"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Thursday, May 7, 2020

“KEMAKMURAN DAN KESEJAHTERAAN BERSAMA”

KHUTBAH JUMAAT – 27 JAMADIL AKHIR 1441 / 21 FEBRUARI 2020

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلْ:
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ ﴿٩٦﴾

Maksudnya: “Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan”. (Surah Al-A’araf ayat 96)
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلا اللهِ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اِتَّقُوا اللهَ، أُصِيكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ. فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri saya sendiri dan sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Ta’ala, yakni dengan mentaati perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Para jamaah diingatkan agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap. Mudah-mudahan kita mendapat manfaat dan pahala Jumaat kita tidak sia-sia. Mimbar hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk; “Kemakmuran Dan Kesejahteraan Bersama”.

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

Bersempena dengan sambutan Hari Anti-Dadah Peringkat Kebangsaan pada 19 Februari setiap tahun, mimbar ingin mengingatkan para jamaah sekalian bahawa dadah merupakan salah satu punca utama berlakunya jenayah dan maksiat. Dadah adalah ancaman kepada kemakmuran dan kesejahteraan masyarakat dan negara. Lihat apa yang berlaku hari ini, seperti jenayah mencuri, merompak, rogol, bunuh, merempit dan lain-lain lagi, kebanyakannya berpunca daripada pengambilan dadah.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Demi menjamin negara kita kekal dalam kemakmuran dan sejahtera dari pelbagai masalah sosial termasuk ancaman dadah, setiap ahli masyarakat dari segenap lapisan mesti berperanan mengikut kemampuan masing-masing bagi mencegah pelakuan jenayah dan penagihan dadah dalam masyarakat. Daripada Saiyidina Abu Sa’id Al-Khudri r.a, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ

Maksudnya: “Sesiapa dalam kalangan kamu yang melihat kemungkaran hendaklah dia mengubahnya dengan tangan, sekiranya dia tidak mampu hendaklah mengubahnya dengan lidah, sekiranya dia tidak mampu hendaklah mengubahnya dengan hati, dan mengubah dengan hati adalah selemah-lemah iman”. (Hadits riwayat Muslim no. 49)

Setiap individu memerlukan kehidupan yang aman, makmur dan sejahtera dalam semua hal. Keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan hanya dapat dicapai melalui sikap positif masyarakat yang saling menghormati dan menyayangi antara satu sama lain. Ketaqwaan kepada Allah s.w.t hendaklah dijadikan asas dalam setiap perbuatan.

Namun kebelakangan ini, pelbagai isu gejala sosial yang berkait dengan penyalahgunaan dadah mula muncul dalam masyarakat. Pelbagai andaian, hujjah, cadangan, program dan aktiviti bagi menangani gejala sosial telah diutarakan. Gejala sosial yang sedang berlaku merupakan satu petunjuk kepada kelemahan masyarakat dalam membudayakan pembangunan insan yang positif berteraskan prinsip-prinsip Islam dan nilai-nilai kemanusiaan. Bahkan gejala sosial ini menjadi duri dalam daging kepada pembangunan negara dan negeri khususnya.

Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD), telah mengesahkan bahawa penyalahgunaan dadah masih menjadi musuh nombor satu negara. Bangsa melayu beragama Islam merupakan yang paling ramai terlibat. Kenyataan ini berdasarkan profil penagih dadah antara tahun 2014 hingga 2019, di mana seramai 128,261 orang penagih telah dikesan bagi tempoh 6 tahun. Daripada jumlah tersebut, seramai 103,187 orang penagih iaitu 80.4 % adalah daripada kalangan bangsa melayu.

Ini membuktikan, bahawa gejala sosial serta isu dadah yang melanda masyarakat pada hari ini amat membimbangkan. Bagaimanakah ini boleh berlaku? Siapakah yang terlibat? Bagaimana cara untuk menanganinya adalah beberapa persoalan yang sering diutarakan dalam kalangan anggota masyarakat.

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah sekalian,

Dalam konteks ini, mimbar mendapati bahawa aspek memelihara kemakmuran dan kesejahteraan, sebenarnya berkait rapat dengan keimanan yang menjadi benteng kekuatan hati untuk menjauhi perkara yang dibenci oleh Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-An’aam ayat 82:

الَّذِينَ آمَنُوا وَلَمْ يَلْبِسُوا إِيمَانَهُم بِظُلْمٍ أُولَٰئِكَ لَهُمُ الْأَمْنُ وَهُم مُّهْتَدُونَ ﴿٨٢﴾

Maksudnya: “Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman, mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk”.

Daripada Saiyidina Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda:

الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ وَالْمُؤْمِنُ مَنْ أَمِنَهُ النَّاسُ عَلَى دِمَائِهِمْ وَأَمْوَالِهِمْ

Maksudnya: “Seseorang muslim ialah (apabila) muslimin (yang lain) selamat daripada (keburukan) lidahnya dan tangannya, dan orang yang beriman pula ialah orang yang dipercayai oleh orang lain dalam menjamin nyawa dan harta benda mereka”. (Hadits dipetik dari Sunan Termidzi no. 2627)

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Di saat yang penuh dengan keberkatan ini, mimbar menyeru sidang jamaah sekalian marilah kita sama-sama berdoa ke hadrat Allah s.w.t agar dikurniakan kemakmuran dan kesejahteraan serta perlindungan kepada negara Malaysia dan seluruh rakyatnya walau di mana sahaja berada. Semoga kedaulatan negara terus terpelihara dan terhindar daripada segala mara bahaya. Sebagai intipati khutbah yang boleh menjadi pegangan sidang jamaah sekalian, antaranya:

Pertama: Memelihara kemakmuran dan kesejahteraan negara adalah tanggungjawab bersama untuk memastikan kedaulatan negara terus terpelihara.

Kedua: Usaha melestarikan kedaulatan dan kemakmuran negara perlu dilipat gandakan seiring dengan cabaran globalisasi untuk menutup ruang yang boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan negara. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Maidah ayat 16:

يَهْدِي بِهِ اللَّهُ مَنِ اتَّبَعَ رِضْوَانَهُ سُبُلَ السَّلَامِ وَيُخْرِجُهُم مِّنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ بِإِذْنِهِ وَيَهْدِيهِمْ إِلَىٰ صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ ﴿١٦﴾

Maksudnya: “Dengan (Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaan-Nya, dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, dengan izin-Nya; dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus”.

Kaum muslimin yang dikasihi Allah,

Mengakhiri khutbah pertama, mimbar menyeru umat Islam sekalian, marilah kita bekerjasama memerangi jenayah dadah dan menutup segala ruang gejalanya. Kepada ibu bapa, luangkanlah masa dengan memberi perhatian kepada anak-anak, agar hidup mereka tidak terjebak dengan perkara-perkara yang tidak sihat yang pastinya akan merugikan. Disiplinkanlah hidup mereka, ajaklah mereka untuk berkongsi pandangan dan masalah mereka, sebagai satu tanggungjawab bersama demi agama dan umat Islam.

Marilah kita kembali memperkukuhkan keimanan kepada Allah, memperbanyakkan amal kebajikan, menjalankan tugas dengan jujur, dan menjauhi segala perbuatan dosa. Perbanyakkan beristighfar, semoga segala kesalahan yang kita lakukan, diampunkan oleh Allah s.w.t.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru para jamaah agar berpegang teguh kepada aqidah Islamiyah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah s.a.w, sahabat dan tabi’in, hingga kepada kita hari ini. Mimbar turut berpesan, jagalah hubungan baik kita dengan Allah dan sesama manusia. Makmurkanlah rumah-rumah Allah dengan istiqamah dengan mengerjakan solat fardu berjamaah. Walaupun sesibuk mana pun kita bekerja, janganlah sekali-kali tinggalkan solat. Mudah-mudahan kita mendapat naungan Allah, di dunia dan akhirat.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Kemalangan maut akibat pemandu mabuk semakin hari semakin meningkat. Ini merupakan bukti-bukti nyata betapa benarnya Islam mengharamkan arak. Sudah tiba masanya pihak pemerintah lebih serius menguatkuasakan undang-undang pemanduan di dalam keadaan mabuk. Bahkan membenarkan arak diminum di khalayak ramai hendaklah ditegah sama sekali kerana ia bertentangan dengan agama Islam sebagai agama persekutuan. Islam ketika mengharamkan sesuatu, sudah tentu kerana ia mendatangkan mudarat yang lebih besar. Sama-samalah kita menjauhi arak dan berhati-hati di jalanraya, mudah-mudahan kita dan keluarga kita terselamat dari ditimpa bahaya.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي فَلَسْطِينِ وَفِي الْأُوْيغُوْر وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.

اللَّهُمَّ سَلِّمْنَا، وَسَلِّمْ دِينَنَا، وَسَلِّمْ أَوْلَادَنَا، وَسَلِّمْ إِخْوَانَنَا، وَسَلِّمْ مِنْ مُسْلِمِينْ، وَسَلِّمْ شَعْبَ مَالِيزِيَا يَا الله مِنْ كُلِّ بَلَاءٍ، وَوَبَاءٍ، وَضِيقٍ، وَهَمٍّ، وَفِتْنَةٍ، وَغَمٍّ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَنْ بِلَادِنَا هَذَا خَاصَّة، وَعَنْ بُلْدَان مُسْلِمِينَ عَامَّة، يَا أَكْرَمَ الأَكْرَمِين، يَا أَرْحَمَ الرَّحِمِينَ.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.

No comments: