"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Monday, June 28, 2010

Luka bersalin punca murung

 
KESIHATAN ibu hamil perlu dipantau sepanjang masa ketika mengandungkan bayi hinggalah selepas bersalin. - Gambar hiasan.


KATA orang tua-tua, wanita perlu berpantang kerana proses mengandung dan bersalin menuntut tenaga dan perubahan yang bukan sedikit kepada organ tubuh.
Menurut Pakar Runding Obstetrik Ginekologi, Hospital Pakar Ampang Puteri, Dr. Fauziah Mohd Hassan, perubahan itu melibatkan organ-organ seperti organ reproduktif (vulva, faraj, servik, ovari dan rahim), tulang dan sendi-sendi terutama pada tulang belakang serta pelvis.
"Perubahan yang agak ketara juga berlaku pada kulit, muka dan perut ibu. Payu dara juga akan membengkak. Kulit di bahagian puting (areola) berwarna gelap.
"Berlaku juga perubahan pada sistem kardiovaskular (jantung), darah dan komponennya, pernafasan, perkumuhan buah pinggang, usus, penghadaman dan metabolisme," katanya kepada Kosmo!.
"Lazimnya, perubahan berlaku dengan cepat sejurus kelahiran. Sebagai contoh, saiz rahim yang begitu besar ketika hamil sembilan bulan akan terus mengecut ke paras bawah pusat dengan anggaran berat kira-kira 900 gram (saiz lima bulan hamil). Proses pengecutan ini menyebabkan kesakitan," katanya.
Luka episiotomi
Jelas Fauziah, servik akan tercedera semasa proses kelahiran bayi. Oleh itu, lubang servik bagi ibu-ibu yang telah melahirkan anak secara normal berbentuk melintang, manakala yang belum pernah melahirkan anak secara normal berbentuk titik. Lubang servik ini akan mengecut dalam masa seminggu selepas bersalin jika tiada jangkitan.
Selain itu, wanita yang bakal melahirkan anak juga akan berdepan dengan luka episiotomi.
Luka episiotomi terhasil melalui potongan yang dilakukan di kawasan perineum sewaktu proses bersalin bagi tujuan menyediakan bukaan yang lebih luas untuk bayi.
"Luka episiotomi ini lazimnya sembuh dalam masa 10 hingga 14 hari, bergantung pada cara penjagaan dan kebersihan diri," jelasnya yang menggalakkan penggunaan antiseptik dan tidak bersetuju dengan penggunaan ubat herba yang tidak disteril.
Fauziah memberitahu, tidak dinafikan bahawa seramai 50 peratus wanita boleh mengalami kemurungan dalam minggu pertama selepas bersalin. Jika itu berlanjutan melebihi lima hari, doktor perlu dirujuk segera.
"Antara penyebab kemurungan adalah rasa tidak selesa seperti sakit pengecutan rahim dan jahitan luka pada faraj, keletihan serta kelesuan akibat kekurangan tidur.
"Ia juga terjadi kerana kegusaran tentang kebolehan menyusu dan menjaga bayi ataupun risau tentang bentuk badan yang kurang menarik," katanya.
Oleh itu, katanya, ibu yang baru sahaja melahirkan bayi memerlukan sokongan dalam beberapa aspek seperti sokongan fizikal, emosi dan melalui teknik mengurut. Suami, keluarga dan juga bayi yang dilahirkan itu boleh menjadi motivasi yang diperlukannya.
Menurut Fauziah, selepas bersalin lazimnya wanita Melayu di Malaysia akan berurut selama beberapa hari. Ada ibu berurut selama tiga hingga tujuh hari. Kebiasaannya, urutan dilakukan oleh bidan, tukang urut tradisional ataupun ahli fisioterapi.
"Semua ibu yang telah bersalin sama ada secara normal ataupun secara pembedahan boleh berurut seluruh badannya kecuali di bahagian perut.
"Boleh dikatakan kebanyakan tukang urut akan mengurut seluruh badan ibu termasuk bahagian perut.
"Namun begitu, urutan di bahagian perut tidak digalakkan kerana rahim sesedang melalui proses pengecutan. Oleh itu, mengurut untuk mengangkat rahim tidak digalakkan kerana ia tidak mempunyai sebab saintifik.
"Rahim yang 'jatuh' berlaku atas sebab-sebab lain seperti banyak kelahiran, kelahiran anak yang besar, menopaus dan mempunyai masalah sembelit ataupun batuk yang kronik," terang Fauziah.
Di samping penjagaan kebersihan, proses penyembuhan memerlukan makanan dan minuman dengan khasiat seperti vitamin, protein dan zat galian. Kajian menunjukkan vitamin C sangat diperlukan dalam proses penyembuhan selain protein.

FAUZIAH


Rekahan kulit perut
Lazimnya, kulit perut ibu bersalin akan menjadi lembut dan menggeleber kerana otot pada perut terpisah untuk beberapa minggu selepas bersalin.
"Rekahan pada kulit perut akibat bersalin pula akan bertukar warna menjadi pucat. Proses ini akan mengambil masa selama enam hingga sembilan bulan untuk kembali normal.
"Keadaan terlebih regangan ini berlaku pada kulit perut disebabkan kehamilan kembar dua atau tiga. Untuk mengembalikan kekuatan otot perut, perlulah melakukan senaman otot perut.
"Kekuatan ini tidak berlaku dengan hanya memakai bengkung dan membalut perut," katanya.
Secara purata, seseorang ibu akan bertambah berat badan sebanyak 12.5 kilogram sepanjang kehamilan.
Kajian menunjukkan kira-kira 6.5 kilogram akan hilang dalam bentuk berat bayi, berat uri dan air ketuban. Adakalanya berat ibu akan meningkat beberapa hari selepas bersalin kerana lebihan air.
"Berat badan ibu boleh stabil dalam masa 10 minggu selepas bersalin. Bagi ibu-ibu yang menyusukan bayi, berat badan mereka akan menurun lebih cepat berbanding ibu yang memberi susu formula kepada bayinya," katanya.
Fauziah memberitahu, wanita selepas bersalin juga akan menghadapi beberapa risiko penyakit kerana banyak mengalami luka dalaman.
Tambahan pula, berlaku kekurangan ketahanan badan semasa hamil dan selepas bersalin. Ketulan darah dan pendarahan menjadi makanan kuman seterusnya meninggikan risiko jangkitan.
"Jangkitan akan melambatkan proses penyembuhan dan luka-luka itu boleh bernanah. Jika parut pada rahim semasa pembedahan (caesarian) dijangkiti kuman, parut yang sudah sembuh tidak dapat sembuh dengan baik.
"Itu mendatangkan risiko kepada kehamilan akan datang. Jangkitan kuman juga boleh menyebabkan saluran tiub fallopio tersumbat lalu menjejaskan peluang untuk hamil lagi.
"Adakalanya jangkitan pada rahim merebak ke dalam saluran darah. Ia boleh menjadi serius dan membawa maut jika tidak dirawat dengan cepat dan tepat.
"Oleh itu, jika seseorang ibu demam semasa dalam pantang, jangan ambil mudah. Segeralah berjumpa doktor," kata Fauziah serius. - FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA

Protozoa penyebab cirit-birit







CUKUP menakutkan apabila parasit halus menjadikan tubuh manusia sebagai perumah tanpa kita disedari.
Jika dahulu masyarakat sering didedahkan dengan bahaya cacing tularan tanah seperti cacing gelang, cacing cambuk, cacing kait dan cacing benang, kini jangkitan protozoa juga tidak harus dipandang ringan.
Malah, bagi mereka yang mempunyai sistem pertahanan badan yang lemah, kehadiran parasit daripada pelbagai jenis terutama protozoa menjadikan keadaan lebih serius.
Menurut Pakar Parasitologi dan Kesihatan Masyarakat Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Datin Dr. Norhayati Moktar, perkara ini bukan sesuatu yang baru dalam penyelidikan berkaitan parasit yang menjadi ancaman kepada kesihatan manusia.
“Bagi pesakit AIDS atau kanser yang sedang menjalani rawatan kimoterapi, kebarangkalian untuk dijangkiti parasit usus adalah agak tinggi,” katanya.


SELAIN usus besar, hati, limpa dan paru-paru sering menjadi perumah parasit jangkitan usus.



Protozoa pembunuh
Jelas Norhayati, infeksi protozoa terhadap golongan yang mempunyai sistem imun badan lemah dikenali melalui simptom cirit-birit berpanjangan, hilang selera makan dan turun berat badan.
Jelasnya, protozoa usus daripada jenis koksidia seperti Cryptosporidium parvum dan Isospora belli serta kumpulan mikrosporida usus menjadi penyebab utama cirit-birit berpanjangan.
Norhayati juga menjelaskan, secara amnya, infeksi parasit usus sering ditemui dalam masyarakat namun penghidapnya tidak mempunyai gejala yang jelas.
“Oleh itu, kes-kes jangkitan ini jarang dikesan di pusat kesihatan dan hospital.
“Keadaan ini amat berbeza dengan jangkitan yang disebabkan oleh bakteria atau virus seperti H1N1, di mana pesakit menunjukkan gejala,” jelasnya yang turut menyatakan infeksi ini melibatkan protozoa dan cacing tularan tanah (STH).
Hasil kajian mendapati hampir 80 peratus jangkitan usus ini menular secara senyap kerana tiada gejala khusus.


NORHAYATI MOKTAR



Ujarnya, meskipun Malaysia merupakan negara membangun, masalah jangkitan parasit usus masih membelenggu penduduk di beberapa kawasan.
Disebabkan sebaran parasit ini menular melalui makanan dan air yang tercemar dengan najis manusia, taburan penyakit lebih banyak ditemui di kalangan penduduk yang tinggal di pedalaman yang tidak mempunyai sistem pembuangan najis yang baik serta bekalan air bersih seperti air sungai.
Ganggu tumbesaran
Tambah beliau, infeksi protozoa usus terutama Giardia intestinalis boleh mengganggu tumbesaran kanak-kanak.
Jelasnya, terdapat beberapa mekanisme bagaimana parasit usus menyebabkan mulnutrisi terhadap kanak-kanak malah golongan dewasa.
“Selain mengganggu sistem penghadaman dan penyerapan makanan, pesakit juga akan mengalami ciri-birit yang kronik, muntah dan sakit di bahagian abdomen.
“Kesan-kesan ini akan menyebabkan pertumbuhan dan perkembagan fizikal dan mental kanak-kanak terbantut,” katanya.


PROTOZOA Giardia lamblia cysts di bawah mikroskop.



Dalam pada itu, kawalan dan pencegahan infeksi parasit usus mungkin memerlukan pendekatan yang baru kerana kajian terbaru membuktikan sumber infeksi protozoa spesies Giardia intestinalis bukan saja daripada manusia ke manusia tetapi melalui anjing dan roden.
“Walaupun jangkitan parasit usus ini mempunyai kadar kematian yang rendah dan jarang diperkatakan umum, kawalan dan pencegahan harus dipertingkatkan kerana ia mampu mengganggu kualiti hidup seseorang,” ujarnya.

Enggan akui kelemahan


DR. Ismail menunjukkan empat Siri Celik yang mengetengahkan pelbagai isu kesihatan seksual dan perkahwinan.


TIDAK mahu dikatakan tidak subur atau lemah, lelaki mungkin berdiam jika berhadapan masalah tersebut. Bukan mudah untuk berkongsi cerita dalam sesetengah perkara berbau peribadi sekalipun dengan orang yang dirasakan boleh dipercayai. Lebih-lebih lagi rahsia itu melibatkan kesihatan seks iaitu mati pucuk atau Erectile Disfunction (ED). Langkah berdiam diri mungkin dirasakan pilihan terbaik daripada berterus terang yang dirasakan hanya akan membuka pekung di dada.
Akhirnya, masalah yang membelenggu diri itu terus berlarutan tanpa noktah hanya kerana mahu menjaga ego.
Punca ED
Laporan media baru-baru ini mengenai kaitan lelaki sakit jantung dengan mati pucuk memang menarik perhatian. Benarkah pesakit jantung akan mengalami ED? Bahkan laporan tersebut melaporkan 75.7 peratus daripada 111 pesakit jantung tersebut mengalami ED.
Kefahaman dan maklumat perlu diberi agar golongan lelaki sedar tentang situasi itu. Mereka perlu memahami punca sebenar ED tanpa memberi alasan tertentu.
Itulah yang cuba disampaikan Pakar Sakit Tuan, Dr. Mohd Ismail Mohd Thamby.
Kata beliau, mati pucuk merupakan masalah lelaki dan merupakan istilah yang tidak selesa buat golongan tersebut.
Ramai beranggapan mereka yang mengalami masalah itu tidak berkemampuan dari segi seksual.
“Kajian menunjukkan lelaki yang mempunyai masalah ini disebabkan gaya hidup yang tidak sihat. Misalnya, mereka tidak bersenam, obesiti dan mempunyai penyakit kronik seperti sakit jantung, kencing manis dan darah tinggi.
“Berdasarkan kajian tersebut, rupa-rupanya lelaki yang ada masalah kolestrol juga mengalami masalah ini. Kolestrol ini menyebabkan salur darah sempit. Justeru itu, darah tidak dapat mengalir masuk ke dalam zakar. Masalah saluran darah ini juga menyebabkan sakit jantung atau masalah kardiologi,” jelasnya.
Dalam konteks ini, orang ramai perlu faham sakit jantung bukan tanda-tanda ED. Antara faktor utama ialah gaya hidup tidak sihat menyebabkan kolestrol, tekanan darah serta gula dalam badan meningkat. Masalah lemah tenaga batin biasanya berlaku akibat gangguan vaskular yang menjejaskan bekalan darah ke zakar. Perjalanan darah boleh terganggu akibat pengerasan arteri (arteriosclerosis), diabetes, tekanan darah tinggi atau tahap kolesterol dalam darah yang luar biasa tingginya.
Tambah Dr. Ismail, faktor gaya hidup juga penting. Merokok misalnya boleh menyempitkan aliran darah ke zakar dan memburukkan keadaan vaskular seperti tekanan darah tinggi. Meminum minuman beralkohol secara berlebihan serta penyalahgunaan dadah boleh memburukkan lagi masalah tersebut.
Semakin meningkat
Tambah Dr. Ismail, bilangan lelaki Malaysia yang menghadapi masalah ED semakin meningkat saban tahun dan kini mencecah lebih 3.5 juta orang.
Masalah kelakian itu agak membimbangkan dengan bilangan penghidapnya hanya 1.7 juta pada 1997, meningkat kepada 2.3 juta pada 2003 dan 3.5 juta pada tahun lalu.
“Perkara itu membimbangkan kerana ramai di kalangan lelaki tidak mengetahui mereka menghadapi masalah berkenaan. Pada tahun, 1997, hampir satu juta orang dikatakan mengalami ED peringkat awal. Cuba bayangkan pertambahan jumlah tersebut. Ia akan terus meningkat kerana umur dan bilangan lelaki juga bertambah,” ujarnya.
Lebih merumitkan, jika sebelum ini masalah psikologi yang berpunca daripada tekanan itu sering menghantui golongan lelaki berusia 40 tahun ke atas, ia kini turut menjadi igauan 'ngeri' lelaki yang lebih muda.
Misalnya, ramai remaja yang tidak tahu tentang pendidikan seks yang betul. Misalnya, kesan melakukan onani pada usia remaja.
Jelas Dr. Ismail, onani boleh menimbulkan masalah klimaks berlaku dengan cepat.
Kesan negatif ED
Tidak dinafikan, masalah ED mungkin menjejaskan komunikasi antara suami dan isteri.
“Kurangnya komunikasi antara pasangan dan pakar penjagaan kesihatan lambat laun boleh membawa kesan negatif. Masalah lemah tenaga batin boleh menjejaskan perhubungan suami isteri. Jika isteri mengetahui bahawa suaminya menghadapi penyakit tersebut, dia boleh membantu dengan menggalakkan suaminya membicarakan perkara tersebut secara terbuka.
Ketika inilah peranan pasangan penting dalam membantu merawat masalah lemah tenaga batin. Namun, ramai pasangan tidak mahu membincangkan masalah ini kerana malu dan terikat dengan budaya,” kata beliau.
Namun, bukan kesan ED yang perlu diketengahkan masyarakat. Apabila seseorang mengalami ED, Dr. Ismail menjelaskan, kemungkinan dia mengalami masalah kesihatan lain seperti yang dibincangkan sebelum ini.
Rawatan
Ramai yang salah anggapan kerana mencuba rawatan tradisional atau pil viagra untuk memulihkan ED.
Hakikatnya, amalan perubatan asas termasuk sejarah perubatan dan seksual, pemeriksaan fizikal yang ringkas dan mengukur tekanan darah adalah perkara biasa yang perlu dilakukan oleh doktor ke atas pesakit lemah tenaga batin. Namun, dalam konteks urutan zakar untuk memperbaiki ED, ia sebenarnya ibarat mitos.
Menurut Dr. Ismail, setiap orang perlu tahu tidak semua bahagian yang perlu diurut. Misalnya leher dan zakar.
“Justeru itu, sebarang masalah yang melibatkan kesihatan seksual perlu dirujuk pada doktor pakar. Walaupun masyarakat ada kesedaran, perasaan malu masih ada. Ibarat nasi sudah menjadi bubur, jika kes itu menjadi teruk, barulah masing-masing sedar. Perlu diingat, mati pucuk adalah masalah kesihatan. Pengambilan pil viagra pula mestilah melalui pemeriksaan dan nasihat doktor kerana ia mempunyai kesan sampingan. Lebih berbahaya jika pesakit ED mempunyai penyakit kronik lain,” katanya.
Sebaik sahaja, seorang lelaki mengadu mengalami ED, mereka akan dinasihatkan melakukan pemeriksaan kesihatan seterusnya.
Dr. Ismail menambah, kemung-
kinan pesakit turut menghidap penyakit lain.
Justeru itu, lelaki atau wanita yang berumur 40 tahun ke atas perlu melakukan pemeriksaan kesihatan sekali dalam enam bulan.
Dalam pada itu, maklumat mengenai masalah seksual dan kesihatan lelaki perlu tepat. Antara inisiatif yang dilakukan Dr. Ismail ialah menerbitkan empat siri video, Siri Celik yang kini telah pun berada di pasaran.

Atasi penglihatan kabur


Suplemen lutein dan zeaxanthin dapat melindungi mata.


ADAKAH komponen dalam peralatan elektrik seperti televisyen dan skrin komputer, boleh menyebabkan mata letih, sakit kepala dan gangguan tidur? Fakta ini agak menakutkan tetapi ia telah diakui oleh pakar bidang berkaitan. Komponen yang dimaksudkan ialah Diod Pemancar Cahaya (Light Emitting Diodes - LED) yang mengeluarkan cahaya biru pada telefon bimbit, komputer, televisyen dan sebagainya.
Menurut Bernard Godley, seorang pakar mata dari Yayasan Retina di selatan Dallas, “Dalam spektrum cahaya, cahaya biru bertenaga paling tinggi. Walaupun kurang bertenaga berbanding sinar UV, cahaya biru boleh menembusi tisu badan dan merosakkan sel.”
Apabila mata melihat sesuatu objek, tidak kira berapa lama, otot-otot mata perlu bekerja. Lebih lama mata menumpu, lebih berat otot mata bekerja. Ini menyebabkan mata letih jika terlalu lama menonton televisyen secara berterusan.
Andrew Hogan, Presiden Persatuan Optometris Australia cawangan Tasmania memberikan panduan menonton televisyen bagi menjaga kesihatan mata:
* Apabila menonton televisyen, jarakkan sekurang-kurangnya empat atau lima meter daripada skrin - lebih dekat kepada skrin, mata akan lebih penat.
* Jangan menonton dalam gelap - pastikan televisyen bukan sumber cahaya utama. Elakkan silau pada masa yang sama.
* Berehat sebentar - bergerak dan alihkan penglihatan ke arah lain
Punca cahaya biru dan tekanan mata
* Skrin komputer juga memancarkan cahaya biru yang boleh mengganggu penglihatan dan memberi tekanan pada mata.
* Mata yang terdedah terlalu lama kepada sinar UV dan cahaya biru yang berbahaya, di samping peningkatan usia, boleh mengalami kerosakan berlebihan akibat radikal bebas. Ini menyumbang kepada katarak dan kemerosotan fungsi makula (Age-related macular degeneration - AMD).
Lutein dan zeaxanthin
Lutein dan zeaxanthin, merupakan dua pigmen kekuningan semula jadi tergolong dalam kumpulan karotenoid. Fungsi utama 2 karotenoid ini ialah:
i) Melindungi mata daripada sinar UV yang berbahaya - lutein dan zeaxanthin membantu mengurangkan risiko mendapat AMD dan katarak.
ii) Bertindak sebagai anti oksida untuk melindungi kanta, retina dan makula, daripada kerosakan akibat radikal bebas kerana terdedah secara berlebihan kepada sinar matahari, skrin komputer dan lain-lain sinar yang berbahaya.
Kedua-dua lutein dan zeaxanthin menyerap bahagian cahaya yang paling bertenaga dan berbahaya iaitu sinar UV (yang juga menghasilkan radikal bebas yang berbahaya). Kebolehan penyerapan ini penting agar kanta, retina dan makula dapat dilindungi.
Seperti nutrien penting yang lain, lutein dan zeaxanthin tidak dihasilkan oleh badan. Untuk mendapatkannya secara mencukupi ialah dengan memakan makanan yang kaya dengan anti oksida ini atau dengan mengambil suplemen lutein dan zeaxanthin. Usia yang meningkat akan mengurangkan jumlah lutein dan zeaxanthin dalam badan tetapi dengan meningkatkan pengambilannya setiap hari, boleh meningkatkan kandungan keduanya dalam makula.
Lutein dan zeaxanthin melindungi mata daripada dua penyebab utama kehilangan penglihatan iaitu katarak dan AMD. Selain melindungi daripada katarak, jika seseorang sedang mengalami katarak, kedua-dua pigmen ini dapat membantu memperbaiki masalah penglihatan. Apabila pesakit yang mengalami katarak mengambil suplemen lutein dan zeaxanthin, ketajaman penglihatan bertambah baik.
Membeli suplemen
Dua perkara untuk dipertimbangkan apabila hendak membeli suplemen mata ialah:
i) Suplemen itu menggunakan herba Marigold yang telah dipiawaikan untuk mengandungi sekurang-kurangnya 15 peratus ester lutein dan 40 peratus zeaxanthin, bagi memastikan setiap kapsul mengandungi jumlah bahan aktif yang tertentu seperti yang tercatit pada label.
ii) Lutein dan zeaxanthin yang berkonsentrasi tinggi digunakan
Untuk memudahkan, adalah lebih baik mendapatkan formula 2 dalam 1 yang mengandungi kedua-dua lutein dan zeaxanthin dalam jumlah yang tinggi untuk melindungi mata daripada kerosakan akibat di samping menggalakkan penglihatan yang lebih tajam dan sihat.

Merawat gangguan penghadaman

SECARA asasnya, probiotik adalah bakteria hidup yang memberi manfaat kepada kesihatan apabila diambil dalam kuantiti yang secukupnya.
Peranan umum probiotik terhadap kesihatan manusia adalah mengekalkan ekosistem di dalam usus - mikroflora usus - untuk keseimbangan melalui pertumbuhan bakteria baik di dalam usus, dengan ini ia boleh mengawal pertumbuhan bakteria yang merbahaya.
Mikroflora di dalam usus yang seimbang memastikan kesihatan sistem penghadaman, yang menjadi asas kepada kesihatan kita. Tugasan bakteria usus yang baik adalah:
“Membantu dalam penghadaman dan penyerapan zat makanan, serta menghasilkan sesetengah vitamin dan asid folik.
“Membantu sel usus tumbuh dan kekal sihat, bakteria sihat membantu sistem imuniti usus dan melindunginya daripada jangkitan organisma yang masuk ke dalam usus.
“Membantu mengurangkan kesan toksin merbahaya dan bahan penyebab kanser yang terhasil di dalam usus.
Pertubuhan Gastroenterologi Sedunia memberi saranan bahawa untuk memperbaiki kesihatan penghadaman, makanlah produk dari hasil tenusu, terutamanya probiotik yang telah terbukti berfaedah terhadap kesihatan penghadaman. – Sumber: WGO
Penggunaan probiotik di hospital
Di hospital, probiotik yang diberikan kepada pesakit adalah dalam bentuk kapsul. Ia diberikan untuk merawat cirit-birit yang berlaku disebabkan oleh banyak faktor. Sehingga hari ini, probiotik telah dibuktikan berkesan dalam dua keadaan: antibiotik- menyebabkan kolitis dan gastroenteritis akut.
Penggunaan probiotik untuk rawatan
* Ulcerative kolitis
Ulcerative kolitis adalah penyakit radang usus (IBD) mengakibatkan tanda gejala seperti sakit pada abdomen, cirit-birit dan pendarahan. Terdapat bukti yang mengesyorkan penggunaan probiotik untuk mengurangkan tanda gejala gangguan penghadaman.
* Pouchitis
Pouchitis ialah keadaan di mana kebengkakan yang berlaku pada pouch di dalam usus pesakit yang telah menjalani pembedahan pembuangan usus besar untuk merawat penyakit ulcerative kolitis. Tanda gejala pouchitis ialah cirit-birit dan sakit pada bahagian abdomen. Keadaan ini selalunya dirawat dengan penggunaan antibiotik. Sesetengah kajian telah membuktikan probiotik membantu dalam merawat tanda gejala pouchitis yang ringan.
* Sindrom usus meragam (IBS)
IBS adalah masalah yang melibatkan usus besar, menyebabkan perubahan tabiat buang air besar dan tanda gejalanya adalah seperti cirit-birit, kekejangan pada abdomen dan kembung perut. Tiada penyembuhan pada penyakit ini dan rawatannya yang sedia ada sekarang tidak memuaskan. Sehingga sekarang kajian perubatan telah membuktikan bahawa probiotik boleh membantu mengurangkan gejala masalah ini.
* Jangkitan helicobacter pylori (H pylori)
H pylori ialah bakteria yang menyebabkan kebengkakan di dalam perut dan lama-kelamaan ulser di dalam perut akan terbentuk. Rawatan yang biasa diberi untuk jangkitan H pylori ialah antibiotik, tetapi sesetengah pesakit mungkin akan menghadapi kesukaran untuk menghilangkan jangkitan ini dengan terapi antibiotik yang lazim digunakan. Terdapat bukti yang mengesyorkan dengan menambah probiotik dalam rawatan antibiotik mungkin akan membantu menambahkan peluang penyembuhan dari jangkitan H pylori
Adakah probiotik suatu keperluan?
Probiotik bukanlah satu keperluan makanan tambahan kepada individu yang normal. Sekiranya anda sihat, pengambilan harian probiotik - makanan yang kaya dengannya, merupakan makanan dari produk tenusu seperti yougurt dan minuman susu kultur, sudah memadai untuk memenuhi jumlah probiotik yang diperlukan untuk mengekalkan kesihatan system penghadaman dan kesejahteraan hidup anda.
* Dr. Tan Huck Joo ialah presiden Persatuan Gastroenterologi dan Hepatologi Malaysia. Penulis tidak ada kaitan dan tidak menyokong setiap jenama atau produk. Artikel ini adalah milik Persatuan Gastroenterologi dan Hepatologi Malaysia dan disokong oleh Program Sehat VITAGEN perut. Untuk kesihatan percuma buku kecil pencernaan atau maklumat lebih lanjut, sila hubungi 03-5621 1408.

Pesona khasiat delima




UNTUK mendapatkan kulit yang sihat sebenarnya amat dekat dengan diri kita. Bahan-bahan semulajadi yang sering digunakan di ruang dapur misalnya buah-buahan dan sayur-sayuran antara penawar mudah diperoleh selain menjimatkan.
Apa kata minggu ini kita tinjau khasiat buah delima yang selalu di kawasan rumah dan mudah juga dibeli di pasar raya.
Dari sudut kesihatan dan kecantikan, buah delima diakui kaya dengan anti oksida. Kandungan gula di dalamnya mampu bertindak sebagai bahan skrub untuk menyingkirkan sel-sel kulit mati. Hasilnya kulit akan kelihatan segar dan muda selalu.
Cuba resipi skrub biji delima dan buat sendiri di rumah.
Bahan-bahan
½ cawan biji delima
½ cawan gula putih
2 sudu besar minyak (boleh gunakan minyak zaitun, sayuran, avokado atau bunga matahari).
2 titik pati minyak (pilihan)
Dalam mangkuk kecil, gaul biji delima dan gula. Tekan bahan-bahan tersebut menggunakan bahagian belakang sudu. campurkan minyak dan kacau rata.
Biji-biji delima akan mengeluarkan haruman segar apabila dihancurkan tetapi tidak salah jika anda ingin tambah pati minyak haruman kegemaran.
Urut bahan skrub tadi pada kulit perlahan-lahan. Resipi ini cukup untuk urutan keseluruhan badan. Lebihan skrub boleh disimpan dalam bekas kedap udara di dalam peti sejuk untuk tempoh sebulan.
Selain untuk kecantikan, delima juga enak dicampurkan dalam teh yang mempunyai khasiat unik untuk kesihatan. Buah delima sememangnya dikenali untuk membantu kardiovaskular dan mendapatkan tekanan darah yang seimbang. Ia juga mengandungi sumber vitamin menakjubkan.
Teh delima boleh dibuat dengan menggabungkan jusnya dan teh segar yang dibuat sendiri di rumah. Terpulang kepada anda untuk memilih teh yang digemari - sama ada teh hijau atau herba.
Cuci bersih biji-biji delima dan tapis sebelum dikisar sehingga hancur. Berhati-hati kerana kesan delima sukar untuk dihilangkan.
Tapis bahan tersebut sehingga mendapatkan jusnya. Untuk mendapatkan rasa segar dan melegakan cuba campur jus delima ke dalam teh chamomile. Anda juga boleh cuba mengabungkan jus tersebut dengan pudina atau ekstrak serai.
Keluarkan uncang teh atau tapis minuman tersebut sebelum diminum. Terpulang kepada anda untuk mencampur sebanyak mana jus delima ke dalam minuman. Ia bergantung juga kepada teh yang anda pilih.
Untuk menikmati kesegaran teh delima, tambah ketulan ais dalam minuman anda. Bagi menambah keenakan, perah sedikit jus lemon, anda pasti terpesona.

Daphne terkenang parut bersalin


Daphne menggunakan losen untuk memastikan kulitnya sihat dan cantik.


SAAT melahirkan anak merupakan perkara yang tidak dapat dilupakan seumur hidup oleh wanita. Walaupun tidak dapat menikmati rasa bersalin secara normal, kaedah pembedahan turut meninggalkan kenangan. Itulah yang dirasai oleh wanita cantik, Daphne Iking, 31. Baginya, parut yang ditinggalkan kerana pembedahan bersalin tidak akan dilupakan seumur hidup. Mungkin bagi setengah wanita, parut pada perut meninggalkan memori sedih. Namun, Daphne merasakan parut itulah yang sering mengingatkan dia sebagai seorang ibu. Walaupun bergelar ibu tunggal, Daphne bahagia kerana dia dapat merasai perasaan menjadi ibu.
“Parut di perut saya selepas pembedahan melahirkan anak adalah kenangan yang tidak dapat saya lupakan. Ia tidak meninggalkan kenangan buruk tetapi ia menjadi satu memori yang sangat indah sebagai ibu. Namun, sebagai seorang wanita, saya juga mahu memiliki kulit yang lembut dan halus,” ujarnya ketika majlis pelancaran rangkaian losen kulit terbaru, Vaseline di Villa Manja, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Setiap kali Daphne melihat anak perempuannya, dia teringin memiliki kulit licin dan lembut seperti itu.
Daphne berpendapat, dia perlu menjaga kulitnya seperti mana dia memelihara kesihatan diri pada usia 30-an.
Baginya, ia merupakan pakej lengkap bagi seorang wanita berasa yakin walaupun ditimpa pelbagai masalah.
Berkongsi rahsia memiliki kulit sihat dan cantik, sejak dari dulu lagi dia menggunakan produk semula jadi.
Selain memastikan kulit wajah dan badan sihat, ia memastikan Daphne tidak berhadapan dengan keadaan sensitif dan gatal-gatal.
Mungkin tidak ramai tahu, Daphne sering ditemani ubat alergi ke mana sahaja. Baginya, dia sering berhati-hati tentang pemakanan dan penggunaan produk kerana punca alergi pada kulitnya tidak dapat dipastikan doktor.
Ditanya tentang keadaan parut pada perutnya selepas pembedahan, ia beransur hilang dan lembut. Katanya, dengan penggunaan losen yang kerap seperti Vaseline, keadaan parut tersebut semakin pulih.
“Seorang wanita perlu memastikan keadaan kulit sentiasa lembap kerana kita tidak boleh mengembalikan masa dulu. Jika 20 tahun dahulu, kulit saya masih cantik dan baik tetapi sekarang terdapat perubahan warna dan keadaan. Jika daripada awal lagi kita boleh menjaga kulit, ia akan kekal muda sepanjang masa,” jelasnya.
Dalam pada itu, Vaseline yang baru sahaja melancarkan losen kekal lama dengan memastikan kulit lembap dan sihat sudah pun berada di pasaran.

Kulit rosak cacat penampilan


Kulit rosak akibat pengelupasan kimia mesti dirawat.


PERTEMUAN pertama dengan Puan Chua berlangsung semasa saya dijemput oleh sekumpulan ahli kelab perniagaan bagi sesi ceramah kesihatan. Apabila memberi ceramah untuk wanita saya mesti menyelitkan teknik terbaru bagi menjaga kecantikan dan meningkatkan keterampilan diri seseorang.
Ketika sesi soal jawab Puan Chua paling kurang bertanya. Saya merapati beliau kerana kulit wanita ini mempunyai kesan tompokan hitam yang agak serius sehingga mencacatkan kecantikan wajahnya. Oleh kerana beliau tidak bertanya apa-apa, maka saya mengandaikan beliau tidak berminat meningkatkan penampilan dirinya.
Tanpa disangka beberapa minggu selepas itu saya bertemu semula dengannya. Beliau datang ke klinik saya sebagai pesakit. Meskipun kurang fasih berbahasa Melayu beliau sedaya upaya cuba berkomunikasi. Kali ini dalam suasana yang berbeza. Beliau tampak resah dan menceritakan kepada saya kisah bagaimana kulitnya boleh menjadi sedemikian.
Sepuluh tahun yang lalu Puan Chun berkunjung ke sebuah pusat kecantikan yang dikendalikan oleh seorang wanita berasal dari China. Wanita dari China itu memasuki Malaysia dengan menggunakan pas pelancong dan membuka pusat kecantikan secara haram. Menurut Puan Chua pada waktu itu kulitnya tidak bermasalah. Wajah nya putih dan bersih. Dia berkunjung ke situ dengan rakan-rakan hanya untuk melihat jenis rawatan yang dibuat di situ. Namun setelah dipujuk beliau bersetuju mencuba rawatan di situ.
Rawatan yang dijalankan adalah sejenis pengelupasan kimia. Ubat yang disapu kewajah Puan Chan menyebabkan kulitnya kering dan sakit seperti terbakar. Wanita tersebut meyakinkannya selepas beberapa hari kulitnya akan menjadi lebih cantik. Dia kemudiannya di berikan ubat sapu, losen dan pil vitamin.
Kejadian itu menjadi tragedi baginya kerana kulit cantik yang diharapkan tidak kesampaian. Sebaliknya kulit beliau menjadi Kehitaman dan hari demi hari keadaan semakin teruk. Beliau cuba memulihkan kulit dengan bertemu pakar-pakar kecantikan namun menurut mereka kulitnya telah rosak sama sekali dan tidak dapat dibaiki lagi.
Lebih menyedihkan suaminya sendiri berasa malu untuk membawa beliau ke majlis-majlis kerana kulitnya terlalu hitam tidak dapat disembunyikan walaupun dengan menggunakan mekap. Puan Chua sendiri berubah menjadi anti sosial dan pendiam.
Saya membuat analisis kulitnya dan mendapati masalah Puan Chua adalah long standing PIH (post inflammamatory hyperpigmentation) akibat kesan samping chemical peeling oleh orang yang tidak bertauliah atau tiada pengalaman.
Post Inflammatory Hyperpigmentation
Kerosakan ini boleh berlaku kerana kesan sampingan radang pada kulit seperti bekas jerawat, luka atau terbakar dan pengunaan bahan kosmetik yang salah. Oleh kerana chemical peeling dilakukan ke seluruh wajah, maka kesan `terbakar’ yang di alami oleh Puan Chua adalah pada keseluruhan muka. Sekali pandang saling tak tumpah seperti Dayang Senandung dalam filem Seniman P Ramlee. Bukan sahaja wajahnya jadi gelap dan lebam, tetapi tekstur kulit mukanya kasar dan pori-pori mukanya luas.
Kaedah Rawatan
Saya mencadangkan rawatan menggunakan laser. Rawatan mestilah dibuat antara enam sehingga sepuluh kali untuk mendapat hasil yang memuaskan. Saya juga mencadangkan rawatan PRP (platlet rich plasma). Uniknya dalam rawatan ini kita menggunakan sel-sel dalam darah pesakit itu sendiri. Saya menyarankan agar beliau melakukan rawatan setiap minggu, tetapi beliau hanya mampu menjalani rawatan sebulan sekali . Selepas rawatan pertama Puan Chua berjanji akan datang lagi jika terdapat perubahan pada kulitnya. Nampaknya belum benar benar yakin dengan saya. Pada bulan berikutnya, beliau datang untuk rawatan kedua. Beliau kelihatan sedikit ceria kerana pigmentasi beliau sudah mula pudar dan ada beberapa kawan sudah menegur.
Minggu lepas adalah rawatan beliau yang ketiga. Saya menjangkakan beliau akan datang semula sebulan dari sekarang. Tetapi minggu ini beliau muncul di klinik. Kehadirannya memberikan saya seribu satu pertanyaan yang berlegar di dalam pemikiran. Selepas beberapa minit saya menjemput dia masuk. Keadaan kulit mukanya tampak banyak perubahan walaupun baru tiga kali rawatan.
Beliau juga memberitahu hubungannya dengan suami yang semakin hambar menunjukkan tanda-tanda akan pulih. Malah dua hari beliau memberitahu dikunjungi suami yang mengajaknya keluar bersama. Untuk sesi kali ini saya menjalankan rawatan menghilangkan pigmentasi menggunakan laser sekali lagi.
Sambil merawat Puan Chua beliau bercerita mengenai masalah rumah tangganya yang rumit. Semenjak mengalami masalah pigmentasi pada mukanya , beliau berasa sangat tertekan, tidak mahu keluar rumah dan suka menyendiri. Ini juga telah menyebabkan beliau berpisah dengan suaminya. Beliau memilih untuk berpisah kerana merasa rendah diri. Saya terkejut mendengar berita tersebut.
Namun begitu suaminya seorang yang baik dan selalu datang melawat beliau sambil memberi wang nafkah. Sebab itu beliau hanya mampu menjalani rawatan sebulan sekali. Bekas suaminya cuba berbaik semula dan selalu mengajak beliau keluar. Tetapi akibat kesan pigmentasi pada mukanya , beliau berasa sangat malu dan memilih untuk duduk di rumah sahaja. Tetapi kini selepas tiga rawatan, keadaan beliau sudah jauh lebih baik. Tidak lagi terdapat kesan tompok-tompok yang ketara di mukanya, dan hanya kelihatan seperti terkena sedikit selaran matahari.
Beliau faham untuk mendapat kesan yang cantik, beliau perlu menjalani dalam 6 sehingga 10 kali rawatan. Dan semasa dalam rawatan beliau harus menggunakan pelindung matahari yang bagus dan menghindari sinaran matahari. Beliau kini sangat gembira kerana tidak perlu risau orang memandang mukanya apabila keluar ke bandar. Dia menambah lagi selain pigmentasinya yang semakin pudar, bekas suaminya memuji kulit beliau semakin halus dan tegang, malah dia kelihatan lebih muda.
Saya tidak menyangka keprihatinan saya terhadap masalah kulit beliau sebenarnya telah mengubah hidup dan masa depannya. Namun begitu saya mengingatkan beliau berkali-kali untuk menghindari sinaran matahari ketika berada di luar rumah dengan memakai sunblock dan payung.