"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Saturday, April 9, 2011

Renjatan jantung Malek Noor


MALEK tidak berhenti mengucap syukur selepas sedar dari pengsan.


MINGGU lalu, jaguh bina badan negara, Datuk Malek Noor, 56, rebah di padang bola sepak di Ipoh, Perak selepas mengalami sesak nafas.

Dia dikejarkan ke Hospital Pantai Ipoh dan doktor yang memeriksanya mendapati dua saluran arteri jantung milik penyandang enam kali Mr. Asia kategori heavyweight itu tersumbat.

Ekoran masalah itu, Malek telah diberi rawatan angioplasti iaitu pembedahan untuk membentuk semula pembuluh darah. Keadaannya bertambah baik dan stabil selepas itu.

Ditebak soalan punca serangan tersebut, anak kelahiran Batu Pahat, Johor, ini masih mencari jawapannya.

 “Saya terkejut dengan serangan tersebut kerana menurut doktor kandungan kolesterol dalam badan saya tidak terlalu tinggi.

“Bagaimanapun, saya sangat bersyukur kepada Allah kerana sudah beransur sihat dan boleh pulang ke rumah. Pengalaman diserang penyakit jantung memang sukar untuk digambarkan.


Tersumbat

“Kalau ditanya bagaimana perasaan saya, rasanya seperti mati hidup semula. Sebaik saja sedar, saya hanya mampu mengucap kalimah syahadah sambil menangis,” katanya.

Serangan jantung Badang Asia itu mengejutkan banyak pihak.

Ini kerana dia bukan sahaja bertubuh sasa bahkan diiktiraf sebagai seorang jaguh bina badan. Malah, dia kini merupakan pengarah eksekutif di sebuah pusat kecergasan.

Namun, insiden baru-baru ini membuktikan manusia yang terkenal dengan rutin bersukan dan mempunyai pengetahuan luas dalam pengambilan makanan sihat pun masih terdedah kepada serangan jantung.
Pakar Perunding Kardiologi, Institut Jantung Negara (IJN), Dr. Shaiful Azmi Yahaya memberitahu aktif bersukan tidak semestinya sihat.

“Kerap bersukan tidak bermakna anda sihat secara sempurna.

“Ini kerana banyak lagi aspek kesihatan yang perlu diambil berat selain senaman.

“Benar, senaman dapat membantu mengekalkan kesihatan tetapi ia perlu disokong dengan pengambilan makanan yang seimbang serta gaya hidup yang sihat.

“Memang ada orang yang mengamalkan rutin senaman atau bersukan tiga atau empat kali seminggu, tetapi bersenam sahaja tidak cukup untuk tampil sihat sekiranya kadar kolesterol dalam badan tidak dijaga.

“Begitu juga dengan pengambilan gula, tekanan darah tidak stabil dan merokok,” jelasnya.

Bukan untuk menakut- nakutkan, tetapi serangan jantung di atas padang yang membawa maut sudah beberapa kali berlaku sebelum ini.

MALEK ceria mendukung anak angkatnya Nik Nur Amalin Aishah Nik Mahmud selepas dibenarkan keluar dari hospital baru-baru ini.




Ini termasuk vokalis kumpulan Fotograf, Mohd. Shamrin Abdul
Samad, 45.

Popular dengan panggilan Shamrin, arwah dikatakan rebah ketika
bermain bola sepak di padang bola Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur, November tahun lalu.

Dalam kalangan atlet profesional, pemain kelab Seville dari Sepanyol, Antonio Puerta, 22, meninggal dunia secara mengejut ketika sedang beraksi dalam satu perlawanan Liga Sepanyol menentang kelab Getafe pada 2007.
Ditanya mengenai punca utama serangan jantung mengejut, Shaiful memberitahu, penyumbatan pada saluran arteri jantung, masalah kongenital dan injap jantung yang sempit boleh mendatangkan serangan tanpa sebarang tanda.

“Kolesterol adalah halangan utama yang mengganggu kelancaran saluran darah di bahagian jantung.

“Terdapat tiga urat besar di jantung kita yang diameternya sekitar tiga atau empat milimeter sahaja.

“Kehadiran lemak sering menyempitkan saluran tersebut dan keadaan ini lebih teruk dalam kalangan perokok dan penghidap kencing manis.

“Bagi dua golongan ini, lemak pada urat jantung mereka mudah rosak dan pecah. Apabila pecah, lemak akan bercampur dengan darah.

Pecah


“Percampuran antara lemak dan darah tersebut menjadikan darah membeku dan bergumpal.

“Gumpalan darah beku tersebut akan menghalang saluran darah dan urat akan tersumbat. Keadaan ini menyebabkan ada kawasan jantung yang tidak menerima darah.

“Akibatnya, jantung boleh mendapat renjatan dan gagal berfungsi. Pesakit pula pada masa ini berada dalam keadaan yang sangat kritikal,” jelasnya.

Tidak hairanlah jika rawatan kecemasan tidak diberikan pada tiga minit pertama serangan, risiko untuk mangsa diselamatkan adalah tipis.

Melihat data kes yang dikendalikan di IJN sepanjang tiga tahun lepas, institut tersebut telah menangani 8,366 kes serangan jantung yang memerlukan pesakit diberi rawatan angioplasti.

Daripada jumlah itu, 24 peratus daripada pesakit berusia bawah 50 tahun dan 80 peratus daripadanya menghadapi masalah kolesterol tinggi.

“Dengan gaya hidup yang serba segera, serangan jantung dalam kalangan umur 25 hingga 27 tahun bukan lagi perkara yang mengejutkan.

“Masyarakat perlu lebih prihatin tentang kesihatan tubuh mereka.

“Jika bahagian tubuh luar yang cedera, kita dapat lihat, tetapi organ dalaman kita tidak tahu sedangkan ia lebih penting.

“Jalani pemeriksaan kesihatan berkala walaupun anda baru berusia 20-an. Jika usia sudah meningkat, kekerapan perlu ditambah kepada enam bulan sekali,” katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0410&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_01.htm

Satu individu dua personaliti



Kanak-kanak yang menjadi mangsa dera ibu bapa atau penjaga cenderung untuk mengalami masalah kecelaruan personaliti.


BAGI peminat filem sekitar tahun 90-an, tentu masih ingat dengan Primal Fear, sebuah filem pembunuhan kejam yang dilakonkan oleh Richard Gere dan Edward Norton.

Filem adaptasi novel nukilan William Diehl yang dihasilkan pada tahun 1993 itu mengisahkan seorang peguam, Martin Vail (lakonan Gere) bertanggungjawab membela seorang budak altar, Aaron Stampler (Norton), yang menghadapi pertuduhan membunuh Ketua Biskop Katolik.

Ketika awal pembelaan, Vail sangat percaya anak guamnya itu tidak bersalah dan kesal dengan pendakwaraya, Janet Venable, iaitu bekas kekasih Vail sendiri.

Daripada penyelidikan yang dilakukan, peguam itu mendapati Ketua Biskop menerima banyak ugutan bunuh daripada beberapa individu yang marah dengan keputusannya yang tidak mahu pembangunan dijalankan di tanah gereja.

Selain itu, Vail juga mendapati Ketua Biskop juga pernah mencabul beberapa budak altar termasuk Stampler sendiri. Bagaimanapun, bukti tersebut tidak kukuh. Perbicaraan yang berjalan seakan tidak memihak kepada Stampler dan pandangan awam turut mengatakan dia hampir bersalah.

Suatu hari, ketika Vail berdepan dengan anak guamnya dan menuduh dia menipu, Stampler tiba-tiba berubah personaliti seratus peratus dan menjadi seorang yang beremosi bernama Roy. Dia mengaku membunuh Ketua Biskop dan mencederakan Vail dengan cara mencampakkan ke dinding.

Bila insiden itu berakhir, Stampler seakan langsung tidak ingat peristiwa tersebut. Dia dibawa ke pakar psikiatri. Stampler disahkan menderita kecelaruan pelbagai personaliti berikutan pengalaman didera bapa ketika kecil.

Watak Aaron Stampler merupakan satu contoh keadaan seseorang yang mengalami personaliti bercanggah atau juga disebut dissociativeidentity disorder (kecelaruan identiti terpisah - DID). Kadangkala masalah tersebut juga dirujuk sebagai kecelaruan pelbagai personaliti (MPD).

Pakar Psikiatri dari Jabatan Perubatan Psikologi Universiti Malaya, Dr. Muhammad Muhsin Ahmad Zahari berkata, DID adalah penyakit mental yang menyebabkan pengidapnya mempunyai sekurang-kurangnya dua identiti jelas (boleh jadi lebih) atau keadaan personaliti yang berubah-ubah dalam waktu yang berlainan.

"Memang keadaan begini berlaku dan bukan satu rekaan. Mereka yang mempunyai masalah ini tergolong dalam masalah kecelaruan personaliti. Namun disebabkan peratusan sangat rendah iaitu sekitar 1 atau 2 peratus daripada mereka yang mengalami masalah mental secara keseluruhan, DID jarang disebut," katanya.

Individu dengan DID kata beliau, didapati mempunyai keadaan personaliti berbeza dari segi penampilan, reaksi, emosi, mimik muka malah nadi dan tekanan darah juga boleh berlainan. Mereka juga boleh lupa dengan watak yang satu lagi pada satu ketika.

Jelas beliau, seseorang yang mengalami masalah tersebut mempunyai karakter lebih daripada satu dengan pakej kecelaruan personaliti berlainan.

Antara masalah kecelaruan personaliti yang sering berlaku adalah paranoid, skizofrenia, borderline, melingeringue dan narcissistic.

Di Malaysia katanya, masalah DID jarang disebut tetapi di luar negara misalnya, pembunuh bersiri mungkin boleh dikaitkan dengan masalah itu.

Ditanya adakah penghidap DID biasanya mempunyai rekod jenayah kata beliau, ia tidak semestinya namun sekiranya berlaku, ia lebih mudah dikesan.

Menurutnya, pengesanan sukar dijalankan kerana bukti yang tidak kukuh dan soal personaliti adalah sesuatu yang bersifat subjektif. Biasanya ia mengambil masa yang lama iaitu lebih daripada tujuh atau lapan tahun.

Punca

Pembentukan personaliti seseorang itu bermula ketika remaja dan kanak-kanak, kata Dr. Muhammad Muhsin.

Biasanya mereka yang mempunyai DID berpunca daripada penderaan fizikal dan seksual ketika kanak-kanak dan remaja. Mereka membesar sebagai seorang pendendam dengan jiwa yang tertekan.

Perasaan marah sentiasa ada dalam diri dan sedikit demi sedikit memori tersebut akhirnya membentuk satu karakter berlainan daripada karakter utama.

Ramai yang tidak percaya individu terbabit mempunyai masalah mental dan beranggapan mereka hanya berlakon atau berpura-pura. tetapi sebenarnya keadaan itu berkaitan dengan masalah DID.

Individu yang didiagnos dengan DID menunjukkan simptom yang berbeza-beza dari satu masa ke semasa. Ia boleh berlaku daripada keadaan sedikit yang sukar dikesan sehingga boleh menjejaskan keseluruhan watak.

Peringkat pengembangan berkaitan DID diteori seperti berikut:

1. Kanak-kanak didera oleh penjaga yang sangat dipercayai (biasanya ibu bapa atau penjaga) dan ingatan terhadap kejadian itu bertindih kerana hubungan yang masih terjalin.

2. Memori dan perasaan terpisah di bawah sedar dan akan dirasai kemudian dalam bentuk personaliti berasingan.

3. Proses berlaku berulangkali pada masa berlainan. Maka pelbagai personaliti dibentuk, yang terbina daripada peristiwa berbeza. Ia dipersembahkan kepada fungsi yang berbeza sama ada baik atau merosakkan.

Percanggahan personaliti menjadi mekanisme penting individu tersebut bila berhadapan dengan situasi yang tertekan.

Menipu juga DID?

Dr. Muhammad Muhsin berkata, orang yang sering menipu untuk kepentingan sendiri juga sebenarnya mempunyai masalah yang berkaitan dengan kecelaruan personaliti dan DID.

Misalnya masalah melingeringue atau factitious disorder, yang mana berkecenderungan untuk menipu demi kepentingan sensiri.

"Individu jenis ini mempunyai sesuatu yang hendak dicapai dalam hidup dan melakukan sesuatu dengan tujuan tertentu misalnya untuk mendapat bantuan atau pangkat," katanya.

Antara contoh yang paling mudah adalah individu yang berbohong di mahkamah untuk mengelak daripada hukuman atas kesalahan tertentu misalnya dengan berpura-pura sakit mental dan sebagainya. Tetapi bila dijalankan ujian, individu itu langsung tidak mempunyai masalah tersebut.

Contoh kecelaruan personaliti yang lain pula kata Dr. Muhammad Muhsin, adalah narcissistic iaitu cenderung menceritakan kebaikan diri sendiri. Misalnya, seorang pemimpin yang ego dan merasakan dirinya telah melakukan banyak kebaikan dan sanggup melakukan apa sahaja demi mempertahankan kedudukannya.

Namun katanya, keadaan itu agak subjektif kerana sebagai manusia biasa sesiapa pun pastinya akan menjaga kepentingan sendiri terlebih dahulu sebelum memikirkan orang lain.

Ditanya sama ada individu homoseksual juga tergolong dalam DID kata beliau, ia boleh berlaku.

Disebabkan seks itu sendiri merupakan satu pembentukan karakter, maka seseorang yang memiliki dua karakter seks mempunyai kecelaruan personaliti.

Hal itu juga berlaku kepada mereka yang bertukar jantina.


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0410&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_01.htm

Salur darah jejas penampilan



KEADAAN Telangiectasias pada bahagian kaki atau paha boleh membawa kesan memudaratkan.


JUNITA berasa kurang senang melihat belakang betisnya yang bertompok-tompok biru. Terdapat juga salur darah kecil di situ menyebabkan tompok-tompok itu berwarna gelap. Menurut Junita salur darah halus yang pada asalnya hanya sedikit. Namun ia menjadi lebih banyak setelah usianya menjangkau 35 tahun. Dia pernah mendengar pengalaman seorang rakannya yang mempunyai banyak salur darah halus di paha dan kaki yang semakin membesar dari hari ke hari. Menurut Junita, rakannya mengadu kesakitan dan sering mengalami masalah berkudis di tempat salur darah itu membesar. Dia khuatir akan ditimpa masalah yang sama jika masalahnya itu tidak dirawat segera.

Dia ingin tahu apakah punca berlaku masalah sedemikian dan apakah yang harus dilakukannya untuk mengelak perkara itu berulang. Junita yang gemar menggayakan kasut tumit tinggi tertanya-tanya apakah kegemarannya itu yang menjadi penyebab masalah tersebut?

Telangiectasias adalah salur darah kecil yang berada dekat pada permukaan kulit dan membran berukuran dalam 0.5 dan 1 mm. Ia boleh terbentuk di mana mana sahaja namun sering kelihatan pada hidung pipi dan dagu. Ia sering kali juga di lihat pada kaki, paha, sekitar lutut dan pergelangan kaki. Ia mungkin merupakan sekumpulan arterioles, kapilari darah atau pun venules yang terhasil secara semula jadi mahupun disebabkan oleh tekanan darah yang tinggi. Kemungkinan juga ia terjadi akibat salur darah yang bengkok dan berpusar secara semula jadi.

Sebab-sebab lain termasuklah perubahan usia.

Telangiectasias mula terhasil pada usia 18 hingga 35 tahun dan mula meningkat pada usia 50-an dan 60-an. Besar kemungkinan faktor graviti dan kekurangan kolagen kulit membuatkan seseorang berusia mudah mendapat telengiectasias.

Kehadiran telengiactasias tidak disenangi kerana ia mempengaruhi penampilan terutamanya telengectasia pada muka yang sering dilihat terutamanya bagi wanita berusia empat puluhan ke atas.

Penggunaan kosmetik yang mempunyai bahan kimia juga membentuk rosacea (wajah kemerah-merahan) dan mungkin mencetus telengectiasis pada kulit. Oleh kerana ia lebih kelihatan pada kaum wanita berbanding lelaki tidak mustahil hormon sewaktu hamil meningkatkan penghasilannya. Rahim yang berat sewaktu hamil juga mampu menekan salur vena membuatkan gejala ini mudah terjadi.

Gaya hidup dan pekerjaan seseorang turut mempengaruhi kejadian ini. Mereka yang dikesan menghabiskan sejumlah besar masa duduk atau pun berdiri mudah terkena masalah ini pada kaki. Apabila seseorang berdiri terlalu lama saluran vena yang membawa darah dari kaki naik ke jantung mula mengembang. Graviti pula menarik darah ke kaki semula. Ini menyebabkan darah berkumpul di saluran yang kembang itu. Apabila salur darah sebegini menjadi nipis, darah boleh melaluinya menyebabkan tisu-tisu menjadi alah kepada hemoglobin yang mengandungi ferum. Kesan alahan mencetuskan gatal-gatal dan kudis. Adakalanya salur darah pecah mencetuskan perdarahan pula. Hal ini dinamakan vena varikos. Beza vena varikos dengan telengectasia ialah saiznya yang besar dan melebihi 2 mm.

Rawatan

Telengiectasis pada kaki boleh dirawat dengan sistem laser manakala vena varikos pula sesuai dirawat secara
pembedahan. Pembedahan yang dimaksudkan ialah scleroterapi iaitu dengan memasukkan cecair bersifat mematikan salur darah itu. Salur darah yang mati akan menjadi keras dan ia kemudian disiat keluar. Terdapat juga kaedah menggunakan laser yang dimasukkan ke dalam salur darah dengan kanula khas. Laser turut bersifat memusnahkan salur darah yang rosak akibat varikos. Bagi mereka yang mudah mendapat varikos, penggunaan stoking elastik adalah baik bagi mengurangkan gejala ini. Stokin digunakan pada waktu mereka bergerak atau berdiri membantu mengurangkan salur darah daripada membesar.

Dalam perubatan aestetik laser yang digunakan bersifat lembut namun mampu masuk ke dalam kulit dan memusnahkan salur darah itu. Oleh kerana sifat salur darah yang terletak jauh ke dalam kulit, laser yang digunakan adalah jenis long pulse iaitu yang mempunyai jalur gelombang panjang. Laser ini mampu membekalkan tenaga yang cukup jauh ke dalam.

Penggunaan laser seperti ini haruslah dibuat secara berkala iaitu sebanyak tiga atau empat kali rawatan mungkin diperlukan jika banyak salur darah yang ingin dihapuskan.

Telengiectasis pada muka pula memadai dirawat dengan sistem laser sahaja. Bagi menentukan kejayaan rawatan saiz salur darah adalah penting. Hanya salur darah bersaiz 2 milimeter ke bawah sahaja sesuai dirawat. Apabila sudah besar ia menjadi sukar kerana lebih banyak tenaga laser diperlukan dan tenaga yang tinggi dikhuatiri merosakkan sel-sel kulit kita. Oleh itu saya mencadangkan rawatan awal bagi kes sebegini.

Jika di biarkan lama ia akan menjadi lebih besar dan akan menyukarkan rawatan .

Laser merawat telengictasia mempunyai afiniti kepada oksihemoglobin. Partikel oksihemoglobin dalam darah akan menyerap laser ini dan akhirnya akan memusnahkan salur darah itu.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0410&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_02.htm