"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Tuesday, January 18, 2011

Bilangan pesakit mental meningkat



BILANGAN pesakit mental seperti dua beradik ini, Mohd. Mozamri Dasan (kiri) dan Tarmizi semakin meningkat ekoran tekanan hidup zaman moden.- Gambar hiasan



PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan bimbang tentang peningkatan masalah kesihatan mental di kalangan rakyat negara ini dengan bilangan pesakit yang menerima rawatan di hospital kerajaan sepanjang tahun lalu meningkat 15.6 peratus atau sebanyak 400,227 orang.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, angka itu mencatat peningkatan 15.6 peratus berbanding tahun 2009.

"Menjelang tahun 2020, salah satu daripada gangguan mental iaitu kemurungan dijangka menduduki tempat kedua dari segi beban penyakit selepas penyakit jantung," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental di sini semalam.

Beliau berkata, untuk membendung gejala ini di peringkat usia muda, pihaknya akan memfokuskan kepada aktiviti mempromosi minda sihat dan pencegahan penyakit mental termasuk pelaksanaan Program Menangani Stres di sekolah sepanjang tahun ini.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0119&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Monday, January 17, 2011

Perubahan hormon sebabkan murung



Individu yang mengalami kemurungan akan hilang keyakinan, berasa rendah diri, kurang bermaya dan hidup dalam dunia mereka sendiri. - Gambar hiasan


RASA sakit serta lesu seluruh badan biasanya disebabkan keletihan dan bebanan kerja di pejabat.

Namun tidak ramai daripada kita yang mengaitkannya kelesuan tersebut dengan masalah kemurungan.

Keadaan itu menyebabkan ramai mereka tidak menyedari mengalami kemurungan dan mempunyai masalah tersebut kerana menyangkakan sakit badan yang dialami adalah sakit biasa.

Namun tahukah anda bahawa sesiapa saja boleh mengalami masalah kemurungan tidak mengira usia, jantina atau bangsa.

Malah pada kanak-kanak seawal usia lima tahun pun tidak terkecuali. Cuma simptom mereka berbeza daripada orang dewasa.

Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) 1999 menunjukkan kemurungan adalah penyakit keempat utama di dunia yang boleh menyebabkan hilang keupayaan dan menambahkan kesengsaraan.

Sesetengah orang mungkin tidak mendapatkan rawatan kerana beranggapan ia akan hilang dengan sendiri.

Malah, ada beranggapan bahawa kemurungan adalah satu kelemahan atau kegagalan peribadi yang perlu ditangani sendiri.

Ada pula yang tidak sedar bahawa terdapat rawatan perubatan yang berkesan untuk kemurungan.

Kajian Bebanan Penyakit dan Kecederaan Malaysia (2000) melaporkan kemurungan menjadi punca ketidakupayaan utama di kalangan wanita dan tempat kedua bagi lelaki yang dipercayai disebabkan perubahan hormon.

Perunding Psikiatrik Pusat Perubatan Gleaneagles Intan, Dr. Nor Hamidah Mohd. Salleh berkata, pesakit yang mengalami masalah kemurungan kebiasaannya akan hilang keyakinan, berasa rendah diri, kurang bermaya dan hidup dalam dunia mereka sendiri.

Keadaan itu, jika tidak dirawat segera, akan menjadi bertambah teruk sehingga ke tahap bertindak ganas.

"Disebabkan itu, mereka perlu mendapatkan nasihat doktor selain ubat-ubatan bagi memastikan keadaan tidak berlarutan," katanya.

Tegasnya, penyakit murung biasanya tidak mengenal usia. Keadaan ini dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti tanggungjawab dan budaya, terutamanya bagi wanita yang mempunyai banyak tanggungjawab sebagai pekerja, pengurus rumah tangga, isteri dan ibu kepada anak-anak.

Mengikut kajian kejadian kemurungan di kalangan wanita adalah lebih tinggi berbanding lelaki kerana sikap mereka yang sedia bertanggungjawab dan mengambil tahu setiap perkara secara serius.

Kebiasaannya, kemurungan di kalangan wanita ditunjukkan melalui gejala tidak bersemangat dalam kehidupan.

Bagaimanapun keadaan itu berbeza dengan kaum Adam yang lebih suka meluahkan perasaan marah itu melalui perbuatan.

http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0118&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_01.htm

Jalani kehidupan seks secara sihat

SEBAGAI pasangan suami isteri adakah anda menikmati kehidupan seks sepuasnya? Atau anda tidak pasti akan jawapannya sehingga kadang kala membuat perbandingan kehidupan seks anda dengan rakan anda.

Sebenarnya tindakan itu salah. Jangan sesekali membuat perbandingan tersebut kerana ia hanya mengundang padah dalam perhubungan suami isteri.

Hakikat sebenarnya, sesebuah perhubungan kelamin suami isteri itu unik. Setiap pasangan mempunyai cara yang berbeza mengemudikannya.

Apa yang baik untuk orang lain tidak semestinya baik untuk anda. Ada beberapa panduan yang boleh digunakan sebagai ukuran adakah anda menjalani kehidupan seks yang sihat atau sebaliknya.

Tanda pertama - Perhubungan anda sihat

Pasangan suami isteri yang sihat, akan sentiasa berbicara tentang apa yang berlangsung dalam kehidupan mereka.

Mereka tidak membataskan diri tentang isi perbualan termasuk dalam isu perhubungan seks. Jika terdapat sesuatu yang tidak kena ataupun kepuasan seks yang dihajati tidak tercapai, mereka akan menyuarakannya.

Pasangan yang sihat juga lebih realistik dan memahami kemampuan pasangan masing-masing.

Tanda 2 - Eksperimen dalam bilik tidur

Pasangan suami isteri yang suka melakukan eksperimen dalam hubungan kelamin adalah tanda mereka berpuas hati dengan kehidupan seks mereka.

Jangan salah faham, apa yang dimaksudkan di sini bukanlah seks melampau yang tidak dituntut syarak.

Eksperimen yang dicadangkan cukuplah dengan mengajak pasangan sesekali menukar posisi, mencuba beberapa gaya terbaru atau boleh juga menukar lokasi seperti di kerusi atau sofa.

Katil bukanlah tempat yang wajib untuk hubungan seks. Dengan mencuba idea terbaru ini bukan sahaja mudah malah membuktikan kebahagiaan anda berdua.

Tanda 3 - Ikhlaskan hati untuk hubungan seks

Pernahkah anda terasa bahawa hubungan seks kini berbeza dengan ketika di awal perkahwinan?
Sudah bertahun kahwin, jadi seks itu umpama kewajipan asas suami isteri sahaja. Ia bukan lagi sesuatu yang dinikmati dengan penuh perasaan. Padahal seks adalah satu perkara yang anda dan pasangan lakukan dengan penuh keseronokan.

Pastikan anda menikmati puncak kenikmatan dan melakukannya kerana keikhlasan hati untuk pasangan anda.

Tanda 4 - Seks sebagai rutin dalam perhubungan

Bukanlah sesuatu yang pelik untuk meletakkan seks sebagai perkara terakhir dalam sesuatu perhubungan. Dalam situasi di mana anda mempunyai sebuah keluarga, anak-anak dan pekerjaan seks menjadi perkara yang sukar untuk dilakukan setiap hari.

Pasangan yang sentiasa cuba mewujudkan masa untuk hubungan seks sekerap mungkin adalah pasangan yang mempunyai perhubungan seks yang sihat. Jadilah lebih spontan.

Tanda 5 - Seks bukan sekadar hubungan, ia lebih dari itu

Seks lebih dari sekadar hubungan kelamin. Gurau senda dan sentuhan awal amat penting untuk hubungan seks yang sihat dan ceria. Pastikan anda lebih kreatif setiap hari supaya ada kejutan untuk pasangan anda.

Sebagai contoh, tinggalkan nota-nota indah atau boleh juga menghantar hadiah secara mengejut ke pejabat.

Tindakan ini boleh membuatkan pasangan anda teruja. Walaupun lepas seks berakhir anda masih romantik, itulah tanda hubungan seks anda sesuatu yang sihat. Jika salah satu tanda di atas ada menerangkan tentang kehidupan seks anda, maka anda boleh menikmati kehidupan seks yang sihat dan gembira.

http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0118&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_02.htm

Soya kurangkan risiko kanser

APABILA menyebut 'kanser', pesakit pasti hanya terbayang kematian terutama di kalangan mereka yang disahkan sudah ke tahap lanjutan rawatan seperti kemoterapi atau radioterapi.

Lebih-lebih lagi, penyakit itu membawa perubahan besar gaya hidup pesakit dan juga memberikan kesan lain termasuk perubahan penampilan, emosi yang tidak menentu dan bebanan kewangan.

Kini, dengan ledakan teknologi moden dan pengesan awal terhadap pembunuh nombor satu wanita itu mampu mengurangkan risiko berlakunya kanser.

Malah bukan lagi rahsia, melalui pemakanan yang berasaskan soya ia mampu mengurangkan risiko terjadinya kanser payu dara di kalangan wanita.

Perkara terbukti apabila satu kajian secara klinikal telah dilakukan oleh Yayasan Penyelidikan Kesihatan Awam Tokyo, di bawah Kumpulan Penyelidikan Bakteria Asid Laktik dan Kanser Payu Dara .

Penyelidikan dilakukan oleh pensyarah di Jabatan Pembedahan, Universiti Kyoto, Jepun, Dr. Masakazu Toi bersama seorang pensyarah dari Jabatan Biostatistik di universiti sama, Dr. Yasuo Ohashi. Mereka mendapati pengambilan soya dan juga pengambilan minuman yang mengandungi bakteria Strain Shirota iaitu minuman susu kultur, Yakult, secara tetap dan berterusan mampu mengurangkan risiko yang boleh membawa kepada kanser payu dara.

Malah, dalam kajian yang dilakukan oleh penyelidik ini mendapati wanita yang mengambil makanan berasaskan soya dan minuman susu kultur dilihat kurang berpotensi untuk di jangkiti dengan kanser payu dara.

Kajian itu mendapati pengambilan secara tetap setiap hari produk yang mengandungi bakteria Lactobacilus casei Shirota (LcS) semenjak usia remaja mampu mengurangkan risiko seseorang wanita itu terkena kanser payu dara.

''Ini terbukti kerana komponen di dalam makanan yang berasaskan soya dan LcS mempunyai fungsi yang boleh melindungi daripada kejadian kanser payu dara dan sekali gus mengatasi masalah kesihatan di kalangan mereka yang mengambilnya,'' ujar Dr. Toi semasa membentangkan kertas kerja di Simposium kanser payu dara di San Antonio, Amerika Syarikat Disember lalu.

Beliau berkata, kajian itu mengkaji hubungkait antara pengambilan minuman yang mengandungi LcS dan makanan yang berasaskan soya dengan penyebab kanser payu dara.


Bakteria yang dinamakan (LcS) itu dapat mengawal pertumbuhan bakteria perosak dalam usus dan sekali gus mengatasi masalah kesihatan di kalangan mereka yang mengambilnya.

Beliau menjelaskan, kesan perlindungan tersebut mungkin disebabkan oleh kesan bakteria Strain Shirota ke atas mikroflora usus yang telah membantu penghadaman isoflavon soya yang berkaitan rapat dengan pengurangan risiko kanser payu dara.

''Strain Shirota juga mampu meningkatkan sistem imunisasi semulajadi tubuh khususnya aktiviti NK yang boleh menjejaskan kesan perlindungan," katanya.

Tegasnya, dalam kajian itu seramai 355 pesakit berumur 40 hingga 55 tahun yang menjalani pembedahan kanser payu dara dari tempoh Oktober 2007 hingga Mac 2009 dan 710 orang yang sihat yang tinggal di kawasan yang sama dan berumur sebaya dijadikan objek dalam kajian tersebut.

''Mereka dikaji berdasarkan kepada diet dan gaya hidup sejak masih remaja lagi dan semasa dewasa.

''Hasilnya, didapati sebanyak 30 peratus risiko kanser payu dara dapat dikurangkan bagi mereka yang mengambil minuman yang mengandungi bakteria asid laktik iaitu susu berkultur Yakult sebanyak empat kali atau lebih seminggu, berbanding dengan mereka yang mengambil tiga kali atau kurang dalam seminggu," kata Dr. Toi.

http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0118&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_03.htm

Tanduk rusa ubati penyakit



Tanduk rusa dibekukan sebelum dihantar ke sebuah syarikat bio teknologi yang terletak di Taman Perindustrian Malaysia (TPM) di Raub, Pahang.

APABILA bercakap tentang rusa, ramai yang terbayang akan dagingnya yang enak untuk di makan. Sebab itu juga haiwan itu mula diternak secara komersial bagi memenuhi permintaan terhadap dagingnya.
Tetapi khasiat yang ditawarkan oleh rusa bukan sekadar daging. Tanduknya juga sebenarnya mempunyai nilai yang lebih tinggi kerana mempunyai khasiat perubatan tertentu.

Laporan oleh beberapa jurnal perubatan menunjukkan tanduk rusa mempunyai khasiat untuk mengubati beberapa jenis penyakit terutama penyakit dalaman.

"Terdapat laporan daripada pakar perubatan dan jurnal dari universiti Amerika Syarikat, Korea Selatan, Jepun, Australia dan New Zealand yang telah membuat kajian tentang tanduk rusa.

"Oleh itu, saya yakin potensi khasiat tanduk rusa boleh dikembangkan dan mengambil inisiatif sendiri membuat kapsul untuk merasai kesannya," kata Muhammad Akhbar Chiraghdin yang mengusahakan ternakan rusa untuk tujuan itu.

Daripada laporan yang disiarkan dalam jurnal-jurnal yang dibacanya itu, Muhammad Akhbar mengambil risiko untuk menternak rusa bagi mendapatkan tanduknya.

Beliau sebelum ini pernah terlibat dalam pelbagai bidang ternakan termasuk lembu dan kambing.

Daripada pengalaman tersebut beliau mendapati menternak rusa lebih mudah kerana ia lebih tahan penyakit.

Lagi pula ternakan rusa untuk tanduk tidak memerlukan haiwan itu disembelih.

Beliau yang kini mempunyai 2,000 ekor rusa berkata, tanduk-tanduknya akan dipotong setahun sekali.

Kerja-kerja pemotongan itu katanya, dilakukan dengan teliti supaya haiwan tersebut tidak cedera dan boleh kekal hidup hingga 15 tahun.

Setiap kali 'dituai' kata beliau, tanduk yang diperolehi ialah sekitar 50 kilogram.

"Kami akan potong semasa tanduk berusia 40 hari dan dipotong setahun sekali. Tanduk akan dibekukan sebelum dihantar ke sebuah syarikat bio teknologi yang terletak di Taman Perindustrian Malaysia (TPM) di Raub, Pahang," katanya.

Jelasnya, kilang berkenaan yang beroperasi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan membuat kapsul dengan mengeringkan, memotong dan menghancurkan tanduk tersebut untuk dijadikan kapsul.

Mengenai kaedah pembuatan, beliau berkata, hanya syarikat itu yang tahu caranya tanpa meminggirkan khasiatnya.

Beliau juga ada membuat kapsul secara kecil-kecilan untuk dijual pada kenalan rapat dan juga ahli keluarga lain.

Katanya, sebelum dipasarkan ke pasaran domestik, beliau melakukan ujian keberkesanan khasiat pil tanduk rusa ke atas dirinya.

"Saya pernah terjatuh dan patah tulang. Doktor yang merawat saya suruh saya berehat tetapi saya mahu ke ladang. Dengan mengambil beberapa biji kapsul tanduk rusa, alhamdulillah saya beransur pulih dan kembali bekerja seperti biasa," jelasnya.

Apabila diberikan kepada rakan lain yang mempunyai penyakit tertentu mereka juga memberi maklum balas positif bahawa kapsul tanduk rusa mempunyai khasiat.

"Oleh itu, saya tidak menoleh kebelakang dengan menghantar sampel tersebut kepada Biro Farmasi Negara dan Kementerian Kesihatan untuk mendapatkan status kelulusan untuk dijual di pasaran tempatan," jelasnya yang dijangka mendapat keputusan pada Mac ini.

Berdasarkan pengetahuannya, tiada pihak yang menjalankan perusahaan itu dan beliau mengambil langkah berani untuk melakukannya.

Namun, atas permintaan tinggi beliau tidak dapat memenuhi kehendak pengguna kerana jumlah pengeluaran tanduk rusa kurang menampung pasaran.



http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0117&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_01.htm