"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Sunday, December 26, 2010

Tungku kesihatan


MOHD. Abdullah Isa, dan Masitah Amsal Salleh menunjukkan tungku tangisan burung keluaran syarikat mereka.
AMALAN bertungku biasanya diamalkan wanita baru lepas bersalin khususnya di kalangan masyarakat Melayu. Tradisi itu masih dikekalkan hingga hari ini.

Tetapi kini amalan bertungku tidak terhad kepada wanita dalam pantang, sebaliknya boleh dilakukan sesiapa sahaja, termasuk lelaki bagi tujuan kesihatan.

Ini terbukti apabila sepasang suami isteri, Mohd. Abdullah Isa, 40, dan Masitah Amsal Salleh, 40, yang mengusahakan pusat kecantikan De Ritz Beauty Care di Shah Alam, Selangor berani menampilkan lima set tungku pelbagai fungsi untuk wanita dan lelaki.

Kesemua tungku yang dihasikan itu menggunakan ramuan istimewa lebih 55 herba tradisi turun-temurun keluarga Mohd. Abdullah dari Kelantan.

Antara herba yang digunakan adalah serai wangi, jintan 
hitam, garam bukit dan herba tradisi iaitu Tangisan Burung.
Menurut Masitah selaku Pengarah Urusan De Ritz Beauty Care, herba Tangisan Burung itu mempunyai banyak kebaikan iaitu bijinya boleh merawat penyakit diabetes, daunnya pula mampu mencerahkan mata sementara akarnya bertindak merawat masalah pernafasan dan paru-paru.

Oleh sebab penggunaan herba itu jugalah katanya, beliau dan suaminya sepakat untuk memberikan nama produk mereka sebagai Tungku Tangisan Burung.

"Buat masa ini kami mengeluarkan lima jenis tungku. Bagi menampakkan setiap tungku ini berbeza kegunaannya, saya membalut dengan kain yang berbeza

"Contohnya bagi tungku yang dibaluti kain berwarna hijau berfungsi untuk membuang angin dalam badan sekaligus boleh digunakan untuk mereka yang ingin kelihatan langsing.

"Ini kerana angin yang banyak dalam badan menyebabkan sistem badan tidak teratur dan boleh menyebabkan kegemukan," katanya.

Bagi mereka yang berminat mendapatkan produk ini boleh mengunjungi pusat kecantikannya atau melayari laman web www.deritzbeauty.com atau melayari laman sosial Facebook atas nama Masita Amsal Salleh.


Sakit perut tanda kanser usus

PERNAHKAH anda mengalami gastritis? Mungkin ramai pembaca di luar sana tidak mengetahui apa itu gastritis kerana ia merupakan nama saintifik bagi penyakit angin atau sakit perut.

Gastritis atau angin bukanlah satu penyakit. Tetapi satu keadaan di mana berlaku inflamasi dalam lapisan perut.
Tetapi merupakan tanda-tanda awal kanser perut.

Menurut Pakar Bedah dan Runding Gastrointestinal, Pusat Perubatan Sunway, Dr. Ramesh Gurunathan, sekiranya mereka yang mengalami sakit perut berlarutan atau kerap mengalaminya, dinasihatkan agar mendapatkan rawatan doktor atau melakukan ujian endoskopi.

Malah tambah beliau, sekiranya ia tidak dirawat dengan segera ia boleh membawa maut.
''Keadaan ini (angin) disebabkan oleh bakteria yang dikenali sebagai helicobacter pylori iaitu sejenis bakteria yang boleh dirawat dengan antibiotik.

''Tetapi sekiranya ia (bakteria tersebut) tidak dirawat dengan segera, ia boleh membawa maut di mana bakteria tersebut akan bertukar menjadi sel-sel kanser.

''Untuk itu, sekiranya pesakit mengalami sakit perut yang kerap ataupun berlarutan, selain diberikan ubat oleh doktor, mereka juga berhak untuk melakukan ujian endoskopi untuk mengetahui penyakit sebenar,'' ujarnya ketika ditemui di pejabatnya, baru-baru ini.

Jelas beliau lagi, di Malaysia, kanser perut merupakan penyakit yang ketujuh tertinggi di kalangan kaum lelaki manakala bagi wanita pula ia merupakan penyakit yang ke-10.

Sebanyak 50 peratus daripada penduduk dunia sememangnya dijangkiti dengan bakteriahelicobacter pylori dan 90 peratus masyarakat setempat akan mengalami sakit perut atau angin.

Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, antara tahun 1997 hingga 2007, di Malaysia terdapat 13,539 kes dan setiap tahun lebih daripada 100 orang akan meninggal.

Jika dilihat tahun-tahun sebelum ini, terdapat 800 kes baru yang dikesan tetapi bermula daripada tahun 2000 jumlah tersebut telah meningkat sehingga 1,000 kes.

Peningkatan angka tersebut menurut Dr. Ramesh kerana di Malaysia sendiri kurang pendedahan diberikan kepada masyarakat mengenai kanser perut.

Berbicara dengan lebih lanjut mengenai kanser perut, jelas Dr. Ramesh lagi, secara amnya, inflamasi terjadi akibat jangkitan bakterium yang sama dengan ulser perut dan faktor-faktor lain yang menyumbang kepada gastritis termasuklah kecederaan traumatik dan penggunaan pil penahan sakit secara kerap.

Bagaimanapun ujar beliau lagi, gastritis juga boleh menyebabkan pendarahan di dalam perut tetapi ia jarang berlaku melainkan jika terdapat ulser.

Pendarahan di dalam perut akan menyebabkan pesakit muntah darah atau membuang najis yang hitam seakan tar di mana ia memerlukan penjagaan perubatan dengan segera.

Kanser perut, selain disebabkan oleh bakteria helicobacter pylori, ulas Dr. Ramesh, para penyelidik percaya bahawa amalan memakan makanan yang diawet, termasuklah makanan yang dikeringkan, disalai atau dijeruk juga menjadi punca kanser perut.

Tambahnya, negara Jepun adalah negara yang mempunyai kadar pesakit kanser perut yang tertinggi di dunia.
Beliau memberitahu, kelambatan diagnosis kanser perut merupakan masalah utama yang dihadapi oleh pakar perubatan dalam menangani kes kanser di Malaysia.

Ini disebabkan gejala kanser perut hanya timbul setelah ketumbuhan tersebut di tahap yang kronik dan terlalu lewat.
Bagaimanapun, kanser perut yang dikesan di peringkat awal (early gastric cancer) berpotensi untuk sembuh berbanding kanser perut peringkat lewat.

Untuk itu, Dr. Ramesh turut menasihatkan agar mengamalkan pemakanan yang seimbang dan sihat dalam menentukan tahap kesihatan masing-masing.

''Gaya hidup yang sihat dan amalan melakukan pemeriksaan usus dan perut sekali setahun merupakan langkah pencegahan yang paling efektif bagi mengelakkan nyawa daripada diragut penyakit itu,'' katanya.


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1221&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_01.htm

Kesihatan tanggungjawab bersama

TAHUN 2010 banyak memberi cabaran kepada Kementerian Kesihatan dalam usaha memberi kesedaran tentang kesihatan kepada masyarakat.

Rakyat negara ini berdepan dengan risiko tinggi menghidap penyakit tidak berjangkit akibat gaya hidup dan amalan pemakanan yang tidak sihat.

Kes penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti hipertensi, diabetes dan obesiti didapati semakin meningkat.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kajian 10 tahun dari 1996 hingga 2006 menunjukkan NCD mencatatkan peningkatan ketara dengan hipertensi meningkat sebanyak 44 peratus, diabetes sebanyak 80 peratus dan obesiti hampir 220 peratus.

"Penyakit ini umumnya adalah berpunca daripada pemilihan gaya hidup. Kurang bersenam, tabiat pemakanan tidak sihat dan terlalu banyak stres adalah penyumbang kepada penyakit ini.

"Saya berharap entiti penjagaan kesihatan swasta dan awam boleh bekerjasama untuk mendidik dan memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai langkah yang boleh diambil untuk melindungi diri mereka daripada penyakit berkenaan," katanya.

Pihak kementerian telah menyediakan peruntukan khas dan melaksanakan sebanyak 55 projek intervensi NCD (sebagai projek demonstrasi) di seluruh Malaysia.

Antara aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan bagi Intervensi NCD dalam komuniti adalah saringan penyakit kardiovaskular (BMI, tekanan darah,gula dan kolesterol dalam darah), kesihatan mental, status merokok dan pengambilan alkohol (di beberapa lokasi tertentu).

Selain itu, pihak kementerian juga menggalakkan aktiviti fizikal dan senaman seperti senamrobik, poco-poco, fitball-robik, program berjalan kaki dan taici.

Program menjurus kepada pemakanan turut dilaksanakan dengan mengadakan demonstrasi masakan sihat, peraduan masakan sihat, pameran, ceramah dan motivasi kesihatan.

Kementerian mensasarkan peningkatan jangka hayat penduduk kepada kira-kira 82 atau 83 tahun daripada 76 (wanita) dan 73 (lelaki) pada masa ini menjelang 2020. Langkah itu diharap dapat meningkatkan jangka hayat penduduk setanding dengan negara-negara maju seperti United Kingdom (80) dan Jepun (85).

Hayat bersama organ transplan


Penampilan terbaru Muhammad Fikri.


LELAKI yang penulis kenal lima tahun dahulu tampil berbeza hari ini. Wajahnya lebih matang dengan penampilan baru gaya remaja lelaki terkini. Tiada lagi wajah menahan sakit dan gelisah. Segalanya kembali normal dan dia kini bahagia meniti usia remaja bersama keluarga dan teman-teman.
Ditemani ibu tercinta, Fatimah Osman, 44, Muhammad Fikri Nor Azmi, 20 hadir ke majlis Bicara Hati sempena Sambutan Minggu Kesedaran Pendermaan Organ dan Tisu 2010 baru-baru ini.

Sememangnya Fikri cukup dikenali dalam catatan sejarah transplan negara lantaran dia merupakan pesakit jantung pertama di Asia yang menerima jantung mekanikal.
Setelah hampir lima tahun menjalani pemindahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN), Muhammad Fikri kini mampu menjalani kehidupan normal.

Jantung yang diterima daripada penderma bukan Islam itu memberinya peluang untuk menikmati kehidupan seperti insan lain.

Menurut ibunya, Fikri lebih sihat dan bersemangat. Dia kini boleh berlari dan bermain bola keranjang seperti remaja aktif tanpa mengadu rasa sakit.

Namun di sebalik keceriaan Fatimah dan Fikri, mereka risau tentang tahap kesedaran pendermaan organ khususnya di kalangan orang Melayu.

"Apabila Fikri sakit dulu, timbul kegusaran di hati saya kerana takut tiada penderma organ. Saya mahu masyarakat melihat ini isu yang serius dan bersikap terbuka khususnya mereka yang beragama Islam. Saya pernah melalui saat perit ini dan tahu keperluannya masa itu.

''Isu ini tidak perlu dijadikan negatif kerana memberi kehidupan kepada orang lain sesuatu yang mulia," ujarnya yang aktif menyertai aktiviti Pusat Sumber Transplan Nasional.
Dalam pada itu, tidak mahu melihat orang lain yang mungkin memerlukan organ menderita, Fikri dan ibunya menyeru agar orang ramai bersedia menderma organ mereka.

"Yang pergi tetap pergi. Kadang-kadang kita tidak fikir, biarlah mereka yang pergi itu memberi kehidupan kepada orang yang masih hidup. Mereka yang meninggal dunia sebenarnya hanya meninggalkan fizikal tetapi mereka terus hidup dalam jiwa kita.

''Ramai yang kurang terdedah dengan pendermaan organ sehingga akhirnya wujud pelbagai persepsi. Ditambah pula dengan sikap orang Melayu yang tidak suka meluahkan hasratnya walaupun untuk kebaikan. Apabila mereka meninggal dunia, keinginan menderma organ tidak dapat ditunaikan.

''Apabila hasrat itu tidak dibincang dengan keluarga, mereka tidak membenarkan organ si mati didermakan kepada orang lain," kata Fatimah.

Mengimbas peristiwa lima tahun lalu, Fikri menjalani pembedahan pemindahan jantung pada 15 Disember 2005 dan telah melepasi tempoh kritikal setahun.

Walaupun identiti penderma jantung yang diterima Fikri tidak didedahkan, dia sentiasa mendoakan yang terbaik buat penderma dan keluarga.

Sebelum ini, Fikri hanya memikirkan kematian kerana penyakit yang dihidapnya membolehkan dia bertahan kurang daripada 15 tahun.

Fikri menghidap radang jantung atau miokarditis ketika umurnya 7 tahun. Lima tahun kemudian, keadaan jantungnya mengalami bengkak yang teruk dan gagal mengepam darah atau lebih dikenali dilated cardimyopathy.

"Pada masa itu, saya sebagai ibu tunggal mempunyai tiga orang anak terpaksa menumpukan perhatian. Dalam tempoh kritikal itu, doktor memaklumkan bahawa Fikri bakal mendapat jantung baru. Gembira tidak terkata ketika itu walaupun kami tidak mengenali penderma," ujarnya yang sedih dengan kematian Winnie yang menunggu penderma jantung hingga akhir hayatnya.

Lima tahun berlalu dan persoalan yang bermain di fikiran Fikri sudah pun terjawab. Jika dahulu Fikri tidak meletakkan harapan tinggi dalam akademik, tetapi akhirnya dia berjaya menamatkan pengajian A-Level di Kolej Brickfields Asia. Dia dalam perancangan melanjutkan pelajaran dalam bidang psikologi.

Fikri mahu belajar di luar negara jika ada peluang kerana dia masih tidak tahu jangka hayatnya akan bertahan sampai bila.

Dia kini yang lebih berdikari mahu berjaya dalam bidang yang diceburi dan mahu berkerja di hospital. Di samping memotivasikan diri sendiri, dia ingin membantu orang lain terutamanya dalam isu pendermaan organ.


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1226&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_05.htm

Menyingkir lebihan lemak


ZIELA menunjukkan rawatan membuang lemak di bahagian perut. Dalam pada itu, Ziela percaya senaman merupakan rawatan terbaik.
Seramai 16.8 juta atau 60 peratus daripada 28 juta penduduk Malaysia mengalami masalah kegemukan termasuk golongan kanak-kanak dan jumlah itu menunjukkan peningkatan membimbangkan sejak akhir-akhir ini.
Daripada jumlah tersebut, kira-kira 50 peratus atau sebanyak 8.4 juta orang mengalami masalah obesiti manakala baki 50 peratus lagi merupakan penduduk melebihi berat badan ideal.

Statistik ini membimbangkan kebanyakan wanita di Malaysia. Lebih-lebih lagi, memilik tubuh badan yang langsing menjadi idaman setiap wanita.
Justeru itu, ZZ Beauty Slim Healthy ingin membantu wanita mengatasi masalah tersebut di samping menjana pendapatan mereka.

Bermula dengan hanya sebuah salun, iaitu Zera & Home Spa Beauty Salon, usahawan muda, Ziela Che Nor, mahu memberi peluang kepada orang ramai menceburi perniagaan francais di bawah syarikatnya.

Misi ZZ Beauty telah merancakkan lagi perniagaan yang menumpukan kepada kecantikan dan pelangsingan tubuh.
Menurut Ziela, setiap wanita baik yang muda mahupun berusia mengimpikan bentuk tubuh yang langsing, ramping dan menarik.


"Ramai wanita yang mudah berisi dan meningkat berat badan walaupun puas menjaga makan, berdiet dan bersenam lebih-lebih lagi bagi wanita yang telah berumahtangga dan melahirkan anak.

'' ZZ Beauty Slim Healthy memahami masalah wanita-wanita yang tertekan dengan masalah berat badan,'' katanya.
Tambah Ziela, apabila seseorang wanita itu meningkat berat badan, wajah juga turut menjadi tembam dan bulat sehingga menimbulkan perasaan malu.apabila ditegur.

Selain produk pelangsing, ZZ Beauty menyediakan perkhidmatan memecahkan lemak pada bahagian-bahagian tubuh turut membentuk semula wajah yang tembam supaya nampak runcing dan berbentuk.

Rawatan tersebut tambahnya menggunakan mesin khas yang terbukti berkesan memecahkan lemak pada bahagian-bahagian lemak sering berkumpul, iaitu di perut, lengan, peha, pinggang dan betis.

Namun, Ziela menasihatkan orang ramai sebaik-baiknya mengamalkan cara hidup sihat termasuk bersenam, menjaga pemakanan sihat melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala.



http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1226&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_04.htm

Langsing apabila metabolik lancar


Saya bertemu Nina tiga bulan lalu. Pada masa itu berat badan beliau adalah 82 kilogram. Sebagaimana orang orang gemuk yang lain, Nina berwajah sembap dan berpipi montok. Bila tersenyum matanya seolah-olah tertutup oleh pipi yang terlalu montok itu. Nina juga mempunyai garis hitam di bawah mata. Kulit Nina juga meskipun tiada jerawat dipenuhi pigmentasi yang tebal di sana sini. Ketiaknya kehitaman. Kulit di lipatan siku dan paha juga kehitaman. Nina mengadu lehernya turut menjadi hitam. Kulit pada perut dan badan juga menjadi semakin gelap. Bentuk tubuh Nina besar dari atas ke bawah. Lengannya melendut dan berlemak.

Nina sentiasa memakai jubah yang besar. Dia juga terpaksa berhati-hati memilih tudung demi menutup bentuk wajahnya yang terlalu bulat itu.

Menurut Nina masalah berat badan yang dihadapi bermula selepas habis sekolah rendah. Semasa di universiti berat meningkat dengan banyak sekali. Meskipun Nina tidak makan banyak namun berat badannya tidak pernah menurun. Bila berdiet berat badan menurun sedikit namun kemudiannya naik dengan banyak sekali. Hal itu membuatkan Nina serik dan putus asa untuk mengamalkan sebarang diet. Nina sering berasa lemah dan kerap demam. Oleh itu dia jarang mahu keluar ke mana-mana. Sekiranya dia membuat aktiviti yang berlebihan dia akan menjadi lemah seakan-akan demam. Nina juga takut mahu tidur lewat kerana dia akan demam keesokan harinya. Apabila demam dia tidak mampu pergi kerja. Justeru Nina dianggap sebagai seorang yang lemah, tidak aktif dan pemalas oleh kawan-kawannya.


Rokiah pula seorang suri rumah. Selepas kelahiran cahaya mata pertama beratnya naik mendadak dan tidak mampu turun lagi. Wajahnya bulat dan lemak menggeleber di bawah dagu. Bahagian belakang tubuhnya juga berlemak dan lengannya menjadi terlalu besar. Coli menjadi ketat dan tubuh mula melebar. Kesemua baju baju lama tidak dapat dipakai lagi. Yang merisaukan Rokiah tubuhnya semakin membesar tahun demi tahun. Saiz bajunya terpaksa diubah saban tahun. Sejak akhir-akhir ini beliau merasa terlalu letih. Jirannya Siti mengajak Rokiah berjoging bagi menguruskan badan namun Rokiah merasa terlalu letih untuk mengikutinya. Setiap langkah terasa berat dan sukar sehingga akhirnya Rokiah membuat keputusan untuk berhenti bersenam. Anehnya apabila berehat dia tidak berasa hilang keletihan itu. Akibat nya Rokiah gemar berbaring selepas membuat kerja-kerja rumah. Segala kerja yang memerlukan tenaga sukar dilakukan oleh Rokiah. Beliau terasa mudah bosan dan tertekan. Suaminya berasa hairan melihat isteri yang sering ceria menjadi murung. Dia cuba membawa Rokiah berjalan-jalan namun isterinya masih lagi tidak berubah. Apabila bertemu saya Rokiah memberitahu dia berasa sukar mengendalikan suasana di sekelilingnya. Satu perkara yang diminatinya hanyalah mengadap facebook dan mendengar radio. Dia bencikan suasanan yang menyebabkan dia perlu berinteraksi dengan orang lain. Dia lebih senang berdiam diri dan menjadi pemerhati sahaja.
Dalam rawatan obesiti, simptom-simptom sebegini adalah fenomena yang melanda golongan yang mempunyai kadar metabolik rendah.


Mereka yang bermetabolik rendah bukan sahaja gemuk malah berubah wajah menjadi tidak cantik disebabkan oleh kehadiran air yang banyak di bawah kulit. Air merupakan sejenis bahan berlendir dan berlemak juga. Ia hadir di bawah kulit membuatkan kulit tampak sembap dan tidak bercahaya. Wajah tampak kasar dan lebar membuatkan mereka hilang kecantikan yang dimiliki. Oleh kerana simpanan air yang banyak mereka kurang minum air. Mereka juga tidak selesa dalam cuaca panas dan tidak tahan cuaca terlalu sejuk. Tubuh mereka sukar mengadaptasi perubahan cuaca. Cuaca sejuk atau panas membuat hati berasa gelisah dan tertekan.


Wajah seseorang yang obes hampir sama bentuknya. Ini disebabkan faktor hormon yang mengumpulkan lelemak pada pipi dan leher. Hal ini membuatkan mereka kehilangan bentuk wajah asal dan kelihatan hampir serupa kesemuanya. Apabila kurus semula barulah mereka mendapat kembali kecantikan wajah yang hilang akibat lemak itu.
Rawatan meningkatkan metabolisme memerlukan komitmen yang tinggi. Di Marisaa Estetik kunci utama kejayaan dalam menurunkan berat badan pelanggan adalah kefahaman yang jelas mengenai proses metabolik. Apabila pelanggan mendapat kefahaman yang jelas dia akan berusaha mengubah corak kehidupan sebagaimana yang disarankan oleh kami. Langkah pertama adalah mengubah persepsi dan kefahaman terhadap pemakanan. Apabila pelanggan faham maka mereka tidak membenci makanan sebaliknya hati mereka menjadi tenang kerana masalah sebenar bukanlah disebabkan pemakanan. Masalah sebenar adalah mereka tidak mempunyai hormon dan enzim yang mencukupi bagi menukarkan makanan kepada tenaga. Kerana itulah mereka merasa keletihan dan tubuh menjadi lemah. Apabila seseorang makan, makanan itu akan ditukarkan kepada tenaga pada empat bahagian tubuh kita iaitu otot, otak, hati dan sel lemak. Apabila makanan tiba pada sel otot ia bertukar kepada tenaga yang membolehkan pergerakan dan aktiviti fizikal tubuh kita. Apabila tiba ke otak pula ia bertukar kepada tenaga menghasilkan neurotransmitter bagi otak kita. Begitu juga apabila ia tiba pada hati. Pelbagai proses penghasilan protein berlaku pada hati. Hati dianggap sebagai kilang menghasilkan protein yang diperlukan oleh tubuh kita. Makanan juga akan tiba ke lemak tubuh dan bergabung membentuk simpanan lemak yang digunakan kembali semasa tubuh kita memerlukannya. Masalah obesiti terjadi kerana proses penggunaan tenaga terganggu. Sebaliknya semua makanan yang dimakan hanya menjadi lemak dalam tubuh sahaja.


Dengan terapi enzim dan hormon proses metabolik akan berjalan lancar semula. Dengan itu golongan yang bermasalah akan dapat menurunkan berat badan dengan mudah.

Letih punca kemalangan


DR. RAYMOND melakukan ujian tertentu bagi menentukan klasifikasi dengkur biasa, sehinggalah ke tahap OSA yang teruk.
Kemalangan yang berpunca daripada rasa letih lazimnya menyebabkan kecederaan teruk. Ini kerana berbanding kemalangan akibat punca-punca lain pemandu yang keletihan bertindak balas lebih lambat dan pertimbangannya mudah terganggu.

Keletihan yang amat sangat lazimnya disebabkan oleh masalah psikologi seperti berasa kekurangan tenaga atau kepenatan.

Dalam kebanyakan kes, keletihan yang amat sangat dikaitkan dengan kebosanan, kesedihan, kekecewaan, kurang tidur atau teruk bekerja.

Rasa letih yang keterlaluan tidak sama seperti rasa mengantuk, tetapi biasanya keinginan untuk tidur akan timbul seiring dengan rasa letih sebegini.

Menurut Dr. Raymond pernafasan yang terhenti-henti sepanjang malam boleh menyebabkan pesakit asyik terjaga.
"Jangankan tidur yang berkualiti, hendak tidur lena pun payah. Oleh sebab tidur yang tidak berkualiti, mangsa OSA biasanya akan menunjukkan beberapa kesan simptom umum pada waktu siang seperti rasa mengantuk, sakit kepala dan letih," katanya.

Dalam konteks ini, dianggarkan hampir 5.55 juta penduduk Malaysia, tidak mengira jantina dan umur, menghasilkan orkestra dengkur setiap malam, sama ada 'berdengkur tetap' ataupun 'berdengkur sambilan'.

Masalah dengkur bukan sahaja mengganggu penghidap malahan orang di sekitarnya, dan mungkin menjejaskan kualiti tidur lebih satu pertiga penduduk negara ini setiap malam.

Sebagai contoh, Albert Enstein memerlukan 10 jam untuk tidur agar dia dapat beraktiviti dengan baik. Presiden Amerika ke-30, Calvin Coolidge memerlukan 11 jam untuk tidur. Ronald Reagan dan Winston Churchill bahkan menganggap tidak cukup hanya tidur pada malam hari. mereka tidur siang.

Dengkur gejala gangguan tidur



OSA dan masalah dengkur yang berlaku akibat halangan pada laluan udara (gambar kiri) boleh dirawat menggunakan alat MAD yang menganjak kedudukan rahang bawah (gambar kanan).


Krohhh! krohhhhh! uughghghhh! sssyyy. Tidak kira sama ada bunyinya digambarkan seperti hon amaran kabus kapal laut, dengungan gergaji elektrik, guruh berdentum atau enjin buldozer, semua orang tahu apa yang dimaksudkan - dengkur.

Seorang pemandu pelancong memberi isyarat kepada saya ketika seorang rakan tidur dan berdengkur di dalam bas. 

Mujur ketika itu, rakan-rakan yang lain dibuai lena kerana keletihan. Teringat kata-kata Pakar Bedah Telinga, Hidung dan Tekak Hospital Pantai Ampang, Dr. Raymond Tan, seseorang yang berdengkur biasanya berbadan besar. Melihat saiz tubuh rakan itu, saya mengiakan dalam hati. Saya membayangkan jika yang tidur itu adalah pemandu bas pelancongan itu, apakah nasib kami? Seseorang boleh tertidur pada siang hari kerana tidur malamnya sebenarnya tidak lena kerana ada gangguan tidur. Seperti nasihat Dr. Raymond secara berseloroh: "Jika saya ingin menaiki bas balik ke kampung dari Kuala Lumpur ke Kelantan, saya pasti tidak mahu menaiki bas yang dipandu oleh seseorang berbadan besar. Dia mungkin mengalami masalah dengkur ketika tidur dan cepat keletihan. Itu risiko kepada kemalangan."


Menurut Dr. Raymond, dengkur secara amnya berlaku apabila penyempitan salur udara menyebabkan pergolakan tekanan udara dan getaran palet lembut (lelangit) serta dinding farinks.
Getaran itu seterusnya menghasilkan bunyi khusus dengkur.


"Bahaya utama adalah apabila penghidap dengkur mempunyai Apnea Tidur Halangan (OSA) yang teruk, menyebabkannya berhenti bernafas lebih 30 saat, berulang kali semasa tidur.


''Oleh itu, individu yang berdengkur perlu menjalani ujian tertentu bagi menentukan klasifikasi dengkur biasa, sehinggalah ke tahap OSA yang teruk.


''Individu yang mengalami dengkur biasa tidak menghadapi banyak masalah selain bunyi dan keselesaan tidur (penghidap dan ahli keluarga).

Namun, individu yang berdengkur dengan kuat dan mengalami OSA yang teruk mungkin terjejas kesihatannya dalam jangka panjang," ujarnya.

Nafas terhenti

Mereka yang mengalami masalah OSA selalunya berada dalam keadaan separa sedar. Mereka juga biasanya tidak mengingati peristiwa tersebut walaupun tidurnya terganggu berulang kali sepanjang malam.

Bunyi dengkur akan menjadi lebih kuat dan tiba-tiba terhenti seketika akibat pernafasan terhenti berikutan saluran pernafasan dihalang (tertutup).

Halangan pada bekalan udara ke paru-paru ini akan menyebabkan kekurangan oksigen di dalam darah dan otak yang dikhuatiri akan membawa kepada banyak masalah kesihatan lain.

"Mereka yang menghidap OSA juga akan berasa letih selepas bangun tidur, sangat mengantuk serta kelihatan seperti mengalami masalah kemurungan.

''Kekurangan oksigen terutamanya ke otak bukan sahaja satu masalah kesihatan malahan boleh membawa maut jika dibiarkan berterusan,'' katanya.

Oleh itu, menurut Dr. Raymond, setiap orang perlu faham bahawa kitaran tidur, dengkur dan OSA amat berbahaya dan tidak sepatutnya dibiarkan begitu sahaja. Lebih teruk lagi kadang-kadang ketika memandu sama ada waktu siang atau malam, seseorang boleh terlelap kerana dengkur.


Tahap teruknya apnea ditentukan melalui kiraan setiap jam, rendah (10 apnea sejam), sederhana (20 hingga 30) atau teruk (lebih 40 apnea sejam).

Dengkur dan apnea boleh menyebabkan kekurangan oksigen ke otak dan jantung, menjejaskan fungsi otak dan tekanan kepada jantung (jantung makin besar, denyut jantung dan pernafasan makin laju).

Gangguan tidur pesakit jelas kelihatan jika mereka masih mengantuk di waktu pagi sementara kanak-kanak kelihatan sukar memberi tumpuan.

Rawatan OSA

Rawatan paling umum OSA adalah tekanan berterusan laluan udara atau CPAP (Continuous Positive Airway Pressure). Rawatan lain termasuk menurunkan berat badan, ubat-ubatan secara oral, terap dan pembedahan.
Berat badan yang bertambah sememangnya menjadi faktor risiko berlakunya OSA.

Terbaik, berbincang dengan doktor untuk mendapatkan rawatan terbaik.


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1226&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_01.htm

Sunday, December 19, 2010

Khatan wanita masih popular



SEORANG kanak-kanak perempuan meronta ketika mudim wanita melakukan prosedur khatan. - Gambar hiasan


BAGI sebahagian besar masyarakat Islam di negara ini, mengkhatankan bayi perempuan dianggap sebagai satu tuntutan agama walaupun secara dasarnya ia bukan amalan yang wajib dilaksanakan.
Rata-ratanya percaya, bersunat boleh mempengaruhi kesihatan sepanjang hayat sama ada untuk lelaki mahupun wanita.
“Bersunat bagi wanita bertujuan untuk menjaga kebersihan selain daripada mengawasi kesihatan batin.
“Menurut petua orang-orang lama juga, berkhatan dapat memelihara diri daripada mendapat pelbagai penyakit.
“Ia juga merupakan satu cara untuk mendoakan zuriat menjadi perempuan yang baik dan solehah apabila dewasa nanti,” jelas pengamal perbidanan tradisional, Nikmah Suhaidi, 49, ketika ditemui Jurnal di rumahnya di pekan Dengkil, Selangor baru-baru ini.
Amalan dituntut
Mewarisi kepakaran turun-temurun daripada keluarga sebelah ibunya, wanita berketurunan Melayu Boyan ini sudah 18 tahun menyunatkan kaum Hawa.
“Selain bayi, saya juga menyunatkan wanita dewasa, sama ada wanita Melayu yang tidak pernah bersunat mahupun wanita yang baru memeluk Islam. Ada yang masih muda, ada juga yang sudah beranak-pinak,” ujarnya.
Menurut Nikmah, wanita mualaf memilih untuk berkhatan kerana mereka menganggap ia sebagai ritual pembersihan selain membuktikan kesediaan mereka untuk menjalani kehidupan sebagai wanita Islam.
“Ia bukan paksaan, tetapi amalan yang dituntut. Selain itu, saya juga percaya, berkhatan mampu memelihara gelora nafsu dan mengurangkan rangsangan berlebihan terhadap kaum Adam.
“Saya tidak pasti sama ada terdapat kajian yang jelas tentang sunat mampu mengawal nafsu berahi wanita.
“Namun, menurut pengalaman saya, sudah beberapa kali wanita dewasa yang dikhatankan mengakui lebih mudah mengendalikan rangsangan seksual mereka,” katanya yang pernah mengkhatankan beberapa orang pekerja seks sebelum ini.
Mengupas lebih lanjut kaedah berkhatan bagi perempuan, Nikmah memberitahu, lazimnya bayi perempuan disunatkan ketika masih kecil, seeloknya beberapa hari selepas dilahirkan.
Namun, ada juga ibu bapa yang memilih untuk menunggu hingga setahun sebelum mengkhatankan anak masing-masing.
Kerat 1.3 sentimeter
“Bersunat bagi perempuan ialah dengan memotong sebahagian muncung daging yang tersembul berdekatan saluran kemaluan wanita. Ia terletak di sebelah atas faraj yang kelihatan seakan-akan bonjolan.

SEORANG wanita menenangkan anaknya dalam satu prosedur berkhatan khusus untuk wanita di Indonesia. - Gambar hiasan


“Bagi wanita dewasa, daging yang dipotong kira-kira setengah inci (1.3 sentimeter).
“Alat yang digunakan untuk memotong ialah mata pisau cukur yang dipotong empat untuk bayi dan gunting kecil untuk wanita dewasa,” ujarnya.
Selain itu, kelengkapan lain yang diperlukan dalam adat berkhatan ialah kain putih yang bersih, minyak gamat, kain kapas dan duit syiling lima sen.
“Kain putih biasanya akan disediakan sendiri oleh pihak yang ingin dikhatankan. Bagi bayi perempuan, kain yang diperlukan ialah sepanjang satu meter dan dua meter bagi wanita dewasa.
“Kain tersebut akan digunakan sebagai alas punggung selain untuk membungkus duit syiling sebagai pelapik mata pisau cukur bagi mengelak mata pisau menoreh tangan.
“Bagi wanita dewasa pula, selain dijadikan alas, kain putih juga digunakan untuk membungkus daging yang digunting sebelum ditanam,” tambahnya.
Sungguhpun masih mengekalkan berkhatan cara lama, Nikmah tidak pernah berkompromi tentang kebersihan. Setiap peralatan seperti kain, mata pisau dan gunting, akan dicuci bersih sebelum digunakan.
Malah, bekas bidan di klinik swasta ini juga tidak akan menggunakan peralatan yang sama untuk pelanggan berbeza.
“Kain, mata pisau dan gunting akan digunakan sekali saja. Ia akan dibungkus dan ditanam bersama daging yang dipotong tadi. Ini untuk mengelakkan jangkitan kuman dan komplikasi lain.
Tambah Nikmah, untuk memudahkan proses berkhatan, seelok-eloknya kita memulakan dengan selawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W.
Tanpa sebarang suntikan bius atau ubat pelali, Nikmah melakukan tugasnya dengan berbekalkan ayat suci al-Quran selain selawat.
“Selesai berkhatan, saya akan memandikan mereka dengan air limau sambil membaca selawat, ia bertujuan untuk membersihkan diri dan menjauhi perkara tidak baik daripada berlaku,” ujarnya yang pernah mengkhatankan bayi yang baru lahir hinggalah wanita dewasa berusia 50 tahun.

Keliru buasir atau kanser


DR. YUNUS GUL


BUASIR merupakan masalah biasa masyarakat moden kini. Dikatakan separuh daripada jumlah populasi berhadapan dengan masalah ini.
Buasir merupakan kusyen vaskular yang bertindak sebagai penghadang setiap kali membuang air besar.
Ia akan menutup dubur secara menyeluruh dengan lembut bagi mengelakkan kebocoran najis ataupun cecair.
Ia merupakan komponen normal dalam anatomi manusia.
Masalah timbul apabila berlaku pembengkakan pada kusyen vaskular akibat tekanan atau stres yang diberikan pada rektum berikutan aktiviti meneran.
Keadaan ini akan mengakibatkan pesakit berasa kurang selesa.
Faktor yang menyebabkan buasir atau hemoroid membengkak masih tidak jelas dan berbeza mengikut pesakit.
Bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa ia berpunca daripada peneranan melampau ketika membuang air besar, pemakanan yang tidak sihat, kurang bersenam, faktor usia yang melemahkan tisu dan semasa mengandung ekoran perubahan hormon.
Sakit
Simptom utama penghidap buasir adalah pendarahan pada hujung proses membuang air besar yang boleh dilihat pada najis, kadangkala menitik dan juga ketika mencuci.
Selain itu, pesakit akan merasakan terdapat lebihan isi atau kulit yang tersembul di luar lubang dubur yang mendatangkan rasa kurang selesa, gatal dan sakit. Tetapi tidak semua pesakit buasir akan berasa sakit.
Menurut Pakar Bedah Kolorektal, Pusat Perubatan Prince Court, Prof. Dr. Yunus Gul Alif Gul, ramai pesakit yang tidak mengendahkan untuk mendapat rawatan.
“Apa yang membimbangkan adalah simptom buasir menyamai simptom kanser kolorektal atau gabungan kolon dan rektum iaitu pendarahan.
“Namun, pendarahan bagi pesakit kanser kebiasaannya keluar bersama najis dan kadangkala diselangi dengan lendir,” katanya.
Oleh itu, bagi mereka yang mempunyai masalah pendarahan ketika membuang air besar, seelok-eloknya berjumpa doktor bagi menentukan masalah sebenar.
Apabila pesakit sudah mendapat diagnosis buasir, doktor akan memberi nasihat supaya menukar diet dan juga gaya hidup seperti tidak terlalu meneran semasa membuang air besar, mengurangkan pengambilan daging merah, memperbanyakkan pengambilan serat dan buah-buahan serta minum banyak air.
Bagaimanapun, menurut Yunus, gaya hidup masyarakat kini seperti pelajar di asrama dan suami isteri yang bekerja cenderung membeli makanan di luar.
“Pengambilan makanan segera ataupun makanan yang telah diproses juga boleh mendatangkan kemudaratan.
“Seeloknya pastikan makanan yang hendak dibeli itu segar dan berkhasiat.
“Mereka yang gemar membaca di dalam bilik air juga boleh mendapat buasir kerana mereka berada dalam kedudukan duduk atau mencangkung yang secara tidak langsung melibatkan peneranan walaupun proses pembuangan najis telah selesai.
“Ia secara tidak langsung memberikan tekanan pada rektum menyebabkan tisu-tisu yang menyokong menjadi lemah,” ujarnya.
Ramai pesakit memilih perubatan tradisional bagi mengubati buasir ekoran malu berjumpa doktor dan takut menjalani pembedahan.
Ramai yang lebih suka untuk bertanya kepada rakan-rakan, ahli farmasi ataupun pengamal perubatan tradisional mengenai ubat-ubatan yang sesuai berbanding mendapat rundingan doktor.
Alternatif
Yunus memberitahu, tiada salahnya bagi pesakit untuk mencuba perubatan tradisional seperti pengambilan herba asalkan mereka tahu penyakit mereka berada di tahap mana.
“Jika buasir berada di tahap satu atau dua, tiada salahnya mereka mencuba perubatan alternatif kerana tahap ini boleh diubati dengan pengambilan ubat sahaja.
PEMBEDAHAN dapat memulihkan masalah buasir.


“Namun, jika sudah kritikal, mereka tiada pilihan kecuali melakukan pembedahan membuang buasir tersebut,” katanya.
Mungkin ramai yang memilih perubatan alternatif kerana takut menjalani pembedahan yang dikatakan amat menyakitkan.
Bagaimanapun, teknologi baru membolehkan pembedahan dilakukan tanpa kesakitan melampau dan pulih dalam masa yang sangat singkat.
Ini termasuk ligasi pita getah menggunakan satu atau dua pita getah yang kecil yang akan diikat di sekitar dasar buasir dalaman untuk menghentikan pengedaran darah.
Dalam masa beberapa hari, buasir itu akan tertanggal sendiri tanpa rasa sakit.
Kaedah Ligasi Arteri Buasir (HAL) pula menggunakan alat ultrabunyi Doppler yang dimasukkan ke dalam anus untuk mengenal pasti lokasi sebenar arteri yang membekalkan darah.
Oleh kerana jahitan tidak dilakukan di dalam anus sebaliknya di hujung rektum, ia mengurangkan kesakitan.
Manakala Longo atau Procedure for Prolapse and Haemorrhoids (PPH) merupakan antara kaedah terbaru yang menggunakan sejenis alat seperti stapler.
Prosedur ini mengambil masa hanya 20 minit dan tiada luka yang perlu dirawat selepas prosedur dijalankan.



http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1212&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_01.htm

PMS indikasi kesuburan





FARISYA Rahman, 25, merupakan seorang gadis yang aktif, periang, bertenaga dan sering membuatkan teman-teman di sekelilingnya ketawa apabila melayan setiap patah bicara dan keletahnya.
Namun, pada masa-masa tertentu setiap bulan dia akan menjadi pendiam, pucat dan pergerakannya juga terbatas. Malah, adakalanya Farisya akan menjadi emosi dan marah-marah tanpa sebab.
Pada masa itu, rakan-rakannya sudah tahu mengapa dia berkelakuan sedemikian.
"Hmm...datang bulanlah tu..." Terpacul sebaris ayat yang begitu klise dilontarkan terhadap kaum Hawa daripada rakan sekerja yang sudah lali dengan perubahan Farisya setiap bulan.
"Itulah yang saya hadapi setiap bulan ketika haid. Pantang ada orang cakap silap sikit, pasti saya akan marah-marah tidak tentu pasal. Keadaan ini menyebabkan ada segelintir rakan-rakan menjauhkan diri sepanjang tempoh tersebut," kata eksekutif di sebuah syarikat swasta itu.
Berlainan pula dengan Nurul Ain Rosly, 20, yang selalu menahan kesakitan akibat senggugut setiap kali haid.
"Hari pertama haid memang menyakitkan. Adakalanya, saya mengerekot baring di dalam bilik dan tidur kerana tidak betah melakukan kerja lain. Perut rasa memulas seperti mahu membuang air besar.
"Bagi mengurangkan kesakitan, apa yang saya lakukan adalah minum segelas milo O panas. Bukan saya sahaja, kawan saya juga mengalami masalah yang sama. Akibat kesakitan yang tidak tertahan, dia mengerekot baring di kaki lima ketika mahu pergi membeli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman," cerita pendidik itu.
Gangguan rutin
Mungkin itu senario yang biasa anda hadapi atau lihat yang berlaku di tempat kerja, sekolah, kuliah, di tempat awam dan sebagainya.
Kitaran haid bukanlah sesuatu yang asing dalam diari seorang wanita. Ia dikenali dengan banyak nama seperti rakan karib, bendera Jepun, The Curse atau ta yee mah.
Walau apapun namanya, kehadiran singkat dalam kehidupan kaum Hawa setiap bulan disambut dengan pelbagai ragam dan reaksi akibat perubahan hormon sehingga ia mengganggu rutin wanita.
Ada segelintir wanita pula mengeluh pada waktu haid kerana ia dianggap mengganggu perjalanan hidup mereka dalam tempoh sekurang-kurangnya seminggu.
Mungkin ramai wanita tertanya-tanya, mengapakah kitaran haid menjadi punca ramai di antara mereka tidak senang duduk, mengurung diri, personaliti berubah, emosi di luar kawalan dan tidak kurang pula yang terpaksa mengambil cuti semata-mata untuk menyambut haid yang menyakitkan?
"Haid ialah pendarahan daripada faraj. Ia adalah perkara normal yang berlaku pada tubuh gadis yang mencapai akil baligh dan ia akan berhenti apabila seseorang itu mencecah lingkungan usia 50 tahun.
"Sebelum seseorang gadis mendapat haid pertama, dia perlu mempunyai struktur otak yang normal, hormon yang seimbang dan organ reproduktif iaitu ovari, uterus serta faraj yang normal," kata pakar obstetrik dan ginekologi(O&G), Profesor Madya Dr. Harlina Halizah Siraj ketika menyampaikan forum interaktif mengenai haid anjuran PT Softex Indonesia. PT Softex Indonesia merupakan pengeluar utama tuala wanita di Indonesia.
Perubahan hormon
Setiap bulan, ovari akan mengeluarkan telur. Proses tersebut dikenali sebagai pengovuman. Pada waktu itu, perubahan hormon berlaku bagi menyediakan rahim untuk kehamilan.
Jika pengovuman berlaku tetapi telur tidak disenyawakan, lapisan di dinding rahim akan gugur melalui faraj yang dikenali sebagai haid.
"Sesetengah wanita menghadapi kejang perut atau senggugut di bawah abdomen ketika haid bermula. Ia menyebabkan aktiviti seharian mereka terganggu.
"Amalkan menuam abdomen bagi mengurangkan rasa sakit," ujarnya berkongsi tip.
Kesakitan yang kerap dialami oleh wanita sebelum atau menjelang haid ialah sindrom sebelum haid (PMS). Ia merujuk kepada simptom fizikal dan emosi.
Antara simptomnya termasuklah keletihan, kekejangan abdomen dan sakit kepala. Selain itu masalah kembung perut merupakan perubahan fizikal yang dialami manakala ketidakstabilan emosi, keresahan dan kemurungan pula merupakan perubahan dari aspek mental.

WAKIL media yang hadir pada forum interaktif mengenai haid di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Sesetengah kajian menunjukkan PMS berlaku kerana hormon progesteron yang dirembeskan selepas berlakunya ovulasi.
"Jika kita berasa sakit janganlah mengeluh kerana PMS menunjukkan seseorang itu sedang berovulasi. Itu petanda seseorang itu subur," katanya.
Namun, ramai mengaitkan kesakitan yang dialami kerana melanggar pantang larang ketika haid. Antaranya termasuklah minum air kelapa, makan buah nanas, tembikai dan minuman berkarbonat.
Ada pula yang memberikan petua supaya minum air halia bagi mengelakkan kesakitan. Sejauh manakah kebenarannya?
Dr. Harlina memberitahu, senario tersebut merupakan petua orang lama yang seringkali didengar.
"Sebagai contoh, ketika haid tidak boleh makan nanas kerana jika makan nanas ia akan menyebabkan darah haid keluar dengan banyaknya.
"Kita sering mengamalkan pantang larang yang kita pelajari daripada ibu kita dan mereka pula mempelajari daripada ibu mereka seperti pantang minum air kelapa atau makan nanas semasa haid tetapi tiada bukti klinikal bahawa ia berasas. Semuanya di minda kita, ia dikenali sebagai kesan plasebo," ujarnya.
Sehubungan itu Dr. Harlina menasihatkan supaya mereka yang mengalami PMS mendapatkan nasihat daripada pakar diet tentang pemakanan yang betul.
Penjagaan diet yang betul dapat membantu wanita menyesuaikan edaran haidnya, mengurus kekejangan perut dan mengurangkan senggugut.
Beliau memberitahu, ramai di kalangan pesakitnya mengadu mengenai kitaran haid yang tidak menentu.
"Ada beberapa faktor yang menyebabkan ketidaktentuan kitaran haid iaitu ketidakseimbangan hormon, perubahan gaya hidup kerana stres atau hampir menopaus.
"Daripada membuat diagnosis sendiri atau membandingkan pengalaman dengan orang lain, adalah lebih baik berjumpa dengan pakar ginekologi atau sakit puan," sarannya.
Elakkan kafein
Sementara itu, seorang kakitangan swasta yang mahu dikenali sebagi Fadzli Omar, 33, berkata, pada peringkat awal berkahwin beliau juga amat sukar memahami simptom PMS yang dialami isterinya.
Anak bongsu daripada empat beradik yang kesemuanya lelaki itu mengakui dia amat tertekan dengan sikap isterinya setiap kali mengalami pusingan haid.
"Adakalanya kami bergaduh hanya kerana perkara-perkara kecil kerana isteri saya menjadi sangat sensitif.
"Lama-kelamaan saya mula memahaminya dan memberi sokongan. Adakalanya isteri saya terpaksa mengambil ubat tahan sakit kerana senggugutnya agak teruk atau menuam bahagian bawah perut dengan air panas," kata bapa kepada tiga anak itu.
Pakar dietetik Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Prof. Madya Dr. Shariza Abdul Razak menegaskan wanita yang mengalami masalah senggugut perlu menghindari makanan yang mengandungi gula terproses seperti coklat, gula-gula dan air berkarbonat.
"Walaupun makanan ini dikatakan boleh menenangkan tetapi ia boleh meningkatkan kekejangan pada abdomen dan rahim selepas beberapa jam dimakan," ujarnya.
Selain itu, makanan yang mempunyai kandungan garam yang tinggi seperti makanan dalam tin, kerepek dan bertih jagung perlu dielakkan.
"Sebelum haid wanita akan mengalami penambahan berat badan beberapa kilogram (kg) dan sekali gus menyebabkan timbulnya simptom retensi (pengumpulan) air dalam badan.
"Sehubungan itu, dengan pengambilan makanan bergaram yang tinggi, kesannya akan menjadikan lebih banyak air terkumpul dalam badan dan mengundang ketidakselesaan," tegasnya ketika dihubungi.
Dr. Shariza juga tidak menggalakkan wanita yang mengalami simptom senggugut meminum air yang tinggi kandungan kafein seperti kopi. Begitu juga makanan yang mengandungi lemak seperti daging merah dan aiskrim kerana ia menyebabkan salur darah mengecut dan mengundang kesakitan pada bahagian abdomen.
Sehubungan itu, beliau menyarankan wanita yang mengalami masalah ketika haid mengambil sajian yang berbijirin penuh untuk mengelakkan rasa letih dan tidak bermaya.
"Selain itu juga, sayur-sayuran dan buah-buahan akan menyumbang kepada kandungan vitamin tambahan dalam badan.
"Malah, makanan yang mengandungi asid lemak omega 3 seperti ikan dan makanan yang mengandungi vitamin B kompleks amat digalakkan selain pengambilan air dalam kuantiti yang banyak untuk menggantikan cecair yang hilang ketika haid," tegasnya.


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1220&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm