"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Saturday, May 15, 2010

Lombong garam terapi asma

LOMBONG garam lama di Pakistan menawarkan eksperimen terapi asma sehingga berjaya menarik ramai pesakit-pesakit dari seluruh dunia. Khewra yang disifatkan sebagai lombong garam kedua terbesar di dunia telah berkurun lamanya mengeluarkan mineral penting untuk dieksport Ia juga mempunyai masjid garam dan kereta api elektrik.

Hari ini lombong garam tersebut mengaut keuntungan melalui terapi garam yang membezakannya di antara lombong garam di Eropah Timur dan klinik sintetik di Britain.

Klinik-klinik mendakwa bahawa pesakit asma dan penghidap penyakit salur pernafasan mendapat faedah apabila menyedut partikel antibakteria garam dalam keadaan steril. Ia membantu membuang mukus dan membersihkan paru-paru.

"Kita tidak menggunakan sebarang ubat-ubatan kerana pesakit asma akan pulih melalui udara. Jadi kita menyediakan persekitaran di mana pernafasan boleh ditambah baik kepada mereka," kata Ketua Doktor Klinik Khewra, Akhlaq Bukhari.

Meskipun terdapat beberapa kajian klinikal mengatakan bahawa gua garam dilihat oleh segelintir pihak sebagai alternatif rawatan terapeutik kepada ubat-ubatan, gua garam semula jadi dan sintetik tumbuh bagaikan cendawan di seluruh dunia.


KLINIK asma di lombong garam yang menyerupai rumah tamu golongan atasan.

Ketika klinik-klinik lain menawarkan rawatan untuk bronkitis, fibrosis sista dan kadangkala jangkitan telinga, Shah berkata, klinik Khewra hanya merawat pesakit asma yang dicetuskan oleh alahan.

"Saya datang dari Kanada. Saya tidak sembuh melalui perubatan moden apabila berada di sana tetapi bertambah baik sejak mengunjungi tempat ini," kata jurutera awam dari Kanada, Naeem Shamsher.

Shamsher pernah mencuba ubat-ubatan yang diberikan oleh doktor di Kanada tetapi dia hanya merasa lega seketika dan tercungap-cungap apabila berjalan jauh, saudara maranya di Pakistan mencadangkan agar dia melawat lombong Khewra.

"Hari ini saya bukan saja boleh berlari malah bermain bola sepak selepas menghabiskan masa selama tiga hari di lombong ini," kata Shamsher yang sembuh 60 peratus selepas menjalani rawatan.

Lombong garam berkenaan terletak 160 kilometer (km) ke selatan ibu negara Pakistan, Islamabad. Ia ditemui pada tahun 320 Sebelum Masehi oleh askar-askar Alexander dan dibangunkan oleh pemerintah kolonial, Britain pada tahun 1872, kata pegawai lombong tersebut.

Klinik asma yang terletak di bawah tanah lombong berkenaan menyerupai rumah tamu golongan atasan. Ia dilengkapi 12 buah katil cadar putih dan selimut merah dalam enam kabin berasingan dengan batu garam serta dinyalakan lampu.

Terdapat juga kawasan menyambut tetamu yang dihiasi lampu garam dan ruang istirehat lengkap dengan air pancut, sofa dan set televisyen.

Dinding dan bumbung klinik berkenaan diperbuat daripada garam asli. Kipas turut digunakan untuk membantu mengekalkan suhu dan kelembapan sekali gus melegakan keadaan pesakit.


RAMAI pesakit asma yang mengakui lega selepas menjalani terapi garam walaupun tiada bukti saintifik.

Kursus selama sepuluh hari di pusat terapi lombong garam, Khewra menelan belanja 5,300 rupees (RM385). Pesakit akan menghabiskan masa selama 11 jam sehari di dalam gua, manakala waktu malam dihabiskan di hospital berdekatan.

Sejak dibuka tiga tahun lalu, klinik berkenaan merawat 500 pesakit. Shah mendakwa 60 peratus pesakit mengakui berasa lega daripada simptom yang mereka hadapi dan ada yang datang dari Britain dan Arab Saudi.

Tetapi Shahid Abbas, seorang doktor yang mengendalikan Pusat Asma dan Alergi di Islamabad berkata, walaupun penghidap asma atau alergi mengalami kelegaan sementara tetapi tidak ada penyembuhan cepat untuk penyakit ini.

"Tidak ada bukti saintifik mengatakan seseorang dapat sembuh daripada asma hanya dengan bernafas di dalam lombong garam atau persekitaran tertentu," katanya.

Pengarah Urusan Perbadanan Pembangunan Mineral Pakistan (badan kerajaan yang memiliki lombong garam itu), Khaled Sajjad Khokhar, berkata, mereka akan menilai kejayaan klinik Khewra sebelum meluluskan perkembangannya kepada 100 buah katil.

Tetapi terdapat segelintir pesakit-pesakit kembali semula ke klinik tersebut dengan gembira walaupun kelegaan yang dinikmati hanya sementara.

"Hospital ini merupakan satu rahmat, ia memberikan saya kehidupan kedua. Saya tidak pernah menghadapi masalah bernafas selepas menghabiskan sepuluh hari di klinik tersebut pada tahun 2007," kata seorang pesakit Pakistan, Adnan Khan, yang mengunjungi klinik itu buat kali kedua. -AFP

Gambir rosak saraf seks

Oleh SHANIKA ABDULLATIB

BUKAN saja mengebaskan rasa sakit, gambir yang merupakan tumbuhan menjalar juga memberi kesan mengkhayalkan.


HARGA yang murah mendorong pengguna membeli gambir Sarawak tanpa memikirkan risiko buruk terhadap kesihatan mereka.

BAGI mereka yang bersiar-siar sekitar kawasan Waterfront Kuching, Sarawak, pasti tidak akan terlepas daripada disapa penjual gambir.

Hanya bermodalkan sebuah meja kecil, peniaga gambir Sarawak mengerumuni kaki-kaki lima terutama di deretan kedai menjual cenderahati di Jalan Green Hill hingga ke Jalan Main Bazar.

Menyusuri jalan-jalan tersebut, perniagaan gambir Sarawak rancak dijalankan tidak kira lewat malam atau siang malah wanita dan kanak-kanak turut mahir dalam menerangkan khasiatnya.

Tidak kira di Semenanjung atau di Sarawak, ketaksuban lelaki terhadap gambir Sarawak tidak dapat dinafikan.

Gambir atau nama saintifiknya Uncaria gambir, biasa ditemui di hutan kebanyakan negara, khasnya di hutan di Asia Tenggara, India dan China.

Tumbuhan menjalar itu mempunyai daun berbentuk lebar manakala bunganya berwarna kuning dengan kandungan utama herba tersebut adalah tannin yang mempunyai astrigen.

Sejak berzaman, sejumlah rekod mengaitkan penggunaan gambir sebagai penawar bisa gigitan ular dan krim penyembuh kesan kebakaran pada kulit.

Malah dalam salah sebuah laman web, masyarakat Cina purba dinyatakan mempercayai tumbuhan tersebut bagi digunakan untuk melegakan sakit tekak dan ulser (kudis) selain membuang angin dalam badan.

Bagi penduduk kepulauan Nusantara, gambir dimakan bersama pinang dan sirih kerana herba itu dikatakan memberi kesan mengkhayalkan.

Gambir Sarawak tidak dimakan tetapi ramai kaum Adam yakin ia mempunyai kehebatan kerana ia didakwa mampu ‘memperkasakan’ lelaki ketika menjalin hubungan kelamin.

Lazimnya batang gambir dikerat bagi mendapatkan getahnya yang kemudian dikeringkan sebelum dihiris dalam bentuk kepingan kecil.

Di sebalik kehebatan gambir, pakar sakit tuan, Dr. Mohd. Ismail Thamby berkata, penggunaan gambir Sarawak secara berlebihan dan tidak terkawal boleh membawa padah.

“Kemaluan akan melecet serta berasa pijar yang berterusan sehingga boleh mengakibatkan luka, keradangan dan jangkitan bakteria,” katanya yang dihubungi Jurnal.

Lebih teruk, lama kelamaan, penggunaan bahan tersebut akan mengalami kerosakan saraf terutama di kawasan sensitif.

Jelas Ismail lagi, kehilangan rasa nikmat ketika melakukan hubungan kelamin juga boleh terjadi sekiranya tumbuhan tersebut kerap digunakan.

Katatanya, gambir hanya digunakan oleh penduduk Sarawak untuk tujuan melegakan kesakitan ringan seperti sakit gigi.

Cuma penduduk Semenanjung sahaja, katanya, yang taksub dengan dakwaan bahawa gambir Sarawak boleh memanjangkan tempoh ereksi.

Dalam pada itu, ahli botani dan ekologi tempatan, Dr. Paul Chai sebelum ini dilaporkan berkata, hanya gambir Sarawak dikaitkan dengan khasiat di ranjang kerana kawasan lain di Semenanjung didapati hanya menggunakannya untuk tujuan perubatan.

Menurut Paul, masyarakat Melayu di Sarawak sering menggunakan gambir untuk menahan sakit, terutama sakit gigi. Beliau tidak menafikan gambir Sarawak mungkin spesies yang berbeza dengan kawasan lain memandangkan hutan Borneo antara hutan tropika tertua dunia.

Penulis buku Medicinal Plants of Sarawak itu berkata, penggunaan gambir sebagai ‘ubat kuat’ lelaki hanya satu daripada kegunaan tumbuhan itu di kalangan suku kaum di Sarawak seperti Iban dan Melanau.

Kegunaan lain gambir yang juga dikenali sebagai akar kelawit itu ialah sebagai penawar gigitan ular selain penawar akibat termakan cendawan beracun.

Rawat lutut pecah

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID

KHAIRUL FAIZI (kiri) mengendalikan kamera yang dimasukkan ke dalam lutut Mazlina melalui satu insisi kecil di Pusat Perubatan Pantai di Kuala Lumpur pada Mac lalu. - Gambar ihsan www.footandankleproblems.blogspot.com

TAEKWONDO merupakan sejenis sukan lasak yang boleh membawa risiko kecederaan di kaki dan seluruh anggota badan.

Sepanjang hampir lima tahun terlibat dalam sukan tersebut, tiada satu pun kecederaan serius pernah penulis alami.

Namun, siapa sangka hanya sekadar terjatuh ketika mahu membonceng motosikal, lutut penulis mengalami cedera teruk sehingga terpaksa dibedah.

Ceritanya bermula berikutan urat berwarna kehijau-hijauan mula timbul pada bahagian lutut pada malam 13 Mac lalu.

Kesakitan tersebut begitu menggusarkan sehingga mendesak penulis berkejar ke Hospital Pantai Medical Cheras.

“Tulang rawan lutut awak sudah pecah, saya akan rujuk (kes) awak kepada doktor pakar ortopedik,” kata seorang doktor klinik pesakit luar.

Namun, ia sedikit pun tidak menimbulkan kebimbangan kerana penulis menganggap kecederaan itu tidaklah seteruk mana.


LATIHAN fisioterapi penting untuk mengelak masalah lutut bertambah kronik terutama terhadap ahli sukan profesional.

Koyak

Bagaimanapun, segala-galanya berubah tatkala Perunding Pakar Bedah Ortopedik, Kaki dan Pergelangan Kaki hospital berkenaan, Dr. Khairul Faizi Mohammad menghuraikan maklumat terperinci mengenai punca kesakitan penulis.

Menurut Khairul Faizi, lutut penulis bengkak akibat pendarahan sekali gus menerangkan fenomena urat hijau yang tiba-tiba timbul pada 13 Mac lalu.

“Ini dibuktikan apabila darah sebanyak 100 mililiter (ml) disuntik dan dikeluarkan daripada lututnya (Mazlina).

“Justeru, untuk merawat kesakitan ini, saya mengesyorkan pesakit menjalani pembedahan yang dipanggil sebagai artroskopi,” kata Khairul Faizi kepada Jurnal baru-baru ini.

Pembedahan tersebut menggunakan kaedah memasukkan satu unit kamera khas pada bahagian lutut pesakit untuk meneliti tahap kecederaan serta luka di bahagian sendi lutut, jelas beliau.

Kaedah itu juga membenarkan doktor mengesan dan melakukan rawatan terhadap bahagian-bahagian yang cedera.

Hasil pembedahan peringkat awal mendapati tiga kecederaan yang dialami penulis. Pertama, meniskus (pelapik sendi lutut) pada lutut terkoyak dan kedua, rawan pada permukaan tulang paha penulis cedera.

Potong

Pada masa sama, bahagian ligamen krusiata anterior yang menyambungkan lutut dan paha turut terkoyak.

Kecederaan pada bahagian ligamen krusiata anterior jarang berlaku terhadap pesakit biasa tetapi ia sering dialami pemain bola sepak, ragbi dan American Football.

“Dalam kes Mazlina, saya beranggapan mungkin beliau jatuh dengan hentakan yang kuat.

“Jika ia lebih kuat, bahagian utama pada lutut iaitu ligamen krusiat posterior (ligamen belakang lutut), kepala lutut dan ligamen kolateral turut berpotensi untuk cedera,” kata Khairul Faizi.

Susulan pemeriksaan itu, satu prosedur pembedahan diatur dan ia berlangsung selama tiga jam pada 16 Mac lalu.

Jelas Khairul Faizi, pasukan perubatan memotong bahagian meniskus yang koyak dan merapikan bahagian koyak sehingga menjadi rata.

Kecederaan rawan yang dialami penulis dirawat melalui teknik microfracture iaitu satu insisi lubang kecil pada tulang dan rawan.

Pakar kemudian menyuntik ubat ke dalam lutut pesakit sebanyak tiga kali berturut-turut.


KERETAKAN pada bahagian rawan ditunjukkan oleh anak panah.

Impak

Walaupun kini sudah beransur sembuh, Khairul Faizi menyatakan penulis dan pesakit-pesakit lain akan merasai kesan jangka panjang rentetan kecederaan itu masih ada.

Meniskus dan rawan yang cedera pada kebiasaannya tidak akan sembuh seperti asal sekali gus menyebabkan golongan tersebut berpotensi mengalami radang sendi atau artritis dengan lebih cepat.

Radang sendi biasanya melibatkan pelbagai aspek penyakit sendi yang menyebabkan rasa sakit, hilang pergerakan dan pembengkakan pada sendi tubuh.

Secara saintifiknya, meniskus berfungsi sebagai kusyen lutut sementara rawan berfungsi sebagai permukaan licin di permukaan sendi untuk membenarkan sendi bergerak dengan lancar.

Pergerakan sendi lutut perlu dilakukan sejurus selepas pembedahan demi menjamin kesejahteraan permukaan rawan, jelas Khairul Faizi.

Pada masa yang sama, pesakit dilarang sama sekali bersukan dan terbabit dalam acara lasak untuk tempoh sehingga empat bulan.

Peringatan itu sangat penting bagi membolehkan rawan kembali pulih dengan kaedah rawan berserat.

Kelazimannya pada peringkat awal, latihan fisioterapi digalakkan dengan tujuan untuk mengembalikan kekuatan otot-otot sendi.

Sekiranya ia tidak dilakukan, pesakit dikhuatiri sukar bergerak dan kadangkala berlaku simptom sakit pada lutut atau sendi.


PEMAIN bola sepak, Cristiano Ronaldo pernah mengalami masalah kecederaan lutut.

Bahaya urut

Khairul Faizi tidak meggalakkan urutan tradisional pada bahagian itu kerana ia akan menyebabkan kecederaan bertambah parah.

Pesakit juga diberikan makanan tambahan seperti glucosamine atau dengan kaedah suntikan terus ke dalam sendi lutut, katanya.

Bagaimanapun kecederaan yang dialami penulis jarang berlaku terhadap kanak-kanak kerana bahagian seperti meniskus, rawan dan ligamen krusiat posterior jarang menimpa golongan itu.

Jelas Khairul Faizi, kanak-kanak mempunyai bahagian meniskus, rawan dan ligamen krusiat posterior yang lebih kuat berbanding individu dewasa.

Golongan itu lebih cenderung mengalami patah tulang berbanding cedera pada bahagian meniskus, jelas beliau.

Seperti kebanyakan pesakit berkaitan tulang yang lain, penulis turut diingatkan supaya memastikan berat badan berada pada tahap ideal.

Jelas Khairul Faizi, semakin tinggi indeks jisim badan (BMI) seseorang, semakin teruk kecederaan yang akan mereka dialami manakala jisim ideal adalah antara 20 hingga 25.

DBS untuk merawat Parkinson

WALAUPUN penyakit Parkinson sering dikaitkan dengan imej orang tua yang terketar-ketar, ramai tidak sedar bahawa penyakit ini sebenarnya bukanlah menyerang warga tua sahaja.

Selepas beberapa kaji selidik dibuat, didapati ramai pesakit yang didiagnosis menghidapi Parkinson ketika usia mereka 40 tahun.

Penyakit Parkinson Pada Usia Muda (YOPD) ini merangkumi lima hingga 10 peratus daripada jumlah penghidap sebenar yang dianggarkan seramai 25,000 hingga 30,000 orang di Malaysia.

Percaya atau tidak, bilangan ini dijangka akan bertambah ekoran daripada peningkatan populasi masyarakat berusia di negara ini.

Parkinson memang memberikan kesan yang besar bukan saja buat pesakit malah penjaga dan ahli keluarga mereka.

Kemajuan rawatan perubatan dapat mengurangkan simptom pesakit seperti terketar-ketar, kekejangan, diskinesia sekali gus dapat mempertingkatkan kualiti hidup mereka.

Rangsangan Otak Dalaman (DBS) adalah salah satu kaedah untuk merawat Parkinson di kalangan orang muda.

Pakar DBS dari United Kingdom, Profesor Tipu Aziz berkata, laporan menjelaskan hasil dialog meja bulat menunjukkan para pesakit yang telah menjalani DBS mengalami hingga 60 hingga 90 peratus pemulihan dalam simptom.

Manakala dos ubat mereka juga berkurangan sebanyak 50 hingga 60 peratus.

"DBS adalah satu rawatan yang terbukti berkesan dalam memberikan sinar harapan kepada para pesakit.

"Bila pesakit sihat mereka berupaya mengawal pergerakan. Perbezaan yang dapat dilihat antara pesakit yang belum menjalani pembedahan ialah mereka t mampu melakukan tugas-tugas mudah seperti memegang cawan tanpa tumpah, berjalan, memandu, memasukkan butang baju atau menikmati tidur yang nyenyak," ujar Aziz yang telah melakukan beribu-ribu pembedahan DBS sejak menjadi pakar bedah neuro 22 tahun lalu.

Tambah Aziz, para pesakit YOPD juga perlu menimbang untuk menjalani pembedahan tersebut kerana terpaksa menanggung cabaran emosi dan fizikal yang lebih lama berbanding pesakit tua.

Sindrom yang pesakit YOPD alami juga boleh menimbulkan stres yang boleh membawa kepada kemurungan dan pemencilan diri.

"DBS memulihkan maruah pesakit kerana mereka boleh berdikari dan bekerja semula untuk menyara hidup mereka dan keluarga," ujarnya.

Pintasan jantung dengan VMMS

PEMBEDAHAN pintasan jantung dilakukan bagi membolehkan darah mengalir secara normal ke jantung.

Disebabkan salur darah berdekatan jantung tersumbat, maka doktor akan membuat saluran baru dengan mengambil vena pada kaki atau arteri daripada lengan dan bawah dada.

Jika vena di bahagian kaki yang dipilih, maka kesannya satu luka yang panjang akibat pembedahan terbuka. Kepanjangan luka bergantung kepada berapa banyak saluran yang mengalami masalah. Biasanya ia bermula dari pangkal paha hingga hampir ke buku lali.

Disebabkan luka panjang itu, proses penyembuhan mengambil masa yang agak lama dan pastinya meninggalkan kesan parut hodoh pada kaki.

Kini dengan Sistem Penuai Mikro Vaskular 100 (VMMS-100), proses mendapatkan vena bahagian kaki menjadi lebih mudah, cepat dan menjimatkan.

Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) mencipta sejarah baru-baru ini apabila menjalankan pembedahan pertama penuaian vena menggunakan VMMS-100 ciptaan Dr. Peter Hjc. Sporen dari Belanda.

Teknologi penuaian vena inovatif itu mengambil masa sekitar 10 minit hingga satu jam sahaja bagi seorang pesakit.

"Berbeza dengan teknik lama yang memerlukan kaki pesakit dibedah dengan luka yang panjang, teknik baru ini ibarat menebuk terowong dengan hanya empat kawasan sebesar 2 sentimeter," kata Pakar Runding dan Bedah Kardiotorasik, Prof. Madya Dr. Mohd. Zamrin Simon.

Beliau yang juga Penyelaras Pusat Paru-paru dan Jantung PPUKM menjelaskan, luka yang sedikit membolehkan pesakit kembali berjalan dengan cepat dan keadaan ini membantu proses menyembuhkan salur darah ke jantung itu sendiri.

Selain itu, vena yang diperolehi melalui kaedah tersebut sangat berkualiti kerana ia masih dilitupi lemak.

Kaedah itu juga katanya, sesuai bagi mereka yang menghidap diabetes kerana ia mengurangkan pendedahan terhadap jangkitan kuman.

"Pesakit boleh meninggalkan hospital antara empat dan lima hari selepas dibedah berbanding antara lima dan tujuh hari dengan kaedah konvensional," jelas beliau.

Prosedur itu juga secara tidak langsung menjimatkan kos yang terpaksa ditanggung pesakit sepanjang mendapatkan rawatan di hospital.

Sementara itu, Dr. Sporen yang turut berada di PPUKM bagi memantau proses itu berkata, beliau membangunkan teknologi tersebut 15 tahun lalu dengan tujuan mendapat vena varikos.

Beliau dan pasukannya mendapati teknologi tersebut sesuai digunakan untuk penuaian vena, terutama bagi pembedahan pintasan jantung.

Beliau berharap dengan teknologi terbaru itu, lebih ramai pesakit terutama dari negara membangun mampu mendapatkan rawatan dengan sewajarnya dan berpeluang sembuh sepenuhnya.

Ancaman kolesterol

Kolesterol ialah sejenis jisim lembut seperti lemak dan berlekit seperti lilin dan dijumpai di dalam aliran darah dan dalam semua sel badan. Kolesterol merupakan bahagian penting dalam badan yang sihat kerana ia digunakan untuk mengeluarkan membran sel dan sesetengah hormon, serta membantu melicinkan fungsi badan lain yang memerlukannya.

Namun, terlampau banyak kolesterol dalam darah akan mengundang risiko besar untuk diserang penyakit jantung koronari (seterusnya akan membawa kepada serangan jantung) dan angin ahmar.

Dari manakah datangnya kolesterol ini?

Kolesterol datangnya daripada dua punca, daripada makanan dan badan anda. Hepar dan sel lain dalam badan anda mengeluarkan kira-kira 75 peratus daripada kolesterol darah. Baki 25 peratus lagi datangnya daripada makanan yang anda makan. Julat yang selamat untuk pengambilan kolesterol ialah antara 200-400 miligram sehari.

Kolesterol LDL (Kolesterol jahat)

Apabila terdapat terlampau banyak kolesterol jenis lipoprotein (LDL) berkepadatan rendah beredar dalam darah, ia beransur-ansur akan melekat dan mengumpul pada dinding dalaman arteri yang menyalurkan darah ke jantung dan otak. Bersama dengan jisim lain, ia lama kelamaan akan membentuk plak, iaitu sejenis longgokan keras yang akan menyempitkan arteri dan menjadikannya kurang anjal. Keadaan sedemikian dikenali sebagai atherosclerosis. Sekiranya suatu gumpalan terbentuk dan menyumbat arteri yang telah pun menyempit itu, ini akan mengakibatkan serangan jantung atau angin ahmar.

Kolesterol HDL (Kolesterol baik)

Lebih kurang satu perempat hingga satu pertiga daripada kolesterol darah dibawa oleh lipoprotein yang berkepadatan tinggi (HDL). Kolesterol HDL dikenali sebagai kolesterol "baik", sebab paras HDL yang tinggi dikatakan dapat melindungi daripada serangan jantung. Paras HDL yang rendah (kurang daripada 1.0 mmol/L) juga akan meningkatkan risiko penyakit jantung.

Trigliserida

Trigliserida ialah bentuk sejenis lemak yang diperbuat di dalam badan. Trigliserida yang tinggi mungkin disebabkan oleh berat badan yang berlebihan, tidak aktif, merokok, meminum alkohol secara berlebihan dan mengambil makanan yang tinggi karbohidrat (60 peratus atau lebih daripada jumlah kalori). Mereka yang mempunyai trigliserida tinggi seringkali mempunyai paras kolesterol yang tinggi juga, termasuklah paras LDL yang tinggi serta paras HDL yang rendah.

Kolesterol Lp (a)

Lp (a) merupakan variasi genetik bagi kolesterol LDL (kolesterol jahat). Paras Lp (a) yang tinggi adalah faktor risiko utama bagi perkembangan pramatang pendepositan lemak dalam atreri.

Apakah yang ditunjukkan oleh paras kolesterol anda?

Laporan ujian anda akan menunjukkan paras kolesterol mengikut ukuran "millimoles per litre (mmol/L)". Untuk menentukan bagaimana paras kolesterol mempengaruhi risiko untuk anda menghidapi penyakit jantung, doktor juga akan mengambilkira faktor risiko lain seperti usia, sejarah keluarga, merokok atau tidak dan tekanan darah tinggi.

Perhatian: Julat yang selamat untuk pengambilan kolesterol ialah 200-400 miligram sehari.

Ubat-ubatan biasa untuk menurunkan kolesterol.

Kini telah terbukti dengan kukuh bahawa statins (juga dikenali sebagai HMG-CoA Reductase Inhibitor) merupakan jenis ubat yang amat mujarab dan berkesan kerana ia bukan sahaja dapat menurunkan kolesterol secara mendadak, tetapi juga dapat mengurangkan risiko serangan jantung. Statins menghalang pensensitisan kolesterol dengan menyekat enzim HMG-CoA Reductase. Kesan ini adalah tidak secara berpilih, kerana ia menghalang pengeluaran CoQ10. Kajian mendapati bahawa terdapat pengurangan yang ketara dalam paras CoQ10 di dalam jantung, otot rangka dan dalam tisu hepar selepas dirawat dengan ubat statin, lebih-lebih lagi jika ubat itu diambil dengan dos yang tinggi.

Sesetengah orang yang mengambil ubat statin melaporkan banyak mengalami kesan sampingan termasuk sakit-sakit otot, lemah badan, keletihan, daya ingatan yang bermasalah dan juga mati pucuk (erectile dysfuntion).

Masalahnya, gejala tersebut merupakan rungutan yang biasa didengar berkaitan dengan peningkatan usia, oleh itu ramai orang menganggap perkara ini tidak perlu dimaklumkan kepada doktor mereka. Menurut Dr. Julian M. Whitaker M.D., kesan sampingan ini mungkin disebabkan oleh penghakisan CoQ10 oleh ubat statin.

Mengambil Suplemen Hydrosoluble CoQ10 (CoQ10 larut air)

Satu-satunya cara untuk mengatasi kekurangan CoQ10 (termasuk kekurangan CoQ10 yang dirangsangkan oleh statin) ialah dengan mengambil suplemen hydrosoluble CoQ10, kerana ia mampu meningkatkan paras CoQ10 dalam badan. Namun, suplemen CoQ10 bukan hanya untuk mereka yang mengambil ubat statin sahaja. Dr. Peter Langsjoen, seorang pakar kardiologi yang memberi suplemen CoQ10 kepada beribu pesakit beranggapan adalah tidak wajar kita menunggu sehingga diserang kegagalan jantung barulah hendak mengambil CoQ10. Beliau percaya mengambil CoQ10 semasa kita mencecah pertengahan umur dan seterusnya (apabila kemerosotan CoQ10 bermula) akan memberi kesan perlindungan yang baik terhadap mitokondria di dalam jantung, dengan itu memelihara fungsi jantung yang baik.

Adakah anda memperolehi CoQ10 dengan mencukupi?

Pengeluaran CoQ10 oleh badan akan merosot apabila kita semakin tua. Walaupun CoQ10 wujud secara semula jadi dalam banyak jenis makanan seperti daging dan sayuran, kandungan CoQ10 dalam makanan adalah sangat terhad. Adalah sukar untuk mendapat CoQ10 yang mencukupi setiap hari daripada makanan. Oleh itu, hanya satu cara sahaja untuk mendapatnya dengan mencukupi, iaitu dengan mengambil suplemen CoQ10.

Bentuk tradisi suplemen CoQ10 tidak mudah diserap oleh badan (seperti serbuk CoQ10 yang diampai dalam minyak soya dan dimasukkan ke dalam kapsul gel lembut dan tablet yang berasaskan serbuk, gelatin keras yang diisikan dengan serbuk). Masalahnya ialah saiz zarah CoQ10 adalah amat besar, lagipun ia tidak larut dalam air dan sukar larut dalam lipid, dengan itu membuatkannya susah untuk diserap oleh badan.

Sebuah syarikat di Amerika telah berjaya membangunkan satu proses Biosolv yang dipatenkan dimana proses ini dapat mengurangkan saiz zarah CoQ10 dari 25-70 mikron kepada hanya 0.3 mikron - malah lebih kecil daripada bakteria! Dengan menggunakan proses ini, molekul-molekul CoQ10 menjadi begitu kecil sehingga ia menjadi "hydrosoluble" (larut air).

Pada umumnya, lebih kecil saiz zarah itu maka lebih baik penyerapannya. Oleh itu, dengan hydrosoluble CoQ10, lebih banyak CoQ10 dapat diserapi ke dalam aliran darah anda.

Ketosis dorong kurus, cantik

Apabila lemak pecah menjadi tenaga ia akan melalui suatu proses yang di namakan ketosis. Ketosis merupakan proses semula jadi dalam tubuh kita. Ia merujuk kepada proses penukaran lemak kepada tenaga, ketone dan air. Untuk memulakan ketosis adalah sukar kerana seseorang perlu melalui pelbagai fasa yang sukar sebelum ketosis berlaku.

Fasa yang dimaksudkan adalah penurunan jumlah karbohidrat dalam makanan, meningkatkan tahap hormon dan enzim dalam darah dan fasa ketiga meningkatkan aktiviti otot dengan bersenam.

Setelah ketosis berjaya dimulakan badan akan menjadi kurus dan cantik. Tubuh juga beroleh tenaga yang luar biasa.

Stamina seseorang yang berjaya mencapai tahap ketosis akan meningkat manakala perasaan yang sering murung berubah menjadi riang dan bahagia bagaikan seseorang yang sedang di alam percintaan. Begitulah indahnya fenomena ketosis dan ini merupakan sesuatu yang harus anda perolehi dan kecapi. Di kala ini senaman tidak lagi menjadi tekanan kepada diri anda. Anda akan seronok bersenam kerana ia merupakan keperluan tubuh anda. Segala aktiviti fizikal menjadi mudah dan menyeronokkan. Pengalaman ini akan menjadi suatu memori yang indah dalam hidup anda. Dan dunia anda akan berubah menjadi ceria semula.

Mengapakah ini terjadi?

Seseorang yang sudah mencapai ketosis akan berasa riang dan cergas kerana kehadiran ketone. Ketone diperlukan oleh otak kita bagi meningkatkan keceriaan. Otak yang mendapat ketone yang tinggi tidak mudah letih dan mengantuk. Fikiran akan cergas dan aktif. Sebagai bahan tenaga yang aktif, ketone menggerakkan otot-otot kita menjadikan pergerakan lancar. Ia juga merupakan ubat penahan sakit semulajadi. Kehadiran ketone membuatkan tubuh badan kita tidak sakit dan keletihan turut hilang.

Dari segi struktur kimianya pula ketone adalah ahli kumpulan alkohol ringkas. Kerana itulah mereka yang tinggi ketone sentiasa riang disebabkan kesan alkohol semulajadi. Secara dasarnya mereka yang aktif bersukan dan tubuhnya membakar lemak dengan baik akan mempunyai ketone yang tinggi. Profesor saya sewaktu kolej dulu pernah bergurau. Katanya: ''Ahli sukan sentiasa riang dan cergas kerana mereka semuanya mabuk.'' Bukankah ketone itu alkohol? Mabuk ketone adalah baik, tiada kesan sampingan tapi mabuk alkohol berbahaya kerana ia membuat kita hilang pertimbangan. Alkohol buatan manusia melemahkan tubuh badan dan otak manakala ketone merangsang sel-sel otak menjadi lebih peka dan menimbulkan naluri rasa yang kreatif, bahagia dan tenang. Ketone membuatkan transmiter otak kita menjadi aktif. Apabila transmiter otak menjadi aktif seseorang akan mula berasa riang dan gembira .

Ketone yang terhasil apabila diet tidak pula bersifat begitu disebabkan strukturnya yang amat natural.

Bagi seorang pesakit kencing manis yang kekurangan insulin dalam badan, tubuh akan turut menghasilkan apa yang dinamakan ketoasidosis. Apa yang berlaku sel tubuh tidak dapat menerima gula kerana ketiadaan insulin. Ketoasidosis dan ketosis merupakan dua fenomena berbeza. Ketoasidosis adalah toksik manakala ketosis adalah baik.

Aktiviti yang dicadangkan

Pengurangan kalori

1) Pengambilan kalori yang rendah sebanyak 2000 kalori sahaja sehari

2) Kalori mestilah diperoleh daripada protein dan gula fruktosa sahaja (buah-buahan) dan bukan dari karbohidrat kompleks seperti nasi dan roti.

3) Pengambilan kalsium zink dan potassium yang mencukupi

4) Air yang banyak (Sekurang-kurangnya 4 liter sehari)

Peningkatan hormon dan enzim tubuh

Hormon yang penting adalah semua hormon yang terlibat secara langsung dalam metabolisme lemak seperti hormon pertumbuhan insulin glukargon dan tiroid. Di klinik saya suplemen diberikan bagi membantu mempercepatkan peningkatan hormon. Apabila pesakit berkunjung mereka diberikan satu set soalan yang akan menjadi takat rujukan saya membuat analisis hormon yang berkurangan. Pemeriksaan darah juga boleh dibuat bagi menguji ketepatan analisis. Hormon disukat dengan kaedah radio amino assay. Ia adalah kaedah yang mengaplikasikan radioaktif untuk menyukat jumlah hormon dalam tubuh kita. Terapi hormon bukanlah sesuatu yang baru. Terapi ini menambahkan hormon dalam darah kita. Bila hormon cukup ia dapat melakukan tugasnya dengan berkesan bagi menjamin kesejahteraan tubuh kita.

Peningkatan enzim

Enzim bermaksud katalase iaitu bahan yang mencernakan lemak. Tidak seperti enzim dalam perut, enzim yang memecah lemak lebih kecil molekulnya dan aktivitinya bergantung kepada suhu tubuh. Cara yang terbaik bagi memastikan suhu tubuh meningkat adalah dengan bersenam. Pergerakan otot akan membuatkan tubuh memanas dan enzim mula bekerja dengan aktif. Jika kita duduk selama 20 minit atau lebih tanpa aktiviti seluruh otot akan mula berehat dan mengalami penurunan suhu pada sel-sel. Tetapi jika kita bangun dan melakukan aktiviti, ia memanas semula. Dengan itu jalan terbaik untuk meningkatkan enzim adalah dengan bergerak dan bergerak. Jika anda bekerja pejabat dan perlu duduk, sentiasa pastikan anda bangun dan berdiri setiap 20 minit.

Senaman

Setelah mencapai tahap ketosis anda harus meneruskan aktiviti bersenam selama 20 minit setiap hari bagi memanaskan badan. Di samping itu dapatkanlah nasihat bagaimana meningkatkan tahap hormon dan enzim tubuh anda dari pakar yang berkenaan. Jika tubuh kekurangan hormon dan enzim maka sukarlah lemak untuk pecah dan segala usaha anda menjaga kalori dan bersenam menjadi sia-sia.

Oleh kerana ramai pembaca yang berada terlalu jauh dari pusat saya di Semenyih, saya senaraikan beberapa pusat yang sudi memberi bantuan sama ada rawatan atau kaunseling bagi membolehkan anda menurunkan berat badan dengan bijak dan berkesan. Kami menyokong hasrat anda menurunkan berat badan dengan kaedah saintifik.

Marissa Esthetik

No. 9 Jalan 4 Semenyih Sentral, Semenyih Selangor. Telefon 03-87234808.

Klinik Madihah

131 -1 Jalan Taman Komersial Senawang 1, Taman Komersial Senawang, Negeri Sembilan. Telefon 06-6782943.

Thalia Clinic

3-14 Mahkota Square, Jalan Mahkota, Kuantan Pahang. Telefon 09-5164777.

Rosmala Health and Beauty

No 8, Jalan CP 2 Taman Cheng Perdana, Melaka. Telefon 06-3122443, 0126319306.

Khasiat kekacang

Kekacang dan legum diambil sebagai sumber protein menggantikan daging. Ia juga membantu menstabilkan paras glukos dalam darah, menyeimbangkan tindak balas elektrolit dalam tubuh dan meningkatkan kadar metabolisme serta fungsi tubuh dan otak.

Merujuk fahaman orang Timur, kesemua fungsi ini dikawal oleh buah pinggang dan kelenjar adrenal.

Kerana itu kekacang dan legum juga dikelaskan sebagai makanan penyokong buah pinggang. Untuk mengoptimumkan pengambilan khasiatnya, kekacang seeloknya dimasak dengan minyak atau diambil bersama makanan berasaskan minyak. Misalnya, orang Arab memasak kacang kuda menjadi hummus (dicampur minyak zaitun), orang Jepun masak dengan rumpai laut dan minyak rumpai laut manakala orang Mexico memasak bersama minyak dan cili.

Kacang soya

Mengandungi asid amino dan sumber protein terbaik. Kacang soya seeloknya dijadikan minuman atau dimasak ketika pucuknya tumbuh seperti tauge. Untuk memasak kacang soya, rendam selama enam hingga lapan jam. Kemudian rebus dalam air yang ditapis. Kacang soya tidak boleh dimakan mentah kerana ia keras dan mungkin mengandungi toksik.

Fungsi: Mengekalkan kesihatan pankreas dan hempedu, meningkatkan perjalanan darah dan penglihatan, meningkatkan kuantiti susu badan, menyingkirkan toksin dan keracunan makanan, bertindak sebagai diuretik, mengelak loya dan masalah kulit serta sembelit.

Kacang soya hitam

Fungsi: Melindungi limpa dan pankreas, menggalakkan perjalanan darah, menyeimbangkan paras elektrolit dalam badan, mengelak masalah batu karang, bertindak sebagai diuretik, melegakan radang, menggalakkan metabolisme, mengurangkan masalah sakit belakang, mengelakkan osteoporosis, sakit di lutut, kejang dan juga radang pada saluran kencing.

Kacang hijau

Asal dari Pakistan, kini boleh didapati di kebanyakan negara Asia Tenggara. Mengandungi karbohidrat, fiber, protein, vitamin dan mineral terhidrat.

Fungsi: Meneutralkan toksin dalam tubuh, menyeimbang kesihatan hati dan hempedu; mengurangkan radang, melegakan jangkitan salur kencing, mengurangkan pengumpulan air, tekanan darah tinggi, asid gastrik dan masalah jantung serta darah.

Dhal

Mengandungi 26 peratus protein.

Fungsi: Meningkatkan metabolisme buah pinggang, menyuburkan perjalanan darah ke jantung dan mengekalkan fungsi otot serta kepadatan tulang.

Kacang kuda

Sumber terbaik zink, folat, protein, fiber, karbohidrat dan rendah lemak.

Fungsi: Mengekalkan kesihatan pankreas, usus kecil dan jantung; menyeimbangkan sistem hormon tubuh.

Bau makanan buka selera anak

Oleh DR TEE E SIONG
Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM)

RAMAI ibu bapa berasakan oleh kerana anak-anak mereka sudah cukup 'besar' untuk ke sekolah, mereka juga telah cukup matang untuk memilih makanan sendiri. Anak-anak yang bersekolah berada dalam peringkat umur yang mudah dipengaruhi. Mereka meluangkan lebih banyak masa bersama rakan dan terlibat dalam aktiviti kokurikulum.

Televisyen dan komputer menjadi teman setia apabila mereka pulang ke rumah. Besar kemungkinan itulah sumber utama yang mempengaruhi mereka, bukan orang yang paling penting dalam hidup pada masa itu - iaitu anda.

Namun demikian, anak anda masih boleh menjadikan anda sebagai teladan. Gunakan kelebihan ini untuk mengajar mereka di rumah tentang kebaikan dan khasiat pemakanan, tabiat makan yang sihat, dan aktiviti fizikal. Dengan berbuat demikian, anda mempengaruhi pilihan makanan mereka apabila berada di luar. Lebih penting lagi, anda juga mempengaruhi pilihan makanan mereka pada masa hadapan.

Anda boleh memperkasakan anak-anak untuk membuat pilihan yang bijak dalam soal makanan dengan:

1. Memperkasakan diri anda

Dapatkan nasihat daripada pakar pemakanan atau doktor keluarga bagi memperkasakan diri anda dengan pengetahuan mengenai asas pemakanan yang sihat dan cara terbaik untuk memberi anak anda makan. Anda juga boleh membaca tentang pemakanan yang sihat untuk melengkapkan diri dengan maklumat yang betul. Anda akan lebih berkeupayaan untuk mengajar dan memperkasakan anak-anak apabila anda sendiri yakin dengan pengetahuan yang diperolehi.

2. Menjadi suri teladan

Oleh kerana anak anda mudah terpengaruh, anda perlu berusaha untuk menjadi contoh yang baik dalam soal pemakanan dan cara hidup yang sihat. Ini termasuk mengamalkan tabiat makan yang baik, gaya hidup aktif dan menjaga kebersihan diri. Sebagai contoh, apabila anda makan sayur, pastikan anda tidak lupa untuk memberitahunya betapa lazat dan sihatnya sayur yang anda makan. Besar kemungkinan anak anda akan mengikut jejak anda dan mula makan sayur.

3. Mulakan dari kecil

Anda perlu menyemai tabiat makan yang sihat dalam diri anak anda sejak mereka kecil. Mulakan dengan sesuatu yang mudah, tetapi penting. Sebagai contoh, pastikan dia mengambil sarapan setiap pagi sebelum pergi ke sekolah. Anda juga boleh menyediakan makanan dengan cara yang sihat supaya dia boleh mengamalkan tabiat makan yang sihat sejak kecil. Atau, anda boleh menjelaskan kepadanya tentang pentingnya makanan dan snek. Beritahu bahawa makanan harian akan memanfaatkan kesihatan dan akan membolehkannya membesar dan menjadi seorang budak yang kuat dan pintar. Ini akan meningkatkan kemungkinan anak untuk mengamalkan tabiat makan yang sihat dan membuat pilihan makanan yang bijak bukan sahaja di sekolah, tetapi juga sepanjang hayatnya.

4. Jangan putus asa.

Salah satu cara penting untuk menyemai pengetahuan tentang pemakanan yang baik adalah dengan bersabar. Jangan putus asa jika anak anda masih tidak mahu makan sayuran walaupun sudah lima kali diminta. Bersabarlah dan terus mencuba lagi.

Petua berikut sedikit sebanyak dapat menjadikan pembelajaran tentang pemakanan lebih menyeronokkan.

Berbelanja bersama
Ini adalah peluang baik untuk mendidik anak tentang makanan mentah, seperti sayur-sayuran, supaya dia dapat mengenal bau dan teksturnya.

Masak bersama
Sebagai permulaan, anda boleh menyediakan sarapan bersama anak pada hujung minggu.

Makan bersama
Galakkan keluarga anda untuk makan bersama setiap hari.

Bermain bersama
Bermain dengan anak adalah cara yang baik untuk anda sekeluarga melakukan aktiviti fizikal.

Berkomunikasi bersama
Sentiasa luangkan masa untuk berbual dan mendengar rintihan atau luahan hati anak anda.

Ketahui lebih lanjut tentang cara membesarkan anak-anak sihat untuk negara lebih sihat menerusi pelbagai bahan dan aktiviti pendidikan Bulan Pemakanan Sihat Malaysia 2010 (NMM '10) yang dimuatkan dalam laman web www.nutriweb.org.my. Dan sertai Karnival NMM '10 yang menyeronokkan di Pusat Pameran Mid Valley pada 15 & 16 Mei 2010, dari 10 pagi!

Mengurus asma untuk hidup biasa

November tahun lalu, tersebar berita mengatakan David Beckham menderita penyakit asma sejak kecil walaupun belum ada pengakuan daripadanya sendiri.

Puncanya, apabila Beckham dilihat menggunakan inhaler (alat bantuan pernafasan) ketika perlawanan akhir piala Major League Soccer, antara Los Angeles Galaxy melawan Real Salt Lake. Jika benar, David dilihat berjaya mengawalnya kerana sebelum ini dia tidak pernah dilihat mempunyai masalah pernafasan ketika bermain bola sepak.

Pakar asma, Dr. John Dickinson berkata, ramai atlet menghidap asma. Pada tahun 2004, hampir 21 peratus daripada pasukan Olimpik British disahkan menghidap asma dan meningkat kepada 25 peratus pada tahun 2008. Tambah Dr. John, sukan basikal dan berenang merupakan kumpulan pesakit yang tertinggi iaitu hampir 50 peratus.

“Ramai atlet yang menghidap asma berjuang untuk memenangi pingat Olimpik dan kejuaraan dunia. Ia tidak mustahil, selagi anda mampu menguruskan asma anda,” ujarnya.

Bahkan pemain tengah Manchester United, Paul Scholes pernah berkongsi pengalamannya yang mengidap asma tetapi berjaya mengawal asma dengan baik. Bahkan, ia tidak mengganggu prestasi di padang bola.

Scholes yang disifatkan sebagai amat pemalu orangnya oleh para peminat, berjaya mengawal asma dengan begitu baik sekali.

Begitu juga dengan bintang milenium, Amitabh Bacchan, pemain kriket popular, Ian Botham, bintang trek Olimpik, Jackie Joyner Kersee dan penyelam pingat emas, Greg Louganis.

Mereka membuktikan bahawa menghidap asma bukan halangan untuk menikmati, mengecapi dan menjalani kehidupan yang aktif dan berjaya dalam hidup.

Rahsia sebenar di sebalik kejayaan selebriti dan para atlet ini membolehkan mereka menjalani aktiviti lasak ialah mereka lebih menekan aspek pengawalan asma, berbanding merawatnya.

Adakah sekadar bergantung kepada ubat-ubatan untuk melegakan serangan asma mampu menjamin keadaan mereka tidak bertambah serius?

Sempena sambutan Hari Asma Sedunia, Pakar Perubatan dan Pernafasan Pantai Hospital Ampang, Dr Zal Abdul Rahim, berkongsi maklumat tentang penyakit asma.

Beliau memberitahu, asma ialah sejenis penyakit kronik paru-paru iaitu berlaku inflamasi atau radang pada saluran pernafasan.

Dr. Zal menambah, punca sebenar seseorang itu menghidap asma tidak diketahui. Jika ada ahli keluarga yang menghidap asma, maka seseorang itu lebih berisiko untuk mendapat asma. Ada tiga faktor yang menyebabkan seseorang itu mendapat asma iaitu keturunan, pendedahan agen, persekitaran dan pekerjaan.

“Untuk kategori keturunan, golongan ini mempunyai paras Immunoglobulin E (IG E) yang tinggi dalam darah dan selalunya mempunyai kecenderungan untuk menghidap penyakit rinitis, demam alergi, asma dan ekzema. Selain itu, obesiti dan faktor jantina turut mempengaruhi. Kanak-kanak lelaki lebih mudah mendapat asma (dua kali ganda) berbanding kanak-kanak perempuan. Di kalangan dewasa, lebih ramai perempuan yang menghidap asma berbanding lelaki namun punca sebenar tidak diketahui,” jelas beliau.

Pendedahan kepada binatang peliharaan (kucing, anjing, burung dan lain-lain), lipas, debunga, kulat pencemaran udara sama ada dalam rumah atau di luar rumah boleh menjadi faktor kepada penyakit ini.

Dr. Zal memberitahu, lebih daripada 300 bahan telah terbukti boleh menyebabkan asma bersumberkan pekerjaan (occupational asthma). Keadaan ini terjadi disebabkan pendedahan kepada agen yang terdapat di tempat kerja. Contohnya, pekerja industri cat dan plastik yang terdedah kepada pelbagai bahan kimia.

Beliau menasihatkan setiap pesakit mesti mengambil ubat supaya keadaan asma mereka terkawal sepenuhnya.

“Jangan berhenti mengambil ubat tanpa nasihat doktor. Jika kawalan sepenuhnya sudah tercapai, ubat untuk asma perlu dikurangkan secara perlahan-lahan berdasarkan keadaan kesihatan pesakit. Ubat-ubatan ini perlu diambil dengan teknik sedutan yang betul dan tepat supaya ubat dapat sampai ke paru-paru. Ia juga perlu dalam dos yang betul,” jelasnya.

Sementara itu, ahli fisioterapi Pantai Hospital Ampang, Fazlina Padzil berkata, apabila pesakit diserang asma secara mengejut, mereka perlu bertenang.

Dia menyarankan pesakit mengawal cara pernafasan dengan baik seperti menarik nafas daripada hidung dan hembus melalui mulut sambil separa baring atau duduk mengikut keselesaan. Kemudian, pesakit perlu bertenang dan dapatkan bantuan kecemasan.

“Setiap pesakit sama ada dewasa atau kanak-kanak boleh bersenam dengan mendapat nasihat daripada doktor dan ahli fisioterapi,” ujarnya.

Asma kanak-kanak

Sementara itu, Dr. Zal menyarankan ibu bapa yang mempunyai anak-anak menghidap asma, supaya memastikan anak mereka mendapat rawatan berterusan.

Seperti orang dewasa, kanak-kanak juga memerlukan langkah pencegahan daripada ejen yang boleh menggalakkan asma.

“Ada sebahagian daripada kanak-

kanak yang menghidap asma akan pulih apabila mereka meningkat remaja dan dewasa. Tetapi mereka masih berisiko untuk mendapat asma itu kembali jika perkara-perkara yang menyebabkan asma tidak dikawal dan diberi perhatian. Ada juga kanak-kanak yang asmanya tidak hilang dan mereka perlu terus menggunakan ubat untuk mengawalnya,” jelas beliau.

Dalam pada itu, GlaxoSmithKline Pharmaceutical Malaysia bekerjasama dengan Majlis Asma Malaysia (ACM), Persatuan Torasik Malaysia (MTS) dan Yayasan Paru-paru Malaysia (LFM) melancarkan Kempen Asma di Sekolah yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan menyoroti keperluan kawalan asma di kalangan kanak-kanak yang merupakan pesakit asma.

“Penyakit asma semasa kecil adalah satu penyakit respiratori kronik yang paling biasa kerana dianggarkan bahawa satu daripada 10 kanak-kanak di Malaysia menghidapi penyakit asma. Ini adalah statistik yang amat merisaukan apabila mempertimbangkan kesan penyakit ini terhadap pertumbuhan kanak-kanak dan perkembangan mereka, “kata Pengerusi ACM, Dr Norzila Mohamed Zainudin.

Kempen Asma di Sekolah dilancarkan di Sekolah Cempaka Damansara dan dihadiri oleh lebih daripada 300 orang termasuk pelajar, ibubapa dan guru. Selanjutnya, sembilan sekolah swasta dan sekolah antarabangsa dalam Lembah Klang akan menyertai kempen pendidikan ini.

Pek Asma Sekolah juga telah diwujudkan secara khusus untuk pelajar, ibubapa mereka dan guru-guru. Pek-pek ini mengandungi maklumat yang berguna tentang asma, penyebab pencetusan asma dan pilihan rawatan, serta informasi untuk bantuan kecemasan ketika seseorang diserangi asma.