"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Monday, August 23, 2010

Teknologi baru cegah strok

PAKCIK, ubat ini pakcik makan sebiji setiap hari. Jangan ambil lebih. Pastikan pakcik makan pada masa yang sama setiap hari. Jika terlupa, sebaik-baiknya terus makan apabila teringat.
"Jangan sekali-kali gandakan dos makan dua biji pula ya. Lagi satu, jangan lupa bulan depan datang semula ke sini untuk kita buat pemeriksaan darah.''
Itu antara pesanan yang sering diterima pesakit jantung yang bergantung sepenuhnya kepada pengambilan ubat jenis warfarin.
Warfarin adalah sejenis dadah pencair darah yang cukup berbahaya jika tersalah dos.
Penolong Ketua Jabatan Kardiologi Institut Jantung Negara (IJN), Dr. Razali Omar memberitahu, pesakit yang terambil dos yang salah boleh berhadapan dengan masalah pendarahan serius.
"Warfarin berfungsi mengurangkan risiko serangan strok iskemik, tetapi pada masa yang sama jika tersalah ambil akan mendedahkan pesakit kepada risiko strok pendarahan pula," katanya.
warfarin terkenal di kalangan pesakit warga emas yang mengalami gangguan fungsi jantung seperti pemfibrilan atrium (AF).
Walaupun mempunyai kesan sampingan, ia merupakan ubat paling berkesan untuk menghalang pembentukan darah beku yang berpunca daripada AF, sekali gus mengurangkan risiko serangan strok sehingga 67 peratus.
Tetapi dengan perkembangan teknologi, kini pesakit jantung mempunyai pilihan.
Penemuan teknologi baru yang dikenali Left Atrial Appendage Occluder (LAA Ocluder) merupakan khabar gembira buat pesakit komplikasi AF.
Mereka tidak perlu lagi bergantung kepada ubat pencair darah seperti warfarin
LAA Ocluder lebih praktikal dan selamat untuk mengurangkan risiko serangan strok dan telah diperkenalkan oleh IJN baru-baru ini
Teknologi itu mula diperkenal dan dipraktik secara meluas di Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara Eropah. Di rantau Asia, setakat ini hanya tiga negara sudah mengamalkannya iaitu Hong Kong, Singapura dan Malaysia.
"Komponen asasnya ialah alat Watchman yang boleh berkembang menjadi penutup. Alat itu akan dimasukkan ke dalam jantung pesakit untuk menyumbat pintu masuk ruang kosong yang dipanggil apendaj atrium kiri (LAA) yang terletak di atrium kiri jantung. "Tujuan penyumbatan ini adalah untuk menghalang sebarang ketulan darah beku yang terbentuk di dalam LAA keluar dari situ. Pada masa yang sama, ia berfungsi menyekat darah dari luar masuk dan bertakung dalam LAA.

Gangguan denyutan jantung masalah biasa

ATRIAL Fibrillation (AF) atau pemfibrilan atrium ialah sejenis gangguan denyutan jantung paling biasa dialami oleh penduduk di seluruh dunia terutamanya di kalangan warga emas.
Persatuan Jantung Amerika (AHA) melalui kajian mereka bagaimanapun mendapati individu yang mengalami AF mempunyai risiko enam kali ganda lebih tinggi untuk diserang strok berbanding yang normal.
Pakar Perunding Kardiologi Institut Jantung Negara (IJN) Dr. Razali Omar menjelaskan, AF ialah satu keadaan membabitkan bahagian atrium jantung tidak berdenyut seperti biasa sebaliknya bergetar dengan laju.
Keadaan itu berlaku disebabkan wujudnya aktiviti eletrikal yang tidak terkawal di atrium kiri jantung.
''Kehadiran impuls elektrik yang luar biasa mengganggu pusat isyarat eletrik iaitu sinoatrial node (SAN) yang berfungsi mengawal kadar denyutan jantung.
''Ia menyebabkan kadar denyutan jantung dan nadi menjadi luar biasa dan tidak stabil,'' kata beliau.
Jelas Dr. Razali, apabila gangguan itu berlaku, proses mengepam darah dari jantung ke seluruh badan akan terjejas.
Gara-gara tidak dipam kaluar secara berkesan dari jantung seperti kebiasaannya, darah mula bertakung di atrium, terutamanya di ruang kosong yang dipanggil apendaj atrium kiri (LAA).
''Takungan darah akan bergumpal membentuk ketulan darah beku.
''Darah beku ini sangat mudah tertanggal dan dibawa aliran darah melalui arteri ke bahagian otak lalu menyebabkan serangan strok," tambah beliau.
Strok adalah punca kematian ketiga terbesar di Malaysia selepas serangan jantung dan kanser. Ia merupakan penyakit melibatkan sel-sel di sesetengah bahagian otak rosak disebabkan oleh kekurangan bekalan oksigen.
Setiap tahun, dianggarkan 40,000 rakyat Malaysia mengalami strok.
Dalam pada itu menurut Dr. Razali , antara simptom-simptom AF ialah rasa berdebar-debar, kadar denyutan nadi tidak konsisten, pitam, kesukaran bernafas dan kelesuan.
''Simptom-simptom ini boleh terjadi dengan tiba-tiba dan hilang begitu sahaja.
"Kebanyakan pesakit memandang remeh gangguan AF kerana menganggap ia perkara biasa.
''Individu yang mengalami AF biasanya akan dirujuk kepada pakar kardiologi. Kaedah rawatan bergantung kepada jenis AF, tahap keseriusannya dan tahap kesihatan pesakit.
''Manakala rawatan pencegahan strok di kalangan pesakit AF yang diguna pakai ialah terapi ubat warfarin dan pengimplanan alat Watchman," katanya.

Urat Simpul hodoh dan sakit


Bagaimana urat simpul berlaku?


PERNAHKAH anda melihat wanita yang memiliki urat-urat timbul di bahagian kaki yang kadangkala kelihatan bersimpul-simpul dan berwarna biru? Atau mungkin anda sendiri mengalaminya namun sehingga kini tidak tahu rawatan sesuai yang mampu menangani masalah itu?
Jika anda penderita masalah urat simpul, setuju andai dikatakan urat-urat itu sangat merunsingkan fikiran anda sekali pun kaki bagi sesetengah daripada kita merupakan bahagian yang sering ditutup. Dan sekali pun ada sesetengah penghidap tidak berasa sakit, urat simpul tetap dianggap beban kerana ia melibatkan masalah kosmetik kekal pada individu terbabit yang semestinya tidak boleh dirawat dengan cara biasa.
Pakar Bedah Am dan Vaskular, Dr. Tan Kong Hean berkata, urat simpul atau vena varikos berlaku apabila vena (salur darah yang membawa balik darah kurang beroksigen dari bahagian badan yang lain ke jantung dan paru-paru) menjadi tebal dan membesar. Disebabkan pembesaran tersebut, ia kelihatan membiru atau ungu serta berpintal dan akan terkeluar sedikit dari bahagian kulit seakan menggelembung.
Memudahkan pemahaman, vena mempunyai pintu injap kecil untuk mengelak darah daripada mengalir secara terbalik. Otot kaki akan mengepam vena untuk menghantar darah ke jantung, melawan kesan graviti. Apabila vena menjadi varikos, pintu injap tidak lagi berfungsi dengan betul dan injap tidak berkerja.
“Ini menyebabkan darah bergerak pada arah yang songsang dan vena membesar lebih daripada biasa.
Vena varikos biasa berlaku pada vena bahagian kaki disebabkan tekanan ketika berdiri. Terdapat juga di bahagian lain seperti vagina namun ia jarang berlaku,” kata doktor pakar dari Pusat Perubatan Prince Court itu.
Menurut beliau, urat simpul adalah masalah yang sering dialami oleh golongan wanita tetapi lelaki juga tidak terkecuali.
Katanya, sebanyak 20 peratus wanita mempunyai vena varikos dan 50 peratus daripadanya disebabkan keturunan dan mengandung.
“Ia mula berlaku ketika mereka berumur antara 20 dan 30 tahun atau selepas mengandung. Terdapat juga individu yang mengalami vena varikos sejak dari usia belasan tahun lagi,” katanya.
Menurut beliau, ketika mengandung, pertambahan hormon progestron menjadikan vena berkeadaan lega (injap terbuka) mengundang masalah vena varikos selain pembesaran uterus secara semula jadi menekan vena.. Beliau juga bersetuju pengambilan pil cegah hamil (mengandungi testosteron) memburukkan lagi masalah urat simpul.
Kata beliau lagi, lelaki tidak terkecuali mengalami masalah urat simpul iaitu 10 peratus yang mengalaminya disebabkan keturunan.
Selain itu, beliau berkata, mereka yang berdiri terlalu lama (pekerjaan yang memerlukan berbuat demikian seperti jururawat, pelayan restoran, guru dan sebagainya) serta mereka yang mengalami obesiti juga terdedah menderita urat simpul akibat kaki terpaksa menampung berat badan yang berlebihan.
Dr. Tan menjelaska n mereka yang mengalami masalah urat simpul akan berasa sakit dan tidak selesa di bahagian kaki dan tidak boleh berjalan jauh. Pesakit katanya berkemungkinan mengalami kekajangan pada waktu malam dan lebih teruk lagi, ada juga pesakit yang mengalami gatal-gatal pada kulit. Disebabkan masalah tersebut, pesakit akan mula menggaru hingga terjadi ulser, dermatitis dan ekzema.
Pesakit urat simpul juga katanya, akan terasa seperti urat mereka akan pecah sekiranya berdiri terlalu lama.
“Namun ramai juga yang tiada simptom tapi keadaan urat yang bersimpul sangat ketara,” katanya.
Menjelaskan lebih lanjut Dr. Tan berkata, terdapat peringkat berbeza bagi masalah urat simpul.

Elak rambut gugur sampai botak







SAYA kagum pertama kali bertemu Puan Rosnah. Wajahnya ayu dan tutur katanya begitu sopan sekali. Beliau datang dari Kuala Selangor. Meskipun jauh beliau tetap menguatkan hati memandu beberapa jam untuk bertemu saya. Usia Puan Rosnah 45 tahun namun sekali pandang sudah tentu orang akan menyangka beliau baru berusia 30-an.

Semasa pertemuan itu, Puan rosnah meluahkan rasa risau tentang rambutnya yang gugur.
‘‘Gugur bukan sedikit doktor, malahan saya mula menjadi botak,’’ katanya sambil moodnya yang riang bertukar sayu apabila berbicara tentang masalah yang dihadapinya itu.
Apabila membuat pemeriksaan saya dapati masalah yang Puan Rosnah amat serius. Kesan rambut gugur amat ketara dengan kawasan botak yang berselang seli dengan tompokan rambut. Menurutnya, setiap hari pasti ada saja rambut yang gugur dan beliau terpaksa berhenti menyikat rambut kerana khuatir akan menyebabkan rambut semakin gugur.
Saya memberitahu masalah itu disebabkan sel-sel rambut yang tidak dapat hidup. Sel-sel yang baru tumbuh cepat mati kerana itu rambut tidak bertahan dan memanjang.
Rambut adalah kutikel yang hidup. Seperti kuku juga rambut adalah kutikel yang perlu nutrisi daripada darah kita. Seseorang yang kurang nutrisi akan mengalami masalah pada rambut dan juga pada kukunya.
Saya membuat analisis rambut dan kuku Puan Rosnah. Jelas kelihatan tanda-tanda kekurangan nutrisi. Rambut yang kurang nutrisi akan kasar tebal dan kelihatan rapuh. Rambut beliau yang kurang nutrisi bercampur aduk dengan rambut yang cukup nutrisi. Terdapat rambut yang sihat dan bermaya bercampur-aduk dengan rambut yang kasar dan kusam.
Puan Rosnah memberitahu, beliau selalu mengambil vitamin dan pemeriksaan darah menunjukkan darah beliau normal. Beliau musykil tentang nutrisi yang saya maksudkan.
Di dalam tubuh kita terdapat enzim dan hormon yang penting bagi meningkatkan metabolik tubuh. Metabolik bererti kadar tubuh menggunakan tenaga. Proses makanan dan zat makanan masuk ke dalam sel dan sel menggunakannya bagi pembinaan tubuh badan. Itu dipanggil proses metabolik. Jika cukup vitamin dalam makanan seharian tapi dalam badan tidak cukup hormon dan enzim maka kadar metabolik juga rendah. Segala vitamin yang dimakan akan sia-sia kerana ia akan keluar semula sebagai bahan buangan.
‘‘Maksud doktor saya tidak cukup hormon, jadi vitamin yang saya amalkan itu menjadi sia-sia saja?’’ tanya Puan Rosnah.
Saya membuat ujian darah bagi melihat hormon dalam badan Puan Rosnah dan menyuruh beliau menjawab beberapa soalan. Hasil daripada keputusan itu saya dapat mengagak apakah yang sebenarnya menjadi masalah sehingga rambutnya enggan tumbuh. Saya mengesyorkan rawatan LLLt laser yang berkesan menumbuhkan rambut .
Laser LLLt membolehkan salur-salur darah kecil yang layu dan mati menjadi lebih segar dan hidup kembali. Rawatan seperti ini mudah dan berkesan. Ia mengambil masa lebih kurang tiga bulan bagi membuahkan hasil yang baik.
Rambut adalah mahkota kita. Tidak kira lelaki atau perempuan rambut merupakan suatu anugerah berharga yang penting. Rambut membuat wajah seseorang menjadi lebih berseri. Justeru rambut gugur, nipis atau botak menjadi satu masalah yang sangat merisaukan. Dewasa ini keadaan cuaca panas dan pemakanan merosakkan struktur hormon dan enzim dalam tubuh menjadikan rambut kita gugur dan kusam.
Baik lelaki atau wanita inginkan rambut yang cantik supaya kelihatan hebat dan berseri. Saya dapati masalah rambut di kalangan lelaki tidak kurang hebatnya dengan masalah rambut bagi wanita. Rata-rata lelaki mengalami masalah ini apabila berusia 30-an. Faktor hormon yang merosot memainkan peranan penting dalam permasalahan ini.
Hormon yang mustahak dalam pembentukan rambut adalah testosterone, progesterone dan tiroid .Apabila kekurangan hormon tersebut maka tubuh akan menjadi lesu dan kurang bermaya.
Saya sering juga bertemu lelaki dan tidak kurang juga wanita yang terpaksa mengamalkan pemakaian rambut palsu bagi meningkatkan penampilan. Pemakaian rambut palsu tidak selesa kerana sifatnya yang keras.
* Hormon yang mempengaruhi rambut wanita
Penurunan hormon progesterone dan penukaran esrtadiol yang banyak kepada testosterone mempengaruhi kadar pertumbuhan rambut wanita. Selain itu masalah kekurangan hormon tiroid membuatkan rambut tidak dapat tumbuh dengan baik.
* Hormon yang mempengaruhi rambut lelaki
Hormon yang mempengaruhi rambut lelaki adalah kesan penukaran testosterone kepada hormon-hormon lain akibat aromatization. Aromatization terjadi kerana kesan toksik dalam badan seseorang.
* Ujian darah pengesanan hormon
Bagi membolehkan analisis yang lebih tepat adalah baik jika ujian pemeriksaan darah dibuat. Ujian darah dilakukan bagi melihat jumlah hormon dalam badan dan adakah berlaku gangguan pada hormon-hormon tersebut. Selepas ujian para pelanggan diberi rawatan yang betul untuk stimulasi rambut.
* Pemakanan yang betul bagi nutrisi rambut
Bagi mendapatkan nutrisi rambut yang baik amalkan makanan yang rendah karbohidrat dan berprotein tinggi. Selain itu makanan yang merosakkan hormon seperti ubat mengandungi beta bloker harus dihentikan.
* Laser LLLt bagi rambut
Ia sejenis diod laser yang memancarkan cahaya laser dengan jarak gelombang yang amat pendek iaitu 625 nanometer sahaja. Oleh itu ia selamat digunakan pada bila-bila masa. Apabila laser diputarkan ke seluruh kulit kepala (bagi mendapatkan laluan yang serata) ia akan meningkatkan penumbuhan mikro kapilari yang menghidupkan rambut. Apabila ini berlaku maka rambut akan mendapat nutrisi dan akan mula tumbuh perlahan lahan.

Silau jejas penglihatan


PENDEDAHAN berlebihan kepada sinar ultra lembayung (UV) boleh menyebabkan kesilauan.


DALAM kehidupan kita seharian, kesilauan matahari petang ketika memandu atau kilauan daripada pantulan permukaan bercahaya, boleh mengganggu bahkan membahayakan. Kesilauan tajam boleh menyebabkan kita hilang penglihatan buat sementara waktu dan sukar untuk melihat persekitaran dengan jelas. Perbezaan tinggi rendah permukaan mungkin tidak jelas atau hilang terus daripada penglihatan kita akibat kesilauan. Masalah kesilauan juga boleh membuatkan kita seolah-olah sedang melihat sebuah dinding cahaya yang putih. Ini boleh menimbulkan situasi yang berbahaya ketika memandu, khususnya jika pemandu tidak dapat melihat pejalan kaki, warna lampu isyarat, malah mungkin tidak dapat melihat kenderaan lain.
Kepekaan terhadap kesilauan
Terdapat banyak punca kesilauan yang boleh menyebabkan kerja biasa menjadi susah untuk dilakukan.
Sebab-sebab biasa kesilauan adalah:
* Cahaya matahari yang menimpa secara langsung.
* Pantulan cahaya matahari dari permukaan licin dan bercahaya, termasuk dari kenderaan lain.
* Cahaya dari atas kepala, terutama sekali lampu kalimantang di pejabat.
* Lampu depan kenderaan yang datang dari arah bertentangan
* Cahaya skrin komputer
Kepekaan kepada kesilauan boleh berpunca daripada pelbagai keadaan. Faktor biasa yang dikaitkan dengan kepekaan kesilauan termasuklah:
* Pendedahan berlebihan kepada sinar ultra lembayung (UV).
* Mereka yang mempunyai biji mata berwarna cerah serta anak mata yang besar.
Jadi bagaimanakah kita hendak mengurangkan kesilauan secara semulajadi?
Pigmen makular - Lutein dan Zeaxanthin
Pigmen makular pada manusia - lutein dan zeaxanthin - yang paling biasa dikaitkan dengan perlindungan terhadap kemerosotan makular berkaitan penuaan (AMD), didapati boleh mengurangkan kesan kesilauan yang merosakkan daripada mereka yang menjalani uji kaji yang mempunyai penglihatan normal. Ini dilaporkan oleh penyelidik dalam jurnal yang dikenali sebagai Optometry and Vision Science.
Lutein dan zeaxanthin merupakan sejenis anti oksida semulajadi yang melindungi mata dengan menyerap cahaya biru perosak itu di samping mengurangkan kesilauan. Cahaya biru boleh menyebabkan tekanan oksidatif berbahaya dalam mata. Lutein dan zeaxanthin melindungi sel dan membran dengan membataskan kegiatan radikal bebas berbahaya.
Lutein Dan Zeaxanthin Dalam Alam Semulajadi
Lutein dan zeaxanthin merupakan nutrien semulajadi berpigmen kuning dan termasuk dalam keluarga karotenoid. Karotenoid adalah pigmen berwarna merah, kuning dan jingga yang dijumpai dalam buahan berwarna kuning dan jingga serta sayuran berdaun hijau dan jagung.
Taburan Lutein dan Zeaxanthin di dalam Mata
Daripada lebih 600 pigmen tumbuhan yang dikenali sebagai karotenoid yang lazim dijumpai dalam alam semulajadi, hanya dua jenis karotenoid, iaitu lutein dan zeaxanthin, secara terpilih terkumpul dalam retina, makula dan kanta. Zeaxanthin merupakan komponen paling banyak berkumpul di tengah makula, manakala lutein pula mengumpul paling banyak di pinggir luaran mata. Mata kita bersifat memilih dan ia memilih untuk meletakkan zeaxanthin tepat di tengah makula, suatu kawasan paling kritikal untuk penglihatan pusat dan merupakan kawasan yang paling memerlukan perlindungan.

Jantung tiruan beri kehidupan baru


PIHAK IJN masih memantau dan membantu latihan fisioterapi untuk Zamri.


BENARLAH kata orang, penyakit tidak mengenal usia. Pada usia 29 tahun, Mohd. Zamri Din disahkan menghidap penyakit jantung. Ketika itu, paras kolestrolnya tinggi.
Mengakui gaya pemakanan yang kurang sihat sebagai punca utama, Mohd. Zamri yang kini berusia 30 tahun terkejut apabila diberitahu dia menghadapai masalah jantung.
Sepanjang tempoh sepuluh tahun dia banyak bergantung kepada ubat-ubatan. Tidurnya juga sering terganggu kerana berasa seperti sesak dan sukar bernafas.
Bekas pekerja hotel di Langkawi itu bersyukur isterinya, Noralina Tapah, 39 banyak membantunya menguruskan kesihatan.
Pada 2008, dia didiagnosis dengan dilated cardiomyopathy dan mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang. Namun Mohd. Zamri dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk rawatan selanjutnya apabila dia tidak menunjukkan tindak balas kepada rawatan yang diberikan.
Tuah menyebelahi Mohd. Zamri kerana dia dipilih IJN untuk menggunakan jantung tiruan yang dikenali Heart Mate II.
Jantung tiruan mesra pengguna itu sedikit sebanyak mengurangkan beban yang dihadapi.
Pembedahan yang dijalankan 5 Julai lalu memberi harapan kepada anak kelahiran Baling, Kedah itu.
Sementara menunggu penderma jantung, jantung palsu ini membantu melancarkan perjalanan darah seluruh badannya berjalan lancar dan mengurangkan masalah jantung yang dihadapinya.
“Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kerana menjadi pesakit pertama yang menerima Heart Mate II di Malaysia. Pembedahan ini dilakukan dengan bantuan Kementerian Kesihatan Malaysia yang menaja sepenuhnya kos pembedahan tersebut,” katanya.
Sementara itu, Mohd Zamri yang mempunyai dua orang anak berkata, dia kini dapat menjalankan kegiatan hariannya seperti orang lain.
Walaupun pada awalnya sukar membuat keputusan untuk melakukan pembedahan ini, atas nasihat keluarga dan pesakit jantung yang lain, dia merasakan perlu melakukan pembedahan ini untuk hidup yang lebih sempurna.
“Kalau saya tidak melakukan pembedahan ini, graf denyutan jantung saya menunjukkan kadar semakin rendah. Kebetulan saya tengok Winnie menggunakan mesin lama boleh berjaya, saya yakin mesin baru ini juga boleh membantu saya,” bicaranya dalam nada gembira.
Mohd Zamri juga bersyukur kerana isteri, anak-anak dan kakaknya banyak memberi sokongan.
Bahkan, Mohd Zamri sangat berpuas hati atas layanan serta bantuan yang diberikan doktor-doktor pakar dan kakitangan IJN.
Masih lagi menerima latihan menggunakan jantung baru di IJN, Mohd Zamri akan melalui beberapa siri ujian untuk memastikan dia benar-benar faham tentang keselamatan dan bagaimana jantung berkenaan berfungsi.
Justeru itu, pihak IJN memilih Mohd. Zamri kerana dia benar-benar berkualiti dan layak menerima jantung tiruan tersebut.
Misalnya, dia perlu berhati-hati ketika melakukan aktiviti luar yang berkaitan dengan air.
Ini kerana mesin baru ini tidak boleh terkena air dalam kuantiti yang banyak.
“Hobi saya suka memancing, tetapi saya harus memastikan saya tidak boleh terjun ke dalam sungai dengan menggunakan jantung palsu ini. Di IJN, saya dilatih bagaimana melakukan aktiviti luar. Bukan tidak boleh langsung mendekati kawasan berair tetapi ada teknik keselamatan tertentu. Malah, mandi juga saya akan menggunakan alat khas untuk menutup alat mesin jantung tiruan saya,” jelasnya.
Dia kini sudah bersedia untuk bekerja semula kerana kesihatannya bertambah baik dari hari ke hari.
Dalam pada itu, IJN memperkenalkan penggunaan jantung tiruan tanpa denyutan ini untuk menyelamatkan pesakit yang mengalami masalah jantung kritikal di negara ini. Pengarah Program Pemindahan Jantung Dan Paru-Paru IJN, Dr. Mohamed Azani Md. Taib berkata, Malaysia merupakan negara Asia ketiga menggunakan jantung palsu itu yang dikenali ‘Heart Mate II’ selepas Singapura dan Jepun.

Amalan Ramadan sepanjang hayat

SEPANJANG Ramadan, anda bukan sahaja menyempurnakan ibadah puasa, malah telah pun melakukan segala amalan yang baik. Jadi, mengapa harus berhenti di sini sahaja? Teruskan amalan yang sihat dan baik tersebut untuk sepanjang hayat anda.
Segala amal ibadah dan amalan sihat yang anda lakukan di sepanjang Ramadan telah menjadikan Ramadan anda berjaya - pemakanan sihat, amalan kebaikan serta pembersihan rohani dan jasmani. Sesungguhnya, Ramahan yang berjaya dan diberkati adalah apabila tubuh, minda dan juga jiwa anda dapat merasai kehebatannya.
Mengapa tidak teruskan sahaja amalan sihat yang telah anda lakukan di bulan Ramadan berterusan untuk sepanjang hayat anda? Anda telah berjaya memupuk tabiat yang baik, jadi mengapa tidak ia kekalkan sahaja? Selain itu, anda juga dapat memberikan contoh yang baik kepada ahli keluarga dan mereka yang rapat dengan anda. Bertekadlah kepada diri anda untuk meneruskan amalan baik tersebut.
Tabiat sihat
Satu daripada perkara baik yang telah anda dapat daripada semangat Ramadan adalah pemakanan sihat dan mengekalkan diet yang sihat. Semasa berpuasa, anda telah mempelajari kepentingan untuk mengambil makanan yang menyihatkan mengikut keperluan tanpa perlu makan secara berlebihan. Teruskan amalan baik ini dan pasti tubuh anda akan mendapat kebaikan daripada tabiat sihat itu.
Pilih ramuan dan bahan segar serta cara penyediaan yang sihat apabila ingin menyediakan hidangan untuk keluarga anda. Gunakan seberapa banyak bahan dan ramuan semulajadi untuk masakan anda, sekiranya boleh.
Jika boleh, cuba berpuasa sekali sekala untuk “membersihkan” tubuh anda. Tidak perlu berpuasa untuk sebulan, memadai untuk satu atau dua hari bagi mengeluarkan toksin yang terkumpul di dalam tubuh anda.
Sekiranya anda berjaya merehatkan beberapa tabiat tidak sihat seperti kemalasan dan juga merokok di bulan Ramadan, mengapa tidak menghentikan sahaja tabiat tersebut? Bukan sahaja tubuh anda menghargainya, malah fokus minda anda juga akan mendapat kebaikan daripadanya.
Satu elemen penting dalam memastikan perlaksanaan ibadah puasa dapat disempurnakan adalah memastikan pemakanan yang betul dan sihat. Diet yang betul dan seimbang bukan sahaja dapat mengekalkan kesihatan dan kecergasan sepanjang bulan Ramadan, malah dapat membantu mencegah berbagai masalah dan gangguan kesihatan demi menjamin kesihatan yang baik bukan sahaja sepanjang Ramadan, malah sepanjang hayat anda.
Tidak dapat dinafikan pemakanan yang tidak sihat dan tidak seimbang hanya mengundang pelbagai masalah kesihatan seperti kegemukan, paras kolesterol tinggi, diabetes dan penyakit jantung. Satu perkara yang harus diberikan perhatian serius, penyakit jantung merupakan pembunuh nombor 1 di Malaysia dan juga di seluruh dunia, malah ancaman pembunuh senyap ini tidak pernah berkurangan.
Satu cara terbukti merendahkan kolesterol dan menurunkan risiko penyakit jantung adalah dengan mengambil serat, terutamanya serat larut (beta-glukan) yang boleh didapati di dalam oat. Menurut kenyataan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan AS, ‘Diet yang tinggi dengan bijirin oat atau bran oat serta diet rendah lemak dan kolesterol dapat membantu mengurangkan risiko penyakit jantung’.
Oleh itu jika anda mempunyai paras kolesterol normal, pengambilan oat dapat memastikan kesihatan jantung anda. Jika anda mempunyai paras kolesterol yang tinggi 5.0 ke 5.2mmol/L dan ke atas, pengambilan bijirin oat yang disarankan adalah sebanyak dua mangkuk bersamaan dengan 70 gram bijirin oat setiap hari, dapat membekalkan anda dengan 3 gram beta-glukan yang berkesan dalam membantu menurunkan paras kolesterol dalam darah anda.
Apabila anda mengambil bijirin oat, serat larut (beta-glukan) akan mengikat bendalir hempedu yang sarat dengan kolesterol di dalam usus. Kemudian, ia akan disingkirkan menerusi sistem usus besar. Apabila bendalir hempedu telah disingkirkan daripada sistem, tubuh anda akan mencuba untuk menggantikannya. Hasilnya hati anda akan menarik lebih banyak kolesterol dari darah untuk menghasilkan bendalir hempedu. Tindakan ini akan membantu menurunkan paras kolesterol yang berlebihan di dalam darah anda.
Bijirin Quaker oat untuk jantung sihat akan lebih berkesan sekiranya digabungkan dengan gaya hidup yang sihat. Elakkan diri daripada merokok dan pastikan anda menjalani aktiviti fizikal. Sekiranya anda mempunyai berat badan berlebihan, ambil langkah untuk mengurangkan berat badan anda. Kesemua ini dapat membantu
menurunkan paras kolesterol anda dan seterusnya mengurangkan risiko penyakit jantung.
Anda patut berbangga dengan segala pencapaian anda di sepanjang Ramadan dan biarkan ia menjadi ingatan kepada kejayaan Ramadhan yang pernah anda kecapi. Teruskan mengamal segala amalan sihat dan baik ini dalam usaha untuk menjadikan anda individu yang berjaya dan lebih baik dalam segala aspek.
Selamat Hari Raya Aidilfitri.
Artikel ini adalah sumbangan Quaker Smart Heart Programme.

Buat sendiri di rumah

*Senaman untuk kesihatan bukan berita baru. Malah senaman adalah elemen paling penting untuk menentukan kejayaan penurunan badan jangka panjang dan juga mengekalkan berat badan sedia ada. Kita biasa dengar senaman minimum 30 minit per sesi baik untuk kesihatan.
Penyelidikan terbaru menunjukkan senaman 10 minit sebanyak tiga kali sehari sama kesannya dengan bersenam selama 30 minit.
* Luangkan masa untuk membuat catatan apa dan berapa banyak yang telah anda makan. Catat juga paras rasa lapar sebelum anda mengambil makanan atau sebarang emosi yang ada pada masa itu. Diari pemakanan boleh menimbulkan kesedaran dan juga membantu mengenal pasti emosi serta tingkah laku yang mendorong pengambilan makanan secara berlebihan.
* Ramai yang berjaya mengurangkan berat badan untuk jangka panjang apabila mereka mengubah motivasi daripada mahu menjadi kurus kepada menjadi sihat. Fikirkan tentang makanan tertentu yang membantu menyihatkan badan daripada memikirkan makanan yang memberi kesan kepada berat badan anda. Piramid makanan menunjukkan jenis makanan dan jumlah pengambilan yang sepatutnya untuk memberi badan anda nutrisi yang diperlukan untuk kesihatan optimum.
* Selalunya terlebih makan dikaitkan dengan stres, rasa bosan, kesunyian, marah dan tertekan. Belajar menguruskan emosi tanpa makanan adalah skil penting untuk mengawal berat badan.
* Cuba kenal pasti apa yang mendorong anda untuk makan dan atasi masalah tersebut. Kajian menunjukkan bersenam tanpa disertai dengan pengurusan emosi (yang mengakibatkan terlebih makan) tidak menghasilkan kesan yang diharapkan untuk penurunan berat badan.
* Menjadi trend di kebanyakan restoran menyediakan hidangan super-size. Berhati-hati dengan jumlah makanan yang diambil. Jika perlu, bahagikan makanan tersebut dan minta bekas atau beg untuk membungkus makanan tersebut. Belajar untuk memberi perhatian kepada paras lapar dan berhenti makan apabila rasa kenyang dan bukannya sehingga perut rasa senak dek makanan.
* Perlu ingat penurunan berat badan secara drastik boleh mengakibatkan berat badan kembali kepada angka asal. Ini kerana penurunan berat badan yang cepat disebabkan oleh kehilangan air. Kehilangan lemak boleh dicapai dengan menurunkan berat badan secara perlahan.
* Makan perlahan-lahan merupakan salah satu cara untuk menurunkan berat badan. Ini kerana otak mengambil masa 20 minit untuk mula memberi isyarat kenyang. Mereka yang makan pantas sering menghabiskan makanan sebelum isyarat tersebut mengambil tempat.

Makanan rapu punca obes




KAJIAN yang dijalankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan pada tahun 2015, kira-kira 2.3 bilion penduduk di seluruh dunia akan mempunyai lebihan berat badan.
Manakala 700 juta daripadanya akan mengalami masalah kegemukan yang berlebihan atau obesiti.
Namun lebih membimbangkan, kajian juga membuktikan, masalah obesiti di kalangan kanak-kanak semakin menular tahun demi tahun di negara-negara membangun.
Di Malaysia, sehingga tahun lalu, peningkatan kes obesiti yang direkodkan di kalangan keseluruhan kanak-kanak berumur antara 7 hingga 12 tahun adalah sebanyak 10 peratus.
Kanak-kanak yang mengalami masalah kegemukan dikatakan berisiko mendapat obesiti dan ini akan menjurus kepada beberapa masalah kesihatan kronik antaranya kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung, kegagalan sistem pernafasan dan perkumuhan serta kanser.
Apakah faktor yang menyumbang kepada masalah besar ini di kalangan kanak-kanak?
Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Pendidikan) Kementerian Pelajaran, Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim berkata, faktor utama penyumbang masalah obesiti kanak-kanak adalah pengambilan nutrisi tidak seimbang atau makanan dengan kadar banyak atau kurang.
Katanya, kanak-kanak sememangnya gemarkan makanan rapu (junk food) terutama keropok, jeruk dan coklat kerana mereka terpengaruh dengan rasa, pembungkusan dan promosi iklan atau jualannya yang dilakukan pengeluar dan penjual.
Noor Rezan berkata, ketika beliau bertugas sebagai guru besar di sebuah sekolah di ibu negara beberapa tahun lalu, beliau melarang keras penjualan makanan ringan di kantin dan pelajar tidak dibenarkan membawanya ke dalam kawasan sekolah.
Bagaimanapun, ujarnya, apabila mereka keluar daripada pagar sekolah, mereka masih dapat membelinya kerana ia dijual secara berleluasa di luar.
"Makanan ringan adalah sejenis makanan yang secara jelas tidak mempunyai nutrisi dan mengandungi banyak perisa tambahan yang menyebabkan seseorang kanak-kanak mengalami obesiti.
"Pulang ke rumah, ada ibu bapa terutama yang sibuk bekerja akan menyediakan pula makanan segera atau memasak makanan mengandungi gula dan lemak tinggi tetapi rendah vitamin, mineral serta nutrisi penting untuk perkembangan tubuh dan minda anak.
"Saya nasihatkan ibu bapa sentiasa bertanya kepada anak apa yang mereka makan di sekolah, pantau pemakanan anak, sediakan menu berkhasiat, amalkan diet sepatutnya dan paling penting jangan tanya apa yang anak ingin makan tetapi anda yang menentukannya," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Kesihatan Kanak-Kanak Malaysia di The Royal Bintang, Damansara, baru-baru ini.
Turut hadir, Ketua Hal Ehwal Korporat Kumpulan Nestle, Zainun Nur Abdul Rauf dan Presiden Persatuan Nutrisi Malaysia (NSM), Dr. Tee E Siong.
Menurut Zainun Nur, program itu dilancarkan sebagai satu usaha bagi menggalakkan gaya hidup sihat di kalangan kanak-kanak sekolah rendah berusia antara 7 hingga 12 tahun.
Kempen tersebut membabitkan aktiviti seperti kesedaran nutrisi, aktiviti fizikal dan perbincangan, kelas panduan bagaimana meningkatkan pengetahuan, sikap dan amalan nutrisi selain ditunjukkan demonstrasi penyediaan masakan berkhasiat oleh Chef Florence Tan.
"Pada pelancaran hari ini, kami turut mengadakan bengkel eksperimen iaitu percubaan untuk melihat sejauh mana beberapa ibu bapa dan pelajar yang menyertainya dapat berbincang serta bertukar-tukar pendapat mengenai pemakaran dan gaya hidup anak mereka.
"Kejayaan bengkel hari ini akan menguatkan usaha kami atau membantu kami memperkemaskan aktiviti sebelum melebarkannya ke sekolah seluruh negara.
"Program ini pertama kali diadakan di Malaysia tetapi ia sudah dijalankan di beberapa buah negara seperti Argentina, China, Thaiwan, Korea, Singapura, Pakistan, Filipina, India, Mauritius, Jerman, Malta dan Belanda," ujarnya.

Jaundis jangan ambil ringan


Rawatan fototerapi yang menggunakan lampu khas bagi memecahkan bilirubin dalam kulit untuk bayi yang mengalami jaundis. - Gambar hiasan


JAUNDIS merujuk kepada kekuningan pada bahagian putih mata (sklerae), kulit dan membran mukus. Apabila ini berlaku pada bulan pertama hayat bayi, ia dinamakan jaundis neonatal.
Ia terjadi dengan sendiri dan bukan sejenis penyakit, tetapi petanda kepada tahap peningkatan bilirubin dalam darah.
Bilirubin adalah pigmen merah kekuningan yang terbentuk apabila sel darah merah dipecahkan.
Kira 50 hingga 60 peratus bayi akan mengalami jaundis pada minggu pertama kelahiran mereka.
Jaundis biasa di kalangan bayi
Apabila sel darah merah dipecahkan, bilirubin akan dibentuk dan dilepaskan ke dalam saluran darah. Bilirubin disalurkan ke dalam hati untuk diproses dan kemudian dikeluarkan daripada badan menerusi najis.
Justeru jika pemecahan sel darah meningkat atau hati tidak berupaya untuk memproses bilirubin, jaundis akan berlaku.
Sebelum kelahiran bayi, bilirubin disalurkan melalui plasenta supaya diproses dan dikeluarkan oleh ibu.
Sebaik sahaja bayi dilahirkan, hatinya mengambil alih tugas ini, tetapi si manja perlukan masa untuk menyesuaikan diri kepada keadaan.
Oleh yang demikian, tahap bilirubin selalunya lebih tinggi di kalangan bayi baru lahir. Tahap bilirubin yang tinggi menyebabkan kulit kekuningan, yang biasanya muncul dan memuncak di antara hari ke-2 dan hari ke-4, dan hilang dalam masa dua minggu.
Ini dinamakan jaundis fisiologi. Ia adalah punca jaundis neonatal yang paling biasa dan selalunya tidak membahayakan bayi.
Jaundis patologi
Sesetengah kes jaundis boleh membawa maut atau dikenali sebagai jaundis patologi. Ia adalah penularan jaundis yang cepat dalam masa 24 jam hayat bayi disebabkan pemecahan sel darah merah yang berlebihan.
Ini seterusnya menyebabkan peningkatan mendadak tahap bilirubin, kerana hati bayi tidak berupaya untuk memproses bilirubin dengan cukup pantas.
Pemecahan sel darah merah secara berlebihan dan boleh disebabkan oleh pelbagai faktor seperti jangkitan di kalangan bayi baru lahir, ketidakserasian kumpulan darah Resus ibu dan bayi atau kekurangan enzim metabolisme (glukosa-6-fosfate dehidrogenase) untuk metabolisme sel darah merah.
Dalam kes lebih serius, sawan atau perubahan dalam ketegangan otot boleh berlaku jika tidak dirawat dengan segera. Malah, kerosakan otak dan kematian juga boleh berlaku. Oleh itu, mendapatkan nasihat perubatan lebih awal adalah amat penting jika bayi anda mengalami jaundis.