"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Saturday, January 23, 2010

Penyakit menular akibat berciuman.

TAHUKAH anda apa itu mononukleosis? Secara amnya, ia didefinisikan sebagai jangkitan yang dinamakan Epstein-Barr virus (EBV). Ia berupaya menyebabkan pelbagai simptom alahan seperti selesema, batuk dan juga sakit tekak.

Menurut Pakar Bedah Telinga dan Tekak, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof. Madya Dr. Rahmat Omar, virus ini biasanya melibatkan kanak-kanak dan boleh merebak melalui rembesan air liur, batuk serta bersin.

DEMAM merupakan salah satu gejala awal.

Antara petanda dijangkiti mononukleosis ialah pesakit mungkin berdepan dengan gejala seperti demam, kelesuan, hilang selera makan, sakit tekak dan bengkak kelenjar terutama di bahagian leher.

“Simptom ini juga menyerupai virus lain seperti sitomegalovirus (CMV) kerana mempunyai gejala yang sama. Bagaimanapun, doktor mungkin melakukan ujian darah bagi memastikan jangkitan itu disebabkan oleh mononukleosis.

DR. RAHMAT OMAR

“Kanak-kanak yang berumur dalam lingkungan setahun hingga remaja 18 tahun memang berpotensi untuk mendapat jangkitan ini. Orang dewasa memang jarang dijumpai,” ujarnya.

Sama seperti virus EBV, sekali dijangkiti virus CMV, virus itu akan berada di dalam badan pesakit seumur hidup.

SAKIT tekak mungkin petanda anda sudah dijangkiti.

CMV juga bertindak menyebarkan virus melalui cecair badan seperti darah, air liur, air kencing, air mani dan susu ibu.

Individu yang mempunyai imunisasi yang lemah memiliki risiko yang lebih besar untuk dijangkiti CMV.

PENGAMBILAN antibiotik tertentu bagi merawat penyakit ini boleh menyebabkan ruam di badan.

Jika seseorang itu hamil dan belum pernah terdedah kepada virus CMV, tetapi mempunyai jangkitan lain, virus itu boleh memberi kesan kepada bayi yang belum dilahirkan itu.

Kajian turut menunjukkan EBV boleh menjangkiti sel-sel epitelium orofarinks dan kelenjar saliva.

Justeru itu, pencegahan awal perlu diambil bagi memastikan jangkitan tersebut tidak menjadi serius sehingga mendatangkan kemudaratan pada kesihatan.


Pulih sendiri

Menurut Rahmat, jangkitan mononukleosis sering dianggap tidak serius kerana ia boleh sembuh dengan sendirinya tanpa perlu mengambil ubat-ubatan.

“Bukan bermaksud ia tidak berbahaya, maka tidak perlukan rawatan. Jangkitan itu akan pulih dengan sendirinya dalam masa tiga hingga empat bulan, bergantung pada imunisasi badan.

“Tempoh timbulnya inkubasi (simptom) ialah di antara empat hingga lapan minggu setelah dijangkiti. Tapi ada juga kes di mana penyakit ini merebak sehingga melebihi 18 bulan.

“Jika terdapat keradangan teruk pada tekak, pemeriksaan di bahagian tengkuk akan dilakukan bagi mengesan puncanya.

“Kalau pesakit dijangkiti, tekak mungkin akan mempunyai selaput berwarna putih dan kemerah-merahan.

“Pesakit tidak perlu bimbang tentang gejala ini melainkan jika ia berlarutan,” ujarnya sambil menunjukkan gambar rajah kerongkong.

Turut popular dengan gelaran kissing disease atau ‘penyakit berciuman’ di negara-negara Barat, virus tersebut juga boleh disebarkan kepada orang lain melalui ciuman oleh pesakit yang dijangkiti mononukleosis.

Di samping itu, perkongsian minuman, berus gigi ataupun barang solek seperti pelembap bibir juga berpotensi mengakibatkan jangkitan melalui saliva (air liur).

Disebabkan ia adalah sejenis virus, antibiotik seperti penisilin tidak akan membantu kecuali jika ada jangkitan bakteria.

“Antibiotik tertentu juga boleh menyebabkan ruam di badan. Kajian menunjukkan lebih 80 hingga 90 peratus akan mendapat ruam yang teruk jika diberikan antibiotik.

“Rehat secukupnya dan elakkan makanan yang boleh mengganggu keselesaan tekak kerana ia boleh membantu mengurangkan gejala ini daripada berlarutan,” jelasnya.

Amalan harian untuk panjangkan usia

LIHAT gaya hidup anda hari ini. Adakah anda menjalani kehidupan dengan sebaiknya atau sebenarnya telah banyak mengabaikan kesihatan diri? Atau adakah anda terlalu menuruti tabiat buruk yang tidak sepatutnya anda ikuti?
Sebenarnya ramai daripada kita yang mengamalkan cara hidup yang memudaratkan kesihatan diri.


Tetapi bak kata orang perkara lepas jangan dikenang. Yang penting sekarang jangan biarkan tabiat buruk itu terus menguasi diri. Masih belum terlambat untuk melakukan perubahan.


Apa yang telah anda lakukan kepada tubuh badan anda boleh diubah dan tubuh sudah tentu akan memberi reaksi positif terhadap perubahan tersebut. Yang penting, perubahan segera perlulah dilakukan dan jangan tunggu lagi.


Untuk memulakan perubahan memang mengambil masa. Lazimnya otak memerlukan kira-kira 14 hingga 21 hari untuk tindak tanduk ulangan supaya ia betul-betul 'meresap' dalam diri sebagai amalan harian.


Apabila amalan tersebut sudah sebati dalam diri maka secara automatik ia akan menjadi satu tindak balas perlakuan normal pada individu tersebut.


Apa amalan baik yang boleh digunakan untuk menggantikan tabiat buruk itu?
Kadang-kadang kita lupa, nenek moyang kita banyak meninggalkan petua dan amalan yang cuku baik untuk tubuh badan.


Jika anda tidak percaya anda boleh mencubanya dan buktikan sendiri.


Amalan atau tabiat pertama yang perlu diberi perhatian ialah pastikan anda makan lima sajian bersaiz kecil setiap hari.


Masyarakat di Barat mengambil makanan sebanyak tiga kali sehari, tetapi sebenarnya adalah lebih baik untuk anda menikmati makanan sebanyak lima kali sehari. Tetapi mesti ingat, ia perlulah dalam kuantiti yang kecil sahaja.


Kenapa begitu? Kerana apabila anda kerap makan namun dalam kuantiti yang sedikit, anda akan kekal menyalurkan nutrien, tenaga, darah dan gula untuk keperluan tubuh sepanjang hari.


Makan dengan cara ini juga tidak membebankan sistem penghadaman dan sistem metabolisme. Ia sekali gus mengurangkan risiko penyakit jantung.


Amalan kedua ialah menukar tabiat menaiki lif dengan menaiki tangga. Senaman setiap hari boleh menjadikan anda seorang yang sihat, menguatkan sistem imunisasi, otot dan menambah tenaga.


Jangan jadikan kerja yang padat sebagai alasan untuk anda tidak melakukan aktiviti fizikal. Cuba cari peluang untuk berjalan laju, berjoging atau mungkin juga menaiki basikal ke tempat kerja sekiranya tempat kerja dan kediaman tidak terlalu jauh.


Selepas solat Subuh boleh menyertai kumpulan tai chi di taman perumahan atau mungkin juga boleh mula mendaftar di mana-mana pusat gimnasium berhampiran. Mulakan sekarang dan anda pasti akan nampak kesannya.


Ketawa dan bergembiralah. Ketawa sebagai ubat memang telah diketahui kemujarabannya.


Ketawa juga dapat meningkatkan sistem imunisasi badan dan menghasilkan sel semula jadi yang melindungi tubuh dari kesakitan dan penyakit kanser.


Apabila kita ketawa, hormon endorfin dihasilkan sekali gus memberikan satu perasaan tenang dan puas. Memang tidak dinafikan lagi mereka yang hidup dalam kegembiraan hidup lebih lama dan sihat daripada mereka yang sentiasa bersedih.


Pastikan minum lapan gelas air setiap hari. Air amat penting bagi memastikan tubuh berfungsi secara sihat. Para saintis juga bersetuju bahawa air yang bersih daripada pencemaran kimia dan toksik adalah baik untuk kesihatan dan umur yang panjang.


Jadi pilihlah air yang telah ditapis di mana proses penapisan yang terbaik ialah menerusi arang yang diaktifkan kerana ia mengasingkan benda asing tetapi dalam masa yang sama mengekalkan kandungan mineral.


Perlu juga diingat, jangan menyimpan air di dalam bekas plastik kerana bahan yang terkandung dalam plastik tersebut yang disebut polychlorinated biphenyls (PCBs) boleh meresap ke dalam air.

Menambah amal ibadah bagi umat Islam dan bermeditasi bagi yang bukan Islam.


Memang tidak dinafikan tekanan boleh memendekkan usia seseorang. Dalam kehidupan kita yang serba moden hari ini memang tidak boleh lari daripada tekanan, tapi ia boleh dielakkan jika anda pandai mencari jalan mengelakkannya.


Beribadah atau bermeditasi adalah salah satu cara terbaik untuk melegakan tekanan dan menyegarkan anda semula. Menerusi ibadah dan meditasi anda akan dapat bernafas dengan baik.


Apabila pernafasan anda sempurna ia secara tidak langsung menyingkirkan sebanyak 70 peratus toksin dan benda kotor dalam tubuh anda.


Amalan tersebut juga menjadikan minda anda tenang, mengurangkan hormon tekanan dan mengajar tentang disiplin diri. Ini semua memang penting untuk memastikan kehidupan yang anda lalui sihat dan diberkati.


Jika ada masa terluang boleh juga mencuba senaman ini. Duduk dengan selesa di atas kerusi empuk atau boleh juga bersila di atas lantai.


Pejam mata dan setiap kali masalah timbul di fikiran anda bayangkan masalah tersebut berada dalam sebiji belon. Bayangkan belon yang membawa masalah tersebut terbang tinggi di langit dan akhirnya hilang daripada pandangan.


Cuba ulang cara ini hingga anda tidak lagi memikirkan tentang masalah tersebut. Selepas beberapa ketika anda pasti akan berasa ringan dan fikiran anda akan lebih fokus.


Mungkin dengan mengamalkan lima amalan ini akan mengubah diri anda menjadi seorang yang lebih berkualiti di muka bumi ini. Cubalah dan jangan bertangguh untuk setiap perkara yang baik.


http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0119&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_01.htm

10 Tabiat yang menyebabkan Kerosakan Otak

1. Tidak mengambil sarapan pagi
Apabila seseorang tidak mengambil sarapan pagi, paras gula dalam darah akan menjadi rendah. Ini akan mengakibatkan kekurangan bekalan nutrisipada otak dan menjadikannya kurang aktif.

2. Terlebih makan
Ia akan membebankan pembuluh darah otak dan mengurangkan kuasa mental otak.

3. Perokok
Asap rokok akan mengakibatkan sel-sel otak terjejas atau terbakar dan boleh menga kibatkan penyakit 'Alzheimer'.

4. Penggunaan gula yang berlebihan
Pengambilan gula secara berlebihan akan mengganggu penyerapan protein dan nutrisi. Selain daripada itu, ia akan mengganggu perkembangan otak yang sihat.

5. Pencemaran udara
Otak adalah pengguna oksigen terbesar dalam badan manusia. Pencemaran udara boleh menyebabkan pengurangan bekalan oksigen ke otak dan keaktifan otak.

6. Terlebih tidur
Tidur adalah bagus untuk merehatkan otak tetapi masa tidur yang panjang boleh mengakibatkan sel-sel otak kita mati.


7. Menutup muka ketika tidur
Tidur sambil menutup muka akan mengakibatkan otak menerima lebih banyak karbon dioksida berbanding oksigen dan ini akan membawa kerosakan kepada otak.

8. Membiarkan otak bekerja semasa kita berada di dalam keadaan kurang sihat
Bekerja semasa anda kurang sihat boleh mengurangkan keberkesanan otak dan juga membawa kerosakan kepada sel-sel otak.

9. Kurang berimiginasi
Berfikir adalah satu cara terbaik untuk melatih otak kita. Kurangnya berimiginasi boleh menyebabkan tahap kecerdasan/keaktifan otak menurun.

10. Jarang berfikir
Jarang berfikir akan menyebabkan otak kita kurang aktif. Oleh itu, perbincangan yang membina boleh menambah keberkesanan kecerdasan otak kita.

Sup haruan kolagen untuk kesihatan

EJAK turun-temurun, ikan haruan telah terkenal sebagai sumber makanan dengan pelbagai khasiat kesihatan yang tidak dapat disangkal lagi. Mempunyai nama saintifik Channa striatus, hidupan air tawar itu menjadi makanan yang sangat popular terutama dari kalangan penduduk Asia.

Antara khasiat kesihatannya adalah seperti mampu menyembuhkan luka, mengurangkan kesakitan selepas pembedahan serta baik untuk ibu bersalin.

Kandungan asid amino dan lemak daripada ikan itu pula baik untuk memulihkan parut luka dengan lebih cepat serta sesuai merawat gastrik.

Di samping itu, ia turut mengandungi vitamin A yang berupaya meningkatkan daya ingatan, penglihatan, menjadikan kulit lebih halus dan mengandungi bahan anti oksida bagi fungsi melambatkan proses penuaan.

Khasiat lainnya adalah seperti asid arasidonik untuk membantu pertumbuhan sel-sel baru serta kolagen bagi pengekalan kulit muda.

Di negara kita, sumber makanan itu kebiasaannya diperolehi dalam bentuk produk pati ikan haruan yang banyak terdapat di pasaran.

Namun, bagi sesetengah individu, mereka mungkin sukar untuk meminum pati tersebut kerana rasa dan baunya yang kurang digemari.

Justeru, bagi memastikan khasiat ikan itu dapat dinikmati dengan cara yang lebih mudah, ia kini dihasilkan dalam bentuk sup segera.

Dikenali sebagai Sup Haruan Kolagen, produk berkenaan telah dihasilkan oleh sebuah syarikat perusahaan industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan, Bio Haruantech (M) Sdn. Bhd.

Menurut Pengarah Urusannya, Mohammad Munir Lukman Hakim, idea menghasilkan sup tersebut timbul setelah mendapati pesakit-pesakit di hospital dan klinik sukar untuk memperolehi ikan haruan.

''Bermula daripada situ, saya mula mengumpul maklumat dan menjalankan kajian bagaimana penghasilan sup ikan haruan. Ia telah mengambil masa selama tiga tahun.

''Selain berkhasiat, sup ini juga mempunyai rasa yang sangat sedap dan sesuai dijadikan makanan harian,'' katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Memasuki pasaran pada tahun 2007, produk yang dipaketkan di dalam tin itu pada mulanya kurang mendapat sambutan.

Mencari kaedah penyelesaian, Mohammad Munir kemudiannya meneruskan kajian selama lebih kurang setahun lagi untuk memperbaiki mutu produk tersebut.

Akhirnya, beliau telah berjaya menghasilkan sup dalam bentuk serbuk dengan kandungan kolagen yang tinggi dan tidak berbau.

Bagi menjamin khasiat sup ini, ia diadun bersama rempah ratus asli yang baik untuk kesihatan seperti kulit kayu manis, lada hitam dan sebagainya.

Kandungannya juga semulajadi tanpa menggunakan bahan pengawet atau pewarna selain mempunyai lebih 50 peratus isi ikan.

Ini kerana, di dalam isi ikan tersebut terdapat sejenis bahan yang diberi nama Glycine iaitu sebahagian daripada komponen kolagen dalam sel kulit manusia.

Bahan ini akan bertindak mempercepatkan percantuman kulit yang terluka dan seterusnya membentuk sel baru.

Bercerita mengenai sumber ikan mentah, beliau memperolehinya daripada beberapa kolam ternakan yang diselia di bawah Jabatan Perikanan.

''Sebelum dijadikan ramuan dalam penyediaan sup, ikan-ikan ini akan menjalani ujian DNA dan ujian mikro terlebih dahulu bagi mengenalpasti nutriennya.

''Saya mendapat bimbingan daripada Jabatan Perikanan dan Universiti Kebangsaan Malaysia dalam proses menjalankan ujian ini,'' jelasnya.

Cara penyediaan sup itu amat mudah di mana pengguna hanya perlu melarutkan serbuknya di dalam 200 mililiter air dan ia boleh dimakan terus.

Ia dijual dengan harga RM16 sekotak di mana setiap kotak mengandungi tiga paket sup.

''Sambutan yang diterima sangat menggalakkan. Setakat ini kilang kami di Rawang telah mengeluarkan sebanyak 20,000 hingga 30,000 kotak untuk memenuhi permintaan pasaran'' jelasnya.

Dari segi pasaran, beliau ketika ini sedang berusaha membawa masuk produknya untuk dijual di pasar raya besar.

Pada masa akan datang, beliau turut bercadang meneruskan kajian dalam penghasilan produk sup belut pula untuk khasiat kesihatan lelaki.

Alternatif awet muda

ANDA ingin kelihatan cantik tanpa melakukan pembedahan? Dalam era moden, mungkin anda boleh merawat masalah kesihatan kulit tanpa melakukan pembedahan. Menariknya, kaedah ini hanya mengambil masa satu hingga dua jam. Hasilnya, kulit anda akan lebih cerah dan tegang. Mungkin kaedah tidak invasif alternatif terbaik untuk anda merawat masalah kulit seperti parut, bintik atau tompok, lebihan kulit, garis halus, bentuk badan atau mengurangkan lemak badan.

Prosedur tidak invasif juga dilihat menarik minat pesakit yang belum bersedia, tidak mahu atau tidak boleh menjalani pembedahan dengan catatan 11.4 juta prosedur dijalankan sepanjang 2005 iaitu peningkatan dua kali ganda berbanding tahun 2000.

Pakar Runding Perubatan Estetik, Dr. Alice Prethima menjelaskan alternatif terhadap pembedahan dan jarum ini juga mampu membantu masalah kulit lembik, parut, kesan regangan atau selulit melalui kaedah terkini, berkesan dan selamat.

Mereka mungkin boleh mencuba rawatan kecantikan berbentuk tidak invasif (tidak melibatkan pembedahan) seperti laser vaginoplasti dan vaser liposelection (termasuk mencairkan, menyedut lemak dan menegangkan kulit pada masa yang sama.

"Semua orang ada kecantikan mereka yang tersendiri. Jadi tidak perlulah melakukan 'perubahan' yang keterlaluan.

"Rawatan-rawatan kecil (tidak invasif) sudah memadai melainkan apabila rawatan invasif diperlukan, seperti untuk kes kecacatan dan gangguan kesihatan," katanya ketika ditemui di Bangsar, Jalan Maarof, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Dr. Alice, pesakit di negara ini juga kurang diberikan pendedahan mengenai kaedah terkini rawatan kulit seperti penggunaan laser berbanding kaedah lama yang mencungkil keluar jerawat atau pigmen pada kulit.

Tambah beliau, penggunaan jarum merupakan antara yang paling digeruni pesakit tetapi melalui kaedah dilectropolation, pesakit tidak memerlukan suntikan untuk memasukkan molekul penting untuk rawatan kulit.

Namun, pada zaman sekarang pembedahan tidak lagi diperlukan untuk menegangkan kulit.

Hanya melalui penggunaan kolagen yang menjadikan kulit anjal dan kelihatan lebih muda.

Suntikan kolagen

Dr. Alice memberitahu, suntikan kolagen selamat juga selamat diguna.

Walaupun kesannya agak sedikit lambat berbanding botox, namun ia lebih mudah dijaga.

Kebiasaannya selepas dua atau tiga kali rawatan, wajah pelanggan akan lebih kelihatan semula jadi. Selepas enam minggu, hasilnya akan lebih nampak baik.

"Kolagen menerusi Sculptra telah digunakan di Australia sejak 2002. Tiada kesan alergi yang pernah ditemui selepas rawatan. Bahkan ia membantu kawasan melasma iaitu kawasan segi tiga hidung dan pipi. Kolagen merupakan ramuan yang lazimnya terkandung dalam kebanyakan produk awet muda. Kajian klinikal telah menunjukkan keberkesanan kolagen mengurangkan bilangan, kepadatan dan kejelasan kedutan, serta memastikan keanjalan dan kesegaran kulit," jelasnya.

Bagaimanapun, ramai yang cuma mempunyai pemahaman terhad tentang kolagen dan tidak sedar akan potensi sepenuhnya terhadap badan kita, mahupun bantuan kecantikan.

Sebenarnya, kolagen merupakan struktur protein yang berfungsi sebagai perekat dalam badan.

Ketika usia remaja dan awal 20-an, terdapat pertumbuhan hormon yang aktif bagi menyokong pertumbuhan struktur dan menggalakkan perkembangan otot, tendon dan ligamen.

Kolagen digunakan untuk menghasilkan protein bagi membantu pertumbuhan ini serta mengaktifkan penjanaan semula sel badan baru.

Apabila kolagen dalam tisu lembut semakin berkurangan, ini mengakibatkan kesukaran pengangkutan toksin dari sel ke sistem limfa.

Ia juga menghalang pergerakan nutrisi dan hidrasi yang mempunyai kesan ke atas kesihatan keseluruhan, langsung mempengaruhi keadaan kulit dan sel lain. Pada masa yang sama, keadaan tulang, kuku dan rambut akan turut menunjukkan tanda-tanda awal penuaan.

"Susutan kolagen kini boleh diganti menerusi proses yang dipanggil kaedah sintesis kolagen (collagen synthesis) menerusi terapi suntikan kolagen, apabila wanita dan lelaki memilih bahagian tertentu bagi suntikan yang menunjukkan kesan serta-merta," katanya.

Sementara itu, Dr. Alice menasihatkan orang ramai yang ingin mencuba teknologi baru atau kaedah rawatan terkini memastikan ia telah diluluskan Pentadbiran Makanan dan Perubatan AS (FDA) dengan melakukan penyelidikan melalui Internet terlebih dahulu.

"Teknik atau teknologi yang sesuai digunakan bergantung kepada masalah yang dihadapi pesakit selain faktor lain seperti tahap kesihatan semasa dan bentuk badan. Pemeriksaan mencari punca dasar masalah kulit juga penting termasuk masalah hormon badan," tegasnya.

Dr. Alice turut menekankan orang ramai tidak terlalu mengikut perakuan individu yang menggunakan produk baru kerana kadangkala kaedah tersebut hanya bersesuaian untuk sesetengah pesakit sahaja.

http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0124&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_01.htm

Thursday, January 21, 2010

Ambil berat risiko osteoporosis

DALAM udara pagi yang dingin, Mak Cik Ma (bukan nama sebenar) begitu tekun melakukan kerja mencuci dan mengelap lantai. Lazimnya dia bangun seawal jam 5 pagi, ketika kebanyakan penghuni pangsapuri masih diulit mimpi untuk memulakan tugasnya sebagai pencuci.


Bermula awal akan membolehkan dia menghabiskan kerjanya sebelum cuaca menjadi lebih panas.


Meskipun tangan kirinya berbalut, wanita gigih ini masih meneruskan kerjanya menyapu, mengelap, bergerak dari satu tingkat ke tingkat yang lain dan dari satu blok ke blok yang lain.


Berusia pertengahan 70-an, Mak Cik Ma mengalami fraktur atau retakan pergelangan tangan akibat terjatuh ketika mahu membaiki lampu balkoninya. Memandangkan usianya yang lanjut, retakan itu memerlukan masa yang lebih panjang untuk sembuh.


Malah sebelum terjatuh, dalam kesempatan berbual-bual ketika penulis bertembung dengannya semasa dia menyapu lantai, dia beberapa kali mengeluh mengenai lututnya yang semakin sakit terutama apabila memanjat tangga untuk melakukan kerja hakikinya.


Risiko tinggi

Pada hakikatnya, mereka yang sudah berusia berhadapan dengan risiko yang lebih tinggi untuk terjatuh disebabkan daya penglihatan yang kabur atau masalah imbangan dan pergerakan.


Sekiranya berlaku insiden terjatuh, ia boleh menyebabkan keretakan, terutamanya pergelangan tangan, spina atau tulang belakang dan pinggul. Wanita yang menopaus atau putus haid juga berhadapan dengan risiko tinggi untuk mengalami keretakan.
Keadaan ini biasanya dikaitkan dengan osteoporosis, sejenis penyakit tulang.


Osteoporosis ini ada kalanya juga digelar sebagai 'penyakit senyap'.
Bagi mereka yang mempunyai osteoporosis, tulang-tulang mereka lemah dan mudah patah.


Ini menjadikan tugas mudah seperti berjalan pun begitu menyakitkan.
Menurut Wikipedia, tidak ada petanda tertentu untuk osteoporosis tetapi ia boleh meningkatkan risiko keretakan tulang.


Keretakan berlaku dalam keadaan di mana orang yang sihat tidak akan mengalami patah tulang dan keadaan ini disifatkan sebagai keretakan akibat kerapuhan.


Ensaiklopedia percuma itu menyatakan keretakan akibat kerapuhan lazim berlaku di bahagian kolum vertebra, tulang rusuk, pinggul dan pergelangan tangan.


Ia menyebut di Amerika Syarikat, sebanyak 250,000 kes keretakan pergelangan tangan dilaporkan berpunca daripada osteoporosis dan keretakan pergelangan tangan ialah keretakan osteopotorik ketiga yang paling kerap berlaku.


Masalah kesihatan


Sementara itu, berdasarkan laporan International Osteoporosis Foundation (IOF), kepercayaan bahawa osteoporosis hanya berlaku di Barat dan jarang terjadi di Timur kini boleh dianggap sebagai hanya satu metos.


Menurut laporan itu, memandangkan jumlah penduduk warga emas yang besar di Asia, osteoporosis akan menjadi masalah kesihatan yang utama pada tahun-tahun akan datang.


Laporan itu turut menyebut peningkatan dua hingga tiga kali ganda kes keretakan pinggul di kebanyakan negara Asia dalam tempoh 30 tahun lalu.


Laporan Audit Asia IOF itu dihasilkan melalui bantuan kewangan dari Fonterra, pengeksport produk tenusu terbesar dunia dengan jenama utama termasuk Anlene, rangkaian produk tenusu yang dirumus khas untuk orang dewasa bagi mengoptimumkan kesihatan tulang.


Menurut laporan itu lagi, di Hong Kong, kejadian keretakan pinggul meningkat 300 peratus dari 1960-an hingga 1990-an, sementara di Singapura, insiden keretakan pinggul pada 1998 ialah lima kali ganda lebih banyak daripada jumlah kes pada 1960-an.


Di Jepun, di mana kes keretakan pinggul dipercayai antara yang paling rendah di dunia, insiden keretakan pinggul dari 1986 hingga 1998, meningkat 1.6 kali ganda untuk lelaki dan 1.5 kali ganda untuk wanita.


Tanah Besar China juga menunjukkan kenaikan yang besar dalam insiden kes keretakan pinggul, iaitu 34 peratus untuk wanita dan 33 peratus untuk lelaki bagi tempoh 1988 hingga 1992.


Laporan itu juga menyatakan kos osteoporosis adalah tinggi dan keretakan pinggul ialah punca utama warga emas dimasukkan ke hospital.


Sebagai contoh, di Amerika Syarikat, kos secara langsung keretakan pinggul dianggarkan RM48.3 bilion pada 1995 sementara di United Kingdom, kos secara langsung akibat keretakan pinggul pada 1998 ialah RM5. 5 bilion.


"Memandangkan osteoporosis dan keretakan pinggul membabitkan kos rawatan yang amat besar, langkah kritikal yang perlu dilakukan ialah mengesan dan merawat lebih awal pesakit yang berisiko tinggi," kata laporan itu.


Senario Malaysia


Laporan IOF yang turut menggariskan hasil kajian yang dibuat di Malaysia, menyebut insiden keretakan pinggul osteoporotik ialah tertinggi dalam kalangan kaum Cina (63 peratus), diikuti Melayu (20 peratus) dan India (13 peratus).


Ia juga menunjukkan kes-kes keretakan pinggul berlaku dua kali ganda lebih banyak di kalangan wanita berbanding lelaki.


Berdasarkan kaum serta data tertentu jantina, insiden keretakan pinggul adalah tinggi di kalangan wanita Cina (220 orang bagi setiap 100,000 orang) dan diikuti wanita India.


Dari segi kos, kos penghospitalan secara langsung untuk rawatan keretakan pinggul pada 1997 dianggarkan sebanyak RM21 juta.


Kajian itu, yang juga meliputi status vitamin D di kalangan wanita yang putus haid menunjukkan 71 peratus wanita Melayu yang putus haid tidak mendapat keperluan harian vitamin D mereka.


Pada hakikatnya, kajian itu menunjukkan ketakcukupan vitamin D serta pengambilan kalsium yang rendah berlaku di semua 14 buah negara yang diaudit.


Dasar kesihatan


Pengurus Besar Fonterra Malaysia, John McKay berkata, meskipun Malaysia memberi banyak fokus kepada osteoporosis berbanding banyak negara lain di Asia, masih terdapat keperluan untuk memberi keutamaan kepada penyakit itu di peringkat dasar kesihatan kebangsaan.


Baru-baru ini beliau melancarkan kempen 'Dengarlah Tulang Anda' dengan sokongan Kementerian Kesihatan Malaysia.


Kempen itu bertujuan mendidik rakyat Malaysia mengenai kepentingan kesihatan tulang dengan menawarkan khidmat pengimbasan tulang secara percuma di seluruh negara.


http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1013&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_01.htm

Tangani masalah bau badan

SAYA berusia 37 tahun dan berbadan gempal. Masalah saya ialah bau badan yang tidak menyenangkan apabila berpeluh. Bagaimana masalah ini boleh diperbaiki?

JAWAPAN,

Bau badan boleh disumbangkan sama ada oleh faktor luaran mahupun dalaman. Dari segi luaran lazimnya boleh dikurangkan dengan lebih menitikberatkan faktor kebersihan.

Perpeluhan menyediakan tapak yang baik untuk pertumbuhan bakteria dan fungus yang menyumbang kepada bau badan.

Pemakanan juga tidak kurang pentingnya. Terdapat juga makanan yang mengandungi kompaun tertentu seperti bawang putih dan sesetengah rempah-ratus masakan yang memberi impak.

Pengambilan makanan berlemak atau lemak trans yang berlebihan bukan sahaja memberi bebanan berlebihan kepada hati, tetapi juga menyebabkan kelenjar sebum untuk bekerja secara berlebihan dan lebih aktif dan ini memberikan peluang kepada bakteria.


Perubahan jangka panjang akan diperolehi dengan tahap kebersihan yang baik, pembersihan dalaman tubuh dan juga pemakanan yang baik. Adalah juga dicadangkan agar menjalani proses menyingkirkan toksik badan.


Tambahkan ke dalam diet harian anda dengan probiotik yang terbukti berkesan dalam membantu sistem penghadaman serta merangsang penyingkiran toksin dengan memperbaiki pergerakan usus. Ini penting terutamanya di kalangan mereka yang mengalami masalah dalam perkumuhan atau sembelit.


Pengambilan milk thistle dan dandelion boleh diamalkan kerana manfaatnya kepada fungsi hati dengan membersihkan toksin berbahaya daripada tubuh. Penggunaan pakaian daripada bahan yang menyerap peluh serta membolehkan pengaliran udara yang baik juga boleh membantu.


http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0117&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_05.htm

Serat bantu elak obesiti

MEREKA yang memasukkan serat di dalam diet mereka lebih mudah mengurangkan berat badan kerana serat memerlukan lebih tenaga untuk dikunyah dan meresap perlahan-lahan.

Menurut kajian yang diterbitkan di dalam jurnal Nutrition, keadaan serat tersebut akan memanipulasi tubuh dengan menjadikan perut lebih kenyang.

EKSTRA: Pemanis tiruan yang terbukti membantu mengurangkan berat badan kini turut menunjukkan kesan dalam menurunkan tekanan darah dan paras kolesterol. Kajian oleh Dr. Dan Qu dari Hospital Changhai di Shanghai, China mendapati kandungan substitut pemanis tiruan tersebut iaitu oligofruktosa atau OFS berfungsi mengurang kandungan kalori dalam makanan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=1206&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_02.htm