"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Saturday, June 14, 2008

BUAH PINGGANG

Kenali buah pinggang anda

SIRI PERTAMAPENGESANAN awal penyakit buah pinggang amat penting untuk melambatkan penularan penyakit ini dan mencegah penyakit kardiovaskular yang berkaitan.

Buah pinggang adalah organ yang penting dalam badan. Meskipun saiznya kecil, hanya lebih kurang dua penumbuk tangan, buah pinggang kita mempunyai keupayaan untuk menapis bahan buangan daripada darah dan membantu membuang bendalir berlebihan.

Setiap hari, kira-kira 200 liter darah ditapis atau ‘dibersihkan’ oleh buah pinggang. Di samping itu, buah pinggang juga terlibat dalam penghasilan sel-sel darah merah, kawalan tekanan darah, kawalan keseimbangan asid-bes (alkali) dan penjagaan kesihatan tulang.


Jika terdapat keadaan tidak normal dalam buah pinggang, contohnya tahap protein melebihi paras normal atau terdapat kesan darah dalam air kencing atau jika fungsi buah pinggang merosot, besar kemungkinan kita menghidap penyakit buah pinggang kronik.

Pada peringkat awal, penyakit buah pinggang tidak ketara kerana pesakit masih berasa sihat. Oleh kerana itu, adalah tidak menghairankan jika ramai orang tidak sedar mereka mengalami masalah buah pinggang dan lama-kelamaan penyakit ini lebih teruk.

Hakikatnya, penularan penyakit buah pinggang kronik adalah lebih serius daripada yang kita sangkakan.

Kajian terhadap pelbagai bangsa di seluruh dunia menunjukkan bahawa kira-kira satu daripada setiap 10 orang dewasa menghidap penyakit buah pinggang kronik.


Di samping itu, penyakit buah pinggang kronik adalah ‘penyakit berganda’ kerana ia dikaitkan dengan peningkatan sekurang-kurangnya 10 kali ganda risiko kematian awal akibat penyakit jantung, strok dan penyakit vaskular periferal.


Fungsi renal atau ginjal adalah pada tahap optimum dengan dua buah pinggang yang sihat. Sedikit kemerosotan dalam kadar fungsi biasanya tidak memudaratkan.
normal


Seseorang masih dapat menjalani hidup normal dengan hanya satu buah pinggang, yang memberikan 50 peratus fungsi renal.


Masalah kesihatan yang serius biasanya mula timbul apabila fungsi renal seseorang merosot hingga di bawah paras 30 peratus.


Apabila fungsi renal kurang daripada paras 10 hingga 15 peratus, peluang untuk hidup adalah tipis jika pesakit tidak menjalani rawatan penggantian fungsi ginjal seperti dialisis atau pemindahan buah pinggang.


Oleh kerana gejala yang ketara, penyakit buah pinggang hanya dapat dikesan pada peringkat lanjut, adalah penting untuk mengesan penyakit ini pada peringkat awal. Ini boleh dilakukan melalui pemeriksaan kesihatan yang mudah dan berkala, khususnya ujian air kencing, darah dan tekanan darah.


Jika dikesan awal, penularan penyakit buah pinggang boleh dilambatkan dengan rawatan dan strategi pengurusan kesihatan yang betul. Pesakit diabetes, mereka yang mengalami tekanan darah tinggi, warga tua dan mereka yang mempunyai sejarah keluarga dengan penyakit buah pinggang hendaklah menjalani pemeriksaan secara tetap bagi mengesan penyakit buah pinggang kronik kerana mereka menghadapi risiko yang lebih tinggi untuk diserang penyakit ini.


Mereka yang menghidap penyakit autoimun seperti lupus eritematosus sistemik (SLE), mempunyai berat badan berlebihan atau merokok, serta mereka yang mengambil ubat pelega kesakitan, seperti ubat anti-radang yang bukan steroid (NSAIDS) untuk jangka masa panjang, juga berdepan dengan risiko yang lebih tinggi untuk penyakit buah pinggang kronik.


Berikutan keputusan ujian darah dan air kencing, imbasan buah pinggang dan pemeriksaan lain mungkin dinasihatkan untuk menentukan punca kemerosotan fungsi buah pinggang.
Ini penting agar rawatan yang sebaik mungkin dapat diberikan kepada pesakit untuk mengekalkan fungsi buah pinggang dan secara tidak langsung, mencegah komplikasi kardiovaskular yang berkaitan.

- Rencana pendidikan ini dibawakan oleh Panel Pendidikan Kesihatan Buah Pinggang, dengan sokongan Persatuan Nefrologi Malaysia (MSN) dan Baxter Healthcare Malaysia. Untuk maklumat lanjut atau pertanyaan, layari www.freedomtolive.com.my atau www.msn.org.my.

GULA DARAH

Masalah gula darah


SEBELUM, ini kita berbincang mengenai Disglisemia sebagai salah satu penyebab penyakit kencing manis jenis II. Hari ini kita akan membincangkan satu lagi teori menarik dan terbukti, dirujuk sebagai “hiperasiditi” (asid berlebihan) badan.


Penyakit degeneratif (Penuaan) dan hubungkait dengan hiperasiditi
Kebanyakan penyakit degeneratif adalah akibat sisa buangan asid yang menimbun dalam badan. Ketika dilahirkan, badan kita bebas daripada deposit sisa buangan asid. Kita mempunyai konsentrasi mineral alkali dan pH badan yang tertinggi. Apabila semakin tua, proses hidup yang biasa ialah kita beransur-ansur menjadi lebih berasid. Itulah sebabnya mengapa degeneratif tidak berlaku semasa muda. Ia lazimnya berlaku selepas umur 40 tahun. Perbezaan antara ketika berusia 20 tahun dan 40 tahun ialah anda telah mengumpul lebih banyak sisa berasid pada usia 40 berbanding 20 tahun.

Untuk mempertahankan kehidupan, badan mestilah mengekalkan suhu badan yang mantap dan nilai pH cecair badan yang malar dengan pH yang sedikit menjurus kepada alkali pada julat yang ketat iaitu 7.3 hingga 7.45. Jika miring walau sedikitpun kepada pH darah yang berasid, ia akan membawa maut, satu keadaan yang badan kita tidak akan membiarkannya berlaku. Untuk mencegah keadaan ini, badan dengan cepatnya akan menyelaraskan pH darah kembali semula ke pH yang beralkali melalui pelbagai mekanisme, seperti menggunakan mineral alkali dalam badan untuk meneutralisasikannya. Apabila mekanisme ini tidak dapat menangani permintaan, maka mekanisme lain akan memainkan peranan. Salah satu daripadanya ialah pemejalan kimia berasid, kemudian mendepositkan dalam tisu dan organ badan. Kolesterol dan asid urik yang terhablur adalah contoh asid yang memejal.


Faktor ketidakseimbangan asid badan
Gaya hidup dan tabiat makan yang tidak baik, pengambilan sayuran dan buah-buahan yang tidak mencukupi, mewujudkan ketidakseimbangan asid dan menyebabkan badan beransur-ansur menjadi berasid. Kita sentiasa sibuk dan sering mendesak badan habis-habisan untuk melakukan sesuatu. Kita berjaga sehingga larut malam dan esok pagi bangun awal untuk menunaikan tanggungjawab. Tekanan fizikal atau mental akan menjana lebih banyak sisa buangan berasid dalam badan. Pencemaran alam sekitar juga satu sebab pengasidan badan. Jika ini berterusan, ia akan membawa padah kepada kesihatan seperti arthritis, tekanan darah tinggi, kanser dan kencing manis (diabetes).


Dalam kes kencing manis, adalah dipercayai bahawa pankreas mengeluarkan salah satu cecair badan pH yang tertinggi dengan nilai pHnya 8.8. Kekurangan ion kalsium merencat pengeluaran dan pelepasan hormon insulin. Saluran darah yang tersumbat disebabkan oleh penimbunan asid juga melemahkan fungsi pankreas. Apabila semakin berumur, kita mengumpul produk sisa berasid, maka kecekapan pankreas juga berkurangan. Rupa-rupanya kita mengumpul sisa berasid di sekeliling pankreas, lebih-lebih lagi lelaki . Orang lelaki, mulanya akan mengumpul asid lemak di sekeliling pinggang .


Penjenisan Metabolik – Makanan yang baik untuk seseorang mungkin menjadi racun kepada orang lain.

Satu lagi teori yang terbukti tentang sebab-
sebab keasidan darah dikenali dengan “teori penjenisan metabolik.” Berpengalaman sebagai pengamal semulajadi, saya dapati bahawa orang yang berlainan mempunyai jenis metabolik berbeza yang menentukan jenis diet manakah yang sesuai: sama ada jenis Karbo ataupun Protein. Keasidan atau kealkalian badan akan ditentukan oleh jenis makanan yang dimakan. Jika anda tidak memakan makanan mengikut jenis dominan anda, ini menyebabkan keasidan dan kealkalian darah yang akan membawa akibat buruk. Pada umumnya kita terbahagi kepada dua jenis metabolik yang nyata, iaitu Jenis Pengoksidaan dan Autonomik. Pengoksidaan pula terbahagi kepada Pengoksidaan Cepat dan Perlahan manakala Jenis Autonomik disubkumpulankan kepada jenis-jenis simpati dan parasimpati. Kira-kira 70% daripada kes kencing manis yang saya uruskan termasuk dalam kategori Pengoksidaan Cepat atau Jenis Protein. Bagi yang mempunyai Pengoksidaan Cepat, memakan makanan yang tinggi karbohidrat akan menyebabkan darah berasid. Diet yang mengandungi protein yang tinggi dan lemak yang baik mutunya merupakan penyelesaian yang unggul bagi masalah mereka. Untuk menentukan jenis metabolik, anda perlu menjalani ujian selama dua jam termasuk ujian air kencing, air liur, darah, serta ujian profil tanda-
tanda penting. Sebaik sahaja jenis dipastikan, anda akan dinasihatkan tentang diet yang sesuai.


Penyelesaian terhadap keadaan ini:

Kurangkan pengasidan dalam sistem dan alkalikan darah. Ini penting selain melakukan perubahan kepada gaya hidup, diet dan memakan suplemen untuk membantu mengawal paras gula darah. Bagi meningkatkan kealkalian dalam badan dan memastikan gula darah sentiasa dalam kawalan:

1. Kurangkan tekanan fizikal dan mental – pelajari bagaimana untuk bertenang

2. Tidur awal – penyelidik mendapati mereka yang tidur lima jam atau kurang adalah 34% lebih berkemungkinan menghidapi kencing manis berbanding yang tidur selama tujuh hingga lapan jam setiap malam.

3. Senaman boleh memejalkan otot dan membakar kalori, menaikkan suhu dalaman badan dan mengembangkan saluran kapilari yang tersumbat agar dapat menyedut sisa buangan yang terpendam dalam sistem.

4. Makan mengikut jenis metabolik anda. Jalani ujian untuk menentukan jenis metabolik dan sebaik sahaja mengetahuinya, makan mengikutnya bagi memastikan pH badan dikekalkan pada tahap optimum.

5. Jauhi minuman ringan, berkarbonat khususnya jenis kola. Selain kandungan gula yang tinggi, ia juga amat berasid.

6. Makan makanan yang pHnya banyak beralkali, dilihat sebagai dapat memulihkan semula kesihatan pankreas:

l Jika mampu, belilah alat pemproses air alkali. Air beralkali kaya dengan ion mineral beralkali seperti ion kalsium, kalium dan magnesium. Dengan minum sekurang-kurangnya lima gelas air alkali setiap hari akan beransur-ansur menurunkan keasidan badan dan membolehkan badan membuang semua sisa buangan yang dikeluarkan.

l Makan makanan yang membentuk alkali seperti (mengikut urutan kealkaliannya): halia, kacang ginjal, bayam, kacang soya, pisang, buah berangan, karot, kulat, strawberi, ubi kentang, lobak, lobak putih, labu besar, keledek, turnip, jus oren, buah epal, putih telur, buah pir, jus anggur, timun, tembikai, terung, kopi, bawang, teh, kacang panjang, susu manusia, susu lembu dan tofu.


7. Herba, suplemen nutrien dan mineral yang menyumbangkan kepada kealkalian.
l Makanan super seperti klorella, spirulina, aphanizomenon flos-aquae, rumput gandum dan rumput barli menambahkan alkali kepada darah. Salah satu formula seperti itu yang saya syorkan kepada pesakit saya ialah “Greens Total” yang diperkuatkan dengan 76 jenis makanan super, herba dan fitonutrien yang membersihkan serta merancakkan sistem badan. Ia juga kuat mengalkalikan.


l Suplemen kalsium yang baik.

8. Lain-lain suplemen penting untuk pesakit kencing manis
l Dalam semua keadaan gula darah tinggi, adalah penting untuk memastikan pesakit mengambil diet yang sesuai, iaitu yang rendah gula dan kanji serta mengambil suplemen formula multivitamin khas untuk pesakit kencing manis yang mengandungi nutrien penting seperti Asid Alfa Lipoik, Kromium, Biotin dan Vanadium untuk membantu menguruskan paras gula darah. Ini merupakan 4 nutrien penting untuk pesakit kencing manis kerana ia membantu meningkatkan sensitiviti insulin, menstabilkan paras gula darah dan mencegah perkembangan komplikasi kencing manis.


l Herba seperti pati kayu manis dengan Banaba juga penting kerana mempunyai ciri-ciri yang boleh menurunkan paras gula darah. Pilihlah pati kayu manis larut air yang dipiawaiankan kerana ia mengandungi Polifinol jenis A Polimer yang dapat meningkatkan aktiviti insulin sebanyak 20 kali, oleh itu ia membuatkan paras gula darah dalam kawalan. Banaba mengandungi asid korosolik yang selamat dan berkesan untuk menurunkan paras gula darah. Bila digabungkan, kedua herba ini berfungsi secara bersinergi dan mengawal paras gula darah.


9. Terapi Bowen: Salah satu teknik yang diamalkan di klinik saya ialah satu bentuk kerja unik dilakukan ke atas badan dan ini mengawal sistem badan serta menyahtoksikkan badan daripada sisa buangan berasid.


10. Gelombang “Far Infrared” - gelombang terapi ini menusuk sedalam kira-kira 2 hingga 3 inci ke dalam kulit dan menaikkan suhu badan untuk mengeluarkan sisa buangan berasid daripada sistem. Salah satu alat seperti itu ialah “FIR Hothouse Dome” yang saya syorkan kepada para pesakit saya.


Ini merupakan beberapa cara dan kaedah yang lazimnya saya masukkan sebagai sebahagian daripada modul rawatan untuk mereka yang menghadapi masalah gula darah. Saya harap rencana ini memberi pendekatan baru yang agak berbeza mengenai kesihatan anda agar ia boleh memberi panduan dalam mencari penyelesaian terhadap masalah penyakit kencing manis anda.

TULANG PATAH

Tulang klavikel patah lazim berlaku

TULANG klavikel adalah satu- satunya tulang yang mencantumkan tangan (upper limb) kepada badan (trunk) seseorang.

Oleh itu ia merupakan struktur yang sangat penting bagi memastikan pergerakan tangan dan bahu adalah normal.

Tulang klavikel berartikulat kepada tulang belikat di bahagian bahu dan pada tulang sternum di bahagian dada.

Kepatahan kepada tulang ini adalah sangat lazim berlaku jika terdapat kecederaan langsung kepada tulang klavikel.

Kepatahan boleh berlaku di semua peringkat umur termasuklah kepada bayi yang baru lahir kerana saiz bayi yang terlalu besar boleh tersangkut sewaktu kelahiran.
Klavikel patah akibat kemalangan

Doktor,

Saya ingin meminta pendapat doktor. Baru-baru ini saya terlibat dalam kemalangan jalan raya. Doktor yang merawat mengesahkan saya telah patah tulang iaitu structure clarical.
Adakah potensi tulang tersebut boleh bercantum atau pun tidak? Kini saya hanya mengamalkan minum susu dan makan buah limau untuk proses pencantuman tulang saya itu.
– Sakura

Jawapan: Tulang klavikel berpotensi untuk bercantum semula secara semulajadi dan selalunya memakan masa antara empat hingga enam minggu untuk pulih.

Ini berlaku dengan lebih pantas lagi bagi kanak-kanak dan bayi yang mengambil masa antara dua hingga tiga minggu sahaja.

Akan tetapi, satu kajian yang dijalankan mendapati bahawa terdapat sehingga 30 peratus kepatahan tulang klavikel di tahap pertengahan tulang tersebut atau ‘midshaft’ tidak dapat bersambung semula dan memerlukan rawatan lanjut, termasuk pembedahan.

Dalam soal pemakanan, untuk penyembuhan tulang, adalah penting pemakanan dijaga kerana ianya sedikit sebanyak mempengaruhi kadar penyembuhan tulang untuk bercantum semula.

Bagaimanapun, sekiranya tulang klavikel tidak bersambung semula atau keadaan yang dinamakan ‘non-union’ berlaku, ianya juga bukan berlaku akibat pemakanan sepenuhnya.

Non-union atau ketidaksambungan tulang yang patah mungkin juga berlaku akibat faktor-faktor tertentu seperti ciri kepatahan (tulang berselisih jauh), bekalan salur darah kepada tulang yang patah terganggu, atau terdapat jangkitan kuman kepada tulang tersebut.

Amalan pemakanan sihat seperti susu dan vitamin C dalam oren secara keseluruhannya merupakan satu amalan yang baik dan perlu diteruskan walaupun tiada mengalami kepatahan.

Cedera ketika bermain ragbi

Doktor,

Saya berumur awal 20-an. Saya gemar bersukan dan melibatkan diri dalam sukan ragbi. Sebulan yang lalu, saya mengalami kecederaan semasa dalam permainan.
Kecederaan tersebut menyebabkan tulang bahu (klavikel) kiri saya patah. Alhamdulillah, selepas sebulan, bahu saya semakin pulih tetapi keadaan bahu saya kelihatan menjadi pendek sebelah.

Adakah keadaan seperti ini akan kekal sampai bila-bila? Berapa lamakah saya perlu berehat sebelum kembali aktif bersukan?

Untuk pengetahuan doktor, saya sekarang sudah mula berjoging dan tidak merasakan sebarang ketidakselesaan pada bahagian bahu yang patah. Sekian terima kasih.

– Hamba Allah

Jawapan: Kecederaan atau kepatahan tulang klavikel adalah satu perkara yang lazim dalam permainan ragbi kerana impak yang kuat dan terus ke atas tulang tersebut sewaktu permainan.

Kepatahan lazimnya berlaku di kawasan pertengahan tulang klavikel.

Terdapat banyak otot yang terikat terus kepada tulang klavikel ini dan dalam keadaan patah, bahagian tulang yang patah akan ditarik dalam arah berlawanan oleh otot-otot yang terikat padanya, menyebabkan kepatahan itu berselisih atau terjungkit dan sebagainya.

Tulang klavikel yang bercantum dalam kedudukan tersebut akan ‘dirasakan’ seperti pendek, tetapi sebenarnya keadaan ini dinamakan ‘mal-union’ atau tempoh penyembuhan ketika tulang dalam keadaan bengkok.

Keadaan ‘mal-union’ ini akan kekal dan anda akan lama-kelamaan menyesuaikan diri dengan keadaan berkenaan dan merasai seolah-olah tiada apa yang berlaku pada tulang klavikel.

Sekiranya pemeriksaan susulan sinar-X dijalankan menunjukkan tulang telah bercantum sepenuhnya, bolehlah bermain semula seperti sediakala. Ini selalunya memakan masa antara tiga hingga empat bulan.

Dalam keadaan ‘mal-union’, tulang klavikel yang berbentuk tulang meruncing atau terasa tajam dan mungkin boleh menembusi kulit.

Pesakit mungkin perlu menjalani pembedahan untuk mengelakkan risiko kulit terkoyak oleh tulang klavikel meruncing itu.

Ini berlaku kerana tulang klavikel adalah tulang ‘subcutaneous’ atau di bawah kulit seperti mana tulang ‘kering’ atau shin bone (tibia).

Pembedahan untuk membetulkan keadaan itu adalah pembedahan menipiskan atau menumpulkan tulang ‘mal-union’ tanpa mengganggu kekuatan tulang tersebut

MATA DI USIA 50 TAHUN

Kesihatan mata selepas umur 50 tahun

DEKAD kelima kehidupan dan masa-masa seterusnya sering membawa perubahan besar dalam hidup seperti persaraan, menopaus dan juga potongan harga untuk sistem pengangkutan awam.
Mata juga akan mengalami perubahan akibat peningkatan usia. Sesetengah perubahan ini adalah normal dan berkait rapat dengan usia tetapi ada juga yang berpunca daripada datangnya penyakit.

* Presbyopia (Rabun Dekat)
Penyakit ini adalah perubahan yang paling biasa berlaku di mana seseorang yang meningkat usianya kehilangan keupayaan untuk melihat dari jarak dekat.
Mekanisme memfokus mata pesakit sebegini telah menjadi semakin lemah sementara jalan penyelesaian paling mudah untuk masalah ini adalah dengan penggunaan ‘cermin mata membaca’ dari pakar mata.
Dalam keadaan ini, senaman mata atau memperbanyakkan melihat suasana hijau tidak akan membawa faedah lagi.
Cermin mata dengan lubang-lubang kecil juga tidak dapat membetulkan masalah penglihatan ini.
Selain itu, pesakit juga perlu berhati-hati dengan pembedahan kornea menggunakan laser kerana berkemungkinan banyak masalah boleh berlaku selepas beberapa ketika.


* Katarak
Kira-kira 50 peratus daripada mereka yang mencecah usia 70 tahun akan mendapat katarak.
Katarak adalah pembentukan kekeruhan pada kanta asal mata pesakit yang berlaku secara berperingkat dan semakin teruk.
Kanta mata pada asalnya jernih seperti kanta pada cermin mata. Lama kelamaan, kanta ini akan menjadi keruh seperti cermin yang berwap.
Kebanyakan katarak tidak perlu dibuang selagi ia tidak mengganggu penglihatan pesakit. Menukar cermin mata juga hanya membazirkan wang kerana tidak dapat memulihkan masalah ini.
Dalam mendapatkan rawatan untuk katarak pula, pesakit dinasihatkan untuk mendapatkan pandangan kaedah terbaik menangani katarak daripada beberapa pakar memandangkan kepakaran teknikal dan kos rawatan amat berbeza di antara pakar-pakar mata terbaik.


* Diabetes
Tiada siapa dapat memastikan jumlah sebenar pesakit yang menderita akibat diabetes. Namun dianggarkan lima peratus daripada golongan melebihi usia 50 tahun telah dikenalpasti menghidap diabetes sementara lima hingga 10 peratus lagi masih belum dikesan.
Penyakit ini menyerang dengan senyap dan merupakan ‘pembunuh’ berbahaya kerana pesakit mungkin hanya menunjukkan sedikit simptom sehinggalah kebanyakan daripada organ dan tisu badan telah rosak teruk.
Pengurusan penyakit ini secara klinikal juga tidak berkesan dan amatlah diharapkan semua pihak dapat menumpukan lebih banyak sumber dalam menguruskan ‘bom masa’ ini.
Pengurusan secara berkesan penyakit ini dari peringkat awal selalunya dapat memberi manfaat besar kepada kualiti hidup pesakit kelak.
Jika anda merupakan pesakit diabetes, adalah amat penting untuk mendapatkan pemeriksaan mata selepas didiagnosis menghidap diabetes dan sekurang-kurangnya sekali setiap tahun selepas itu, atau lebih kerap bergantung kepada tahap kesihatan mata.
Rawatan sebelum berlakunya kerosakan pada penglihatan selalunya tidak menyakitkan, lebih berjaya dan lebih murah.
Bagaimanapun, jika rawatan hanya diterima selepas penglihatan terjejas, ia selalunya rumit, mahal dan paling penting, mungkin tidak dapat meningkatkan kembali tahap penglihatan pesakit.


* Kemerosotan makular berkaitan dengan usia (ARMD)
Masalah ini merupakan satu-satunya punca utama individu di dunia Barat menghadapi gangguan penglihatan yang serius.
Walaupun terdapat kaitan genetik yang memainkan peranan dalam pembentukan ARMD, amalan pemakanan juga memainkan peranan yang besar.
Memandangkan diet harian di negara ini semakin mengikut gaya pemakanan Barat, bilangan pesakit ARMD di Malaysia juga dilihat semakin meningkat.
Masalah ini menyebabkan kawasan pusat retina yang sensitif menjadi kecut dan kadangkala ia berlaku dengan pantas dan amat membimbangkan.
Retina merupakan bahagian mata yang membentuk imej yang dilihat dan akibat ARMD, imej pertengahan yang tajam menjadi semakin kabur serta tidak jelas, dan akhirnya menjadi kabur sepenuhnya.
Penglihatan periferal (sisi) bagaimanapun tidak terjejas akibat masalah ini. Tabiat merokok juga merupakan satu faktor risiko utama untuk penyakit ini.
Pengambilan suplemen makanan yang kaya dengan vitamin A, C, E, zink, selenium dan lutein mungkin dapat mengurangkan perkembangan ARMD sehingga 25 peratus.


* Glaukoma
Masalah yang seringkali terlebih diagnosis tetapi kurang difahami ini (walaupun di kalangan pakar mata), menyebabkan kematian pramatang saraf optik yang menghubungkan mata ke otak.
Keadaan ini selalunya berlaku secara berperingkat tetapi pesakit mungkin tidak menunjukkan sebarang simptom sehinggalah kerosakan pada saraf tersebut tidak dapat diperbaiki lagi.
Namun, bagi kebanyakan pesakit, keadaan ini sering disalah diagnosis dan tidak diuruskan dengan betul.
Ini kerana terdapat banyak perubahan normal pada mata yang menyerupai glaukoma tetapi tidak memerlukan rawatan dan hanya perlu diperhatikan perkembangannya.
Walaupun jika pesakit disahkan menghidap glaukoma, rawatan yang berjaya dapat diperolehi dengan hanya menggunakan ubat titisan mata sementara pembedahan jarang sekali perlu dilakukan ke atas pesakit.
Glaukoma mempunyai komponen kaitan genetik yang besar, maka adik-beradik kepada pesakit yang disahkan menghidap glaukoma perlu dibuat pemantauan untuk perkembangan masalah ini, seumur hidup mereka.
Kadangkala, keadaan ini boleh menyebabkan kesakitan yang teruk jika pesakit turut mengalami katarak yang semakin melarat.
Pembedahan membuang katarak selalunya menyelesaikan masalah sebegini tanpa memerlukan pembedahan khusus untuk glaukoma.


Bagaimanapun, pesakit yang berasa sangsi dinasihat untuk mendapatkan pandangan dari beberapa pakar lain sebelum bersetuju menjalani sesuatu bentuk rawatan.
Kebanyakan masalah mata hanya muncul dengan usia yang semakin meningkat.
Kebanyakan daripada masalah ini juga kini boleh dirawat di Malaysia dan tidak memerlukan rawatan di luar negara.


Namun, penjagaan kesihatan mata di negara ini masih kurang konsisten dari segi kualiti tinggi rawatan seperti yang diharapkan dan ini belum lagi ditambah dengan masalah perbezaan kos yang ketara walaupun untuk rawatan yang serupa.
Pesakit dinasihatkan untuk bijak memilih dan mendapatkan pandangan dari beberapa pakar mata terlebih dahulu.


Pesakit juga perlu memahami masalah mata yang dihidapi mereka dengan mendapatkan pelbagai maklumat percuma dari internet atau berjumpa pakar perubatan.

DEMAM BOLA

Bila fenomena makan bola, tidur bola, mandi bola melanda


Alat untuk memperbaiki kecederaan lutut.
BUKAN bertujuan menakut-nakutkan, artikel ini hanya sekadar ingin memberi maklumat mengenai perkara yang berkaitan dengan sukan nombor satu dunia, bola sepak. Kebetulan dalam keadaan demam bola sepak melanda seluruh dunia sejak Euro 2008 berlangsung minggu lalu.
Pastinya ramai peminat bola sepak tidak mahu ketinggalan menyaksikan perlawanan-perlawanan menarik dan ingin mengetahui siapa yang layak bergelar juara kali ini selepas Greek berjaya merangkulnya empat tahun lalu.
Menyimpang dari bercerita tentang perkembangan temasya berprestij itu, Kesihatan kali ini mengungkap dua perkara yang kadangkala berlaku di kalangan pemain bola sepak di tengah padang iaitu kecederaan dan juga kematian mengejut.
Kecederaan ketika bermain bola sepak adalah perkara biasa bagi pemain bola sepak profesional mahu pun amatur. Namun risikonya lebih tinggi terhadap mereka yang agak jarang atau hanya sesekali bermain bola sepak.
Kematian mengejut di padang pula merupakan keadaan yang jarang berlaku namun telah mencatatkan beberapa kes termasuk antara yang terbaru, pemain kelab Seville dari Sepanyol, Antonio Puerta, 22, yang meninggal dunia secara mengejut ketika sedang beraksi dalam satu perlawanan Liga Sepanyol menentang kelab Getafe tahun lalu. Tentulah memeranjatkan apabila seorang atlet profesional yang masih muda dan tidak mempunyai sejarah berpenyakit menghembuskan nafas hanya kerana bersukan.
Bukan hanya menyerang pemain yang sedang beraksi di padang, serangan jantung mengejut juga boleh menyerang penonton bola sepak sama ada di kaca televisyen mahu pun di stadium.
Tentu kita masih ingat peristiwa seorang pemuda berusia dalam lingkungan 20-an yang jatuh rebah selepas menyaksikan satu perlawanan bola sepak ketika musim demam Piala Dunia tidak sampai dua tahun lalu.
Untuk mengupas isu minggu ini Kesihatan mendapatkan pandangan daripada dua doktor pakar dari Pusat Rawatan Islam (Pusrawi) Jalan Tun Abdul Razak, Kuala Lumpur.
Cedera di padang bola
Pakar Ortopedik, Bedah Arthroskopi dan Cedera Sukan, Kol (B) Dr. Azmi Abd. Latif berkata, kecederaan ketika perlawanan bola sepak biasanya melibatkan bahagian buku lali, lutut, bahu dan tulang belakang.
“Ia bergantung kepada berapa agresif seseorang itu bermain, jika ia terlalu memaksa terutama ketika keletihan boleh menyebabkan kecederaan,” katanya.
Namun katanya, kecederaan seperti ini sebenarnya boleh dielakkan dengan mengambil beberapa langkah. Antaranya, memastikan tahap kesihatan tubuh sebelum turun ke padang dan mengambil langkah perlindungan yang sewajarnya. Misalnya dengan memakai guard. “Sebelum bermain, lakukan juga pemanasan badan dan regangan. Pastikan diri kita tidak mengalami sebarang kecederaan atau penyakit serius. Akhir sekali, bermainlah mengikut kemampuan dan stamina sendiri serta jangan terlalu memaksa,” kata beliau.
i) Cedera bahagian buku lali
Menurut Dr. Azmi, kecederaan buku lali (footballer ankle) merupakan kecederaan paling kerap berlaku kepada pemain ketika di padang.
Jelasnya, ia berlaku bila wujud satu bahagian tajam (kapsul) di sudut tertentu apabila tekanan diberikan kepada tulang tersebut. Seterusnya menyebabkan tisu menjadi bengkak dan sakit, lalu pesakit mudah terpelecok ketika berjalan atau berlari.
Selain itu, boleh juga berlaku di mana ligamen antara buku lali terkoyak atau terkepit di bahagian depan. Ini menyukarkan pesakit untuk berlari.
“Ia biasanya disebabkan tekanan pada sendi terutama ketika menggelecek dan ini selalu berlaku kepada pemain tengah,” jelasnya.
Satu lagi keadaan yang menyebabkan kecederaan di bahagian buku lali berlaku di mana serpihan ligamen terkoyak atau tersepit di celah sendi.
Bila ini terjadi kata Dr. Azmi, rawatan yang dilakukan adalah dengan membersihkan bahagian yang berkenaan dan diperkemas melalui pembedahan arthroskopi sendi.
Katanya lagi, kecederaan pada bahagian ini mudah dirawat, di mana proses penyembuhan mengambil masa lebih kurang dua minggu. Selepas itu bekas pesakit tadi boleh bermain seperti biasa.
Menjawab pertanyaan sama ada kecederaan jenis ini akan berulang, katanya, amat tipis melainkan berlaku ligamen terkoyak dan longgar menyebabkan ia perlu diperbaiki (reconstruct).
Bekas pesakit katanya, boleh kembali bersukan seperti biasa, namun memerlukan sokongan atau pun perlindungan dengan memakai guard.
ii) Cedera bahagian lutut
Dr. Azmi berkata, yang paling biasanya berlaku adalah koyak ligamen cruciate. Ia boleh berlaku apabila pemain jatuh dengan kaki terlipat.
“Biasanya ia bukan disebabkan perlanggaran tetapi pemain terjatuh sendiri seperti terpelecok,” kata Dr. Azmi.
Jelas beliau lagi bunyi seperti ‘prak’ boleh didengari dengan jelas daripada pemain yang mengalami keadaan ini. Kesan daripada itu, menyebabkan lutut pemain membengkak serta merta dan dia tidak boleh meneruskan perlawanan.
Katanya, pesakit juga mengalami masalah menuruni anak tangga atau bukit dan tidak boleh jalan laju kerana rasa seperti lutut ‘tertinggal.’
“Keadaan ini berlaku kerana satu kaki yang mengalami kecederaan tidak berkuasa menongkat atau menampung badan. Namun, ia tetap boleh digerakkan dan melakukan gerakan lain seperti menendang.
Menurut beliau, kecederaan lutut perlu menjalani rawatan mekanikal yang memerlukan pembedahan arthroskopi ligamen reconstruction bagi menggantikan urat untuk menstabilkannya.
Urat daripada bahagian lutut pesakit yang masih baik digunakan atau pun menggunakan urat daripada perkhidmatan derma organ.
“Pesakit mengambil masa selama enam hingga 12 bulan untuk sembuh. Selepas sembuh, mereka mungkin mengalami masalah sampingan seperti tidak berani melompat, atau melangkah longkang yang agak besar secara automatik,” jelasnya.
Selain itu kata Dr. Azmi, kecederaan lain di bahagian lutut adalah maniskus di mana ia berlaku antara dua tulang.
“Bila ligamen terkoyak, ia menyebabkan lutut melekat dan tidak boleh digerakkan serta berasa sakit,” katanya.
Kecederaan jenis ini memerlukan pemeriksaan klinikal dan pengimejan resonan magnetik (MRI). Ia boleh dirawat juga dengan kaedah perbaiki dan perkemas bahagian yang berkenaan.
iii) Cedera bahagian bahu
“Biasanya ia berlaku kepada penjaga gol terutama ketika menangkap bola,” kata Dr. Azmi.
Ia juga boleh terjadi kepada pemain yang berlanggar sesama sendiri lalu jatuh bertongkatkan tangan.
Keadaan ini jelas beliau berlaku apabila urat di bahu terkoyak atau terkepit. Biasanya pemain tidak berasa sakit ketika kejadian namun ia perlahan-lahan terasa selepas dua atau tiga hari.
Apabila urat di bahagian ini terkoyak, pesakit tidak boleh mengangkat atau menongkat tangan. Jika tersepit pula, mereka tidak akan merasa sakit ketika bermain namun merasainya ketika berehat.
“Pesakit akan merasa lenguh bahu, kebas tangan dan kadang-kadang rasa sakit dari bahagian siku hingga pergelangan tangan, dada, tulang belikat dan tulang belakang.
“Sebenarnya apabila urat terkepit di bahu, otot akan menjadi lemah manakala kedudukan bahu akan jatuh ke bawah dan ke depan sedikit,” jelasnya.
iv) Cedera bahagian tulang belakang
Kecederaan bahagian ini berlaku apabila pemain jatuh terduduk menyebabkan hentakan kuat (hyperflexion).
“Ini menyebabkan disk pecah lalu menekan tulang menjadikan salah satu daripadanya patah. Bila ia menekan saraf, keadaan slip disk akan berlaku,” katanya.
Disebabkan saraf yang terdapat di bahagian tulang belakang ialah saraf ke bahagian kaki, pesakit akan berasa lenguh dan sakit di bahagian salah satu kaki.
Seandainya pecahan yang terjadi agak besar, lama-kelamaan ia menyebabkan simptom spinal stenosis.
“Ia menyebabkan tisu di bahagian tulang belakang menebal dan menekan saraf. Apabila ini berlaku, pesakit akan merasa sakit setiap kali berada dalam satu posisi untuk tempoh yang lama.
“Bila dia mengubah posisi baru akan berasa lega,” jelasnya. Pesakit yang mengalami masalah ini perlu menjalani pembedahan untuk memastikan saraf tidak terhimpit.
Sekiranya pecahan disk terlalu kecil, pesakit hanya perlu mengambil ubat tahan sakit dan menjalani rawatan fisioterapi.
Mati mengejut di padang
Pakar Kardiologi, Dr. Azar Azman Abu Bakar berkata, serangan jantung mengejut boleh berlaku kepada bukan sahaja pemain bola sepak malah sukan yang melibatkan impak tinggi seperti ragbi, badminton dan tenis.
“Biasanya ia berlaku kepada aktiviti yang memerlukan pecutan kemudian berhenti secara mengejut,” katanya.
Kata beliau lagi, statistik menunjukkan serangan jantung kerap berlaku kepada pemain terutama ketika musim perlawanan.
Punca-puncanya:
1) Hipertropik Kardiomiopati – Penebalan otot jantung disebabkan oleh kegiatan sukan yang berterusan dan / atau masalah kelainan genetik; risiko masalah rentak jantung ventrikular. Kata Dr. Azar, ia berlaku apabila seseorang itu melakukan sesuatu kegiatan lebih daripada biasa seperti tenaga yang dikerah ketika perlawanan. Masalah ini juga boleh berlaku disebabkan oleh faktor genetik daripada kecil. Menurut beliau, 26 peratus daripada kematian mengejut berpunca daripada masalah ini berlaku kepada ahli sukan.
2) Komotio Kordis – Berlaku ketika perlanggaran terutama di bahagian dada. Jika dilihat, pemain tidak mengalami kecederaan namun jantungnya telah bergegar. Peratus survival hanya 15 peratus.
3) Ketidaknormalan arteri koronari – Kelainan perjalanan pembuluh darah jantung sejak lahir; risiko mendapat iskemia dan aritmia. Keadaan ini menyebabkan darah tidak cukup lalu pemain boleh rebah.
4) Miokarditis – Radangan otot jantung contohnya disebabkan oleh jangkitan virus; risiko mendapat kegagalan jantung dan aritmia
5) Sindrom Marfan – kelainan genetik di mana terdapat kelemahan pada dinding pembuluh darah aorta dan risiko pecahan dinding tersebut. Biasanya berlaku kepada mereka yang bersusuk tubuh tinggi seperti pemain bola keranjang. Terdapat kes di mana pemain mati mengejut di padang.
6) Kardiomiopati ventrikal kanan arrithmogenik – Kelainan genetik melibatkan masalah rentak jantung ventrikular
7) Arteri koronari rentang – Kelainan otot jantung menyebabkan pembuluh darah koronari terhimpit semasa degupan jantung
8) Stinosis injap aortik – Penyempitan injap jantung aortik disebabkan masalah kongenital (injap bikuspid) atau komplikasi jangkitan rheumatik
9) Penyakit arteri koronari artherosklerotik – Pembunuh perubatan nombor satu di mana terdapat penyempitan / sumbatan pembuluh darah koronari. Kejadian serangan jantung atau rentak jantung (ventrikular artmia) boleh berlaku spontan terutama dalam keadaan stres fizikal atau emosi.
Lazimnya terjadi pada seseorang yang mempunyai risiko seperti sejarah keluarga, merokok dan sebagainya. Kebelakangan ini semakin ramai pesakit yang usia muda (lelaki dan perempuan) mengalami masalah ini disebabkan gaya hidup yang tidak sihat.
10) sindromLong QT – Masalah genetik menyebabkan masalah rentak ventrikular yang tidak normal
11) Arteri serebral pecah – Masalah aneurysm pembuluh darah otak yang tidak diketahui ada yang pecah semasa dalam keadaan stres.
Menurut Dr. Azar, ahli sukan berusia 35 tahun ke atas terdedah kepada risiko serangan jantung lebih tinggi. Namun ia juga bergantung kepada tahap kesihatan seseorang seperti paras kolestrol atau menghidap penyakit jantung koronari.
Kata beliau, bagi negara Itali dan Amerika Syarikat, mereka mempunyai ujian penyaringan persediaan untuk atlet sebelum terlibat dengan sesuatu perlawanan. Biasanya ia memerlukan ujian ElektroKardioGram (ECG).
“Setelah dipastikan kesihatan berada di tahap sepatutnya, barulah pemain tersebut dibenarkan bermain,” katanya.
Seandainya pemain itu bermasalah di peringkat ujian ECG, mereka perlu pula menjalani ujian selanjutnya iaitu ujian stres.
Selain persediaan pemain, Dr. Azar juga menggalakkan semua orang terutamanya mereka yang berada di padang supaya tahu melakukan bantuan pernafasan mulut ke mulut (CPR).
Katanya, di Malaysia kesedaran tentang pentingnya CPR amat rendah.
“Sebenarnya bantuan CPR boleh meningkat peratus survival mangsa hingga 43 peratus berbanding 22 peratus dengan hanya menunggu mangsa dibawa ke hospital,” ujarnya.
Sebagai tambahan, alat Automated External Defibrillatoraed (AEB) patut dimiliki oleh semua stadium bagi memberi bantuan kecemasan kepada mangsa yang rebah akibat serangan jantung.
“Alat ini mudah dibawa dan digunakan. Sesiapa saja boleh melakukannya. Saya amat berharap agar semua stadium, tempat kunjungan ramai seperti lapangan terbang, kompleks membeli belah dan pejabat korporat di negara ini memiliki AED sebagai kemudahan tambahan,” katanya.
Menurut beliau peratus survival bagi penggunaan AED adalah kurang 25 peratus dalam masa empat hingga lima minit selepas serangan manakala kurang 10 peratus dalam masa lebih 10 minit.
Kesimpulannya kata Dr. Azar, kajian yang dilakukan American Health Association (AHA) menunjukkan ahli sukan mempunyai 2.5 kali ganda risiko serangan sakit jantung berbanding mereka yang tidak bersukan.
“Dua kes dilaporkan berlaku daripada setiap 100,000 pemain,” katanya

RAWATAN EFEKTIF EPILEPSI

Rawatan efektif epilepsi

DENGAN kemajuan terkini dalam bidang perubatan dan teknologi sekarang, epilepsi dan serangan sawan bukan lagi satu halangan untuk menjalani kehidupan yang aktif dan sempurna. Rawatan bagi epilepsi bukan sahaja bagi menyembuhkan semua serangan sawan, tetapi juga untuk menguruskan kehidupan keseluruhan pesakit.

Oleh itu, rawatan yang berkesan untuk epilepsi bermula dengan diagnosis yang betul tentang jenis serangan sawan yang dialami pesakit kerana setiap jenis penyakit ini memerlukan rawatan khusus dan berkesan.
Perkara pertama yang akan dilakukan oleh doktor ialah menyemak sejarah perubatan pesakit.

Ini termasuk soalan mengenai sejarah serangan sawan dalam keluarga pesakit dan butiran lanjut mengenainya.

Seorang anggota keluarga atau mereka yang menyaksi serangan sawan mesti hadir untuk memberi maklumat tambahan, terutama jika pesakit tidak sedarkan diri.
Ini biasanya akan disusuli dengan pemeriksaan fizikal dan neurologi untuk mengenal pasti petanda fizikal berkaitan yang mungkin boleh menunjukkan secara khusus sindrom epilepsi yang dialami pesakit.

Doktor mungkin mencadangkan ujian lanjut dijalankan untuk memahami dengan lebih mendalam punca berlakunya serangan sawan dan mengesan sebarang keadaan yang tidak normal dalam otak. Ujian-ujian ini mungkin termasuk electroencephalogram (EEG) yang mengukur denyutan elektrik dalam otak, tomogafi berkomputer (CT) dan imbasan gema bermagnet (MRI), yang, dalam bahasa mudahnya, menyediakan imbasan imej otak.


Sebaik sahaja diagnosis selesai dilakukan, doktor akan mencadangkan beberapa pilihan rawatan. Hampir kesemua penyakit epilepsi dapat dirawat dengan menggunakan ubat anti-epileptik (juga dikenali sebagai anticonvulsants atau ubat anti-sawan). Rawatan moden yang biasa diberi untuk kebanyakan jenis penyakit epilepsi ialah ubat atau kombinasi ubat anti-sawan yang lazim digunakan.


Setiap pesakit memberi reaksi yang berbeza terhadap ubat anti-sawan seperti reaksi mereka terhadap makanan atau bahan-bahan lain yang masuk ke badan mereka. Oleh itu, doktor akan cuba menentukan ubat anti-sawan dan program yang betul untuk setiap pesakit dengan kesan sampingan yang minimum.


Sesetengah faktor akan diambil kira oleh doktor apabila memilih ubat anti-sawan termasuk jenis sawan, umur pesakit dan jantina, tahap IQ dan isu kesihatan, serta ubat-ubat lain yang mungkin diambil oleh pesakit.


Bagi rawatan berkesan, pesakit perlu memakan ubat seperti yang ditetapkan, dan sentiasa merujuk kepada doktor sebelum mengambil ubatubatan yang lain, ubat yang dibeli di kedai, atau rawatan herba. Terdapat bahan- bahan yang boleh mengganggu rawatan epilepsi dan mengurangkan keberkesanannya.Untuk hasil rawatan terbaik, pesakit epilepsi perlu terlebih dahulu menemui doktor yang terlatih dan berlesen.


Sebahagian besar pesakit epilepsi boleh bebas dari serangan sawan untuk tempoh yang lama dengan menjalani rawatan yang betul. Telah dibuktikan bahawa kira-kira 80 peratus pesakit epilepsi yang dirawat dengan ubat anti-sawan, bebas daripada serangan penyakit itu untuk tempoh sekurang-kurangnya dua tahun. Bagi pesakit dewasa pula, 50 hingga 60 peratus bebas dari serangan sawan selepas pertama kali mengambil ubat anti-sawan. Bagi mereka yang didiagnosis mengidap epilepsi ketika usia muda, 20 peratus mula mengambil ubat dan tidak lagi diserang sawan selepas berhenti mengambil ubat, walaupun apabila mencecah usia dewasa. Lagi lama tempoh mereka tidak mengalami serangan sawan, maka semakin besar peluang untuk mereka menjalani kehidupan yang bebas dari epilepsi dan lebih 50 peratus kanak- kanak berjaya bebas daripada serangan penyakit itu.

Berjaya


Pembedahan boleh membantu merawat punca-punca epilepsi lain, seperti serangan sawan itu disebabkan oleh ketumbuhan, tumor atau punca-punca lain. Jika punca-punca tersebut berjaya dirawat atau dibuang, pesakit tidak akan lagi mengalami sawan. Oleh itu, kira-kira lima peratus pesakit epilepsi boleh “diubati” melalui pembedahan.
Pembedahan juga boleh dilakukan untuk membuang tempat fokus serangan sawan (kawasan otak di mana serangan sawan berasal), tetapi ia hanya sesuai bagi sawan partial yang berasal dari satu kawasan khusus dalam otak. Pesakit yang berpotensi dibedah perlu menjalani penilaian terperinci oleh pakar neurologi sebelum pembedahan dan jika berpendapat pembedahan tidak sesuai dilakukan, maka pesakit akan dinasihatkan supaya tidak melakukannya dan menjalani rawatan pilihan yang lain.


Doktor akan mengambil pendekatan holistik dan berbincang bukan sahaja mengenai penyakit sawan yang dihidapi dan butiran perubatan, tetapi juga turut merangkumi keseluruhan ‘isu-isu mengenai kehidupan’ seperti pendidikan, aktiviti sukan, kehidupan sosial, pekerjaan, malah bercakap mengenai pemanduan, soal perkahwinan dan mengandung.
Keberkesanan pembedahan berbeza; ada pesakit bebas sepenuhnya daripada serangan sawan selepas pembedahan, manakala bagi yang lainnya, jumlah serangan sawan yang mereka alami berkurangan dengan banyaknya. Kebanyakan pesakit boleh berhenti mengambil ubat anti-sawan selepas menjalani pembedahan.


Bagaimanapun, dalam mana-mana pembedahan, masih ada risikonya.
Rangsangan saraf vagus (vagus nerve stimulation atau VNS) adalah satu lagi pilihan rawatan untuk epilepsi. Alat yang dikenali sebagai perangsang saraf vagus ditanam di bawah kulit dada pesakit. Wayar dari alat tesebut diikat pada saraf vagus. Saraf vagus menyambung otak ke jantung, paru-paru dan saluran usus dan perut. Alat ini menjana denyutan elektrik dalam jarak masa tetap (interval), yang merangsang saraf vagus.


VNS boleh menjadi rawatan pilihan bagi mereka yang tidak berkesan mengambil ubat anti-sawan dan pesakit yang atas apa-apa sebab, dianggap tidak sesuai untuk menjalani pembedahan. Bagaimanapun, kaedah rawatan ini mungkin mahal, tambahan pula, bateri yang dipasang pada alat tersebut hanya tahan kira-kira selama lima tahun sahaja.
Satu lagi rawatan bagi epilepsi di kalangan kanak-kanak ialah diet ketogenik, yang kaya lemak dan rendah karbohiderat. Ia bertujuan untuk mengekalkan ‘tahap lapar’ (starvation mode) dalam badan bagi tempoh masa yang lama. Bila badan dalam keadaan berpuasa, ia menghasilkan ketones (bahan yang terhasil bila badan memecahkan lemak untuk menjana tenaga), yang menunjukkan badan sedang membakar lemak dan bukannya glukos untuk menjana tenaga.


Cara sebenar bagaimana diet ketogenik itu berfungsi tidak diketahui secara jelas. Ia perlu diperjelaskan di sini bahawa diet ketogenik bukanlah sesuatu diet yang mudah diamalkan, dan ia boleh menyebabkan kesan-kesan seperti tahap asid urik yang tinggi dan menyebabkan batu dalam buah pinggang.


- Prof. Dr Raymond Azman Ali adalah perunding kanan neurologi di sebuah hospital di Kuala Lumpur dan juga Pengerusi Majlis Epilepsi, sebuah badan kepakaran khusus di bawah Persatuan Neurosains Malaysia.
Beliau akan bercakap dalam satu forum awam di Melaka anjuran Persatuan Epilepsi Malaysia pada 28 Jun, sempena Hari Epilepsi Antarabangsa. Forum ini dapat dijayakan dengan geran pendidikan UCB Pharma Asia Pacific Sdn. Bhd. Orang ramai dijemput hadir!
Untuk maklumat lanjut mengenai epilepsi, sila layari www.epilepsy.org.my atau www.livebeyondepilepsy.com


* PENJELASANTerdapat sedikit kesilapan pada artikel “Memahami penyakit epilepsi” yang diterbitkan pada Ahad lalu. Sila layari www.epilepsy.org.my untuk artikel yang telah dikemaskinikan. Kami memohon maaf atas kesilapan ini.

MENINGITIS

Elak infeksi meningitis


Kegagalan mendapatkan suntikan atau rawatan boleh mengakibatkan kecacatan kekal seperti terencat akal, epilepsi, buta dan pekak.

VAKSINASI berupaya melindungi kanak-kanak di bawah usia lima tahun daripada dijangkiti meningitis.

SUNTIKAN vaksinasi di kalangan kanak-kanak di Malaysia dan kebanyakan negara lain di dunia adalah langkah standard untuk menghindarkan mereka daripada jangkitan penyakit seperti polio, campak, batuk kering, hepatitis dan batuk kokol.

Banyak juga laporan yang kita baca dan dengar mengenai kanak-kanak yang mengalami kecacatan kekal seperti terencat akal, palsi serebral, epilepsi, buta dan pekak. Semua ini terjadi hanya kerana mereka tidak mendapat suntikan atau rawatan kerana simptom tertentu yang dialami mereka tidak dipandang serius.

Begitu juga dengan ancaman meningitis. Ia merupakan masalah radang pada membran dan cecair serebrospina yang meliputi bahagian luar otak dan saraf tunjang. Ia berlaku akibat perebakan jangkitan.

Pada masa lalu, kebanyakan kes meningitis sering berlaku di kalangan kanak-kanak yang berusia di bawah lima tahun. Namun, kerana perlindungan vaksinasi kanak-kanak, kebanyakan kes meningitis pada hari ini berlaku di kalangan mereka yang dalam lingkungan umur 15 hingga 24 tahun. Orang dewasa juga tidak dinafikan cenderung untuk menghidap meningitis.

Penyakit meningitis disebabkan oleh beberapa kuman seperti Haemophilus influenzaeb, Streptococcus pneumoniae, virus-virus seperti virus beguk, campak dan lain-lain, penyakit tibi (tuberkulosis), dan banyak lagi. Kuman yang kerap menyebabkan meningitis ialah Haemophilus influnzae b (Hib) diikuti oleh S. pneumoniae (atau pneumokokal).

Vaksin Hib diwajibkan Kementerian Kesihatan Malaysia sejak tahun 2002, dan BCG (untuk penyakit tuberkulosis) telah lama diwajibkan untuk semua bayi semasa baru lahir.
Vaksin untuk pneumokokus pula, kerana disebabkan kosnya yang tinggi, tidak diwajibkan di negara ini namun masih boleh didapatkan di klinik dan hospital swasta.

Punca bagi kebanyakan kes meningitis adalah jangkitan virus, namun bakteria dan kulat juga mampu mengakibatkan masalah yang sama. Meningitis juga boleh disebabkan oleh organisma lain dan juga beberapa jenis ubat, tetapi dalam kebarangkalian yang kecil.


Tahap keseriusan radang dan kaedah rawatan yang terbaik sebenarnya bergantung kepada penyebab jangkitan tersebut. Meningitis bakteria lazimnya lebih serius daripada meningitis virus. Rawatan segera amat diperlukan, kerana jika seseorang memandang ringan akan masalah ini, ia boleh membawa maut!


Jika anda mengesyaki ahli keluarga anda menunjukkan petanda atau simptom meningitis, dapatkan rawatan kesihatan secepat mungkin. Tiada cara lain untuk memastikan status masalah kesihatan itu selain berjumpa dengan doktor dan menjalani ujian.
Perlu diketahui bahawa meningitis boleh berjangkit. Kuman yang menyebabkannya boleh berpindah kepada orang lain melalui medium udara. Ini biasanya berlaku kerana penghidap batuk atau bersin berdekatan dengan orang lain.


Biasanya, rawatan yang diberikan untuk merawat meningitis adalah bergantung pada penyebabnya. Bagi meningitis bakteria, pesakit perlu mendapat rawatan di hospital supaya doktor boleh memantau kemungkinan yang teruk seperti kehilangan upaya pendengaran, sawan atau kerosakan otak. Anda dan anak anda juga akan dibekalkan dengan antibiotik.


Ujian makmal juga perlu bagi mendalami permasalahan meningitis. Pengambilan sampel cecair tulang belakang (punktur lumbar) diperlukan untuk memeriksa sama ada ia mengandungi organisma yang menyebabkan kesakitan. Selain daripada itu, doktor juga mungkin akan menjalankan beberapa siri ujian lain seperti ujian darah, imbasan CT atau MRI.

Tuesday, June 10, 2008

Bahaya Asbestos

Diancam bahaya asbestos


Puluhan ribu penduduk Wittenoom meninggalkan bandar itu kerana enggan mempertaruhkan kesihatan mereka.
MARIO HARTMANN tetap tidak akan meninggalkan Wittenoom walaupun kawasan itu diancam asbestos.
Sebahagian daripada 20,000 penduduk yang tinggal di bandar lombong tinggal di barat Australia, sekurang-kurangnya 1,000 orang daripadanya meninggal dunia akibat penyakit yang berkaitan asbestos. Hampir kebanyakan penduduk telah meninggalkan tempat itu.
Tetapi jika Mario Hartmann seorang pendatang Austria sanggup ke Australia untuk menembak kanggaru dan lembu tetap masih mahu tinggal di situ, kawasan tersebut pastinya memiliki keistimewaan tersendiri.
Niat Hartmann berubah 10 bulan yang lalu apabila dia menemui sesuatu dalam hidupnya iaitu bertemu dengan Gail Malcom.
"Kami tidak dapat membayangkan tinggal di kawasan yang lebih tenang dan cantik daripada tempat ini," ujar Hartmann, 44, sambil tersenyum kepada rakannya dan memberi isyarat supaya memandang ke arah kaki bukit Hamersley Gange yang mengagumkan
"Penyakit barah ibarat satu lemparan bola dadu. Sesetengah orang menghidapnya, dan sesetengah orang lagi tidak," katanya.
Selama 18 tahun Hartmann tinggal di situ - dia menyaksikan daripada puluhan ribu penduduk kini Wittenoom hanya mempunyai populasi seramai lapan orang.
Sesetengah rakan dan jiran tetangganya meninggal dunia dan sebahagiannya jatuh sakit. Ramai yang meninggalkan Wittenoom kerana mematuhi seruan kerajaan untuk mengelak lebih ramai yang jatuh sakit akibat asbestos.
Sebahagiannya telah berpindah ke Perth yang terletak 1,500 kilometer di selatan Laut India, manakala ada yang tinggal di kawasan berdekatan yang terkenal dengan tanaman lada putih dikenali Pilbara.
Salah seorang daripada individu terakhir meninggalkan Wittenoom ialah seorang warga Amerika Syarikat (AS) yang bertahun-tahun menjalankan perniagaan Cafe Doc Holiday, satu-satunya restoran yang terdapat di situ.
Kawasan lombong asbestos di bandar itu ditutup pada tahun 1966 apabila bahaya bahan itu semakin jelas. Namun, ia agak terlambat kerana sudah ramai orang di bandar itu yang kebanyakannya bekerja di kawasan lombong yang diserang penyakit barah paru-paru.
Asbestos digunakan secara meluas untuk menurap jalan dan tempat letak kereta. Lebihan asbestos dari lombong digunakan untuk membina landasan lapangan terbang di bandar itu.
Dari tahun 1950 hingga 1960, Wittenoom merupakan satu-satunya lokasi sumber asbestos dan bandar yang maju. Ia berjaya menarik beribu-ribu orang pekerja dan mereka dijanjikan dengan gaji yang tinggi.
Beberapa tahun selepas gagal dalam percubaan membersihkan parkir dan lokasi-lokasi yang dibina hasil daripada asbestos kerajaan Australia mencadangkan agar Wittenoom perlu dijauhi.
Jika anda perlu pergi untuk mengingatkan kembali daerah itu, pastikan anda berada dalam kereta sambil tingkap dan pintu tertutup rapat.
Fiber asbestos memasuki tubuh melalui paru-paru. Pendedahan kepada asbestos menjadi penyebab kanser paru-paru, asbestosis dan mesotelioma kanser yang memberi kesan kepada bahagian luaran yang melindungi bahagian dalaman organ tubuh termasuk paru-paru dan dada.
Hartmann, seorang perokok berkata, dia tidak menunjukkan simptom atau penyakit yang berkaitan dengannya. Malcom satu-satunya orang berpindah ke Wittenoom sejak beberapa dekad lalu, pada awalnya tinggal di sebatang jalan berdepan dengan kediaman dengan Hartmann.
Beliau turut menguruskan sebuah pusat penginapan bagi pelancong yang berani datang ke situ untuk melihat keindahan semula jadi kawasan itu.
"Saya tidak fikir terdapat risiko untuk tinggal di sini selagi anda menjauhi kawasan lombong dan berada di dalam kawasan tertutup ketika angin kuat," kata Malcom.
Kebanyakan pencemaran berlaku dalam tanah dan bukannya di udara. "Sekiranya kerajaan mengambil tindakan sepatutnya ia mungkin dapat mengembalikan penduduk ke Wittenoom.
Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak bersetuju dengan pendapat itu dan tidak akan bertolak ansur dengan pendapat kawasan itu selamat walaupun udaranya sudah bersih.
Dua tahun lalu, hampir 30 daripada 37 buah keluarga yang meninggalkan Wittenoom menyebabkan kerajaan mengambil keputusan untuk tidak lagi mengiktiraf kawasan itu sebagai bandar. Kemudahan elektrik diputuskan, khidmat surat menyurat dihentikan dan polis mengawal secara berterusan. Di sini tiada pasukan bomba mengawal kebakaran dan juga perubatan.
"Sejak itu, kami hidup dengan cara kami sendiri," kata Hartmann yang menggunakan sebuah generator untuk menjana tenaga elektrik di kawasan itu. Enam lagi penduduk lain juga punya cara tersendiri untuk mendapatkan tenaga elektrik. Kebanyakannya menggunakan sistem tenaga solar.
Untuk membeli-belah penduduk Wittenoom perlu memandu sejauh 140 kilometer ke bandar Tom Price. Bagaimanapun Malcom dan Hartmann lebih suka menanam sayur-sayuran dan berburu.
Menariknya kelapan-lapan penduduk itu menolak tawaran A$43,000 (RM95,000) daripada kerajaan untuk meninggalkan Wittenoom. - Reuters

Lawan Pedang

Lawan pedang riadah warga emas

Selama sembilan bulan para biarawati dan paderi yang menghuni Catholic Homes Corpus Christi mempelajari kemahiran pedang untuk menyingkirkan pergantungan pada tongkat.
warga-warga emas berharap sukan ini dapat mengurangkan pergantungan terhadap tongkat.
SELAMAT tinggal aktiviti jahit-menjahit. Ini kerana golongan warga emas di sebuah pusat jagaan warga emas di Australia kini mempunyai satu aktiviti baru untuk melatih fleksibiliti tubuh iaitu lawan pedang.
Majoriti penghuni dari Catholic Homes Corpus Christi, Melbourne, Australia ini terdiri daripada golongan biarawati dan paderi yang telah bersara. Mereka ini menghabiskan tempoh masa sembilan bulan demi mempelajari kemahiran bermain pedang. Semuanya gara-gara untuk menyingkirkan pergantungan terhadap tongkat ketika berjalan.
Penyelaras gaya hidup pusat tersebut, Patricia Boyd berkata, dia langsung tidak pernah terfikir untuk menawarkan aktiviti lawan pedang sebagai salah satu riadah untuk warga emas di pusat tersebut. Namun, selepas diyakinkan oleh instruktor, Joseph D'Onofrio yang datang ke Corpus Christi sebagai sukarelawan.
Seperti juga permainan catur, pemain lawan pedang perlu sentiasa berada dalam keadaan tenang.
Kebanyakan penghuni di pusat itu pada awalnya juga teragak-agak sehinggalah D'Onofrio berbincang dengan mereka tentang sukan tersebut. D'Onofrio berjaya menyakinkan bagaimana sukarnya mereka untuk dicederakan oleh sukan menyeronokkan itu.
"Mereka fikir ia sesuatu yang pelik untuk memperkenalkan aktiviti lawan pedang.
"Tetapi selepas kedatangan Joseph, dia berjaya menyakinkan betapa spiritualnya aktiviti tersebut dan kini penghuni-penghuni ini sudah semakin mahir dalam sukan itu," kata Boyd.
Kira-kira 16 penghuni yang berusia lebih daripada 80 tahun termasuk seorang warga emas, Sister Delores Kirby, 93, kini terlibat dalam sesi lawan pedang pada setiap hari Isnin.
"Ia sesuatu yang pelik pada usia ini untuk melakukan aktiviti seumpama ini. Saya sentiasa rasa takut jika terjatuh, tetapi semua ini satu cabaran," ujar Kirby yang merupakan seorang biarawati pesara dari Faithful Companions of Jesur.
sukan lawan pedang adalah satu bentuk senaman kardiovaskular yang baik.
Bagi mereka yang baru sahaja mengenali sukan lawan pedang, ia merupakan satu bentuk senaman kardiovaskular yang baik. Tangkas dan menguji kepantasan pemainnya, aktiviti ini mudah membuatkan jantung berdegup pantas dan aliran oksigen berjalan dengan lancar.
Pakar-pakar kesihatan sering menasihati supaya melibatkan diri dalam sebarang senaman berbentuk kardiovaskular bagi mengekalkan tahap kesihatan optimum dan panjang umur. Sukan lawan pedang adalah satu cara untuk memperoleh semua matlamat ini menerusi kaedah yang menyeronokkan.
Selain itu, sukan lawan pedang juga boleh mengurangkan tekanan secara selamat. Seperti juga kebanyakan senaman aerobik, lawan pedang boleh membakar kalori dan membantu pemainnya mengurangkan berat badan selain mengekalkan berat badan ideal.
Aktiviti lawan pedang juga membantu membentuk otot tubuh. Perubahan fizikal ini menjurus kepada peningkatan harga diri yang merupakan ciri-ciri asas kesihatan mental dan emosi.
Menerusi pergerakan fizikal yang kompleks, lawan pedang juga menjadi platform terbaik melatih kekuatan otot, koordinasi dan fleksibiliti tubuh. Kedudukan dan pergerakan dalam seni lawan pedang perlulah tepat. Bagi memenuhi ketepatan itu, tubuh seharusnya lebih fleksibel dan kuat.
seni lawan pedang juga boleh membantu otot tubuh.
Seperti juga seni mempertahankan diri, sukan lawan pedang adalah satu riadah yang menyihatkan minda dan memerlukan disiplin optimum untuk memberi prestasi terbaik. Kajian menunjukkan minda yang sentiasa dicabar lebih rendah risikonya untuk mengalami penyakit berkaitan dengan otak.
Apabila tubuh bergerak dan bertindak balas, minda turut sentiasa berfikir dan pada masa yang sama stabil. Sering dibandingkan dengan permainan catur, sukan lawan pedang memerlukan pemain sentiasa berada dalam keadaan tenang dan merancang beberapa langkah lebih awal.
Malah, kebaikan sukan lawan pedang tidak terhenti di situ sahaja. Sebaliknya, pembelajaran serta latihan berterusan akan memperkukuhkan gerakan serta ketahanan seseorang pemain. Tambahan pula, lawan pedang adalah satu aktiviti sosial dan memerlukan interaksi berlanjutan dengan mereka yang memiliki minat serupa.
Pendek kata, sukan lawan pedang adalah satu senaman yang menyeluruh untuk kesejahteraan dan kebahagiaan hidup seseorang.

PERUT BUNCIT

Perut buncit berisiko mati awal?
PERUT buncit antara masalah yang kerap dihadapi lelaki mahupun wanita. -
KEGEMUKAN merupakan antara masalah lazim yang dialami oleh ramai wanita di negara ini dan di seluruh dunia.Masalah tersebut bukan saja menggambarkan amalan pemakanan seseorang yang tidak betul, bahkan lebih buruk ia kerap diiringi dengan pelbagai penyakit termasuk jantung dan darah tinggi.
Dalam pada itu, kajian terbaru mendapati bahawa wanita mempunyai ukur lilit pinggang yang besar mempunyai risiko meninggal dunia lebih awal berbanding dengan mereka yang mempunyai ukur lilit pinggang yang lebih kecil.
Kajian yang dibuat oleh Universiti Harvard dan Institut Kesihatan Kebangsaan (NIH) Amerika Syarikat, menunjukkan wanita yang berpinggang besar lebih cenderung untuk menghidap penyakit yang berkaitan jantung ataupun kanser, walaupun hakikatnya mereka mempunyai berat badan yang ideal dengan ketinggian mereka.
Terdapat kajian sebelum ini yang menunjukkan pengumpulan lemak di bahagian pinggang sebenarnya meningkatkan risiko penyakit.
Untuk menjalankan kajian ini, para penyelidik telah membuat analisis data daripada lebih 44,000 orang wanita diikuti dengan sejarah kesihatan lebih 1,000 jururawat berdaftar di 11 negeri.
"Seperti apa yang dapat diperoleh daripada kajian NIH Obesity Research Task Force, kesan cabaran akibat obesiti, penemuan terbaru menunjukkan bahawa penyelidikan dapat memainkan peranan dalam pemahaman tentang risiko obesiti," jelas Pengarah NIH, Elias A. Zerhouni.
Kumpulan penyelidik yang menjalankan kajian tersebut diketuai oleh Cuilin Zhang dari NIH, Eunice Kennedy Shriver dari Institut Kesihatan Kebangsaan Kanak-kanak dan Pembangunan Manusia (NICHD).
Dana untuk menjalankan kajian ini pula diperoleh daripada NIH, Institut Kanser Kebangsaan dan Institut Diabetis, Pencernaan dan Buah Pinggang Kebangsaan. Kajian ini disokong oleh Institut Darah, Paru-paru dan Jantung Kebangsaan. Hasil kajian ini telah diterbitkan dalam Internet menerusi laman web Circulation.
Semakin hari semakin banyak bukti yang mengaitkan lemak berlebihan di abdomen dengan risiko penyakit diabetes dan jantung. Bagaimanapun perkaitan antara obesiti di bahagian abdomen dengan risiko kematian masih belum dikaji secara meluas.
Kajian terkini menunjukkan bahawa kegemukan di abdomen ada kaitan dengan kematian awal.
Para penyelidik yang menjalankan kajian terhadap 44,000 wanita telah mengikuti rekod sejarah kesihatan dan gaya hidup mereka.
Disebabkan majoriti daripada wanita yang mengambil bahagian dalam kajian itu ialah wanita kulit putih, para penyelidik tidak begitu pasti sama ada hasil kajian mereka boleh digunapakai untuk wanita mahupun lelaki daripada bangsa lain.
Semua wanita yang terlibat dalam kajian pula terdiri daripada jururawat berdaftar. Pada awal kajian dibuat, mereka diminta untuk mengukur ukur lilit pinggang dan paha mereka.
Setiap dua tahun, kumpulan wanita ini diminta untuk mengisi borang kaji selidik tentang kesihatan mereka, memberikan maklumat tentang umur, tahap aktiviti luar, status merokok, diet, tekanan darah dan paras kolesterol.
Para penyelidik ini turut mengkaji punca kematian bagi wanita yang didapati meninggal dunia ketika tempoh kajian ini berlangsung iaitu sebanyak 3,507 kematian dan daripada jumlah itu 1,748 diakibatkan oleh kanser, manakala 751 kerana penyakit berkaitan jantung.
Para penyelidik turut mendapati bahawa wanita yang mempunyai lemak berlebihan di pinggang lebih berisiko untuk mati lebih awal kerana komplikasi jantung berbanding dengan mereka yang berpinggang kecil.
Sebagai contoh, wanita yang bersaiz pinggang sama atau lebih daripada 35 inci dianggarkan untuk meninggal lebih dua kali lebih awal kerana penyakit jantung berbanding dengan wanita yang bersaiz pinggang 28 inci sahaja (mengenepikan indeks berat badan). Sama juga risiko bagi mereka ini untuk meninggal akibat kanser.
Pada masa yang sama, wanita yang mengalami obesiti turut berisiko untuk berhadapan maut lebih awal daripada usia yang sepatutnya.
Menurut para penyelidik, obesiti ditentukan menerusi indeks berat badan (BMI) yang mengukur kesesuaian antara ketinggian seseorang dengan berat badan mereka.
BMI antara 18.5 dikategorikan berat badan yang ideal dan sihat, manakala BMI 30 hingga 39.9 adalah obes.
Saiz ukur lilit pinggang wanita yang lebar adalah tanda pengumpulan lemak berlebihan pada bahagian depan perut, istilah ini dipanggil abdominal obesity.
Menurut kajian Panduan Klinikal Untuk Mengenalpasti, Memerhati dan Rawatan Berat Badan Berlebihan dan Obesiti di Kalangan Orang Dewasa, saiz had pinggang yang sihat ialah 35 inci bagi wanita dan lelaki 40 inci. Saiz ukur lilit pinggang ini boleh diukur keliling pinggang dari paras pusat.
Menurut Dr. Zhang, dalam tahun 2004 lebih daripada satu setengah orang dewasa Amerika mengalami abdominal obesity.
lArtikel dari laman web www.nih.gov

KANSER PAYU DARA

Kanser payu dara pembunuh utama

PUTRAJAYA 9 Jun - Sebanyak 31 peratus pesakit kanser wanita di negara ini terdiri daripada pesakit kanser payu dara yang menjadikan kanser itu kekal sebagai pembunuh utama wanita.
Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai berkata, peningkatan kanser tersebut bukan sahaja dikesan di negara ini tetapi berlaku di seluruh dunia.
''Berdasarkan statistik pada 2003, sebanyak 3,738 kes baru untuk kanser payu dara telah dilaporkan di negara ini.
''Di peringkat dunia pula, 1.05 juta wanita menghidap kanser payu dara setiap tahun," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kemas Kini Patologi Payu Dara di Hospital Putrajaya di sini hari ini.
Tiong Lai berkata, hanya 20 peratus pesakit kanser payu dara menerima rawatan awal sekali gus menyebabkan ramai pesakit gagal disembuhkan.
''Jika pesakit menerima rawatan pada peringkat awal maka peluang sembuh adalah mendekati 100 peratus.
''Jika pesakit menerima rawatan selepas kanser merebak ke bahagian badan lain, peluang sembuh adalah kurang daripada 50 peratus," katanya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan wanita yang berumur 20 tahun ke atas menjalankan ujian sendiri dari semasa ke semasa.
''Wanita berumur 30 tahun ke atas juga dinasihatkan supaya menjalankan ujian di pusat perubatan setiap tahun,'' katanya.
Kata beliau, rawatan untuk pesakit payu dara boleh diperolehi di 55 hospital kerajaan manakala empat hospital iaitu di Putrajaya, Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Kota Bahru menyediakan pembedahan 'endocrine' untuk pesakit.
''Buat masa ini, kita mempunyai enam pakar untuk pembedahan ini manakala enam lagi sedang menjalankan latihan," katanya.
Tambahnya, hospital kerajaan mempunyai 60 ahli patologi anatomical dan seorang daripadanya merupakan pakar dalam patologi payu dara.
''Pakar patologi payu dara ini ditempatkan di Hospital Putrajaya," katanya.

Monday, June 9, 2008

PD MUDAH SELENGGARA

PD mudah selenggara

Oleh Hafizah Iszahanid

Dialisis peritoneal boleh dilakukan di mana-mana ROHANA Abu Kassim berusia 32 tahun ketika hamil anak ketiga. Walaupun kehamilannya biasa tetapi keadaan dirinya sedikit luar biasa. Waktu itu, bidan kerajaan yang membuat pemeriksaan kandungannya memberitahu bahawa Rohana berhadapan dengan masalah kencing kotor manakala air kencingnya ada darah.
Berdasarkan simptom itu, Rohana mungkin berhadapan dengan masalah buah pinggang, tetapi untuk mendapatkan kepastian, Rohana dinasihatkan menjalani pemeriksaan. Kemudian, ketika kandungannya berusia lapan bulan, doktor terpaksa meminta Rohana melahirkan bayi lebih awal kerana risiko kerosakan buah pinggang yang tinggi jika bayi itu dilahirkan secara normal. "Pada mulanya doktor kata buah pinggang saya mungkin besar sebelah, tetapi selepas pemeriksaan dilakukan, saya disahkan alami penyakit buah pinggang," katanya.
Rohana yang kini berusia 58 tahun tidak dapat membayangkan sebenar mana masalah yang dihadapinya itu. Apa yang dia tahu, dia perlu makan ubat seperti yang ditetapkan doktor. Justeru, selama 23 tahun, Rohana tidak pernah sekali pun ingkar. "Masa dapat tahu sakit buah pinggang, ingatkan macam sakit lain, lepas makan ubat sembuhlah. Bagaimanapun, selepas makan ubat dalam tempoh yang lama, penyakit itu tidak berubah. Akhir sekali doktor meminta saya didialisis," katanya. Berbanding dengan pesakit buah pinggang lain, Rohana masih dianggap bertuah kerana komplikasi buah pinggangnya dapat dilengahkan. Hanya selepas 23 tahun, barulah Rohana berhadapan dengan masalah buah pinggang tahap akhir (ESRF) yang memerlukan dialisis. "Doktor memberitahu bahawa darah saya sudah mula kotor dan memerlukan dialisis," katanya yang sudah tiga tahun bersara sebagai Pengawal Ehwal Semasa di Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Oleh kerana Rohana patuh pada arahan doktor dengan makan ubat pada waktu ditetapkan dan mengamalkan diet yang sepatutnya diambil pesakit ginjal, tempoh untuk Rohana memerlukan dialisis agak lewat. Berbanding pesakit buah pinggang yang didiagnos pada peringkat akhir, kadang kala keperluan untuk dialisis hanya dalam tempoh setahun selepas didiagnos. Rohana berkata, selama 23 tahun dia kerap kencing pada waktu malam, lebih daripada dua kali, selain mengalami masalah sembab air pada kaki. Tiga tahun lalu, Rohana menjalani hemodialisis (HD), tetapi sejak tiga bulan lalu, Rohana kerap terasa pening dan mual sepanjang sesi. "Kekerapan rasa mual dan pening membuatkan saya fikir ia mungkin merosakkan badan saya. Mungkin ada orang yang sesuai dengan HD tetapi saya tidak," katanya. Rohana menjalani hemodialisis tiga kali seminggu di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Satu sesi HD mengambil masa empat jam. Jika bertugas di luar Kuala Lumpur, Rohana akan melakukan dialisis di hospital berdekatan. Tiga bulan selepas melakukan HD, Rohana diperkenalkan dengan dialisis peritoneal dialisis (PD). Berbanding HD, PD memberinya kebebasan untuk bergerak kerana ia boleh dilakukan di rumah. PD juga membolehkan dia minum air lebih daripada biasa. Malah, kerana tugas yang membawa Rohana kerap keluar dari Kuala Lumpur, PD mudah diselenggarakan. "Dialisis tidak menyakitkan, ia memudahkan saya. Bagaimanapun, pembedahan untuk menanam PD itu memang sakit. Begitupun, saya tidak menganggap penyakit buah pinggang yang dialami ini satu beban, sebaliknya saya sentiasa berfikiran positif. Saya bersyukur masih dipanjangkan usia malah ini mungkin ujian Tuhan sebab kita ini manusia tidak lepas daripada dosa," katanya. Rohana berkata, apabila memutuskan untuk menggunakan PD, petugas daripada wad nefrologi HKL datang ke rumahnya bagi memastikan kebersihan dan kesesuaian menggunakan PD di rumah. Penggunaan PD memang memerlukan keadaan yang sangat bersih bagi mengelakkan jangkitan. "Saya diajar oleh jururawat dan doktor, masa buat PD saya perlu jaga kesihatan dan kebersihan. Basuh tangan saja ambil masa lima minit dan waktu buat PD mesti tutup mulut," katanya. Dalam sehari, Rohana perlu membuat empat kali dialisis dengan PD yang mengambil masa antara 28 hingga 30 minit. Satu sesi PD bertahan empat jam, sebelum Rohana perlu menjalani dialisis untuk 28 minit berikutnya. "Saya suka PD kerana mudah untuk bergerak. Dengan PD, boleh makan sayur hijau dan minum air lebih sikit. Dulu, mula-mula tengok PD, saya terkejut juga, banyaknya wayar nak pasang ini dan tarik ini, tapi alah bisa tegal biasa. "Kalau pergi bercuti, saya masih boleh buat dialisis di hotel. Wayarnya saya sangkut di penyangkut baju, perlu kreatif sikit," katanya. Sudah namanya sakit, Rohana masih perlu berhati-hati. Walaupun masih boleh mengemas dan memasak, Rohana tidak boleh mengangkat barang yang berat. Rohana masih boleh memandu sendirian berulang alik dari ibu kota ke Ipoh, lokasi suaminya bertugas sekarang. Rohana sebelum ini pernah ditawarkan untuk membuat pemindahan organ di China, tetapi selepas memikirkan risiko kesihatan dan prosedur pemindahan buah pinggang di sana yang tidak setanding di Malaysia, Rohana menolaknya. "Berbanding di China, peraturan pemindahan organ di Malaysia sangat ketat. Pemeriksaan kesihatan juga dibuat kerana tidak mahu komplikasi kemudian hari. Saya bimbang kalau saya main buat saja, kesan selepas itu dan rawatan susulannya ditakuti lebih menjejaskan kesihatan," katanya. Melihatkan keceriaan dan kecergasan Rohana, mungkin tiada yang terfikir dia berhadapan dengan masalah buah pinggang. Katanya, dia tidak mahu murung dan berfikiran negatif kerana semua itu akan lebih menjejaskan kesihatan. Paling penting, dia mempunyai suami, anak dan cucu yang sering menyokongnya. InfoMasalah buah pinggang dan PD
Jumlah pesakit yang memerlukan dialisis meningkat secara dramatik dalam tempoh 20 tahun di Malaysia.
Lebih 2,500 orang berhadapan dengan ESRF setiap tahun. Jumlah itu meningkat berbanding 43 orang pada 1980 dan meningkat kepada 3,152 pada 2006.
Di Malaysia, 90 peratus pesakit buah pinggang memilih HD manakala 10 peratus memilih PD.
PD membantu mengurangkan tekanan darah.
PD membantu menurunkan keperluan ubat anti hipertensi.
Mengurangkan beban kerja kardiak.

CERGAS LEBIH BANYAK TENAGA

Orang cergas lebih banyak tenaga

Bersama Dr Noordin Darus

dnd@worldwellness.com.my

KITA semua tahu kesan dan manfaat senaman ke atas kecergasan fizikal yang sudah lama dikaji dan dicatatkan oleh pakar dalam bidang fisiologi, pendidikan jasmani, ahli sains, doktor dan jurulatih. Hasilnya menunjukkan kesan yang diheboh-hebohkan mengenai peningkatan tahap tenaga daripada senaman yang konsisten sebenarnya adalah suatu tanggapan salah. Penambahan tahap tenaga itu sebenarnya datang daripada senaman itu sendiri. Dengan menggunakan jumlah tenaga terhad yang ada dengan lebih berkesan, tenaga itu dapat disimpan bagi kegunaan lain, yang memberikan gambaran bahawa orang yang cergas mempunyai lebih banyak tenaga berbanding orang tidak cergas. Senaman mempunyai kesan ke atas sistem kardiovaskular dan pernafasan. Ini kerana jantung adalah suatu organ berotot dan senaman memperkuatkannya seperti juga senaman memperkuatkan otot tangan dan kaki. Oleh itu, jantung seseorang yang cergas berupaya mengepam dengan lebih berkesan daripada jantung orang tidak cergas.
Senaman juga mempunyai kesan ke atas pengecutan gentian otot, koordinasi, kelenturan dan ketangkasan seseorang. Peningkatan dalam kekuatan otot, ketahanan dan keadaan otot menerusi senaman sudah banyak dicatatkan. Hasil kajian dalam bidang itu digunakan dalam pelbagai kaedah yang digunakan untuk melatih ahli sukan dan juga dalam rawatan pesakit yang menghidap penyakit perubatan untuk mempercepatkan kadar pemulihan. Kesan regimen senaman yang konsisten hanya dapat dilihat secara beransur-ansur, dan banyak bergantung kepada tahap kecergasan seseorang itu. Orang biasa boleh menjangkakan hasil selepas empat hingga enam minggu tetapi perbezaan bermula daripada kira-kira minggu yang ketiga. Sesiapa yang mengharapkan hasil serta-merta akan kecewa. Dalam pengalaman mana-mana regimen senaman, badan anda perlu dirapikan terlebih dulu untuk menerima beban senaman. Hanya selepas fasa itu dicapai badan anda akan bersedia menerima cabaran senaman lebih berat. Inilah sebabnya sesiapa yang baru hendak bermula dinasihatkan dengan senaman ringan dan meningkatkannya secara beransur-ansur. Jika tidak otot akan sakit dan tercedera yang bukan saja tidak membantu tubuh sebaliknya memudaratkannya.
Kecergasan itu apabila dicapai bukan untuk selama-lamanya. Anda masih perlu berusaha mengekalkannya. Hukum amnya ialah, ia mengambil kira-kira dua kali jumlah masa yang diambil untuk anda mencapai tahap kecergasan tertentu untuk tahap merosot kembali ke tahap permulaan anda. Jadi, jika anda telah bersenam dengan tekun selama dua minggu, kecergasan anda akan kembali ke tahap asalnya dalam masa empat minggu jika anda berhenti bersenam di peringkat itu. Ahli sukan yang tidak dapat berlatih disebabkan kecederaan sering kali mendapati diri mereka terpaksa bermula dari peringkat permulaan selepas mereka kembali pulih. Ini juga sebab ahli sukan yang mempunyai abdomen kempis yang menampakkan otot tiba-tiba mendapati perut mereka buncit walaupun hanya baru setahun bersara daripada bersukan secara aktif. Kesihatan Di samping segala manfaat yang dapat diperoleh daripada senaman yang tetap yang dibincangkan di atas, satu lagi manfaat penting adalah kesihatan menyeluruh yang lebih baik. Tidak diragui lagi bahawa senaman tetap membantu mengurangkan risiko masalah kesihatan yang besar. Dalam bahagian ini, saya ingin membincangkan lima penyakit utama yang berkaitan dengan kekurangan kegiatan fizikal. Akronim bagi mereka adalah "HAVOC" dan ia adalah singkatan bagi: H - Hipertensi (hypertension) A - Artritis (Arthritis) V - Penyakit jantung (Vascular Diseases) O - Kegemukan berlebihan (Obesity) C - Kanser (Cancer)
Sebarang pertanyaan sila hubungi 03-77887791 atau dnd@worldwellness.com.my

AHLI PERUBATAN ISLAM

Sumbangan ahli perubatan Islam
Oleh:DR. SYED ALI TAWFIK AL-ATTAS

As‘ad b. Ilyas b. al-Matran dianggap ahli perubatan terpenting dinasti Ayyubi. Dilahirkan di Damsyik Ibn Matran berasal dari rangkaian ahli perubatan yang mahir dalam ilmu perubatan Yunani di samping ilmu-ilmu perubatan Islam. Dari usia awal beliau menunjukkan minat dalam ilmu-ilmu perubatan sebahagiannya disebabkan oleh bapanya seorang ahli perubatan terkenal yang telah mendidik secara senyap anak-anaknya dengan ilmu perubatan.
Para sejarawan hanya menukilkan sedikit sahaja tentang kehidupan Ibn al-Matran; hanya sedikit yang diketahui tentang kehidupan awal beliau, dan kita dimaklumkan bahawa beliau pernah diasuh oleh ahli perubatan tersohor Ibn al-Tilmidh. Kerjaya beliau mencapai kemuncaknya semasa pemerintahan Sultan Salah al-Din, apabila beliau berkhidmat sebagai tabib diraja. Hubungannya dengan Sultan tidak terhad sebagai doktor peribadi semata-mata bahkan juga sebagai teman rapat dan orang kepercayaan Sultan. Ibn al-Matran adalah pengumpul buku dan catatan para bijak pandai dan ahli perubatan, dan dikatakan telah membina sebuah perpustakaan yang agak besar mengandungi berbagai jenis buku. Bimaristan al-Nuri terhutang budi kepada Ibn al-Matran di atas sumbangan dan tunjuk ajarnya; tidak jelas sama ada dia pernah berkhidmat di situ sebagai tabib atau tidak, bagaimanapun bolehlah dianggap bahawa dia telah memberikan banyak tunjuk ajar kepada ramai orang, antaranya Ibn al-Dakhwar.
Dua tulisannya yang menggambarkan kepentingan beliau ialah: (a) Bustan al-Atibba’ wa Rawdat al-Alba’, yang mengandungi perbahasan Ibn al-Matran dengan sahabat sahabat dan guru-guru beliau. Ia merupakan suatu bacaan yang menarik yang mengandungi pandangan-pandangan Ibn Matran terhadap pencapaian- pencapaian dan masalah-masalah pada zaman itu. Turut dimasukkan ialah perbincangan tentang asal-usul perubatan menurut pandangannya, yang dimasukkan sebagai mukadimah kepada karya Ibn Abi Usaybi‘ah, Uyun al-Anba’; (b) al-Maqalah al-Najmiyyah, suatu risalah khusus berkenaan kebersihan, penjagaan kesihatan dan pencegahan penyakit. Buku-buku sedemikian amat popular di dunia Arab sebahagiannya disebabkan oleh kebimbangan terhadap penyakit.
Seorang lagi tokoh dinasti Ayyubi ialah Abu al-Makarim Hibatallah Nathana b. Ifra‘im b. Jumay’ al-Isra‘ili. Beliau dilahirkan di Fustat, bahagian lama Kaherah, dan belajar ilmu perubatan di bawah pengawasan Abu Nasr al-Ayn al-Zarbi. Tidak lama selepas itu, pengetahuannya tentang berbagai jenis dadah dan rawatan penyakit, di samping kemahirannya dalam bahasa Arab mula menonjolkan dirinya. Menurut Ibn Abi Usaybi‘ah sebab yang memungkinkan Ibn Jumay’ mencapai kejayaan besar dalam bidang perubatan dan penyembuhan ialah pengajiannya di bawah Ibn al-Ayn al-Zarbi. Jumay’ telah menghasilkan karya-karya penting dalam bidang perubatan, antaranya:
(a) Kitab al-Irshad li Masalih al-Anfus wa ‘l-Ajsad: dalam mukadimahnya dia memuji al-Qadi al-Fadil Abd al-Rahman, wazir kepada Sultan Salah al-Din, dan menujukan kitab itu kepadanya. Tibb al-Adyan wa Tibb al-Abdan adalah rangka utama karya ini, dan ia dibahagikan kepada empat risalah: pertama, pengetahuan umum tentang perubatan; kedua, berkenaan material medical; ketiga, berkenaan terapi dan penjagaan kesihatan; keempat, berkenaan dadah dan campurannya.
(b) Al-Maqalah al-Salihiyyah: mengandungi pandangannya berkenaan kemerosotan kerjaya perubatan dan cita-citanya bagi memperbaiki keadaan itu.
(c) Al-Tasrih: suatu syarah dan tafsiran terhadap Qanun fi al-Tibb Ibn Sina. Ibn jumay’ cuba memberikan gambaran yang lebih jelas berkenaan kehidupan dan amalan perubatan yang diterimapakai pada zaman itu.
Musa ben Maimun al-Qurtubi al-Isra‘ili hidup pada zaman yang kucar-kacir semasa pemerintahan Khalifah al-Ma‘mun. Ben Maimun dilahirkan di Cordova, pada tahun 1135. Semasa berumur 12 tahun Khalifah al- Ma‘mun telah mengeluarkan suatu perisytiharan mengharamkan semua agama selain Islam. Dengan terpaksa Ben Maimun menerima Islam hanya pada nama, dan menyembunyikan keadaan sebenarnya selama 12 tahun sebelum berpindah ke Kaherah bagi menyelamatkan dirinya dari kezaliman al-Ma‘mun. Beliau seterusnya berpindah ke Fez bersama kaum keluarganya dan tinggal di sana selama lima tahun, dari 1160 hingga 1165. Pada penghujung 1165 beliau mencuba nasib sebagai pedagang; beliau menghantar saudaranya ke India bagi mencari batu-batu berharga dan bahan galian untuk diperdagangkan di Mesir. Malangnya kapal yang membawa saudaranya itu karam, membunuh semua anak kapal.
Kuasa
Pada 1171, kerajaan Fatimiyyah menyerahkan kuasa kepada Bani Ayyub. Perubahan ini mengubah nasib Ben Maimun yang dilantik tabib diraja kepada Salah al-Din, musuh Richard ‘the Lion Heart’ (Berhati Singa). Kemasyhuran Ben Maimun sebagai pengarang, filsuf, dan ahli perubatan telah menarik perhatian al-Qadi al-Fadil al-Wazir Abd al-Rahman yang mencadangkannya dilantik sebagai tabib diraja.
Sumbangannya dalam bidang perubatan banyak ditulis pada penghujung usianya, dalam bahasa Arab. Ben Maimun memperolehi sumbernya dari penulis Yunani dan ahli perubatan Muslim seperti Ibn Sina, Ibn Rushd, Muhammad Zakariyya al-Razi dan Ibn Zuhr. Antara karyanya ialah:
(a) Al-Risalah al-Afdaliyyah: berkenaan kesihatan umum dan kebersihan. Buku ini dibahagikan kepada empat bahagian: pertama, diet untuk kesihatan; kedua, diet untuk rawatan; ketiga, diet untuk golongan raja; keempat, nasihat umum berkenaan kebersihan.
(b) Maqalah al-Sumum: berkenaan racun dan dadah yang merbahaya kepada kesihatan dan penawarnya.
(c) Suatu huraian terhadap enam karya Galen yang membahaskan lebih dari 1000 kata-kata yang dinisbahkan kepada Galen
(d) Maqalat al-Hayawan: berkenaan kehidupan haiwan menurut Aristotle.
Tokoh berikutnya ialah al-Hakim Muwaffaq al-Din Ya‘qub al-Maqdisi ibn al-Siqlab. Ibn Abi Usaybi‘ah mengenali Ibn Siqlab secara peribadi dan telah memberikan gambaran yang agak menyeluruh berkenaan seorang yang dianggap paling handal pada zamannya dalam bidang perubatan.
Ibn Siqlab dilahirkan pada 1161 di Baitul Maqdis. Beliau mahir dalam bahasa Yunani dan tulisan-tulisannya; dilatih dalam bidang perubatan oleh Shaykh Abu Mansur al-Maqdisi dan Theodore of Antioch. Selepas kejatuhan Baitul Maqdis di tangan tentera salib, Ibn Siqlab telah diminta berkhidmat di istana Salah al-Din. Kemudian beliau berkhidmat di bimaristan Baitul Maqdis sehingga pemerintahan al-Mu‘adham yang segera melantiknya sebagai tabib agung. Baginda membawanya bersama dengan rombongan diraja ke mana sahaja.
Ibn Abi Usaybi‘ah menganggap Ibn Siqlab antara tokoh besar dalam bidang perubatan, seorang yang amat menguasai perubatan Yunani, yang sangat berhati-hati dalam perkara yang halus-halus, dan pemegang obor ilmu perubatan.
Hanya sedikit maklumat berkenaan kehidupan peribadi ahli perubatan, hakim, dan tokoh berkeperibadian tinggi, Shihab al-Din al-Tifashi. Tidak seperti ibn Siqlab, terdapat beberapa buku yang kita ketahui dikarang oleh al-Tifashi.
Selama bertahun-tahun beliau dikaitkan dengan golongan diraja Bani Ayyub di Sham dan Mesir, di mana beliau memberikan perhatian khusus terhadap sejarah sosio-politik bangsa Arab. Enam buku yang dikarang oleh beliau membahaskan berkenaan pancaindera, keseronokan, geriatrik, perubatan kampung, dan bahan galian.
Azhar al-Afkar fi Jawahir al-Ahjar al-Mulukiyyah adalah karya beliau yang paling terkenal yang disiapkan pada 1248. Buku ini berkenaan bahan galian dan batu-batu berharga ditulis untuk golongan terpilih, khususnya golongan kaya dan berpengaruh. Buku ini mengandungi 25 bab termasuk penjelasan tentang batu-batu berharga, separuh berharga dan bahan-bahan galian, sifat-sifat jasmani mereka, kebaikan-kebaikan, asal-usul dan pembentukan, khasiat-khasiat perubatan dan nilai pasaran mereka. Al-Tifashi merujuk kepada karya-karya Aristotle, al-Kindi dan al-Biruni.
Abd al-Latif al-Baghdadi adalah nama yang dikenali apabila berbicara berkenaan pergerakan jasad angkasa. Walaubagaimanapun beliau lebih dikenali dalam bidang perubatan. Beliau dilahirkan di Fallujah, Baghdad pada 1162. Bapa dan bapa saudaranya adalah ahli fiqah yang dihormati, dan tidaklah mengejutkan sekiranya Abd al-Latif menjadi seorang yang terdidik dan terpelajar pada usia yang amat muda. Di Baghdad beliau diasuh oleh tidak kurang dari dua belas guru, antaranya al-Mutanabbi, al-Anbawi, dan al-Simawi. Apabila beliau dewasa beliau diterima masuk ke madrasah Nizamiyyah, tempat berkumpulnya golongan terpelajar, dan telah diberikan kitab Adab al-Katib (karangan Ibn Qutaybah) untuk dibaca.
Pada usia 28 beliau memutuskan untuk meninggalkan Baghdad setelah menamatkan pengajiannya di situ. Tempat persinggahan pertamanya ialah Mawsil di mana dia berkhidmat untuk al-Kamil b. Yunus. Di sini dia mempelajari perundangan, ilmu hisab dan kimia sambil mengajar di madrasah berkenaan. Beliau tidak lama di sana, hanya setahun, tempat tujuan berikutnya ialah kota Damsyik.
Pada masa itu al-Baghdadi sudah mencapai tahap kemasyhuran yang meluas. Peluang pekerjaan terbuka luas kepadanya, dan setiap orang mahu mendekatinya. Al-Baghdadi lebih berminat menemui Sultan Salah al-Din setelah mendengar kejayaannya menakluki Baitul Maqdis. Oleh itu beliau ke Baitul Maqdis.
Malangnya Sultan Salah al-Din tidak berminat, oleh itu Abd al-Latif dibawa berjumpa al-Fadil, wazir. Al-Fadil merasa amat bangga dan berbesar hati serta menawarkan untuk menanggung segala perbelanjaan al-Fadil semasa di sana. Abd al-Latif menolak dengan hormat sambil menyuarakan hasratnya untuk ke Kaherah.
Di Kaherah Abd al-Latif telah dikurniakan “kunci kota”; setiap perbelanjaannya dibayar supaya dia dapat meneruskan tugas-tugas ilmiahnya tanpa gangguan. Di sini beliau bertemu tiga orang tokoh: Yasin al-Simawi; Musa ben Maimun; dan Abu al-Qasim al-Shari‘i.
Sebaik mendengar berita kepulangan Salah al-Din ke Baitul Maqdis al-Baghdadi merancang untuk kembali ke sana. Dia telah dilayan dengan penuh hormat oleh Sultan Salah al-Din sehinggakan al-Baghdadi amat mengasihi rajanya itu. Mereka menghabiskan masa dalam perbincangan sehingga lewat malam.
Pada 1192 Salah al-Din pergi menunaikan haji ke Mekah. Sekembalinya beliau jatuh sakit dan meninggal dunia. Sekali lagi perbalahan timbul, kali ini antara dua anakanda Salah al-Din Ali al-Afdal yang menggantikan bapanya di Damsyik, dan Abd al-Aziz yang menguasai Kaherah. Suatu perjanjian damai diusahakan tetapi gagal dan Abdul Aziz telah membawa Abd al-Latif kembali ke Kaherah dan menugaskannya mengajar di Jami’ al-Azhar.
Perlantikan itu adalah titik penting dalam kehidupan Abd al-latif. Pada masa itu berlaku kebuluran besar di Mesir, yang berlarutan selama lapan tahun. Pada masa inilah Abd al-Latif menulis salah satu risalah terpentingnya Al-Ifadah wa al-I’tibar, yang membincangkan berkenaan haiwan dan tumbuhan; bangunan purba; kebuluran, punca-punca dan cara mengelakkannya; juga berkenaan wabak yang datang bersama kebuluran. Pada 1229/30 beliau kembali ke Baghdad di mana beliau menghadiahkan Khalifah al-Nasir buku-bukunya untuk disimpan di perpustakaan. Setahun kemudian beliau meninggal dunia sebelum sempat mengerjakan haji.
Abd al-Latif menulis dua risalah berkenaan pancaindera di mana beliau cuba mengenalpasti titik deria, fungsi dan sumbangan mereka kepada badan. Ahli perubatan Islam secara umumnya amat mengambil berat berkenaan perkara ini dan melakukan lebih banyak penyiasatan tentang penderitaan yang dialami berbanding orang Yunani dan Cina.
PENULIS ialah Ketua Pengarah Institut kefahaman islam malaysia (IKIM)

Sunday, June 8, 2008

MAKAN SERANGGA

Makan serangga

Pakar percaya ia dapat dijadikan alternatif sihat bagi menggantikan snek yang menggemukkan.
BELALANG goreng berpotensi menggantikan snek yang menggemukkan. Tetapi sanggupkah anda memakannya?
SAINTIS mendakwa menambah serangga ke dalam diet akan membawa kebaikan kepada manusia dan alam sekitar.
Serangga ialah diet yang kaya nutrien, dapat membantu mengurangkan serangga perosak dan mengurangkan tekanan terhadap alam sekitar berbanding jika manusia mengambil daging haiwan.
Sesetengah serangga yang kering dikatakan mengandungi protein dua kali ganda lebih banyak berbanding daging mentah haiwan, manakala selebihnya kaya dengan lemak tidak tepu, vitamin dan mineral.
Pakar percaya suatu hari nanti mereka akan dapat memasarkan alternatif yang sihat bagi menggantikan snek yang menggemukkan.
Dianggarkan terdapat 1,700 spesies serangga yang dimakan di 113 negara.
Di Taiwan, cengkerik atau ulat bulu goreng menjadi hidangan enak, sementara ulat sagu yang dibalut daun pisang cukup diterima di Papua New Guinea, sebagaimana pepatung dinikmati di Bali.
Di kebanyakan gerai di Kemboja dan Vietnam, mereka menjual serangga dalam unit paun dan dijual sebagai snek goreng di jalanan.
ENTOMOFAGI atau pengambilan serangga sebagai makanan, dapat menyumbang kepada pengawalan serangga perosak.
Patrick Durst daripada Pertubuhan Pertanian PBB berkata, jika pengguna mahu menambah pilihan dalam makanan, serangga wajar disenaraikan tetapi dihidang dalam rupa yang menyelerakan.
"Ia patut dihidang dalam bentuk di mana seseorang yang mahu menikmatinya tidak perlu melihat ke arah mata serangga itu sebelum mengunyahnya," katanya.
Awal tahun ini, Pertubuhan Pertanian dan Makanan menganjurkan sebuah konferen untuk membincangkan bagaimana entomofagi, atau mengambil serangga sebagai makanan, dapat menyumbang kepada pembangunan yang mapan.

EPILEPSI

Memahami penyakit epilepsi

"EPILEPSI adalah panggilan nama bagi muntahan berwarna kelabu yang berlaku sekali sekala, secara tiba-tiba, cepat dan keluar dengan banyak," demikian menurut John Hughlings Jackson, seorang doktor bangsa Inggeris yang dianggap sebagai bapa kepada konsep moden sawan.
Penjelasan dan konsep yang diperkenalkan oleh Jackson itu masih kekal relevan walaupun selepas 150 tahun berlalu. Secara mudahnya, epilepsi adalah satu gangguan di mana aliran isyarat elektrik di dalam otak menjadi celaru.
Ia kadangkalanya diumpamakan seperti berlaku ribut elektrik di dalam otak. Pelepasan elektrik dari otak yang berlebihan, pada zahirnya, adalah serangan sawan.
Ia dapat dilihat dalam bentuk sentakan (jerky), menggigil dan terkejang-kejang, bunyi kuat seperti berdengkur atau rebah ke tanah, atau gabungan ketiga-tiganya.
Dalam realitinya, serangan sawan boleh terjadi dalam sebarang bentuk perlakuan atau pergerakan yang tidak disedari atau tidak normal. Terdapat bermacam jenis epilepsi atau sawan, dan diklasifikasikan sebagai sawan keseluruhan (generalised) dan sawan separa (partial).
Perbezaannya bergantung kepada bahagian mana serangan sawan itu bermula dan setakat mana ia menjejaskan otak.
Dalam serangan sawan am, aktiviti aliran elektrik yang tidak normal berlaku pada pada kedua-dua hemisfera otak.
Pengidapnya akan tidak sedarkan diri. Serangan separa (partial) pula menjejaskan satu bahagian otak sahaja.
Serangan separa sawan (partial) terbahagi kepada serangan ringkas dan serangan kompleks. Sewaktu berlakunya serangan separa-sawan, seseorang itu tidak pengsan.
Dia mungkin mengalami sensasi atau emosi yang ganjil, misalnya secara tiba-tiba dilanda perasaan suka atau marah, atau berlaku perubahan pada bau, rasa, bunyi atau bentuk sesuatu benda itu.
Sewaktu berlakunya serangan sawan separa kompleks, seseorang itu mungkin tidak mengecam keadaan persekitarannya, mungkin kelihatan seperti bingung atau seperti berada dalam mimpi.
Tanda-tanda serangan ialah perbuatan mengunyah, bingung, menarik-narik pakaian dan berjalan berpusing-pusing dalam satu bulatan.
Kadang-kadang pengidapnya menyedari 'amaran' tersebut dan tahu yang dia akan diserang sawan. Amaran ini juga dipanggil aura.
l Sawan menyeluruh
Serangan sawan menyeluruh pula dibahagikan kepada empat jenis: absens, myoklonik, atonik, and tonik-clonik.
l Serangan sawan absens kebiasaannya berlaku pada kanak-kanak pada usia persekolahan dan biasanya berlaku sekejap sahaja (dalam beberapa saat).
Tanda-tanda biasanya ialah kelihatan bingung, pergerakan yang tidak ketara seperti mata terkelip-kelip. Mungkin tiada yang perasan ia sedang berlaku, malahan kadang-kala pengidap sendiri pun tidak perasaan ia berlaku.
l Serangan sawan Myoklonik menyebabkan berlaku sentakan ringkas pada bahagian tangan, kaki atau bahagian atas badan. Ia sama seperti terjahan atau sentakan secara tiba-tiba pada kaki, yang dialami kebanyakan orang ketika hampir terlelap tidur.
l Serangan sawan Atonik menyebabkan otot tiba-tiba menjadi lemah, mengakibatkan seseorang itu tiba-tiba rebah atau terjatuh.
l Tonik-clonik adalah merupakan serangan sawan yang paling teruk dan jenis inilah yang akan terlintas di fikiran orang ramai apabila memikirkan tentang sawan. Tanda- tandanya adalah seperti tidak sedarkan diri, seluruh badan badan menjadi kejang, disusuli dengan sentakan pada tangan dan kaki. Mungkin juga berlaku hilang kawalan pada pundi kencing.
Jika tidak dirawat, serangan epilepsi ini boleh menjejaskan aktiviti harian seperti memandu atau ketika mandi atau berenang. Terjatuh ketika diserang sawan pula boleh mengakibatkan kecederaan pada kepala.
l Epilepsi biasa berlaku
Ia dialami oleh kira-kira 0.8 peratus kanak-kanak dan 0.4 peratus orang dewasa. Ia mudah berlaku terutamanya pada kanak-kanak dalam lingkungan usia satu tahun dan mereka yang berusia melebihi 65 tahun.
Epilepsi juga boleh menyerang tanpa mengira umur, jantina, bangsa atau status sosial. Separuh daripada kes-kesnya, tidak diketahui puncanya.
Bagaimanapun, beberapa punca utama epilepsi adalah jangkitan pada otak (encephalitis, meningitis dan sebagainya), keadaan seperti serangan angin ahmar, ketumbuhan otak, trauma kelahiran, kecederaan teruk pada kepala, terdedah pada bahan toksik atau penyalahgunaan dadah dan faktor genetik (keturunan).
Walaupun terdapat kemajuan dalam bidang rawatan epilepsi, tidak banyak yang difahami mengenai keadaannya serta mitos menyelubungi penyakit ini.
Kerana kurang kefahaman dan kesedaran, maka pengidap epilepsi masih dilayan dengan rasa takut dan syak wasangka, dan kadang kala dilayan sebagai seorang orang buangan.
Mengidap epilepsi tidak bermakna seseorang itu 'gila' atau terencat akal, ataupun ia akan mengakibatkan masalah mental.
Penyakit ini tidak berjangkit. Sebahagian besar salah faham dalam masyarakat kita ialah epilepsi berpunca daripada gangguan kuasa ghaib.
Sesetengah anggota masyarakat masih mempercayai bahawa badan seseorang yang mengidap epilepsi telah 'dikuasai atau dirasuk oleh makhluk halus'.
Satu cara yang paling mudah untuk menangani kekeliruan tersebut dan mengikis sikap negatif terhadap penghidap sawan ialah dengan membandingkannya dengan penyakit lelah, mengalami debaran hati atau penyakit cirit birit.
Ketidakseimbangan atau gangguan yang sama berlaku pada jantung atau usus mengakibatkan debaran hati atau gangguan perut, boleh menyebabkan berlaku serangan sawan jika ia berlaku dalam otak.
Oleh itu, ia harus diuar-uarkan bahawa aliran elektrik tidak normal yang mengakibatkan berlakunya sawan, memang boleh dirawat!
Tambahan lagi, rawatan perubatan untuk epilepsi mudah diperoleh di semua klinik dan hospital kerajaan.
Ini bermakna orang ramai yang mengidap epilepsi tidak perlu menyisihkan diri atau merasa malu dengan keadaan mereka. Anggota keluarga dan penjaga mereka harus disedarkan bahawa pengidap epilepsi juga boleh menjalani kehidupan biasa seperti orang lain.
Untuk maklumat lanjut mengenai epilepsi, sila layari laman web www.epilepsy.org.my atau www.livebeyondepilepsy.com
Tajuk berikutnya dalam siri tiga artikel mengenai epilepsi ini akan menumpukan kepada diagnosis dan pelbagai pilihan rawatan yang disediakan sempena Hari Epilepsi Antarabangsa 2008 pada 28 Jun ini (Sabtu).

MASALAH KOLESTEROL

Milk Thistle dan Dandelion untuk masalah kolesterol

Saya kini berusia 40 tahun dan mempunyai masalah berat badan berlebihan dan kolesterol tinggi. Doktor menasihati saya agar mengurangkan berat badan dan mengubah diet dan mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat, seperti lebih aktif secara fizikal kerana saya juga berisiko untuk mengalami masalah kesihatan lain. Apakah yang boleh dicadangkan untuk diambil untuk membantu masalah saya ini?
Jawapan:
Untuk mengurangkan berat badan, salah satu aspek penting adalah dengan meningkatkan aktiviti fizikal iaitu senaman. Jadikan senaman sebagai rutin harian atau setidak- tidaknya tiga kali seminggu, sekurang-kurangnya 45 minit setiap sesi.
Sebenarnya senaman bukan sahaja akan membakar 100 lebih kalori untuk setiap batu kita berjalan, tetapi juga meningkatkan kadar metabolik dan dengan itu tubuh akan membakar kalori dengan lebih cepat.
Kajian juga menunjukkan ia masih mampu membantu membakar lemak dengan kadar yang lebih cepat selepas beberapa jam bersenam.
Senaman aerobik pula bermanfaat dalam meningkatkan kadar pernafasan dan membuka saluran darah, manakala gabungan dengan amalan diet yang sihat tentunya memberi kesan yang lebih baik dalam mengimbangkan kolesterol HDL (kolesterol bermanfaat) dan LDL (kolesterol berbahaya).
Pengumpulan toksin dalam badan juga memberi sumbangan kepada kesukaran menurunkan berat badan. Ini diburukkan dengan masalah pembuangan air besar yang tidak lancar.
Dalam masalah ini, kesihatan hati juga memainkan peranan besar. Kemerosotan fungsi hati akan menjejaskan keupayaan hati menyingkirkan toksin dan juga mengganggu metabolisme kolesterol.
Secara tradisional, Milk Thistle digunakan untuk membantu merangsang kesihatan hati. Manakala herba Dandelion membantu penghadaman dengan merangsang penghasilan hempedu oleh hati.
Kombinasi Milk thistle dan Dandelion bermanfaat untuk merangsang detoksifikasi, iaitu penyingkiran toksin daripada badan dan juga merangsang sistem penghadaman yang lebih baik. Melalui detoksifikasi ini ia memberi manfaat kepada masalah kelesuan, sembelit dan juga kesihatan kulit.
Pengambilan suplemen lain seperti lesitin yang kaya dengan fosfatidil kolina juga memberi manfaat. Ini kerana lesitin juga berkeupayaan untuk meningkatkan kelarutan kolesterol dan pemecahan lemak yang terkumpul dalam saluran darah.
Untuk maklumat lanjut mengenai kesihatan, sila hubungi Penasihat Kesihatan Pelanggan BiO-LiFE (Isnin- Jumaat, 9am-6pm) di talian 03-772 87407 (Sem. Malaysia), 082-241820 (Sarawak), 088-230148 (Sabah) atau e-mel kami kesihatan@biolife.com.my.

MASALAH GASTRIK

Masalah gastrik

Masalah gastrik, GERD atau jantung?Doktor,

Saya telah membaca ruangan kesihatan di utusan malaysia pada 18 Februari 2008 mengenai penyakit GERD. Saya ada soalan tentang masalah ini.
Suami saya telah dimasukkan ke dalam wad selama tiga hari pada bulan Januari (11 hingga 13 Januari 2008). Doktor mengatakan dia kena gastrik. Masalahnya dia selalu keluar angin dari badan, sendawa kuat, sakit dada dan panas dalam badan, kulit kering dan tidak berpeluh.
Bermacam-macam ubat telah dicuba selain ubat hospital tapi tiada kesan. Badannya lemah dan tiada semangat seperti sebelum ini kerana suami saya aktif, kuat berkebun sehingga basah bajunya dengan peluh.

Bila malam, suami juga tidak boleh tidur kerana dadanya sakit sehinggakan dia risau kerana takut sakit jantung pula. Kami telah pergi ke unit endoskopi pada 4 Februari 2008 tetapi keputusannya biasa sahaja. Bolehkah doktor beritahu apa lagi tindakan yang harus saya ambil untuk membantu suami? Terima kasih.
- Norsiha

JAWAPAN,

Pertama sekali, suami puan perlu berjumpa doktor untuk memastikan penyakit berkenaan tidak berkaitan dengan sebarang masalah pada jantung. Jika sudah disahkan bukan berpunca dari jantung, ujian endoskopi mungkin perlu dijalankan untuk memastikan sebarang kaitan dengan salur penghadaman.
Ujian endoskopi yang tidak menunjukkan sebarang masalah membolehkan doktor menolak kemungkinan kaitan GERD dengan masalah suami puan. Namun, ini juga menunjukkan suami puan perlu menjalani ujian lanjutan yang lebih khusus sebelum simptom yang dihadapinya dapat dikaitkan dengan masalah fungsi badan atau psikologi.
Ujian lanjutan hanya perlu dijalankan jika semua ujian yang biasa dijalankan menunjukkan keputusan negatif (tiada masalah).

Gastrik tidak halang mengandung

Doktor,
Jika seseorang itu mengalami gastrik yang kronik, apakah kesan buruk yang dialaminya? Jika yang mengalami penyakit ini adalah seorang wanita, adakah dia tidak boleh mengandung? Apakah rawatan yang paling sesuai untuk penyakit gastrik dan apakah risikonya jika melakukan pembedahan?
- Zarry

JAWAPAN,
Gastrik yang kronik tidak akan memberi kesan kepada peluang untuk seorang wanita mengandung. Kaedah terbaik untuk merawat gastrik kronik adalah dengan menjalankan ujian endoskopi dan diikuti dengan mengambil ubat secara oral (makan).
Pembedahan pula bukanlah antara pilihan rawatan biasa untuk penyakit ini kecuali jika penyakit gastrik itu telah membawa kepada pembentukan ulser atau lubang pada dinding perut.