"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Monday, March 7, 2011

Risiko penghidap diabetes mati awal


PESAKIT diabetes terdedah kepada kehadiran penyakit lain dalam tubuh.


KENCING manis atau diabetes dipercayai meningkatkan risiko kematian yang dikaitkan dengan saluran darah seperti kanser payu dara dan radang paru-paru.

Kes yang pernah dirujuk kepada sebuah pusat kesihatan di New York membuktikan penghidap diabetes yang berusia 50 tahun meninggal dunia enam tahun lebih awal berbanding individu yang tidak menghidap penyakit itu.

Kajian yang dijalankan untuk menyukat tahap diabetes itu mendapati penyakit tersebut turut meningkatkan risiko kematian pramatang yang disebabkan kegagalan fungsi sistem saluran darah.

Ujar seorang penyelidik dari Universiti Cambridge di Britain, Dr. John Danesh, diabetes semakin mengancam kesihatan masyarakat dunia.

"Ketika kebanyakan orang beranggapan masalah jantung menjadi punca utama kematian, diabetes pula mengejutkan kita apabila muncul sebagai pemangkin utama kepada penyakit lain di dalam tubuh manusia," katanya.

Tambahnya, perokok jangka panjang juga menjadi penyebab pengurangan jangka hayat manusia selama 10 tahun berbanding individu yang tidak merokok.

Diabetes tersenarai sebagai tujuh penyakit utama penyebab kematian di Amerika dengan 26 juta rakyatnya
menghidap penyakit itu.

Diabetes terjadi apabila kadar insulin dalam badan dihasilkan terlalu sedikit atau langsung tidak boleh
digunakan untuk menghasilkan gula dalam darah.

Selain itu, diabetes dikaitkan dengan obesiti melampau yang menyebabkan risikonya bertambah dua kali ganda untuk pesakit diserang lemah jantung atau strok.

Namun, mereka juga mendapati 25 peratus pesakit diabetes lebih berisiko menderita kanser dan maut akibat kehadiran pelbagai penyakit lain termasuk jangkitan, komplikasi jantung dan buah pinggang selain kemalangan.

Dalam kes jangkitan penyakit berbahaya, diabetes melemahkan sistem imunisasi badan pesakit sekali gus memudahkan peluang virus menyerang sistem tubuh.

Diabetes juga boleh menyebabkan masalah penglihatan dan kegagalan sistem saraf pada kaki seterusnya mendorong seseorang itu terlibat dalam kemalangan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0306&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_01.htm

Rangsangan tenaga warga tua

Bapa saya mengamalkan pengambilan CoQ10 sejak enam bulan yang lalu atas saranan ahli farmasi untuk kesihatan jantung. Apakah kesan positif yang boleh dijangkakan dengan pengambilannya? Adakah ia juga memberi faedah kepada penghidap masalah kesihatan lain?

Jawapan: Di kalangan warga tua, pengambilan koenzim Q10 banyak dicadangkan untuk rangsangan tenaga. Tidak terkecuali juga sebagai terapi tambahan di kalangan mereka yang bermasalah dengan jantung. Ini kerana penyelidikan klinikal menyarankan penggunaan koenzim Q10 sahaja atau bersama dengan ubat dan suplemen lain bermanfaat untuk masalah-masalah kesihatan seperti penyakit jantung. Faedahnya kepada masalah ini adalah kerana keupayaannya memperbaiki penghasilan tenaga dalam sel, merencatkan pembentukan darah bergumpal dan bertindak sebagai anti oksida.

Paras koenzim juga cenderung lebih rendah di kalangan mereka yang menghidap kolesterol tinggi berbanding dengan mereka yang sihat dalam kumpulan umur yang sama. Tambahan pula, terdapat sesetengah ubat untuk mengawal kolesterol atau yang dipanggil statin boleh merendahkan paras semula jadi koenzim Q10 dalam tubuh. Pengambilan koenzim Q10 ini boleh mengembalikan semula parasnya dalam tubuh tanpa menjejaskan kesan positif ubat ke atas kolesterol. Manfaat lain yang tidak kurang pentingnya adalah potensinya dalam mengurangkan kesakitan otot yang berpunca daripada rawatan statin.

Koenzim Q10 merupakan kompaun yang boleh dijumpai secara semula jadi dalam tubuh seperti dalam pusat penghasilan tenaga yang dipanggil mitokondria. Koenzim Q10 terlibat dalam membuat molekul-molekul penting yang bertindak sebagai sumber tenaga sel yang utama dan mendorong beberapa proses biologi, termasuk kontraksi otot dan penghasilan protein.

Koenzim Q10 juga bertindak sebagai antioksida. Antioksida adalah bahan yang menentang radikal bebas, iaitu kompaun yang boleh mendatangkan kemudaratan, termasuk mengubah membran sel dan juga boleh menyebabkan kematian sel-sel. Radikal boleh hadir secara semula jadi, tetapi toksin persekitaran (termasuk sinaran ultra violet, radiasi, asap rokok dan pencemaran air) juga akan menambahkan jumlah partikel yang merosakkan.

Para saintis percaya radikal bebas menyumbang kepada proses penuaan serta kejadian pelbagai penyakit seperti penyakit jantung dan kanser. Antioksida seperti koenzim boleh meneutralkan radikal bebas .
Hasil ujian berskala kecil juga memperlihatkan pengambilan koenzim Q10 berpotensi memberi kesan positif untuk :

* Penyakit parkinson

* Meningkat fungsi imun

* Sakit kepala akibat migrain

* Serangan jantung mengejut

* Hipertensi

http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0306&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_05.htm

'Terkucil' tidak kira usia

Soalan umum untuk lelaki dan wanita dewasa. Adakah anda mengalami:
* rasa seperti selalu ingin membuang air kencing atau tiba-tiba terkencing (kebocoran)
* kesukaran membuang air kecil
* kencing tak lawas
* sakit di kawasan pelvik
* kerap bangun malam untuk membuang air kecil (nokturia)
* sukar mengawal air kencing atau
* hematuria (kehadiran sel darah merah pada air kencing)

Jika jawapannya ya, anda perlu bertemu doktor untuk mendapatkan rawatan dan rundingan segera kerana berkemungkinan mengalami gangguan kencing yang disebabkan beberapa perkara.

Terkencing atau juga disebut terkucil mungkin masalah biasa bagi mereka yang berusia. Bagaimana pula jika orang muda atau pertengahan umur yang mengalaminya?

Punca

Pakar Urologi, Dr. Cyril Natarajan berkata, satu kajian yang dibuat pada 2005 menunjukkan hampir 46 peratus lelaki dan wanita Asia berumur antara 40 hingga 50 tahun mempunyai simptom-simptom seperti di atas.

Di Malaysia katanya, keadaan ini merupakan masalah kesihatan yang sering dialami tidak kira jantina.

"Sebenarnya ia boleh menyerang tidak kira usia, namun peningkatan umur mempunyai kaitan dengan masalah
ini," kata Dr. Natarajan dalam satu sidang media yang dianjurkan oleh Sanaxeen.

Menurut beliau, kesedaran mengenai gangguan buang air kecil masih rendah di kalangan rakyat Malaysia, walaupun data menunjukkan 30 peratus wanita negara ini menderita masalah ini.

Mereka yang mengalami masalah ini juga katanya jarang mendapatkan pandangan dan nasihat pakar yang berkaitan dan membiarkan sahaja ia sehingga terlewat.

Menurut beliau, fungsi urinari yang sihat bergantung kepada rangkaian neuro otot kompleks yang terdapat pada saluran urinari bawah.

Kelemahan di bahagian pundi kencing dan uretra akan menyumbang kepada LUTS (Simptom Gangguan Salur Bawah Perkumuhan).

Masalah kawalan air kencing

* sukar mengawal pengeluaran air kencing dan berlaku 'kebocoran' melibatkan masalah sosial dan kebersihan

* terpaksa bergegas membuang air kecil

* disebabkan batuk, bersin atau ketawa kuat.

Ia berlaku disebabkan aliran darah yang tidak betul di kawasan berkaitan, jangkitan kuman atau keradangan dan juga pengecutan otot secara umum.

* Ia juga disebabkan masalah pundi kencing terlalu aktif (OAB).

Bagaimana ia berlaku?

Bagi wanita, masalah di bahagian organ pelvik (pengecutan) atau juga disebut rahim jatuh menyumbang kepada gangguan kawalan kencing.

"Ia disebabkan salah satu simptom sama ada di bahagian dinding vagina dalam atau luar atau hujung vagina dan juga boleh berlaku selepas pembedahan membuang rahim (histerektomi)," kata beliau.

Namun di kalangan lelaki pula, 20 hingga 30 peratus daripada mereka yang mengalami masalah ini berkaitan dengan masalah prostat seperti hyperplasia prostatik benigna (BPH).

Kata Dr. Natarajan, pembesaran kelenjar prostat akan menekan salur kencing menyebabkan lelaki tersebut sukar untuk mengosongkan pundi kencing dengan sepenuhnya.

Ini menyebabkan saki-baki air kencing kekal di dalam pundi dan pesakit terpaksa berulang alik ke tandas dengan kerap.

Rawatan tanpa pembedahan

Selain pembedahan, masalah kawalan pundi kencing kata Dr. Natarajan boleh dirawat secara perlahan melalui gaya hidup yang sihat.

"Hentikan merokok atau mengambil minuman keras (bagi mereka yang berbuat demikian). Amalkan diet yang seimbang, elakkan atau kurangkan minuman berkafein dan bersenam mampu membantu mengatasi masalah ini," kata beliau.

Menurutnya, rawatan awal lebih baik kerana pesakit boleh mengawalnya dengan lebih mudah. Pesakit juga katanya boleh mengamalkan jadual membuang air kecil mengikut tempoh tertentu bagi melaraskan kembali keadaan tersebut.

Terdapat juga rawatan perubatan yang mampu membantu seperti ubat yang mengandungi antikolinergik, antikemurungan trisilik, serotonin, hormon antidiuritik dan terapi estrogen setempat. Selain itu perubatan alternatif seperti ekstrak debunga juga boleh membantu.

Mengenai Sanaxeen

Mengandungi komponen biologikal seperti mineral, unsur surih, asid amino, asid nukleik dan enzim yang membantu menyeimbang nutrien sel pertumbuhan semula. Ia membantu mengekalkan kesihatan prostat dan pundi kencing. Jenama ini diyakini secara klinikal melebihi 50 tahun dalam membantu mengurangkan simptom pesakit LUTS.

http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0306&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_04.htm

Susahnya nak kurus semula

Maria berjumpa doktor kerana mengalami masalah obesiti. Dia mahu mengurangkan berat badan yang meningkat sehingga 90 kg. Doktor mencadangkan program pengawalan makanan dan juga ubat-ubatan bagi merangsang rasa kenyang dengan cepat. Menurut doktor ini merupakan langkah saintifik yang digunakan di seluruh dunia. Selepas dua minggu makan ubat dan mengawal pemakanan, Maria mula kehilangan berat badan. Dalam tempoh sebulan berat badannya mengurang sebanyak 10 kg dan semestinya dia gembira.

Bagaimanapun pada bulan kedua, tiada sebarang pengurangan menyebabkan Maria mula risau. Sebulan selepas itu Maria berhenti makan ubat kerana jemu dengan keadaannya yang tidak berubah. Tambahan pula dia diberitahu ubat yang dimakan mempunyai kesan tidak baik kepada kesihatan. Beberapa bulan selepas itu,
Maria mengalami kenaikan berat badan berganda. Tubuhnya berasa lemah dan mukanya kelihatan sembap.

Dia kecewa dan hairan dengan keadaan tubuhnya yang tidak memberi sebarang reaksi terhadap rawatan dan ubat-ubatan. Dia melihat beberapa rakannya yang memakan ubat dan pengawalan makanan menjadi kurus dan cantik.

Mengapakah sukar untuk kurus? Mengapakah seseorang itu tetap gemuk meskipun berdiet dan mengamalkan senaman? Apakah yang terjadi?

Setelah mendengar cerita Maria saya menyatakan kepadanya bahawa dia mengalami masalah refraktori obesiti yang bermaksud seseorang itu tidak berjaya menjadi kurus semula. Diet senaman dan ubat-ubatan tidak dapat membantu menurunkan berat badan. Mangsa refraktori obesiti akan menjadi lebih gemuk setelah menjalani rawatan pelangsingan. Mereka juga mempunyai tenaga yang lemah dan mudah murung. Keadaan kulit mereka kasar dan kurang menarik. Senaman juga membuatkan mereka lemah dan semakin gemuk.

Kanak kanak yang mengalami refraktori obesiti juga menjadi kurang bermain dan mudah menyendiri. Perkara ini perlu diberi perhatian oleh ibu bapa kerana jika tidak ditangani bakal menjadi lebih serius.

Kesan refraktori obesiti terhadap tubuh badan

* Tulang mengecil dan merosot terutamanya tulang pada muka. Ini menyebabkan muka kelihatan bulat dan sembap.

* Kekejangan otot.

* Berisiko mendapat penyakit metabolik.

* Mudah letih.

* Mata mengecil dan tampak sepet

* Cepat lapar

* Tidak mampu bersenam

* Masalah haid tidak menentu bagi wanita

Rawatan

Tidak ada kaedah diet dan senaman yang mampu memberi kesan terhadap masalah ini. Ini kerana masalah refraktori obesiti disebabkan kekurangan enzim dan hormon pembakar lemak. Oleh kerana itu pengidap refraktori obesiti berdiet sepanjang tahun malah bertahun-tahun lamanya tanpa sebarang kesan.

Rawatan yang terbaik adalah meningkatkan paras enzim dan hormon. Di Marissa Esthetic misalnya rawatan yang penting adalah terapi enzim yang merangsang ketosis.

Selain itu senaman menggunakan otot yang menyokong tubuh kita iaitu core muscle excersize bukan sahaja tidak memenatikan malah mampu menjana fungsi metabolik dengan berkesan.

Masalah

* Masalah lemak pada bahagian depan tubuh iaitu pada buah dada, ketiak, perut termasuk lengan.

Lemak yang berkumpul pada bahagian ini disebabkan faktor hormon yang tidak seimbang. Dalam tubuh wanita terdapat hormon yang penting iaitu estrogen dan progestron. Kehadiran kedua-dua hormone ini perlu seimbang. Apabila estrogen terlalu banyak maka akan berlaku ketidakseimbangan. Estrogen cenderung untuk mengumpulkan lemak pada perut dada lengan dan ketiak. Mereka yang mengalami masalah ini berasa cepat letih. Mereka juga sukar memakai korset atau pakaian ketat kerana saiz badannya lebih besar apabila waktu petang atau malam. Korset yang dipakai terasa seolah-olah semakin ketat di sebabkan perkara ini.

Sebenarnya tubuh mereka menyimpan air yang banyak. Pendekatan menangani obesiti haruslah dibuat menerusi pelbagai aspek kerana mengawal makan sahaja bukanlah penyelesaiannya. Selepas rawatan barulah doktor mengenalpasti makanan yang sesuai dengan komposisi tubuh seseorang. Ini membuatkan seseorang itu lebih mudah menjaga dirinya bagi mengelakkan stimulasi hormon cortisol dan estrogen. Perubahan gaya hidup juga penting iaitu dengan menjauhi ketegangan dan bijak menghadapi tekanan dalam kehidupan seharian.

* Pengumpulan lemak pada muka.

Masalah pengumpulan lemak pada muka dan belakang leher. Biasanya tangan dan kaki adalah agak kecil. Perut mungkin membesar sedikit dan terdapat banyak kesan rekahan. Rekahan ini dinamakan striae. Sekali pandang ia kelihatan striae pada perut wanita hamil. Mereka mempunyai muka yang bulat, dagu berlapis dan selalunya bertubuh rendah

* Pengumpulan lemak pada punggung.
Lemak hanya berkumpul pada punggung sahaja. Bahagian atas tubuh kecil, muka juga kecil dan comel. Ini berlaku kerana keaktifan hormon gonadal yang tinggi dan merangsang tubuh menyimpan lemak pada punggung. Perkara ini berlaku bagi lelaki dan wanita. Mereka yang mengalami masalah ini disaran mengambil hormon bloker dan juga mengelak daripada mengambil makanan seperti organ dalaman haiwan yang kaya dengan hormon tersebut.

* Pengumpulan lemak pada perut dan pinggang.

Bagi lelaki ini berlaku disebabkan kekurangan hormon seks lelaki iaitu testosterone serta kemerosotan dalam aktiviti hormon GH. Tubuh jenis ini berisiko mendapat kencing manis kerana masalah insulin yang tidak efektif. Sel-sel dalam tubuhnya tidak efektif terhadap insulin menyebabkan insulin di keluarkan dengan banyak. Kesan insulin yang banyak akan membuatkan gula dalam tubuh rendah dan tenaga menjadi lemah. Mereka juga kerap berasa lapar dan kerap makan menyebabkan berat badan bertambah.

http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0306&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_03.htm

Diet legakan usus rengsa

WANITA atau lelaki yang berusia 25 hingga 41 tahun sering mengalami masalah kembung perut atau buncit. Kadang-kadang masalah itu mendatangkan kegusaran kepada empunya diri.

Justeru, mereka sanggup mengenakan baju bersaiz besar atau berwarna gelap bagi menutup perut yang agak buncit.

Lebih perit lagi, mereka sering sakit perut selepas makan.

Pelbagai langkah perubatan dan petua tradisional diamalkan, tetapi saiz abdomen masih tidak menunjukkan sebarang perubahan.

Justeru itu, Dr. Abdul Malik Jamal Buhari menyarankan golongan ini melakukan ujian kolonoskopi (endoskopi usus) iaitu pemeriksaan endoskop usus besar agar ia lebih lengkap.

Pemeriksaan endoskopi boleh dijalankan secara OGDS (atas, kiri) atau kolonoskopi (atas, kanan) untuk melihat imej semasa salur penghadaman (gambar kecil, kiri).

Ujian itu penting untuk memastikan pesakit dapat memastikan sakit yang dialami bukan kanser kolon tetapi IBS. Ini kerana simptom-simptom yang dialami seakan-akan sama tetapi IBS hanya menjejaskan fungsi tetapi bukan struktur usus.

Antara tanda yang kerap dialami ialah rasa tidak puas apabila membuang besar.

Ujian perubatan mungkin dilakukan bagi menyingkirkan lain-lain punca gejala ini.

Selain itu, najis berdarah merupakan alasan penting untuk berjumpa doktor. Keadaan IBS boleh menjadi buruk apabila seseorang mengalami stres, makan hidangan yang besar, makanan tinggi lemak dan datang bulan atau haid.

Menurut Dr. Abdul Malik, gejala menjadi bertambah teruk selepas minum atau makan produk-produk tenusu, anda mungkin mengalami lactose intolerance atau ketidakupayaan menghadamkan laktosa iaitu gula yang terkandung dalam susu.

“Ia bukannya sebahagian daripada keadaan IBS dan makanan itu sendiri bukanlah punca terjadinya IBS .

‘‘Bagaimanapun, individu yang menghidap IBS mungkin mendapati sesetengah makanan boleh memburukkan lagi simptom-simptom yang mereka alami,” ujar beliau.

Kebaikan diet

Dr. Abdul Malik memberitahu, biasanya pesakit mendapat faedah dengan meningkatkan pengambilan serat secara beransur-ansur.

Kebanyakan orang boleh meneruskan cara pemakanan mereka dengan normal. Kadangkala makanan yang mengandungi susu boleh menimbulkan gejala-gejala seperti kembung perut dan kesakitan abdomen bagi individu yang tidak sesuai dengan laktosa.

“Seseorang yang mengalami kembung perut harus mengelak pengambilan makanan berdaun, mengunyah gula-gula getah, kekacang atau makanan dan minuman yang boleh membentuk gas,’’ katanya.

Bakteria pelindung perut

Ramai yang tidak menyedari pentingnya bakteria baik kerana ia melindungi perut daripada pelbagai jenis penyakit seperti IBS.

Dr. Abdul Malik memberitahu, probiotik merupakan mikroorganisma hidup atau bakteria baik yang membawa kebaikan kepada perumahnya jika diambil pada kadar yang berpatutan. Ia juga bertindak membantu melaraskan proses pencernaan manusia dengan lebih baik.

Dalam pada itu, Dr. Abdul Malik menasihatkan orang ramai untuk melakukan senaman mudah untuk
beberapa minit setiap hari. Regang otot-otot untuk beberapa saat, kemudian rehatkan diri.

‘‘Apabila anda berasa tegang, lakukan senaman pernafasan dengan menarik nafas dalam-dalam dan kemudian menghembus keluar nafas dengan perlahan-lahan’’ katanya.

http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0306&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_02.htm

Jejas fungsi usus

ANDA menghidap sakit abdomen berulang dengan sembelit atau cirit-birit berterusan untuk tempoh beberapa tahun lamanya?

Jika jawapan ya, itu bermakna anda berhadapan dengan sindrom usus rengsa (Irritable Bowel Syndrome) yang sering diringkaskan sebagai IBS.

Walaupun sindrom itu bukan bersifat kritikal namun IBS sememangnya mengganggu aktiviti harian sehingga ada yang terpaksa mengambil cuti sakit kerana sakit perut atau cirit-birit berterusan.

Simptom-simptom biasa IBS adalah sakit di bahagian abdomen yang kebiasaannya dilegakan selepas buang angin atau buang air besar. Simptom lain najis bercampur mukus, cirit-birit yang biasanya pada waktu pagi dan sembelit.

''Pesakit juga akan mengalami sakit perut yang memulas-mulas," kata Pakar Perubatan dan Gastroenterologi, Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC), Dr. Abdul Malik Jamal Buhari.

IBS menurut beliau adalah gangguan fungsi usus dan bukannya struktur usus seperti sekatan, tersumbat, ketumbuhan atau tumor.

Kembung perut

Seseorang yang kerap mengalami masalah kembung perut juga sering dikaitkan IBS malah katanya, sindrom tersebut melibatkan beberapa gejala gastro usus atau organ pencernaan yang penting.

''Ia tidak sama dengan kanser kolon dan orang ramai perlu faham IBS tidak menyebabkan penyakit tersebut,'' katanya.

Dr. Abdul Malik menjelaskan, rengsa perut, sembelit atau cirit-birit yang dialami pesakit mungkin berpanjangan untuk beberapa hari, minggu atau berbulan-bulan. Setiap simptom, katanya, berbeza untuk setiap individu.

Walaupun gejala utama mungkin lebih ketara berbanding gejala lain namun simptom paling biasa adalah cirit-birit dan sembelit.

''Spektrum kesakitan pu
la mungkin berbeza daripada kesakitan ringan sehingga kepada sangat teruk. Kehadiran gejala itu kebiasaannya pada waktu malam ketika hendak tidur,'' katanya.

Berpunca daripada stres?

Ditanya sama ada IBS turut berpunca akibat stres, Dr. Abdul Malik memberitahu, setiap orang akan mengalami stres dalam kehidupan. Tidak dinafikan stres yang keterlaluan akan menimbulkan rasa bimbang berterusan dan tidak mustahil menjadi punca sesuatu penyakit.

"Seperti penyakit-penyakit lain, anda yang mengalami gejala gastro usus memerlukan perhatian kerana keadaan yang dialami mungkin IBS

''Belajarlah untuk bertenang. Anda tidak dapat mengelak daripada stres tetapi anda boleh membantu tubuh anda menyesuaikan diri untuk menerima keadaan tersebut,'' katanya.

Sehubungan itu, tegas Dr. Abdul Malik, stres hanya salah satu faktor yang mendorong IBS tetapi bukan semua kes berpunca daripada stres.

Secara spesifik, belum ada kajian yang menunjukkan faktor utama penyebab IBS.
Anda dinasihatkan menemui pakar gastroenterologi untuk menjalani beberapa ujian lanjut bagi melihat
kemungkinan masalah kesihatan lain sebelum didiagnosis IBS.

Rawatan baru

Penyelidikan profesor mikrobiologi dari Michigan State University, Dr. Linda Mansfield tentang rawatan baru
pastinya khabar gembira buat mereka yang menderita IBS.

Tetapi sanggupkah anda menelan telur cacing?

Mingguan Malaysia pernah menyiarkan hasil penyelidikan tersebut yang bertajuk

"Telur cacing ubati IBS"

Mansfield memberitahu Lansing State Journal, penyakit tersebut sememangnya meletihkan seseorang.

Beliau mengkaji penggunaan parasit usus seperti benang yang dipanggil cacing cambuk untuk merawat IBS
yang boleh menyebabkan pendarahan usus.

"Ada pesakit yang mengalami 256 kali cirit- birit setahun. Sesetengah daripada mereka tidak dapat keluar bekerja," tambahnya.

IBS semakin kerap berlaku di negara-negara perindustrian dan jumlah pengidap di negara membangun juga bertambah.

Saintis mempunyai beberapa penjelasan termasuk diet yang tinggi lemak, makanan diproses dan tahap kebersihan yang tinggi sebagai punca IBS.

"Sistem imun sebenarnya memerlukan jangkitan dalam keadaan tertentu untuk berkembang dengan sempurna.

Oleh itu, terdedah kepada debu, kekotoran, bakteria mahu pun cacing ada kebaikannya.

"Hidup dalam persekitaran yang terlalu bersih menyebabkan kita mengalihkan benda-benda yang membantu
'mengajar' sistem imun kita," ujar beliau.

http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0306&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_01.htm