"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Wednesday, May 6, 2020

Lagi Kritikan Liberal Terhadap JAKIM?


1. Kalau sebelum ini Siti Kasim, Sisters in Islam dan kumpulan G25 yang banyak menghentam JAKIM, terkini terdapat ahli akademik pula menzahirkan kritikan yang sama. Semalam seorang pensyarah UKM mempersoalkan sejauh mana JAKIM menyumbang ke arah menggalakkan kemajuan Islam di negara ini.

2. Beliau merujuk serbuan oleh Jabatan Agama Islam Selangor yang menahan 23 individu di sebuah pusat Syiah di Gombak pada September lalu. Bagi beliau, operasi tersebut melanggar hak asasi manusia. Malah,  menurut beliau lagi JAKIM telah merosakkan masyarakat dan berpandangan bahawa masyarakat akan menjadi semakin extremis 20 atau 30 tahun lagi.

3. Istilah-istilah yang digunakan oleh pensyarah ini seakan senada dengan seruan pendokong Liberal yang menyifatkan Muslim sebagai ekstremis, sempit dan mencabul kebebasan hak asasi kemanusiaan. Dalam Islam tiada hak kebebasan yang mutlak. Muslim tidak boleh sewenangnya melakukan dosa yang merosakkan diri dan aqidah mereka.

4. Tindakan Jabatan Agama yang melakukan operasi bagi mencegah kerosakan aqidah umat Islam adalah selaras dengan konsep Amar Makruf dan Nahi Mungkar. Atas sebab itu sebahagian sarjana Muslim mengharuskan operasi siasatan bagi mencegah dosa yang merosakkan individu Muslim. Al-Imam Ibn Hajar menegaskan bahawa: “Benar, seseorang tidak boleh melakukan tajassus (intipan) terhadap Muslim yang lain. Namun sekiranya sesuatu aduan telah dibuat dari orang yang dipercayai (thiqah), maka ia adalah sesuatu yang diharuskan bagi mencegah kemungkaran.” (Fath al-Bari, 10/482)

5. Pandangan yang hampir sama dinukilkan oleh al-Imam Nawawi yang menyatakan pandangan al-Imam al-Haramain dan al-Mawardi berhubung keharusan melakukan operasi siasatan bagi mencegah perlakuan jenayah zina (Syarh al-Nawawi, 2/26). Ini bererti tindakan Jabatan Agama mencegah kemungkaran dan kerosakan aqidah adalah sesuatu yang mempunyai asas dalam Islam. Tidak seperti gesaan liberal yang menuntut kebebasan mutlak individu.

6. Operasi Jabatan Agama tersebut adalah jelas termasuk dalam kempen mencegah kemungkaran yang dituntut dalam Islam. Dalam al-Quran, Allah menyifatkan Bani Israel sebagai bangsa yang dilaknat kerana mereka tidak mencegah kemungkaran. Firman Allah:

كَانُوا لَا يَتَنَاهَوْنَ عَنْ مُنْكَرٍ فَعَلُوهُ لَبِئْسَ مَا كَانُوا يَفْعَلُونَ

“Mereka sentiasa tidak mencegah (sesama sendiri) perbuatan mungkar yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan.” Surah al-Maidah: 79.

6. Di dalam Surah al-Taubah pula, Allah menyifatkan antara sifat orang munafiq itu adalah mereka yang tidak mencegah kemungkaran. Firman Allah:

الْمُنَافِقُونَ وَالْمُنَافِقَاتُ بَعْضُهُمْ مِنْ بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمُنْكَرِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمَعْرُوفِ

Orang-orang munafik lelaki dan perempuan, setengahnya adalah sama dengan setengahnya yang lain; mereka masing-masing menyuruh dengan perbuatan yang jahat, dan melarang dari perbuatan yang baik. Surah al-Taubah:67.

7. Bahkan Rasulullah mengingatkan bahawa mereka yang tidak mencegah kemungkaran sedangkan dia mampu, maka akan dibimbangi akan ditimpa azab dari Allah. Sabda Rasulullah:

((ما من قومٍ يُعْمَل فيهم المعاصي، ثم يقدرون على أن يغيِّروا ثم لايغيروا؛ إلا ويوشك الله أن يعمَّهم بعقابٍ))

“Tiada satu kaum yang melakukan maksiat, sedangkan ada dikalangan mereka yang mampu mencegahnya, melainkan akan dibimbangi keseluruhan mereka akan ditimpa azab ke atas kesemuanya” (HR Abu Daud)

8. Semoga Allah menyelamatkan kita dari pemikiran Liberal yang mengelirukan manusia tentang Islam. Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi

Rujukan:
https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2019/11/25/ahli-akademik-gesa-rundingan-terbuka-fungsi-jakim/

No comments: