"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Thursday, October 24, 2019

Cardiac Arrest

5 hari lalu seorang guru besar sekolah umur 38 tahun di Sabak Bernam pengsan dan meninggal di gelanggang badminton. Semalam seorang lelaki di Gua Musang meninggal waktu bermain futsal. Kedua2 nya berlaku ketika bersukan waktu malam dan kedua2 nya akibat cardiac arrest. Cardiac arrest ini adalah pembunuh senyap dan ia membunuh mereka yang tidak ada rekod sakit jantung sebelumnya. Ia berlaku bila sistem elektrik jantung tidak berfungsi (malfunction). Jantung dan nadi terhenti terus dan mangsa tidak memberikan respon. Rawatan segera WAJIB diberikan kerana jika lambat bantu maka jantung akan berhenti buat selama2nya.

Ia tak sama dengan serangan jantung (heart attack). Sama sekali berbeza. Serangan jantung berlaku bila saluran jantung tersumbat dan darah gagal dibekalkan untuk circulation. Orang yang kena serangan jantung boleh bercakap, ada nadi dan mampu beri respon. Manakala cardiac arrest berlaku bila sistem eletrik jantung terhenti sama sekali. Orang yang kena cardiac arrest tidak boleh bercakap, tak boleh respon dan nadi tiada. Jantungnya perlu di pump semula samada menggunakan automated exterbal defribilator (AED) jika ada atau CPR sebagai bantuan awal utk kejutkan semula jantung yang dah terhenti. Sebab itulah semua ahli sukan wajib belajar CPR atau pengurusan tempat bersukan perlu ada AED sebagai first aid. Tak perlu jadi first aider bertauliah, cukup jika anda tahu melakukan CPR utk bantuan awal.

Tidak salah bersukan waktu malam dan tidak salah bersukan walau dah berumur tetapi pastikan anda faham waktu bila hendak berhenti. Juga pastikan badan anda tidak terlalu letih bekerja disiang hari dan bersukan dimalam hari seperti futsal, badminton, bolasepak atau gym. Jika anda jarang bersukan dan tiba2 bersukan terlalu aktif atau aggresif, maka anda mungkin gagal kawal jantung. Jangan samakan diri anda dengan ahli sukan aktif atau professional. Malah, ahli sukan professional juga ramai yang mati di padang akibat cardiac arrest.

Sebab itu perlunya sesiapapun membiasakan melakukan latihan cardio, iaitu membiasakan jantung bergerak dengan laju dan berhenti apabila laju seperti tidak melebihi 145 beat per second (bps) ikut umur. Cara mengawal pernafasan juga amat penting bila bersukan. Larian pecut atau mendaki atau kayuh basikal dgn kelajuan tinggi dalam masa singkat mampu membiasakan jantung anda bergerak laju. Namun, teknik pernafasan mestilah betul dan tidak panik bila penat atau tercungap.

Terus bermain selepas merokok adalah satu sebab diserang cardiac arrest. Tetapi punca utama cardiac arrest ialah tekanan darah terlalu tinggi ketika bersukan dan ini lah yang ramai tidak tahu kerana tiada siapa yang ambil tekanan darah sebelum, sewaktu mahupun selepas bersukan.

Cardiac arrest juga sering menyerang dibilik air. Ramai sangka seseorang itu mati sebab jatuh bilik air (terutama orang tua). Tetapi sebenarnya matinya disebabkan cardiac arrest dan mangsa akan jatuh. Ini berlaku bila keadaan suhu badan berubah secara mengejut. Ia akan menaikkan atau menurunkan tekanan darah secara mendadak terutama bagi pesakit jantung. Nabi juga ada mengajar apabila mulakan mandi, jangan terus disiram badan. Mulakan dari kaki utk biasakan dgn suhu air, perlahan naik ke betis secara beransur2 dan seterusnya hingga mula basahkan kepala seperti biasa. Bukan terus terjah kepala dan seluruh badan.

Bersukan bagus, bersenam juga bagus, tetapi kena faham dgn kemampuan badan dan situasi. Warm up yang cukup, kawalan pernafasan yang baik, tidak mudah panik dan selalu lakukan latihan cardio amat penting. Warm up dan stretching dua benda berbeza. Warm up dulu baru stretching kerana badan perlu dipanaskan dulu sblm beraktiviti. Mitosnya yang jadi amalan ramai ialah stretching dikala badan belum dipanaskan. Boleh tapi tak betul dari segi teknik bersukan. Lihat pemain professional, mereka akan berlari keliling padang dulu, kemudian baru melakukan stretching utk regangkan otot. Tapi ini bukan cara utama elak cardiac arrest.

Cara terbaik elak cardiac arrest ialah FAHAMI KEMAMPUAN anda. Jangan over dan kawal ego. Masalah utama orang bersukan ialah EGO. Masing2 nak tunjuk hebat dalam permainan mahupun main gym sedangkan badan ketika iti tak mampu. Ingat, Cardiac Arrest datang tiba2. Tiada cara boleh tahu bila ia datang dan siapa nak diserangnya atau berapa umur mangsa.

☆Tadabbur Kalamullah 10 Safar 1441H☆


یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ لَا تَأۡكُلُوۤا۟ أَمۡوَ ٰ⁠لَكُم بَیۡنَكُم بِٱلۡبَـٰطِلِ إِلَّاۤ أَن تَكُونَ تِجَـٰرَةً عَن تَرَاضࣲ مِّنكُمۡۚ وَلَا تَقۡتُلُوۤا۟ أَنفُسَكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِكُمۡ رَحِیمࣰا

"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi, zalim dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu" [Surah an-Nisa' 29]

#Diantara kezaliman dan makan harta dengan jalan yang batil ialah dengan cara berhutang tetapi tidak berusaha untuk membayarnya sedangkan berkemampuan. Ini termasuk dosa besar yang diancam azab. Rasulullah saw bersabda:

إِنَّ أَعْظَمَ الذُّنُوبِ عِنْدَ اللهِ أَنْ يَلْقَاهُ بِهَا عَبْدٌ بَعْدَ الْكَبَائِرِ الَّتِي نَهَى اللَّهُ عَنْهَا ، أَنْ يَمُوتَ رَجُلٌ وَعَلَيْهِ دَيْنٌ ، لاَ يَدَعُ لَهُ قَضَاءً

"Sebesar-besar dosa di sisi Allah ketika seseorang hamba berjumpa dengan Allah selepas dosa-dosa besar lain yang dilarang keras oleh Allah swt ialah seseorang yang mati dalam keadaan mempunyai hutang yang belum dijelaskan sedangkan dia tidak mempunyai apa-apa perancangan untuk melunaskan hutangnya tersebut" (HR Abu Dawud)

#Nabi saw sangat memandang berat tentang isu hutang dan memperingatkan agar tidak memandang enteng tentangnya. Diriwayatkan daripada Salmah bin al-Akwa’ r.a, bahawa Nabi saw dibawa kepadanya jenazah untuk baginda mengimamkan solat jenazah tersebut, maka Baginda saw bersabda: "Adakah dia menanggung hutang?". Mereka menjawab: "Tidak". Lalu baginda pun solat ke atas jenazah tersebut. Kemudian di datangkan jenazah yang lain, Baginda bersabda: "Adakah dia menanggung hutang?". Mereka menjawab: "Ya". Nabi saw (menolak untuk mengimamkan jenazah tersebut), lalu berkata solatlah kamu ke atas sahabat kamu" (HR al-Bukhari)

#Kepada sesiapa yang berhutang, maka lazimkan diri untuk membaca doa ini setiap kali berbaring untuk tidur. Daripada Suhail, katanya, Abu Soleh memerintahkan kepada kami apabila salah seorang di antara kami hendak tidur, hendaklah berbaring sebelah kanan kemudian mengucapkan:

اَللَّهُمَّ رَبَّ السَّمَاوَاتِ السَّبْعِ وَرَبَّ الْعَرْشِ الْعَظِيْمِ، رَبَّنَا وَرَبَّ كُلِّ شَيْءٍ، فَالِقَ الْحَبِّ وَالنَّوَى، وَمُنْزِلَ التَّوْرَاةِ وَاْلإِنْجِيْلِ وَالْفُرْقَانِ، أَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ كُلِّ شَيْءٍ أَنْتَ آخِذٌ بِنَاصِيَتِهِ. اَللَّهُمَّ أَنْتَ اْلأَوَّلُ فَلَيْسَ قَبْلَكَ شَيْءٌ، وَأَنْتَ اْلآخِرُ فَلَيْسَ بَعْدَكَ شَيْءٌ، وَأَنْتَ الظَّاهِرُ فَلَيْسَ فَوْقَكَ شَيْءٌ، وَأَنْتَ الْبَاطِنُ فَلَيْسَ دُوْنَكَ شَيْءٌ، اِقْضِ عَنَّا الدَّيْنَ وَأَغْنِنَا مِنَ الْفَقْرِ

"Ya Allah! Tuhan yang menguasai langit ketujuh-tujuh langit, Tuhan yang menguasai ‘Arsy yang agung, Tuhan kami dan Tuhan kepada segala sesuatu. Tuhan yang membelah butir tumbuh-tumbuhan dan biji benih, Tuhan yang menurunkan Taurat, Injil dan Furqan (Al-Quran). Aku memohon perlindungan dengan-Mu daripada segala kejahatan sesuatu yang Engkau memegang rambut hadapannya (yakni semua makhluk dibawah kekuasaan Allah). Ya Allah! Engkau-lah yang awal, sebelum-Mu tidak ada sesuatu. Engkaulah yang terakhir, setelah-Mu tidak ada sesuatu. Engkau-lah yang Zahir, tidak ada sesuatu di atas-Mu. Engkau-lah yang Batin, tidak ada sesuatu yang terlepas daripada-Mu. Langsaikanlah hutang kami dan berilah kepada kami kekayaan hingga terlepas daripada kefakiran" (HR Muslim)

#Amalkan juga doa ini:

اللَّهُمَّ اكْفِنِى بِحَلاَلِكَ عَنْ حَرَامِكَ وَأَغْنِنِى بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

"Ya Allah! Cukupkanlah aku dengan dengan yang halal dan jauhkanlah aku daripada yang haram, dan cukupkanlah aku dengan kurniaanMu daripada bergantung kepada selainMu" (HR at-Tirmizi)

♡Jangan sesekali terlibat dengan memakan harta orang lain secara haram. Pastikan hutang dibayar. Pastikan rezeki yang halal sahaja dalam hidup kita♡

☆Tadabbur Kalamullah 11 Safar 1441H☆



یَوۡمَىِٕذࣲ یَوَدُّ ٱلَّذِینَ كَفَرُوا۟ وَعَصَوُا۟ ٱلرَّسُولَ لَوۡ تُسَوَّىٰ بِهِمُ ٱلۡأَرۡضُ وَلَا یَكۡتُمُونَ ٱللَّهَ حَدِیثࣰا

"Pada hari itu orang-orang yang kafir dan yang menderhaka kepada Rasulullah, suka jika mereka disama ratakan dengan tanah (ditelan bumi), dan (ketika itu) mereka tidak dapat menyembunyikan sepatah kata pun dari pengetahuan Allah" [Surah an-Nisa' 42]

#Ayat ini menceritakan mengenai mereka yang kafir dan yang derhaka kepada baginda Rasulullah saw. Nanti di hari akhirat, mereka sendiri akan lihat kesan dari penolakan mereka kepada ajaran yang di bawa oleh baginda Rasulullah saw. Mereka akan diperlihatkan segala kesalahan dan kederhakaan serta kejahatan yang mereka telah lakukan. Sifat sombong, keras kepala dan samseng didunia dahulu hilang lenyap tatkala melihat azab Allah swt, yang ada hanyalah ketakutan, kebimbangan dan keresahan yang sukar untuk digambarkan.

#Maka pada waktu itu, apakah kehendak mereka? Apakah yang mereka harapkan?. Mereka harap pada waktu yang menggerunkan itu mereka menjadi tanah. Mereka merasakan alangkah baiknya kalau mereka tidak dibangkitkan menjadi manusia, lebih baik jadi pasir, debu atau tanah sahaja supaya mereka tidak dihakimi, dihisab dan diazab oleh Allah swt atas kesalahan dan kejahatan yang telah dilakukan.

إِنَّاۤ أَنذَرۡنَـٰكُمۡ عَذَابࣰا قَرِیبࣰا یَوۡمَ یَنظُرُ ٱلۡمَرۡءُ مَا قَدَّمَتۡ یَدَاهُ وَیَقُولُ ٱلۡكَافِرُ یَـٰلَیۡتَنِی كُنتُ تُرَ ٰ⁠بَۢا

"Sesungguhnya (dengan keterangan-keterangan yang tersebut), Kami memberi amaran kepada kamu mengenai azab yang dekat (masa datangnya), - iaitu hari seseorang melihat apa yang telah diusahakannya; dan orang yang kafir akan berkata (pada hari itu): "Alangkah baiknya kalau aku menjadi tanah (supaya aku tidak dibangkitkan untuk dihitung amalku dan menerima balasan)" [Surah an-Naba' 40]

#Ini adalah disebabkan mereka tidak sanggup untuk menghadapi apa yang akan terjadi seterusnya iaitu menghadapi pembalasan di neraka. Berdepan azab yang dahsyat dan mengerikan.

فَٱلَّذِینَ كَفَرُوا۟ قُطِّعَتۡ لَهُمۡ ثِیَابࣱ مِّن نَّارࣲ یُصَبُّ مِن فَوۡقِ رُءُوسِهِمُ ٱلۡحَمِیمُ * یُصۡهَرُ بِهِۦ مَا فِی بُطُونِهِمۡ وَٱلۡجُلُودُ  * وَلَهُم مَّقَـٰمِعُ مِنۡ حَدِیدࣲ * كُلَّمَاۤ أَرَادُوۤا۟ أَن یَخۡرُجُوا۟ مِنۡهَا مِنۡ غَمٍّ أُعِیدُوا۟ فِیهَا وَذُوقُوا۟ عَذَابَ ٱلۡحَرِیقِ

"Maka orang-orang yang kafir akan disediakan untuk mereka pakaian dari api neraka, serta dicurahkan atas kepala mereka air panas yang menggelegak. Yang dengannya dihancurkan apa yang ada dalam perut mereka, dan juga kulit badan mereka. Dan mereka pula disediakan batang-batang besi untuk menyeksa mereka. Tiap-tiap kali mereka hendak keluar dari neraka itu, disebabkan mereka menderita azabnya, mereka dikembalikan padanya, serta dikatakan: "Rasalah kamu azab seksa yang membakar!" [Surah al-Hajj 19-22]

#Ingatlah bahawa mereka tidak akan dijadikan tanah, bahkan mereka akan diazab sedahsyat-dahsyatnya.

فَأَمَّا ٱلَّذِینَ كَفَرُوا۟ فَأُعَذِّبُهُمۡ عَذَابࣰا شَدِیدࣰا فِی ٱلدُّنۡیَا وَٱلۡـَٔاخِرَةِ وَمَا لَهُم مِّن نَّـٰصِرِینَ

"Adapun orang-orang kafir, maka Aku (Allah) akan menyeksa mereka dengan azab yang amat berat di dunia dan di akhirat, dan mereka pula tidak akan beroleh sesiapa pun yang dapat menolong" [Surah Aali Imran 56]

#Tidak ada yang dapat menolong mereka samada harta, pangkat, jawatan dan anak-anak mereka. Hiduplah dalam kesengsaraan.

إِنَّ ٱلَّذِینَ كَفَرُوا۟ لَن تُغۡنِیَ عَنۡهُمۡ أَمۡوَ ٰ⁠لُهُمۡ وَلَاۤ أَوۡلَـٰدُهُم مِّنَ ٱللَّهِ شَیۡـࣰٔاۖ وَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ هُمۡ وَقُودُ ٱلنَّارِ

"Sebenarnya harta benda orang-orang kafir, dan juga anak-pinak mereka tidak sekali-kali akan menyelamatkan mereka dari (azab seksa) Allah sedikit juapun; dan mereka itulah bahan bakaran api neraka" [Surah Aali Imran 10]

♡Berimanlah kepada Allah swt dengan sebenar-benar iman agar tidak menyesal di akhirat kelak sebagaimana penyesalan orang-orang kafir. Taatilah Allah dan Rasul dan jangan sesekali menderhaka!!♡

☆Tadabbur Kalamullah 12 Safar 1441H☆



یَرۡفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ مِنكُمۡ وَٱلَّذِینَ أُوتُوا۟ ٱلۡعِلۡمَ دَرَجَـٰتࣲۚ وَٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِیرࣱ

"...Supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan" [Surah al-Mujadilah 11]

#Telah berkata Sayidina Abdullah Ibn Mas’ud r.a bahawa Allah swt telah memuji ulamak di dalam ayat ini iaitu Allah swt mengangkat orang-orang beriman yang diberi ilmu di atas orang-orang beriman yang tidak diberikan ilmu dengan beberapa darjat" (Tafsir al-Qurthubi)

#Kemuliaan seseorang itu dinilai pada tahap keimanan dan keilmuan bukannya dinilai pada rupa paras, pangkat jawatan ataupun harta benda.

#Telah berkata Imam Ibn al-Mubarak rahimahullah: “Aku hairan dengan orang yang tidak pernah menuntut ilmu. Bagaimana dia boleh mendakwa dirinya mulia?”.

#Diantara kelebihan dan ganjaran bagi penyampai dan penuntut ilmu ialah dikurniakan pahala menunaikan haji dengan sempurna. Sabda Rasulullah saw:

مَنْ غَدَا إِلَى الْمَسْجِدِ لَا يُرِيدُ إِلَّا أَنْ يَتَعَلَّمَ خَيْرًا أَوْ يَعْلَمَهُ، كَانَ لَهُ كَأَجْرِ حَاجٍّ تَامًّا حِجَّتُهُ

"Barangsiapa yang pergi ke masjid dengan tujuan untuk mempelajari sesuatu kebaikan atau mengajarkannya, maka baginya pahala seperti orang yang menunaikan haji dengan sempurna" (HR at-Thabarani)

#Hayati kisah dibawah ini bagaimana Allah swt mengangkat darjat ahli ilmu yang beriman:

Dikisahkan mengenai Syeikh Abdul Qadir bin Abdul Muthallib al-Indonisi al-Mandili, anak kelahiran Sigalangang, Tapanulli Selatan, Sumatera Utara, adalah seorang ulamak besar Melayu yang menabur bakti mengajar ilmu agama di Masjidil Haram selama hampir 30 tahun. Syeikh Abdul Qadir terkenal alim dalam pelbagai cabang ilmu. Menghasilkan 24 buah karya dalam bahasa Melayu dan Arab dalam bidang Usuluddin, fiqh, politik, pendidikan, perundangan dan akhlak. Syeikh Abdul Qadir pernah ditawarkan dengan pelbagai jawatan termasuk sebagai guru agama di Cape Town, Afrika Selatan. Presiden Sukarno pernah menawarkan kepadanya jawatan sebagai Mufti Indonesia. Manakala al-Malik Saud, Raja Arab Saudi menawarkan jawatan Qadhi al-Qudhat dengan gaji yang besar, tetapi Syeikh Abdul Qadir menolak kerana ingin menumpukan perhatian kepada pengajaran di Masjidil Haram.

#Kisah ini menunjukkan bagaimana ahli ilmu dimuliakan dan dihormati. Kita wajib memuliakan ahli ilmu kerana Allah swt memuliakan mereka.

♡Tuntutlah ilmu dengan penuh kesungguhan dan keikhlasan serta berusaha mengamalkannya. Semoga Allah memuliakan kita didunia dan di akhirat. Aamiiin♡

☆Tadabbur Kalamullah 13 Safar 1441H☆


وَٱللَّهُ یُحِبُّ ٱلۡمُحۡسِنِینَ

"Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik" [Surah Aali Imran 134]

#Antara perkara penting yang diperintahkan oleh Allah swt kepada hamba-hambaNya ialah sentiasa melakukan kebaikan dan membahagiakan orang lain. Ingatlah, jika kita sering berbuat baik pada orang lain, kita juga akan mendapat banyak kebaikan dari orang lain. Jika kita sering membahagiakan orang lain, InsyaAllah kita juga akan mendapat kebahagiaan dari orang sekeliling kita.

#Pernah ditanya kepada ahli hikmah: "Siapakah manusia yang paling bahagia?" Jawabnya: "Orang yang membahagiakan orang lain."

#Sebab itu tidak pelik apabila Rasulullah saw menyebut tangan yang di atas (tangan yang memberi) lebih baik daripada tangan yang di bawah (tangan yang menerima). Diriwayatkan daripada Sayidina Hakim bin Hizam r.a, Nabi saw bersabda:

الْيَدُ الْعُلْيَا خَيْرٌ مِنْ الْيَدِ السُّفْلَى

"Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah" (HR al-Bukhari)

#Pelbagai kebaikan boleh dilakukan dalam kehidupan ini demi mencari keredhaan dan kasih sayang Allah swt. Jika tidak mampu membahagiakan orang lain dengan harta dan tenaga, berdoa yang baik-baik untuk mereka juga satu kebaikan dan kebajikan yang dituntut. Daripada Sayidina Abi Darda’ r.a bahawa Rasullullah saw bersabda:

مَا مِنْ عَبْدٍ مُسْلِمٍ يَدْعُو لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ، إِلَّا قَالَ الْمَلَكُ: وَلَكَ بِمِثْلٍ

“Tidak ada seorang hamba yang muslim apabila berdoa kepada saudaranya yang berjauhan (tanpa pengetahuannya), melainkan malaikat berkata kepadanya: dan bagi kamu sepertinya (seperti yang didoakan)” (HR Muslim)

#Siapakah orang yang paling utama untuk dibahagiakan dan dilakukan kebaikan kepadanya?.

Diriwayatkan oleh Sayidina Abu Hurairah r.a bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah saw: ‘’Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling berhak untuk aku berbuat baik kepadanya?’’. Maka Rasulullah saw menjawab:

أُمُّكَ ثُمَّ أُمُّكَ ثُمَّ أُمُّكَ ثُمَّ أَبُوكَ

"Ibu kamu (adalah manusia yang paling berhak untuk kamu berbuat baik kepadanya), kemudian ibu kamu, kemudian ibu kamu, kemudian bapa kamu" (HR Muslim)

#Berbuat baiklah kepada ibu dan bapa serta insan-insan disekeliling kita, juga kepada haiwan dan makhluk yang lain. Ini kerana kebaikan akan dibalas dengan kebaikan serta diberi ganjaran syurga di Mahsyar kelak.

#Sabda Rasulullah saw: "Sebaik-baik manusia ialah orang yang paling bermanfaat kepada orang lain" (HR at-Thabrani)

♡Kita dituntut untuk sentiasa melakukan kebaikan dan mengajak orang lain ke arah kebaikan. Apa saja bentuk kejahatan dan kemungkaran ditegah Islam dan diminta kita jauhkan. Semoga Allah merahmati kita dan mematikan kita dalam kebaikan. Aamiiin♡


☆Tadabbur Kalamullah 14 Safar 1441H☆



وَاعْبُدُوا اللَّـهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا ۖ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا

"Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa” [Surah an-Nisa’ 36]

#Dalam ayat ini Allah swt memerintahkan kita supaya melakukan kebaikan terhadap kedua ibubapa. Ini merupakan kewajipan dan tanggungjawab kita sebagai anak untuk berbuat baik dan berbakti kepada kedua ibubapa.

#Rasulullah saw menyebut berbakti kepada ibu bapa merupakan amalan yang dicintai oleh Allah swt. Sabda baginda saw:

سَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَىُّ الْعَمَلِ أَفْضَلُ قَالَ: الصَّلاَةُ لِوَقْتِهَا. قَالَ قُلْتُ ثُمَّ أَىٌّ قَالَ: بِرُّ الْوَالِدَيْنِ. قَالَ قُلْتُ ثُمَّ أَىٌّ قَالَ: الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ‏

"Aku bertanya kepada Rasulullah saw berkenaan amalan apakah yang paling afdhal, lalu Baginda menjawab: “Solat pada waktunya.” Kemudian aku bertanya lagi, apakah amalan yang seterusnya? Jawab Baginda: “Berbakti kepada kedua ibubapa.” Kemudian aku bertanya, apakah lagi seterusnya? Jawab Baginda: “Berjihad di jalan Allah" (HR al-Bukhari)

#Berbakti kepada kedua ibubapa pahala dan ganjarannya lebih utama daripada berqiamullail. Al-Imam Abdullah bin Mubarak pernah menceritakan bakti seorang ulamak tabiin bernama Muhammad bin al-Munkadir. Kata Muhammad al-Munkadir:

“Suatu malam saudaraku Umar melakukan solat malam, sementara aku memicit-micit kaki ibuku. Aku tidak suka kalau malamku dihabiskan seperti saudaraku (yakni solat malam).”

*Ertinya, pahala berbakti kepada ibu itu lebih besar daripada solat malam.

#Berbuat baiklah kepada ibubapa kerana hal itu melayakkan kita memasuki syurga. Ingatlah, mereka adalah pintu yang terbuka untuk kita menuju ke syurga. Ketika ibu Iyas bin Mu’awiyyah meninggal, beliau menangis. Orang bertanya kepadanya mungkin didorong rasa hairan melihat seorang yang alim di antara mereka tidak mampu menahan airmatanya. “Mengapa anda menangis?”. Maka Iyas bin Mu’awiyyah menjawab: ”Dahulu aku memiliki dua pintu (ibu dan ayah) yang terbuka untuk menuju syurga, namun kini salah satunya telah terkunci.”

#Berbakti dan berkhidmatlah kepada mereka sebaik-baiknya. Jangan sesekali menderhaka atau membuatkan mereka terasa hati kerana balasan anak derhaka akan dilangsaikan hukumannya didunia lagi.

كُلُّ الذُّنُوبِ يُؤَخِّرُ اللَّهُ مَا شَاءَ مِنْهَا إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ إِلاَّ عُقُوقَ الْوَالِدَيْنِ فَإِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يُعَجِّلُهُ لِصَاحِبِهِ فِي الْحَيَاةِ قَبْلَ الْمَمَاتِ

“Setiap dosa akan dilewatkan oleh Allah hukumannya mengikut kehendakNya hingga hari kiamat kecuali derhaka kepada ibubapa. Maka sesungguhnya Allah akan menghukumkan pelakunya semasa masih hidup sebelum datangnya kematian” (HR al-Hakim)

♡Jadilah anak yang soleh penyejuk mata kedua ibubapa. Muliakan mereka dengan penghormatan dan kebaktian yang tertinggi. Semoga kebaktian kita itu melayakkan kita memasuki syurga Allah yang teristimewa. InsyaAllah, Aamiiin♡


☆Tadabbur Kalamullah 15 Safar 1441H☆


قُلْ إِنَّ رَبِّي يَبْسُطُ الرِّزْقَ لِمَن يَشَاءُ وَيَقْدِرُ وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dia juga yang menyempitkan (bagi sesiapa yang dikehendakiNya); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu)" [Surah Saba’ 36]

#Hal ehwal berkaitan rezeki semuanya dalam kekuasaan Allah swt. Ada yang rezekinya sudah ditetapkan Allah swt tanpa perlu dicari. Sebahagian orang, sekalipun dengan usaha yang sedikit, dia memperolehi rezeki yang banyak. Kadang-kadang, dia memperolehinya tanpa usaha pun. Adakalanya dengan bekerja keras baru beroleh rezekinya yang lumayan.

#Ada sebahagian manusia yang dilahirkan dalam keluarga yang kaya dan ada mereka yang dilahirkan dalam keluarga yang miskin. Begitu juga yang sederhana dan sebagainya. Ketetapan rezeki semuanya di dalam ilmu Allah swt. Segala ketetapannya itu tidak akan ada yang mampu mengubahnya.

وَاللَّهُ فَضَّلَ بَعْضَكُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ فِي الرِّزْقِ

"Dan Allah telah melebihkan sebahagian dari kamu atas sebahagian yang lain pada rezeki yang dikurniakanNya.." [Surah an-Nahl 71]

#Oleh itu, kita diminta berusaha untuk mendapatkan rezeki yang dijanjikan itu. Kita perlu yakin bahawa jika itu rezeki kita, maka pasti kita akan memperolehinya. Keyakinan sentiasa menghadirkan keajaiban.

#Dikisahkan dalam Thabaqat as-Syafi'iah, pada tahun 218H, berlaku peristiwa fitnah Khalq al-Quran (mengatakan Quran itu makhluk). Golongan Muktazilah berjaya menghasut Khalifah al-Makmun untuk memaksa ulamak mengaku bahawa al-Quran ialah makhluk, padahal sebenarnya al-Quran bukannya makhluk. Seorang ahli hadis di Basrah, Affan bin Muslim merupakan ulamak pertama yang diuji dengan fitnah ini. Ketika dihadapkan di hadapan khalifah dan dipaksa untuk membenarkan akidah yang salah itu, beliau menolaknya dengan tegas. Natijahnya, khalifah dengan serta merta membuat keputusan untuk menghentikan pemberian 1000 dinar yang diberi padanya setiap bulan (gajinya).

"Rezeki kita berasal dari Allah"- Itulah jawapan Affan yang menzahirkan keyakinan dirinya walaupun beliau sangat memerlukan wang tersebut untuk perbelanjaan keluarganya. Pada malam hari tersebut, seseorang yang tidak dikenali mengetuk pintu rumah Affan lalu memberikan 1000 dinar kepadanya. Lelaki itu berkata: "Aku akan memberimu 1000 dinar setiap bulan. Semoga Allah meneguhkan dirimu sebagaimana engkau meneguhkan agama ini". Allahuakbar!!

#Kisah ini menunjukkan bahawa tidak ada sesiapa pun yang boleh menahan rezeki seseorang jika itulah yang telah ditetapkan oleh Allah swt.

♡Bersyukurlah dengan rezeki yang dikurniakan Allah kepada kita samada sikit atau banyak. Gunalah sebaik mungkin rezeki itu di jalan Allah dengan cara mentaati Allah dan berkongsi dengan orang lain♡


☆Tadabbur Kalamullah 16 Safar 1441H☆



وَسِیقَ ٱلَّذِینَ ٱتَّقَوۡا۟ رَبَّهُمۡ إِلَى ٱلۡجَنَّةِ زُمَرًاۖ حَتَّىٰۤ إِذَا جَاۤءُوهَا وَفُتِحَتۡ أَبۡوَ ٰ⁠بُهَا وَقَالَ لَهُمۡ خَزَنَتُهَا سَلَـٰمٌ عَلَیۡكُمۡ طِبۡتُمۡ فَٱدۡخُلُوهَا خَـٰلِدِینَ

"Dan orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka akan dibawa ke Syurga dengan berpasuk-pasukan (berombongan), sehingga apabila mereka sampai ke Syurga yang pintu-pintunya sedia terbuka dan penjaga-penjaganya mengalu-alukan mereka dengan kata-kata:" Salam sejahtera kepada kamu, berbahagialah kamu, maka silalah masuk ke dalam Syurga ini dengan keadaan tinggal kekal di dalamnya" (mereka pun masuk)" [Surah az-Zumar 73]

#Ayat ini menceritakan tentang keadaan orang-orang yang bahagia, iaitu orang-orang mukmin saat mereka diiring sebagai perutusan yang terhormat untuk dimasukkan ke dalam syurga secara berpasukan (berombongan).

#Antara kenikmatan berkeluarga dan bersahabat ialah apabila semua ahli keluarga, saudara mara dan sahabat handai dapat berkumpul beramai-ramai. Begitulah sepatutnya apabila kita ingin masuk syurga, maka perlu membawa bersama-sama seluruh ahli keluarga dan sahabat-sahabat kita.

جَنَّـٰتُ عَدۡنࣲ یَدۡخُلُونَهَا وَمَن صَلَحَ مِنۡ ءَابَاۤىِٕهِمۡ وَأَزۡوَ ٰ⁠جِهِمۡ وَذُرِّیَّـٰتِهِمۡۖ وَٱلۡمَلَـٰۤىِٕكَةُ یَدۡخُلُونَ عَلَیۡهِم مِّن كُلِّ بَابࣲ

"Iaitu Syurga yang kekal yang mereka akan memasukinya bersama-sama orang-orang yang mengerjakan amal soleh dari ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta anak-anak mereka; sedang malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu" [Surah ar-Ra'd 23]

#Imam Ibnu Katsir rahimahullah menjelaskan maksud ayat ini bahawa Allah akan mengumpulkan seseorang bersama keluarganya, orang tuanya, isteri dan anak-cucunya di syurga. Ini adalah antara dalil satu keluarga dapat masuk syurga bersama.

#Imam Ibnu Abid Dunia dalam sifah al-Jannah meriwayatkan daripada Sayidina Anas bin Malik r.a bahawa nabi saw bersabda: "Setelah ahli syurga masuk ke dalam syurga dan apabila saudara merindui saudaranya, tempat duduk kedua-duanya akan bergerak sendiri menuju antara satu sama lain. Maka mereka pun berjumpa".

♡Antara syarat untuk memasuki syurga Allah swt adalah dengan taqwa. Jadilah manusia yang bertaqwa dan didiklah ahli keluarga agar bertaqwa. Semoga kita dapat memasuki syurga bersama-sama ahli keluarga dan sahabat-sahabat kita. Aamiiin♡

☆Tadabbur Kalamullah 17 Safar 1441H☆



وَإِمَّا یَنزَغَنَّكَ مِنَ ٱلشَّیۡطَـٰنِ نَزۡغࣱ فَٱسۡتَعِذۡ بِٱللَّهِۚ إِنَّهُۥ سَمِیعٌ عَلِیمٌ

"Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui" [Surah al-A'raf 200]

#Apabila kita dihasut, dibisik dan didorong oleh pengaruh syaitan untuk meninggalkan perintah Allah dan melakukan kemungkaran maka mohonlah perlindungan Allah swt, nescaya Allah swt akan menolong kita mengusir bisikan dan hasutan syaitan tersebut.

#Sentiasalah memohon perlindungan Allah daripada godaan syaitan kerana diantara kerja syaitan ialah menggoda dan menghasut manusia agar lupa pada Allah serta perintahNya.

ٱلَّذِی یُوَسۡوِسُ فِی صُدُورِ ٱلنَّاسِ

"Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia" [Surah an-Nas 5]

ٱسۡتَحۡوَذَ عَلَیۡهِمُ ٱلشَّیۡطَـٰنُ فَأَنسَىٰهُمۡ ذِكۡرَ ٱللَّهِۚ أُو۟لَـٰۤىِٕكَ حِزۡبُ ٱلشَّیۡطَـٰنِۚ أَلَاۤ إِنَّ حِزۡبَ ٱلشَّیۡطَـٰنِ هُمُ ٱلۡخَـٰسِرُونَ

"Syaitan telah menguasai dan mempengaruhi mereka, sehingga menyebabkan mereka lupa mengingati (ajaran dan amaran) Allah; mereka itulah puak Syaitan. Ketahuilah! Bahawa puak Syaitan itu sebenarnya orang-orang yang rugi" [Surah al-Mujadilah 19]

#Syaitan akan menggoda manusia sehingga manusia melihat maksiat sebagai kebaikan, kesesatan sebagai kebenaran, hiburan sebagai ketenangan, arak penghilang kerunsingan, judi dan seks bebas sebagai keseronokan dan segala macam kemaksiatan dianggap kebaikan dan kebahagiaan. Firman Allah swt:

قَالَ رَبِّ بِمَاۤ أَغۡوَیۡتَنِی لَأُزَیِّنَنَّ لَهُمۡ فِی ٱلۡأَرۡضِ وَلَأُغۡوِیَنَّهُمۡ أَجۡمَعِینَ

Iblis berkata: "Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya" [Surah al-Hijr 39]

#Syaitan juga berusaha dengan pelbagai cara agar manusia tidak menunaikan solat dan melalaikan daripada menunaikannya. Diriwayatkan oleh Sayidina Abdullah bin Mas’ud r.a berkata, diceritakan kepada Rasulullah saw terdapat seorang lelaki yang telah tidur sehingga berlalu waktu Subuh, lalu Rasulullah saw bersabda:

ذَاكَ رَجُلٌ بَالَ الشَّيْطَانُ فِي أُذُنَيْهِ، أَوْ قَالَ: فِي أُذُنِهِ

"Lelaki itu telah dikencing oleh syaitan di kedua telinganya.” Atau Baginda saw bersabda: “Di telinganya.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

*Hadith ini menunjukkan kinayah bahawa syaitan telah menutup telinga orang yang tidur daripada solat (tidak mengerjakannya) sehingga dia tidak mendengar seruan azan dan dikatakan juga bahawa maknanya adalah syaitan telah memenuhkan telinganya dengan perkara-perkara batil maka terhijab telinganya daripada mendengar seruan azan. (Lihat Fathul Bari). Tambahan, hadith ini mengisyaratkan bahawa dirinya telah dikuasai oleh syaitan dan syaitan juga telah berpaut pada saraf otaknya sepanjang malam serta diperkecilkan oleh syaitan. (Lihat al-Minhaj)

♡Banyakkan memohon perlindungan Allah daripada godaan syaitan serta sibukkan diri dengan berzikir dan amalan-amalan yang soleh agar kita terhindar daripada hasutan syaitan. أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ♡

☆Tadabbur Kalamullah 18 Safar 1441H☆



یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ لَا تُقَدِّمُوا۟ بَیۡنَ یَدَیِ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦۖ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ سَمِیعٌ عَلِیمࣱ

"Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mendahului Allah dan RasulNya dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui" [Surah al-Hujurat 1]

#Mencintai Rasulullah saw seharusnya dengan pengagungan, memuliakan, meneladani baginda, mengikuti ajaran baginda dan mendahulukan sabda baginda atas segala ucapan makhluk serta mengagungkan segala sunnah-sunnahnya. Kita wajib mencintai dan mengagungkan Baginda saw melebihi kecintaan dan pengagungan terhadap seluruh makhluk Allah swt.

#Sabda Rasulullah saw:

ثَلاَثٌ مَنْ كُنَّ فِيْهِ وَجَدَ بِهِنَّ حَلاَوَةَ اْلإِيْمَانِ، مَنْ كَانَ اللهُ وَرَسُوْلُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا، وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لاَ يُحِبُّهُ إِلاَّ ِللهِ، وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُوْدَ فِي الْكُفْرِ بَعْدَ أَنْ أَنْقَذَهُ اللهُ مِنْهُ، كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ.

"Ada tiga perkara yang apabila perkara tersebut ada pada seseorang, maka ia akan mendapat kemanisan iman, iaitu:
1. Hendaklah Allah dan RasulNya lebih ia cintai dari selain keduanya.
2. Apabila ia mencintai seseorang, ia hanya mencintainya kerana Allah.
3. Ia tidak suka untuk kembali kepada kekufuran setelah Allah menyelamatkannya, sebagaimana ia tidak mahu untuk dilemparkan ke dalam api" (HR al-Bukhari dan Muslim)

#Hayatilah kisah para sahabat dan orang soleh mencintai baginda Rasulullah saw:

1. Dalam perang Uhud, Sayidina Thalhah sanggup melindungi dan memagari Rasulullah saw dengan menjadikan badannya sebagai perisai asalkan Rasulullah selamat. Sayidina Abu Bakar berkata: "Semasa di hari Uhud itu, semua orang tidak ada disisi Rasulullah. Akulah orang pertama sampai ke hadapan Rasulullah, aku dapati seorang sahabat sedang bergelut mempertahankan Rasulullah. Aku berkata, orang itu mesti Sayidina Thalhah. Demi bapaku dan ibuku untuk kamu wahai Thalhah (ungkapan kasih kepada Thalhah). Setelah perang tamat, tangan Thalhah menjadi kudung dan terdapat lebih kurang 70 luka dibadannya. Dia telah menjadikan badannya perisai untuk menghalang pedang musuh daripada mengenai badan Rasulullah yang sangat dicintainya". Sayidina Abu Bakar apabila mengenangkan perang Uhud, dia menangis sambil berkata: "Hari itu semuanya adalah milik Thalhah". Begitulah pengorbanan mereka demi kecintaan sejati kepada Rasulullah saw.!!

2. Anak Muhammad bin Yahya az-Zuhli menceritakan: "Aku masuk ke bilik ayahku ketika satu musim panas pada waktu qailulah (tengah hari). Ketika itu, beliau di dalam bilik bacaannya. Beliau sedang memegang pelita kerana bilik itu gelap sedangkan ketika itu waktu tengahari. Aku pun berkata: "Ayah, ini musim panas. Asap pelita pada waktu tengahari begini akan memudaratkan ayah!. Bukankah lebih baik ayah berehat?!". Ayahku menjawab: "Mengapa engkau berkata begitu? Aku sekarang sedang bersama Rasulullah saw, para sahabat baginda serta tabi'in!".

#Lihatlah kesungguhan mereka mencintai Rasulullah saw. Tidak ada perkara yang dapat menghalang mereka dalam mencintai Rasulullah saw. Mereka mendahulukan baginda saw daripada segala-galanya.

♡Cintailah Rasulullah saw dengan sepenuh jiwa. Ikutilah ajarannya dan teruskan perjuangan baginda dengan bersungguh-sungguh serta berusaha menjadi umat yang terbaik. اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّد♡

☆Tadabbur Kalamullah 19 Safar 1441H☆



ﻭَﻧَﺒْﻠُﻮﻛُﻢ ﺑِﺎﻟﺸَّﺮِّ ﻭَﺍﻟْﺨَﻴْﺮِ ﻓِﺘْﻨَﺔً ﻭَﺇِﻟَﻴْﻨَﺎ ﺗُﺮْﺟَﻌُﻮﻥَ

“Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya), dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan” [Surah al-Anbiya’ 35]

#Pujian adalah ujian (fitnah). Adakalanya menjadi ujian kebaikan, adakalanya menjadi ujian keburukan. Ini kerana ketika seseorang itu dipuji, boleh jadi ia akan merasa sombong dan merasa takjub pada diri sendiri, bahkan akan menyebabkan lupa bahawa semua nikmat itu adalah dari Allah swt. Sebahagiannya juga merasa hebat dan sombong serta lupa bersyukur kepada Allah. Kagum terhadap diri sendiri merupakan suatu sifat yang dapat membinasakan.

#Daripada Ibrahim at-Taimi dari ayahnya, ia berkata: “Kami duduk bersama Sayidina Umar bin Khattab r.a., lalu ada seorang lelaki memuji orang lain yang berada di hadapannya. Sayidina Umar lalu berkata:

عقرت الرجل، عقرك الله

“Engkau telah menyembelih orang itu, semoga Allah menyembelihmu".

#Daripada Sayidina Abu Bakrah r.a bahawa seorang lelaki telah memuji seorang lelaki yang lain di sisi Nabi saw. Lalu Nabi bersabda:

 وَيْحَكَ قَطَعْتَ عُنُقَ صَاحِبِكَ قَطَعْتَ عُنُقَ صَاحِبِكَ مِرَارًا إِذَا كَانَ أَحَدُكُمْ مَادِحًا صَاحِبَهُ لاَ مَحَالَةَ فَلْيَقُلْ أَحْسِبُ فُلاَنًا وَاللَّهُ حَسِيبُهُ وَلاَ أُزَكِّي عَلَى اللَّهِ أَحَدًا

"Celaka kamu. Kamu telah memotong leher sahabatmu, kamu telah memtong leher sahabat kamu. Sekiranya salah seorang daripada kamu semua ingin memuji sahabatnya sekalipun, hendaklah dia mengucapkan: “Aku menyangka fulan sedemikian dan Allah swt lah yang sebenar mengetahui keadaannya dan aku sama sekali tidak memuji seseorang pun mengatasi Allah swt" (HR Muslim)

#Daripada Abu Ma’mar, ia berkata: “Ada seorang lelaki berdiri memuji salah seorang gabenor. Miqdad ibnul Aswad lalu menyiramkan pasir ke wajahnya dan berkata:

أمرنا رسول الله صلى الله عليه وسلم أن نحثي في وجوه المداحين التراب

“Kami diperintahkan oleh Rasulullah saw untuk menyiramkan pasir ke wajah orang-orang yang memuji" (HR al-Bukhari dan Muslim)

#Jangan sesekali terpesona dan tertipu dengan pujian. Berkata Imam Ibnu Athaillah as-Sakandari rahimahullah: "Seorang Mukmin apabila dipuji nescaya dia akan malu kepada Allah dek kerana pujian dengan ciri dan sifat yang dia sendiri tahu bahawa sifat itu tidak ada pada dirinya".

#Diriwayatkan bahawa Imam Abu Hanifah rahimahullah pernah dipuji bahawa dia sentiasa menghidupkan malam dengan ibadah dan amal soleh. Sejak hari itu, Imam Abu Hanifah tidak pernah meninggalkan qiyamulail dan sentiasa memperbanyakkan ibadah dan amal soleh. Hal ini dilakukan bukan kerana pujian orang ramai itu tetapi kerana malu kepada Allah dan juga membenarkan sangka baik orang lain terhadapnya.

#Namun begitu, agama masih membenarkan kita memuji seseorang sebagai jika benar ada padanya kebaikan, juga sebagai motivasi untuknya dan jika bebas daripada fitnah. Hal ini kerana Nabi saw pernah memuji para sahabat dengan sabdanya: “Lelaki terbaik adalah Abu Bakar, Umar, Abu Ubaidah, Usaid bin Hudhair, Tsabit bin Qais bin Syammas, Mu’az bin Amru ibnul Jamuh dan Mu’az bin Jabal.” Kemudian baginda mengatakan: "Lelaki terburuk adalah fulan dan fulan. Baginda menyebut tujuh nama" (HR as-Sahihain dan at-Tirmizi)

#Hendaklah membaca doa ini ketika dipuji agar tidak tertipu dengan pujian tersebut yang boleh menjadikan kita ujub dan sombong:

ﺍَﻟﻠَّﻬُﻢَّ ﻻَ ﺗُﺆَﺍﺧِﺬْﻧِﻲْ ﺑِﻤَﺎ ﻳَﻘُﻮْﻟُﻮْﻥَ، ﻭَﺍﻏْﻔِﺮْﻟِﻲْ ﻣَﺎ ﻻَ ﻳَﻌْﻠَﻤُﻮْﻥَ ‏ ﻭَﺍﺟْﻌَﻠْﻨِﻲْ ﺧَﻴْﺮًﺍ ﻣِﻤَّﺎ ﻳَﻈُﻨُّﻮْﻥَ

“Ya Allah, semoga Engkau tidak menghukumku dengan apa yang mereka katakan. Ampunilah aku atas apa yang tidak mereka ketahui. Dan jadikanlah aku lebih baik daripada yang mereka sangkakan" (HR al-Bukhari)

♡Ingatlah bahawa pujian adalah fitnah (ujian) untuk kita. Jangan tertipu, terpedaya dan terpesona dengan pujian kerana ia boleh membinasakan kita. Pujian seringkali menipu. Jangan gila pujian!!♡


☆Tadabbur Kalamullah 20 Safar 1441H☆


قُلۡ مَتَـٰعُ ٱلدُّنۡیَا قَلِیلࣱ وَٱلۡـَٔاخِرَةُ خَیۡرࣱ لِّمَنِ ٱتَّقَىٰ وَلَا تُظۡلَمُونَ فَتِیلًا

Katakanlah (wahai Muhammad): "Harta benda yang menjadi kesenangan di dunia ini adalah sedikit sahaja, (dan akhirnya akan lenyap), dan (balasan) hari akhirat itu lebih baik lagi bagi orang-orang yang bertaqwa (kerana ia lebih mewah dan kekal selama-lamanya), dan kamu pula tidak akan dianiaya sedikit pun" [Surah an-Nisa' 77]

#Kehidupan dunia hanya sementara. Kesenangan dunia juga sementara. Harta benda dunia juga bersifat sementara. Yang kekal ialah kehidupan akhirat. Inilah kehidupan yang sebenar bagi orang-orang yang bertaqwa.

#Allah swt mengingatkan kita tentang kehidupan akhirat dan bekalan taqwa yang perlu disediakan untuk dibawa ke negeri akhirat. Ini menunjukkan bahawa dalam kehidupan kita antara perkara yang sentiasa perlu diingati ialah berkaitan masa depan kita akhirat. Bermuhasabah dan menghitung amalan kita, dosa pahala kita dan kualiti ibadah serta keikhlasan kita dalam beramal. Sebab itulah banyak ayat Allah, kalam Rasulullah dan pesanan para salafussoleh agar kita mengingati bahawa hidup didunia ini sementara dan akhiratlah tempat yang kekal abadi.

#Pesan Sayidina Umar bin al-Khattab r.a:

حَاسِبُوا أَنْفُسَكُمْ قَبْلَ أَنْ تُحَاسَبُوا وَزِنُوا أَنْفُسَكُمْ قَبْلَ أَنْ تُوزَنُوا وَتَزَيَّنُوا لِلْعَرْضِ الْأَكْبَرِ , يَوْمَ تُعْرَضُونَ لَا تَخْفَى مِنْكُمْ خَافِيَةٌ

“Hisablah diri kalian sebelum kalian dihisab (pada hari kiamat). Timbanglah amal kalian sebelum ditimbang (pada hari kiamat). Bersiaplah untuk tujuan yang agung, iaitu hari di mana tidak ada perkara samar yang tersembunyi.” (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah dalam al-Mushannaf)

#Berkata Sayidina Uthman bin Affan r.a:

"Ketahuilah wahai keturunan Adam, jika engkau lalai dengan dirimu sendiri dan tidak menyiapkan bekal untuk diri sendiri, orang lain tidak akan menyiapkan bekalan amal bagi jiwamu, dan pasti akan ada pertemuan dengan Allah swt. Maka, persiapkanlah bekal bagi dirimu sendiri dan jangan menyerahkannya kepada orang lain” (Diriwayatkan oleh Abu Bakar Ad-Dainuri)

#Imam al-Hasan al-Bashri rahimahullah berkata:

“Seorang mukmin adalah pemimpin untuk dirinya sendiri, dia menghisab dirinya sendiri. Pada hari kiamat, hisab itu ringan bagi orang-orang yang menghisab dirinya sendiri ketika di dunia. Dan hisab itu berat bagi orang-orang yang tidak menghisab dirinya di dunia.” (Diriwayatkan oleh Ibnul Mubarak dalam az-Zuhd)

#Orang yang beriman dan bertaqwa sentiasa berusaha menyibukkan diri dengan amalan yang soleh dan 1001 kebaikan untuk kebahagiaan akhiratnya. Maka sesiapa yang lalai dalam menyiapkan bekalan akhirat serta terpesona dengan harta benda dunia yang sementara itu, maka penyesalan dan kesengsaraan bakal menimpanya.

♡Beramallah dengan bersungguh-sungguh dan taatilah Allah sepenuh jiwa raga agar kita dinobatkan sebagai hamba Allah yang bertaqwa. Semoga kita selamat dan beroleh ganjaran syurga di akhirat kelak. Aamiiin♡


☆Tadabbur Kalamullah 21 Safar 1441H☆


إِنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلادُكُمْ فِتْنَةٌ

“Sesungguhnya hartamu dan anak-anakmu hanyalah ujian bagimu” [Surah at-Taghaabun 15]

#Dalam Tafsir al-Maraghiy telah diperincikan bahawa kecintaan kepada harta benda dan anak-anak adalah cubaan dan ujian kerana seringkali perkara itu menjadi penyebab kepada perbuatan dosa dan pelanggaran terhadap apa-apa yang dilarang.

#Hal ini kerana kecintaan yang berlebihan terhadap harta dan anak pinak menyebabkan ramai di antara kita yang lalai untuk menunaikan perintah Allah swt.

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ لَا تُلۡهِكُمۡ أَمۡوَ ٰ⁠لُكُمۡ وَلَاۤ أَوۡلَـٰدُكُمۡ عَن ذِكۡرِ ٱللَّهِۚ وَمَن یَفۡعَلۡ ذَ ٰ⁠لِكَ فَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ هُمُ ٱلۡخَـٰسِرُونَ

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi" [Surah al-Munafiqun 9]

#Dalam membentuk anak-anak menjadi insan yang soleh serta penyejuk jiwa, maka menjadi tanggungjawab ibubapa untuk mendidik, mengajar, mengasuh, menanamkan aqidah yang benar, memberi kefahaman agama kepada mereka, menyuruh mendirikan solat dan beribadat serta melarang sebarang bentuk kemungkaran dan kesesatan.

#Imam al-Ghazali pernah berpesan kepada para ibu bapa dengan katanya:

“Kanak-kanak itu adalah amanah bagi ibu bapanya. Hati nuraninya bersih bak permata yang bernilai. Jika dibiasakan dengan kebaikan dan diajar nescaya dia besar dan bahagia di dunia dan akhirat. Sebaliknya jika dibiasakan dengan kejahatan serta diabaikan seperti pengabaian binatang ternakan, nescaya dia akan binasa dan celaka. Justeru, hendaklah anak itu dipelihara dengan mendidiknya dan mengajarnya nilai-nilai akhlak sedari kecil lagi”.

#Lazimkanlah diri untuk berdoa dengan doa ini agar dikurniakan kita anak yang soleh serta menjadi penyejuk mata dan jiwa kepada kedua ibu bapa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ

"Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan zuriat keturunan kami sebagai penyenang (menyukakan) hati kami” [Surah al-Furqan 74]

♡Ketahuilah bahawa anak-anak adalah amanah Allah yang wajib kita didik sebaiknya serta wajib menyayanginya sepenuh jiwa. Pastikan mereka menjadi anak yang soleh, berkhidmat pada agama, masyarakat dan negara♡


☆Tadabbur Kalamullah 22 Safar 1441H☆


مَنۡ عَمِلَ سَیِّئَةࣰ فَلَا یُجۡزَىٰۤ إِلَّا مِثۡلَهَاۖ وَمَنۡ عَمِلَ صَـٰلِحࣰا مِّن ذَكَرٍ أَوۡ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤۡمِنࣱ فَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ یَدۡخُلُونَ ٱلۡجَنَّةَ یُرۡزَقُونَ فِیهَا بِغَیۡرِ حِسَابࣲ

"Sesiapa yang mengerjakan sesuatu perbuatan jahat maka ia tidak dibalas melainkan dengan kejahatan yang sebanding dengannya; dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh - dari lelaki atau perempuan - sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk Syurga; mereka beroleh rezeki di dalam Syurga itu dengan tidak dihitung" [Surah Ghafir 40]

#Kejahatan akan dibalas dengan azab dan seksa. Kesengsaraan di neraka adalah pembalasan yang selayaknya bagi penggemar kejahatan dan penderhaka kepada Allah.

وَٱلَّذِینَ كَسَبُوا۟ ٱلسَّیِّـَٔاتِ جَزَاۤءُ سَیِّئَةِۭ بِمِثۡلِهَا وَتَرۡهَقُهُمۡ ذِلَّةࣱۖ مَّا لَهُم مِّنَ ٱللَّهِ مِنۡ عَاصِمࣲۖ كَأَنَّمَاۤ أُغۡشِیَتۡ وُجُوهُهُمۡ قِطَعࣰا مِّنَ ٱلَّیۡلِ مُظۡلِمًاۚ أُو۟لَـٰۤىِٕكَ أَصۡحَـٰبُ ٱلنَّارِۖ هُمۡ فِیهَا خَـٰلِدُونَ

"Dan untuk orang-orang yang melakukan kejahatan (syirik dan maksiat), balasan tiap-tiap satu kejahatan mereka ialah kejahatan yang sebanding dengannya serta akan ditimpakan kehinaan; tiadalah bagi mereka pelindung dari (seksa) Allah; muka mereka (hitam legam) seolah-olahnya ditutup dengan beberapa bahagian (yang gelap-gelita) dari malam yang gelap-gelita. Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya" [Surah Yunus 27]

#Bagi orang yang menghabiskan usianya dalam ketaatan dan sibuk melaksanakan amal soleh, akan dimasukkan ke dalam syurga serta dikurniakan segala jenis kenikmatan dan rezeki yang beraneka ragam.

إِنَّ ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ یَهۡدِیهِمۡ رَبُّهُم بِإِیمَـٰنِهِمۡۖ تَجۡرِی مِن تَحۡتِهِمُ ٱلۡأَنۡهَـٰرُ فِی جَنَّـٰتِ ٱلنَّعِیمِ

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Tuhan mereka akan memimpin mereka dengan sebab iman mereka yang sempurna itu. (Mereka masuk ke taman yang) sungai-sungainya mengalir di bawah tempat kediaman mereka di dalam Syurga yang penuh nikmat" [Surah Yunus 9]

جَنَّـٰتُ عَدۡنࣲ یَدۡخُلُونَهَا تَجۡرِی مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَـٰرُۖ لَهُمۡ فِیهَا مَا یَشَاۤءُونَۚ كَذَ ٰ⁠لِكَ یَجۡزِی ٱللَّهُ ٱلۡمُتَّقِینَ

"(Untuk mereka) Syurga-syurga " Adn ", yang mereka akan memasukinya, yang mengalir padanya beberapa sungai; mereka beroleh di dalam Syurga itu apa yang mereka kehendaki; demikianlah Allah membalas orang-orang yang bertaqwa" [Surah an-Nahl 31]

#Mereka akan kekal dalam keseronokan dan kepuasan nikmat itu, selama-lamanya.

وَٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ أُو۟لَـٰۤىِٕكَ أَصۡحَـٰبُ ٱلۡجَنَّةِۖ هُمۡ فِیهَا خَـٰلِدُونَ

"Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, merekalah ahli syurga, mereka kekal di dalamnya" [Surah al-Baqarah 82]

#Antara amal soleh yang melayakkan seseorang itu ke syurga ialah menginfakkan sepasang hartanya di jalan Allah. Sabda nabi saw:

وَمَنْ أَنْفَقَ زَوْجَيْنِ فِى سَبِيلِ اللَّهِ فَإِنَّ لِلْجَنَّةِ ثَمَانِيَةَ أَبْوَابٍ يُدْخِلُهُ اللَّهُ الجَنَّةِ مِنْ أَىِّ الأَبْوَاب شَاءَ مِنْهَا لِلْجَنَّةَ

"Sesiapa yang menginfakkan sepasang hartanya di jalan Allah, maka sesungguhnya syurga itu mempunyai lapan buah pintu, Allah akan memasukkannya ke dalam syurga dari mana-mana pintu yang ia kehendaki masuk melaluinya ke dalam syurga”. (HR Ahmad. Hasan)

*Sepasang harta yang dimaksudkan ialah seperti dua ekor kuda, dua pasang pakaian, dua guni makanan dan sebagainya.

♡Beramallah kita dengan amalan yang soleh dan jangan sesekali cenderung kepada kejahatan. Ingatlah, bahawa kebaikan di balas dengan kebaikan yang lebih baik (syurga) dan kejahatan akan dibalas dengan penyesalan dan penderitaan (neraka)♡

☆Tadabbur Kalamullah 23 Safar 1441H☆



ٱلشَّیۡطَـٰنُ یَعِدُكُمُ ٱلۡفَقۡرَ وَیَأۡمُرُكُم بِٱلۡفَحۡشَاۤءِۖ وَٱللَّهُ یَعِدُكُم مَّغۡفِرَةࣰ مِّنۡهُ وَفَضۡلࣰاۗ وَٱللَّهُ وَ ٰ⁠سِعٌ عَلِیمࣱ

"Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadaNya serta kelebihan kurniaNya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmatNya, lagi sentiasa Meliputi PengetahuanNya" [Surah al-Baqarah 268]

#Disebabkan sedekah merupakan satu amalan yang disukai Allah, amalan mulia, amalan agung dan dijanjikan kedudukan yang tinggi serta balasan yang besar kepada yang terlibat, maka perkara ini sangat dibenci oleh syaitan.

#Allah swt menyebut ganjaran hebat bagi sesiapa yang menginfaqkan harta di jalan Allah:

مَّثَلُ ٱلَّذِینَ یُنفِقُونَ أَمۡوَ ٰ⁠لَهُمۡ فِی سَبِیلِ ٱللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنۢبَتَتۡ سَبۡعَ سَنَابِلَ فِی كُلِّ سُنۢبُلَةࣲ مِّا۟ئَةُ حَبَّةࣲۗ وَٱللَّهُ یُضَـٰعِفُ لِمَن یَشَاۤءُۚ وَٱللَّهُ وَ ٰ⁠سِعٌ عَلِیمٌ

"Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya" [Surah al-Baqarah 261]

#Maka, syaitan berusaha sehebat-hebatnya menakut-nakutkan manusia dengan kemiskinan, kepapaan, kesusahan, agar manusia menjadi kedekut dan tidak menyumbang di jalan Allah swt (jalan kebaikan).

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ لَا تَتَّبِعُوا۟ خُطُوَ ٰ⁠تِ ٱلشَّیۡطَـٰنِۚ وَمَن یَتَّبِعۡ خُطُوَ ٰ⁠تِ ٱلشَّیۡطَـٰنِ فَإِنَّهُۥ یَأۡمُرُ بِٱلۡفَحۡشَاۤءِ وَٱلۡمُنكَرِۚ

"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; dan sesiapa yang menurut jejak langkah Syaitan, maka sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikut-pengikutnya) melakukan perkara yang keji dan perbuatan yang mungkar..." [Surah an-Nur 21]

#Apabila seseorang itu menjadi bakhil maka ia adalah kejayaan syaitan untuk menambah gengnya di dalam neraka. Ini kerana sifat bakhil adalah sifat ahli neraka. Firman Allah swt:

وَٱلَّذِینَ یَكۡنِزُونَ ٱلذَّهَبَ وَٱلۡفِضَّةَ وَلَا یُنفِقُونَهَا فِی سَبِیلِ ٱللَّهِ فَبَشِّرۡهُم بِعَذَابٍ أَلِیمࣲ

"Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya" [Surah at-Tawbah 34]

#Sebagai seorang yang beriman sepatutnya kita tidak termakan hasutan syaitan dan berusaha menjadi manusia yang dermawan dengan melaburkan harta benda kita di jalan Allah (infak fi sabilillah) kerana jaminan pahalanya sangat agung dan tinggi nilainya.

#Sabda Rasulullah saw:

من أنفق نفقة في سبيل الله كتبت له سبعمائة ضعف

"Siapa yang berinfaq fi sabilillah (derma di jalan Allah) satu harta maka dicatat untuknya 700 kali ganda" (Sahih al-Jami')

#Jangan bakhil untuk belanjakan harta di jalan Allah dan ingatlah bahawa orang yang bakhil ialah mereka yang sengaja mencampakkan diri dalam kecelakaan dan kebinasaan. Firman Allah:

وَأَنفِقُوا۟ فِی سَبِیلِ ٱللَّهِ وَلَا تُلۡقُوا۟ بِأَیۡدِیكُمۡ إِلَى ٱلتَّهۡلُكَةِ وَأَحۡسِنُوۤا۟ۚ إِنَّ ٱللَّهَ یُحِبُّ ٱلۡمُحۡسِنِینَ

"Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) ugama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya" [Surah al-Baqarah 195]

♡Berwaspadalah dengan hasutan dan godaan syaitan, jangan sampai kita diperdaya dan disesatkan olehnya. Jadilah manusia yang dermawan dan pemurah kerana baginda saw adalah seorang yang dermawan lagi pemurah♡

☆Tadabbur Kalamullah 24 Safar 1441H☆


هَـٰذَا بَلَـٰغࣱ لِّلنَّاسِ وَلِیُنذَرُوا۟ بِهِۦ وَلِیَعۡلَمُوۤا۟ أَنَّمَا هُوَ إِلَـٰهࣱ وَ ٰ⁠حِدࣱ وَلِیَذَّكَّرَ أُو۟لُوا۟ ٱلۡأَلۡبَـٰبِ

"(Al-Quran) ini disampaikan kepada manusia supaya mereka diberi ingat dan diberi nasihat dengannya; dan supaya mereka mengetahui (dengan hujjah-hujjah yang tersebut di dalamnya) bahawa sesungguhnya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa; dan supaya orang-orang yang mempunyai fikiran, beringat dan insaf" [Surah Ibrahim 52]

#Al-Quran merupakan wahyu daripada Allah untuk disampaikan kepada manusia sebagai peringatan, nasihat, teguran dan petunjuk agar manusia sentiasa berada di atas jalan kebenaran dan jalan yang lurus.

#Dengan membaca dan memahami al-Quran, manusia akan mengenali Allah swt dan tahu kehendak serta perintah Allah swt kepadanya. Al-Quran diturunkan untuk memberi peringatan kepada seluruh manusia.

تَبَارَكَ ٱلَّذِی نَزَّلَ ٱلۡفُرۡقَانَ عَلَىٰ عَبۡدِهِۦ لِیَكُونَ لِلۡعَـٰلَمِینَ نَذِیرًا

"Maha berkat Tuhan yang menurunkan Al-Furqaan kepada hambaNya (Muhammad), untuk menjadi peringatan dan amaran bagi seluruh penduduk alam" [Surah al-Furqan 1]

#Bacalah al-Quran. Fahamilah al-Quran. Amalkanlah segala tuntutan al-Quran. Ikutilah segala perintah di dalam al-Quran. Jauhilah segala tegahan yang terkandung di dalam al-Quran. Sebarkan dan fahamkan al-Quran kepada orang lain. Ini kerana al-Quran mengandungi jutaan mukjizat, kehebatan, keagungan, kebaikan dan kemuliaan.

#Daripada Sayidina Abdullah bin Mas’ud r.a, Nabi saw bersabda:

إِنَّ هٰذَا الْقُرْآنَ مَأْدُبَةُ اللهِ فَتَعَلَّمُوْا مَأْدُبَةَ اللهِ مَااسْتَطَعْـتُمْ. إِنَّ هٰذَاالْقُرْآنَ حَبْلُ اللهِ الْمَتِيْنِ وَنُوْرٌ مُبِيْنٌ وَشِفَاءٌ نَافِعٌ وَعِصْمَةٌ لِمَنْ تَمَسَّكَ بِهِ وَمَنْجَاةٌ لِمَنِ اتَّبَعَهُ لاَيَعْوَجُ فَيُقَوَّمُ وَلاَيَزِيْغُ فَيَسْتَعْـتِبَ وَلاَتَنْقَضِى  عَجَائِـبُهُ وَلَمْ يَخْلَقْ عَنْ كَثْرَةِ التِّرْدَادِ أُتْلُوْهُ فَإِنَّ اللهَ تَعَالىَ يَأْجُرُكُمْ عَلَى تِلاَوَتِهِ بِكُلِّ حَرْفٍ عَشْرُ حَسَـنَاتٍ أَمَا إِنِّيْ لاَأَقُوْلُ آلمۤ عَشَرَةٌ وَلـٰـكِنَّ  اْلأَلِفَ عَشَرَةٌ وَاللاَّمَ عَشَرَةٌ وَالْمِيْمَ عَشَرَةٌ

"Al-Quran ini adalah hidangan Allah. Oleh itu hadaplah hidangan Allah ini sepuas hati kamu. Al-Quran ini adalah tali Allah (cahaya yang menjadi petunjuk), cahaya yang terang dan ubat yang mujarab, pengawal bagi orang yang berpegang dengannya, penyelamat bagi orang yang mengikutnya, sesiapa yang tersesat akan dipandunya, sesiapa yang menyimpang akan dibetulkan, keajaibannya tiada henti, keagungan dan kemanisan bacaannya tidak akan terjejas walau sekerap mana sekalipun diulang-ulang. Bacalah kerana Allah, kerana ia akan memberikan kamu ganjaran jika kamu membacanya setiap satu huruf sepuluh ganjaran. Saya tidak dikatakan Alif Laam Miim sebagai satu huruf tetapi alif (1 huruf) dan Laam (1 huruf) dan Miim (1 huruf).” (HR al-Hakim)

♡Jadilah manusia yang sentiasa bersahabat dan berdampingan dengan al-Quran. Sentiasa mengambil peringatan dan pengajaran darinya agar hidup sentiasa diberkati, dirahmati dan dipandu di atas landasan yang lurus menuju ke syurgaNya. Aamiiin♡

Bersenam Malam Bahaya ke?


Dalam isu ni sebenarnya, ada 2 perkara yang kita kena faham dahulu.

◾Kalau tak bersenam, risiko mendapat penyakit kencing manis, darah tinggi, obesiti, dan masalah jantung meningkat.

◾Kalau bersenam(intensiti tinggi) waktu malam, risiko mendapat penyakit kencing manis, darah tinggi, dan masalah jantung meningkat.

Kemudian kita bandingkan pula dua perkara ini. Antara tak bersenam dan bersenam malam, mana lebih tinggi risiko?

Ya, tak bersenam lebih tinggi risiko. Tambahan pula hanya senaman dengan intensiti TINGGI pada waktu malam sahaja menyebabkan risiko seperti itu.

Bersenam pada waktu siang adalah kondisi terbaik, namun kebanyakan kita kesuntukan masa untuk bersenam pada waktu itu.

Kedua terbaik adalah bersenam pada waktu malam, tetapi dengan beberapa syarat, antaranya:
1. Intensiti senaman adalah ringan/sederhana.
2. Selesai tidak terlalu lewat malam.
3. Tidak ganggu jumlah dan kualiti tidur.
4. Mandi sebelum masuk tidur.

Tahu tak apa yang lebih meningkat risiko mendapat kencing manis, darah tinggi dan masalah jantung, berbanding tak bersenam dan bersenam malam?

Makan makanan berat dan minum minuman manis, serta merokok, selepas bersenam sehingga lewat malam. Ini sebenarnya amalan yang perlu dijauhi.

Kesihatan dipengaruhi oleh gaya hidup, dan merangkumi banyak aspek: nutrisi, tidur, senaman, sosial, persekitaran, kebersihan dan sebagainya.

Kita kena susun gaya hidup paling optimum dalam keterbatasan yang kita ada.

Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan