"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Saturday, May 22, 2010

Cesarean – jahit atau pengokot

WANITA yang terpaksa melahirkan bayi menerusi pembedahan Caserean kini mempunyai pilihan untuk menutup luka pembedahan tersebut.

Menurut penyelidik, seperti pembedahan kosmetik yang lain, luka pembedahan Caserean boleh ditutup menerusi jahitan atau dawai kokot.

Terdahulu, terdapat beberapa kaedah digunakan oleh pakar bedah untuk menutup kesan pembedahan tersebut termasuk jahitan namun kesan parut yang terbentuk amat buruk.

Berdasarkan kaedah pembedahan kosmetik yang lebih halus, jahitan atau dawai kokot yang digunakan akan memberi kesan yang lebih baik, termasuk jahitan yang terurai dan diserap ke dalam tubuh.


EKSTRA: Jantina memberi perbezaan penting terhadap respons imunisasi tubuh dan kesan sampingan dalam pengambilan vaksin tertentu.

Penyelidik,Jabatan Mikrobilogi Molekur di Hospital John Hopskins, Baltimore memberitahu, kajian tersebut melibatkan vaksin dan beberapa penyakit seperti demam kuning, influenza, rubella, hepatitis dan herpes simplek.

Ubat seks punca pekak

UBATAN mati pucuk seperti Viagra dan beberapa jenis ubatan lain mempunyai kesan buruk jangka panjang terhadap pendengaran.

Bukti tersebut didedahkan oleh penyelidik pembedahan kepala dan leher Universiti Alabama di Birmingham dalam penggunaan ubat yang digelar phosphodiesterase inhibitors jenis 5 (PDE-5i).

Penemuan tersebut berasaskan analisis ke atas data bancian melibatkan 11,500 lelaki berumur melebihi 40 tahun yang dikumpul oleh agensi kerajaan dari tahun 2003 dan 2006.

Menurut Pentadbiran Persekutuan Makanan dan Ubatan-Ubatan Amerika Syarikat (FDA), satu amaran akan dikeluarkan mengenai kehilangan pendengaran akibat pengambilan ubat seks seperti Viagra.

EKSTRA: Penggunaan hormon kontraseptif seperti pil perancang boleh meningkatkan selera seks wanita merudum berbanding wanita yang tidak menggunakan kontraseptif bukan hormon.

Menurut pengarah perubatan seksual di Hospital Alvarado di San Diego, Dr. Irwin Goldstein, banyak bukti diperolehi akibat penggunaan hormon kontraseptif yang menjejaskan hubungan seks.

Menggunakan indeks standard bagi mengukur tahap fungsi seksual wanita, penyelidik mendapati, hampir 33 peratus wanita berada dalam risiko mengalami disfungsi seksual. Masalah utama ialah kekurangan orgasm, kepuasan dan pelincir.

Perut besar sebabkan otak kecil

INDIVIDU yang mempunyai lebihan lemak terutama di bahagian tengah perut berisiko menghidap dementia.

Kajian oleh penyelidik di Sekolah Perubatan Universiti Boston, Amerika Syarikat (AS) terhadap 700 orang dewasa menunjukkan individu yang memiliki berat badan berlebihan mempunyai volum otak yang kecil iaitu penyebab utama dementia.

Menurut laporan Annals of Nuerology, penemuan itu cukup tinggi terhadap mereka yang mempunyai kandungan lemak visceral, sejenis tisu lemak yang di dapati di sekeliling organ.

Penyelidik tersebut mengambil kiraan indeks jisim badan (BMI), ukur lilit pinggang dan menggunakan pengimbas bagi melihat kuantiti lemak pada perut.

Keputusan menunjukkan, semakin tinggi angka BMI, kapasiti otak semakin menurun.

EKSTRA: Kandungan tinggi hormon yang mengawal selera makan terbukti mampu mengurangkan risiko penyakit Alzheimer. Kajian selama 12 tahun melibatkan 200 sukarelawan menunjukkan mereka yang mempunyai kadar hormon leptin rendah lebih cenderung mendapat penyakit tersebut.

Hormon leptin terhasil menerusi sel lemak dan ia berfungsi memberitahu otak bahawa badan telah kenyang sekali gus bertindak mengurangkan selera makan. Potensi hormon leptin sebagai senjata dalam menangani masalah obesiti telah lama diketahui

Sembelit kronik

Sukar membuang air besar dan najis berdarah mungkin petanda kanser usus.

PERNAHKAH anda meneran hingga merah muka atau mengetap gigi manakala kaki bersilang sambil mengepit punggung ketika membuang air besar? Jika anda perlu berdepan dengan kesukaran setiap kali berada di tandas, ini bermakna anda mengalami sembelit kronik.

Disifatkan sebagai gejala dan bukan sejenis penyakit yang merbahaya, setiap individu pernah mengalami masalah ini. Sungguhpun begitu, masih ramai yang menganggap sembelit sebagai isu remeh dan berpendapat ia boleh diselesaikan dengan banyak meminum air.

Menurut Pakar Perunding Bedah Am dan Kolorektal, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof. Madya Dr. Ismail Sagap, sembelit ialah situasi apabila individu membuang air besar kurang daripada tiga kali seminggu dan keadaan itu berlarutan sehingga beberapa bulan.

“Seseorang itu juga boleh memiliki gejala sembelit jika lebih 40 peratus najis yang dikeluarkan adalah keras. Lazimnya, individu normal akan mengeluarkan 75 peratus najis lembut dan proses pembuangan lebih lancar tanpa perlu meneran dengan kuat.

“Penghidap sembelit kronik biasanya tidak membuang air besar untuk beberapa hari. Malah terdapat juga kes membabitkan pesakit yang tidak membuang air besar dengan sempurna sehingga berbulan-bulan.

“Perut pesakit akan mengembung, kejang dan sakit serta kurang selera makan. Bagi kanak-kanak, sedikit cairan atau calitan najis lembut pada seluar dalam adalah petanda bahawa anak itu mendapat sembelit.

“Sungguhpun begitu, kebanyakan masalah sembelit membabitkan golongan usia pertengahan dan banyak terjadi kepada wanita muda,” ujarnya.

Jelas Ismail, wanita muda sering memilih untuk menahan air besar daripada membuangnya terutama jika berada di kawasan awam seperti kompleks beli-belah yang mempunyai tandas kotor.

“Ramai wanita muda berasa geli untuk membuang air besar di tandas awam. Mereka lebih rela menyimpan najis dan membuangnya apabila sampai di rumah daripada terpaksa mencangkung atau duduk di dalam tandas yang kotor dan berbau.

“Tetapi keadaan yang biasa berlaku adalah sebaliknya. Apabila sampai di rumah, perasaan untuk membuang air besar sudah hilang dan tiada sebarang najis dilepaskan walaupun menunggu lama di dalam tandas,” ujarnya,

Tabiat melengah-lengahkan proses pembuangan air besar juga dipercayai menyebabkan perut gembung malah boleh mengakibatkan usus menjadi malas.

Keadaan tersebut menyebabkan pergerakan najis di dalam usus menjadi lambat atau tidak bergerak sekali gus menyebabkan usus tersumbat.

“Apabila najis sudah sampai di rektum, ia akan memberi signal kepada otak untuk memberitahu bahawa sudah sampai masa untuk ke tandas. Tetapi apabila kerap berlengah ke tandas, usus menjadi kurang sensitif dan otak tidak lagi boleh mencerna isyarat itu. Akhirnya individu tersebut lebih selesa untuk tidak ke tandas.

“Keadaan ini lama-kelamaan boleh mendatangkan masalah seperti perut kembung, muntah dan rasa sangat tidak selesa,” katanya.

Sementara itu, Pakar Gasteroenterologi, Pusat Perubatan Kampung Baru (KBMC), Dr. Ishak Mas’ud berpendapat, sembelit terdiri daripada tiga peringkat iaitu sembelit sejak lahir, pertengahan dan utama.

“Sembelit boleh menjadi gejala yang tidak merbahaya dan ia juga boleh menjadi sebaliknya.

“Sembelit yang tidak merbahaya hanya bersifat sementara dan disebabkan oleh pengambilan ubat-ubatan seperti ubat tahan sakit dengan dos tinggi sehingga boleh memperlahankan pergerakan usus.

“Sembelit jenis ini juga boleh terjadi kerana pertukaran cara pemakanan yang kurang serat. Turut menjadi punca sembelit ialah kehadiran luka kecil pada bahagian lubang dubur yang memberi kesan yang amat sakit apabila membuang air besar.

“Bagi golongan warga emas dan pesakit angin ahmar, masalah najis melekat pada usus juga boleh menyebabkan mereka terpaksa meneran sehingga kulit dubur merekah, pedih dan berdarah,” jelasnya.

Secara klinikalnya, sembelit hanya bersifat gejala dan bukan penyakit. Namun, itu bukan alasan untuk masyarakat terus menganggap ia sebagai isu ringan apatah lagi jika menghidap sembelit secara berterusan untuk tempoh dua hingga tiga minggu.

Ironinya, masih ramai menganggap kesukaran membuang air besar dan najis berdarah sebagai buasir sedangkan ciri itu adalah tanda-tanda yang menjurus kepada kanser usus.

“Sembelit yang merbahaya terjadi disebabkan oleh kanser usus dan saluran najis yang tersumbat.

“Justeru, sekiranya anda mengalami sakit perut, sembelit dan najis berdarah serta kehadiran lendir yang berlarutan, jangan anggap ia adalah buasir. Seelok-eloknya, jumpa doktor dan lakukan pemeriksaan kolonoskopi.

“Ada beberapa kes yang pernah saya kendalikan menganggap sembelit dan najis berdarah hanya sebagai buasir, hakikatnya ia adalah kanser usus yang sudah serius,” ujarnya ketika ditemui Jurnal baru-baru ini.



SIMPTOM kanser usus sering dianggap gejala buasir kerana wujud persamaan iaitu sukar buang air besar.


Ramai pesakit sembelit yang dikendalikan Ishak terdiri daripada golongan lelaki.

“Ramai wanita malu untuk tampil berjumpa doktor kerana pemeriksaan sembelit melibatkan anggota sulit mereka. Sungguhpun begitu, malu bukan alasan untuk mereka tidak menjalani pemeriksaan.

“Sekiranya simptom sembelit dan najis berdarah itu hanya buasir biasa, tidak mengapa. Tetapi jika ditakdirkan itu adalah tanda-tanda kanser usus, tidak mustahil ia boleh mengancam nyawa jika lambat dikesan,” ujarnya.

Tidak menolak kekerapan seminggu sekali ke tandas sebagai perkara normal bagi yang sudah biasa, namun Ishak memberitahu keadaan itu akan mengundang rasa tidak selesa kepada perut.

“Memang ada orang yang buang air besar sekali seminggu. Ia normal bagi orang yang sudah dilatih sejak kecil dengan cara begitu. Jumlah kekerapan bukan penentu sama ada orang itu sembelit atau tidak kerana tabiat ke tandas antara individu adalah berbeza.

“Seelok-eloknya, elakkan kerap menahan daripada buang air besar. Jika keadaan tidak mengizinkan untuk ‘membuang’ contohnya ketika menaiki bas atau pesawat, tidak mengapa jika kita menahannya untuk jangka masa yang pendek. Namun, sebaik sahaja berada dalam zon selesa, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah ke tandas,” katanya.

Vagina kembali anjal, muda

PILIHAN isu Kesihatan minggu ini sememangnya mengundang perbahasan dan tarikan di kalangan rakan-rakan. Ia seolah-olah satu benda baru yang tidak pernah diperkatakan sebelum ini. Sedangkan hakikatnya sejak zaman nenek moyang kita lagi, perihal penjagaan vagina amat dititikberatkan lantaran hubungkaitnya dengan keharmonian rumahtangga.

Apatah lagi di kalangan masyarakat rantau Asia. Orang Melayu misalnya amat terkenal dengan ramuan akar kayu untuk penjagaan vagina, baik untuk mengetatkan mahupun dari sudut penjagaan kebersihan. Ambil sahaja contoh mudah - bersihkan vagina dengan air daun sirih dan amalkan air akar kayu serta pengambilan jamu selepas bersalin untuk mengetatkan vagina.

Manakala herba tertentu dikatakan mampu mengetatkan vagina. Begitu juga teknik urutan yang dikatakan mampu memudakan vagina.

Amalan tradisional itu kini dipanjangkan pula dalam dunia perubatan moden menerusi

Perkembangan lebih menarik apabila dikhabarkan ada teknologi yang mampu mengembalikan dara wanita. Benarkah begitu?

Dr. Rushmini Ismail ketika ditanya tentang perkembangan menarik dalam teknologi kesihatan itu mengakui trend wanita alaf baru mahukan kesempurnaan dari hujung rambut ke hujung jari. Apatah lagi dalam dunia moden yang memungkinkan segala-galanya termasuk dalam hal menganjalkan semula vagina atau memudakan vagina yang dalam dunia perubatan estetik popular dengan nama vaginal rejuvenation atau vaginal reshaping.

Prosedur itu kini menjadi kegilaan wanita yang sanggup berbelanja beribu-ribu ringgit termasuk ke negara jiran untuk memulihkan vagina demi kepuasan diri biarpun ia tiada kaitan dengan penampilan luaran.

Dr. Rushmini yang berpengalaman luas dalam bidang estetik dan pernah mengikuti bengkel berkaitan di luar negara memberitahu, prosedur menganjal dan memudakan vagina telah lama melanda dunia Hollywood dan salah seorang pakar terkenal yang menjadi rujukan dalam bidang tersebut adalah Profesor Nicola Zibernati.

Dalam ceramah eksklusif profesor itu di sebuah hospital swasta baru-baru ini, pakar tersebut berkongsi pengalaman mengenai topik panas itu terutama di rantau Asia khususnya di Malaysia lantaran ia disifatkan masih baru.

Menurut Dr. Rushmini, teknologi V2LR (Vulvo-Vaginal Laser Reshaping) digunakan dalam prosedur untuk menganjalkan vagina. Biarpun kedengaran agak baru di negara ini namun secara diam-diam semakin banyak pakar menawarkan perkhidmatan tersebut.

''Sehebat mana keanjalan yang boleh di capai bergantung kepada jenis laser dan teknik yang digunakan,'' kata Dr. Rushmini.

Beliau memberitahu, teknik laser berkuasa rendah langsung tidak menyakitkan namun mampu memberi kesan yang sama dengan cara kuasa tinggi yang kuat dan sering mengundang kesakitan. Dengan kuasa rendah pesakit akan berasa sangat selesa. Aktiviti harian dapat dilakukan serta merta dan hanya perlu mengelak hubungan seks selama tiga hari sahaja selepas rawatan. Selepas tiga hari kita akan pulih sepenuhnya.

Teknik V2LR

Teknik LVR memerlukan tiga kali rawatan yang diulang sebulan sekali untuk mendapatkan kesan maksimum. Ia bukan saja meningkatkan keanjalan pada vagina tetapi membuatkan warna kulit sekitar nya menjadi kemerahan dan tidak gelap lagi. Dengan kata lain warna sekitar vagina tampak cantik dan menarik.

Apabila usia meningkat dan setelah melahirkan anak kesan regangan terhadap dinding vagina menyebabkan keanjalan tisu-tisunya hilang. Vagina menjadi kendur, kurang elastik dan warnanya sekitarnya menjadi gelap. Pengaruh hormon juga menjadikan keadaan lebih teruk dengan pengumpulan pigmen di situ.

Apabila laser dipancarkan warna sekitar vagina berubah menjadi cerah semula. Menurut Dr. Rushmini selain kecantikan otot dinding vagina juga menjadi lebih kuat dan tidak mudah mengalami masalah kelonggaran. Nikmat hubungan seks juga meningkat selepas rawatan seumpama itu.

Dr. Rushmini turut berkongsi maklumat mengenai prosedur menjahit semula selaput dara yang dikatakan mampu mengembalikan kegadisan seseorang wanita.

Katanya, selaput baru itu dibina dari kulit tipis pada vagina namun kaedahnya rumit dan tidak semudah teknik laser. Mungkin pada suatu masa nanti kaedah ini akan menjadi pilihan wanita yang inginkan kesejahteraan rumahtangga.

Sementara itu Dr. Shaharom Sulaiman yang mengendalikan Thalia Clinic di Kuantan turut berkongsi maklumat mengenai teknologi merawat vagina di kalangan wanita masa kini.

Beliau yang juga berkecimpung dalam bidang estetik memberitahu, penggunaan laser dalam bidang kecantikan dan perubatan semakin mendapat tempat di Malaysia.

Menurut beliau masyarakat di China, Korea, negara-negara Eropah dan Amerika sudah terdedah dan menerima bahawa rawatan laser adalah sebahagian daripada kaedah terkini yang berkesan dan selamat.

Beliau menarik perhatian mengenai kaedah V2LR yang sangat popular di Eropah disebabkan dua faktor iaitu berkesan dan proses penyembuhan yang cepat.

Secara terperinci Dr. Shaharom menjelaskan definisi vulvo yang bermaksud bahagian luar organ wanita manakala vagina pula merujuk bahagian dalaman. Oleh itu prosedur V2LR bermaksud rejuvenasi bahagian luar dan dalam organ wanita.

Khasiat zat mineral semula jadi

Ternyata garam bukan sebagai penyedap makanan saja. Ia termasuk salah satu zat mineral yang berguna buat kecantikan dan kesihatan. Misalnya, garam kristal yang diperolehi dari rantau Himalaya dipercayai membantu ke arah kesihatan optimum. Daripada 84 elemen galian yang terdapat dalam tubuh badan manusia, 72 dipercayai bahan paling penting diet yang sihat dan garam galian kristal mengandungi semua elemen galian tersebut.

Semua galian itu adalah kristal matrik yang sempurna dan bersifat bentuk yang terakhir (caj elektrik ). Menurut seorang saintis dan pemenang dua anugerah Nobel, setiap gejala dan penyakit berpunca daripada masalah ketidakseimbangan atau kekurangan zat mineral dalam tubuh.

Kita memperoleh bekalan zat-zat mineral daripada pemakanan antaranya bijiran, sayur-sayuran dan buah-buahan.

Satu lagi kajian tentang zat mineral dan tumbuh-tumbuhan oleh Universiti Rutgers, New Jersey mendapati bahawa tanah pertanian yang telah diulang tanam berkali-kali telah ketandusan zat-zat mineral bagi tanaman yang kemudian.

Oleh itu, kebanyakan bijiran, sayur-sayuran dan buah-buahan kini tidak berupaya membekalkan semua zat mineral yang diperlukan tubuh.

Garam biasa berbeza dengan garam kristal. Garam biasa atau natrium klorida meningkatkan tekanan darah berbanding garam kristal tulen dan semula jadi. Menurut pengasas Kristal Garam Himalaya, Borhan Sharif, garam ini mengandungi 84 elemen galian terpenting. Antaranya klorida yang boleh digunakan oleh badan untuk membuat asid hidroklorik iaitu bahan penting bagi penghadaman.

Oleh itu, sedikit garam diambil sebelum makan dapat mencukupkan asid hidroklorik dalam perut sebelum makanan baru masuk dalam perut.

Perlu diketahui bahawa kesan berbahaya akibat terlalu banyak makan garam itu adalah kerana paras sodium naik tinggi bukannya paras klorida. Bahkan orang yang langsung tidak makan garam mungkin mendapat penyakit akibat kekurangan asid hidroklorik dalam badannya.

Sementara itu, garam kristal dari Himalaya telah menjalani kajian saintifik dan ujian klinikal seperti yang tercatat dalam buku Water and Salt The Essence of Life oleh Dr. Barbara Hendel dan Peter Fereira. Ia telah digunakan dalam satu kajian untuk memastikan keberkesanannya dalam membantu kita kembali sihat atau mengekalkan kesihatan. Kajian ini dijalankan di Universiti Graz, Austria pada tahun 2001. Untuk maklumat lanjut tentang Kristal Garam Himalaya, orang ramai boleh menghubungi Suriyati (017-2379033), Dzul (019-3206468) dan Rashid (013-7428689).

Kanser bukan noktah hidup

WAJAH mereka agak tenang seolah-olah tiada apa yang berlaku. Namun, di sebalik riak wajah ceria itu tersimpan kenangan serta pengalaman yang tidak mungkin dilupakan sampai bila-bila. Ketiga-tiga wanita yang ditemui dalam satu majlis anjuran Avon baru-baru ini berkongsi kisah suka dan duka mereka melawan kanser payu dara. Bagi mereka, kanser ini bukanlah noktah atau penamat kehidupan. Selepas rawatan, mereka masih meneruskan hidup bersama keluarga dan rakan-rakan.

Rubiah Awang, 46 tidak menyangka kehidupannya akan berubah sejak lapan bulan lalu.

"Masa itu sedang bekerja. Saya memeriksa sendiri dan mendapati payu dara saya keras sahaja dan sekata. Kemudian, saya pergi ke klinik panel dan ke hospital melakukan ujian mamogram. Saya disahkan menghidap kanser ini peringkat ketiga. Selepas pembedahan, saya melakukan radioterapi dan kemoterapi seperti pesakit kanser lain," ujarnya.

Pada mulanya, Rubiah agak terkejut tetapi sedikit demi sedikit dia boleh terima. Begitu juga dengan keluarganya tetapi mereka tetap memberi sokongan. Bicaranya tentang perancangan masa depan, dia ingin teruskan kehidupan dengan gembira.

Kini, dia banyak menguruskan diri sendiri termasuk pemakanan. Katanya, seorang pesakit perlu mengurangkan makanan berminyak. Selain itu dia banyak melibatkan diri dalam aktiviti anjuran Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Nasihat Rubiah kepada wanita di luar sana, setiap wanita perlu memeriksa payu dara sendiri.

"Perhatikan jika ada apa-apa yang ganjil. Sekiranya ada, segera pergi berjumpa doktor dan jangan pula berjumpa bomoh," katanya.

Berubah

Bagi Zalina Adam, 46, kehidupannya berubah sejak Disember 2006. Kebetulan dia bekerja di sebuah hospital, seperti sudah tahu ada sesuatu yang berlaku. Dia kemudian membuat pemeriksaan mamogram dan disahkan menghidap kanser payu dara. Dia mungkin bernasib baik kerana hanya menjalani pembedahan untuk membuang sebelah payu daranya tanpa perlu melakukan radioterapi dan kemoterapi. Kemudian dia berjumpa pakar bedah plastik untuk membaik pulih payu daranya. Walaupun merasai kekurangannya, dia bersyukur kerana masih mendapat peluang kedua.

Pada awalnya dia sedia. Terdetik di hati, "Apa dosa aku?"

"Tiga minggu selepas saya disahkan menghidap kanser, saya berada dalam kesedihan tetapi lama-kelamaan, semangat saya semakin pulih. Nasihat saya, setiap pesakit mesti berfikiran positif dan reda. Paling penting, dapatkan maklumat dan pengetahuan tentang rawatan kanser ini dengan betul," ujarnya.

Sama seperti Zalina dan Rubiah, Yasogee Pechumuthu, 46 disahkan menghidap kanser payudara pada September 2006 mengakui pernah melalui beberapa fasa rawatan yang disifatkan terlalu menyakitkan.

Proses kemoterapi, pembedahan dan terlantar selama beberapa bulan di hospital, kemudian perlahan-lahan menjadi pembakar untuknya berdiri semula. Jelas ibu kepada tiga cahaya mata itu, semakin lama menangis semakin lemah tubuh badannya.

Kasihan melihat anak-anaknya yang masih memerlukan tumpuan dan kasih sayang, Yasogee berusaha untuk sihat dan menjalani kehidupan yang ceria. Seiring dengan kerjaya seorang guru di salah sebuah sekolah menengah, Yasogee ingin menunjukkan contoh kepada pelajar kesayangan.

"Sekali gagal tidak bererti kita gagal selamanya. Begitu juga dengan kesakitan yang dialami. Jangan biarkan penyakit itu menjadikan kita individu yang lemah sehingga menyekat kita menjalani kehidupan yang gembira," katanya yang memang aktif bersukan sejak dulu lagi.

Dalam pada itu, usaha membanteras Kanser Payudara; Penyakit yang digelar "Pembunuh Nombor 1 Kaum Wanita" oleh Avon telah bermula sejak 16 tahun lalu.

"Keranamu, Wanita" -itulah moto Avon yang sentiasa prihatin terhadap isu-isu wanita. Selain daripada memberi peluang pendapatan kepada kaum wanita di bawah program Kiss Goodbye to Breast Cancer (KGBC), RM2 juta telah pun dikutip melalui aktiviti seperti jualan amal, larian amal, ceramah, dan sebagainya. Tahun ini, Avon bakal menjual beberapa pakaian dalam dari jenama Avon Intimates sebagai derma secara tidak langsung.

Kutipan derma tahunan KGBC untuk 2010 ini akan dihulurkan kepada pihak PPUM untuk memulakan satu program baru yang dikenali sebagai Terus Bersama, Maju ke Depan (Staying Abreast, Moving Ahead) atau SAMA.

Program tersebut akan memberi manfaat kepada mereka yang terselamat (survivors) dalam membantu untuk meneruskan kehidupan dengan lebih bermakna dan berjaya.

Pada tahun ini, lima rekaan coli yang menarik berharga di antara RM19.90 hingga RM21.90 jenama Avon Intimates akan dijual daripada 16 April hingga 15 Mei bagi menambah hasil kutipan derma.

Presiden Avon Malaysia, Thailand dan Vietnam, Mansoor Wan Abdullah berkata, kutipan derma tahunan untuk tahun 2010 itu akan dihulurkan kepada PPUM bagi memulakan program baru yang dikenali sebagai SAMA.

Bercakap pada majlis pelancaran program pendidikan-psiko bagi pesakit-pesakit kanser, di ibu pejabat Avon baru-baru ini, Mansoor menambah, Avon positif dan yakin program tersebut akan memberi manfaat kepada ramai pesakit kanser dalam membantu mereka meneruskan kehidupan dengan lebih bermakna dan berjaya.

Sementara itu, kerjasama di antara Avon dan PPUM telah bermula pada tahun 2004 apabila Avon menubuhkan Pusat Sumber Kanser Payu Dara di PPUM yang menjadi pusat rujukan untuk kajian mengenai kanser payu dara.

Avon turut telah melancarkan satu lagi pusat yang sama di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kelantan.

Pada pelancaran program Ciuman Selamat Tinggal kepada Kanser Payu Dara tersebut, Mansoor menyerahkan cek sumbangan Avon sebanyak RM50,000 kepada Timbalan Dekan Fakulti Perubatan PPUM, Profesor Dr. Rosmawati Mohammad.

Muda semula dengan Serdev

Bagi peminat perubatan estetik sudah tentu ramai di antara kita yang gemar melakukan penyelidikan tentang teknik-teknik terkini dalam bidang yang menjadi semakin penting dewasa ini. Perubatan estetika adalah satu cabang rawatan bagi orang yang sihat. Ia semata-mata diadakan bagi memenuhi keperluan masa kini yang inginkan kecantikan seiring dengan kesihatan.

Bukan semua di antara kita mampu mengekalkan kecantikan dan keanjalan kulit pada usia melepasi 40-an. Apabila usia meningkat timbullah kedut pada sekeliling mata, dahi dan sebagainya. Kesan kedutan sudah tentulah perubahan wajah dan perubahan ekspresi muka.

Kedutan memberi ekspresi muka yang letih, sedih dan tidak riang. Kaedah estetika membantu menghilangkan kedutan dan meningkatkan keanjalan kulit agar tampak lebih segar dan ceria. Kita tidak mahu mengubah muka menjadi orang lain. Yang kita mahukan adalah memelihara wajah kita agar sentiasa manis dan menarik. Di sinilah letaknya peranan perubatan estetika.

Secara saintifik muka kita disokong oleh otot-otot. Otot yang bergerak digunakan bagi pergerakan seperti sewaktu makan, meniup belon juga sewaktu senyum. Otot yang tidak bergerak terdapat pada muka berfungsi memegang muka. Apabila dimamah usia otot-otot menjadi kendur dan lembik membuatkan muka nampak berkerut dan jatuh. Jika otot ini dapat ditegangkan maka hasilnya muka akan tampak tegang semula. Sementelah apabila usia menganjak ke 40-an semua otot mula longgar dan ke bawah.

Teknik Serdev

Bolehkah otot-otot ditegangkan semula? Jawapannya boleh. Pernahkah anda mendengar Teknik Serdev? Teknik Serdev dicipta oleh Dr. Nicholay Serdev dari Bulgaria. Dengan menggunakan teknik ini muka dapat diangkat semula tanpa sebarang jahitan dan torehan. Ia menggunakan benang khas yang diletakkan di bawah kulit kepala dan benang ini menarik otot yang memegang muka ke atas semula. Teknik Serdev dapat dilakukan dengan mudah tanpa sebarang komplikasi kerana ia tidak memerlukan bius keseluruhan (general anesthesia). Sebaliknya hanya memerlukan bius yang sangat minimum pada kulit kepala sahaja.

Setelah dibius doktor akan memasukkan benang dan menegangkan muka. Tidak ada rasa sakit dan keputusannya dapat disaksikan sejurus selepas proses Serdev selesai. Benang yang dimasukkan diperbuat daripada protein dan dicampur dengan antibiotik.

Setelah rawatan dibuat, wajah tampak muda kerana segala kekenduran sudah di tarik ke atas semula. Kehebatan rawatan ini adalah tidak memerlukan mereka yang menjalaninya bercuti panjang dan tidak pula perlu dimasukkan ke hospital. Anda Cuma perlu datang ke klinik dan dalam satu jam rawatan telah pun selesai. Anda akan mendapat wajah yang baru tanpa kendur. Begitu mudah bukan?

Oleh kerana ia begitu sesuai bagi kita yang aktif bekerja ia turut dikenali sebagai non incisional face lift atau non scar method. Rawatan boleh digunakan untuk mengangkat kening yang jatuh, dan kelopak mata yang kendur membuat mata lebih luas terbuka.

Semasa menjalani kursus Teknik Serdev yang diajarkan sendiri oleh pengasasnya di Bulgaria saya berpeluang melihat sendiri bagaimana teknik ini diaplikasi dengan meluas di Barat dan di benua Eropah. Orang Eropah sangat sukakan Teknik Serdev. Mereka menggunakannya dengan meluas bagi menegangkan muka mencantikkan punggung (agar tidak jatuh), buah dada, mengecilkan hidung yang kembang dan pelbagai lagi. Oleh kerana benang yang digunakan terdapat pelbagai saiz maka ia sesuai bagi mengangkat kening dan mencantikkan hidung juga. Semasa belajar di University of Bulgaria dalam bidang ini saya juga melihat pelbagai prosedur kecantikan lain yang sangat mengkagumkan dibuat di sana. Mereka menanam rambut palsu yang kelihatan hidup dan boleh diwarnakan dan dikerinting sesuka hati. Ini adalah solusi yang baik bagi pengidap alopecia yang serius terutamanya wanita. Di sana saya menyaksikan selebriti dunia yang terkenal menjalani rawatan. Bagi saya pengalaman itu tidak mungkin akan dilupakan selagi hayat dikandung badan.

Di negara kita bidang estetika masih lagi menjadi bidang yang baru dan masih banyak ruang yang perlu diterokai bagi kita untuk mencapai kemajuan yang begitu. Namun begitu doktor kita giat berusaha meningkatkan kepakaran masing-masing dengan mengikuti kursus di luar negara bagi mempelajari kepakaran yang tinggi dalam bidang ini.

Untuk pertanyaan lanjut hubungi Marissa Esthetik, No. 9, Jalan 4, Semenyih Sentral, Semenyih, Selangor. Telefon 03-87234808.

Gingko rangsang peredaran darah

IBU bapa saya masih dikira aktif secara fizikal walaupun sudah berusia. Bolehkah saya memberi suplemen untuk membuatkan mindanya kekal aktif?

JAWAPAN,

Dalam perubatan China, biji gingko biloba dianggap lebih bermanfaat berbanding daun. Ia digunakan untuk merawat asma, masalah keputihan, kencing malam dan tidak terkawal dan tonik paru-paru kerana ia mempunyai bahan anti bakteria dan anti kulat.

Bagaimanapun sejak 30 tahun yang lalu, ahli sains mendapati ekstrak daunnya lebih bermanfaat kerana kandungan flavonoid dan terpena lakton yang bertanggungjawab ke atas kebanyakan tindakan biologi dalam tubuh manusia.

Gingko menggalakkan pengaliran darah, termasuk ke otak, tangan dan kaki, mengawal keanjalan saluran darah serta mengurangkan kecenderungan pembekuan darah. Manfaat terhadap memori tidak terhad kepada golongan berusia, malah kajian ke atas golongan wanita muda yang sihat menunjukkan perubahan memberangsangkan dalam ujian memori selepas pengambilan ekstrak gingko biloba.

Gingko biloba turut dipercayai memberi kesan baik terhadap fungsi kognitif bagi penyakit Alzheimer. Memandangkan otak terdiri daripada asid perlu tak tepu yang tinggi, ia mendedahkan kepada radikal bebas. Gingko biloba adalah anti oksida yang baik dan ini juga menjadikannya popular sebagai makanan tambahan.

Minyak ikan yang kaya dengan asid dokosaheksanoik juga turut memberi impak kepada rangsangan minda. Rangsangan minda sebenarnya bukan sahaja sesuai untuk golongan kanak-kanak, malah sesuai juga untuk golongan berusia bagi mengekalkan kecergasan minda. Membaca, menyelesaikan teka-teki, teka silang kata serta bermain catur merupakan antara permainan yang boleh merangsang minda.