku, labrum terkoyak daripada glenoid menyebabkan sokongan dari ligamen hilang. Koyakan tersebut menyebabkan labrum menjadi rata dan tidak dapat mengadang tulang humerus terkeluar daripada soket glenoid.

Ini menyebabkan ketidakstabilan yang serius pada sendi tersebut dan dislokasi mudah berlaku.

Justeru itu, tulang bahu yang terkehel atau teralih kedudukannya perlu dirawat segera.

“Bagi kes-kes yang lebih kompleks, pesakit perlu dibawa menjalani beberapa prosedur terlebih dahulu. Ini untuk memastikan sama ada terdapat komplikasi lain seperti keretakan tulang, kecederaan tisu lembut seperti ligamen yang terkoyak, mahupun kemungkinan urat saraf yang tertekan,” katanya.

Untuk itu, imbasan sinar-X atau teknik MRI boleh digunakan untuk mengesan kecederaan pada labrum (tulang rawan) atau mana-mana struktur yang menyambung antara sendi tulang.

Memandangkan bahagian sendi tersebut akan membengkak dan bertambah sakit, maka lebih baik rawatan tersebut dipercepatkan. Sejurus tulang tangan dimasukkan semula ke dalam soket bahu, sebahagian daripada rasa sakit itu akan hilang. Bagi kes yang berulang, klinik atau hospital boleh menawarkan beberapa jenis rawatan. Antaranya adalah pemulihan Bankart iaitu pembedahan membaik pulih kecacatan dalam kaviti glenoid. Pembedahan baik pulih itu boleh disertakan dengan prosedur atroskopik. Ia mengenal pasti, memantau, dan mendiagnosis kecederaan sendi menggunakan instrumen optik serat untuk melihat terus ke dalam bahagian yang cedera.

Selepas menjalani rawatan mengikut keperluan, pesakit disarankan berehat daripada melakukan kerja-kerja berat khususnya yang melibatkan pergerakan tangan.

Selain pembedahan yang disarankan pada pesakit yang mempunyai ketidakstabilan bahu yang tidak dapat dikawal oleh terapi fizikal dan pengubahsuaian aktiviti, pesakit juga akan menjalani rawatan bukan pembedahan.

Ia melibatkan terapi fizikal bertujuan menguatkan otot sekitar sendi bahu dan ini akan meningkatkan kestabilan sendi tersebut.

Hidup positif dengan HIV

MEREKA ini datang daripada segenap lapisan hidup tetapi berkongsi dua perkara yang sama. Mereka dijangkiti dan terjejas dengan HIV dan AIDS dan mereka terbuka untuk berkongsi kisah peribadi mereka dengan orang lain.

Ada antara mereka ini hidup dengan HIV, ada juga yang mempunyai teman istimewa, keluarga atau rakan yang hidup dengan HIV. Ada yang telah mendirikan rumah tangga dan dikurniakan cahaya mata, manakala mereka yang lain masih lagi mencari-cari insan istimewa. Kisah mereka berkisar tentang cinta, serta yang paling penting menyentuh tentang kehidupan, kejujuran dan cukup menyentuh perasaan. Tatapan kisah ini dapat disaksikan menerusi pementasan, Life Sdn. Bhd: I'm Positive!.

Menurut Norlela Mokhtar, 46, kisahnya diharap dapat menjadi contoh dan kekuatan wanita yang senasib dengan dirinya.

"Saya merupakan ibu tunggal yang berjaya membesarkan empat orang anak. Walaupun saya positif HIV, saya bersyukur kerana berjaya menyekolahkan anak hingga ada yang masuk universiti," katanya yang ingin berkongsi kisah dengan masyarakat.

Walaupun tidak pernah berlakon sebelum ini, Norlela tidak berasa kekok dalam persembahan kali ini.

Kebetulan, dia sering bercakap di hadapan orang ramai dan berkongsi cerita tentang pengalamannya. Baginya, dengan adanya perkongsian, kita dapat sama-sama memberi kesedaran kepada masyarakat tentang perlunya mereka memahami kehidupan pesakit HIV.

"Ramai yang tidak tahu, mereka yang positif HIV sudah mencecah 150 ribu walaupun yang dilaporkan hanya 80 ribu. Dulu tanpa bantuan subsidi ubat-ubatan, ramai pesakit HIV menderita. Ini kerana kami dapat bertahan hanya dengan ubat-ubatan dan rawatan. Masyarakat tidak tahu dengan bantuan tersebut, kami dapat mengambil ubat serta hidup lebih lama. Bahkan, ibu bapa yang positif HIV boleh membesarkan anak-anak mereka.

Saya sangat bersyukur kerana saya masih sihat dan dapat menghantar anak belajar hingga ke peringkat universiti," katanya.

Justeru itu, menerusi persembahan ini masyarakat sama ada golongan berada atau sederhana dapat menerima keadaan pesakit HIV. Penonton dapat menyaksikan sendiri suka dan duka kehidupan pesakit HIV.

"Harapan saya agar orang tidak membuat diskriminasi ke atas kami. HIV tidak semestinya tidak boleh hidup secara normal atau berkahwin. Kami juga manusia biasa yang ingin hidup seperti orang lain mempunyai pekerjaan dan keluarga. Semoga kawan-kawan senasib dengan saya mendapat sokongan," ujarnya.

Lain pula cerita Rina, 31, seorang remaja yang dihalau dari rumah dan tidak mempunyai arah tuju.

Selepas itu, Rina melalui kehidupan hitam dan didiagnosis HIV.

"Kisah ini memberi kesedaran kepada masyarakat supaya lebih prihatin dengan anak-anak mereka. Bagi saya, tidak perlu ada rasa takut kerana informasi perlu hadir daripada perasaan sendiri. Walaupun ada yang tidak mahu menyokong, mereka perlu menerima kami dan bukan menghukum. Setiap manusia ada jalan hidup dan cerita masing-masing. Walaupun saya seperti ini, saya akan bersyukur pada setiap pagi seperti yang ibu saya ajar," ujarnya yang bekerja dengan Yayasan PT.

Kata Rina, dia sudah 15 tahun menderita HIV. Dalam tempoh lima tahun pertama, dia tidak boleh terima kerana baginya ketika itu dia belum cukup jahat untuk mendapat virus.

Selepas didiagnosis, Rina belajar banyak perkara dan dia perlu menerima keadaannya.

"Melalui pekerjaan sekarang, saya terlibat dengan kelompok sokongan yang membantu wanita. melalui program yang kami jalankan, kami boleh berkongsi pendapat, isu dan peluang seperti Yayasan AIDS Malaysia (MAC) berikan.

Harapan saya, agar rakyat tidak meminggir kami. Saya bukan terpinggir tetapi masyarakat yang meminggir," ujarnya.

Rina berharap semua yang datang menyaksikan persembahan ini dapat mengubah cara pemikiran. Baginya, usaha ini adalah untuk generasi pada masa akan datang.

Dalam pada itu, pengarah Life Sdn. Bhd: I'm Positive!, Datuk Faridah Merican berkata, menerusi pementasan ini akan wujud sokongan persekitaran yang sihat dan kondusif dalam masyarakat Malaysia terhadap orang yang hidup dengan HIV dan AIDS.

"Saya merakamkan penghargaan kepada sembilan individu ini yang mahu tampil ke depan. Mereka semua ini mempunyai cerita istimewa untuk dikongsi dan kami berharap mereka yang hadir memberi sepenuhnya tumpuan dengan menonton dan mendengar. Itu sahaja yang perlu anda lakukan iaitu mendengar. Saya jamin ia merupakan medium terbaik dalam memahami tentang epidemik HIV dan AIDS serta merupakan sesuatu yang bernilai buat anda," jelasnya.

Persembahan ini telah pun berlangsung selama lima hari berturut-turut bermula dari 24 Mac lalu dan berakhir pada hari ini di The Actors Studio, Lot 10, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.

Selain pembabitan sembilan individu dalam pementasan berkenaan, ia turut menampilkan beberapa penyanyi dan penulis lirik, Ariff Akhir, Ian Chow, Peter Ong dan Dayang Nurfaizah.

Hiperhidrosis jejas keyakinan

HELIZA Helmi kelihatan tenang dan yakin setiap kali mengadakan persembahan. Namun, di sebalik riak wajah yang berkeyakinan itu, ramai tidak mengetahui bintang Akademi Fantasia 4 ini sebenarnya menghidapi masalah yang boleh dikatakan serius.

Tapak tangannya sentiasa berpeluh. Ia bukan peluh biasa. Adakala tangannya kelihatan seperti baru dibasuh. Keadaan menjadi lebih serius andai dia gementar dan risau.

“Setiap kali selepas persembahan, saya pasti akan mengelap dahulu mikrofon sebelum memberi kepada orang lain,” kata penyanyi dan pelakon bermata bundar ini.

Heliza disahkan doktor mengalami hiperhidrosis iaitu keadaan di mana individu berpeluh melampau. Terdapat pelbagai jenis hiperhidrosis dan gadis ini tergolong dalam palmar iaitu berpeluh melampau di bahagian tapak tangan.

Penuntut tahun akhir Universiti Malaysia Sabah (UMS) ini mula menyedari dia mengalami masalah tersebut ketika sekolah rendah lagi. Menurutnya, ia bukan penyakit keturunan kerana tidak ada seorang pun ahli keluarganya mengalami masalah tersebut.

“Boleh dikatakan tisu adalah teman karib saya sepanjang masa. Di mana ada saya, di situlah ada tisu,” ujarnya.

Menurut Heliza, dia mengalami perpeluhan sepanjang masa kecuali tidur. Keadaan menjadi lebih serius seandainya dia berdebar untuk melakukan sesuatu, contohnya mengadakan persembahan dan menghadapi peperiksaan.

Heliza masih ingat bagaimana dia terpaksa membawa sapu tangan bagi menangani masalahnya ketika menduduki peperiksaan. Katanya, selain basah dan tidak selesa, tangannya juga sentiasa rasa sejuk.

Pelakon Syurga Cinta ini pernah mendapatkan pandangan daripada doktor dan cuba mencari sebanyak mungkin maklumat melalui pembacaan buku serta Internet.

“Buat masa ini saya memakai driclor. Bolehlah tahan sikit daripada berpeluh. Tapi, kadang-kadang jadi gatal-gatal pula,” katanya.

Heliza ada terbaca mengenai pembedahan Video Assissted Thoracoscopic Symphatectomy (VATS), namun sedang dalam pertimbangan sama ada ingin melakukannya atau tidak.

“Saya pernah terbaca kesan sampingan akibat pembedahan itu. Walaupun hanya peratusan yang kecil, tapi saya agak risau terutama andai ia menyebabkan kulit saya kering melampau,” katanya.

Apa itu hiperhidrosis?

Menurut Pakar Perunding Bedah dan Pensyarah Kanan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Dr. Muhammad Ishamuddin Ismail, hiperhidrosis adalah keadaan fisiologi yang disebabkan oleh sistem saraf simpathetik terlalu aktif.

“Punca sebenarnya tidak ketahui. Namun ia berlaku kepada satu hingga tiga peratus penduduk dunia tidak kira bangsa,” katanya.

Menurutnya, nisbah antara penghidap lelaki dan wanita adalah sama namun golongan lelaki cenderung mengalami jenis plantar (kaki) manakala wanita pula palmar.

Biasanya, simptom hiperhidrosis mula kelihatan ketika sejak usia antara 10 tahun hingga 20-an. Kemungkinan berlaku di kalangan ahli keluarga adalah tinggi namun ia bukan kemestian.

Walaupun tidak menjejaskan kesihatan keseluruhan, hiperhidrosis dianggap mengganggu aktiviti sosial individu terbabit.

“Individu terbabit akan rasa tidak selesa, rendah diri dan kurang berkeyakinan untuk bertemu orang ramai. Apatah lagi bagi mereka yang banyak terlibat dengan majlis sosial,” katanya.

Rawatan

Terdapat beberapa kaedah merawat hiperhidrosis. Antaranya:

Antiperspirant

Dicadangkan kepada kes hiperhidrosis ringan dan bersifat sementara.
Pemakaian perlu diulang.
Pesakit serius, kaedah ini langsung tidak berkesan
Suntikan

Bagi mengurangkan aktiviti saraf simpathetik.
Namun kadangkala mengganggu aktiviti simpathetik hingga berlaku masalah lain seperti sembelit, cirit-birit, rasa loya dan pengsan.
Hanya bertahan antara enam hingga lapan bulan sahaja.
Pembedahan

Pembedahan invasif minimum melalui VATS paling berkesan dan selamat.
Mengambil masa sekitar satu jam.
Kesan serta-merta.
Kejayaan hampir 100 peratus.
Luka pembedahan hanya sebesar 5mm - 1sm.
Kesan sampingan

Dr. Muhammad Ishamuddin memberitahu, kemungkinan untuk mengalami kesan sampingan hanya sekitar satu hingga tiga peratus sahaja dan kesakitan yang berlaku biasanya disebabkan pembedahan.

Rasa sakit seperti sengal biasa berlaku di bahagian dada dan belakang.

“Ia berlaku lebih kurang dua minggu dan bersifat sementara,” katanya.

Jelas beliau lagi, pesakit boleh pulang dari wad sehari selepas pembedahan dan proses penyembuhan berlaku dengan pantas.

Kesan sampingan lain pula seperti berpeluh di bahagian lain, sesak nafas dan sebagainya juga bersifat sementara. Bagi mereka yang mengalami masalah kekeringan pula kata beliau, boleh diatasi dengan menyapu losen atau krim.

Menurutnya, sehingga kini PPUKM mencatatkan kejayaan 100 peratus dalam VATS dan purata 50 pembedahan dilakukan setiap tahun.

Maklumat mengenai hiperhidrosis

www.wethandsclub.com