"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Thursday, May 7, 2020

☆Tadabbur Kalamullah 1 Jamadil Akhir 1441H☆



مَّاۤ أَصَابَكَ مِنۡ حَسَنَةࣲ فَمِنَ ٱللَّهِۖ وَمَاۤ أَصَابَكَ مِن سَیِّئَةࣲ فَمِن نَّفۡسِكَۚ وَأَرۡسَلۡنَـٰكَ لِلنَّاسِ رَسُولࣰاۚ وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ شَهِیدࣰا

"Apa jua kebaikan (nikmat kesenangan) yang engkau dapati maka ia adalah dari Allah; dan apa jua bencana yang menimpamu maka ia adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri. Dan Kami telah mengutus engkau (wahai Muhammad) kepada seluruh umat manusia sebagai seorang Rasul (yang membawa rahmat). Dan cukuplah Allah menjadi saksi (yang membuktikan kebenaran hakikat ini)" [Surah an-Nisa' 79]

#Segala nikmat kebaikan yang kita perolehi dalam dunia ini, semuanya dari Allah swt. Allah kurniakan semua kebaikan ini kepada kita kerana sifat RahmanNya, sifat pemurahNya.

#Ingatlah bahawa kita tidak ada apa-apa pun. Kita hamba yang papa. Kita hamba yang hina, yang hanya mengharap sahaja. Jika kita tidak dikurniakan sebarang kebaikan atau nikmat kesenangan maka tidak boleh merungut atau marahkan Allah swt. Segalanya datang daripadaNya dan milikNya.

#Kita juga tidak boleh mengatakan segala nikmat kesenangan yang kita perolehi adalah disebabkan kerana amal ibadah yang kita lakukan dan kita layak dapat segalanya itu. Sedarlah bahawa sebanyak mana pun ibadah yang kita lakukan, tidak mungkin dapat menyamai segala nikmat kesenangan yang kita perolehi. Walaupun kita beribadah sepanjang hidup, kita belum pun dapat membalas satu nikmat mata yang Allah berikan kepada kita, apatah lagi segala nikmat lain yang dikurniakan. Semuanya kerana rahmat dan rahmanNya.

وَمَا بِكُمْ مِنْ نِعْمَةٍ فَمِنَ اللَّهِ

"Dan apa-apa nikmat yang ada pada kamu maka adalah ia dari Allah" [Surah an-Nahl 53]

 #Allah swt juga mengatakan dalam ayat ini bahawa segala bencana atau musibah yang menimpa diri kita dari segala jenis kesusahan adalah dari kesilapan dan dosa kita sendiri. Allah datangkan ujian untuk beri pengajaran kepada umat manusia.

وَمَا أَصَابَكُمْ مِنْ مُصِيبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ وَيَعْفُو عَنْ كَثِيرٍ

“Dan apa saja musibah yang menimpa kamu maka adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan sebahagian besar (dari kesalahan-kesalahanmu)” [Surah asy Syura 30]

#Jika kita sabar dan redha menerima kesusahan dan musibah tersebut, kita akan dibersihkan dari dosa-dosa kita.

#Sabda Nabi saw: "Tidaklah seorang muslim yang ditimpa suatu penyakit dan sejenisnya, melainkan Allah akan mengugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pohon yang mengugurkan daun-daunnya”. (HR al-Bukhari dan Muslim)

#Berkata Sayidina Ali bin Abi Talib r.a:

مَا نُزِّلَ بَلاَءٌ إِلاَّ بِذَنْبٍ وَلاَ رُفِعَ بَلاَءٌ إِلاَّ بِتَوْبَةٍ

“Setiap musibah yang turun adalah disebabkan kerana dosa. Dan musibah tersebut tidak akan hilang melainkan dengan taubat"

#Berkata Imam Ibnul Qayyim al-Jauziyah rahimahullah: “Di antara akibat dari berbuat dosa adalah menghilangkan nikmat dan akibat dosa adalah mendatangkan bencana (musibah). Oleh kerana itu, hilangnya suatu nikmat dari seorang hamba adalah kerana dosa. Begitu pula datangnya berbagai musibah juga disebabkan oleh dosa".

♡Bersyukurlah atas segala nikmat yang tidak terhingga banyaknya dengan cara menggandakan ketaatan kepada Allah. Dan jauhi dosa agar tidak terkena musibah. Banyakkan memohon keampunan kepada Allah di atas segala kesilapan dan dosa yang telah kita lakukan♡


No comments: