"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Tuesday, January 22, 2008

VAKSIN BINA SISTEM IMUNITI KANAK-KANAK

Vaksin bina sistem imuniti kanak-kanak

Imuniti penting untuk hasilkan antibodi melawan virus, bakteria bawa penyakit APAKAH vaksin masih relevan untuk kanak-kanak? Dalam dunia moden dengan seribu satu macam ubat di pasaran, masihkah vaksin perlu dipertimbangkan? Di Malaysia kes batuk kokol (pertusis) meningkat daripada 27 kes 2003 kepada 42 kes (termasuk empat kematian) pada 2004 manakala 65 kes dicatatkan pada 2005 termasuk satu kematian.

Malah secara umum, pada 2001 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) merekodkan 2 juta kematian kanak-kanak seluruh dunia disebabkan penyakit yang boleh dicegah melalui vaksin. Justeru, WHO menyarankan vaksin yang sudah dibangunkan bagi mencegah pelbagai jenis penyakit yang boleh mengancam nyawa diberikan kepada kanak-kanak. Walaupun di satu pihak lain, pemberian vaksin dilihat sebagai kontroversi tetapi bagi WHO ia adalah cara yang terbukti boleh mengawal penyakit. Pakar Pediatrik dan Neonatal, Hospital Pakar Damansara, Dr Musa Mohd Nordin, berkata vaksin penting untuk kanak-kanak kerana mereka tidak memiliki imuniti yang diperlukan dan antibodi menentang penyakit.
“Kanak-kanak yang mendapat imunisasi membantu melindungi kesihatan komunitinya terutama mereka yang tidak mendapat imuniti. Selain itu, imunisasi juga boleh memperlahankan atau menghentikan wabak penyakit,” katanya. Sebagai contoh, polio misalnya satu ketika dulu penyakit paling ditakuti di Amerika menyebabkan kematian dan lumpuh. Mangsa polio terkenal tentu saja Presiden Amerika, Franklin Roossevelt. Selepas polio diperkenalkan pada 1955, polio bukan lagi masalah kesihatan yang mengancam nyawa. Di Malaysia, kes terakhir polio dicatatkan pada pertengahan 1980an. Kemudian, negara bebas polio melalui pemberian imunisasi yang diwajibkan menerusi jadual pemberian vaksin kebangsaan. Hanya pada awal 1990an, tiga kes polio dicatatkan di Malaysia. Bagaimanapun semua kes itu membabitkan warga asing. Dr Musa berkata, di sesetengah negara apabila sesuatu penyakit itu tidak lagi menjadi kebiasaan masyarakat mula mempersoalkan kewajaran pemberian vaksin itu. Antaranya pertikaian dan desakan antara orang awam di United Kingdom (UK) dengan kementerian kesihatannya mengenai pemberian vaksin batuk kokol pada 1970an.
Berikutan desakan awam, UK menghentikan pemberian vaksin pencegah batuk kokol. Hanya dalam tempoh beberapa tahun, epidemik batuk kokol muncul semula dengan membabitkan 100,000 kes termasuk 36 kematian. Mengapa vaksin untuk kanak-kanak sangat penting? a) Bayi yang baru lahir imun terhadap banyak jenis penyakit kerana antibodi yang diperoleh daripada ibu mereka. Bagaimanapun, durasi imuniti ini hanya bertahan antara sebulan hingga setahun. Apatah lagi kanak-kanak tidak memiliki imuniti ‘maternal’ melawan sesetengah penyakit yang boleh dicegah melalui vaksin seperti batuk kokol. b) Jika kanak-kanak tidak menerima imunisasi dan terdedah kepada bakteria membawa penyakit, tubuhnya mungkin tidak cukup kuat untuk melawan penyakit. Sebelum adanya vaksin, kebanyakan kanak-kanak meninggal dunia disebabkan penyakit seperti batuk kokol, campak dan polio. Walaupun penyakit itu masih wujud hingga kini, ia sudah boleh ditangani dengan vaksin. Bagaimana vaksin melindungi kanak-kanak dari penyakit? Setiap kanak-kanak lahir dengan sistem imun yang terdiri daripada sel, kelenjar, organ dan cecair yang terletak di seluruh tubuhnya dan berupaya melawan bakteria dan virus. Sistem imun yang sihat dan normal memiliki keupayaan menghasilkan berjuta-juta antibodi untuk menentang serangan bakteria setiap hari. Banyak antibodi akan ‘hilang’ selepas ia memusnahkan sel asing tetapi sel yang terbabit dalam penghasilan antibodi (disebut memori sel) akan kekal. Sel ini akan mengingati antigen (sebatian luar yang merangsang penghasilan antibodi) asal dan akan mempertahankan sistem tubuh jika ia cuba menyerang lagi. Perlindungan itu dinamakan imuniti. Vaksin memiliki antigen yang sama atau sebahagian antigen yang menyebabkan penyakit tetapi antigen dalam vaksin adalah sama ada yang sudah dilemahkan atau sudah dimatikan. Apabila ia disuntik dalam tisu lemak atau otot, antigen vaksin tidak cukup kuat untuk menghasilkan simptom dan tanda penyakit tetapi cukup kuat untuk sistem imun menghasilkan antibodi menentangnya. Memori sel yang ada mencegah jangkitan sekali lagi jika ia berlaku pada masa depan. Justeru melalui vaksinasi, kanak-kanak membina imuniti tanpa menderita penyakit sebenar. Contoh paling mudah yang diberikan Dr Musa adalah demam pelentung. Ali mengambil vaksin manakala Ah Chong menderita demam pelentung. Ali tidak diserang pelentung begitu juga Ah Chong tetapi imuniti yang dibina Ah Chong perlu dibayar dengan harga kesakitan dan kesengsaraan manakala harga vaksin Ali mungkin kurang daripada RM100 saja.

UBAT DIABETES JENIS KEDUA DI PERBAHARUI

Ubat metformin menjadi antara rawatan utama yang diberikan kepada pesakit diabetes jenis kedua di seluruh dunia. Ubat Glucophage (tablet metformin hidroklorida) keluaran syarikat farmasi ternama Merck pula kini telah diperbaharui untuk memberi kesan rawatan lebih baik kepada pesakit diabetes jenis kedua.
Diberikan nama baru Glucophage XR, ubat ini dikatakan memudahkan jadual waktu pengambilan ubat pesakit yang kini hanya perlu mengambil ubat berkenaan sekali sahaja pada waktu makan malam setiap hari.
Melalui pembaharuan pada ubat ini, pesakit yang memerlukan dos kepekatan yang berbeza (1,000 miligram hingga 2,000 miligram) juga tidak perlu risau terlupa mengambil ubat memandangkan boleh mengambil kesemua pil secara serentak pada waktu malam.
Selain itu, ujian ke atas Glucophage XR turut didakwa menunjukkan penurunan kesan sampingan terhadap salur penghadaman pesakit, penurunan risiko hipoglisemia (tahap gula darah rendah) dan pengawalan berat badan yang lebih berkesan.
Pesakit diabetes jenis kedua atau ahli keluarga yang berminat mengetahui lebih lanjut mengenai ubat ini boleh bertanya kepada doktor masing-masing atau dengan melayari laman web www.merck.com.my dan e-mel achua@merck-de.com.my

TANGANI TEKANAN MENTAL SECARA POSITIF

BERBEZA dengan artikel lalu mengenai pemakanan sihat untuk menguruskan badan, kali ini, saya ingin menyentuh masalah tekanan yang kita hadapi dan kepentingan bersenam dalam kehidupan seharian kita. Menguruskan tekanan mental yang anda hadapi Tekanan mental dalam hidup seharian kita wujud dalam pelbagai bentuk dan saiz. Setiap orang menangani tekanan mental mengikut cara tersendiri. Ada yang menganggapnya sebagai dorongan untuk mengusahakan sesuatu tugasan. Bagi orang lain, tekanan mental boleh melumpuhkan semangat. Ada yang cuba menanganinya dengan makan mengikut nafsu manakala yang lain tunduk kepada godaan alkohol dan dadah. Sepatutnya, anda tidak boleh ditewaskan tekanan mental. Caranya ialah dengan mempelajari bagaimana menguruskan tekanan mental dengan berkesan.

Saya pernah ternampak plak di atas meja seorang pengarah syarikat berbunyi “Adakah anda datang membawa penyelesaian kepada masalah atau adakah anda sebahagian daripada masalah?” Kebanyakan majikan menggunakan kenyataan seperti itu untuk mengingatkan pekerja, khususnya di peringkat eksekutif, mengenai sumbangan atau ketiadaannya kepada organisasi itu. Ini kerana, majikan membayar gaji atas jangkaan kewajipan yang sudah dijanjikan itu akan dilaksanakan pekerja. Suasana perniagaan hari ini pantas pergerakannya dan mencabar dengan tahap persaingan yang tinggi. Mereka yang cekap, memiliki dorongan dan tenaga secukupnya, mempunyai arah tuju yang jelas dan sasaran persendirian dan kerjaya yang jelas akan berjaya. Mereka yang kurang cekap atau kurang dorongan akan ketinggalan. Ada eksekutif menetapkan sasaran amat tinggi dan tidak pernah goyah dalam usaha mencapainya, namun kejayaan tetap tidak dapat dikecapi. Kegagalan mereka itu disebabkan penetapan sasaran terlalu tinggi dengan mengambil kira masa dan bakat, masalah peribadi yang amat membebankan, pengurusan masa tidak cekap atau kerap tidak hadir bekerja disebabkan penyakit kronik.
Atau mungkin juga mereka sudah kehilangan hala tuju, dengan menganggapnya pula sebagai tekanan yang menelan tenaga. Mereka ini akhirnya akan begitu tertekan sehingga tidak lagi menjadi aset kepada organisasi malah beban. Sudah tentu majikan tidak inginkan eksekutifnya berasa tertekan kerana mereka sedar, tekanan mental itu boleh menyebabkan penyakit seperti hipertensi, penyakit jantung, migrain, sembelit, ulser gastrik, kelesuan, insomnia, permasalahan usus dan kemandulan, yang semuanya akan bermakna kurang masa dapat ditumpukan kepada kerja. Tekanan mental adalah gerak balas kepada keadaan yang dirasai Badan manusia mempunyai suatu set keadaan biokimia yang cuba menyesuaikannya dengan rangsangan dirasai sebagai tekanan, ketegangan dan tekanan mental. Ini menghasilkan perubahan psikologi dan fisiologi. Kelenjar pituitari, yang terletak di bawah otak, menghasilkan hormon yang kemudiannya merangsang pengeluaran hormon tambahan daripada kelenjar adrenal, yang terletak di sebelah buah pinggang, termasuklah hormon adrenalin dan kortisol. Andainya badan manusia dikenakan tekanan, ketegangan dan tekanan mental sedemikian berulang kali, jumlah adrenalin dan kortisol yang dihasilkan akan melebihi had selamat kepada badan manusia.
Kelebihan adrenalin akan menambahkan risiko darah beku dan pengerasan arteri. Ini boleh menyebabkan pelbagai penyakit vaskular termasuk serangan jantung dan strok.

PNEUMOKOKUS

Jika anda bertanyakan seseorang tentang penyakit pneumokokus, anda mungkin mendapat jawapan “Pneumo apa?”. Tidak dikenali suatu ketika dulu, penyakit pneumokokus kini mula menarik perhatian ibu bapa di Malaysia.
Ini kerana masih ramai tidak mengetahui atau memahami penyakit ini yang amat mudah berjangkit kepada kanak-kanak melalui titisan yang disebar ketika bersin atau batuk.
Kanak-kanak di bawah umur 24 bulan amat mudah terdedah dengan penyakit ini, terutama sekali bagi mereka yang berada di tempat asuhan kanak-kanak atau mereka yang rendah sistem imuniti badan.
Pakar Perunding Pediatrik dan ahli panel Positive Parenting, Dr. Mary Marret menjawab beberapa soalan penting tentang penyakit ini dan mengapa ibu bapa perlu ambil tahu mengenainya.
Adakah penyakit ini sesuatu yang baru muncul dan tidak pernah dihadapi sebelum ini? Apa perbezaan dalam rawatan pneumokokus kini?
Dr. Marret: Komuniti perubatan telah lama mengetahui tentang bakteria pneumokokus dan penyakit yang disebabkan bakteria ini, maka ia bukanlah perkara yang baru. Apa yang baru ialah sekarang sudah ada vaksin yang boleh melindungi bayi dari penyakit ini.
Sebelum ini, vaksin tersebut masih belum ada. Vaksin lebih penting sekarang kerana didapati terdapat semakin banyak rintangan (pertahanan) bakteria kepada antibiotik kini.
Apakah tanda-tanda awal kanak-kanak yang dijangkiti pneumokokus?
Dr. Marret: Penyakit pneumokokus akan menyebabkan terjadinya penyakit-penyakit berbahaya seperti radang paru-paru (pneumonia), jangkitan pada telinga tengah, jangkitan pada darah (bakteraemia) dan meningitis. Oleh itu, tanda-tanda awal bergantung kepada jenis jangkitan serta umur kanak-kanak tersebut.
Sebagai contoh, kanak-kanak yang mengalami radang paru-paru (pneumonia) akan batuk dan sukar bernafas. Bagi mereka yang mendapat jangkitan telinga tengah pula mungkin mengalami demam panas, dan kadang-kadang telinganya akan bernanah.
Selalunya jangkitan pneumokokus tidak mempunyai simptom-simptom khusus, terutama sekali bagi kanak-kanak yang mendapat bakteraemia dan meningitis.
Simptom-simptom yang biasa dilihat termasuklah demam panas, keletihan, muntah-muntah dan sakit badan. Kadangkala, kanak-kanak itu juga mungkin mendapat sawan atau kekejangan otot.
Kesemua simptom yang saya nyatakan di atas adalah sama dengan penyakit yang disebabkan oleh bakteria atau virus lain.
Oleh itu, diagnosis penyakit pnemokokus boleh dicapai dengan mengenal pasti bakteria yang terdapat dalam darah, kahak atau sampel cecair yang diambil dari kanak-kanak yang dijangkiti itu.
Apa yang terjadi pada kanak-kanak yang dijangkiti penyakit pneumokokus?
Dr. Marret: Ini bergantung pada jenis jangkitan, diagnosis awal dan rawatan awal yang diberikan. Kanak-kanak sihat yang mendapat radang paru-paru (pneumonia), jangkitan telinga tengah dan juga jangkitan pada darah boleh sembuh sepenuhnya sekiranya jangkitan dikenal pasti dan dirawat pada peringkat awal lagi.
Namun, jangkitan seperti radang paru-paru (pneumonia) amat berbahaya kepada bayi yang tinggal di kawasan yang terpencil terutamanya jika tidak boleh mendapat rawatan segera.
Kes malang seperti ini banyak berlaku di kalangan kanak-kanak yang tinggal di kawasan pedalaman yang sukar mendapat bantuan perubatan dengan pantas.
Salah satu jangkitan serius yang disebabkan oleh penyakit pneumokokus ialah meningitis, atau jangkitan pada selaput yang melindungi otak.
Meningitis pnuemokokus boleh menyebabkan kerosakan yang teruk pada otak yang menyebabkan komplikasi seperti kecacatan mental, hilang upaya fizikal seperti palsi serembrum, sawan, dan juga masalah pendengaran.
Walaupun antibiotik digunakan sebagai rawatan, ia bukan suatu yang mudah untuk mengelakkan komplikasi sampingan, terutama sekali di kalangan bayi kecil.
Mencegah lebih baik daripada mengubati. Apakah reaksi ibu bapa mengenai vaksin baru untuk jangkitan pneumokokus?
Dr. Marrett: Persatuan Pediatrik Malaysia telah mula memberi maklumat melalui media tentang vaksin ini. Ia mula memberi kesedaran kepada ibu bapa yang turut memberi maklum balas kepada kami untuk memberi perlindungan kepada anak-anak mereka.
Bagaimanapun, masih ada ibu bapa yang tidak sedar tentang masalah ini atau ragu-ragu untuk membawa anak mereka mendapatkan vaksinasi disebabkan masalah kos.
Sementara kos masih menjadi isu, penting untuk anda fikirkan bahawa kebaikan yang diterima lebih bermakna dari jumlah wang yang dikeluarkan. Risiko komplikasi-komplikasi dan penderitaan yang disebabkan oleh penyakit ini adalah serius.
Perkara yang paling utama untuk ibu bapa pertimbangkan sekarang adalah pencegahan penyakit ini daripada berlaku kepada anak mereka.
Artikel pendidikan ini adalah daripada Program Positive Parenting yang diurus oleh Persatuan Pediatrik Malaysia dengan sumbangan geran pendidikan tanpa syarat dari Wyeth Pharmaceuticals. Untuk maklumat lanjut, sila kunjungi www.mypositiveparenting.org

MUDARAT AIR BANJIR

RUAM, demam, sakit perut, muntah dan cirit-birit merupakan gejala jangkitan bakteria dan virus daripada air banjir.

BANJIR sudah menjadi antara ‘acara’ tahunan beberapa kawasan di Malaysia sementara beberapa kawasan lain mula dilanda banjir akibat perubahan iklim dunia.
Mungkin kejadian banjir yang paling mudah diingati adalah banjir di Semenanjung Malaysia dan Sabah tahun lalu yang membunuh lebih 10 orang penduduk serta banjir besar New Orleans, Louisiana, Amerika Syarikat yang menyebabkan lebih 1,800 terbunuh.
Namun bukan angka kematian dan kerugian yang menjadi masalah utama banjir. Keutamaan sepatutnya diberikan kepada pencegahan kematian dan penularan penyakit, terutamanya melindungi kanak-kanak bukan sahaja daripada arus deras banjir malahan pelbagai jenis kuman dan haiwan berbisa yang di bawa air banjir.
Banjir terburuk dalam sejarah 100 tahun negara ini dicatatkan antara 19 Disember 2006 hingga 11 Januari 2007, dengan kerugian mencecah RM1.5 bilion sementara RM6 bilion lagi diperlukan untuk pelan tebatan banjir jangka panjang.
Paling teruk dilanda banjir ketika itu merupakan negeri Johor yang mencatatkan lebih 10 kematian dalam dua gelombang besar banjir yang melanda sehinggakan lebih 150,000 penduduknya dipindahkan pada kedua-dua gelombang tersebut.
Kedua-dua gelombang banjir yang dikaitkan dengan perubahan iklim dunia, pemendapan sungai dan kegagalan sistem perparitan berfungsi itu menjadi bencana paling teruk dalam sejarah dengan jumlah kerugian nyawa serta harta yang besar.
Kawasan yang berhampiran dengan laut juga berisiko dilanda banjir akibat air pasang ketika bulan penuh atau akibat taufan yang membawa awan hujan ke kawasan pesisir pantai.
Faktor sebegini selalunya sukar diatasi dalam jangka pendek kerana adalah sifat semula jadi alam sekitar.
Bagaimanapun, faktor manusia sememangnya menambah kepada kesan banjir. Ini jelas terbukti akibat kerja pembersihan hutan dan pembalakan berhampiran hulu sungai menyebabkan hakisan bumi yang membawa tanah ke dalam sungai.
Pokok berfungsi menahan ‘hentaman’ air hujan ke atas muka bumi dan menyerap air berlebihan selain akar tumbuhan menjalar seperti rumput memegang permukaan bumi daripada terhakis.
Akibat ketiadaan benteng semula jadi, kejadian tanah runtuh kerap berlaku setiap kali hujan, menjadikan sungai mendap serta semakin cetek dan tidak dapat menampung jumlah air yang banyak.
Selain itu, terdapat juga syarikat atau individu yang membina penempatan di kawasan rendah, terutamanya berhampiran sungai, tanpa memikirkan kemungkinan air melimpahi tebing sungai dan menyebabkan banjir.
Walaupun secara logiknya perkara ini sepatutnya tidak berlaku, ada yang lebih mementingkan keuntungan daripada keselamatan orang ramai yang membeli kediaman di kawasan yang sepatutnya menjadi ‘lembah’ takungan air ini.
Gelombang banjir
Gelombang atau banjir berulang adalah antara sifat banjir yang sering berlaku. Dalam gelombang banjir, gelombang kedua selalunya menyusul tidak lama selepas gelombang pertama mula surut (antara satu hingga dua minggu selepas gelombang pertama melanda).
Masalah dalam sifat gelombang ini adalah caranya mengancam nyawa dan menjejaskan kesihatan mangsa banjir adalah berbeza.
Gelombang pertama selalunya membawa arus air kuat melalui kawasan kediaman, menenggelamkan segalanya sedalam mungkin dan secepat mungkin. Ketika ini ramai yang mati lemas dibawa arus akibat terjatuh ke dalam arus deras atau ketika mandi air banjir.
Jangkitan penyakit tidak banyak berlaku kerana gelombang pertama selalunya membawa air yang lebih bersih daripada air gelombang kedua sementara arus deras mengelakkan kuman daripada bertakung dan merebak.
Menurut Pakar Perubatan dan Pakar Buah Pinggang Hospital Pantai Indah, Kuala Lumpur, Dr. Lim Chin Seng, gelombang kedua membawa lebih banyak masalah terutamanya penularan penyakit berjangkit.
“Gelombang pertama akan menyebarkan semua sampah yang terkumpul di samping turut membunuh pokok dan haiwan. Sampah bertaburan, bangkai yang reput dan pokok mati kemudian menjadi makanan kepada kuman membiak yang akan merebak di dalam air gelombang banjir kedua,” katanya.
Kata beliau, gelombang kedua menyaksikan banyak penyakit berjangkit merebak di kalangan mangsa banjir yang menyentuh atau bermain di dalam air banjir.
Tambahnya, kuman punca penyakit ini juga akan mudah merebak di kawasan pemindahan jika tahap kebersihan tidak dijaga.
Masalah utama ketika gelombang kedua adalah ketiadaan tempat membuang sampah dan najis yang bersesuaian.
Tindakan membuang sampah atau najis ke dalam air banjir pula hanya akan menyebarkan penyakit kepada orang lain yang mengharungi limpahan air tersebut.
Selain itu, ketika banjir, banyak haiwan meninggalkan sarang mereka dan melarikan diri ke kawasan lebih tinggi bagi mengelakkan air banjir. Haiwan berbisa seperti lipan dan ular boleh membawa ancaman kepada mangsa yang berkumpul di tempat tinggi.
Selain itu, tikus dan lipas juga akan melarikan diri ke tanah tinggi dan mungkin akan menyebarkan pelbagai jenis penyakit lain lagi.
Disebabkan pelbagai bentuk bahaya air banjir ini, Dr. Lim menasihatkan mangsa banjir yang tersentuh air banjir supaya membasuh tangan sebelum dan selepas makan dan jangan sesekali menyentuh muka.
Mencuci tangan dengan hanya menggunakan air sahaja dapat mengurangkan berkali-kali ganda risiko jangkitan kuman.
Adalah lebih baik lagi jika dapat membasuh tangan dengan sabun terutamanya ketika waktu makan, ke tandas atau menguruskan sampah.
Kuman bukan sahaja dapat memasuki salur penghadaman melalui mulut malahan boleh menyerang salur pernafasan melalui hidung, menjangkiti mata, sinus dan kulit.
Kawasan sekitar rumah juga perlu dicuci secepat mungkin selepas banjir surut bagi mengelakkan pembiakan kuman dan nyamuk yang boleh menyebarkan penyakit seperti denggi dan malaria pula.
Elakkan daripada memakan makanan mentah termasuk ulam dan buah yang tidak dibasuh serta makanan yang terjatuh ke dalam air banjir, walaupun dibungkus plastik kerana kuman boleh disebarkan ke atas makanan dari permukaan bungkusan berkenaan ketika anda membukanya.
Buang semua makanan yang tidak pasti sudah tercemar atau tidak (kecuali terpaksa) sementara makanan dalam tin adalah yang paling selamat kerana tin boleh dibasuh dengan elok sebelum dibuka dan tidak mudah bocor.
Mangsa banjir juga perlu berhati-hati dengan makanan di dalam peti sejuk terutamanya jika bekalan elektrik terputus.
Kuman seperti Salmonella dan E. coli mudah mencemari makanan di dalam peti sejuk yang tidak berfungsi.
Buang makanan di dalam ruang atas peti sejuk kerana makanan yang disimpan di situ hanya dapat bertahan antara dua dan empat jam sahaja.
Makanan di dalam bahagian sejuk beku pula dapat bertahan antara setengah hari sehingga 24 jam.
Makanan beku masih boleh dimakan jika terdapat peralatan dan air bersih untuk memasak.
Kerajaan telah menyediakan pelbagai jenis kemudahan dan keperluan asas untuk mangsa banjir terutamanya bagi mengesan jangkitan kuman dan memberikan rawatan sewajarnya.
Namun, masalah dari segi bilangan doktor yang dapat memberikan ubat, khususnya kepada pesakit kronik, memerlukan perhatian teliti.
Selain kanak-kanak dan warga emas, pesakit kronik yang menghidap penyakit kencing manis, masalah jantung, darah tinggi, lelah dan masalah buah pinggang memerlukan ubat dan rawatan khas.
Pesakit kronik biasanya memerlukan ubat dengan preskripsi yang tidak dapat diberikan di pusat pemindahan tanpa kebenaran doktor.
Selain itu, pusat rawatan seperti pusat dialisis juga perlu mengambil berat situasi pesakit buah pinggang yang memerlukan rawatan dialisis kira-kira tiga kali setiap minggu.
Pesakit buah pinggang yang terperangkap dan tidak dapat menerima rawatan sewajarnya mungkin maut akibat pengumpulan toksin di dalam badan.
Golongan kurang upaya juga perlu diberi perhatian kerana memerlukan bantuan jika perlu dipindahkan di samping memerlukan ubat-ubat tertentu.
Banjir sememangnya menjadi cabaran untuk mangsa dan juga pihak berkuasa.
Namun, semua pihak perlu bekerjasama bagi mengelakkan masalah kesihatan di ketika bantuan amat sukar untuk disampaikan dengan segera.
Oleh itu, jangan ‘cari penyakit’ dengan bermain air banjir dan patuhi arahan pihak kesihatan di tempat anda.
Elakkan air banjir
Jangkitan kuman daripada air banjir atau makanan dan air tercemar adalah sesuatu yang dihadapi mangsa banjir semasa dan selepas banjir surut.
Kesan jangkitan kuman boleh menjadi amat teruk jika tidak diberikan rawatan awal terutamanya kanak-kanak, warga emas dan pesakit kronik yang paling berisiko dan mudah dijangkiti kuman.
Dr. Lim menjelaskan kebersihan sumber air juga menjadi faktor penentu berapa lama mangsa banjir dapat bertahan.
“Walaupun rumah dikelilingi banjir, mangsa banjir tidak boleh menggunakan air yang kotor itu.
“Mereka memerlukan air bersih dan selalunya air paip juga tidak dapat dibekalkan ketika banjir,” ujarnya.
Menurut beliau, walaupun air paip dapat dibekalkan, mangsa banjir menghadapi risiko air paip tercemar akibat paip pecah atau pusat takungan air dicemari air banjir.
Tegasnya, air botol adalah yang paling elok untuk kegunaan mangsa bagi mencuci tangan, minum dan memasak.
Mencuci tangan diutamakan kerana tangan yang pernah menyentuh air banjir akan dipenuhi dengan bermacam jenis kuman yang dapat dipindahkan ke air atau makanan bersih.
Air botol juga dapat menyelesaikan masalah mangsa banjir yang berhadapan dengan kesukaran mendapatkan bekas simpanan air yang bersih atau tidak mempunyai bekalan elektrik dan gas untuk memasak air.
Penduduk pedalaman yang menggunakan perigi pula akan menghadapi masalah lebih besar daripada pengguna air paip.
Memandangkan air perigi tidak boleh digunakan ketika dan selepas banjir, penduduk pedalaman akan terputus bekalan air bersih dan akan memerlukan bantuan segera.
Air perigi akan dicemari air banjir melalui cara melimpah masuk atau meresap melalui tanah terus ke dalam perigi.
Apa dalam air banjir?
Secara asasnya, kebanyakan orang mengetahui air banjir itu dipenuhi pelbagai jenis bentuk kotoran dan kuman.
Namun, ada yang memilih untuk tidak mempedulikannya sementara ada juga yang tidak mempunyai pilihan selain mengharunginya.
Bermacam-macam kuman boleh ditemui di dalam air banjir terutamanya kuman yang boleh menyebabkan jangkitan terhadap sistem penghadaman; melalui mulut, luka pada kulit dan mata.
Paling utama bagi setiap mangsa banjir adalah untuk memahami punca jangkitan dan gejala jangkitan kuman supaya boleh mendapatkan rawatan awal serta mengelakkan penyebaran kuman kepada orang lain.
Kebanyakan kuman air banjir menyerang sistem penghadaman dan menunjukkan gejala yang hampir serupa seperti demam, sakit perut, muntah, cirit-birit dan ruam.
Perkara yang paling membimbangkan dalam kesemua jangkitan ini adalah kemungkinan membawa maut jika tidak dirawat dengan segera akibat badan kehilangan air atau kerosakan pada organ seperti buah pinggang dan hati.
* Taun (kolera) adalah penyakit biasa di musim banjir.
Penyakit ini berpunca daripada jangkitan bakteria Vibrio cholerae (V. choreae) melalui air dan makanan tercemar yang menyebabkan pesakit mengalami gejala muntah dan cirit-birit.
Kematian boleh berlaku jika pesakit tidak minum atau diberikan air dan garam galian secukupnya bagi menggantikan air yang hilang ketika muntah atau cirit.
Jangkitan V. choreae dapat dikenali melalui najis yang kelihatan seperti air kanji ketika memasak nasi sementara penggunaan antibiotik selalunya berkesan untuk merawat pesakit.
* Bakteria Escherichia coli (E. coli) boleh menyebabkan cirit-birit berdarah (disentri) akibat keracunan makanan.
Walaupun bakteria ini hidup secara normal di dalam usus individu yang sihat, tekanan dan jangkitan kuman lain ketika banjir mungkin melemahkan sistem pertahanan badan sehingga memungkinkan ‘sahabat’ manusia ini menjadi musuh.
Gejala sakit perut dan cirit-birit akibat jangkitan E. coli dapat dirawat menggunakan antibiotik biasa.
* Koronavirus juga boleh menyebabkan disentri tetapi tiada rawatan khusus untuk jangkitan virus ini.
Selain itu, beberapa spesies bakteria jenis Shigella dan ameba Entamoeba histolytica juga boleh menyebabkan disentri.
Antibiotik dapat digunakan untuk membunuh bakteria sahaja tetapi untuk ameba beberapa jenis ubat parasit diperlukan untuk rawatan.
* Demam kepialu (tifoid) merupakan antara yang paling kerap berlaku di kalangan mangsa banjir akibat jangkitan bakteria Salmonella typhi (S. typhi).
Salmonella memang terkenal dan sering dikaitkan dengan masalah keracunan makanan.
Bakteria ini disebarkan melalui najis pesakit dan tangan pembawa yang mencemarkan bekalan air atau makanan.
Pembawa S. typhi selalunya tidak menunjukkan gejala demam kepialu kerana badannya dapat menentang jangkitan bakteria itu tetapi tidak dapat membunuhnya.
Pesakit demam kepialu akan mengalami sakit perut yang teruk, cirit-birit dan demam panas yang akan berlanjutan sehingga empat minggu.
Dalam keadaan yang parah atau tidak dirawat dengan segera, pesakit mungkin mula meracau, pengsan, koma dan mungkin meninggal dunia akibat kekurangan air di dalam badan.
* Hepatitits A adalah antara virus yang dapat menyerang sistem penghadaman melalui jangkitan daripada makanan dan air tercemar.
Seperti juga virus Hepatitis B dan C, virus ini menyebabkan kerosakan hati sehinggakan kulit pesakit kelihatan agak kekuningan.
Seperti penyakit lain yang menglibatkan kerosakan hati, pesakit akan mula hilang selera makan akibat hati tidak dapat membersihkan toksin daripada badan.
Penyakit ini tidak mempunyai ubat khusus dan pesakit selalunya dinasihatkan berehat, minum air secukupnya dan menjaga pemakanan.
* Rotavirus A adalah satu lagi virus yang menjangkiti usus manusia ketika musim banjir.
Walaupun kebiasaannya lebih mudah menjangkiti kanak-kanak, virus ini juga dapat menyerang golongan dewasa yang mengharungi air banjir dan menyebabkan cirit-birit yang teruk.
Pesakit selalunya pulih sendiri dengan meminum banyak air bagi membolehkan sistem imun badan menapis virus tersebut daripada dalam badan.
Terdapat vaksin yang dikeluarkan sejak 1998 bagi mengurangkan masalah cirit-birit bagi kanak-kanak yang dijangkiti virus ini tetapi vaksin berkenaan perlu diberikan sebelum virus itu menjangkiti pesakit melalui air banjir.
* Leptrospirosis merupakan sejenis penyakit bawaan tikus melalui air kencing dan najisnya yang menyebarkan bakteria dari genus Leptospira (spesies icterohaemorrhagiae, canicola, pomona, grippotyphosa, atau bratislava).
Selain tikus, bakteria ini juga boleh disebarkan anjing, rusa, arnab, lembu dan kambing yang telah dijangkiti. Terdapat pelbagai bentuk gejala penyakit ini tetapi pesakit juga mungkin langsung tidak menunjukkan sebarang gejala.
Gejala selalunya bermula seperti selesema (demam, sakit kepala, sakit otot, muntah dan badan terketar-ketar).
Pesakit kemudiannya akan kelihatan semakin baik sebelum timbul gejala lain seperti meningitis, kerosakan hati dan kerosakan buah pinggang.
Penyakit ini juga sering disalah diagnosis berikutan terdapat banyak gejala dan tempoh eraman antara empat hingga 14 hari di mana pesakit tidak menunjukkan sebarang gejala jangkitan.

HUBUNGAN KELAMIN SELEPAS BERSALIN

Hubungan kelamin selepas bersalin

Oleh: PROF. MADYA DR. SHAH REZA JOHAN NOOR (Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM)

DI kalangan wanita Kelantan, lazimnya mereka tidak melakukan hubungan kelamin selama 100 hari selepas bersalin.
Apabila ditanya kenapa, tidak ada jawapan khusus kerana ianya hanya amalan turun- temurun dari emak kepada anak.
Walaupun tidak melakukan hubungan kelamin, mereka tidur bersama suami.
Kecekalan serta daya tahan ini memerlukan dedikasi yang padu dan dari segi perancangan keluarga, ini amat memberangsangkan.
Lain bangsa lain pula amalan mereka dan tiada pula bukti yang menyokong kenapa setiap amalan diteruskan.
Walau bagaimanapun, tempoh sebegini boleh dikatakan bagus sebab wanita sempat mengembalikan kecergasan fizikal selepas penat bersalin dan mengandung selama 40 minggu.
Suami sepatutnya lebih arif serta memahami tugas serta tanggungjawab baru sebagai seorang bapa.
Hubungan suami isteri kini bukan hanya melibatkan hubungan kelamin semata-mata, ianya lebih dari itu!
Walaupun hubungan kelamin semasa mengandung yang kerap, aktif dan menyeronokkan TETAPI lain pula selepas bersalin. Hubungan kelamin bukanlah agenda utama sekarang dan ini akan berlarutan untuk beberapa julat masa yang agak lama kelak.
Proses kelahiran merupakan aktiviti fizikal yang amat meletihkan.
Bayangkan isteri terpaksa menahan kesakitan serta kontraksi rahim untuk berjam-jam lamanya, sama seperti pelari maraton semasa menyertai Sukan Olimpik!
Tentulah isteri akan keletihan serta kelesuan, apatah lagi apabila diberi ubat penahan sakit jenis narkotik semasa proses kelahiran.
Kemuncak emosi berlaku apabila melihat bayi yang dilahirkan sihat serta selamat.
Badan isteri (kini ibu) akan mengambil masa untuk pulih kembali, terutamanya selepas mengalami beberapa perubahan hormon semasa mengandung.
Adaptasi serta fokus isteri kini bertumpu sebagai seorang ibu dan mula menampakkan keanggunan paling menyerlah seorang wanita.
Tempoh selepas bersalin dikenali sebagai “POSTPARTUM” dan kehadiran ‘si sayang’ baru menambahkan lagi keberkesanan perhubungan serta komunikasi suami dan isteri.
Kemaskini cara berkomunikasi bersama sebelum agenda hubungan kelamin dimulakan kembali.
Suami tentu faham akan tanggungjawab masing-masing terhadap si kecil dan juga sesama sendiri.
Kerana kesibukan tanggungjawab baru, mungkin seorang ibu terlupa akan tanggungjawab isteri dalam hubungan kelamin.
Ingat, penyusuan badan merendahkan hormon estrogen dari ovari dan ini menyebabkan suasana dalaman faraj kering.
Jadi sekiranya hubungan kelamin dilangsungkan, pastikan cecair pelincir digunakan, mungkin juga isteri serta suami boleh melambatkan hubungan kelamin (zakar-faraj) dengan meningkatkan aktiviti sentuhan atau cumbuan.
Mungkin isteri juga akan perasan yang garis pusat faraj serta kontraksi otot-otot di sekitarnya tidak sekuat sebagaimana sebelum bersalin.
Jangan runsing kerana dengan penyusuan badan serta latihan senaman khusus di bahagian pinggul dan perineum akan mengembalikan struktur asal faraj dengan lebih berkesan.
Sekiranya isteri masih tidak berpuas hati, boleh juga berjumpa dengan doktor untuk nasihat lanjut.
*Nasihat doktor
Hubungan kelamin mempunyai kebaikannya tersendiri.
Hormon yang dikeluarkan semasa hubungan kelamin dapat mencepatkan lagi proses penyembuhan setelah bersalin.
Begitu juga dengan penyusuan melalui payudara yang dapat mengembalikan rahim kepada saiz asalnya dengan lebih cepat.
Ada doktor yang menasihatkan supaya berehat dari hubungan kelamin selama enam minggu tetapi sebenarnya nasihat ini tidak mempunyai bukti kukuh bagi menyokongnya.
Ada pula doktor yang nasihatkan supaya berehat di antara tiga hingga enam minggu, bergantung kepada tempoh:
* Berhentinya pendarahan dan discaj selepas bersalin.
* Penyembuhan luka dari episiotomi (guntingan) di faraj semasa proses kelahiran.
* Penyembuhan dari pembedahan caesarean.
Beberapa sebab lain juga boleh menyebabkan keinginan hubungan kelamin menurun seperti:
* Keletihan dan kelesuan dari tanggungjawab baru; setiap kelahiran merupakan pengalaman baru.
Banyakkan minum air serta makan makanan yang berkhasiat.
* Ketegangan dan rasa tidak selesa; mungkin kesakitan dari tempat jahitan episiotomi dan juga di abdomen dari kelahiran caesarean.
Senaman ringkas khas untuk mereka selepas bersalin juga boleh mengurangkan ketegangan.
* Menyusu badan; menyebabkan cairan lubrikasi (pelincir) di faraj menurun sehingga faraj menjadi kering dan berasa sakit ketika hubungan kelamin.
Cecair pelincir tiruan (alternatif) yang boleh didapati di farmasi boleh digunakan untuk mengelakkan kekeringan.
* Beranggapan bentuk badan sekarang tidak menarik; berat badan bertambah dan kulit pula menampakkan belang-belang di bahagian abdomen (selalunya berlaku di kalangan orang Malaysia kerana mempunyai pigmen warna kulit yang lebih banyak).
* Cemas dan waswas tentang peranan sebagai ibu; akibat melihat si comel yang begitu lemah serta sensitif.
* Fokus terganggu dengan bunyi tangisan si comel; langsung mengganggu aktiviti kelamin.
* Suami juga dipengaruhi oleh faktor-faktor sama dengan isteri; suami mungkin tidak bersyahwat dan langsung tidak berupaya untuk hubungan kelamin.
Jangan bimbang, sama-samalah berbincang dan hadapi setiap hari bersama.
* Takut ‘termengandung’; isteri serta suami mungkin tidak bersedia untuk seorang lagi si comel dalam masa terdekat.
Sekiranya ibu menyusu badan secara 100 peratus (tidak amalkan susu formula), proses ovulasi mungkin berlaku selepas tiga bulan.
Bagaimanapun, sekiranya pengenalan susu formula dilakukan bertindih dengan penyusuan badan, ovulasi mungkin berlaku hanya selepas tiga minggu.
Sekiranya penyusuan badan tidak dilakukan sepenuhnya, haid isteri mungkin akan kembali pada minggu keempat.
Secara langsung, mungkin diamati sebagai darah dari proses bersalin yang tidak lagi berhenti dan tiba-tiba jumlahnya banyak dari biasa.
Jadi isteri perlu berbincang dengan suami akan kaedah terbaik kontraseptif (perancangan keluarga) atau berjumpa dan bertanyakan doktor atau jururawat semasa lawatan susulan bayi.
Penggunaan kondom adalah cara terbaik untuk peringkat ini memandangkan isteri sedang menyusu badan.
Sekiranya isteri ingin mengambil ubat kontraseptif, pil yang mengandungi progesteron sahaja yang terbaik sebab ianya tidak mengurangkan jumlah susu.
Untuk alat dalam rahim pula, pastikan terlebih dahulu yang saiz rahim telah kembali ke saiz seperti sebelum mengandung.
Untuk seketika selepas bersalin, paras hormon estrogen serta progesteron akan jatuh dengan mendadak.
Ibu akan mengalami keadaan seperti putus haid terutamanya pada kawasan sekitar faraj.
Kadar pH faraj pula akan meningkat dan sel-sel yang melindungi faraj dari iritasi juga berkurang.
Ini akan menyebabkan ibu terdedah pada gangguan serta iritasi dari sabun atau cecair pencuci faraj lain.
Jangkitan kuman pada faraj juga mudah berlaku pada waktu ini, apatah lagi dengan kehadiran darah dan juga lelehan.
Jadi berhati-hatilah dengan bahan pelincir ataupun jenis kondom yang digunakan.
Penjagaan perineum amat penting selepas kelahiran kerana perineum adalah bahagian tubuh wanita yang berada di antara faraj dan dubur.
Kawasan ini perlu sentiasa bersih dan kering bagi mempercepatkan lagi proses penyembuhan dan mengelakkan sebarang jangkitan.
Tangan juga perlu dibasuh setiap kali menukar tuala wanita dan memastikan kawasan ini kekal kering dengan menyapu dari depan ke belakang menggunakan tuala atau tisu bersih.
Penjagaan rapi dapat mengelakkan kuman dari bahagian dubur daripada merebak ke kawasan luka.
Jahitan yang dibuat pada episiotomi ketika melahirkan anak biasanya akan hilang dalam masa dua minggu jika tiada sebarang jangkitan kuman.
Dalam pada itu, ada juga ibu-ibu yang mengalami perubahan emosi selepas bersalin yang turut menyukarkan hubungan kelamin.
Kemurungan akan dibebankan lagi dengan tanggungjawab baru sebagai seorang ibu sementara perubahan masa serta perubahan hubungan dengan suami serta anak.
Perasaan juga mungkin terganggu dengan perubahan hormon yang berlaku pada badan.
Adalah tidak janggal untuk seorang ibu merasakan cemas, kurang tidur, rasa keresahan serta kemurungan sehingga kadangkala mungkin menangis, sedih dan mudah terguris.
Suami harus memahami perubahan yang dilalui oleh isteri.
Semua ini adalah normal sekiranya berlaku dalam masa dua minggu pertama dan akan segera hilang apabila penyesuaian dengan persekitaran baru berlaku.
Bagaimanapun, jika masih berterusan, berbincanglah dengan doktor untuk nasihat lanjut.

HARAPAN BARU LINDUNGI MATA PESAKIT DIABETES

Harapan baru lindungi mata pesakit diabetes

LAKUKAN ujian mata secara berkala bagi mengesan kerosakan awal mata akibat penyakit kencing manis.

PENYAKIT diabetes, keadaan di mana kandungan gula di dalam darah lebih tinggi daripada normal kini menjadi antara penyakit paling menular di negara ini dan seluruh dunia.
Namun, keupayaan diabetes membawa bersamanya pelbagai penyakit lain menjadikannya lebih berbahaya dan membimbangkan.
Kandungan glukos yang tinggi di dalam darah bukan sahaja boleh menyebabkan kerosakan kepada salur darah malahan pelbagai komplikasi lain seperti kerosakan buah pinggang, sakit jantung, darah tinggi dan penyakit mata seperti katarak dan glaukoma.
Selain itu, penyakit mata yang dikenali sebagai retinopati akibat diabetes juga amat membimbangkan dengan kadar 80 peratus kes buta di kalangan pesakit diabetes berpunca daripada penyakit ini.
Retinopati menyebabkan kerosakan kepada lapisan retina di bahagian belakang bebola mata akibat salur darah yang tersumbat, bocor atau bertambah terlalu banyak.
Perubahan kepada salur darah retina dan lapisan saraf di bahagian belakang mata yang peka cahaya menyebabkan aliran darah yang terhad ke mata dan menghalang cahaya daripada sampai ke retina.
Jika tidak dirawat dengan segera, pesakit mungkin akan mengalami penglihatan yang kabur atau menjadi buta.
Terdapat empat peringkat retinopati diabetes:
1. Retinopati ringan dan tidak melarat – peringkat awal, berlaku kebengkakan salur darah retina.
2. Retinopati sederhana tetapi tidak melarat – keadaan penyakit yang telah berkembang, beberapa salur darah ke retina tersumbat.
3. Retinopati teruk tetapi tidak melarat – retinopati teruk di mana lebih banyak salur darah ke beberapa bahagian retina tersumbat menyebabkan retina memberi isyarat supaya badan membentuk salur darah baru ke bahagian yang tidak menerima aliran darah.
4. Retinopati melarat – peringkat lanjut yang menyebabkan penumbuhan salur darah baru hasil isyarat dari retina. Salur darah baru yang tumbuh di sepanjang retina dan gel gemaca mata ini bagaimanapun tidak normal dan rapuh.
Konteks Malaysia
Pengarah Kampus dan Profesor Perubatan dari Universiti Sains Malaysia, Kampus Kelantan, Dr. Mafauzy Mohamed yang terlibat secara aktif dalam penyelidikan mengenai penjagaan diabetes tempatan menjelaskan bahawa statistik untuk kes retinopati diabetes adalah amat memeranjatkan.
“Ia bertanggungjawab terhadap lebih 50 juta orang pesakit atau 25 peratus daripada 200 juta pesakit diabetes di seluruh dunia menjadi buta setakat ini.
“Seramai 25,000 orang pesakit diabetes lagi akan menjadi buta akibat retinopati setiap tahun,” katanya.
Dalam konteks negara Malaysia, dianggarkan terdapat 940,000 pesakit diabetes dewasa pada tahun 2000 dan pakar perubatan menganggarkan angka ini akan meningkat kepada 2.48 juta orang menjelang 2030.
Mengikut statistik yang dikemukakan Dr. Mafauzy, daripada salah satu kajian yang disempurnakan oleh beliau pada 2006 mengenai keberkesanan rawatan penyakit diabetes di hospital tempatan, 27.3 peratus daripada 1,099 pesakit di 19 pusat rawatan yang dikaji menghidap retinopati, sementara 19 peratus lagi menghidap masalah neuropati.
“Apabila seorang pesakit menghidap diabetes, pelbagai komplikasi akan muncul. Satu daripadanya ialah penyakit mata yang berkaitan dengan diabetes.
“Ini adalah komplikasi biasa dan jika tidak dirawat atau tidak dirawat dengan betul, akan membawa kepada kemerosotan penglihatan dan akhirnya pesakit akan menjadi buta,” ujarnya.
Dr. Mafauzy menerangkan bahawa pesakit boleh buta jika salur halus mata rosak akibat peningkatan paras glukosa dan kenaikan tekanan darah yang berpunca daripada diabetes.
Tambahnya, selepas lebih kurang 10 tahun menghidap penyakit tersebut, kebanyakan pesakit diabetes akan mengalami masalah penglihatan yang ketara.
Kini, retinopati menjadi punca utama pesakit diabetes menjadi buta, terutamanya di negara maju.
Menurut Dr. Mafauzy, sesuatu penemuan dan kejayaan cemerlang dalam bidang penyelidikan perubatan retinopati sememangnya satu berita yang amat menggembirakan bagi penghidap penyakit diabetes yang dianggarkan kini seramai satu juta orang di Malaysia.
“Proses pemusnahan akibat retinopati terhadap mata berlaku dalam lebih kurang 74 peratus pesakit yang menghidap diabetes selama 10 tahun atau lebih.
“Sering kali tidak terdapat simptom pada peringkat awal penyakit, mahupun rasa sakit. Bagaimanapun, pesakit diabetes tidak sepatutnya menunggu sehingga terdapat simptom untuk menjalankan pemeriksaan mata yang komprehensif sekurang-kurangnya sekali setahun,” katanya.
Menyentuh tentang jenis rawatan yang sedia ada, beliau menerangkan bahawa rawatan laser digunakan terutamanya jika seseorang itu mempunyai salur yang baru tumbuh (retinopati proliferatif), atau apa-apa jenis retinopati yang memberi kesan kepada makula.
Kesan terbakar daripada rawatan laser boleh menutup salur darah daripada tumbuh dengan lebih banyak.
Dr. Mafauzy menjelaskan rawatan laser selalunya berkesan untuk menghalang retinopati daripada menjadi lebih teruk dan menghalang kehilangan penglihatan atau menjadi buta.
Bagaimanapun, rawatan laser tidak dapat mengembalikan penglihatan yang sudah hilang.
Fenofibrat dan FIELD
Fenofibrat adalah sejenis ubat dari jenis agen mengurangkan paras lipid yang dikenali sebagai fibrat.
Fenofibrat juga merupakan satu-satunya ubat untuk mengatur paras lipid dan pertama seumpamanya yang terbukti mengurangkan komplikasi mikro-vaskular dan masalah kardiovaskular bagi pesakit diabetes jenis kedua.
Penggunaan ubat ini juga mengurangkan pergantungan terhadap rawatan laser untuk retinopati dan risiko retinopati berlaku atau melarat.
Ubat ini juga amat berkesan dalam mengawal kadar lipid pesakit dyslipidemia (profil lipid plasma tidak normal).
Ubat ini digunakan terutamanya dalam merendahkan paras kolesterol dalam pesakit yang mempunyai risiko penyakit kardiovaskular.
Seperti fibrat lain, fenofibrat mengurangkan kolesterol lipoprotein berketumpatan rendah (LDL), kolesterol lipoprotein berketumpatan sangat rendah (VLDL) dan trigliserid di samping meningkatkan kadar kolesterol lipoprotein berketumpatan tinggi (HDL).
Fenofibrat juga didapati mempunyai kesan baik terhadap rintangan insulin dalam sindrom metabolik.
Pesakit diabetes jenis kedua yang memandang berat tentang kehilangan penglihatan mereka kini mempunyai harapan baru dengan hasil subkajian Penggunaan Fenofibrat dan Kawalan Peristiwa dalam Diabetes (FIELD) yang diumumkan baru-baru ini kepada persatuan perubatan di Sydney pada 7 November 2007 yang turut diterbitkan dalam isu bulan November 2007 Jurnal Lancet.
Hasil dan kesan FIELD ke atas rawatan diabetes disampaikan oleh Profesor Madya Klinikal dari University of Sydney merangkap Ahli Majlis Persatuan Aterosklerosis Australia, Dr. David Richmond Sullivan yang berada di Malaysia bersempena dengan Persidangan Persatuan-persatuan Endokrin Bersekutu ASEAN (AFES) 2007 baru-baru ini.
Beliau mendedahkan bahawa subkajian itu menunjukkan penggunaan fenofibrat amat berkesan dan berjaya mengurangkan rawatan terapi laser untuk penyakit mata diabetes sehingga lebih daripada 30 peratus.
“Penggunaan fenofibrat juga menunjukkan pengurangan yang ketara dalam perkembangan penyakit mata di kalangan pesakit diabetes,” jelasnya.
Dr. Sullivan menerangkan bahawa pada masa ini, mereka yang menderita akibat penyakit mata diabetes terpaksa bergantung kepada rawatan laser dan hanya separuh daripadanya berkesan bagi mengelakkan medan penglihatan yang berkurangan dan lain-lain kesan buruk.
Hasil subkajian FIELD menawarkan pilihan rawatan baru yang penting untuk mengekalkan kesihatan mata dalam diabetes jenis 2.
Subkajian FIELD adalah satu kajian untuk menyiasat kesan perlindungan agen merendahkan lipid ke atas retinopati diabetes.
Kajian utama FIELD mula-mula dijalankan untuk tempoh lima tahun ke atas 9,795 pesakit diabetes jenis kedua yang berumur antara 50 hingga 75 tahun.
Subkajian itu kemudian dijalankan ke atas 1,012 pesakit lagi untuk menilai perkembangan retinopati diabetes dan simptom penyakit mata.
Tahap lipid tidak normal dalam pesakit diabetes adalah satu perkara biasa dan merupakan satu keadaan di mana jumlah trigliserid, LDL dan VLDL (kolesterol jahat) lebih tinggi sedangkan jumlah HDL (kolesterol baik) lebih rendah.
Disebabkan fenofibrat tergolong dalam kelas agen merendahkan lipid yang dipanggil fibrat, ia amat berkesan dalam pengurusan tahap lipid.
Dengan itu, ia membantu mengurangkan VLDL, LDL dan trigliserid dalam darah sementara pada masa yang sama meningkatkan kandungan HDL dalam darah.
Dalam pada itu, Dr. Mafauzy menjelaskan bahawa sejak bertahun-tahun lamanya fakulti perubatan seluruh dunia telah menjalankan dan menyokong penyelidikan untuk mengesan, merawat dan menghalang kehilangan penglihatan dalam pesakit yang menghidap diabetes.
Dengan keputusan terbaru mengenai fenofibrat, Dr. Mafauzy yakin hasil penyelidikan FIELD akan memberikan pengaruh yang besar dalam rawatan untuk retinopati diabetes dan merupakan langkah ke hadapan yang penting untuk berjuta-juta pesakit diabetes.
- Untuk maklumat lanjut mengenai FIELD dan fenofibrat, sila layari www. fieldstudy.info atau www.cholesterol.diabetes.org.my.

CEGAH DEMAM KUNING

Cegah demam kuning

Demam kuning merupakan sejenis penyakit berjangkit yang disebabkan oleh nyamuk khususnya Aedes aetypti.
NYAMUK Aedes aetypti membawa jangkitan penyakit demam kuning.
RIBUAN orang berbaris panjang menunggu giliran untuk menerima suntikan vaksin demam kuning di sebuah hospital awam di Brasilia, Brazil baru-baru ini. Kementerian Kesihatan Brazil telah menyediakan suntikan vaksin terhadap demam kuning di 18 negeri ekoran dua kes yang dilaporkan berlaku di Brasilia sejak kebelakangan ini.
Kerajaan Brazil mengesahkan seorang lelaki yang mati di sebuah hospital baru-baru ini adalah berpunca daripada demam kuning.
Sebanyak 12 kes yang disyaki telah dilaporkan berlaku sejak beberapa minggu lalu. Tiga pesakit daripada sejumlah kes itu telah pun meninggal dunia manakala selebihnya masih disiasat.
LEBIH 560,000 penduduk Brazil diberikan vaksin.

Demam kuning merupakan sejenis penyakit berjangkit yang disebabkan oleh nyamuk khususnya Aedes aegypti. Jangkitan virus yang berlaku boleh mengakibatkan degenerasi tisu pada hepar dan ginjal.
Penyakit berjangkit ini pernah mengakibatkan epidemik besar di Afrika dan Amerika. Istilah ‘kuning’ penyakit ini diperoleh ekoran masalah jaundis yang menjejaskan segelintir pesakit demam kuning.
Meskipun vaksin yang berkesan sudah boleh diperoleh dalam tempoh enam dekad ini, jumlah pesakit yang dijangkiti sepanjang dua dekad lalu telah meningkat. Ini sekali gus menjadikan demam kuning antara isu kesihatan paling serius yang membimbangkan masyarakat tempatan termasuk di Malaysia.
Dalam tempoh 12 tahun lalu, sejumlah 349 kes penyakit demam kuning telah dilaporkan di Brazil dengan catatan sebanyak 161 kematian.
Sebelum ini, kes demam kuning belum pernah dilaporkan di kawasan bandar Brazil sejak tahun 1942. Namun, pihak berkuasa tempatan yakin kematian seorang lelaki akibat demam kuning baru-baru ini adalah berpunca daripada jangkitan di luar bandar.
Sebagai langkah berjaga-jaga, lebih daripada 560,000 orang telah pun menerima suntikan vaksin terhadap penyakit berjangkit itu biarpun kerajaan Brazil telah mengesahkan tiada risiko epidemik setakat ini.
VAKSIN merupakan pencegahan terbaik.

Kebimbangan masyarakat umum mengenai isu ini bermula selepas dua ekor monyet ditemui mati di sebuah taman awam di Brasilia. Bagaimanapun, ujian yang dijalankan ke atas salah seekor haiwan itu mendapati tiada berlakunya sebarang jangkitan.
Sepanjang musim perayaan lalu, kerajaan Brazil telah mengeluarkan satu peringatan kepada pelancong tempatan dan luar negara agar memeriksa keperluan untuk mendapatkan vaksin. Pemeriksaan itu bergantung kepada pelan melancong mereka.
Dengan peningkatan kes-kes demam denggi yang juga merebak menerusi nyamuk, pihak berkuasa tempatan di Brazil kini terpaksa berdepan dengan satu kebimbangan kesihatan awam.
Sepanjang tujuh bulan pertama bagi tahun 2007, lebih daripada 438,000 kes demam denggi dilaporkan di Brazil dengan 98 dilaporkan mati.
Memandangkan ketiadaan vaksin untuk demam denggi, para pegawai kesihatan terpaksa bergantung kepada kerjasama orang awam untuk mengelakkan daripada menakung air di luar kawasan rumah bagi mencegah pembiakan nyamuk.
Buat masa ini, belum terdapat rawatan spesifik untuk demam kuning. Dehidrasi dan demam boleh dibetulkan dengan garam rehidrasi oral dan parasetamol. Parasetamol adalah sejenis ubat analgesik yang juga mengurangkan demam.
DEMAM kuning akibtakan degenerasi hepar dan ginjal.

Sebarang jangkitan bakteria yang bertindih perlu dirawat menggunakan antibiotik yang sesuai. Penjagaan sokongan intensif mungkin berupaya melegakan pesakit yang tenat tetapi ia jarang diperoleh di negara-negara miskin yang sedang membangun.
Oleh itu, vaksinasi merupakan satu-satunya langkah tunggal terbaik untuk mencegah demam kuning. Dalam populasi yang tidak mempunyai liputan vaksinasi yang luas, pengamatan berwaspada adalah kritikal untuk mengawal penyebaran drastik. Langkah pengawalan terhadap nyamuk boleh digunakan untuk mencegah jangkitan virus sehinggalah vaksinasi berkesan.
Vaksin untuk demam kuning adalah selamat dan amat efektif. Kesan imunisasi boleh dilihat dalam minggu pertama daripada 95 peratus orang yang menerima vaksin tersebut.
Satu dos vaksin mampu menyediakan perlindungan sehingga 10 tahun dan mungkin juga seumur hidup.
Seseorang yang tidak terdedah kepada sebarang risiko tidak semestinya perlu menerima vaksin berkenaan. Wanita-wanita mengandung bagaimanapun hanya akan diberikan vaksin ini sewaktu kempen vaksinasi berlangsung pada saat-saat berlakunya epidemik.

BILA MATA ANAK JULING

Bila mata anak juling

Ramai ibu bapa tidak tahu dan sedar tentang wujudnya cara terbaik untuk memulihkan masalah juling yang dialami anak-anak.
MATA juling yang dibiarkan tanpa rawatan sewajarnya boleh mengundang gejala ambliopia.
SUKAR dinafikan masalah juling yang menimpa kanak-kanak sering membangkitkan rasa bimbang dalam kalangan ibu bapa. Masih ingat lagi saya sewaktu bertemu dengan seorang kenalan rapat yang meluahkan keresahannya apabila mengesan masalah juling pada anak kecilnya baru-baru ini.
Meskipun dalam keresahan, ramai ibu bapa tidak tahu dan sedar adanya cara terbaik untuk memulihkan keadaan juling.
Masalah juling yang dikenali sebagai strabismus dalam kanak-kanak lazimnya dikesan apabila salah satu bola mata bergerak ke dalam atau terlalu ke luar. Strabismus terjadi apabila berlaku kekurangan koordinasi antara kedua-dua mata.
Dalam kebanyakan kes, kanak-kanak dilihat lebih cenderung mendapat masalah juling yang dikenali sebagai esotropia. Kebiasaannya, esotropia yang merupakan strabismus hadir sebelum seseorang kanak-kanak mencecah usia empat tahun. Sesetengah masalah juling pula hadir sewaktu lahir.
STRABISMUS disebabkan kekurangan koordinasi mata.

Esotropia terjadi apabila kedua-dua mata gagal untuk memberi tumpuan kepada imej yang sama. Apabila ini berlaku, otak mungkin memperoleh petanda untuk mengendahkan ‘input’ daripada salah satu mata tersebut.
Keadaan ini jika dibiarkan berlanjutan dan lama-kelamaan, mata juling yang tidak menerima rawatan sewajarnya boleh menjurus kepada gejala ambliopia atau mata malas.
Seorang Pakar Oftalmologi, Dr. Yeoh Phee Liang yang ditemui KOSMO! berkata, biarpun ambliopia adalah satu keadaan yang serius, ia masih mempunyai peluang rawatan.
“Terdapat tiga faktor kemungkinan yang boleh menyebabkan mata juling. Pertama, genetik. Kedua, kesilapan refraktif dan ketiga, keabnormalan okular.
“Dalam kebanyakan kes juling, kegagalan mekanisme pusat yang mengawal perkembangan penglihatan binokular tunggal menjadi puncanya.
“Kegagalan ini boleh berlaku sama ada ekoran faktor keturunan ataupun lazimnya ditemui dalam kerosakan otak yang berlaku pada pesakit Sindrom Down,” katanya.
DR. YEOH PHEE LIANG

Menurutnya, masalah juling sebenarnya boleh dikesan menerusi beberapa langkah mudah. Ini termasuk menjalani pemeriksaan refleks kornea menggunakan lampu suluh dan ujian tutup. Ujian tutup dilakukan dengan menutup sesuatu mata yang terpaku melihat objek bagi menggerakkan mata juling agar mengisi tumpuan tersebut.
Jelasnya, adalah penting untuk masalah juling dan ambliopia yang berlaku dalam kalangan kanak-kanak dikesan seawal mungkin bagi mengelakkan kecacatan penglihatan tidak perlu.
Ibu bapa disarankan membawa anak berjumpa dengan pakar mata agar pemeriksaan rutin boleh dijalankan, selain mengesan risiko masalah juling.
“Biarpun dengan kekerapan berjumpa doktor untuk mendapatkan pemeriksaan mata berjadual, ibu bapa perlu beritahu doktor andainya mereka mengesyaki sebarang simptom masalah juling,” tambahnya.

Bercerita lanjut, Dr. Yeoh menekankan ibu bapa tidak harus meremehkan pengurusan mata juling kerana terdapat beberapa langkah awal yang boleh membantu pesakit seumpama ini.
“Taksiran ketajaman penglihatan seseorang kanak-kanak (yang sangat muda) boleh diperoleh menerusi pemantauan. Ini bermaksud keupayaan kanak-kanak mengambil objek-objek kecil atau mengikut sasaran berayun akan dipantau bagi memeriksa ketajaman penglihatan setiap mata,” katanya.
Oftalmoskopi pula akan dijalankan bagi mengecualikan penyakit okular. Oftalmoskopi adalah satu pemeriksaan pada bahagian interior mata termasuk retina, diska optik, saluran darah dan koroid.
Jelasnya lanjut: “Retinoskopi digunakan untuk mendiagnosis kehadiran sebarang kesilapan pembiasan ketara. Pemeriksaan fundus (bahagian dalam mata yang terletak bertentangan dengan pupil) adalah dibantu dengan penggunaan titisan Atropine untuk mengembangkan anak mata kanak-kanak.”
Menurut Dr. Yeoh, antara langkah lain yang boleh dilakukan termasuk penggunaan cermin mata untuk memperbaiki kadar ketajaman penglihatan, selain menyeimbangkan semula tumpuan dengan akomodasi. Akomodasi merujuk kepada penyesuaian bentuk kanta untuk menukarkan fokus mata.
Beliau memberitahu, sesetengah kes penglihatan juling binokular boleh diperbaiki dengan membetulkan hipermetropia (rabun dekat) yang dialami.
“Andainya masalah juling sudah bertambah teruk dan akhirnya merosakkan penglihatan serta tidak boleh dibetulkan lagi, ini bermakna hadirnya ambliopia.
“Ambliopia boleh diperbetulkan dengan memaksa anak menggunakan sebelah mata yang lemah. Keadaan ini akan mendorong mengembangkan ketajaman penglihatan kepada normal. Perlu diingatkan, ibu bapa juga memainkan peranan penting untuk memastikan rawatan berkesan,” jelasnya.
Dalam kes-kes tertentu, pembedahan mungkin diperlukan untuk membetulkan keadaan mata juling, di samping membantu mengembalikan penglihatan binokular sesetengah situasi.
Dr. Yeoh berkata, pembedahan ke atas masalah juling tercapah yang jarang berlaku pula boleh diperlambatkan kecuali percapahan mata sudah bertambah teruk.
Justeru, beliau menggesa agar ibu bapa lebih peka dan segera mendapatkan bantuan pakar seandainya mengesan simptom-simptom masalah juling pada anak-anak.

PnD PEMBUNUH KANAK-KANAK

PnD pembunuh kanak-kanak

PENYAKIT pneumokokal boleh dicegah dengan vaksin.
MENINGITIS, radang paru-paru dan jangkitan telinga tengah mempunyai satu persamaan. Semuanya dikategorikan sebagai penyakit pneumokokal (PnD) yang disebabkan bakteria ‘streptococcus pneumoniae’. Ada lebih 90 jenis bakteria PnD dan ia adalah satu daripada penyakit pembawa maut yang paling mudah berjangkit. Setiap tahun antara 700,000 dan 1 juta kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah mati akibat PnD. Untuk setiap jam, antara 80 hingga 112 kanak-kanak mati akibat penyakit maut ini atau secara kasarnya antara 1,900 hingga 2,700 kanak-kanak mati setiap hari di seluruh dunia manakala di negara membangun, PnD dianggap sebagai punca utama kematian kanak-kanak.

Pengerusi Perikatan Strategik Asia Demi Mencegah Penyakit Pneumokokal (ASAP) yang juga Ketua Jabatan Penyakit Berjangkit Pediatrik di Kolej Perubatan Universiti Filipina, Dr Lulu Bravo, berkata perjuangan untuk mencegah lebih ramai kanak-kanak daripada meninggal dunia akibat PnD di Asia Pasifik harus ditingkatkan kerana angka kematian semakin meningkat. “Sebagai doktor dan ibu bapa, saya tahu betapa hancurnya hati ibu bapa yang kematian anak. Namun, anda mungkin tidak dapat memahami derita dan kehilangan itu sehingga ia berlaku kepada anak anda. Saya ingin menjelaskan keadaan ini boleh dielakkan,” katanya. Dr Lulu berkata, antara penyakit yang dirujuk sebagai PnD termasuk meningitis, pneumonia, bakteremia dan otitis media akut. Ia dianggarkan mengakibatkan sehingga sejuta kematian di kalangan kanak-kanak yang kebanyakannya tinggal di negara sedang membangun.
Simptom Simptom PnD berbeza mengikut usia kanak-kanak dan bergantung kepada masalah yang dihadapinya, sama ada meningitis, radang paru-paru atau jangkitan telinga tengah. Bagaimanapun, jika anda merasakan anak anda mengalami jangkitan serius, bawa mereka berjumpa doktor dengan segera. Penyakit pneumokokal sebenarnya boleh dicegah melalui vaksin. Buat masa ini, vaksin yang dikenali sebagai ‘vaksin berkonjugat pneumokokal sakarida’ atau ringkasnya PCV-7 adalah vaksin yang pertama dan satu-satunya vaksin untuk mencegah penyakit pneumokokal invasif di kalangan bayi dan anak kecil yang berusia di bawah 24 bulan. Vaksin ini juga membantu melindungi kanak-kanak yang sudah mencecah usia sembilan tahun. PCV-7 digunakan untuk imunisasi yang aktif dan membantu melindungi daripada penyakit yang disebabkan oleh tujuh serotip (jenis) bakteria streptococcus pneumoniae, yang juga dikenali sebagai pneumokokus.
Sebelum ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan kemasukan PCV-7 dalam program imunisasi kebangsaan terutama di negara yang mencatatkan kadar kematian kanak-kanak di bawah usia lima tahun mencatat hingga 50,000 setahun.

REFLEKSOLOGI,AKUPUNTUR BERKAIT RAPAT

Refleksologi, akupuntur berkait rapat

TUGAS rutin yang bertimbun di pejabat biasanya boleh memberikan tekanan kepada pekerja. Apabila terlalu tekun menyiapkan tugas, tubuh dan minda menjadi cepat letih sehingga boleh mengganggu keceriaan pada hari itu.
Selain memerlukan banyak berehat, proses urutan sedikit sebanyak dapat melegakan kesakitan dan sengal pada sendi.
Tidak hairanlah urut refleksologi, yang bermaksud terapi pengurutan tapak kaki untuk merangsang dan mengesan penyakit berpunca daripada urat saraf, kian mendapat tempat di kalangan mereka yang benar-benar menghargai kesihatan.
Melaluinya, ia bukan sahaja dapat membantu membenarkan badan melakukan penyembuhan sendiri, tetapi turut melancarkan perjalanan darah, menghilangkan lenguh serta melegakan tekanan.
Lazimnya, apabila bercakap mengenai refleksologi ia tidak akan lagi daripada membicarakan tentang terapi akupuntur kerana kedua-dua rawatan ini saling berkait rapat.
Kedua-duanya adalah kaedah rawatan tradisional Cina yang telah wujud sejak zaman berzaman lagi.
Pakar Terapi Akupuntur di Xue Lian Chinese Physician dan Penjagaan Kesihatan Sdn. Bhd., Wang Xue Lian berkata, kesakitan pada otot badan mungkin wujud kerana teknik kerja yang salah atau jenis pekerjaan yang mendedahkan mereka kepada keadaan tidak selesa.
Oleh sebab refleksologi adalah seni pemulihan semula jadi yang berasaskan kepada prinsip asas iaitu tangan, kaki dan telinga, ia dipercayai ada kaitan dan memberi gerak balas terhadap seluruh anggota, kelenjar dan organ badan.
‘‘Apabila memberi tekanan kepada titik refleks dan urutan ini akan meredakan ketegangan serta memperbaiki peredaran yang sebelum ini tidak berfungsi dengan baik.
‘‘Rawatan ini baik untuk pengaliran darah ke seluruh badan bermula dari tapak kaki kerana kawasan itu mewakili atau merangkumi seluruh anggota badan.
Ia bukan sahaja dapat melegakan ketegangan, tetapi juga melancarkan pengaliran darah serta menghilangkan lenguh dan sakit otot,’’ ujarnya.
Menerangkan tentang prosedur ketika rawatan, kata Xue Lian, pakar terapi akan menyentuh refleksi pada tapak kaki pelanggan bagi mencari dan memulihkan urat saraf bermasalah.
Pakar terapi refleksologi juga mampu boleh mengesan pelbagai penyakit termasuk darah tinggi, kencing manis, usus, buah pinggang, migrain dan sukar tidur.
“Jika pelanggan memberitahu jenis penyakit dihidapi, pakar akan mencari titik tertentu di tapak kaki untuk memberi rawatan dan seterusnya menyarankan mereka menjalankan rawatan akupuntur,’’ ujarnya.
Sebagai contoh, jika pesakit mengalami sakit tengkuk, pakar akan merawat refleks tengkuk yang terletak di pangkal ibu jari dan bukan menggosok tengkuk yang sakit.
Prinsip urutan refleksologi adalah mengelak daripada menyentuh tempat yang sakit supaya ia tidak menjadi lebih teruk.
Xue Lian turut memberitahu, ketika mengurut keseimbangan memainkan peranan penting. Oleh sebab itu kedua-dua telapak kaki akan diurut bagi melancarkan pengaliran darah.
Menerangkan secara ringkas mengenai rawatan akupuntur pula, beliau berkata, ia bukan sahaja berfungsi untuk merawat, sebaliknya ia mengejutkan deria yang sebelum ini ‘tertidur’ untuk bekerja seperti biasa, seterusnya mengembalikan kesihatan tubuh seperti sediakala.
Ditanya bagaimana jarum halus berfungsi mengurangkan kesakitan, katanya, dalam perubatan Cina, ketidakseimbangan aliran tenaga yang dikenali sebagai ‘qi’ (disebut chi), akan menyebabkan masalah kesihatan.
Qi ini dipercayai mengalir dalam badan melalui laluan tertentu yang boleh ditembusi pada 400 titik akupuntur.
‘‘Dengan memasukkan jarum halus pada titik berkenaan, pengamal akupuntur percaya ia boleh menyeimbangkan semula tenaga tadi dan membolehkan mekanisme pemulihan badan secara semula jadi.
‘‘Biasanya rawatan akupuntur memerlukan beberapa sesi iaitu antara 10 hingga 12 sesi. Namun, ia juga bergantung kepada beberapa faktor termasuk jenis dan tahap masalah setiap pesakit serta tindak balas badan pesakit terhadap rawatan akupuntur,” terangnya.
Menurut Xue Lian, bilangan jarum tidak boleh dijadikan sebagai pengukur keberkesanannya kerana ia sebenarnya bergantung kepada tindak balas badan terhadap rawatan.
Katanya, ada orang memang dilahirkan mempunyai tindak balas badan cepat dan bagi individu begini, mereka lebih cepat sembuh berbanding orang lain.
Beliau berkata, penggunaan akupuntur mungkin boleh melegakan kesakitan dialami tetapi jika puncanya tidak ditangani, masalah sama akan berulang.
Contohnya bagi pesakit lumpuh separuh badan dan pundi kencingnya tidak berfungsi, pengamal perubatan mungkin boleh menggunakan akupuntur sebagai satu cara memulihkan fungsi pundi kencing.
Pundi kencing boleh kembali berfungsi seperti asal jika jarum dicucuk pada titik betul.
Oleh kerana itu katanya, sebelum pelanggan menjalani rawatan akupuntur, pelanggan perlu menjalani ujian mengenalpasti tahap kesihatan, sebelum menjalani rawatan akupuntur.
Katanya, tujuan jarum ini dicucuk ialah untuk menghidupkan sel dalam badan dan membuang toksik dengan menggunakan rangsangan elektrik.
Sementara itu, koordinator di pusat tersebut, Ng Shin Cheong berkata, selain mendapat kelulusan dari Kementerian Kesihatan, para terapi akupuntur di pusat tersebut juga terdiri daripada mereka yang berpengalaman dan berkelulusan dari Kolej Perubatan Henan Chinese, China.
Katanya, apa yang membezakan refleksologi dan rawatan akupuntur dengan rawatan lain, ia merupakan kaedah penjagaan kesihatan yang tidak menggunakan sebarang ubat dan tidak sakit.
Apa yang anda perlu tahu tentang refleksologi
* Berdasarkan sejarah, rawatan refleksologi berasal dari Mesir sebelum disebarkan ke seluruh dunia, terutama China, sejak 5,000 tahun dahulu.
* Ia boleh meredakan tekanan sama ada disebabkan kerja, masalah peribadi mahupun persekitaran.
* Refleksologi berasaskan kepercayaan setiap bahagian kaki adalah cermin kepada anggota badan (kaki kiri untuk anggota belah kiri dan kaki kanan pula menggambarkan anggota kanan badan).
* Walaupun refleksologi sesuai untuk semua peringkat umur dan kesihatan, tetapi jika mengalami masalah darah beku atau luka pada tapak kaki, anda disaran mendapatkan rawatan moden untuk mengatasinya terlebih dulu.
* Berusia ratusan tahun yang lalu, rawatan alternatif akupuntur amat terkenal kerana kemujaraban merawat penyakit.
* Akupuntur berasal daripada perkataan Greece, iaitu acus (jarum) dan puncture bermakna cucuk.
* Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dari 2002 sehingga 2005 mendapati, populariti akupuntur sebagai rawatan pelengkap semakin meningkat.
* Walaupun tiada data mengenai penggunaan akupuntur di Malaysia, tetapi ia juga dilihat semakin popular, malah turut diperkenalkan di hospital kerajaan dan swasta bagi melengkapkan lagi rawatan.
* Mereka yang menjalani rawatan akupuntur juga dinasihatkan berpantang, termasuk mengamalkan gaya hidup sihat