"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Saturday, May 29, 2010

Panas kimoterapi bagai demam tidak kebah

KETIKA didiagnosis menghidap kanser payu dara pada 2005, Noor Asikin Kadir masih mampu bertenang dan reda dengan ketentuan-Nya.

Cerita petugas paramedik

MENJADI sebahagian daripada kumpulan paramedik yang pergi ke lokasi untuk memberikan rawatan awal, jururawat PPUM, Jamiah Osman pernah berdepan dengan banyak kes kehilangan darah, kebanyakannya disebabkan oleh kemalangan jalan raya.

"Salah satu kejadian yang tidak dapat saya lupakan berlaku pada tahun kelima saya bertugas sebagai anggota paramedik.

"Selalunya, jika ada panggilan kecemasan, seorang jururawat atau Penolong Pegawai Perubatan, atendan dan pemandu ambulans akan pergi ke lokasi.

"Pada hari itu berlaku satu kemalangan melibatkan motosikal dan kereta.

"Sampai saja di lokasi kejadian, saya lihat penunggang motosikal itu masih sedar walaupun bahagian atas paha sebelah kakinya telah hancur," ceritanya.

Melihat daging yang merah dilumuri darah dengan tulang yang terbonjol keluar dilapisi cebisan daging nipis yang masih melekat, Jamiah perlu cekap memberikan bantuan kecemasan memandangkan mangsa kehilangan banyak darah.

"Saya perlu cepat menghentikan pendarahan mangsa dengan memberi tekanan pada kawasan berdarah. Saya membalut kejap bahagian daging yang terbuka itu berkali-kali untuk mematikan ia cukup kuat untuk hentikan darah.

"Apabila dimasukkan ke dalam ambulans, cecair gantian segera dimasukkan pada tubuh mangsa untuk menggantikan semula darah yang telah hilang.

"Alhamdulillah, mangsa hidup walaupun dia kehilangan kaki," ujarnya.

Bagi Penolong Pegawai Perubatan di HKL, M. Kuyilan, pengalaman mengendalikan mangsa hilang darah kelas empat beberapa tahun lalu masih segar dalam ingatan.

"Hari itu saya bertugas di hospital. Satu panggilan kecemasan diterima mengatakan ada seorang pekerja binaan terjatuh dari bangunan.

"Bagi mengelak banyak masa terbuang, rakan-rakan mangsa telah menghantarnya ke HKL dengan mangsa terbaring di belakang lori.

"Keadaannya ketika itu kritikal kerana tengkuknya patah dan berlaku banyak pendarahan. Nasibnya baik kerana mangsa terus dikejarkan ke hospital.

"Sampai saja di zon merah, pasukan trauma terus memberikan rawatan kecemasan dan akhirnya nyawa pekerja bangunan itu dapat diselamatkan," ujarnya.

Maut hilang darah

PETANG itu, Rosilah Alam, 28, sedang makan tengah hari sementara menunggu anaknya, Muhammad Rusydi Asyraf Mohd. Azrul Fahsha, sembilan tahun, selesai mandi di rumah mereka di Lembah Subang, Petaling Jaya, Selangor.

Sudah menjadi rutin buat anak lelakinya itu mandi selepas pulang dari sekolah sebelum makan tengah hari bersama ibunya.

Namun, pada 19 Mei lalu, lebih kurang pukul 2 petang, pelajar tahun tiga Sekolah Kebangsaan Bukit Bintang itu tergelincir di bilik air. Lebih malang lagi, mangkuk sinki seramik yang menjadi tempat Rusydi berpaut turut terjatuh dan menghempap kaki kanannya.

Rosilah yang terdengar jeritan meminta tolong daripada anaknya itu panik kerana pintu bilik air berkunci dari dalam dan dia terpaksa meminta pertolongan jiran untuk memecahkan pintu itu.

KECEKAPAN anggota paramedik memberi rawatan kecemasan di lokasi kemalangan boleh mengurangkan risiko kematian.

Arteri

Sebaik sahaja melihat tubuh Rusydi yang berlumuran darah, si ibu cuba menenangkan si anak dan mendukungnya ke klinik berhampiran.

Hanya satu saja doa Rosilah ketika itu iaitu semoga Rusydi selamat. Rusydi kemudian dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) namun disahkan meninggal dunia lebih kurang pukul 9 malam.

Kisah Rusydi itu telah meruntun hati ramai ibu bapa di negara ini. Sesetengah mereka masih keliru bagaimana kecederaan di kaki boleh membawa maut?

Menurut Ketua Pusat Tanggungjawab Trauma dan Kecemasan PPUM, Dr. Mohd. Idzwan Zakaria, kecederaan yang dialami Rusydi itu bukan luka biasa.

"Kecederaan mangsa sangat serius sehingga menyebabkan arteri di kakinya terkoyak selain urat di paha terputus," ujarnya.

Arteri adalah saluran darah yang membawa darah yang mengandungi oksigen keluar daripada jantung untuk dialirkan ke seluruh badan.

Jelas Idzwan lagi, semasa tiba di PPUM pada pukul 3.30 petang, kanak-kanak itu sudah tidak bernadi, anak matanya statik dan terbeliak malah degupan jantungnya juga sudah terhenti.

PENDERMA darah perlu minum air dalam kuantiti yang banyak bagi menggantikan darah yang telah didermakan.

"Keadaannya tenat dan kritikal. Namun, doktor pakar yang bertugas dapat melakukan resusitasi iaitu menstabilkan pesakit dengan mengembalikan degupan jantung dan denyutan nadinya.

"Selepas tubuh pesakit stabil, baru dia boleh dibawa ke bilik pembedahan," katanya ketika ditemui Jurnal.

Menceritakan semula senario di unitnya pada hari kejadian, Idzwan berkata, Rusydi dibawa ke bilik pembedahan pada pukul 4.10 petang dan kumpulan perubatan mengambil masa empat jam untuk mencantumkan urat putus di paha kanan kanak-kanak itu.

"Pembedahan berjaya namun pada pukul 8.40 malam Rusydi disahkan meninggal dunia akibat renjatan hiporolemia kerana kehilangan banyak darah sehingga jantung gagal mengepam darah secukupnya ke seluruh tubuh," ujarnya.

Jelas Idzwan, kes kehilangan darah yang berterusan boleh membawa kepada kematian apatah lagi jika luka itu dalam dan melibatkan arteri.

"Kes-kes yang melibatkan pendarahan boleh dibahagikan kepada empat kelas.

KEMALANGAN jalan raya adalah punca pendarahan kritikal. Kecederaan pada organ dalaman seperti paru-paru dan hati boleh membawa maut.

Cepat

"Kelas pertama ialah kes di mana pesakit kehilangan 15 peratus darah daripada tubuhnya, kelas dua kehilangan darah di antara 15 hingga 30 peratus darah, kelas tiga 30 hingga 40 peratus manakala kelas empat ialah lebih 40 peratus.

"Di PPUM, kes kehilangan kelas dua dan ke atas adalah termasuk dalam kes parah yang akan dirawat dalam zon merah," katanya yang secara purata menerima dua kes seminggu dan kebanyakannya berpunca daripada pendarahan dalaman yang disebabkan oleh kemalangan jalan raya.

Sementara itu, menurut Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Lumpur (HKL). Prof. Datuk Dr. Abu Hassan Asaari Abdullah, kes pendarahan kritikal terutama melibatkan kelas tiga dan empat akan diberi rawatan yang cepat, cekap dan bersistematik.

Selain itu, bagi memastikan keadaan pesakit terkawal, pelaksanaan polisi 100 peratus tiada masa menunggu diaplikasikan di zon ini.

"Kes kehilangan banyak darah akan terus dibawa ke zon merah. Pasukan trauma yang menerima kes kritikal seperti ini tidak memerlukan arahan sebaliknya mereka sudah tahu tanggungjawab masing-masing.

"Dengan kemudahan lengkap di zon merah, petugas tidak akan hadapi masalah untuk melakukan kerja secara serentak kerana semua peralatan berada di kawasan mudah dicapai," katanya.

Menangani kes kehilangan darah bukan perkara mudah. Ia memerlukan gerakan tangkas dan gabungan kecekapan petugas di Unit Kecemasan dan Trauma. Tiada kesilapan boleh dilakukan dalam rawatan segera itu.

IDZWAN banyak mengendalikan kes pendarahan organ dalaman.

Renjatan

"Pesakit yang kehilangan 30 peratus darah berada dalam keadaan genting dan sebarang kelewatan boleh mengancam nyawa.

"Jika pesakit itu kanak-kanak, mereka akan diutamakan kerana mereka berdepan dengan risiko lebih besar," katanya.

Anggota badan yang besar seperti tulang pinggul, paha, tangan, perut dan dada boleh menyebabkan pendarahan kritikal yang boleh mengundang maut. Ini kerana di bahagian tersebut terdapat saluran darah utama.

Bagi Pakar Perubatan Kecemasan dan Trauma HKL, Dr. Alzamani Mohammad Idrose pula, kehilangan banyak darah khususnya kelas tiga dan empat boleh membuatkan pesakit mengalami renjatan yang akan memberi kesan terhadap degupan jantung, nadi dan tekanan darah.

"Bagi pesakit yang kehilangan 1.5 liter darah, ia dianggap kes kritikal. Setiap manusia memiliki jumlah darah yang tidak sama kerana ia bergantung kepada berat badan.

"Biasanya lelaki dewasa memiliki lima liter darah manakala bagi wanita dan kanak-kanak jumlahnya adalah lebih sedikit," katanya.

Jelasnya lagi, persepsi umum bahawa kes-kes kritikal boleh diselesaikan di unit kecemasan sahaja adalah tidak tepat, sebaliknya pesakit akan dirujuk kepada pakar bius dan pakar bedah.

"Untuk terus dibawa ke dewan bedah, pesakit perlu dipastikan berada dalam keadaan stabil, jika tidak itu akan memburukkan lagi keadaan.

"Ada masanya sewaktu pesakit sampai, pakar bius ada bersama pesakit lain dan semua dewan bedah digunakan.

"Malangnya, tidak semua ahli masyarakat boleh faham keadaan ini.

"Tetapi saya percaya setiap petugas hospital sama ada pemandu ambulans, jururawat mahupun doktor pakar, mereka akan berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan pesakit," ujarnya.

Penghadaman penyebab kematian

KUALA LUMPUR - Masalah penghadaman adalah antara 10 penyakit paling kronik dan penyebab utama kematian di Malaysia, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Beliau berkata, pada 2006 dan 2007, penyakit berkaitan sistem penghadaman menduduki tangga ketujuh sebagai penyebab utama kematian di hospital kerajaan dan melonjak ke tangga keenam pada tahun 2008.

"Ini tidak memeranjatkan jika dilihat gaya hidup kebanyakan rakyat Malaysia," katanya ketika melancarkan sambutan Hari Penghadaman Sedunia di Ikano Power Centre di sini semalam.

Rosnah berkata, penyakit berkaitan sistem penghadaman yang paling banyak dihidapi rakyat Malaysia ialah refluks gastroesophageal (GERD), ulser peptik, sindrom kerengsaan usus (IBS) dan kanser usus.

"Penyakit kanser gastrointestinal khususnya, meningkat secara mendadak di Malaysia berdasarkan hakikat bahawa penyakit kanser kolorektal dilaporkan paling banyak menyerang lelaki (16.2 peratus) dan kedua terbanyak menyerang wanita (10.6 peratus) di Semenanjung Malaysia pada 2006.

"Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan bahawa lebih 940,000 orang di seluruh dunia diserang kanser kolorektal setiap tahun dan daripada jumlah itu, hampir 500,000 meninggal dunia setiap tahun," katanya.

Rosnah berkata, kerajaan telah mengambil langkah bagi memastikan pusat gastroenterologi di hospital kerajaan dilengkapi peralatan dan teknologi terkini.

"Kebanyakan pusat ini dilengkapi kepakaran dan kemudahan paling moden bagi menyediakan perkhidmatan pengesanan bertaraf dunia serta perkhidmatan diagnosis dan terapeutik," katanya.

Rosnah berkata, kementerian berkenaan juga telah menubuhkan Pusat Pendaftaran Pesakit Kanser bagi mengumpul data secara sistematik mengenai semua perkara berkaitan kanser kolorektal di Malaysia termasuk pencegahan, pengurusan dan rawatan. - Bernama

Cystitis belenggu hidup wanita

STATISTIK menunjukkan sekurang-kurangnya 50 peratus wanita akan mengalami ketumbuhan yang dinamakan Cystitis dalam pundi kencing mereka. Faktornya kerana anatomi tubuh wanita itu sendiri yang mendedahkan mereka kepada bahaya tersebut berbanding lelaki.

Cystitis adalah sejenis jangkitan pada pundi kencing wanita dan puncanya adalah dari bakteria yang dihasilkan oleh tubuh wanita itu sendiri.

Dalam keadaan sihat, pundi kencing seseorang sentiasa bersih dan bebas kuman. Namun apabila bakteria memasuki zon tersebut ia sekali gus mendatangkan kesan kerengsaan dan tidak selesa pada yang mengalaminya.

Simptom lain ialah kesakitan ketika membuang air kecil dan tidak selesa pada bahagian bawah abdomen.

Tetapi jangan risau kerana cystitis boleh dirawat dengan menggunakan antibiotik. Namun anda perlulah mengamalkan langkah pencegahan sebelum ia berlaku.

Keperluan iodin ketika hamil

SEMUA ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka tetapi pada masa sama tidak mengetahui jenis nutrisi yang perlu diambil agar mendapat kesihatan yang optimum.

Bagi ibu mengandung, makanan yang terbaik diperlukan bukan untuk dirinya sendiri bahkan untuk bayi yang dikandung.

Justeru itu, ibu seharusnya makan mengikut keperluan bermula pada awal kehamilan bagi memastikan kandungan dan berat badan yang ideal.

Menurut Pakar Obstetrician & Gynaecology, Pusat Perubatan Pantai, Dr. Premitha Damodaran, pemakanan yang sihat sangat penting bagi mengelakkan kandungan mengalami masalah.

Banyak kajian telah terbukti bahawa kesan kekurangan nutrien asas di kalangan ibu mengandung boleh menjejaskan perkembangan otak bayi yang akan dilahirkan.

''Sebagai contoh kekurangan iodin dalam badan akan mengganggu proses pembesaran dan perkembangan saraf dan pembentukan sel-sel otak,'' katanya ketika ditemui pada pelancaran Blackmore Pregnancy Formula khusus untuk ibu mengandung baru-baru ini.

Menurut Dr. Premitha lagi, iodin adalah amat penting untuk normal otak dan sistem saraf bayi, terutamanya semasa hamil dan dalam tempoh dua hingga tiga tahun pertama kehidupan bayi tersebut.

''Makanan yang seimbang dapat membekalkan ibu dan bayi dengan nutrien-nutrien bagi memastikan pertambahan berat badan yang mencukupi sepanjang kehamilan,'' terangnya.

Katanya lagi, ramai beranggapan bahawa iodin sebagai larutan kuning cerah yang hanya digunakan untuk menyembuh luka, tetapi hakikatnya berdasar banyak kajian, mineral ini jauh lebih penting dalam kesihatan lebih-lebih lagi kepada ibu mengandung dan perkembangan bayi yang dikandung.

Selain itu, katanya, pemakanan yang baik juga dapat mengurangkan masalah semasa kehamilan seperti muntah-muntah, pedih ulu hati dan sembelit.

Jelasnya, keperluan untuk nutrien meningkat ketika hamil terutamanya semasa trimester kedua dan ketiga (iaitu minggu ke-12 hingga melahirkan).

"Iaitu seperti pengambilan makanan yang mengandungi tenaga, protein, vitamin B1, vitamin B2, vitamin B3, folat, vitamin A, vitamin C, vitamin E, kalsium, iodin dan zink.

"Peningkatan keperluan untuk zat besi juga terlalu tinggi sehingga tidak dapat dipenuhi melalui diet yang biasa sahaja.

"Selain itu, keperluan asid lemak (asid linoleik dan alfa-linoleik) perlu ditingkatkan untuk pembentukan janin sempurna," jelasnya.

Katanya lagi, kekurangan iodin semasa hamil dan semasa pertumbuhan kanak-kanak boleh menyebabkan kelewatan perkembangan yang mengakibatkan penurunan dalam prestasi mental.

Hal ini penting bagi hormon-hormon tiroid yang menyokong pertumbuhan dan perkembangan normal kanak-kanak.

Banyak kajian telah menunjukkan bahawa kekurangan iodin akan menyebabkan bayi yang dilahirkan akan menjadi terencat akal, pembesaran terbantut, pekak, bisu serta mengakibatkan lemah anggota badan.

''Banyak kajian telah menunjukkan bahawa kekurangan iodin merupakan salah satu sebab utama gangguan kemahiran motor, kelemahan otot, kecelaruan koordinasi dan kemahiran manual.

''Oleh kerana iodin diperlukan untuk perkembangan otak adalah penting untuk memastikan bahawa fetus, bayi dan kanak-kanak mendapat keperluan iodin yang mencukupi," katanya.

Bagaimanapun jelasnya lagi, oleh kerana iodin tidak disimpan dalam badan, ia perlu diambil setiap hari.

''Keperluan iodin adalah lebih tinggi bagi wanita hamil dan menyusu bayi. Wanita hamil dan menyusukan bayi memerlukan lebih banyak iodin berbanding orang biasa,'' katanya lagi.

Bagaimanapun tegas Dr. Premitha, sebahagian wanita tidak mendapat iodin dalam jumlah yang mencukupi dalam diet mereka semasa mengandung dan ketika menyusukan bayi.

''Kekurangan mineral ini boleh menyebabkan muka sembap atau bengkak, goiter (bengkak kelenjar tiroid), hipotidosrisme dan menjejas fungsi mental,'' katanya lagi.

Selain itu, akibat kekurangan iodin yang paling buruk adalah ia boleh menjejaskan fetus dan perkembangan bayi.

Malah menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WAO), kekurangan iodin merupakan insiden yang paling tersebar luas di dunia bagi kerosakan otak, tetapi yang mudah dicegah.

Justeru, pengambilan iodin sepanjang tempoh mengandung merupakan satu keperluan sama ada melalui diet pemakanan atau suplemen tambahan.

Katanya lagi, selain suplemen iodin, sumber lain yang menyumbang iodin dalam badan ialah ikan, daging, telur, susu, ayam, itik dan rumpai laut.

BPH ganggu kualiti hidup

UMUM mengetahui bahawa ancaman prostat antara penyakit yang paling kerap dihidapi lelaki. Namun masih ramai di kalangan golongan tersebut yang mengambil mudah terhadap ancaman kesihatan ini.

Malah perasaan malu, rendah diri dan bimbang jika disahkan menghidap penyakit ini menyebabkan sebilangan lelaki lebih rela menanggung kesakitan dalam diam daripada berusaha mendapatkan rawatan awal.

Perkara itu itu diakui oleh Pakar Urologi Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Prof. Madya Dr. Lee Eng Geap bahawa tahap kesedaran di kalangan lelaki terhadap penyakit tersebut masih rendah.

''Mengikut statistik kira-kira 10 hingga 20 peratus lelaki menghadapi masalah berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan atau khidmat nasihat.

''Sikap ini perlu diubah bagi membolehkan mereka membina keluarga bahagia di samping mengamalkan gaya hidup yang sihat,'' tegasnya ketika ditemui di kliniknya baru-baru ini.

Menurutnya, lelaki yang berumur 50 tahun ke atas adalah kumpulan berpotensi besar mengalami masalah yang lebih dikenali sebagai Benign Prostatic Hyperplasia (BPH), yang boleh menyebabkan pelbagai komplikasi termasuk gangguan terhadap fungsi buah pinggang.

''Punca sebenar BPH masih tidak ketahui tetapi beberapa penyelidikan mendapati fenomena ini mungkin disebabkan oleh perubahan hormon yang berlaku akibat peningkatan umur,'' jelasnya

Selain itu, faktor pemakanan dan genetik juga turut mempengaruhi timbulnya masalah ini.

Menerangkan secara ringkas, Dr. Eng Geap memberitahu, BPH biasa berlaku kepada lelaki yang berumur 40 tahun ke atas terutama lewat 60-an atau awal 70-an.

Namun, ia masih boleh berlaku lebih awal, khususnya bagi lelaki yang ada sejarah masalah kelenjar prostat di kalangan keluarga rapat.

"BPH tidak menjadi ancaman besar kalau ia dapat dirawat ketika masih di peringkat awal. Sebab itu kita sentiasa galakan golongan lelaki menjalani pemeriksaan berkala sebagaimana wanita," katanya.

Eng Geap mengakui terdapat kekeliruan di kalangan sesetengah individu yang mengaitkan BPH dengan penyakit barah sedangkan kedua-duanya adalah situasi berbeza.

''BPH berlaku akibat kelenjar prostat yang terletak antara rektum dan pundi kencing telah membesar iaitu sebesar kacang walnut.

"Keadaan ini menyebabkan uretra iaitu saluran kencing akan terhimpit dan menimbulkan tanda-tanda kerumitan dalam proses membuang air kencing.

''Situasi ini dikenali sebagai pembesaran prostat (BPH) dan ini bukanlah barah seperti anggapan sesetengah orang," katanya serius.

Dr. Eng Geap menjelaskan, kemunculan BPH akan mencetuskan pelbagai masalah dan boleh memberi kesan pada gaya hidup individu terbabit.

Antaranya, kerap kencing pada waktu malam, daya pengaliran air kencing yang semakin lemah dan berasa tidak berupaya untuk mengosongkan pundi kencing dengan sepenuhnya.

''Pesakit juga akan mengalami kesukaran untuk mula kencing, kencing yang terhenti-henti berulang kali dan terdapat sisa air kencing selepas kencing," ujarnya.

Katanya, masalah tersebut tidak harus dipandang ringan kerana jika dibiarkan akan memudaratkan sistem badan yang lain.

''Selain BPH, tanda-tanda ini juga boleh timbul atas sebab-sebab yang lain dan ia mungkin adalah tanda-tanda penyakit yang lebih serius seperti jangkitan kuman pada pundi kencing atau jangkitan kuman pada sistem buah pinggang.

''Apa yang perlu dilakukan ialah memberitahu doktor sekiranya anda mempunyai sebarang tanda-tanda tersebut agar doktor dapat mengesahkan punca masalah sebenar,'' terangnya lagi.

Beliau menegaskan lagi, tanpa rawatan awal prostat ini akan terus membengkak dan menjadi lebih besar serta meningkatkan risiko dalam jangka masa panjang.

Katanya, kalenjar prostat yang normal biasanya bersaiz 20 gram bagaimanapun bagi yang bermasalah boleh membesar sehingga 200 gram.

Kadangkala terdapat juga kes-kes di mana pembesaran prostat yang tidak dirawat boleh menimbulkan masalah-masalah batu karang di dalam pundi kencing, jangkitan ginjal serta kerosakan pada pundi kencing, ginjal dan salur kencing.

Rawatan

Eng Geap memberitahu, pemeriksaan awal amat penting bagi memastikan sejauh mana seriusnya pembengkakkan tersebut.

"Doktor akan memastikan bahawa tanda-randa yang dialami itu adalah BPH dan rawatan yang sesuai akan ditentukan.

"Setakat ini terdapat dua jenis ubat untuk rawatan ini iaitu 5 Alpha Reductase Inhibitors yang bertindak mengecutkan kelenjar prostat dan sekali gus membolehkan kencing menjadi lawas.

"Satu lagi ubat ialah Alpha Bloker yang berfungsi untuk melonggarkan kelenjar prostat bagi tujuan memudahkan proses membuang air kecil," katanya.

Namun menurut Dr. Eng Geap, sekiranya pesakit berada di peringkat serius pembedahan perlu dilakukan.

''Dengan ledakan teknologi yang semakin canggih, pesakit yang menghidapi pesakit ini tidak perlu risau kerana pembedahan secara sistem laser iaitu Laser Photoselective Vaporisation of Prostate (PVP).

''Doktor akan menggunakan cahaya laser hijau berkuasa tinggi yang bertindak membenarkan pigmen darah di dalam tisu prostat menyerap cahaya ini lalu memanaskan tisu prostat ketahap pengewapan,'' tegasnya.

Katanya, dengan kecanggihan sistem laser hijau ini tisu prostat bermasalah dapat dikeluarkan dalam masa yang singkat dengan pendarahan yang minimum.

Ditanya mengenai kesan daripada pembedahan laser ini, Eng Geap memberitahu, 80 hingga 90 peratus pesakit yang menjalani pembedahan sistem laser hijau ini kembali lawas dalam proses membuang air kecil.

Kepentingan multi vitamin

MENJELANG 2020, dianggarkan 10 peratus daripada penduduk Malaysia terdiri daripada mereka yang berusia 65 tahun ke atas.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding hanya 900,000 pada tahun 2000.

Faktor khidmat perubatan yang lebih baik dikatakan antara penyumbang utama kepada pertambahan jangka hayat penduduk.

Namun bertambahnya umur tidak menjanjikan kebahagiaan andai terpaksa menderita dibebani penyakit di hujung usia.

"Penjagaan kesihatan patut diutamakan sejak usia muda lagi. Kemerosotan kesihatan disebabkan banyak perkara, antaranya gaya hidup yang sentiasa sibuk, tabiat pemakanan yang gemar kepada makanan segera dan tidak bersenam," kata Pakar Kesihatan Usia dari Pusat Perubatan Pantai, Dr. Rajbans Singh pada pelancaran Wyeth Centrum Silver For Adults 50++ baru-baru ini.

Jelasnya, semua orang tahu bahawa pemakanan seimbang sangat penting untuk kesihatan. Namun dalam kesibukan urusan seharian, sukar untuk kita pastikan mengambil makanan yang benar-benar berkhasiat.

Kesudahannya kata beliau, kita terpaksa memilih makanan segera yang kononnya 'nilai untuk wang anda' tanpa menyedari ia sebenarnya punca kepada kebanyakan penyakit.

"Melalui gaya pemakanan yang tidak seimbang ini, badan kita tidak berupaya mendapatkan mineral dan vitamin secukupnya," katanya.

Kerana itu Dr. Rajbans berkata, bagi mendapatkan semula keperluan tubuh dalam menjalankan fungsinya dengan betul, kita digalakkan mengambil suplemen berbentuk multi vitamin.

Jelas beliau lagi, pada usia melebihi 50 tahun pengambilan nutrisi perlu berubah selaras dengan proses penuaan dan gaya hidup yang berlainan.

"Masalah fizikal, sosial dan emosi akan mengganggu selera atau mungkin menjejaskan keupayaan membeli dan menyediakan makanan seimbang seperti ketika muda," katanya.

Masalah psikologi turut menjadi penumbang kepada kurangnya penyerapan vitamin. Manakala masalah dental menyebabkan individu pada usia ini mula beralih kepada makanan lembut yang mungkin tidak mengandungi vitamin dan mineral secukupnya bagi memastikan kesihatan yang optimum.

Dengan pengambilan multi vitamin yang lengkap katanya, individu berusia boleh menjalani pertambahan usia dengan lebih yakin. Tambahan pula katanya, kini lebih ramai individu semakin aktif di sebalik peningkatan usia seperti mula terlibat dengan perniagaan selepas bersara.

Implikasi radang usus

Penyebab IBD

Adalah menjadi kebiasaan orang menganggap bahawa IBD disebabkan oleh apa yang kita makan kerana IBD mengakibatkan keradangan di dalam salur penghadaman. Namun begitu, tiada bukti yang menunjukkan bahawa tabiat makan kita menyebabkan IBD.

Sungguhpun penyebab IBD tidak diketahui sepenuhnya, doctor percaya bahawa IBD berlaku disebabkan sistem pertahanan badan bertindakbalas dengan tisu usus sendiri. Selain itu, faktor yang menyebabkan IBD ialah sejarah keluarga yang pernah menghidapi IBD, jangkitan, immunologik (berkenaan dengan sistem imuniti badan) dan juga faktor kesihatan fisiologikal. Apa yang mencetuskan sistem imun badan menyebabkan IBD masih belum dikenalpasti. Tabiat merokok direkodkan sebagai penyebab kepada penyakit Crohn's yang teruk.

Tanda dan gejala

Tanda gejala lazim adalah sakit pada bahagian abdomen dan cirit-birit. Tanda-tanda lain termasuk:

# Cirit-birit yang mengandungi darah

# Kehilangan selera makan

# Penurunan berat badan

# Keluaran lendir daripada dubur

# Buang air besar berserta sakit atau berdarah

# Keinginan membuang air besar yang mendesak

# Kembung perut

# Fistula atau penyakit di bahagian dubur. Keadaan ini biasa berlaku di mana terdapat lelehan lendir di sekeliling dubur di kalangan penghidap penyakit crohn's

# Demam (berlaku semasa radang berlaku)

# Perasaan letih (kurang darah merah, rasa tidak sihat secara umumnya)

Komplikasi

IBD boleh menyebabkan pendarahan dari ulser (penghidap ulseratif kolitis) dan menyebabkan usus tembus (atau pecah). Penghidap penyakit crohn's mungkin mengalami usus sempit (lubang usus menjadi separuh tersekat dan menyempit) disebabkan oleh keradangan.

Penyakit radang usus mungkin boleh mempengaruhi organ lain di luar salur penghadaman, seperti pada sendi, mata, kulit dan hati. Pesakit yang banyak menggunakan ubat steroid untuk mengurangkan radang mungkin akan mendapat penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi dan osteoporosis. Dalam jangka masa panjang IBD boleh menyebabkan penghidap berisiko tinggi mendapat kanser kolon. Penghidap memerlukan pengawasan untuk mengenal pasti tanda awal kanser kolon.

Rawatan IBD

Disebabkan IBD merupakan penyakit kronik, ia memerlukan pengambilan ubat berjangka panjang. Objektif utama rawatan IBD adalah untuk mengkurangkan tindak- balas keradangan yang tidak normal. Sesetengah ubatan digunakan untuk merawat keradangan yang akut dan menjadikan penyakit ini terkawal. Ubatan lain berfungsi mengurangkan kekerapan keradangan dan menjadikan keadaan IBD stabil.

Steroids - Steroid akan diberikan kepada pesakit untuk penyakit yang aktif dan steroid hanya boleh digunakan dalam masa yang singkat. Steroids membantu mengurangkan gejala IBD tetapi tidak boleh menghalang IBD menjadi aktif. Kesan sampingan steroid sekiranya diambil dalam dos yang tinggi dan dalam masa yang panjang termasuk jerawat, katarak, osteoporosis( tulang reput) dan "moon face" (wajah bengkak menjadi bentuk bundar).

Mesalazine - Ubat ini berguna untuk mengawal IBD. Pesakit perlu mengambilnya dalam jangka masa yang panjang.Mesalazinine juga berguna semasa keradangan yang aktif.

Immunosippression - Kumpulan ubatan ini digunakan untuk menekan sistem imun (disebabkan IBD adalah penyakit berkaitan dengan reaksi imun badan sendiri). Malangnya, ubat ini lambat tindakannya, tetapi berguna untuk membantu pesakit yang penyakitnya tidak terkawal sepenuhnya dengan penggunaan ubat masalazine. Ianya juga mengurangkan kekerapan pengambilan steroid dan ubat ini mempunyai kurang kesan sampingan jangka panjang. Akan tetatpi, pesakit berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan kuman dan pemantauan ujian darah perlu dilakukan.

Anti-TNF agen - "Tumour necrosis factor" (TNF) adalah diperolehi dari sel darah putih dan ianya bertindak untuk memperbaiki tisu yang rosak. Inflixamab adalah anti-TNF antibodi yang telah diperakui untuk merawat penyakit crohn's dan ulser kolitis yang tahap sederhana hingga ke tahap teruk. Tetapi ubat ini agak mahal.

Antibiotik - Mtronidazole dan ciprofloxacin adalah dua antibiotik yang digunakan untuk merawat IBD. Ubat ini berguna untuk merawat IBD yang ringan dan akut. Tetapi ubat ini tidak berkesan untuk menstabilkan penyakit IBD.

Pembedahan - Pembedahan berpotensi penyembuhan penyakit ulser kolitis tetapi tidak berkesan untuk penyakit crohn. Pembedahan selalu disarankan untuk pesakit yang tidak tahan dengan kesan sampingan ubat dan pengambilan ubat tidak mendatangkan kesan. Doktor juga akan melakukan pembedahan terhadap penghidap ulser kolitis sekiranya terdapat tanda-tanda permulaan kanser atau telah menjadi kanser. Untuk penyakit crohn's, pembedahan adalah dianjurkan untuk pesakit yang menderita dengan komplikasi penyakit dan penyakit yang tidak bertindak-balas terhadap ubat-ubatan

Probiotik - Terdapat pandangan yang menyatakan bahawa penggunaan probiotik sebagai terapi ajuvan untuk menstabilkan penyakit dan mengurangkan radang ulser kolitis yang ringan hingga radang yang sederhana. Ia boleh menstabilkan remisi yang berlaku di pouchitis (selalunya berlaku selepas pesakit menjalani pembedahan ulser kolitis).

Tip untuk pesakit yang hidup dengan IBD

Organisasi Gastroenteologi Dunia menyarankan petua ini untuk penghidap IBD:

1. Belajar tentang IBD dan tanda gejalanya.

2. Ingat bahawa setiap penghidap IBD adalah berbeza.

3. Cari seseorang yang boleh berkongsi dan mendengar masalah anda dan juga dapat bersimpati terhadap penyakit yang anda tanggung.

4. Makan secara seimbang.

5. Jangan melakukan aktiviti berlebihan yang diri anda tidak mampu melakukan.

6. Tanyakan pemberi perkhidmatan kesihatan anda tentang ubat yang anda makan, apakah kesan sampingannya dan berapa lama jangka masa penggunaannya.

l Dr. Tan Huck Joo adalah presiden Persatuan Gastroenterologi & Hepatologi Malaysia. Penulis rencana ini tidak menyokong dan tidak mempunyai kaitan dengan sebarang jenama atau produk. Rencana ini adalah sumbangan Persatuan Gastroenterologi & Hepatologi Malaysia yang disokong oleh Program Perut Sihat VITAGEN. Untuk mendapatkan buku mengenai kesihatan sistem penghadaman secara percuma, sila hubungi 03-56211408.

Keterlanjuran pesakit AIDS

MELANGKAH kaki ke rumah perlindungan ini sedikit sebanyak menyuntik keinsafan. Tidak kira bangsa dan agama, setiap pesakit Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit (AIDS) ternyata mempunyai kisah sendiri.

Keperitan dialami sekumpulan pesakit AIDS yang menghuni sebuah rumah perlindungan di Taman OUG, Crisis Home seharusnya bukan menjadi bahan kejian tetapi ia merupakan pengajaran kerana takdir itu tidak diminta. Mereka berasa amat tersisih kerana bukan saja dipandang hina masyarakat, malah diberi tekanan berterusan supaya berpindah dari kawasan elit berkenaan kerana dianggap jijik dan merosakkan panorama.

Pengetua rumah perlindungan Crisis Home, Isaac Tan menyimpulkan setiap dugaan dan tekanan masyarakat sekeliling terhadap penghuni rumah terbabit lahir daripada sikap diskriminasi dan singkat akal terhadap golongan itu.

Di rumah perlindungan ini, kebanyakan pesakit diajar membuat kerja rumah.Mereka mempunyai jadual harian untuk memastikan setiap penghuni melakukan kerja . Walaupun kebanyakan penghuni berusia 30 tahun ke atas, mereka masih berupaya melakukan kerja harian. Jangan terkejut jika semua penghuni lelaki boleh memasak, menjahit dan membasuh pakaian sendiri. Sebagai masyarakat, bukan kejian yang harus diberi tetapi sokongan dan bantuan kepada mereka untuk meneruskan kehidupan.

Walaupun rata-rata penghuni melakukan kesilapan pada usia muda, mereka kini ingin kembali ke pangkal jalan. Diterima oleh keluarga dan masyarakat mungkin memberi sedikit sinar bahagia buat mereka.

Ikuti luahan hati penghuni Crisis Home yang sedia berkongsi kisah hidup mereka.

'Benang' jadikan wajah menarik

RAUT wajah mencerminkan diri kita. Sekiranya wajah kita tersenyum ia melambangkan hati yang bahagia. Begitu juga wajah yang sering muram menggambarkan hati yang sedih dan pilu. Pernahkah anda melihat seorang yang gembira dan periang menunjukkan wajah bengis dan muram. Sudah tentu tidak. Ini menunjukkan bahawa ekspresi wajah adalah sangat penting kerana ia mencerminkan perasaan kita.

Sejak saya memperkenalkan Teknik Serdev pada keluaran minggu lepas saya mendapat banyak pertanyaan pembaca yang ingin tahu bagaimanakah teknik ini dilakukan. Kali ini saya akan mengupas lebih mendalam lagi berkenaan isu ini.

Bagaimanakah sebuah wajah itu di anggap menarik? Apakah kriterianya?

Dalam perubatan estetik wajah yang sempurna terbentuk apabila terdapat keseimbangan peratusan pada tiga bahagian muka iaitu:

# Jarak dari dahi ke hidung

# Jarak dari hidung ke mulut

# Jarak dari mulut ke dagu

Sekiranya jarak ketiga-tiga bahagian ini hampir sama maka wajah dianggap sempurna.

Gambar di atas menunjukkan struktur wajah yang tidak simetri. Jarak dari mulut ke dagu adalah pendek. Gambar di sebelah kanan ialah wanita yang sama setelah dagunya dipanjangkan bagi membentuk wajah yang lebih simetri.

Garisan melintang dan menegak menunjukkan simetri jarak wajah yang ideal. Rawatan serdev boleh memberikan raut wajah yang agak simetri.

Cuba lihat gambar topeng

Perhatikan apabila garisan mata bibir dan mulut melendut maka akan terhasil wajah yang suram dan sedih. Manakala apabila garisan diangkat kita dapat menghasilkan wajah yang ceria.

Bila usia beranjak akan terjadilah garisan-garisan halus serta kejatuhan pada otot-otot, segalanya mengendur dan melendut. Keadaan inilah yang menjadikan raut wajah tampak muram seolah-olah seseorang itu sentiasa berada dalam kesedihan. Apabila mengangkat kembali kita berjaya menjadikan wajah tampak lebih muda dan ceria.

Wajah kita terdiri dari struktur tulang dan otot otot muka. Apabila usia meningkat, kandungan kolagen pada kulit turut mengalami perubahan. Jalinan kolagen yang sedikit dan tidak kukuh membuatkan kulit menurun, tidak lagi anjal dan kurang tegang. Otot-otot juga mula mengalami kesan penuaan. Ia mula melendut ke bawah menimbulkan garisan-garisan kecil yang menghala ke bawah.

Teknik Serdev

Teknik serdev menggunakan benang khas yang dimasukkan ke bawah kulit kepala.Benang itu digunakan bagi mengangkat semula muka tanpa memerlukan pembedahan yang menyakitkan. Keistimewaan teknik serdev adalah ia menggunakan benang yang diperbuat daripada protein. Ia terbukti tidak menyakitkan dan hasilnya tahan lama. Benang itu tidak kekal di dalam kulit kita. Dalam masa beberapa bulan ia akan hancur di dalam tubuh namun hasilnya tetap cantik selama 10 tahun kerana berlakunya fibrosis pada bahagian muka yang diangkat. Fibrosis adalah proses semulajadi di mana bahagian muka yang diangkat melekat pada tempat yang betul dengan kekal. Ia langsung tidak memberikan kesan parut kerana dibuat di kulit kepala yang tersembunyi di bawah rambut. Rambut juga tidak perlu digunting atau dicabut kerana teknik ini hanya melibatkan benang yang di sembunyikan di bawah rambut sahaja.

Bagaimanapun jika seseorang itu dikurniakan dengan wajah yang cantik namun personalitinya tidak menarik sudah tentulah kecantikannya itu kurang menyerlah. Keyakinan diri amat mustahak sekali terutamanya bagi wanita.

Faktor lain yang penting adalah senyuman yang ikhlas dan menawan. Senyuman yang ikhlas membuatkan wajah seseorang tidak jemu dipandang. Ia memberikan impak yang penting dalam meningkatkan kecantikan anda.

Berhenti merokok sebelum terlambat

MOHD YUSUF, 59 mula merokok sejak berumur 14 tahun. Dua tahun lalu, enam hari terlantar di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Putrajaya ternyata mengubah kehidupannya. Akibat penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD) kerana tabiat merokok, Mohd Yusuf menjalani kehidupan yang sukar.

Sejak remaja, purata rokok yang dihisap sehari ialah 15 batang. Ketika hanya keseronokan yang dirasainya. Sepanjang itu, pernah juga dia merasa sakit dada dan batuk tetapi Mohd Yusuf menganggapnya sakit biasa. Tak pernah kenal apa itu COPD, Mohd Yusuf seronok merokok. 19 hari berada di wad hospital tanpa rokok memberi galakan kepada dirinya untuk berhenti merokok. Walaupun sebelum ini harga rokok pernah ditingkatkan dan larangan anti merokok diperluaskan, Mohd Yusuf tidak pernah mahu berhenti merokok. Malah, hidupnya dirasakan tidak sempurna tanpa rokok. Itu kisah sepanjang 40 tahun dia merokok. Namun, ketika disahkan COPD, dia mula sedar tatkala mengenangkan nasib isteri dan sembilan orang anaknya. Nasihatnya kepada perokok lain, kesedaran datang dari dalam diri sendiri jika hendak berhenti merokok. Kepada remaja sama ada lelaki atau wanita, sebaiknya jangan cuba merokok. Apabila sudah gian, sukar untuk menghentikan tabiat ini.

Ini adalah kisah bekas perokok yang mula merokok sejak remaja lagi. Senario ini ternyata membimbangkan masyarakat kita. Lebih-lebih lagi remaja wanita yang merokok telah menunjukkan peningkatan. Menurut Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, Dr. Zarihah Mohd Zain, walaupun data terkini menunjukkan perokok lelaki menurun tetapi perokok wanita meningkat. Ia juga berlaku di kalangan perokok bawah umur. Data menunjukkan peningkatan perokok wanita bawah umur pada tahun 2003 ialah 4.2 peratus dan ia telah meningkat pada tahun lalu. Sebaliknya, jumlah perokok lelaki bawah umur sebanyak 36.3 peratus telah menurun pada tahun lepas.

Laporan baru-baru ini menunjukkan terdapat tiga juta perokok di Malaysia dengan 0.2 juta daripadanya di bawah umur.

Daripada data itu, peningkatan jumlah perokok bawah umur sejak beberapa tahun kebelakangan ini sangat membimbangkan.

"Tabiat merokok juga sudah menyerang anak gadis di negara ini kerana mereka sangat mudah untuk melihat golongan wanita merokok di kawasan awam. Tidak terkecuali golongan wanita di lapangan profesional," ujarnya.

Di Malaysia, jumlah perokok wanita juga semakin ketara. Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2006 mencatatkan 2.5 peratus wanita pernah merokok, 1.6 peratus masih merokok dan 0.9 peratus berjaya berhenti merokok. Di kalangan lelaki, 57.6 peratus pernah merokok, 46.4 peratus masih merokok, manakala 11 peratus berjaya berhenti merokok.

Sejak 1998, semakin banyak negara bertegas dalam menangani perokok. Banyak negara sudah mensyaratkan semua rokok di pasaran mesti dibungkus dengan grafik komplikasi merokok, misalnya barah paru-paru dan keguguran janin.

Di Malaysia, sejak 1 Jun 2009, semua kotak rokok di pasaran mesti mempunyai 40 peratus amaran bergambar di bahagian hadapan dan 60 peratus di belakang kotak.

Hasilnya menurut Dr Zarihah, daripada kajian yang dibuat, kebanyakan perokok berasa terancam dari segi psikologi dengan kotak rokok beramaran. Daripada enam amaran bergambar (barah paru-paru, keguguran janin, kelahiran pramatang, barah mulut, barah tengkuk dan gangrene) perokok lebih memilih rokok dengan gambar beramaran 'cap kaki' (gangrene).

Namun, ia masih kurang mendapat sambutan.

Lebih-lebih lagi perokok di bawah umur khususnya pelajar kini mendapat wang poket yang mewah.

Selain itu, pelbagai perisa rokok turut menggalakkan orang ramai membeli rokok. Tanpa disedari ia sebenarnya menjadi tarikan perokok wanita.

Beliau berkata wanita di seluruh dunia menjadi ketagih kepada rokok kerana kebanyakan mereka mudah percaya dengan dakwaan iklan-iklan itu yang mendakwa kononnya amalan merokok boleh mengurangkan berat badan dengan mudah.

"Ada sesetengah iklan mendakwa dengan merokok wanita boleh mengurangkan berat badan dengan mudah, dan sesetengah kaum wanita pula tertarik dengan pembalut rokok itu sendiri. Situasi ini lebih mudah berlaku di kalangan remaja," katanya.

Gejala merokok perlu ditangani bukan saja di kalangan pelajar wanita, malah merangkumi semua peringkat umur. Dalam membanteras tabiat merokok ini, pendidikan perlu diberi perhatian serius ketika di rumah dan sekolah. Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam memantau setiap pergerakan dan aktiviti anak mereka supaya tidak terjebak di dalam aktiviti yang tidak sihat ini.

"Usaha ini tidak akan berjaya jika tiada sokongan padu daripada semua pihak dalam melahirkan pelajar yang bersahsiah tinggi dan cemerlang pada masa akan datang. Ibu bapa misalnya, perlu kenal raka-rakan anak-anak mereka." katanya.

Kenapa remaja merokok?

1) Diri sendiri.

Rokok dikatakan identiti bagi seorang pelajar yang ingin dikenali sebagi seorang yang macho dan bergaya. Apakah ia benar? Sebenarnya remaja merupakan masa krisis identiti berlaku. Pada ketika ini mereka tercari-cari gaya yang sesuai dengan diri. bagi pelajar lelaki, rokok seperti satu kemestian. Manakala wanita juga sudah mengikut trend ini. Lebih-lebih lagi ramai golongan wanita bekerja yang mula terlibat dengan aktiviti merokok. Ibarat prestij diri, remaja wanita gemar melihat gaya mereka. Mereka juga percaya rokok boleh mengurangkan berat badan seperti seorang model.

Remaja juga percaya rokok dapat menghilangkan tekanan. Sebenarnya tidak, ia sebenarnya menambah gian pelajar untuk mencubanya lagi.

Golongan ini juga tidak perlu risau kerana poket sentiasa berisi duit. Hasilnya, mereka mudah mendapatkan rokok kerana ia dijual di mana-mana sahaja tanpa mengira amaran KKM yang melarang rokok dijual kepada golongan bawah umur.

2) Pengaruh rakan-rakan sebaya.

Faktor ini dikatakan yang paling banyak mempengaruhi remaja. Tanpa mengabaikan kesan rokok apabila meningkat dewasa, mereka seronok merokok bersama rakan-rakan. Ada juga yang didesak atau dicabar. Jika tidak melakukannya, mereka berasa malu kerana dikutuk.

3) Faktor keluarga.

Keluarga yang mempunyai masalah seperti kemiskinan atau penceraian sering menjadi faktor remaja merokok. Remaja percaya tabiat ini boleh melegakan mereka. Ada yang lebih berani, cuba mengambil dadah. Seperti dadah, mereka juga akan ketagih rokok. Bagi yang tidak berduit, remaja mula terlibat dengan gejala tidak sihat seperti lumba haram, mencuri atau meragut.

4) Persekitaran

Iklan dan penjualan rokok secara berleluasa turut mempengaruhi situasi ini. Seharusnya, semua premis perniagaan mematuhi undang-undang agar tidak menjual rokok kepada mereka yang di bawah umur.