"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Monday, August 9, 2010

Krisis bekalan air bersih



SUNGAI Nil tidak sesuai diminum kerana tahap pencemarannya yang tinggi.



WALAUPUN hamil enam bulan, Tahani Rabia tetap berdegil dan tidak menghiraukan nasihat doktor. Dia masih melakukan rutin hariannya, bangun pada awal pagi dan berharap mendapat bekalan air daripada paip.

Malangnya, paip yang terletak kira-kira 10 kilometer (km) dari Sungai Nil itu semakin hari semakin berkurangan.

"Doktor menasihatkan supaya saya berehat secukupnya di rumah. Tetapi saya terpaksa bangun seawal pukul 5 pagi untuk mendapatkan bekalan air paip pada pukul 7 pagi," jelas Tahani, 18, yang tinggal di pinggiran Kirdasa di wilayah Giza, Mesir.

"Sukar bagi saya untuk mengangkat air dari Sungai Nil ke rumah kerana terpaksa menanggung beban berat air dan bayi sekali gus. Lagipun air sungai tersebut tidak sesuai diminum.

"Jadi jalan penyelesaiannya ialah saya akan menyimpan air sebanyak mungkin untuk kegunaan harian," jelasnya.

"Apabila kehabisan bekalan air kami akan pergi ke rumah jiran sama ada mereka masih mempunyai bekalan air ataupun tidak," cerita Tahani.

Beribu-ribu rakyat Mesir yang tinggal berhampiran Sungai Nil terseksa dengan masalah bekalan air yang tidak bersih disebabkan perbalahan di antara kerajaan Mesir dan negara jiran di sekitar sungai tersebut.

Mesir yang mendominasi Sungai Nil selama beberapa dekad dan berjiran dengan Sudan ragu-ragu untuk menandatangani perjanjian baru bersama negara jiran. Bagaimanapun mereka memberitahu akan mengetuai perjanjian tersebut bagi memastikan pembahagian sumber air dilakukan sama rata.

Hubungan diplomatik

Sehubungan itu, bagi memastikan perkongsian sumber berjalan dengan baik, Habsyah, Kenya, Rwanda, Tanzania dan Uganda telah menandatangani perjanjian pada awal bulan lalu.

Perjanjian berkenaan turut mendorong Kaherah melancarkan hubungan diplomatik dengan harapan negara mereka tidak ketinggalan dan diketepikan dalam pelbagai perihal penting.




SUNGAI Nil yang menjadi nadi rakyat Mesir kini terjejas teruk akibat pencemaran.




Mesir yang bergantung sebanyak 90 peratus pada air sungai bagi keperluan 80 juta penduduknya mempertikaikan mereka berhak pada Sungai Nil dan mengugut untuk mengambil tindakan undang-undang demi mempertahankan hak mereka terhadap sungai itu.

Namun pakar-pakar menyatakan perjanjian itu secara tidak langsung memberi kesan kepada penduduk Mesir yang tinggal berjauhan dari sumber bekalan air dan berhadapan dengan kelemahan polisi air tempatan.

"Masalahnya kini ialah pengedaran air. Siapakah yang menggunakannya dan untuk apa? Juga keadilan kepada penduduk," ujar Habib Ayeh pakar geopolitik dan penyelidik dari Universiti Kaherah.

Ayeh yang baru-baru ini menulis buku mengenai fellahs atau petani Mesir menganggarkan satu perempat daripada penduduk Mesir tidak mendapat bekalan air bersih yang mencukupi.

"Bekalan air yang disalurkan ke rumah tidak cukup untuk menampung keperluan minimum penduduk disebabkan kuantiti dan sistem saliran paip," ujarnya.

Para petani di wilayah utara di Daqhaliya akan berkumpul di jalanan pada minggu ini bagi memprotes isu kekurangan air untuk minum dan irigasi. Masalah kekurangan air didapati semakin runcing disebabkan peningkatan suhu dan kepadatan jumlah penduduk.

Sementara itu Ketua Pertubuhan Kebangsaan Pembangunan Program yang bertanggungjawab terhadap program air di wilayah Kaherah, Hosno Khordagui, memberitahu, penduduk Mesir bakal mengalami masalah kekurangan air pada dekad yang akan datang.

"Masalahnya ialah sebanyak 85 peratus bekalan air kami datangnya dari Sungai Nil dan mengalir ke pengairan. Jadi ia menyukarkan kami memperuntukkan air untuk kegunaan lain," katanya.

Tambah Khordagui walaupun perbincangan baru dimeterai tetapi ia tidak boleh mengehadkan masyarakat Mesir menggunakan sumber air Sungai Nil. Isu kekurangan air meningkat sama seperti peningkatan masalah pencemaran yang dianggarkan berlaku di kalangan 1.5 juta penduduk setiap tahun.

Menurut Khordagui, enam dekad lalu secara puratanya kerajaan Mesir menawarkan 2,600 meter kubik air kepada setiap penduduk. Namun sejak tahun 2005, kuota itu jatuh kepada 500 meter kubik.




BERIBU-RIBU rakyat Mesir yang tinggal berhampiran Sungai Nil terseksa dengan bekalan air bersih yang kian berkurangan.




Bagi penduduk di Kirdasa ia merupakan tanda-tanda amaran kepada isi rumah.

"Kali terakhir kami minum air paip empat hari lalu," ujar Mona, salah seorang residen Kirdasa. "Lama-kelamaan anda akan terbiasa dengan keadaan ini memandangkan tiada cara lain untuk hidup. Kami membayar bil tetapi di mana air kami?

Ayeh mendapati, Mesir yang memiliki 55.5 bilion kubik meter Sungai Nil yang ditandatangani sejak lima dekad lalu bagaikan tidak mempunyai jalan penyelesaian tetapi sibuk mahu membahagikan sumber.

"Perjanjian ini tiada kena-mengena dengan masalah air yang berlaku di Mesir pada hari ini," tambahnya.

Masalahnya, Mesir berhadapan dengan masalah pencemaran air dan pada masa yang sama Mesir masih mengimport buah strawberi sehingga bulan Disember." - AFP

Sampai terlupa makan dan minum






KETIKA umurnya tujuh tahun, Rasyidah Othman seperti biasa dibawa oleh ibunya, Noraisah Andin, ke kedai buku yang berhampiran dengan kediaman mereka di Bukit Merah, Singapura.

Tujuan mereka mengunjungi kedai tersebut adalah untuk membeli buku-buku latihan dan alat tulis buat keperluan persekolahan Rasyidah.

Namun, dalam kunjungan kali itu, telah berlaku satu peristiwa yang benar-benar membuka mata Noraisah.
Setelah selesai membeli barangan dalam senarai, dua beranak itupun mula beredar pulang. Namun, hati si ibu yang gembira jadi tidak keruan apabila alat pengesan di pintu keluar itu tiba-tiba berbunyi kuat.

Setahu Noraisah, bayaran bagi semua barangan telah pun dilunaskan. Ekoran situasi itu, pengawal keselamatan dan pengurus kedai tersebut bergegas mendekati untuk memeriksa beg-beg plastik yang berisi item pembelian mereka.

Setelah diperiksa semuanya termasuk beg tangan Noraisah, masih tiada barangan belum dibayar yang ditemui.
Pengawal keselamatan itu meminta kebenaran untuk memeriksa Rasyidah dengan bertanya, “Adik ada ambil apa-apa dari kedai ini?”

Naif dengan situasi itu, Rasyidah dengan jujur mengeluarkan sebuah buku yang disorok di dalam baju-T yang dipakainya hari itu. Sebuah buku ilustrasi berwarna, Alice In The Wonderland, yang menjadi kegemarannya itu dipulangkan.

“Mujur perbuatan itu dianggap sebagai sesuatu yang lucu bagi pengawal berkenaan. Dua beranak itu dilepaskan atas budi bicara pengurus kedai,” terang Rasyidah yang kemudiannya bermastautin bersama keluarganya di Johor Bahru.

Menurut penuntut jurusan kesusasteraan Inggeris di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di Gombak, Selangor itu, sungguhpun dilepaskan tanpa sebarang masalah, insiden kecil itu menimbulkan kemarahan ibunya kerana menjatuhkan air mukanya di khalayak ramai.

Ternyata, insiden tersebut membuktikan betapa obses Rasyidah terhadap aktiviti membaca buku sejak kecil.
Rasyidah yang kini berusia 23 tahun memberitahu, kejadian tersebut membuatkan ibunya jarang sekali menolak permintaannya untuk membeli buku.

“Pada masa yang sama, ibu saya lebih berwaspada. Bimbang saya ’mencuri’ lagi,” ujarnya berseloroh.
 Gadis itu mengakui rutin hariannya dirasakan tidak lengkap jika tidak menyentuh buku ataupun membacanya.

“Kalau tidak sempat meluang masa untuk membaca, dapat menghidu bau-bau kertas buku-buku pun memadai buat saya.





“Gadis muda lain yang seusia saya mungkin obses terhadap fesyen, kosmetik dan gajet berteknologi tinggi.

Tetapi saya lebih rela membelanja duit untuk membeli buku-buku sebab ia lebih bernilai,” kata anak kedua daripada tiga orang adik-beradik itu.

Dia juga mengakui, keghairahan dan minat terhadap amalan membaca itu secara tidak langsung dipupukt ibunya.

“Ibu akan memenuhkan ruang kosong rak-rak di rumah dengan pelbagai jenis bahan bacaan kanak-kanak sewaktu saya kecil,” imbasnya yang menyimpulkan bahawa minat membaca itu wujud secara semula jadi tanpa sebarang paksaan ibu bapanya.

Rasyidah yang bersifat pendiam itu juga memberitahu bahawa ibunya yang berkhidmat sebagai guru, gemar membawanya ke perpustakaan sekolah tempat dia mengajar.

“Mungkin ibu mahu membiasakan saya dengan persekitaran sebegitu,” ulasnya.
RM300 sebulan

Sehingga hari ini, jikalau ada waktu lapang dia lebih selesa berkunjung ke kedai buku di ibu kota dan sanggup berbelanja sehingga RM300 setiap bulan semata-mata untuk membeli buku-buku kegemarannya.

“Koleksi buku saya kini telah mencecah kepada 800 buah buku. Banyak yang disimpan di dalam kotak kerana tiada tempat yang cukup untuk menyusunnya,” kata Rasyidah.

Mengakui menghabiskan sehingga 10 buah buku sebulan, Rasyidah menggemari genre bacaan falsafah, kesusasteraan Inggeris, sastera dan biografi. Sewaktu kecil, dia juga membaca buku bertema fiksyen dan fantasi.

‘Ulat buku’ ini berpendapat, pendedahan kepada buku-buku berunsur kesusasteraan Inggeris amat berguna kerana dapat menghayati kisah-kisah tersohor dunia yang penuh dengan elemen menarik. Selain memperbaiki perbendaharaan kata, karya-karya itu memberi inspirasi untuknya dalam bidang penulisan.

Mengenai buku-buku falsafah pula, Rasyidah sering tertarik dengan penulisan ahli falsafah Denmark, Soren Kierkegaard. Ahli falsafah itu dinilainya sebagai tokoh yang bijak berbicara tentang nilai estetika, etika dan agama yang berkait rapat dengan realiti kehidupan.

Peminat novel Pride and Prejudice dan Frankenstein itu juga begitu mendalami soal bahasa. Jelas sekali Rasyidah menerima ganjaran daripada penghayatan tersebut apabila dia semakin fasih berbahasa Perancis dan Arab selain bahasa Inggeris dan bahasa ibundanya.

“Saya bercita-cita untuk menghasilkan buku sendiri pada masa hadapan yang menyentuh topik seksualiti. Ia jarang sekali dibukukan oleh penulis tempatan,” ujarnya.


JENIS bahan bacaan yang dipilih boleh mencerminkan pemikiran dan peribadi seseorang pembaca.



‘Terperap’ dalam bilik

Pertemuan Kosmo! dengan Rasyidah turut ditemani seorang sahabat baiknya, Ahmad Shafiq Ab. Halim, 23.

Juga berkongsi minat yang sama dengan Rasyidah, beliau yang mesra dengan panggilan Shafiq itu mengakui bahawa dia sanggup ’terperap’ dalam bilik tanpa makan dan minum semata-mata kerana hendak menghabiskan membaca buku-buku yang dibeli.

Sungguhpun, minat terhadap membaca buku bermula sejak kanak-kanak, Shafiq menyedari dirinya semakin obses dengan buku setelah memasuki universiti dan bergaul dengan rakan -rakan yang turut giat dengan aktiviti itu.

Anak kelahiran Kelantan yang melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu biasanya menyimpan 10 peratus daripada duit biasiswa untuk membeli buku-buku kegemaran.

“Seleksi buku yang digemari adalah refleksi personaliti seseorang. Sama ada individu tersebut kuat berimaginasi, bervisual, berfalsafah, berpegang kepada realiti mahupun seorang yang gemar bersastera.

“Amalan membaca bukan sahaja menambah pengetahuan tentang banyak perkara tetapi menjadikan seseorang lebih peka terhadap apa yang berlaku di persekitarannya,” terangnya yang menghabiskan kira-kira 15 buah buku sebulan.


SHAFIQ (kiri) dan Rasyidah biasa berkongsi buku-buku yang mereka beli untuk meluaskan ilmu pengetahuan.



Tambahnya, kadangkala watak-watak yang diceritakan dalam novel fiksyen ataupun biografi mencerminkan peribadi dan kehidupan seseorang mahupun masyarakat di sekelilingnya.

“Selain menyampaikan pengajaran kepada pembaca, ia juga memberi ketenangan jiwa dan melatih diri agar lebih fokus dalam setiap perkara yang dilakukan,” katanya.

Shafiq juga menafikan tanggapan amalan membaca mungkin menyekat aktiviti sosial seseorang.

Dia menjelaskan, pengetahuan yang diperoleh daripada membaca tentang isu-isu semasa, politik, ekonomi dan sosial lebih mendekatkannya dengan masyarakat pelbagai lapisan usia.

Anak sulung daripada lapan orang adik-beradik itu kini giat menyertai kumpulan yang obses terhadap amalan membaca untuk bertukar-tukar idea.

Lanjutan daripada minat membacanya itu, Shafiq tidak melepaskan peluang untuk berjinak-jinak dalam bidang penulisan.

Awal tahun ini, dia berjaya menghasilkan sebuah buku himpunan cerpen yang menyentuh pelbagai isu remaja. Buku kompilasi yang hanya dicetak sebanyak 100 naskhah itu memuatkan hasil tulisan Shafiq dan juga rakan-rakannya.

Radiasi frekuensi di tahap selamat




NOR RASHID ABDUL AZIZ, 46, pernah menyuarakan kebimbangannya terhadap kesan radiasi yang mungkin dialami. Di kediamannya di Puncak Bukit Antarabangsa, Ampang, Selangor proses pembinaan pencawang telekomunikasi dari sebuah syarikat telekomunikasi terkemuka negara sedang giat dijalankan.

“Saya bimbang sekiranya radiasi yang dipancarkan menerusi menara telekomunikasi menyebarkan haba panas sehingga menjejaskan kesihatan keluarga saya dan penduduk berhampiran.

“Kebimbangan ini semakin dirasai apabila media banyak melaporkan tentang aduan dan rungutan penduduk di kawasan perumahan lain sebelum ini yang tidak bersetuju struktur pemancar telekomunikasi dibina di kawasan berhampiran. Mereka bimbang radiasi yang dikeluarkan memudaratkan kesihatan,” ujar Nor Rashid. Beliau bagaimanapun berasa lega apabila Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) memberi jaminan bahawa radiasi telekomunikasi tempatan tidak membahayakan kesihatan.

Sejauh manakah pencawang telekomunikasi boleh memudaratkan kesihatan dan kesejahteraan orang ramai? Pakar dari Institut Antarabangsa Biofizik, Universiti Warwick, Jerman, Dr. Gerald Hyland pernah mendedahkan ada kemungkinan fungsi tubuh boleh terjejas akibat gelombang radiasi yang berdekatan.

“Penduduk yang tinggal berhampiran pencawang telekomunikasi kerap mendakwa pening kepala, loya, muntah dan sengal-sengal badan.

“Dakwaan itu sebenarnya langsung tidak berasas. Sehingga kini tiada bukti saintifik menyatakan radiasi frekuensi (RF) dari telefon bimbit atau pencawang telekomunikasi memudaratkan kesihatan. Lagipun orang yang tinggal berjauhan dengan pencawang pun boleh mengalami masalah kesihatan yang sama,” tegas Ketua Penolong Pengarah Cawangan Keselamatan Sinaran, Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr. Prunthavany Muthuvelu.

TIGA alat penting yang digunakan oleh pihak SKMM untuk membaca radiasi di sesebuah kawasan.


Kesan psikologi

Prunthavany menyarankan orang ramai supaya tidak terlalu gusar memikirkan isu radiasi pencawang telekomunikasi. Ia hanyalah kesan psikologi semata-mata. Apatah lagi radiasi menara telekomunikasi di Malaysia berada pada paras spektrum elektromagnetik yang tidak mengeluarkan cas ion. Ini bermakna ia berfungsi secara selamat dan terkawal.

Sementara itu Profesor Jabatan Pengimejan Bio Perubatan Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Ng Kwan Hoong menjelaskan, radiasi pencawang telekomunikasi tidak berbahaya kerana ia merupakan radiasi tak berion.

Berbeza dengan radiasi berion seperti sinaran gama dan X-ray, ia mengandungi tenaga tinggi yang boleh menyebabkan sel-sel tubuh badan kepanasan.

Kwan Hoong mempersoalkan mengapakah radiasi pemancar telekomunikasi perlu dijadikan isu besar? Dalam kehidupan seharian, orang ramai bukan sahaja terdedah pada radiasi menara telekomunikasi dan telefon bimbit malah sinaran matahari, antena komunikasi yang digunakan oleh pihak bomba, polis dan perkhidmatan kecemasan serta antena televisyen dan radio juga mengeluarkan radiasi.

Mengikut piawaian

“Menara telekomunikasi kita menepati garis panduan yang ditetapkan SKMM, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta mematuhi piawaian antarabangsa yang menjamin keselamatan masyarakat.

“Keselamatan itu diukur dari segi kesempurnaan rekaan struktur, pemasangan dan kawalan berkala mengikut standard keselamatan kebangsaan dan antarabangsa,” ujar Kwan Hoong pada sesi taklimat kesan radiasi bersama media di Pangkor Laut Resort, Perak, baru-baru ini.

Penjelasan Kwan Hoong itu turut disokong dengan keputusan pemeriksaan Institut Penyelidikan Teknologi Nuklear Malaysia (Mint) yang mendedahkan gelombang kebanyakan pencawang telekomunikasi di Malaysia berada pada paras maksimum.

Pengarah Kanan Bahagian Teknologi, Standard dan Rangkaian SKMM, Mohd. Ali Hanafiah Mohd. Yunus memberitahu, pencawang telekomunikasi amat penting bagi mengukuhkan liputan telekomunikasi dan perkhidmatan capaian Internet jalur lebar tanpa wayar (WiFi). Berdasarkan statistik SKMM, setakat ini Malaysia memiliki 19,353 tapak pemancar yang terdiri daripada menara yang dibina di atas bumbung dan lain-lain struktur.

SKMM dan kumpulan industri telekomunikasi sentiasa berusaha membina tapak pemancar di merata-rata tempat demi kebaikan pengguna. Namun disebabkan kekurangan pendedahan mengenai tahap keselamatan radiasi menara telekomunikasi, secara tidak langsung ia mendorong ketidakpuasan di kalangan penduduk supaya merobohkan pencawang itu.

PENGGUNAAN telefon bimbit dipercayai tidak memberi kesan yang ketara pada kesihatan.


Perobohan struktur telekomunikasi tertakluk di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT). Walaubagaimanapun, pihak SKMM boleh menasihatkan pihak PBT untuk meroboh sesebuah menara sekiranya terdapat bukti jika menara itu tidak selamat atau menyalahi garis panduan pembinaan menara.

Namun SKMM akan berbincang bersama syarikat telekomunikasi terbabit sekiranya masalah dapat diatasi tanpa memerlukan merobohkan menara tersebut.

“Pada tahun 2008 kami menerima 98 aduan manakala 68 aduan pada tahun lepas. Ramai yang tidak suka tapak pemancar dibina berhampiran rumah kerana mendakwa ia mendatangkan kesan buruk pada kesihatan.

“Misalnya kes di SS3 Petaling Jaya dan Kampung Cheras Baru, Cheras, pada tahun lepas. Aduan demi aduan yang diterima telah memaksa SKMM merobohkan pencawang komunikasi di kawasan berkenaan. Malangnya, selepas proses meroboh segelintir penduduk mula merungut kerana liputan telefon dan Internet tidak berfungsi dengan baik,” tegas Mohd. Ali mengenai kekangan yang dihadapi pengguna sekiranya tapak pemancar dirobohkan dan berkurangan.

SKMM tidak akan sewenang-wenangnya meluluskan permohonan membina struktur telekomunikasi yang tidak mengikut peraturan seperti yang ditetapkan dalam Garis Panduan Pembinaan Menara dan Struktur Pemancar (Garis Panduan KPKT 2002) serta tanpa kelulusan PBT.

Kos meroboh

Menurut Pengurus Perhubungan Sapura Research Sdn. Bhd., Mohd. Zin Mohd. Noor, untuk membina menara telekomunikasi memerlukan kos melebihi RM300,000 dan perlu melalui beberapa prosedur yang kadangkala mengambil masa berminggu-minggu.

Selepas pencawang didirikan syarikat telekomunikasi perlu mengeluarkan sejumlah kos untuk proses penyelenggaraan dan penambahbaikan. Sehubungan itu apabila penduduk tidak berpuas hati dan meminta ia dirobohkan maka ia membebankan pihak syarikat kerana perlu mengeluarkan kos proses meroboh.

“Ironinya bisnes kami bukan tertakluk pada keuntungan semata-mata sebaliknya berusaha memberi kelebihan kepada pengguna dari aspek liputan talian berkualiti.

“Malangnya, niat baik kami disalah erti sehingga menyebabkan kami terpaksa menanggung kerugian dua kali ganda kerana pembinaan pencawang baru tidak boleh menggunakan bahan-bahan struktur yang lama,” ujar Mohd. Zin ketika ditemui Kosmo!.

Sementara itu Pengarah Pusat Pengurusan Kajian Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Profesor Bersekutu Dr. Md. Zaini Jamaluddin memberitahu, secara amnya pembinaan menara telekomunikasi berdasarkan jarak minimum yang digariskan dalam Garis Panduan Pembinaan Menara dan Struktur Pemancar di dalam kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (Garis Panduan KPKT 2002).

MAJLIS BANDARAYA PETALING JAYA menjalankan operasi menurunkan struktur telekomunikasi yang didirikan di atas premis kedai di SS3 Petaling Jaya tahun lalu.


Misalnya, menara yang ketinggiannya kurang daripada 45 meter perlu dibina pada jarak 20 meter dari bangunan berhampiran manakala jarak 30 meter bagi menara yang mempunyai ketinggian 45 meter.

Kriteria jarak yang ditetapkan itu sebagai langkah keselamatan bagi mengelakkan bahan-bahan menara yang rosak tidak jatuh di bangunan berhampiran.

Tambah Zaini: “Setiap kali SKMM menerima aduan kami akan menjalankan ujian terlebih dahulu di kawasan berkenaan untuk menganalisis sama ada tahap bacaan radiasi masih di tahap selamat atau sebaliknya.”

Kenal penyakit sebelum berpuasa




MENJELANG tengah hari, Siti Farah Dollah tidak dapat menahan diri daripada godaan makanan. Dia segera mencapai dua paket mi segera berperisa tom yam dan berbuka puasa pada hari itu.

Penyakit gastrik yang dialami sejak beberapa bulan lalu menyebabkan Siti Farah tidak dapat menahan diri daripada makan lebih-lebih lagi jika perutnya mula terasa pedih dan berasid.

Fikir anak keenam daripada tujuh beradik itu, sesudah berbuka puasa sakit perut yang dialami akan berhenti, namun sangkaannya silap. Sakit perutnya menjadi semakin teruk sehingga menyebabkan Siti Farah terbaring dan merengek kesakitan.

"Itulah pengalaman saya semasa mula-mula mengalami sakit gastrik ketika berumur 18 tahun. Waktu itu, saya masih menuntut di Institut Profesional Baitulmal (IPB), Kuala Lumpur. Punca saya mendapat gastrik pun disebabkan cara pemakanan yang tidak teratur semasa belajar di asrama.

"Masa mula-mula kena gastrik, walaupun saya cuba berpuasa penuh pada bulan Ramadan, saya tidak mampu lakukannya. Silap saya juga sebab tidak pergi berjumpa doktor untuk minta nasihat dan pandangan berhubung penyakit ini," katanya yang bersyukur kerana dapat berpuasa penuh pada tahun lepas.

Siti Farah yang telah menjangkau usia 21 tahun kini sudah tahu bagaimana menangani penyakitnya selepas berjumpa dengan doktor.

MAJLIS Fiqh Islam Antarabangsa telah menyenaraikan enam prosedur perubatan yang tidak membatalkan puasa seperti menderma darah dan menjalani rawatan gigi.


"Orang yang mengalami sakit gastrik sebenarnya mampu berpuasa penuh. Cuma, mereka perlu makan sahur lewat dan tidak mengambil sebarang minuman bersusu.

"Selain itu, jika berbuka saya akan pastikan tidak berbuka dengan nasi, mengambil minuman berais dan makan makanan yang pedas.

Cukup sekadar berbuka dengan air suam, kurma atau kuih-muih. Selepas beberapa jam baru saya akan menjamah nasi pula.

"Saya pernah makan terlalu banyak ketika berbuka. Natijahnya, ketika solat terawih perut saya terasa amat sakit," katanya yang berharap dapat berpuasa penuh pada Ramadan tahun ini.

Minta pandangan doktor

"Kebanyakan pesakit boleh berpuasa penuh melainkan penyakit-penyakit kronik yang sukar untuk dirawat. Misalnya, pesakit kanser terminal yang memerlukan mereka mengambil ubat yang kerap, pesakit diabetes yang memerlukan suntikan dari semasa ke semasa, serangan jantung dan strok.

"Tidak ketinggalan mereka yang mempunyai penyakit akut yang serius seperti infeksi (septisemia), lelah dan dehidrasi yang memerlukan rawatan segera," kata Pakar Perunding dan Gastroenterologi Hospital Pakar Al-Islam, Kuala Lumpur, Dr. Ishak Mas'ud.

Jelas Ishak, sempena bulan Ramadan ini, pesakit yang menghidap penyakit lain seperti gastrik harus berjumpa dengan doktor terutamanya doktor Muslim untuk mendapat pemeriksaan dan pandangan sama ada mereka boleh berpuasa atau tidak.

"Dengan itu, mereka boleh menukar cara pengambilan ubat atau mengubah diet makanan yang betul bagi membolehkan mereka menunaikan ibadah puasa.

"Sebagai contoh, jika sebelum ini mereka perlu mengambil ubat tiga atau empat kali dalam sehari, mereka boleh mengambil ubat hanya dua kali sehari. Doktor akan memberi mereka ubat yang sama tetapi mempunyai kesan berpanjangan," katanya.

Dalam isu yang lebih perspektif, Ishak memberitahu, pesakit yang mengalami sakit perut perlu mengenal pasti punca sakit itu terlebih dahulu.

PESAKIT gastrik perlu mengelak makanan pedas ketika bersahur atau berbuka puasa.


"Istilah gastrik sebenarnya terlalu umum. Sakit perut boleh berpunca disebabkan ulser peptik, batu karang di dalam hempedu (gallstone) dan pankreatitis yang biasanya disebabkan sindrom usus rengsa (IBS).

"Walaubagaimanapun, ada beberapa gejala lain yang memberi indikasi memungkinkan pesakit gastrik memerlukan rawatan segera.

"Antaranya sakit perut yang berpanjangan, muntah berterusan atau berdarah, najis berwarna hitam yang berkemungkinan najis berdarah, selera makan dan berat badan yang semakin berkurang serta sakit perut yang semakin teruk selepas makan," katanya mengenai rawatan yang memungkinkan pesakit tersebut menjalani beberapa ujian seperti endoskopi atau ujian ultrasound pada bahagian perut.

Wajib ganti puasa

Sementara itu, menurut Pegawai Hal Ehwal Khas Agama sebuah pusat perubatan, Ismat Nazirin Mat Isa, mengikut surah al-Baqarah ayat 183 sehingga 188, terdapat tiga golongan individu yang tidak dibenarkan berpuasa iaitu orang yang sakit, musafir dan wanita yang kedatangan haid.

"Walaupun tiga golongan ini tidak diwajibkan berpuasa tetapi mereka wajib untuk menggantikan puasa. Jika mereka masih tidak mampu untuk menggantikan puasa terutama bagi individu yang menghidap penyakit yang sukar sembuh seperti kanser, mereka perlu menggantikan puasa dengan cara yang lain.

"Mereka perlu menggantikan puasa yang tertinggal dengan membayar fidyah kepada fakir miskin. Sehari puasa yang ditinggalkan bersamaan dengan 700 gram beras yang perlu diberikan.

"Malah, mereka perlu membayar fidyah mengikut jenis beras yang dimakan," katanya mengenai amalan berpuasa yang diperintah Allah sebagai ujian untuk menguji ketakwaan umatnya.

Jelas Ismat, terdapat dua kategori orang berpenyakit iaitu pesakit yang yakin dia boleh berpuasa dan tidak memudaratkan diri, wajib untuk berpuasa.

Golongan kedua pula, pesakit yang tidak dapat menentukan tahap kemudaratan kesihatannya. Jika doktor kata tidak boleh berpuasa, pesakit itu wajib untuk berbuka.

DAPATKAN pandangan pakar perubatan mengenai penyakit anda kerana ia boleh membantu anda menunaikan ibadah puasa dengan lebih baik.


Prosedur perubatan

Dalam pada itu, Ismat memberitahu, banyak persoalan timbul dalam kalangan orang ramai mengenai prosedur-prosedur perubatan sama ada mereka boleh berpuasa atau tidak.

"Banyak perkara yang telah diputuskan oleh Majlis Perhimpunan Fiqh Islam Antarabangsa dalam persidangan ke-10 di Jeddah Arab Saudi baru-baru ini.

"Ada enam prosedur perubatan yang tidak membatalkan puasa. Pertama, menitiskan ubat ke dalam mata, hidung dan telinga. Dengan syarat ubat tersebut tidak sampai ke tekak.

"Kedua, menderma atau menerima pemindahan darah. Ketiga, mengambil ujian darah. Keempat, menjalani rawatan pergigian seperti mencabut, menampal dan mencuci gigi. Kelima, menjalani rawatan hemodialisis atau dialisis peritoneal (PD) dan terakhir menjalani ujian endoskopi bagi tujuan diagnosis dengan syarat tidak memasukkan apa-apa cecair ke dalam perut," katanya lagi.

Sihat cara orang Korea


KIMCHI dianggap makanan terbaik di dunia kerana memiliki lima elemen penting yang diperlukan oleh tubuh.


PADA usia 76 tahun. Dr. Muhammad Kim masih aktif melakukan rutin senaman pagi dengan berjoging sekurang-kurangnya dua kilometer setiap hari.
Selesai beriadah, Muhammad bersiap-siap untuk ke pusat perawatan tradisional miliknya yang terletak di

Kelab Golf Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur untuk memenuhi temu janji dengan pesakit-pesakitnya.
Sebelah malam pula, adakalanya bekas pegawai tentera berpangkat kolonel dari Seoul, Korea Selatan ini perlu menghadiri majlis rasmi melibatkan ekspatriat Korea.

Padat dengan jadual seharian, lelaki bertubuh kecil tetapi bertenaga ini tidak lokek berkongsi tiga rahsia untuk memiliki kesihatan yang sejahtera.

“Saya bersenam, mengambil herba ginseng dan makan kimchi hampir setiap hari, itu rahsia kecergasan saya,” ujarnya ketika ditemui Jurnal di pusat rawatannya baru-baru ini.

Muhammad menjelaskan beliau sangat sukakan aktiviti yang mengeluarkan peluh terutama joging.

“Setiap pagi saya akan berjoging selama sejam. Sekiranya hujan, saya tidak menolak untuk keluar bersenam.

“Saya akan berjalan kaki dengan memegang sekaki payung,” katanya.

 Ramuan wajib

Mengagumi khasiat ginseng yang dianggap sebagai penyumbang kesihatan dan awet mudanya, Muhammad bagaimanapun mengamalkan rutin mengambil serbuk ginseng secara tidak berlebihan.

“Saya ambil sedikit demi sedikit selang beberapa hari untuk membantu peredaran darah yang lebih baik,” akuinya.

Di Korea, ginseng lebih terkenal sebagai ubat untuk menjaga kesihatan, mencegah penyakit dan meningkatkan sistem imunisasi tubuh.

GINSENG merah ini melalui proses rebus dan pemanasan selama empat.




Terdapat lima negara yang memiliki ginseng iaitu Korea, China, Jepun, Kanada dan Amerika Syarikat namun penghasilan ginseng secara komersial di Korea menjadikan ginseng dari negara tersebut sebagai yang terbaik.

Bahkan, para pengkaji menyifatkan ginseng Korea adalah lebih berkhasiat kerana ia tidak pernah dipalsukan seperti ginseng China.

“Sejak dahulu lagi, budaya masyarakat Korea dan ginseng sangat rapat malah setiap hari rakyat Korea akan mengambil ginseng. Tidak hairanlah, Korea mendapat jolokan ‘Negara Ginseng.’

“Tradisi ini turut diamalkan sehingga hari ini. Bahkan bagi sesetengah orang, ginseng adalah ramuan wajib dalam masakan Korea supaya makanan lebih berkhasiat, contohnya sup ginseng dan telur goreng,” kata Muhammad.

Tambahnya, belum ada kajian yang menyatakan khasiat ginseng sebagai penambahan ghairah seks lelaki.
Sebaliknya amalan mengambil ginseng sama ada dalam bentuk pati, serbuk, teh dan lain-lain bertujuan untuk menjaga kesihatan.

Ajaib

“Dalam satu kajian oleh para doktor antarabangsa, pengambilan ginseng secara konsisten mampu mengurangkan risiko Alzheimer, menangani kencing manis, mengatasi masalah tekanan darah tinggi dan menguatkan sistem imunisasi badan.

“Malah, ginseng juga banyak digunakan untuk meningkatkan daya ketahanan fizikal dan mental, memberi tenaga, menstabilkan fisiologi badan, merendahkan paras kolesterol dan mencegah penyakit kanser,” jelasnya yang mempunyai lebih 50 tahun pengalaman menggunakan ginseng.

Ginseng yang berusia enam tahun sudah boleh dituai dan diproses untuk dijadikan makanan .


Mendapat jolokan ‘Herba Ajaib Dari Timur’, pengkaji Rusia berpendapat tumbuhan yang dianggap sempurna ini boleh menormalkan tekanan di saluran arteri dan berkesan dalam mengubati tekanan darah tinggi mahupun darah rendah.

“Ginseng adalah alternatif terbaik untuk melancarkan peredaran darah sekali gus meneutralkan asid dalam darah,” ujar Muhammad yang merupakan pakar akupuntur dan gingseng bertauliah.

Tidak hanya diambil sebagai makanan kesihatan, pemilik nama saintifik Panax yang bermaksud tubuh manusia itu turut dijadikan sumber kajian di Institut Kajian Universiti Nasional Seoul dan berfungsi sebagai agen penyembuh kanser serta diabetes di Hospital
Pusat Kanser Korea.

Selain mengambil herba ginseng, Muhammad turut mengamalkan memakan makanan tradisional Korea iaitu kimchi yang disifatkan makanan terbaik di dunia.

“Saya selalu percaya pada prinsip makan sedikit dan berjoging sejam setiap hari.

“Saya juga memastikan makanan yang diambil perlu memiliki lima elemen penting iaitu manis, masam, masin, pahit dan pedas.

“Sebab itu, rakyat Korea amat menggemari kimchi dan memakannya setiap hari dalam saiz sederhana,” ujarnya yang mengelak untuk mengambil nasi lemak dan roti canai.

Awasi bengkak keras



BENGKAK dengan bonjolan keras merupakan antara tanda-tanda awal kanser tulang.



SALMIAH HARUN (bukan nama sebenar) tidak pernah menyangka anak lelakinya yang berusia 11 tahun menghidap kanser tulang. Pada mulanya dia menganggap lebam pada lutut anaknya yang muncul tiba-tiba itu cuma lebam biasa. Tambah pula si anak memang gemar bermain bola sepak dan kecederaan satu perkara lazim.

Apabila anaknya mengadu tidak boleh berjalan, Salmiah, 35, dan suaminya mula berasa risau. Mereka merujuk kepada doktor pakar di sebuah hospital di Selangor. Setelah pemeriksaan demi pemeriksaan yang dijalankan melalui teknik MRI, CT Scan dan Biopsi di hospital berkenaan, anaknya itu disahkan menghidap kanser tulang. Lebih memeritkan Salmiah untuk menerima kenyataan apabila sel kanser tulang anaknya itu telah merebak ke paru-paru.

Hati Salmiah bagai direntap apabila doktor pada awalnya memberitahu anaknya diramalkan hanya punya masa sekitar dua hingga tiga tahun untuk hidup. Namun, selepas tabah mengikuti rawatan yang disarankan doktor meliputi pembedahan, rawatan kimoterapi dan fisioterapi keadaannya bertambah baik.

Sememangnya apabila bercakap tentang penyakit tulang, ramai orang terfikirkan penyakit osteoporosis yang menyebabkan tulang rapuh, namun kanser tulang merupakan penyakit tulang yang perlu diambil perhatian. Tambah pula kanser tulang primer lazim terjadi pada kanak-kanak.

Media pada 2001 pernah melaporkan nisbah satu dalam 100,000 penduduk didapati menghidap kanser tulang setiap tahun. Walaupun penyakit kanser ini kurang terjadi berbanding penyakit-penyakit kanser yang lain, namun ia masih perlu dirawat segera sebelum terlambat. Kanser tulang yang lewat dirawat boleh menyebabkan tulang retak dan akhirnya membawa maut.

Menurut Pengarah Perubatan dan Perunding Onkologi Klinikal Pusat Perubatan Antarabangsa Wijaya, Datuk Dr. Mohamed Ibrahim A. Wahid, terdapat dua jenis kanser tulang.

Pertama, kanser tulang primer bermula daripada tulang manakala kanser tulang sekunder ialah kanser yang merebak ke tulang.


IMBASAN sinar-X menunjukkan imej seperti sinar matahari pada kanser tulang primer.



Jenis

Kanser tulang primer biasanya berlaku kepada kanak-kanak dan individu bawah 30 tahun manakala kanser tulang sekunder pula banyak terjadi kepada orang dewasa dan tua.

“Setakat ini punca kanser tulang terjadi dan bagaimana mekanismenya masih tidak diketahui. Jika kanser yang lain seperti kanser paru-paru ia mungkin disebabkan oleh amalan menghisap rokok. Kanser payu dara pula mungkin disebabkan oleh pengambilan lemak dalam pemakanan,” ujar Mohamed Ibrahim.

Jelas beliau, kanser yang ‘memakan’ tulang akan menyebabkan komposisi tulang kurang padat dan menjadi reput lalu menyebabkan tulang mudah retak.

Jika tulang belakang retak seperti dalam kes kanser tulang sekunder,
keadaan itu boleh menyebabkan saraf tunjang tertekan atau tersepit sekali gus boleh menyebabkan lumpuh.


Mengenai kanser tulang primer, Mohamed Ibrahim berkata, ia paling banyak berlaku dalam kalangan kanak-kanak yang berusia lapan hingga 12 tahun. Ia masih boleh terjadi kepada orang dewasa namun sangat jarang,

Bahagian tulang lutut merupakan antara kawasan yang paling banyak berlaku kanser iaitu kira-kira 60 peratus, diikuti 15 peratus di kawasan punggung, 10 peratus di bahu dan kurang lapan peratus di bahagian rahang.

Antara simptomnya ialah apabila terasa sakit dan bengkak yang semakin membesar pada bahagian tulang
yang diserang kanser.

“Misalnya, ibu bapa boleh mengesan anak mereka mungkin mendapat kanser tulang dengan melihat terdapat bengkak di bahagian lutut sehingga kanak-kanak itu berasa sakit dan sukar atau bermasalah untuk berjalan.

Bengkak biasanya keras kerana ia berpunca daripada bahagian tulang.

“Jika kanser berlaku pada tulang tangan, pesakit mungkin berasa sakit apabila menggunakan lengan tangan ketika melakukan aktiviti menggunakan anggota itu,” katanya.

Bagaimanapun, peluang untuk pesakit kanser tulang primer sembuh lebih cerah jika ia masih berada di tahap pertama atau awal.

Kanser tulang sekunder pula banyak berlaku pada bahagian tulang belakang, tulang rusuk dan tengkorak. Ia biasanya dianggap sebagai kanser tahap empat kerana kanser telah merebak daripada satu bahagian lain ke tulang.

Mohamed Ibrahim memberitahu, kanser tulang primer dan kanser tulang sekunder mempunyai perbezaan karakter dan doktor membezakannya dengan karakter tersebut.

“Jika imbasan sinar-X pada tulang menghasilkan imej seperti sinar matahari pada tempat kanser, itu menandakan kanser tulang primer. Sementara kanser tulang sekunder pula akan menunjukkan gambaran tulang hancur atau berlubang-lubang dengan kesan seperti digigit atau dimakan,” jelasnya.


KANSER tulang primer lazimnya dihidap oleh kanak-kanak. - Gambar hiasan.



Rawatan
Berhubung rawatan, Mohamed Ibrahim memberitahu, bagi kanser tulang primer, rawatan sebaiknya yang perlu dilalui pesakit ialah pembedahan, kimoterapi dan radioterapi.

“Kalau zaman dahulu, bila sesuatu tempat itu ditumbuhi kanser, anggota badan itu akan dipotong. Kalau kena pada kaki, kaki akan dipotong. Namun, sekarang tidak radikal lagi. Terdapat pembedahan seperti limb salvage surgery, satu kaedah pembedahan yang hanya membuang bahagian yang terkena kanser dan mengekalkan anggota yang sedia ada. Terdapat juga rawatan tulang prostesis untuk membina semula tulang,” katanya.

Bagi kanser tulang sekunder, rawatan yang sama juga diperlukan namun pesakit turut diberikan rawatan tambahan menerusi pengambilan bisphophanat.

Bahan tersebut membantu membaiki tulang dengan meningkatkan aktiviti osteoblast yang bertindak membaiki semula tulang.

“Dalam pertumbuhan tulang, ia melibatkan tindakan dua sel tulang iaitu osteoklast dan osteoblast. Osteoklast bertindak memakan tulang dan osteoblast membina semula tulang. Apabila kanser tulang berlaku, osteoklast bertindak lebih aktif, lalu pengambilan bisphopanat sama ada secara suntikan atau oral membantu meningkatkan aktiviti osteoblast,” ujarnya sambil memberitahu contoh-contoh kanser yang sering merebak ke tulang ialah kanser prostat, paru-paru dan serviks.

“Banyak juga kes di mana pesakit hanya mengetahui mereka menghidap kanser lain setelah dikesan mempunyai kanser tulang,” tambahnya.

Botak masalah keturunan






SETIAP kali menyisir rambut, hati Muzliana Safuan, 27, pasti merintih. Umpama igauan ngeri, ikal rambutnya yang gugur semakin banyak, rambutnya semakin menipis sekali gus mendedahkan bahagian tengah kepalanya.

“Sudah banyak cara saya lakukan untuk melebatkan rambut. Daripada penggunaan syampu berjenama terkenal, tonik rambut berasaskan herba, petua tradisi hingga ke rawatan pakar tetapi semuanya gagal.

“Keadaan ini sangat merisaukan lebih-lebih lagi saya bakal mendirikan rumah tangga beberapa bulan lagi. Mujur, saya memilih untuk bertudung sejak sekolah, jadi hanya keluarga dan kawan rapat yang mengetahui masalah saya,” kata Muzliana.

Tambah penjawat awam tersebut, masalah tersebut menyebabkan dia berasa kurang yakin untuk berhadapan dengan bakal suami dan keluarga mentua.

Masalah keguguran rambut ekstrem bukan sahaja dirasai Muzliana tetapi ramai lagi wanita mengalami episod
ngeri itu.

Bagi individu yang berpegang kepada konsep rambut mahkota wanita, mereka pasti ghairah untuk memiliki rambut yang sihat dengan gaya terkini.

Menjawab masalah keguguran rambut tersebut, Presiden Persatuan Sains Rambut Malaysia, Dr. Steven Chow berkata, menjaga rambut tidak cukup dengan hanya bersyampu tiga kali seminggu.

Jelas beliau, kulit kepala juga memerlukan perapian dan vitamin yang cukup untuk kekal sihat tanpa sebarang masalah seperti kegatalan, kelemumur dan jangkitan kuman.

“Ramai pihak beranggapan silap memilih syampu, pengambilan serbuk perasa (monosodium glutamate) dalam
masakan serta faktor penuaan sebagai sebab utama keguguran rambut, namun itu hanya penyebab sampingan.

“Realitinya, tekanan (stress) dalam kerjaya atau kehidupan menjadi pencetus kepada masalah keguguran rambut yang serius terutama membabitkan golongan lelaki,” jelas Steven.


MASALAH botak bukan hanya terhad kepada lelaki tetapi wanita turut mengalami fenomena sama.



Genetik

Menurut beliau, pola keguguran rambut lelaki (MPHL) yang biasa terjadi pada kaum Adam sering dikaitkan dengan faktor genetik.

“Mungkin ramai tidak menyangka botak tiada kaitan dengan faktor genetik, tetapi hakikatnya, keturunan kerap menjadi punca keguguran rambut.

“Ia boleh diwarisi daripada sebelah ibu atau bapa dan boleh berlaku terhadap lelaki ataupun wanita. Kedua-duanya cenderung untuk mewarisi gen botak,” ujar Steven.

Akibat daripada warisan gen rambut gugur tersebut, individu terlibat berisiko tinggi untuk berdepan masalah keguguran rambut yang mampu menipiskan rambut namun tidak semuanya berakhir dengan botak.

Namun, keadaan yang dikenali sebagai androgenetic alopeciaini boleh bermula pada usia belasan tahun, 20-an atau 30-an.

Dalam satu kajian jelas Steven, hampir 50 peratus anak-anak kepada lelaki atau wanita botak akan mewarisi gen tersebut.

“MPHL terjadi secara berperingkat-peringkat. Masalah itu bermula dari kawasan tengah kepala, ia mampu merebak hingga ke seluruh kepala. Ramai lelaki memilih untuk berdiam diri dan tidak berasa ia satu keperluan untuk berjumpa dengan doktor hanya kerana masalah rambut semakin menipis.

“Malah, lebih 80 peratus lelaki tidak tahu apa itu MPHL dan menganggap ia berlaku kerana faktor usia sedangkan masalah ini tidak akan melarat jika dirawat daripada awal,” katanya.

Steven menyarankan individu yang mengalami MPHL mendapatkan rawatan berkesan dengan menangani punca asas masalah tersebut.

Masalah keguguran rambut yang berisiko terjadi kepada setiap orang berkenaan turut mendorong ramai penyelidik untuk tampil menjalankan kajian.

Antaranya, beberapa ahli akademik dari dua universiti di Jerman iaitu Universiti Bonn dan Universiti Dusseldorf menjalankan kajian mengenainya. Mereka mendapati gen botak sememangnya diwarisi.


SELEBRITI Britney Spears membotakkan kepala kerana ingin membuat kejutan manakala Syarifah Amani membotakkan rambut untuk memenuhi kehendak skrip filem yang dilakonkannya.



Gelembung berair

Sekumpulan penyelidik di Victoria, Australia mendapati, keguguran rambut di bahagian tengah dan hadapan kepala meningkat selari mengikut usia. Ia memberi kesan sehingga 57 peratus wanita dan 73.5 peratus kepada lelaki yang berusia 80 tahun ke atas.

Laman sesawang Perpustakaan Medem Medical turut melaporkan, kira-kira 40 juta lelaki di Amerika Syarikat berdepan dengan masalah MPHL.

Menurut laman tersebut, seorang daripada empat lelaki mulai botak pada usia 30 tahun, dua pertiga mulai botak pada usia 60 tahun ke atas. Tambah laman itu, nisbah untuk mendapat gen botak adalah empat dalam setiap tujuh orang.

Selain tekanan dan faktor genetik, faktor pemakanan tidak seimbang, penyakit tiroid, masalah sistem imunisasi, pengambilan dadah atau ubat-ubatan tertentu, kurang penjagaan rambut, trauma dan jangkitan kulit kepala boleh menyumbang kepada keguguran rambut dan botak.

Pertumbuhan rambut individu dewasa yang dipengaruhi oleh hormon seks iaitu androgen boleh mengalami fasa pertumbuhan di antara dua hingga enam tahun dengan kepanjangan kira-kira 0.35 milimeter (mm) sehari. Selepas fasa tersebut, proses pertumbuhan akan berehat untuk beberapa bulan.

Rambut yang sihat dan normal memiliki beberapa ciri khas seperti berkilat, mudah lentur, tidak mudah patah dan boleh menyerap air.

Keguguran rambut di antara 50 hingga 100 helai sehari adalah normal namun jika ia tidak dipantau, keguguran mungkin akan menjadi lebih serius lebih-lebih lagi jika individu tersebut berada dalam kelompok berisiko tinggi untuk botak.

Jika terdedah kepada persekitaran kotor dan berhabuk, kulit kepala yang sering gatal boleh mendapat jangkitan kuman atau alahan kepada bahan kimia.

Sekiranya dibiarkan tanpa rawatan, ruam akan timbul dan bagi kes serius, gelembung berisi air kesan daripada radang kulit akan terbentuk. Pada peringkat ini, individu tersebut boleh mengalami kebotakan serius.


RAMBUT palsu sering menjadi pilihan terutamanya membabitkan wanita dalam menyembunyikan masalah rambut masing-masing.



Sementara itu, Ketua Trikologi Pusat Rambut Svenson, Teo Kim Teik berpendapat. untuk mendapatkan rambut yang sihat, amalan mengambil makanan seimbang sangat penting.

“Meninggalkan diet secara keterlaluan boleh menyebabkan keguguran kerana hampir 90 peratus komponen rambut terdiri daripada protein.

“Diet yang tidak sihat dan kurang mengambil protein akan menjadikan rambut lemah dan mudah gugur. Banyakkan pengambilan zat seperti kalsium dan zink kerana ia boleh menyihatkan rambut,” katanya.

Penjagaan kebersihan dan kesihatan rambut juga tidak boleh diabaikan. Rutin bersyampu sekurang-kurangnya dua kali seminggu dan pemilihan sikat yang sesuai mampu mengurangkan risiko keguguran rambut.

Usus disumbat cacing






BERCAKAP mengenai jangkitan parasit pada usus, walaupun tidak serius diperkatakan seperti beberapa dekad lalu, ia terus menjadi isu dalam kesihatan orang ramai.

Menurut Pakar Parasitologi dan Kesihatan Masyarakat, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof. Datin Dr. Norhayati Moktar, serangan cacing seperti cacing gelang dan cacing kerawit masih wujud.

Tegasnya, bukan sahaja kanak-kanak, ia turut menyerang orang dewasa terutama dalam kalangan mereka yang tinggal di kawasan setinggan dan perkampungan Orang Asli yang mempunyai masalah pembentungan dan saliran serta air bersih.

Menurut Norhayati, masalah cacing boleh menyebabkan anemia yang serius dan kegagalan jantung yang teruk jika tidak dirawat.

“Dengan adanya cacing tertentu di dalam tubuh seseorang, ia mengurangkan selera makan, mengganggu sistem penghadaman dan penyerapan makanan, kehilangan makanan melalui cirit-birit dan muntah serta gangguan metabolisma.

Masalah jangkitan cacing bagaimanapun tidak terhad pada sejenis cacing sahaja. Jangkitan cacing lain yang sering berlaku adalah cacing gelang dan cacing cemeti.


MESKIPUN saiz cacing kerawit kecil, kemampuannya untuk menjejaskan kesihatan tidak boleh dipandang ringan.



“Cacing kerawit misalnya, paling kerap menyebabkan kekurangan darah kerana ia boleh menghisap darah di dalam usus.

Justeru, masalah kurang darah yang kronik boleh mengganggu tumbesaran dan pembelajaran malah pada tahap lebih serius berupaya menyebabkan kegagalan jantung," katanya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendedahkan, jangkitan cacing gelang (ascaris lumbricoides) adalah yang paling kerap berlaku iaitu membabitkan 1.22 bilion jangkitan, cacing cemeti (triciuris trichiura) 795 juta jangkitan manakala cacing kerawit (amcylostoma duodenale, necator americanus dan ancylostoma ceylanicum) 740 juta jangkitan.

Daripada jumlah itu, 400 juta kes membabitkan kanak-kanak yang mengalami masalah tumbesaran, aktiviti fizikal yang kurang cergas, lemah daya pemikiran dan mengalami masalah pembelajaran.

Serangan cacing di dalam usus ini juga antara penyebab utama sakit abdomen akut di kalangan kanak-kanak di kawasan endemik di negara tropika.


NORHAYATI MOKTAR...infeksi usus dan cacing amat berkait rapat.



“Kajian status pemakanan di kalangan kanak-kanak berumur satu hingga tujuh tahun mendapati pengambilan zat besi adalah rendah dan ia berkait dengan jangkitan cacing,” tambah Norhayati.


Di samping itu, cacing yang dipindahkan melalui tanah seperti ascariasis dan trichuriasis, bukan sahaja terjadi pada kanak-kanak sekolah malah jangkitan cacing kerawit juga kerap terjadi pada orang dewasa.

“Ia turut berkait rapat dengan masalah buta malam sekiranya kanak-kanak tersebut mengalami infeksi parasit usus,” maklum Norhayati.


KEADAAN cacing gelang yang menyumbat saluran usus seorang pesakit.



Norhayati berkata, larva cacing kerawit juga boleh menembusi kulit dan masuk ke dalam saluran darah dan seterusnya masuk ke dalam usus dan meneruskan kitar hidup yang sama.

“Sudah sampai masanya kita mengubah tanggapan bahawa cacing adalah masalah kecil.

“Tanpa pencegahan dan amalan kebersihan, cacing boleh menyebabkan maut jika terjadi masalah usus tersumbat dan tidak dirawat dengan segera,” tegas Norhayati.