"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Saturday, May 8, 2010

Budaya makan waktu malam punca obesiti

TENTU ramai bersetuju bahawa orang Malaysia makan mengikut selera. Apa sahaja makanan yang sedap akan diambil tanpa memikirkan kesan pada kesihatan.

Malah ramai juga yang berpegang pada falsafah, 'hidup hanya sekali dan makanlah selagi ada selera sebab jika sudah sakit, semuanya tidak boleh dimakan'.

Pepatah 'mencegah lebih baik daripada mengubati' tidak dihiraukan sehingga timbul falsafah baru, 'dulu orang mati tak cukup makan, sekarang mati sebab berlebih makan'.

Makan mengikut selera bukan sahaja boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit malah menjadikan ramai di kalangan rakyat Malaysia gemuk atau obesiti.

Sebab itu tidak menghairankan apabila kajian menunjukkan jumlah penduduk negara ini yang mengalami obesiti semakin membimbangkan dan menjadi punca masalah kesihatan di Malaysia.

Bukan saja di kalangan orang dewasa, malah lebih teruk menular di kalangan kanak-kanak dan remaja yang rata-rata dilanda masalah kesihatan adalah disebabkan oleh obesiti.

Akibatnya kes-kes penyakit kronik meningkat di kalangan rakyat negara ini.

Salah satu daripada sebab kepada masalah ini ialah kegemaran kanak-kanak, remaja malah dewasa terhadap makanan segera.

Makanan segera seakan-akan telah menjadi budaya dan kebanggaan mereka yang menikmatinya daripada sarapan pagi, makan tengah hari dan malam.

Budaya makan makanan segera yang sebahagian besarnya datang dari negara luar hakikatnya tidak sesuai dengan budaya kita.

Ini kerana makanan segera lazimnya berkalori tinggi yang mungkin menjadi keperluan penduduk negara sejuk tetapi bukan di Malaysia.

Ibu bapa harus memainkan peranan mendidik anak-anak agar tidak bergantung kepada makanan segera.

Nikmati makanan yang dimasak sendiri di rumah kerana kita dapat mengawal kandungan kalori, lemak dan sebagainya di dalam makanan.

Satu lagi punca obesiti tanpa disedari ialah budaya atau tabiat suka makan pada waktu malam.

Restoran dan gerai-gerai yang berselerak di Kuala Lumpur yang dibuka 24 jam membuatkan ramai yang menghabiskan waktu santai mereka makan dan minum sehingga lewat malam.

Memetik kata-kata mantan Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar yang pernah penulis temui tidak lama dulu, banyak negara yang telah dikunjunginya dan puas mengelilingi dunia, tiada negara yang restoran atau gerai makan yang dibuka 24 jam kecuali Malaysia.

Penduduk negara ini memang bertuah kerana boleh makan 24 jam atau lebih tepat jika dikatakan Malaysia sebagai syurga makanan.

Keistimewaan ini juga yang menarik ramai pelancong ke negara ini kerana mereka boleh makan sehingga lewat malam.

Lebih bertuah mereka yang sememangnya tidak boleh tidur malam lantas menghabiskan masa dengan makan-makan di restoran mamak 24 jam atau gerai yang menjual bermacam-macam jenis makanan yang enak.

Tetapi yang buruknya, kadar metabolisme kita rendah pada waktu malam. Ini membuatkan lemak lebih mudah berkumpul. Kebanyakan restoran 24 jam menjual makanan yang tinggi kandungan lemak, kalori dan kolesterol.

Contohnya sekeping roti canai mengandungi 301 kalori, roti telur ( 356 kalori), capati (300 kalori), mi goreng (281 kalori) dan ayam goreng (255 kalori).

Banyak yang harus diubah seperti diet yang tidak seimbang dan tabiat makan pada waktu malam.

Pada masa lalu, kebiasaannya orang makan dua kali sehari, iaitu tengah hari dan malam. Tetapi pada hari ini, kebanyakannya makan lima hingga enam kali sehari termasuk makan lewat malam di kedai Mamak.

Presiden Persatuan Kajian Obesiti Malaysia, Prof. Dr. Mohamad Ismail Noor berkata, gejala obesiti yang tidak dibendung boleh melemahkan struktur masyarakat kerana sebahagian besar generasi muda yang gemuk tidak aktif dan berpenyakit.

Justeru katanya, obesiti mesti ditangani secepat mungkin sebelum semakin ramai rakyat Malaysia mengalaminya.

"Obesiti boleh menyebabkan perubahan dalam sistem enzim dan hormon tubuh dan memberikan kesan negatif pada kesihatan.

"Pelbagai penyakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis, sakit buah pinggang, jantung serta menjejaskan sistem reproduksi berpunca daripada obesiti," katanya.

Statistik menunjukkan obesiti di kalangan orang dewasa negara ini meningkat mendadak kepada 250 peratus pada tempoh 10 tahun lalu daripada 1996.

Sementara itu, jumlah mereka yang mengalami kegemukan turut bertambah kepada 70 peratus.

Kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan 2006 pula menunjukkan dua daripada setiap lima orang dewasa atau 43 peratus mengalami sama ada kegemukan atau obesiti.

Lebih membimbangkan jumlah dewasa obes bertambah lebih tiga kali ganda lebih sedekad lalu, daripada empat peratus pada tahun 1996 kepada 14 peratus pada 2006.

Selain itu, kira-kira 38 peratus daripada remaja yang berumur di antara 12 hingga 18 tahun diklasifikasikan sebagai terlebih berat.

Kajian yang dilakukan baru-baru ini terhadap 10,000 orang pelajar menunjukkan 24 peratus yang berumur di antara enam tahun hingga 12 tahun terlebih gemuk atau obesiti.

Bagi membendung masalah obesiti yang semakin membimbangkan di negara ini, Kementerian Kesihatan akan menempatkan kira-kira 300 pakar pemakanan di klinik kerajaan terpilih secara berperingkat bagi memberi kaunseling mengenai obesiti.

Kerajaan benar-benar memandang serius masalah obesiti di kalangan rakyat dengan menubuhkan Majlis Cegah Obesiti Malaysia (Mcom) baru-baru ini.

Dr. Mohamad berkata, masalah obesiti di Malaysia berada pada tahap membimbangkan bagi semua peringkat umur.

Terdapat dua punca utama yang dikesan menyebabkan kepada masalah obesiti, iaitu makan berlebihan dan kurang bersenam.

Terdapat juga kes kegemukan yang disebabkan oleh kes keadaan kesihatan seperti masalah endokrin dan pengambilan ubat-ubatan atau dadah tertentu.

''Kajian yang dilakukan mendapati masyarakat kita tidak suka bersenam kerana menganggap senaman tidak penting dan tidak ada alasan untuk mereka bersenam.

''Banyak faedahnya bersenam kerana badan akan menjadi sihat dan kuat serta menjauhkan daripada pelbagai penyakit.

"Dengan bersenam, kita dapat membina kekuatan otot, meningkatkan keupayaan badan mengawal paras glukosa darah, membantu mengawal lipid darah yang tidak normal, menguatkan tulang dan melambatkan proses osteoporosis.

''Selain itu, tidak banyak tempat untuk beriadah, kes ragut, rogol, bunuh dan sebagainya menghalang orang untuk keluar bersenam lebih-lebih lagi selepas Subuh di mana sekeliling masih gelap.

''Tidak ramai yang mampu untuk ke kelab kesihatan atau membeli peralatan untuk diletakkan di rumah.

"Sebenarnya banyak aktiviti yang boleh dilakukan di rumah bagi mengeluarkan peluh seperti menari, mengemas rumah, berkebun dan mencuci kereta. Aktiviti seperti ini juga dapat membantu menguatkan otot-otot.

''Kerajaan mempunyai banyak perancangan untuk memberikan kemudahan kepada masyarakat seperti menyediakan lebih banyak tempat beriadah tetapi amat sukar untuk melaksanakan kerana kekurangan peruntukan.

''Sebenarnya banyak cara untuk bersenam. Berjalan kaki juga salah satu daripada jenis senaman.

"Tetapi orang kita terlalu bergantung kepada kereta, hendak pergi kedai yang dekat pun hendak naik kereta. Hendak pergi tingkat satu pun nak naik lif. Mereka tidak mahu naik tangga sedangkan itu adalah senaman yang baik, mudah dan ringkas ,'' ujar Prof Mohamad Ismail lagi.

Beliau menambah, setiap orang harus mengubah cara pemikiran mereka mengenai obesiti.

Ramai yang memandang remeh dan tidak takut pada obesiti kerana pada mereka obesiti tidak membunuh. Tetapi H1n1 membunuh dan mereka amat takut kepada penyakit-penyakit seperti ini.

Bagaimanapun katanya, jika seseorang itu telah obesiti maka ia akan selama-lamanya begitu. Banyak kajian yang dilakukan di Amerika Syarikat dan Eropah mengenai obesiti namun tidak banyak yang boleh dilakukan untuk menanganinya.

Kanta untuk atasi rabun jauh

MIOPIA atau rabun jauh iaitu keadaan di mana seseorang dapat melihat objek dekat dengan jelas tetapi penglihatan objek jauh yang kabur, telah menjejaskan lebih 1.6 bilion penduduk di seluruh dunia.

Lebih mengejutkan, sebanyak dua pertiga daripada mereka yang terjejas berasal dari rantau Asia dan kebanyakannya adalah kanak-kanak di bawah umur 12 tahun.

Di Malaysia lebih 2.1 juta kanak-kanak terjejas termasuk 56 peratus daripadanya mengalami masalah miopia.

Sebagai langkah proaktif membendung masalah tersebut Carl Zeiss Vision (Zeiss), peneraju dalam kanta-kanta cermin mata dan penyelesaian gangguan penglihatan, mengumumkan kejayaan menghasilkan kanta cermin mata khusus untuk kanak-kanak dengan masalah miopia.

Ia merupakan kanta cermin mata pertama yang dibukti secara klinikal mengurangkan pergerakan miopia sekurang-kurangnya 30 peratus untuk kanak-kanak.

Lebih penting, penghasilannya dibuat berdasarkan pemahaman sepenuhnya tentang punca-punca rabun jauh di kalangan kanak-kanak.

Kanta cermin mata canggih dikenali sebagai MyoVisio, hasil daripada kajian yang dijalankan oleh para penyelidik di Vision Cooperation Research Centre (Vision CRC) di Sydney, Australia.

Ketua Pegawai Eksekutif Vision CRC, Profesor Brien Holden berkata, kanta istimewa itu mewujudkan rantaian antara imej kabur retina periferal dan pergerakan miopia atau pemanjangan biji mata.

Berikutan kajian ini kanta baru tersebut memiliki satu ciri unik dalam kanta cermin mata, yang dikenali sebagai Teknologi Pengurusan Penglihatan Perifera.

Teknologi ini menghantar amaran berhenti kepada biji mata dan mengelakkan ia daripada memanjang.

"Percubaan terhadap MyoVisio telah terbukti dapat mengurangkan tahap pergerakan miopia sehingga 30 peratus di kalangan kanak-kanak antara umur enam hingga 12 tahun yang mana ibu bapa mereka pernah mempunyai masalah sama.

"Manfaat kesihatan yang mungkin diperoleh daripada penggunaan teknologi kanta ini cukup mengagumkan.

"Ini bermakna kanak-kanak Asia yang mempunyai masalah miopia kini dapat mengurangkan pergerakan miopia dengan menggunakan kanta tersebut.

"Ia juga akan meninggalkan kesan besar dalam kos penjagaan kesihatan dan rawatan miopia yang mahal," katanya pada majlis pelancaran MyoVisio di Eyefont, kedai konsep optik Focus Point, di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Holden menambah jika tidak dirawat, miopia yang serius boleh meningkatkan risiko katarak, glaucoma dan pemisahan retina - semuanya berpotensi untuk mengundang penglihatan menjadi buta.

Sementara itu, Naib Presiden dan Pengurus Besar Zeiss untuk Asia, Afrika dan Asia Barat, Anthony Chung berkata, ia merupakan penemuan penting dalam mencegah masalah rabun jauh.

"Kami gembira dapat memainkan peranan dalam memperbaiki tahap rabun jauh di kalangan kanak-kanak Asia. "Kanak-kanak di Malaysia terutamanya akan dapat manfaat daripadanya," katanya.

Apa yang lebih membanggakan katanya, kanta ini adalah kanta-kanta penglihatan tunggal - nipis dan ringan. yang memberi pemakaian yang selesa kepada kanak-kanak.

Kanta-kanta MyoVisio kini boleh didapati di semua Pusat Kepakaran Carl Zeiss dan cawangan optik terpilih di Malaysia.

Antosianin untuk mata

Soalan:Suplemen Bilberi banyak memberi kelegaan kepada mata saya akibat penggunaan komputer. Adakah suplemen ini sesuai untuk ibu yang berusia 54 tahun sebagai kesihatan umum mata? Adakah ia sesuai untuk saya atau ia khusus untuk golongan muda?

Jawapan

Tanpa mengira usia, kesihatan mata perlu dijaga kerana semua dari kita amat memerlukan khidmatnya seumur hidup kita. Bilberi banyak dicadangkan untuk kesihatan mata kerana kandungan antosianinnya yang tinggi. Kepentingannya kepada mata adalah kerana kebolehannya dalam merangsang peredaran darah dan oksigen yang lebih baik ke mata yang sangat diperlukan untuk mata yang sihat. Keadaan ini juga memberi kesan dalam melegakan simptom-simptom keletihan dan ketidakselesaan mata. Dengan sebab itulah mereka yang sering mengalami keletihan yang mungkin berpunca daripada penggunaan komputer atau sebarang kerja yang memerlukan penumpuan mata akan memperolehi manfaat daripada pengambilan ekstrak Bilberi dan eyebright.

Antosianin merupakan pigmen berwarna merah ungu yang boleh dijumpai dalam tisu-tisu tumbuhan, seperti daun, bunga atau buah. Selain memperbaiki penghantaran oksigen dan darah ke mata, e kstrak bilberi banyak disarankan atau kesihatan mata sifat antioksidanya. Antosianin juga melindungi sel endothelial pada membran daripada menjadi tegar dan menjadikan kapilari lebih fleksibel.

Ekstrak bilberi juga dapat mempercepatkan pemulihan rodopsin. (Rodopsin ialah pigmen peka cahaya yang terdapat pada rod retina). Justeru itu, pengambilan suplemen ini membantu penglihatan waktu siang dan malam. Untuk kesan terbaik, ambilah bilberi dengan kombinasi herba seperti eyebright, lycium dan lutein. Kesemua makanan ini berfaedah untuk mata kerana mengandungi mineral dan nutrien.

Retina mudah terdedah kepada tekanan oksidatif kerana penggunaan oksigen yang tinggi, nisbah asid lemak poli tak tepu berantai panjang yang tinggi serta terdedah kepada cahaya.

Ambilah makanan yang mengandungi nutrien anti radikal bebas seperti beta karotena, vitamin A, C, E serta zink dan selenium untuk melindungi mata daripada radikal bebas. Vitamin dan nutrien ini tentunya sesuai untuk kesihatan mata, apatah lagi di kalangan golongan berusia.

Pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran yang segar adalah perlu untuk membekalkan vitamin dan mineral bagi mengekalkan struktur sel mata. Lobak merah, bayam, sayuran hijau serta buah-buahan dan sayur-sayuran pelbagai warna dapat membekalkan pigmen karotenoid untuk kesihatan mata serta meneutralkan radikal bebas.

Cantik semula jadi

ALAM semula jadi sememangnya kaya dengan rahsia yang masih belum tersingkap. Buah-buahan dan sayur-sayuran misalnya adalah anugerah Maha Pencipta yang bukan saja enak dinikmati malah banyak khasiat di sebaliknya termasuk untuk kecantikan.

PISANG

Musa sapentium L

Pisang sememangnya kaya dengan potassium dan mengandungi bahan pelembap yang menakjubkan apabila digunakan untuk merawat rambut dan kulit.

Resipi

*Sebiji pisang masak

*1 sudu madu

*1/2 sudu minyak jojoba

*1 sudu yogurt

*Putih telur

*1 sudu tanah liat putih

Pukul putih telur, kemudian campur yogurt, minyak jojoba, madu dan tanah liat sehingga menjadi adunan berkrim dan lembut.

Dalam mangkuk berasingan, lecek pisang dan masukkan ke dalam campuran bahan pertama.

Sapu adunan tersebut di muka, leher dan bahu. Urut perlahan dan biarkan selama 15 minit sebelum dibersihkan. Resipi ini membantu melembut dan menganjalkan kulit.

YOGURT

Produk tenusu ini mengandungi bakteria ‘baik’. Ia boleh digunakan dalam rawatan melembapkan dan membersihkan kulit.

Resipi

*1/4 cawan yogurt

*3 sudu T Honey

*3 sudu puri labu atau

*3 sudu puri lobak merah

Kisar puri labu atau lobak merah (sama ada di dalam tin tanpa bahan pengawet) atau yang dimasak. Campurkan bersama yogurt dan madu. Manjakan seluruh tubuh dengan adunan tersebut dan berendam dalam air suam selama 20 minit, kemudian bilas.

TIMUN

Cucumis sativus

Sayuran ini terkenal kerana kelebihan bahan penyejuk dan astringen yang terdapat di dalamnya. Cuba beberapa hirisan timun untuk melegakan mata yang letih.

Cuba resipi ini untuk merawat rambut akibat klorin selepas berenang di kolam renang.

Resipi

*1 butir telur

*3 sudu minyak zaitun

*1/4 cawan timur yang telah dihancurkan.

Kisar telur, minyak zaitun dan timun. Ratakan campuran bahan tersebut pada rambut, biarkan selama 10 minit sebelum dibilas. Untuk hasil yang memuaskan, amalkan resipi ini berterusan.

Lemon

Citrus limonum

Buah ini kaya dengan bahan penyegar dan anti-viral. Cuba buat sendiri semburan untuk rambut menggunakan lemon sebagai bahan asas.

Resipi

*1 biji lemon

*3 cawan air

Hiris lemon dan didihkan secara double boiler. Biarkan sehingga campuran bahan tinggal separuh. Tapis bahan tersebut dan masukkan ke dalam botol penyembur. Tambah setengah cawan air untuk mencairkan bahan tersebut jika perlu.

Semburkan cecair lemon kepada rambut apabila perlu. Oleh kerana ia lembut dan tidak mengandungi alkohol atau bahan kimia, cecair ini sesuai untuk kanak-kanak. Simpan di dalam peti sejuk untuk mengekalkan kesegarannya.

Elak padah obesiti

SEL lemak atau dalam bahasa saintifiknya adipocyte dalam badan berfungsi mengeluarkan hormon yang dipanggil leptin. Apabila kita makan, tenaga lebihan dalam makanan disimpan menjadi lemak. Adipocyte mampu membesar dan mengecil bergantung kepada kandungan lemak di dalamnya.

Apabila kandungan lemak tersimpan dalam adipocytesmeningkat hormon leptin dirembes oleh sel-sel lemak dan diresap ke dalam darah. Proses ini memberi signal kepada otak bahawa badan sudah memperolehi makanan yang secukupnya. Leptin merangsang rasa kenyang dan puas makan. Ia adalah isyarat berhenti makan. Namun didapati orang gemuk walaupun mempunyai banyak leptin dalam darah masih berasa tidak kenyang dan memerlukan makanan.

Mengapa ini terjadi?

Ini menjelaskan wujudnya molekul lain dalam darah yang memberi isyarat kenyang dan selesa kepada otak selain daripada leptin. Molekul ini tidak dapat bertindak apabila seseorang itu menjadi obes. Apabila molekul ini gagal bertindak maka leptin tidak dapat berfungsi.

Terdapat interaksi kimia yang berlaku dalam tubuh kita dan kesemua molekul ini berinteraksi antara satu sama lain .

Apakah molekul-molekul tersebut?

Di antara molekul-molekul tersebut adalah enzim dan hormon di dalam darah.

Hormon dan enzim berinteraksi dengan kompleks menukarkan makanan kepada tenaga. Apabila ia tidak dapat berinteraksi maka tenaga tidak terhasil dan makanan terus bertukar menjadi lemak.

Terdapat teknik-teknik untuk meningkatkan paras enzim dan hormon dalam darah. Terkini pakar mencadangkan pengambilan hormon berasaskan tumbuh-tumbuhan. Ternyata ia memberi kesan yang memuaskan. Faktor pendedahan kepada racun serangga dan pengawet makanan secara berlebihan menyebabkan kelenjar tubuh yang merembeskan enzim dan hormon menjadi tidak aktif. Apabila enzim dan hormon rendah sudah tentu tiada pemecahan lemak dapat berlaku.

Kaedah meningkatkan hormon dan enzim

Senaman adalah satu cara yang berkesan untuk meningkatkan paras hormon dan enzim dalam darah. Bersenam menjadikan otot badan yang aktif memberi signal kepada penghasilan hormon dan enzim yang tinggi. Anda juga boleh mengambil suplemen meningkatkan hormon dan enzim dalam darah dengan pengawasan doktor.

Peningkatan kadar hormon dan enzim bererti peningkatan dalam kadar metabolik anda.

Padah obesiti

Sakit jantung

Sakit jantung merupakan penyakit yang paling kritikal berpunca daripada obesiti. Kita selalu mendengar kisah individu pelbagai peringkat umur tiba-tiba diserang penyakit jantung. Sakit jantung boleh di anggap sebagai silent killer di kalangan orang orang obes. Lemak yang terlalu tebal boleh menyumbat saluran darah menyebabkan organ tubuh kita tidak mendapat cukup oksigen yang diperlukan.

Didapati mereka yang obes pada ukuran BMI lingkungan 25 ke atas terdedah kepada serangan jantung, mati mengejut, sakit dada dan denyutan jantung yang tidak normal.

Darah Tinggi

Mereka yang mempunyai berat badan berlebihan berkemungkinan mendapat tekanan darah tinggi. Puncanya kandungan lemak darah (triglycerides) tinggi dan HDL kolestrol baik yang rendah di dalam darah pengidap obesiti. Trigliseride tinggi boleh menyumbat salur darah dengan cepat. Apabila ruang salur darah menyempit tekanan di dalamnya akan meningkat.

Hipertensi

Hipertensi mempercepatkan proses pengerasan arteri dan mempercepatkan proses penuaan. Pusingan ini mempunyai rentetan di mana arteri yang keras mengakibatkan tekanan darah tinggi systolic yang membawa kepada tambahan kerosakan kepada arteri. Adalah dijangka bagi pengurang berat badan sebanyak 10 paun seseorang boleh mengurangkan tekanan darah systolic pada kadar lebih kurang 11mm ukuran mercury .

Diabetes

Diabetes adalah keadaan di mana kandungan gula tinggi dalam darah. Makanan yang kita makan akan diurai menjadi glukosa. Glukosa akan digunakan oleh sel-sel tubuh kita sebagai tenaga. Proses di mana glukosa bertukar menjadi tenaga di dalam sel dilakukan oleh hormon insulin.

Obesiti mempunyai kaitan rapat dengan diabetes. Pengidap diabetes mempunyai masalah kerana receptors pada dinding sel tidak sensitif kepada insulin. Sekiranya pengidap diabetes dirawat dan berat badan dapat diturunkan receptors ini akan menjadi sensitif semula kepada insulin.

Besar kemungkinan ia disebabkan kekurangan ko-enzim dan enzim yang dikeluarkan tubuh. Kekurangan ini menyebabkan insulin tidak dapat bertindak dengan baik.

Seseorang yang obes terdedah kepada risiko mendapat diabetes jenis 2 sebanyak dua kali ganda daripada mereka yang mempunyai berat badan normal. Diabetes yang disebabkan oleh berat badan berlebihan merosakkan saluran darah dan membawa kerosakan kepada banyak organ dalaman badan.

Kanser

Terdapat kaitan positif antara kanser uterus dan kanser payu dara dengan obesiti. Golongan obesiti mempunyai risiko lebih tinggi terhadap pelbagai jenis kanser seperti kanser endometrical iaitu kanser lining uterus, kolon, gall bladder, prostat, buah pinggang dan post menopausal breast kanser.

Didapati kalangan wanita yang mempunyai lebihan berat badan sebanyak 18 paun mempunyai dua kali ganda risiko untuk menghidap barah payu dara selepas menopaus. Remaja wanita yang mengalami obesiti pula mengidap penyakit akibat lebihan tekanan ke atas otak. Penyakit ini muncul dalam bentuk gangguan pandangan mata dan sakit kepala.

Senaman atau aktiviti bergerak membuatkan sel-sel otot kita menjadi aktif dan ia penting bagi membolehkan hormon dan enzim dalam darah terhasil. Otot yang aktif adalah satu rangsangan yang membolehkan tubuh kita mengeluarkan hormon dan enzim dengan baik. Pada Otot terdapat sel-sel yang dinamakan mitokondria. Mitokondria adalah kilang bagi menjana tenaga yang diperlukan aktiviti tubuh kita. Otot yang tidak aktif mengeluarkan tenaga yang sedikit kerana bilangan mitokondrianya sangat kecil.

Otot yang kuat membuatkan pembakaran lemak dalam tubuh menjadi pantas dengan penggunaan tenaga yang berkesan.

Oleh itu kita harus melakukan senaman yang boleh meningkatkan saiz otot dan menguatkan otot. Antara senaman yang baik dilakukan adalah senaman menaiki tangga, berjalan dan berlari.

Rahsia kekuatan tulang Michelle

WANITA ini tidak pernah takut mencuba aksi lasak di layar perak. Melompat dan berlari juga tidak menimbulkan masalah buat bekas Miss Malaysia 1983, Datuk Michelle Yeoh.

Mula mempelajari tarian balet pada usia empat tahun, Michelle yang mengalami kecederaan tulang belakang, terpaksa mengalih perhatian kepada seni lain termasuk koreografi.

Michelle yang mahir berkungfu sering menjadi pilihan watak heroin beraksi lasak di Hollywood.

Peranan yang paling sinonim dengannya ialah wanita yang mahir seni mempertahankan diri dan sentiasa tangkas beraksi. Michelle tampak seperti benar-benar menguasai setiap pergerakannya.

Kongsinya, dia mementingkan kualiti kesihatan dengan mengambil tahu tentang kesihatan tulangnya. Selain senaman, pembinaannya memerlukan nutrien yang tepat dan berterusan untuk memastikan kitaran pembentukan tulang yang melibatkan pereputan tulang lama dan pembinaan tulang baru berlaku pada kadar yang sepatutnya.

Michelle yang berasa beruntung kerana dididik ibu bapanya untuk mengambil semua jenis makanan dan memahami tentang nutrien, menjadikan sayuran hijau dan buah-buahan sebagai makanan wajib. Untuk tulang pula, Michelle secara khususnya memilih mengambil susu setiap hari.

"Saya memang yakin dan ambil serius tentang kesihatan tulang saya. Sebagai seorang pelakon, kesuntukan masa dan jadual penggambaran yang sibuk merupakan tuntutan kerja yang tidak dapat dielakkan.

''Inilah antara sebab saya harus mengambil berat tentang pengambilan kalsium, bagi memastikan saya mendapat keperluan harian nutrisi tulang saya kerana saya gemar melakukan aksi lagak ngeri saya sendiri," kata beliau selepas pelancaran siri jelajah Sains di sebalik Anlene di ruang legar Oval, LG, New Wing One Utama, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Di samping itu, Michelle yang juga duta Anlene, menggelarkan wanita Malaysia sebagai superwoman. Nasihatnya, jaga kesihatan tulang mereka seawal mungkin.

Pada pendapat Michelle, sebagai ibu dan wanita muda, mereka melakukan banyak aktiviti.

Jadi, mereka harus dibekalkan maklumat awal mengenai kepentingan menjaga tulang yang baik.

"Isu kesihatan tulang amat dekat di hati dan saya percaya, bermula usia 30-an, anda sudah perlu mengamalkan minum susu dengan pengambilan susu kalsium yang tepat," katanya.

Berkongsi rahsia kesihatannya, sebagai seorang yang aktif dan lasak, dia perlu mengamalkan gaya hidup sihat agar dapat mengekalkan kesihatan serta stamina ketika di lokasi penggambaran.

Bahkan, Michelle tiada masalah mengamalkan rutin itu kerana susu menjadi minuman hariannya sejak kecil sehingga sekarang. Malah, selepas bangun pagi dan bersenam, wanita ini akan minum secawan susu kemudian barulah melakukan aktiviti lain. Sementara itu, Michelle percaya kecantikan luaran sebenarnya terpancar menerusi dalaman iaitu daripada segi pemakanan serta hati yang sentiasa ceria dan gembira.

"Apabila kedua-dua ini dijaga, anda tidak perlu bimbang walau sudah lewat usia. Lihatlah penampilan saya yang suka minum susu," ujarnya yang bangga menjadi anak kelahiran Malaysia.

Kawal pergerakan, elak disc tergelincir

SETIAP daripada kita pasti pernah mengalami sakit belakang terutama di bahagian pinggang.

Biasanya ia disebabkan duduk terlalu lama, posisi tidur tidak betul, mengangkat beban atau melakukan aktiviti lasak.

Sakit dengan rasa tidak selesa untuk beberapa hari, mungkin tidak terlalu serius. Namun andai berlarutan hingga melebihi enam minggu diikuti rasa sengal dan kebas di seluruh bahagian kaki, anda harus segera berjumpa doktor.

Anda mungkin mengalami disc tergelincir di bahagian tulang belakang.

Perunding Pembedahan Ortopedik Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Dr. Lim Heng Hing berkata, masalah sakit belakang terutama melibatkan disc tergelincir berlaku pada 60 hingga 80 peratus penduduk dunia sekali dalam seumur hidup.

“Sakit belakang terbahagi kepada dua jenis iaitu jika melibatkan belakang sahaja dipanggil spondylosis.

“Namun jika berasa sakit hingga ke paha dan betis seperti rasa kebas serta sengal, ia petanda anda mengalami disc tergelincir,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Bagaimana disc tergelincir berlaku?

Menurut Dr. Lim, disc tergelincir adalah masalah kecederaan pada tulang lembut (disc) yang juga dikenali sebagai disc intervertebral. Dalam istilah perubatan ia disebut spinal disc herniated/ prolapsed.

“Disc intervertebral boleh diumpamakan sekeping tulang lembut di antara tulang vertebra. Ia terdiri daripada satu tisu yang kuat (annulus fibrosus) di mana di dalamnya terkandung sejenis bahan yang lembut (nucleus polposus),” ujar beliau.

Jelasnya, kecederaan pada disc intervertebral menyebabkan kerosakan pada annulus fibrosus. Akibatnya, ia menjadi bengkak dan seringkali juga pecah pada disc intervertebral.

Bengkak yang berlaku akan menekan urat saraf di belakangnya. Keadaan menjadi lebih serius apabila ia pecah menyebabkan isinya atau nucleus polposus (mengandungi bahan inflammatori) keluar dan menekan urat saraf.

Ini menyebabkan sakit belakang yang teramat sangat yang akan merebak turun ke kaki. Pesakit juga akan berasa kebas dan lemah kaki.

Kerana itu kaedah rawatan biasa yang diberi kebanyakan doktor dengan cara pengambilan ubat antiinflammatori bagi melawan bahan yang terkandung dalam nucleus pulposus.

“Cuba bayangkan disc ini seperti tayar kereta yang membantu menyerap hentakan menjadikan kita tidak berasa sakit ketika lompat atau terhentak,” katanya.

Secara umum katanya, tulang mempunyai 26 disc dari tengkuk hingga ke pinggang, iaitu 12 pada bahagian torak atau dada, tujuh pada tengkuk dan lima di tulang lumbar atau tulang belakang pada bahagian pinggang.

Disc tergelincir boleh juga berlaku di bahagian lain seperti leher namun yang paling biasa adalah pinggang.

“Penyakit ini tergolong dalam kumpulan degenaratif iaitu melibatkan faktor usia. Semakin meningkat usia, satu demi satu lapisan akan bergerak dan bercerai lalu berlakulah masalah disc tergelincir andai tidak dijaga dengan betul,” katanya.

Bergantung pada bila ia berlaku, misalnya ketika berusia 20 tahun ke bawah, maka proses penyembuhannya cepat kerana ia diganti dengan yang baru.

Menghuraikan lebih lanjut, Dr. Lim berkata, badan manusia mempunyai proses penyembuhan semula jadi tanpa bantuan sebarang rawatan.

Cukup dengan berehat dan tidak melakukan aktiviti lasak, badan dengan sendirinya akan sembuh perlahan-lahan.

Bagaimanapun, semakin meningkat usia seseorang, semakin rendah proses penyembuhan semula jadi berlaku.

Di kalangan mereka yang berusia 30 hingga 40 tahun, disc tergelincir dianggap gangguan yang biasa berlaku.

Selepas usia 40, disc menjadi lebih keras kerana kehilangan air dan kurang kenyal (senang pecah). Namun, pokok pangkalnya jelas Dr. Lim, ia bergantung kepada bagaimana kita menjaga pergerakan fizikal dengan mengikut posisi sewajarnya bagi mengelak disc tergelincir.

“Perlu diingat disc tergelincir mengambil masa yang panjang untuk terjadi. Pergerakan yang tidak dikawal terutama ketika duduk, baring, bersandar, mengambil dan mengangkat barang menyumbang kepada masalah ini untuk jangka masa yang panjang,” katanya.


Rawatan terkini

Bergantung kepada tahap kecederaan jelas Dr. Lim, jenis rawatan untuk pesakit berbeza.

Ia bermula dengan rehat secukupnya bagi melegakan tekanan untuk kecederaan ringan dan membolehkan disc melalui proses penyembuhan semula jadi. Biasanya mengambil masa lebih kurang enam minggu.

Pesakit juga boleh mengambil tiga jenis ubat bagi melegakan kesakitan ringan, antibiotik dan ubat penenang.

Dalam satu kajian yang pernah dijalankan, lebih 70 peratus pesakit pulih selepas 12 minggu tanpa menjalani pembedahan, ujar beliau.

Menjalani rawatan fisioterapi adalah satu cara yang berkesan. Namun seandainya rawatan di atas tidak berjaya, pesakit perlu menjalani pembedahan yang sesuai bagi merawat masalah mereka.

Mungkin ada yang bertanya, mengapa terdapat pesakit masih mengalami kesakitan walaupun selepas dibedah?

Kata Dr. Lim. “Ini disebabkan rawatan yang tidak betul diberikan kepada mereka. Paling utama adalah merawat bahagian disc yang koyak supaya bahan jeli yang menyebabkan saraf berasa sakit tidak mengalir keluar dan menekan saraf.”

Antara rawatan pembedahan yang biasa digunakan:

l Pembedahan invasif minimal Intra Discal Electro Thermal (IDET) dengan cara mengecilkan kawasan benjolan pada disc menggunakan tenaga haba.

l Nucleoplasty untuk kecederaan tidak begitu serius. Menggunakan sejenis bahan seperti jarum panjang dimasukkan ke bahagian tulang belakang (tempat masalah), doktor akan membuang lebihan tisu pada disc menggunakan tenaga radiofrekuensi. Kaedah ini hanya mengambil masa kira-kira 60 minit atau kurang. Namun nucleoplasty tidak boleh dilakukan andai disc terlalu sempit atau tulang belakang tidak stabil dan berada pada kedudukan sewajarnya.


Rawatan terkini PercuDyn.

Secara klinikal, bahan ini berkebolehan merawat disc tergelincir dengan mengurangkan pergerakan tambahan dan tekanan antara disc di kawasan yang dirawat tanpa menyebabkan kesan degeneratif jangka panjang. Ia seakan satu skru berputar yang boleh dipasang pada semua paras tulang lumbar termasuk L5-S1.

Nasihat Dr. Lim:

l Masalah disc tergelincir kebanyakan berpunca daripada kecuaian sendiri yang tidak mengambil berat tentang postur badan dan cara pergerakan.

l Masalah yang berpunca daripada kemalangan juga boleh diatasi secara perlahan-lahan dengan tidak membebankan lagi pergerakan di bahagian tersebut.

l Ahli sukan seperti pemain golf dan tenis lebih cenderung mendapat disc tergelincir andai tidak menggunakan pergerakan yang betul. Misalnya ketika melakukan hayunan, bahagian yang perlu berputar adalah pinggul bukannya pinggang.

l Senaman regangan perlu dilakukan secara perlahan-lahan. Jika dilakukan dengan kasar, sedikit demi sedikit bahagian disc akan tercedera.

l Senaman dan bersukan mengikut cara yang betul membantu menguatkan tulang.

l Beri peluang badan untuk sembuh secara semula jadi.

l Tilam berjenama mahal yang dikatakan mampu melegakan sakit belakang belum tentu berkesan. Secara asasnya, tilam tersebut memadai berkeadaan baik dan tidak menyebabkan badan kita tenggelam ketika baring di atasnya.

l Pengambilan kalsium melalui suplemen dan makanan tidak menjamin mencegah disc tergelincir. Ia membantu mencegah osteoporosis (ketumpatan tulang merosot).

l Rawatan alternatif seperti akupuntur hanya membantu mengurangkan rasa sakit kerana ia menghalang aktiviti saraf. Namun, pesakit boleh mencuba terutama jika melibatkan kecederaan gred ringan.

Tuesday, May 4, 2010

Rawat lutut pecah

TAEKWONDO merupakan sejenis sukan lasak yang boleh membawa risiko kecederaan di kaki dan seluruh anggota badan.

Sepanjang hampir lima tahun terlibat dalam sukan tersebut, tiada satu pun kecederaan serius pernah penulis alami.

Namun, siapa sangka hanya sekadar terjatuh ketika mahu membonceng motosikal, lutut penulis mengalami cedera teruk sehingga terpaksa dibedah.

Ceritanya bermula berikutan urat berwarna kehijau-hijauan mula timbul pada bahagian lutut pada malam 13 Mac lalu.

Kesakitan tersebut begitu menggusarkan sehingga mendesak penulis berkejar ke Hospital Pantai Medical Cheras.

“Tulang rawan lutut awak sudah pecah, saya akan rujuk (kes) awak kepada doktor pakar ortopedik,” kata seorang doktor klinik pesakit luar.

Namun, ia sedikit pun tidak menimbulkan kebimbangan kerana penulis menganggap kecederaan itu tidaklah seteruk mana.



LATIHAN fisioterapi penting untuk mengelak masalah lutut bertambah kronik terutama terhadap ahli sukan profesional.

--------------------------------------------------------------------------------


Koyak

Bagaimanapun, segala-galanya berubah tatkala Perunding Pakar Bedah Ortopedik, Kaki dan Pergelangan Kaki hospital berkenaan, Dr. Khairul Faizi Mohammad menghuraikan maklumat terperinci mengenai punca kesakitan penulis.

Menurut Khairul Faizi, lutut penulis bengkak akibat pendarahan sekali gus menerangkan fenomena urat hijau yang tiba-tiba timbul pada 13 Mac lalu.

“Ini dibuktikan apabila darah sebanyak 100 mililiter (ml) disuntik dan dikeluarkan daripada lututnya (Mazlina).

“Justeru, untuk merawat kesakitan ini, saya mengesyorkan pesakit menjalani pembedahan yang dipanggil sebagai artroskopi,” kata Khairul Faizi kepada Jurnal baru-baru ini.

Pembedahan tersebut menggunakan kaedah memasukkan satu unit kamera khas pada bahagian lutut pesakit untuk meneliti tahap kecederaan serta luka di bahagian sendi lutut, jelas beliau.

Kaedah itu juga membenarkan doktor mengesan dan melakukan rawatan terhadap bahagian-bahagian yang cedera.

Hasil pembedahan peringkat awal mendapati tiga kecederaan yang dialami penulis. Pertama, meniskus (pelapik sendi lutut) pada lutut terkoyak dan kedua, rawan pada permukaan tulang paha penulis cedera.


Potong

Pada masa sama, bahagian ligamen krusiata anterior yang menyambungkan lutut dan paha turut terkoyak.

Kecederaan pada bahagian ligamen krusiata anterior jarang berlaku terhadap pesakit biasa tetapi ia sering dialami pemain bola sepak, ragbi dan American Football.

“Dalam kes Mazlina, saya beranggapan mungkin beliau jatuh dengan hentakan yang kuat.

“Jika ia lebih kuat, bahagian utama pada lutut iaitu ligamen krusiat posterior (ligamen belakang lutut), kepala lutut dan ligamen kolateral turut berpotensi untuk cedera,” kata Khairul Faizi.

Susulan pemeriksaan itu, satu prosedur pembedahan diatur dan ia berlangsung selama tiga jam pada 16 Mac lalu.

Jelas Khairul Faizi, pasukan perubatan memotong bahagian meniskus yang koyak dan merapikan bahagian koyak sehingga menjadi rata.

Kecederaan rawan yang dialami penulis dirawat melalui teknik microfracture iaitu satu insisi lubang kecil pada tulang dan rawan.

Pakar kemudian menyuntik ubat ke dalam lutut pesakit sebanyak tiga kali berturut-turut.



KERETAKAN pada bahagian rawan ditunjukkan oleh anak panah.

--------------------------------------------------------------------------------


Impak

Walaupun kini sudah beransur sembuh, Khairul Faizi menyatakan penulis dan pesakit-pesakit lain akan merasai kesan jangka panjang rentetan kecederaan itu masih ada.

Meniskus dan rawan yang cedera pada kebiasaannya tidak akan sembuh seperti asal sekali gus menyebabkan golongan tersebut berpotensi mengalami radang sendi atau artritis dengan lebih cepat.

Radang sendi biasanya melibatkan pelbagai aspek penyakit sendi yang menyebabkan rasa sakit, hilang pergerakan dan pembengkakan pada sendi tubuh.

Secara saintifiknya, meniskus berfungsi sebagai kusyen lutut sementara rawan berfungsi sebagai permukaan licin di permukaan sendi untuk membenarkan sendi bergerak dengan lancar.

Pergerakan sendi lutut perlu dilakukan sejurus selepas pembedahan demi menjamin kesejahteraan permukaan rawan, jelas Khairul Faizi.

Pada masa yang sama, pesakit dilarang sama sekali bersukan dan terbabit dalam acara lasak untuk tempoh sehingga empat bulan.

Peringatan itu sangat penting bagi membolehkan rawan kembali pulih dengan kaedah rawan berserat.

Kelazimannya pada peringkat awal, latihan fisioterapi digalakkan dengan tujuan untuk mengembalikan kekuatan otot-otot sendi.

Sekiranya ia tidak dilakukan, pesakit dikhuatiri sukar bergerak dan kadangkala berlaku simptom sakit pada lutut atau sendi.



PEMAIN bola sepak, Cristiano Ronaldo pernah mengalami masalah kecederaan lutut.

--------------------------------------------------------------------------------



Bahaya urut

Khairul Faizi tidak meggalakkan urutan tradisional pada bahagian itu kerana ia akan menyebabkan kecederaan bertambah parah.

Pesakit juga diberikan makanan tambahan seperti glucosamine atau dengan kaedah suntikan terus ke dalam sendi lutut, katanya.

Bagaimanapun kecederaan yang dialami penulis jarang berlaku terhadap kanak-kanak kerana bahagian seperti meniskus, rawan dan ligamen krusiat posterior jarang menimpa golongan itu.

Jelas Khairul Faizi, kanak-kanak mempunyai bahagian meniskus, rawan dan ligamen krusiat posterior yang lebih kuat berbanding individu dewasa.

Golongan itu lebih cenderung mengalami patah tulang berbanding cedera pada bahagian meniskus, jelas beliau.

Seperti kebanyakan pesakit berkaitan tulang yang lain, penulis turut diingatkan supaya memastikan berat badan berada pada tahap ideal.

Jelas Khairul Faizi, semakin tinggi indeks jisim badan (BMI) seseorang, semakin teruk kecederaan yang akan mereka dialami manakala jisim ideal adalah antara 20 hingga 25.

Osteoarthritis ganggu kehidupan hari tua

KESIHATAN sendi adalah sesuatu yang merisaukan mereka yang berumur 40 tahun ke atas.

Malah penyakit ini merupakan yang paling biasa dialami berkaitan dengan unsur penuaan.

Menurut pakar dari Pusat Perubatan Tropicana, Petaling Jaya, Dr. Soong Kean Long, sakit sendi atau osteoarthritis berlaku apabila tulang rawan yang membentuk permukaan sendi menjadi haus dan lusuh.

''Situasi ini menyebabkan sendi menjadi bengkak, sakit dan kebas ,'' terangnya ketika ditemui baru-baru ini di pejabatnya.

Jika tidak ditangani ia boleh menyebabkan pelbagai kesan sampingan kerana secara tidak langsung memberi kesan psikologi, emosi dan sosial kepada pesakit.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, keadaan itu berlaku apabila darah (tidak cukup khasiat) yang dibekalkan kurang meskipun pada seseorang yang sihat. Tubuh badan tidak boleh menghasilkan zat makanan yang mencukupi bagi menyelaras dan memastikan kadar pemulihan dan pembaharuan yang diperlukan.

Dalam badan manusia terdapat 206 tulang yang disambungkan kepada 360 sendi dan setiap satu mempunyai fungsi tersendiri.

Sendi boleh dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu yang boleh bergerak atau sendi sinovial yang mewakili 90 peratus sendi di badan, sendi separa bergerak atau sendi berserat (yang menyambungkan tulang kaki) dan sendi yang tidak boleh bergerak langsung seperti tengkorak.

Dalam pada itu, Kean Long memberitahu, pergerakan berterusanmenyebabkan tulang dan sendi haus sejajar dengan peningkatan usia.

Ini menyebabkan ada anggota badan, biasanya lutut dan pergelangan kaki menjadi sakit apabila digerakkan.

Malah sendi juga akan berasa sakit jika berlaku keradangan yang menyebabkan ia bengkak. Keadaan tersebut akan mengehadkan pergerakan.

Bagi warga emas pula, kebiasaannya mereka akan dijangkiti sakit sendi (osteoarthritis) yang juga dikenali sebagai OA.

''Keadaan ini biasanya berlaku kerana kerosakan tulang rawan dalam sendi-sendi tertentu," katanya.

Bagaimanapun tegasnya, kerosakan tulang rawan ini adalah sebahagian daripada proses penuaan. Malah 90 peratus daripada warga emas yang berumur 65 tahun ke atas mempunyai tanda-tanda ini.

Katanya, pesakit biasanya akan mengalami sakit, kejang sendi atau simptom yang lebih teruk sehingga tidak dapat bergerak dan menjejaskan aktiviti harian.

Rawatan

Rawatan yang biasa diberikan untuk mengurangkan kesakitan termasuklah non- streoidanti- inflammatory drug (NSAID).

Pesakit juga boleh diberikan rawatan glucosamine sulphate bagi mengurangkan kesakitan dan dipercayai boleh memperbaiki sendi yang terlibat.

Malah, bagi yang sakit keterlaluan, mereka boleh diberikan corticosterioid bagi tujuan mengurang proses keradangan dalam sendi.

Selain ubat penahan sakit yang dimakan, ada juga ubat sapu yang diperbuat daripada gel atau krim yang boleh digunakan untuk kelegaan tambahan. Ubat-ubatan ini selalunya tidak lagi berkesan untuk peringkat osteoartritis yang teruk.

Ubat-ubat baru seperti glucosamine, chondroitin dan diacerin adalah termasuk dalam kategori ubat-ubat tambahan dan sokongan yang boleh di ambil bersama dengan analgesia. Ketiga-tiganya bertindak dan mempunyai fungsi yang berlainan.

Glucosamine bertindak dengan mengembalikan cecair sendi dan membantu melicinkan pergerakan sendi. Secara tidak langsung, ia juga mengurangkan sakit sendi kerana geseran.

Chondroitin pula boleh menahan kerosakan lanjut rawan jika diambil pada peringkat awal osteoartritis sementara Diacerin adalah untuk mengurangkan radang di sekitar sendi di samping dikatakan boleh menolong mengurangkan sakit akibat osteoarthritis.

Ubat jenis suntikan intra-artikular seperti asid hylarunik juga boleh digunakan untuk menambah cecair pada sendi yang bermasalah.

Suntikan ke dalam sendi ini boleh memberikan kesan yang cepat dengan mengurangkan sakit dan mengurangkan bunyi geseran (crepitus) akibat dari osteoarthritis.

Pesakit perlu mendapat sekurang-kurangnya tiga suntikan setiap minggu untuk satu rawatan penuh bagi satu-satu sendi.

Bagaimanapun, kini terdapat produk asid hylarunik yang hanya perlu disuntik sekali sahaja bagi memberikan kesan hampir sama.

Kata beliau lagi, selain rawatan tersebut, pemakanan dan fisioterapi boleh diberikan kepada pesakit.

Namun sekiranya berlarutan, pesakit boleh meminta untuk melakukan pembedahan.

Kurang iodin jejaskan kesihatan anak

DOKTOR AKAN MENERANGKAN RISIKO YANG DIHADAPI ANAK SEKIRANYA KEKURANGAN IODIN. - gAMBAR HIASAN

--------------------------------------------------------------------------------



SEMUA ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka, namun pada masa yang sama, ramai yang tidak mengetahui jenis nutrisi yang memberikan kesihatan optimum.

Banyak kajian telah menunjukkan bahawa kekurangan nutrien asas sebelum dan semasa hamil boleh menjejaskan perkembangan otak pada zaman bayi dan kanak-kanak. Pemakanan yang betul sebelum dan semasa hamil adalah langkah pertama dalam membantu perkembangan otak anak itu.

Iodin adalah penting terutamanya untuk perkembangan normal otak dan sistem saraf bayi, terutamanya semasa hamil dan dalam 2 hingga 3 tahun pertama kehidupan bayi.

Kekurangan iodin semasa hamil dan semasa pertumbuhan kanak-kanak boleh menyebabkan kelambatan perkembangan yang mengakibatkan penurunan dalam prestasi mental. Kerosakan ini jika berlaku sebelum 2 hingga 3 tahun adalah tak berbalik.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kekurangan iodin merupakan insiden yang paling tersebar luas di dunia bagi kerosakan otak tetapi mudah dicegah.

Mengapa kita memerlukan iodin

Iodin adalah penting bagi hormon-hormon tiroid kita. Hormon ini menyokong pertumbuhan dan perkembangan normal kanak-kanak dan membantu mengekalkan kadar metabolisme badan. Paras rendah tiroksin (yang boleh berlaku akibat kekurangan iodin) pada kanak-kanak boleh merencatkan pertumbuhan mental dan fizikal mereka.

Banyak kajian telah menunjukkan bahawa kekurangan iodin merupakan salah satu sebab utama kekurangan kemahiran motor, kelemahan otot, kekurangan koordinasi dan kemahiran manual yang terganggu.

Oleh kerana iodin diperlukan untuk perkembangan otak, adalah penting untuk memastikan bahawa fetus (bayi yang belum lahir), bayi dan kanak-kanak mendapat cukup iodin.

Banyak manakah iodin yang disyorkan?

Jumlah iodin yang diperlukan oleh seseorang sepanjang hayatnya adalah kurang daripada satu sudu teh. Oleh kerana iodin tidak disimpan dalam badan, ia perlu diambil setiap hari.

Keperluan iodin adalah lebih tinggi bagi wanita hamil dan yang menyusukan bayi, dan kurang sedikit bagi kanak-kanak, bayi dan kanak-kanak bertatih. Wanita hamil dan yang menyusukan bayi memerlukan lebih banyak iodin berbanding penduduk umum.

Bagaimanapun, penyelidikan menyarankan yang sebahagian besar wanita tidak mendapat iodin dalam jumlah yang mencukupi dalam diet mereka semasa mengandung dan ketika menyusukan bayi.

Saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengenai pengambilan iodin adalah:

l 220-250 mcg/d bagi wanita hamil

l 250-290 mcg/d bagi ibu menyusui

l 50-90 mcg/d bagi kanak-kanak kurang daripada 1 tahun

l 90-120 mcg/d bagi kanak-kanak 1-11 tahun

l 150 mcg/d bagi dewasa dan remaja

Kesan kekurangan iodin

Kekurangan iodin berpanjangan boleh menyebabkan muka sembap atau bengkak, goiter (bengkak kelenjar tiroid yang menonjol di bahagian depan leher), hipotiroidisme (di mana pengeluaran hormon tiroid turun ke paras bawah daripada normal) dan fungsi mental terjejas.

Bagaimanapun, akibat yang paling merosakkan adalah terhadap fetus dan perkembangan bayi. Kekurangan iodin maternal (ibu) menyebabkan keguguran, komplikasi kehamilan lain, dan kemandulan.

Sumber semula jadi

Badan kita memerlukan iodin dalam kuantiti yang kecil untuk pertumbuhan dan hidup (kemandirian). Iodin wujud secara semula jadi dalam kebanyakan makanan, dan selalunya dalam kuantiti yang kecil. Oleh kerana iodin tidak boleh dihasilkan dalam badan, kita perlu mendapatkannya daripada makanan kita atau dengan mengambil suplemen iodin.

Seperti juga dengan kebanyakan mineral, dua sumber utama iodin kita adalah makanan dan suplemen iodin. Sumber lain yang baik termasuk ikan, telur, daging, rumpai laut, susu dan ayam itik.

Penting untuk diperhatikan bahawa bertentangan dengan kepercayaan umum, garam laut tidak mengandungi iodin. Oleh itu, jangan gunakan garam laut sebagai alternatif kerana ia hanya mengandungi dua mikrogram iodin setiap gram.

Kenali pasangan menerusi makanan

MEMANG terdapat banyak cara untuk menilai keperibadian pasangan. Ia boleh dilakukan menerusi penelitian dan pemerhatian. Proses tersebut pula bukanlah mudah. Justeru sifat pasangan anda semasa tempoh bercinta atau berbulan madu tidak boleh dijadikan ukuran untuk menilai keperibadiannya yang sebenar.

Tapi salah satu cara untuk anda mengenali keperibadian pasangan ialah dengan memerhati apa yang menjadi makanan kegemarannya. Ia mudah dan boleh memberi banyak gambaran jelas tentang sifat sebenar pasangan anda itu.

Berdasarkan kaji selidik yang dilakukan seorang penyelidik di Barat, Baxters, terhadap rakyat Inggeris dan Scotland mendapati bahawa kebanyakan lelaki atau wanita yang gemar memakan sayuran jenis wortel umumnya memiliki sifat pengasih dan berfikiran luas. Tapi sayangnya juga, orang yang suka memakan sayuran jenis ini, juga memiliki sikap ekstrovert dan agak bersifat bossy.

Bila pasangan anda seorang yang amat suka makan ayam goreng, ayam kuah opor dan berbagai masakan dari ayam, maka dia adalah jenis orang yang selalu bersikap realistik . Dia juga seorang yang berfikiran logik dan boleh mempertimbangkan sesuatu perkara dengan rasional. Pasangan jenis ini amat jarang melibatkan perasaan dalam menilai sesuatu perkara.

Jika pasangan anda jenis yang setia pada ubat-ubatan seperti multi vitamin, jamu dan sebagainya, maka anda janganlah merasakan dia seorang yang begitu cerewet. Ini kerana, menurut kajian yang telah dijalankan oleh Baxters, golongan seperti ini sebenarnya mempunyai tahap kesetiaan yang tinggi. Buktinya, sebanyak 92 peratus orang Inggeris dan Scotland yang memang mendisiplinkan diri dengan pengambilan vitamin tambahan juga adalah seorang yang terbukti setia pada pasangannya.

Apabila pasangan anda gemar makan makanan dari jenis mi sama ada mi segera atau yang telah dibuat kuah seperti mi sup, dia sebenarnya berkecenderungan memiliki personaliti berdikari.

Mengikut kajian Baxters lagi, golongan yang banyak mengambil makanan jenis mi terutama mi segera ialah golongan mahasiswa.

Golongan ini memang biasanya boleh hidup dengan sendiri tanpa bergantung pada orang lain. Lain pula halnya dengan golongan yang suka makan minestrone, sejenis sup yang disertai mi yang diperbuat daripada gandum yang dipotong kecil, golongan ini kata Baxters amat suka kepada kesempurnaan.

Adakah pasangan anda suka makan buah tomato? Anda bertuah kerana pasangan anda itu sebenarnya mempunyai sifat berani dan bersemangat tinggi.

Tapi ada juga yang berpendapat bahawa mereka yang gemar makan sup tomato pula adalah dari jenis yang mudah tergoda dengan rayuan.

Apa lagi cuba perhatikan pasangan anda, apakah makanan kegemarannya?

Garam berlebihan bawa penyakit

APA yang anda makan hari ini? Kalau di rumah, anda mungkin dapat mengawal makanan sekeluarga. Di luar sama ada anak anda di sekolah atau pasangan anda di pejabat, mereka mungkin makan makanan yang anda bekalkan atau membeli makanan yang dijual di kafe, restoran atau kantin.

Misalnya, apabila loceng berbunyi di akhir sesi sekolah, lain pula ceritanya. Anak-anak mungkin mengisi perut dengan snek atau makanan ringan apalagi jika masih ada banyak duit belanja di saku.

gula. Ada juga snek yang disertakan dengan barang permainan yang dijadikan sebagai umpan pembelian.

Snek semakin menjadi isu besar khususnya dalam kalangan generasi muda yang juga boleh menjurus kepada pelbagai isu kesihatan jika dibiarkan berleluasa.

Si ibu yang mengandung pula tidak boleh berpisah dengan jeruk. Kata mereka, ia menjadi kegemaran untuk menghilangkan rasa loya. Benar atau tidak, orang ramai juga perlu mengkaji kandungan garam pada jeruk. Ia mungkin memberi kesan pada ibu dan bayi yang dilahirkan.

Lain pula ceritanya warga kota yang gemarkan makanan yang diproses dalam tin seperti sardin dan sebagainya. Kesibukan berkerja atau tempat membeli makanan segar yang terhad menggalakkan senario ini. Mungkin tidak salah tetapi cuba baca label makanan tersebut kerana ia mungkin mengandungi garam yang berlebihan.

Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan menyuarakan kebimbangan masyarakat dalam pengambilan garam. Ramai tidak menyedari garam juga memberi kesan terhadap kesihatan. Jiika gula popular dengan kencing manis, garam pula sering dikaitkan dengan darah tinggi. Malah, garam juga menjadi ibu segala penyakit kerana masalah darah tinggi boleh memberi kesan kepada jantung, buah pinggang, masalah obesiti dan sebagainya.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, selain daripada mengurangkan pengambilan gula, orang ramai disarankan supaya mengurangkan pengambilan garam ataupun natrium dan sodium dalam makanan.

Saranan pengurangan garam tidak melebihi satu sudu atau lima gram dibuat berikutan hasil kajian di Hong Kong yang mendapati beberapa produk makanan dalam tin seperti daging lunceon dan sardin mempunyai kandungan natrium atau sodium yang tinggi. Kajian tersebut yang dilaporkan agensi berita antarabangsa pada 15 April lalu, mendapati kandungan natrium dalam makanan melebihi saranan pengambilan harian oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Seperti yang ditegaskan Tiong Lai, daging lunceon dan sardin dalam tin merupakan makanan yang terproses dan mengandungi garam, air dan bahan pengawet seperti natrium nitrat, kalium nitrat, natrium nitrit atau kalium nitrit.

Natrium boleh digunakan sebagai ramuan makanan atau bahan pengawet.

Di Malaysia, pelabelan bagi nitrat tidak diwajibkan memandangkan fokus pelabelan pemakanan hanya bagi empat nutrien utama -- tenaga, protein, karbohidrat dan lemak, dengan pemantauan ke atas kandungan natrium hanya dibuat bagi makanan terproses.

Di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985, standard bagi garam (natrium klorida) ditetapkan di bawah peraturan 283, di mana garam perlu mengandungi tidak kurang daripada 95 peratusan natrium klorida.

Bagaimanapun, beberapa standard makanan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 mempunyai peruntukan membenarkan penambahan garam, dengan peruntukan khusus bagi paras garam atau natrium yang perlu tambah seperti untuk belacan, cincalok, sos ikan, ikan kering dan pekasam (jeruk).

Liow berkata, peraturan Diet Makanan 2010 menyarankan pengambilan garam tidak melebihi satu sudu atau lima gram garam, bersamaan 2000 miligram natrium sehari, dan ini selaras dengan saranan WHO (2007).

"Berdasarkan kajian pengambilan makanan di kalangan Orang Dewasa Malaysia 2002/2003, pengambilan natrium di kalangan rakyat Malaysia adalah sebanyak 2,575 miligram sehari.

"Ini menunjukkan rakyat Malaysia mengambil natrium melebihi jumlah yang disarankan. Kajian yang sama juga mendapati pengambilan garam yang tinggi dikaitkan dengan peningkatan tekanan darah," katanya.

Berdasarkan Panduan Diet Malaysia 2010 yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, terdapat beberapa contoh makanan yang tinggi kandungan natrium melebihi paras 480 mg natrium seperti -- kacang panggang (tin), sayur/sayur jeruk (tin), sup tomato (tin), ayam goreng (makanan segera), kari ayam (tin), kiub ayam, rendang daging (tin), kari daging (tin) dan sardin (tin).

Selain itu kicap pekat dan kicap cair, kondimen seperti sos tomato/cili/tiram, cincalok dan belacan juga melebihi paras 480 mg natrium.

Sehubungan itu, Liow menyeru orang ramai mengurangkan penggunaan garam dan sos dalam makanan selain kurangkan pengambilan makanan dalam tin, dijeruk atau makanan digaramkan seperti telur masin.

"Utamakan makanan segar seperti daging segar berbanding daging ditinkan. Rendam dahulu makanan yang bergaram (seperti ikan masin/ikan bilis) sebelum dimasak untuk membuang garamnya.

"Sekiranya membeli makanan terproses, baca panel maklumat pemakanan pada label makanan untuk mengetahui kandungan garam dan pilihlah produk yang mengandungi kurang kandungan natrium," katanya.

Kesedaran

Sementara itu, menurut Pakar Pemakanan Hospital Pantai Ampang, Nor Lizawati Che' Lah, natrium sebenarnya perlu untuk melancarkan proses bendalir dalam badan. Namun kandungan natrium perlu ada hadnya kerana jika berlebihan, ada yang tidak boleh dibuang. Ia sekali gus memberi kesan kepada kesihatan.

"Pengambilan garam yang normal adalah 2400 miligram sodium atau satu sudu teh garam. Menurut kajian di Amerika, pengambilan garam melebihi 3,000 miligram akan meningkat cara pengambilan makanan segera.

Sebaliknya, dalam makanan yang diproses terdapat 75 peratus garam yang tersembunyi," katanya.

Tambah Nor Lizawati, jika pengambilan garam diambil secara berlebihan, ia akan menyebabkan penyakit darah tinggi, jantung, osteoporosis, kanser perut, gastrik dan buah pinggang.

Mengakui hakikat kewujudan pelbagai jenis garam, Nor Lizawati berpendapat, kandungan atau kesannya tidak jauh berbeza.

Misalnya, ada kajian yang dilakukan ke atas garam laut, kandungan mineral lebih baik daripada biasa dan ia lebih masin. Namun, terdapat garam tiruan seperti pan salt. Ia mungkin lebih masin dan lama-kelamaan lebih pahit daripada garam biasa.

Mengulas kesedaran masyarakat tentang isu ini, ia masih ditahap yang rendah. Nor Lizawati memberitahu, walaupun ada kempen mengurangkan garam dan menggantikannya dengan rempah atau perahan limau, garam masih menjadi perisa utama.

Antara langkah pencegahan yang boleh dilakukan adalah memesan makanan kurang garam dan MSG ketika makan di restoran.

Berdasarkan pengalaman Nor Lizawati, beliau pernah berdepan dengan pesakit darah tinggi yang baru berusia 12 tahun. Hakikatnya, garam bukan sahaja menyebabkan penyakit tersebut, ia juga menjadi punca utama obesiti.

"Apabila kita makan makanan yang mengandungi lebih garam, kita akan berasa cepat haus. Justeru itu, seseorang itu tidak akan berasa puas minum air kosong dan dia lebih gemarkan minum air jus atau manis. Kemudian, dia akan berasa nak makan lebih. Akhirnya, dia tidak dapat mengawal pemakanan dan berat badannya mencapai paras obesiti.

Bagi ibu mengandung, pada trimester kedua dan ketiga, mereka tidak digalakkan mengambil garam berlebihan seperti jeruk buah kerana ia akan menyebabkan kaki bengkak.

Penyelesaian kepada masalah ini, orang ramai digalakkan makan lebih buah-buahan dan sayur-sayuran.

Jantung bermasalah punca letih

IKA anda selalu berasa letih, kemungkinan besar jantung anda tidak memperolehi 'bahan bakar' yang diperlukan untuk menjadi sihat dan kuat. Bahan bakar ini ialah Koenzim Q10 (CoQ10). Ia adalah penting untuk mengeluarkan tenaga di peringkat selular. Saintis mendapati jantung mengandungi 10 kali ganda lebih banyak CoQ10 berbanding organ lain dalam badan. Ini kerana jantung adalah organ yang paling kuat bekerja dan ia berdegup sebanyak kira-kira 100,000 kali sehari. Tiada satu pun degupan itu boleh berlaku tanpa tenaga. Oleh kerana jantung merupakan organ yang bekerja tanpa henti, ia memerlukan tenaga yang amat banyak secara berterusan

Di peringkat sel, tenaga dikeluarkan dalam mitokondria ('janakuasa') dan kerana jantung merupakan organ yang paling kuat bekerja, ia kaya dengan mitokondria yang menjana tenaga (sehingga sebanyak 5,000 pada setiap sel), lebih banyak daripada apa yang dijumpai dalam mana-mana tisu lain. Lebih banyak mitokondria yang ada dalam sel, maka lebih banyak tenaga ia boleh keluarkan. Oleh kerana CoQ10 itu penting untuk pengeluaran tenaga dalam mitokondria, maka tidaklah hairan jika jantung itu mengandungi berlipat ganda banyaknya CoQ10 berbanding mana-mana organ lain.

Mendapatkan tenaga tidak menjadi masalah semasa muda. Badan dapat mengeluarkan semua CoQ10 yang diperlukan oleh jantung. Tetapi apabila semakin tua, kita mengeluarkan semakin sedikit CoQ10.

Manfaat CoQ10 kepada jantung kini diterima umum oleh doktor. Beberapa kajian menunjukkan pembaikan yang konsisten dalam fungsi jantung bagi mereka yang mengambil CoQ10. Oleh kerana CoQ10 it begitu perlu untuk pengeluaran tenaga, sekiranya terdapat kekurangan maka sudah tentu ia akan menjejaskan fungsi jantung - ini belum lagi mengambil kira organ-organ lain.

Koenzim Q10 - Sebagai anti oksida yang berkesan

CoQ10 wujud di mitokondria, iaitu tempat di mana radikal bebas dijanakan. Sebagai sejenis anti oksida yang berkesan, CoQ10 telah terbukti dapat mencegah kerosakan mitokondria, dengan itu memelihara dan melindungi sistem tenaga kita.

CoQ10 - Untuk mencegah oksida kolesterol LDL

Penyelidikan telah memutuskan bahawa bukan semua kolesterol itu tidak berfaedah. Lipoprotein berdensiti rendah (LDL) dikenali sebagai 'kolesterol jahat' manakala Lipoprotein berdensiti tinggi (HDL) ialah 'kolesterol baik'. Lebih tinggi HDL adalah lebih baik. Sebenarnya, kolesterol LDL secara bersendirian tidak menjadi masalah, ia menjadi masalah hanya apabila ia dioksidasikan oleh radikal bebas. LDL yang dioksidasikan ini yang menimbun di dalam arteri kita serta membantu membina plak-plak, merupakan ciri pengerasan arteri.

Dalam aliran darah, CoQ10 diangkut oleh LDL. CoQ10 melindungi LDL daripada dioksidasikan oleh radikal bebas. Kajian mendapati lebih banyak CoQ10 yang terkandung dalam kolesterol LDL, maka lebih berkurangan kerentanannya terhadap pengoksidaan dan juga semakin kurang kemungkinannya untuk membentuk plak yang menyumbat arteri.

Vitamin E juga ialah sejenis anti oksida yang membantu melindungi pengoksidaan LDL. Sehubungan ini, CoQ10 memainkan peranan penting untuk membantu badan anda menyimpan lebih banyak vitamin E dalam aliran darah anda dengan hanya mengitar semula vitamin E supaya badan anda dapat menggunakannya secara berulang-ulang. Melindungi LDL daripada pengoksidaan merupakan suatu langkah yang amat penting untuk mengekalkan kesihatan jantung anda.

Hubungan CoQ10 dan Statin (Kumpulan Ubat untuk Menurunkan Kolesterol)

Statin (juga dikenali sebagai HMG-CoA Reductase Inhibitor) sudah dianggap sebagai sejenis ubat yang berkesan kerana ia bukan sahaja dapat menurunkan kolesterol secara mendadak tetapi juga mengurangkan risiko serangan jantung. Statin menghalang sintesis kolesterol dengan menyekat enzim HMG-CoA Reductase. Namun demikian, kesan ini juga menghalang pengeluaran CoQ10. Sejak tahun 1990, terdapat banyak kajian yang melibatkan manusia untuk menilai kesan statin dan CoQ10. Kajian-kajian ini mendapati penurunan ketara pada paras CoQ10 dalam jantung, otot rangka dan tisu hati selepas rawatan dengan ubat-ubat statin, terutama sekali apabila ubat-ubat ini diambil dengan dos yang tinggi.

Menurut seorang pakar jantung Peter Langsjoen, "Semua statin akan menyusutkan konsentrasi Q10 dikedua-dua paras darah dan paras selular." Dos yang lebih tinggi akan menyebabkan kesusutan CoQ10 yang lebih besar. Masalahnya ialah penyusutan ini berlaku secara perlahan sepanjang beberapa tahun, menyebabkan sukar untuk kita menyalahkan sesuatu kesan yang buruk tiga tahun kemudian (misalnya) kepada pengambilan statin. Penyusutan ini adalah amat bahaya bagi golongan tua, kerana apabila kita semakin tua paras CoQ10 kita menjadi semakin berkurangan.

Antara ubat Statin yang terdapat di pasaran Malaysia ialah: Lovastatin, Pravastatin, Simvastatin, Fluvastatin dan Atorvastatin (Sumber: MIMS Malaysia, Edisi ke 97, 2004).

Kajian menunjukkan penyusutan CoQ10 akibat daripada penggunaan statin boleh dicegah dengan mengambil suplemen. Lagipun, pengambilan suplemen CoQ10 tidak menjejaskan keupayaan statin untuk menurunkan kolesterol. Menurut Langsjoen, menggabungkan CoQ10 dengan statin bukan sahaja dapat mencegah penyusutan CoQ10, tetapi juga mungkin boleh meningkatkan keberkesanan ubat statin dengan mengurangkan pengoksidaan kolesterol LDL (kolesterol 'jahat'). Kesimpulannya: Statin adalah berkesan untuk menurunkan kolesterol. Walaubagaimanapun, jika anda sedang mengambil statin atau berhajat untuk mengambilnya, bincangkan dengan doktor anda tentang pengambilan suplemen CoQ10 bersamanya.

Mengambil suplemen CoQ10 larut air

Suplemen CoQ10 bukan sahaja untuk mereka yang mengambil ubat statin. Ahli kardiologi Dr. Langsjoen telah memberi suplemen CoQ10 kepada beribu-ribu pesakit, dan beliau berpendapat kita tidak sepatutnya menunggu sehingga kita mengalami masalah jantung barulah hendak mengambil CoQ10. Beliau pecaya mengambil CoQ10 bermula dari pertengahan umur (apabila kemerosotan CoQ10 bermula), akan memberi kesan perlindungan kepada mitokondria jantung dan membantu memelihara fungsi jantung.

Bentuk tradisi suplemen CoQ10 tidak mudah diserapkan oleh badan (serbuk CoQ10 yang disampaikan dalam minyak soya dan dimasukkan ke dalam kapsul-kapsul gel lembut, pil-pil yang berasaskan serbuk dan gelatin-gelatin keras yang berisi serbuk). Masalahnya ialah saiz zarah CoQ10 adalah amat besar, tidak larut air, dan tidak begitu larut dalam lipid yang menyebabkannya sukar untuk badan menyerapinya.

Sebuah syarikat Amerika berjaya membangunkan proses "Biosolv" yang dipatenkan yang dapat mengecilkan saiz zarah CoQ10 daripada 25 hingga 70 mikron kepada 0.3 mikron - bahkan lebih kecil daripada bakteria! Dengan menggunakan proses ini, molekul CoQ10 menjadi begitu kecil sehingga ia menjadi "larut air" (hydrosoluble). Umumnya, lebih kecil saiz zarah itu maka lebih baik lagi penyerapan. Oleh itu, dengan CoQ10 yang larut air lebih banyak CoQ10 dapat diserapkan ke dalam aliran darah untuk memberikan lebih banyak manfaat kepada anda.

Maklumat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan seharusnya tidak digunakan sebagai ganti nasihat kesihatan peribadi. Jika anda sedang mengalami masalah kesihatan, anda dinasihatkan supaya berjumpa dengan pengamal pakar kesihatan.

Diet tapi masih gemuk

SERINGKALI mereka yang mengidap obesiti terpaksa berpura pura gembira dengan keadaan diri mereka. Adakalanya golongan itu cuba menunjukkan obesiti adalah jalan hidup pilihan mereka. Cepat-cepat mereka memberi alasan mengapa jadi begitu sambil di hati berazam untuk menjaga diet dan cuba kembali kurus. Namun azam dan diet sahaja tidak mencukupi sekiranya tidak diikuti dengan usaha gigih dan kaedah yang betul untuk merealisasikan impian.

Tak kurang juga yang sudah enggan melakukan sebarang usaha untuk kurus. Antara alasan yang sering kedengaran:

Lepas bersalin badan naik dan susah nak turun.


Badan memang tak boleh kurus sebab keturunan.


Tiada masa untuk bersenam.


Suami tidak kisah gemuk.

Kitaran menahan makan diikuti dengan patah azam dan gelojoh makan membawa kesan yang tidak baik kepada badan dari segi kesihatan.

Mengapa kitaran lapar dan kenyang berlaku?

Pada otak kita terdapat saraf pusat yang mengawal rasa lapar dan kenyang. Badan seseorang yang menahan lapar akan mengeluarkan hormon dan transmitter dari otak sebagai tindak balas terhadap pengurangan makan. Dengan kata lain otak kita seolah olah menuntut kembali kesedapan yang biasa diperolehi oleh tubuh kita. Ia mahukan jumlah kalori dan gula yang tinggi untuk berasa sedap dan selesa. Ini adalah sistem tubuh yang cuba menghalang lemak daripada digunakan.

Apabila perut tidak diberi makanan yang biasa diperolehi dalam tempoh tertentu, otak akan mengeluarkan signal bahawa ia lapar. Badan akan memberontak dan mengeluarkan enzim dan hormon tertentu. Ini menyebabkan berlakunya keinginan tidak terkawal atau craving terhadap sesuatu makanan. Keinginan tersebut bukan disebabkan oleh nafsu makan tetapi merupakan signal dari otak kita yang tidak mampu dikawal oleh kita sendiri.

Badannya memberontak dan mengeluarkan hormon dan enzim tertentu menyebabkan seseorang itu menjadi ghairah untuk makan. Ia ibarat seekor harimau ganas yang sukar untuk dikalahkan. Berperang dengan nafsu makan boleh menjadikan seseorang resah dan lemah.

Akhirnya dia mengikut kehendak nafsunya. Dia makan tanpa sedar bahawa makanan itu sudah berlebihan. Jadi pusingan berlapar yang diikuti dengan keghairahan untuk makan berterusan sehingga akhirnya menyebabkan seseorang tersepit dan tidak berdaya untuk keluar daripada belenggu obesiti.

Kurus demi kesihatan

Umum mengetahui adalah sangat perlu untuk mengekalkan berat badan yang sepatutnya bukan saja supaya agar kelihatan cantik tetapi juga demi kesihatan.

Kesihatan merupakan sebab yang terpenting agar seseorang memperolehi berat badan yang sesuai dengan ukuran rangka badan iaitu berat badan unggul.

Kebanyakan teknik yang ditawarkan oleh pusat pelangsingan memperlihatkan kejayaan sementara.

Banyak kajian telah membuktikan prinsip-prinsip bagi mengurang berat badan dan mengawal daripada berlakunya pertambahan berat badan bukan hanya dengan berdiet semata mata. Ia perlu mengikut kaedah saintifik dan bukanlah secara paksaan sehingga mendera tubuh badan anda.

Anda perlu menyayangi diri anda dan mendengar bisikan hati nurani anda. Jika anda memberi tubuh anda apa yang ia perlukan ia akan selesa dan anda akan merasa gembira melalui hari-hari berdiet dengan penuh nikmat. Saya akan mengupas persoalan ini sehingga ke hujungnya dan berharap anda mengikuti ruangan saya setiap minggu. Ini kerana setiap artikel akan mengetengahkan konsep penting yang bakal anda guna pakai untuk menguruskan badan.

Apakah BMR

BMR adalah Basal Metabolic Rate. Maksudnya penggunaan tenaga bagi tubuh semasa kita berehat. Tenaga tetap diguna meskipun kita berehat atau tidur kerana pergerakan jantung usus dan lain lain tetap mengguna tenaga. Namun BMR yang rendah membuatkan banyak tenaga dikumpul menjadi lemak.

Mereka yang mempunyai kadar BMR yang rendah perlu menyedari hakikat ini dan mengambil langkah-langkah meningkatkannya. Antara yang boleh dilakukan adalah dengan mengamalkan senaman, mengambil makanan beralkali tinggi dan sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat dengan pengambilan makanan yang mempunyai nilai glysemic rendah dan rendah kalori. Contoh-contohnya akan diterangkan pada minggu seterusnya.

Sila jawab soalan berikut. Jika jawapan anda YA maka anda mengalami masalah BMR yang rendah.


Apabila diet berat tidak turun


Berat naik mendadak apabila makan lebih


Sukar senaman kerana berasa terlalu letih bila bersenam


Gemarkan makanan berkarbohidrat dan manis


Mudah lapar


Makan sedikit tetapi cepat gemuk


Tekak inginkan makanan yang manis


Lapar pada waktu malam

Punca BMR rendah


Tidak cukup senaman. Senaman yang dimaksudkan adalah senaman ringkas merenggangkan tubuh badan. Senaman meningkat metabolisma akan diterangkan dalam isu akan datang.


Hypothyroid. Fenomena ini melanda hampir separuh penduduk dunia. Apabila hypothyroid menyerang, seseorang akan mengalami peningkatan berat badan, berasa malas, keletihan, berat badan tidak turun meskipun berdiet, setiap pergerakan menjadi lambat, rambut juga mudah berkelemumur dan fungus mula menyerang.


Kekurangan insulin. Insulin merupakan hormon paling penting dalam penukaran gula kepada tenaga. Dalam kes ini lemak yang terhasil cenderung berkumpul pada perut dan belakang badan.


Kesilapan memilih makanan dengan glycemic indeks tinggi menyebabkan kadar metabolisme menjadi rendah.

Penting tabiat makan sihat

Sebagai ibu bapa sudah tentu anda menaruh harapan yang tinggi dan mendoakan anak-anak a cemerlang dalam pelajaran dan menyertai aktiviti kokurikulum agar menjadi pelajar yang cergas dan serba boleh. Anak anda sedang memasuki alam pembelajaran yang serba baru dan membina kemahiran hidup lain yang diperlukan. Anda tahu sekiranya dia cemerlang dalam pelajaran, dia akan berjaya dalam kehidupan.

Tetapi dengan segala tumpuan diberi terhadap pencapaian akademik dan aktiviti kokurikulum, kebanyakan ibu bapa lupa pentingnya memberi makanan dengan cara yang betul kepada anak-anak. Dengan jadual pembelajaran yang ketat, baik semasa di sekolah mahupun luar waktu sekolah, serta kesibukan ibu bapa zaman sekarang, pemakanan betul dan tabiat makan yang sihat sering diabaikan.

Ramai ibu bapa mungkin tidak sedar pentingnya pemakanan dan tabiat makan yang betul ketika anak-anak berusia antara 7 dan 12 tahun. Hakikatnya, pemakanan dan tabiat makan yang baik adalah faktor yang sangat penting untuk mempengaruhi kesihatan dan kesejahteraan anak-anak anda, baik dari segi fizikal mahupun mental. Pemakanan yang baik memberi manfaat kepada anak-anak dalam pelbagai aspek, termasuk:

Membolehkan pertumbuhan optimum

Pemakanan yang betul membolehkan anak-anak anda mencapai pertumbuhan yang optimum. Ia juga boleh mencegah masalah berat badan dan kekurangan nutrien seperti anemia yang berpunca daripada kekurangan zat besi.

Meningkatkan perkembangan kognitif

Makanan yang betul dan tabiat makan yang sihat adalah penting untuk otak kerana ia menggalakkan pembelajaran yang lebih baik, meningkatkan daya tumpuan dan perhatian, dan menguatkan daya ingatan anak anda untuk membolehkan mereka terus kekal cerdas di sekolah.

Menggalakkan perkembangan sosio-emosi

Jenis makanan dan bila anda memberi makanan kepada anak-anak juga mempengaruhi keadaan emosi dan tingkah laku mereka.

Bagaimanapun, anda juga perlu ingat bahawa pemakanan yang betul perlu disokong dengan aktiviti fizikal. Aktiviti fizikal adalah sama penting dengan makanan yang baik, kerana ia banyak memberi manfaat kepada anak-anak yang sedang membesar. Aktiviti fizikal akan membakar tenaga berlebihan daripada makanan dan menguatkan tulang serta otot. Ia juga membantu meningkatkan selera makan anak anda dan mengelak mereka daripada menjadi gemuk. Ingatlah bahawa kesejahteraan sosio-emosi anak anda juga bergantung kepada aktiviti fizikal. Aktiviti seperti sukan berpasukan membantu membina keyakinan diri, menyemai nilai-nilai kepimpinan dan menyumbang kepada perkembangan keseluruhan anak anda.

Makan untuk hari esok

Menyediakan pemakanan yang baik untuk anak bukan sahaja penting untuk kesejahteraan semasa mereka, malah ia juga membina asas yang kuat untuk kesihatan pada masa hadapan dan menyemai gaya hidup yang sihat.

Sebagai contoh, pemakanan yang baik mula mempengaruhi kesihatan tubuh anak anda pada usia awal mereka. Ia juga membantu menguatkan sistem imun mereka pada masa kini dan masa hadapan serta menguatkan sistem daya ketahanan semula jadi tubuh.

Pemakanan yang baik pada hari ini akan mengurangkan risiko kesihatan pada masa hadapan. Jika berat badan anak anda berlebihan, besar kemungkinan mereka akan membesar menjadi remaja dan orang dewasa yang berlebihan berat badan juga. Risiko orang dewasa yang mempunyai berat badan berlebihan untuk mengalami penyakit kronik adalah lebih tinggi, termasuk penyakit jantung, kencing manis (diabetes) dan tekanan darah tinggi. Berat badan berlebihan juga boleh menjejaskan perkembangan sosio-emosi kerana bentuk badan yang kurang menarik menyebabkan anak anda merasa rendah diri.

Apa yang anda boleh lakukan

Sebagai ibu bapa yang penyayang, anda mesti berusaha memberikan makanan yang betul kepada anak anda yang bersekolah dan menggalakkan tabiat makan yang sihat sejak kecil lagi. Ingatlah, makanan yang betul tidak bermakna memberi mereka makanan yang mahal. Pemakanan yang betul bermakna memberi anak-anak anda pelbagai jenis makanan yang seimbang, dan dalam jumlah yang sewajarnya.

Anda juga patut berusaha sedaya upaya menanam tabiat makan yang sihat dan menggalakkan anak anda kerap melakukan aktiviti fizikal. Walaupun mereka akan diajar tentang aspek pemakanan yang baik di sekolah akan tetapi anda juga harus mendidik mereka di rumah, dan tidak menyerahkan segalanya kepada guru di sekolah.

Dapatkan maklumat lebih lanjut tentang kaedah membesarkan anak-anak sihat untuk negara yang lebih sihat menerusi pelbagai bahan dan aktiviti pendidikan Bulan Pemakanan Sihat Malaysia 2010 (NMM '10) yang dimuatkan dalam laman web www.nutriweb.org.my. Sertailah Karnival NMM '10 yang menyeronokkan di Pusat Pameran Mid Valley pada 15 & 16 Mei 2010, bermula dari 10 pagi.

Buat sendiri di rumah

Apa itu halia?

Halia berasal dari Asia Tenggara dan kini ditanam secara meluas di Jamaica dan beberapa kawasan tropika. Akar halia terkenal sebagai herba yang digunakan untuk masakan dan juga perubatan. Halia telah digunakan oleh pakar herba China lebih 2,500 tahun lalu.

Khasiat halia

Sejak zaman berzaman, halia sering digunakan untuk melegakan rasa loya, masalah sukar penghadaman, artritis dan membantu melancarkan peredaran darah. Halia juga mempunyai keupayaan untuk melegakan masalah kekejangan perut. Akar halia turut membantu menyokong sistem kardiovaskular yang sihat dengan menjadikan platelet kurang pekat sekali gus mengurangkan masalah peredaran darah.

Minyak halia yang digunakan untuk mengurut membantu melegakan kesakitan akibat artritis berikutan bahan anti-radang yang terdapat dalam tanaman tersebut.

Menurut kajian, halia membantu menurunkan kadar penyerapan kolesterol di dalam hati dan darah selain mengurangkan sakit kepala atau migrain. Kandungan shogoal dan gingerol dalam halia juga mampu meneutralkan asid dalam perut, merangsang pengeluaran jus penghadaman dan juga membantu memperbaiki otot otot penghadaman.

Bagaimana menggunakan halia

l Dihiris atau ditumbuk untuk digunakan dalam masakan.

l Campuran akar halia dan ekstrak limau nipis membantu melegakan penghadaman. Ia juga boleh dijadikan minyak dan disapu di bahagian yang sakit.

l Halia segar yang dibuang kulit boleh dimakan setiap empat jam tetapi tidak lebih tiga kali sehari untuk melegakan masalah perut. Teh halia boleh diminum beberapa beberapa kali sehari.

l Cuba minum segelas teh halia untuk meredakan masalah selesema. Menurut kepercayaan masyarakat Cina, tenaga dalam halia dapat memanaskan paru-paru dan perut. Untuk membuat teh hali cuba resipi mudah ini.

n 4 gelas air

n 2 inci halia segar

n Hirisan lemon dan madu (sebagai penambah perisa)

Kupas dan hiris akar halia. Isikan air ke dalam periuk dan biarkan ia mendidih. Tambah sehiris halia ke dalam air yang mendidih. Kecilkan api, tutup periuk dan biarkan selama lebih kurang 15-20 minit. Tapis, tambah lemon dan madu sebagai penambah perisa

Maklumat tambahan mengenai halia

Selain pelbagai khasiat yang terkandung dalam halia, berita baik kepada semua, halia tidak mempunyai sebarang kesan negatif dan selamat diambil dalam bentuk apa sekali pun.

Kapsul halia perlu diambil bersama segelas air. Halia boleh diambil sehari selepas seseorang menjalani pembedahan untuk mengurangkan rasa loya. Bagi mereka yang menjalani rawatan radioterapi atau kemoterapi, pengambilan halia mampu mengurangkan kerengsaan perut.

Lain-lain khasiat halia

n Mengubati selesema dan asma

Pengamal perubatan tradisional mencadangkan pesakit selesema dan asma mengunyah halia segar atau minum teh halia ataupun perahan jus akar halia bersama satu camca madu.

n Mengurangkan sakit sendi, sakit otot dan kolesterol

Sakit-sakit pada otot dan sendi juga dapat diatasi dengan penggunaan halia. Untuk otot yang sakit, minyak halia dicampurkan dengan minyak neutral lain dan digosok ke bahagian tersebut.

n Mengubat batuk

Dengan menghisap hirisan halia dapat melegakan batuk dan gatal-gatal tekak. Amalan ini lebih mujarab jika air halia dicampur dengan sedikit madu.

n Menghilangkan bau mulut

Halia memang berkesan menghilangkan bau mulut yang menimbulkan ketidakselesaan. Hiris halia dan rebus hingga mendidih. Biarkan sejuk seketika dan minum. Atau tumbuk halia hingga lumat dan kemudian tapis. Campur dengan air yang sudah dimasak. Amalkan minum air halia tersebut waktu pagi dan petang.

Koenzim CoQ10 untuk kesihatan jantung

SAYA mengambil anti kolesterol untuk mengawal peningkatan tahap kolesterol. Ahli farmasi ada mencadangkan pengambil suplemen koenzim CoQ10 yang dikatakan baik untuk jantung. Penerangan lanjut amat saya perlukan.

JAWAPAN,

Terdapat bukti menunjukkan beberapa ubat kolesterol lazim boleh menyebabkan pengurangan koenzim Q10 (CoQ10) dalam badan. Penghalang HMG-CoA reduktase digunakan untuk merawat kolesterol darah yang tinggi dengan menghalang biosintesis kolesterol dan CoQ10. Dengan itu, penurunan paras CoQ10 adalah hasil daripada perkongsian laluan biosintesis CoQ-10 dan kolesterol.

Koenzim Q-10 adalah penting untuk kesihatan jantung. Kepekatan tertingginya terdapat pada jantung, di mana tindakannya dalam mitokondria adalah sangat penting terhadap fungsi rangkaian otot jantung yang sihat. Kekurangan koenzim Q10 dalam badan boleh menyebabkan keletihan otot.

Kekurangan CoQ10 akan melemahkan jantung dan mengakibatkan kegagalan jantung. Dengan itu, melengkapkan diet dengan suplemen koenzim Q10 dapat mengekalkan zat-zat dalam badan, bukan sahaja untuk kesihatan jantung, malah dapat mengekalkan tekanan darah yang sihat, tahap tenaga dan kesihatan umum.

Jika anda berada dalam terapi statin, suplemen koenzim Q10 adalah disyorkan untuk membantu memulihkan kekurangannya. Cubalah koenzim Q10 50mg dalam bentuk minyak soya yang dapat meningkatkan penyerapan CoQ10 dan bertindak sebagai pembawa nutrien.

Sebahagian besar masalah kardiovaskular (CVD) boleh dicegah dan saranan terbaik adalah bermula pada usia muda. Mengetahui semua faktor risiko dan mengubah gaya hidup serta tabiat pemakanan boleh menyelamatkan nyawa anda. Amalkan diet seimbang, gabungkan pelbagai sayur-sayuran dan buah-buahan ke dalam diet serta bersenam adalah cara-cara sihat untuk mengurangkan risiko CVD. Kurangkan pengambilan alkohol dan berhenti merokok juga boleh melindungi jantung dan sistem peredaran darah anda daripada kemusnahan akibat radikal bebas.

Tabiat kesihatan baik hadapi H1N1

GELOMBANG wabak virus influenza A (H1N1) nyata belum reda apabila sehingga 21 April lalu menurut Kementerian Kesihatan terdapat sejumlah 13,298 kes telah dilaporkan.

Walaupun secara dasarnya keadaan di Malaysia boleh dikatakan terkawal, masyarakat masih perlu mengambil langka berjaga-jaga bagi menentang merebaknya jangkitan virus tersebut.

Apatah lagi ia amat mudah merebak melalui udara apabila seseorang yang terkena jangkitan bercakap, bersin atau batuk.

Sebenarnya amalan kesihatan yang baik seperti semudah mencuci tangan dengan kerap dan sempurna menggunakan sabun anti-bakteria atau sanitiser tangan, boleh membantu menghalang H1N1 daripada terus merebak.

Presiden Persatuan Persekutuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM), Dr Steven Chow, berkata, sememangnya menjadi tanggungjawab setiap orang untuk sentiasa menjaga kebersihan.

"Jika kita menjadikan kebersihan sebagai amalan harian seperti mencuci tangan dengan sempurna dan tabiat menggunakan sanitiser, mampu melindungi kita daripada dijangkiti wabak tersebut, " katanya.

Malah katanya, amalan penjagaan kesihatan yang baik kadang kala dilihat lebih berkesan daripada langkah-langkah kawalan yang berskala besar.

Mengikut kajian Menggalakkan Amalan Kebersihan dan Mengurangkan Jatuh Sakit yang dijalankan ke atas 5,800 keluarga mendapati, amalan kebersihan yang baik dan penggunaan bahan pembasmi kuman telah terbukti mengurangkan kes kanak-kanak jatuh sakit sehingga 70 peratus.

Kajian selama tiga tahun dengan sokongan Dettol dijalankan di kawasan masyarakat miskin di beberapa bandar di Afrika Selatan.

Ia menunjukkan bahawa kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah kurang mengalami masalah pernafasan, penghadaman dan penyakit kulit apabila keluarga mereka menggunakan bahan pencuci pembasmi kuman.

"Kajian tersebut mengesahkan tentang apa yang kita sudah tahu tetapi kita tidak amalkan dalam kehidupan harian kita.

"Amalan kebersihan yang betul bukan setakat dapat mengurangkan anak-anak daripada jatuh sakit, tetapi lebih penting ia meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan keluarga itu sendiri," katanya.