"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Sunday, October 17, 2010

Resveratrol untuk hidup lebih lama?

RESVERATROL, sejenis ramuan yang dijumpai dalam tumbuhan perubatan yang dikenali sebagai Polygonum cuspidatum (pokok Knotweed Jepun) boleh melanjutkan usia ragi sehingga 60 peratus, cacing 15 peratus, lalat buah 29 peratus dan tikus 31 peratus.

Kajian baru-baru ini juga menunjukkan Resveratrol mempunyai manfaat kesihatan berganda yang dapat membantu mengurangkan risiko beberapa jenis penyakit degeneratif (sakit kerana penuaan). Mengambil Resveratrol mungkin akan membantu anda hidup lebih lama dan lebih sihat. Sebagai maklumat tambahan, Resveratrol juga terdapat dalam wain merah.

Pada awal tahun 2006, para penyelidik Itali mendapati Resveratrol boleh melanjutkan jangka hayat ikan turquoise killfish sebanyak 50 peratus. Ikan Killfish hanya mampu hidup selama tiga bulan sahaja dalam peliharaan. Hasil kajian ini menunjukkan dengan menambahkan Resveratrol ke dalam diet harian ikan ini akan memanjangkan jangka hayatnya. Kajian terhadap ikan ini adalah amat menarik dan berguna kerana ikan, sebagai sejenis vertebrat, menduduki tangga yang jauh lebih atas berbanding ragi, cacing dan lalat buah dari segi perkembangan evolusi. Kajian ini juga menunjukkan Resveratrol memperlahankan perkembangan otot-otot ikan dan masalah memori ketika usianya meningkat.

Resveratrol: agen anti kanser

Penyakit kanser barangkali merupakan satu bidang yang paling dinamik dari segi penyelidikan ke atas Resveratrol. Resveratrol merupakan ubatan semula jadi pertama kerana bukti menunjukkan ia dapat menyekat ataupun menghentikan sama sekali beberapa peringkat penyakit kanser. Resveratrol telah dibuktikan dapat menentang penyakit kanser in vitro di semua ketiga-tiga peringkatnya iaitu permulaan, penggalakan dan kemaraan. Resveratrol bukan sahaja mencegah kanser, ia juga kini disyorkan sebagai rawatan tambahan. Institut Kesihatan Nasional (NIH, USA) kini sedang menganjurkan satu ujian klinikal untuk menyiasat keupayaan Resveratrol untuk menentang kanser usus besar.

Resveratrol baik untuk jantung dan saluran darah

Resveratrol didapati boleh membawa beberapa kesan potensi untuk melindungi jantung, termasuk:

* Peningkatan paras lipoprotein berkepadatan tinggi (HDL) ataupun kolesterol baik yang melindungi daripada penyakit
jantung.

* Mencegah lipoprotein berkepadatan rendah (LDL) atau kolesterol jahat daripada dioksidasikan oleh radikal bebas, kerana LDL yang dioksidasikan itulah yang membentuk plak-plak yang akan menyebabkan aterosklerosis ataupun pengerasan dan penebalan arteri-arteri.

* Menyekat penggumpalan platelet kerana Resveratrol mencegah sel-sel darah daripada melekat kepada satu sama lain dengan itu membentuk gumpalan. Gumpalan ini akan menyumbatkan saluran kecil pada jantung, dengan itu menyebabkan serangan jantung, ataupun jika tersumbat dalam saluran-saluran otak akan menyebabkan serangan angin ahmar.

* Menggalakkan vasodilatasi dengan meningkatkan pengeluaran Nitrik Oksida yang membolehkan saluran darah itu mengendur, dengan itu menghasilkan peningkatan aliran darah.

Pencegahan penyakit Alzheimer

Kajian juga menunjukkan Resveratrol mungkin dapat membantu mencegah atau meringankan penyakit Alzheimer. Salah satu ciri penyakit Alzheimer ialah pengumpulan plak di dalam otak. Plak ini terjadi disebabkan oleh apa yang dikenali sebagai “amyloid-beta peptides.”

Satu kajian makmal menunjukkan dengan memasukkan Resveratrol ke dalam sel-sel akan mengurangkan perembesannya dan juga menurunkan jumlah amyloid-beta peptides di peringkat sel. Resveratrol tidak menyekat pengeluaran amyloid-beta, tetapi sebaliknya menggalakkan kehancurannya dalam sel-sel. Meskipun masih di peringkat awal, namun penemuan ini menyarankan bahawa mungkin wujud peranan potensi bagi Resveratrol untuk menentang pengumpulan plak amyloid-beta dalam otak para penghidap penyakit Alzheimer.

Resveratrol: Manfaat-manfaat Lain

Kajian menunjukkan Resveratrol mempunyai banyak ciri-ciri kesihatan bermanfaat yang lain seperti:

* Antioksidan yang mujarab – menentang radikal bebas yang merosakkan

* Agen anti radang

* Mengurangkan gejala-gejala menopaus – perubahan perasaan, simbahan panas dan lain-lain

* Mengurangkan risiko menghidapi penyakit kencing manis.

Formula Resveratrol

Jika anda ingin mencari suplemen Resveratrol, carilah suplemen Resveratrol yang mengandungi ramuan tambahan Quercetin untuk memanjangkan masa tindakan perlindungan Resveratrol dalam badan kita dan untuk meningkatkan lagi penyerapan Resveratrol.

Satu lagi kelebihan daripada tambahan Quercetin dalam formula ini ialah Quercetin juga mempunyai beberapa ciri manfaat kesihatan yang sama seperti Resveratrol, iaitu anti radang dan antioksidan.

Jangan terlalu bergantung Resveratrol

Mengikut para penyelidik yang membuat penyelidikan ke atas Resveratrol, seseorang itu seharusnya tidak terlampau mengharapkan kepada suplemen ini untuk meningkatkan jangka hayat mereka sehingga enam kali ganda seperti yang dialami oleh cacing, ataupun 31 peratus sebagai dalam kes tikus. Walaubagaimanapun, adalah tidak keterlaluan bagi seseorang yang mula mengambil suplemen Resveratrol pada usia 50 tahun untuk mengharapkan penambahan umur sekurang-kurangnya sebanyak 10 tahun lagi kepada jangka hayatnya dan pada masa yang sama, dapat menikmati kehidupan yang lebih sihat.

Kebaikan daripada suplemen

Resveratrol ini ialah ia tidak mendatangkan apa-apa kesan sampingan buruk. Walaupun anda mungkin tidak dapat menambah 5, 10, atau 15 tahun kepada usia anda, meskipun kemungkinannya kecil, anda masih boleh mendapat manfaat daripada ciri-ciri Resveratrol yang telah terbukti keberkesanannya untuk mencegah begitu banyak masalah kesihatan.

Anda tidak perlu menunggu sehingga umur anda mencecah 50 tahun untuk menjadikan Resveratrol sebagai sebahagian daripada program suplemen harian anda. Anda sepatutnya memulakan pengambilan Resveratrol seawal usia 30 tahun untuk mengambil kesempatan daripada manfaat-manfaat kesihatan yang begitu banyak diperolehi daripada Resveratrol.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1017&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_05.htm

Chen Hoe dapat 'nyawa kedua'

Pembedahan pemindahan organ mampu menyelamatkan nyawa. - Gambar hiasan


MEMANG bukan satu perkara mudah untuk menerima hakikat bahawa salah satu organ badan anda tidak berfungsi.

"Bukan juga satu situasi yang mudah untuk menerima hakikat bahawa penyakit yang dihidapi sudah di peringkat terakhir dan anda bagaikan berada di penghujung usia."
Demikian luah rasa Lee Chen Hoeyang kira-kira 14 tahun lalu menderita akibat penyakit buah pinggang sehinggalah menerima pemindahan buah pinggang yang disifatkannya bagai diberi 'nyawa kedua'.

Menurut bapa kepada sepasang anak kembar itu, dia mula menyedari ada yang tidak kena pada dirinya apabila kaki dan mata mula membengkak.

Mukanya juga pucat, tidak mempunyai selera makan, badan sering mengalami gatal dan susah bernafas pada waktu malam.

Tanpa mengsyaki sesuatu yang buruk, dia mendapatkan rawatan. Namun setelah pemeriksaan lanjut dilakukan, dia diberitahu bahawa kedua-dua buah pinggangnya sudah rosak dan tidak berfungsi.

Chen Hoe yang tidak dapat menerima hakikat tersebut sering bertanya mengapa dugaan itu yang diberikan kepadanya? Apakah dosa yang telah dilakukan?

''Ketika itu saya baru berusia 33 tahun. Pada masa yang sama anak kembar saya baru berusia tiga tahun. Kebetulan juga saya baru membuat pinjaman membeli rumah.

''Semua benda perlu saya fikirkan kerana saya ketua keluarga. Ada ketika saya pernah terfikir hendak membunuh diri akibat tekanan yang dihadapi.

''Saya mengambil masa selama empat bulan untuk menerima kenyataan yang saya menghidap penyakit buah pinggang.

"Kemudiannya, saya terpaksa menunggu empat tahun untuk mendapatkan penderma. Satu tempoh yang saya rasa cukup lama,'' tambahnya.

Chen Hoe, antara pesakit di Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang pada 1996, selepas hampir berputus asa kerana ketiadaan penderma selain terpaksa berdepan kenyataan bahawa dirinya tidak lagi sihat seperti sebelumnya.

Katanya, memang susah untuk menerima hakikat bahawa dirinya tidak lagi seperti orang lain.

Tetapi dirinya bertuah kerana orang di sekelilingnya termasuk isteri, anak-anak serta keluarga memberi sokongan padu untuk meneruskan kehidupan dan menjalani hari-hari mendatang dengan tabah.

Sementara menunggu penderma yang sesuai untuk menggantikan buah pinggangnya, dia menjalani rawatan dialisis di samping mengamalkan gaya hidup sihat.

Hakikatnya walaupun menjalani rawatan dialisis seminggu tiga kali, kehidupannya tidak lagi seperti sedia kala. Selain cepat letih, dia turut menghidap penyakit darah tinggi.

Menurut anak kelahiran Batu Arang, Selangor itu, selama lima tahun dia menjalani rawatanContinuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD) sebelum mendaftar untuk menjalani proses pemindahan organ.

Bagaimanapun ia bukanlah semudah yang disangkakan kerana negara ini masih lagi kekurangan penderma organ.
Sedangkan pesakit dalam senarai menunggu semakin bertambah dari sehari ke sehari.

Berkat kesabaran, akhirnya Chen Hoe mendapat buah pinggang yang bersesuaian dengannya daripada seorang rakyat Amerika Syarikat yang bermastautin di negara ini.

Penderma tersebut telah disahkan mati otak akibat strok di salah sebuah hospital swasta tempatan.

Apa yang menariknya, selain Chen Hoe, seorang lagi penerima turut menerima satu buah pinggang daripada rakyat Amerika tersebut.

''Dua buah pinggang daripada seorang rakyat Amerika telah memberikan satu kehidupan baru buat dua pesakit buah pinggang yang kritikal.

''Selain mempunyai 'kembar', saya juga kini mempunyai tiga buah pinggang, bagaimanapun dua lagi sudah kecut dan tidak lagi boleh digunakan,'' kata Chen Hoe.

Bercerita lanjut mengenai kehidupannya ketika sakit, dia yang sememangnya tidak merokok memberitahu, walaupun bergantung pada rawatan dialisis, ia sedikit pun tidak menghalang dirinya untuk bersenam serta bekerja seperti biasa.

Kini Chen Hoe sentiasa memastikan pengambilan makanan yang betul. Dia bersarapan dengan sebiji epal atau buah kiwi dan secawan oat.

Selain itu, dalam menu harian akan dipastikan makanannya terdiri daripada sayur-sayuran dan makanan yang berserat.
Kini walaupun terpaksa bergantung hidup sepenuhnya kepada ubat anti-penolakan, ia tidak menghalang Chen Hoe menjalani kehidupan seperti biasa.

Malah dia juga aktif memberi ceramah mengenai pendermaan organ di seluruh negara.

Kini usia Chen Hoe sudah mencecah 53 tahun. Tetapi dalam tempoh 14 tahun lalu, buah pinggang baru yang diterimanya merupakan penyambung hidupnya.

Ia ibarat mendapat peluang kedua untuk meneruskan kehidupan.

Kempen selamatkan penglihatan

Orang ramai berpeluang melakukan pemeriksaan mata menggunakan alat-alat canggih yang disediakan secara percuma.


SETIAP lima saat seorang manusia di muka bumi ini akan kehilangan penglihatannya. Sedangkan 80 peratus daripada punca hilang penglihatan tersebut boleh dielakkan dan boleh dirawat.

Keadaan tersebut berlaku disebabkan kurangnya kesedaran terhadap kepentingan pemeriksaan mata secara berkala.
Pakar Optalmologi bagi Pakar Rawatan Mata VISTA, Dr. Shamala Ganesan berkata, fakta tersebut seharusnya menjadi peringatan kepada rakyat Malaysia khususnya yang berasakan mereka mempunyai masalah penglihatan.

"Setakat ini tiga penyakit utama yang boleh menyebabkan buta iaitu katarak, glaukoma dan Kemerosotan Makular Berkaitan Usia (AMD)," jelasnya pada majlis pelancaran kempen Hak Untuk Melihat anjuran bersama Kelab Rotary dan Pakar Rawatan Mata VISTA baru-baru ini.
Kempen tersebut sempena sambutan Hari Penglihatan Sedunia yang disambut setiap 14 Oktober.

Menurut Dr. Shamala, katarak adalah sejenis penyakit di mana selaput menyelubungi kanta mata. Ia menyebabkan penglihatan kabur.

Memang ia sering berlaku kepada orang yang lebih tua, namun yang pasti ia mengganggu kehidupan.
Antara simptomnya ialah nampak objek seperti berkabus, pudar atau penglihatan malam terganggu, kaca mata tidak berfungsi, hilang sensitiviti kontra seperti ketepatan warna, jarak dan kecerahan.

"Jika anda mempunyai simptom seperti itu cepatlah berjumpa pakar mata kerana ia boleh dirawat.

"Satu lagi penyakit mata ialah glaukoma yang disebabkan oleh kerosakan pada saraf optik.

"Pada awalnya penghidap glaukoma akan merasa sakit di bahagian mata, sekali gus tahap penglihatan merosot, ditambah dengan sakit kepala, mata merah, mual-mual, pening dan muntah.

"Sila ambil serius apabila ini berlaku dan pengabaian tentangnya mungkin menyebabkan anda kehilangan penglihatan," ujarnya .

Dr. Shamala turut menyarankan rakyat Malaysia melakukan pemeriksaan mata sekurang-kurangnya sekali setahun.

Hak untuk melihat

Sementara itu, kempen Hak Untuk Melihat merupakan projek khidmat masyarakat yang berlangsung selama enam bulan.

Aktiviti utama sepanjang kempen tersebut ialah memberi pemeriksaan dan rawatan kerosakan mata secara percuma kepada orang ramai.

Istimewanya, kempen itu mendapat pembiayaan daripada Yayasan CIMB dan sokongan Persatuan Glaukoma Malaysia.

Jurucakap penganjur dari Kelab Rotary Damansara West, Yim Ken Fei berkata, kempen mata tersebut adalah rentetan daripada kejayaan kelab itu mewujudkan kesedaran tentang penyakit buah pinggang sebelum ini.

"Kami amat berbesar hati dapat berganding bahu dengan VISTA bagi memerangi tiga penyebab utama kehilangan daya penglihatan yang boleh dielak ini.

"Bagi kami kesihatan mata merupakan isu yang mampu memberi kesan besar kepada komuniti.

"Mungkin ramai tidak sedar bahawa sebuah keluarga boleh kehilangan punca pendapatan apabila individu yang 
menjadi tonggak keluarga seperti bapa kehilangan daya penglihatan kerana salah satu dari tiga punca masalah mata tersebut," jelasnya.

Justeru Ken Fei menyeru orang ramai supaya mengambil peluang ini bagi memastikan nasib keluarga yang dibayangi bahana kebutaan ini terbela.

"Kita juga perlu ingat bahawa kitalah yang perlu bertanggung jawab atas kesihatan mata kita sendiri," ujarnya.

Sementara itu, ketua pegawai eksekutif VISTA, Lim Boon Siong berkata, kerjasama itu diharap dapat menjana kesedaran sekali gus meningkatkan kefahaman kepada orang ramai tentang kesihatan mata.

"Berbekalkan pengalaman bertahun-tahun sebagai pakar mata, kami sedar bahawa tidak ramai yang mempunyai kesedaran tentang pemeriksaan mata yang sebenarnya sama penting dengan kesihatan tubuh.

"Dengan melakukan pemeriksaan yang kerap, diagnosis awal dan rawatan pantas menghalang kehilangan daya penglihatan," katanya.

Menurut Boon Siong, kebanyakan penyakit mata tidak menunjukkan simptom-simptom awal, malah sesiapa sahaja tidak mengira usia atau status kesihatan boleh menghidapinya.

"Maka dengan itu, rakyat Malaysia dari semua peringkat umur mestilah belajar untuk menjaga kesihatan mata kerana kehilangan daya penglihatan boleh dicegah jika penyakit mata dapat dikesan dan dirawat dengan lebih awal," ujarnya.

Artritis jejas kualiti hidup

RAMAI daripada kita mungkin pernah berdepan dengan masalah sakit-sakit sendi di sekitar tangan, kaki dan pergelangan kaki terutama ketika bangun dari tidur.

Sesetengah daripada kita mungkin mengambil sikap endah tak endah kerana merasakan ia tidak berbahaya dan akan hilang dengan sendiri.

Namun jika rasa sakit itu berlarutan, sesuatu perlu dilakukan termasuk berjumpa doktor kerana ia mungkin simptom Reumatoid Artritis (RA).

Secara umumnya RA ialah penyakit autoimun kronik yang dialami apabila sistem imun dalam badan menjadi tidak normal dan secara tidak sengaja menyerang sel atau tisu sihat dalam badan.

Penyakit progresif ini lazimnya menyerang sendi lebih kecil. Khususnya jari, kaki dan pergelangan tangan yang boleh menyebabkan keradangan pada sendi dan tulang sekeliling.
Keadaan tersebut jika dibiarkan boleh menyebabkan pesakit kehilangan upaya sekali gus menjejaskan kualiti hidup mereka seharian.

Berdasarkan perangkaan, terdapat kira-kira 23.7 juta orang menghidap RA di seluruh dunia. Manakala di Malaysia pula kira-kira 0.5 peratus daripada penduduknya iaitu sebanyak 135,000 orang dikesan menghidap penyakit tersebut.

Pakar perunding Physician & Rheumatologist, Pusat Perubatan Sunway, Dr. Amir Azlan Zain menjelaskan, RA adalah penyakit yang dikaitkan dengan radang sendi dan kerap menyerang wanita berbanding golongan lelaki.

Pembengkakkan sendi menyebabkan penghidapnya mengalami kesukaran untuk menjalani kehidupan harian dengan lancar kerana tidak dapat melakukan aktiviti harian sebaik mungkin.

"RA atau radang sendi merupakan satu kumpulan penyakit sendi yang terbahagi kepada beberapa jenis iaitu osteoartritis, reumatoid artritis, gout artritis, psoriatik artritis, spondilitis artritis dan artritis yang disebabkan oleh virus atau bakteria," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Dr. Amir menjelaskan, kebiasaannya kesakitan dan bengkak akan dialami pada sendi yang kecil terutamanya pada bahagian tangan dan kaki.

Sakit sendi mungkin kekal atau berulang dengan terjadinya kelembutan pada sendi.

"Sebagai contoh artritis pada lutut, kesakitan yang dialami pesakit seolah-olah tiada rasa sokongan dalam kaki.

''Sesetengah orang pula mungkin mempunyai jangkauan pergerakan yang terhad terutamanya pada bahu dan lengan.

''Keadaan ini menyebabkan pesakit sukar untuk menggerakkan sendi dan mengalami kehilangan kekuatan atau tenaga pada otot yang dijangkiti,'' ujarnya lagi.

3C perangi kanser

HINGGA ke hari ini, barah payu dara masih menjadi pembunuh utama wanita di dunia. Pun begitu, dengan kemajuan teknologi, penyakit itu boleh dirawat sekiranya pesakit datang mendapatkan rawatan di peringkat awal.
Justeru, bagi meningkatkan kesedaran wanita mengenai penyakit itu, bulan Oktober setiap tahun dipilih sebagai sambutan kesedaran barah payu dara.

Tidak hairanlah sepanjang bulan itu banyak kempen kesedaran barah payu dara dianjurkan sama ada kelolaan kerajaan mahupun swasta.

Hakikatnya, barah payu dara tidak memilih mangsanya dan menyerang semua wanita berisiko termasuk di luar bandar yang rata-rata tidak begitu terdedah kepada maklumat mengenai penyakit berkenaan.
Menyedari tanggungjawab sosial, syarikat kosmetik tersohor, Estee Lauder mengambil inisiatif menjadikan Kempen Kesedaran Barah Payudara Estee Lauder Malaysia 2010 untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai mengenai pentingnya kesedaran awal dalam menangani penyakit tersebut.

Acara tahunan syarikat kosmetik tersohor itu mampu menyuntik kesedaran kepada masyarakat mengenai kesan barah payu dara kepada wanita dan juga masyarakat sekeliling.

Pengarah Urusan Estee Lauder, Loo Kai Nan memberitahu, cogan kata Berhubung, Komunikasi dan Menguasai merupakan ayat paling sesuai yang boleh memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai kesengsaraan wanita yang menghidap barah payu dara.

''Memandangkan ia adalah sesuatu yang serius seharusnya ia dicegah habis-habisan melalui kesedaran awal oleh setiap wanita .

''Melalui komunikasi, perkongsian maklumat dan menguasai keadaan merupakan tindakan yang tepat dalam menyebarkan maklumat tersebut serta kaedah terbaik dalam menangani permasalahan itu,'' ujarnya pada pelancaran kempen itu yang diadakan di hadapan Bangunan Sulan Abdul Samad, baru-baru ini.

Pada majlis tersebut, bangunan yang bersejarah itu bertukar warna apabila disimbahi cahaya merah jambu sejurus selepas pelancaran kempen tersebut.

Selain bangunan tersebut, Menara Kuala Lumpur juga turut disimbahi warna sama sebagai menguatkan sokongan terhadap kempen itu.

Kai Nan menjelaskan, melalui tema warna merah jambu itu ia juga melambangkan kelembutan yang ada pada wanita.
Jelasnya lagi, biarpun barah ini menyerang kaum wanita sahaja, namun golongan lelaki juga perlu peka tentang 
permasalahan ini.

''Berhubunglah dengan sesiapa sahaja yang dikenali dan pengetahuan mengenai pemeriksaan awal terhadap penyakit 
ini boleh mencegah daripada terus menjadi mangsa kepada penyakit ini,'' terangnya.

Katanya, apabila dapat mengesan kanser lebih awal, rawatan yang tepat mampu menyelamatkan nyawa.

Harapan bayi jantung berlubang

DR. LEE Weng Seng menjalankan prosedur pembedahan dengan penuh teliti.


HATI mana yang tidak tersentuh. Tambahan lagi bagi mereka yang bergelar ibu. Saat menatap bagaimana satu tubuh kecil dihiris dadanya, perasaan cemas dan takut sukar ditepis.
Namun memikirkan itu semua demi menyelamatkan satu nyawa yang baru menjengah dunia, perasaan itu dibuang jauh-jauh.
Itu yang dialami penulis tatkala diberi peluang melihat dengan lebih dekat bagaimana pembedahan membaiki kecacatan septal ventrikular (VSD) dijalankan.

Pembedahan tersebut dilakukan oleh Pakar Bedah Kardiotorasik, Dr. Lee Weng Seng di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur terhadap seorang bayi berusia tiga bulan yang dilahirkan tidak cukup bulan dengan komplikasi jantung berlubang.

Melihat riak wajah doktor, pakar bius dan pembantu mereka yang sentiasa tenang sepanjang 45 minit penulis berada di situ meyakinkan diri bahawa ia pasti berjalan dengan lancar.

Memikirkan perasaan cemas penulis yang tiada langsung pertalian dengan si pesakit, tertanya juga bagaimana pula dengan ibu dan bapa bayi tadi? Pastinya perasaan gemuruh mereka sukar dibendung lagi.

Keluar dari bilik pembedahan menuju ke wad kanak-kanak, penulis sempat berkongsi pengalaman dengan pasangan Chin Kwee Yaw, 43, dan Mak Yea, 37, bapa serta ibu kepada Chin Jia Ern, lapan bulan.

Bayi perempuan comel itu tidur nyenyak di atas katil ditemani ibunya. Tiada lagi bunyi nafas yang menyesak dada.

Melihat keadaan mereka yang sedikit tenang selepas anak kesayangan selamat menjalani pembedahan beberapa hari yang lalu, keyakinan penulis tinggi bahawa harapan kanak-kanak yang dilahirkan dengan masalah jantung untuk menjalani hidup normal semakin cerah dengan teknologi perubatan terkini.

Penyakit Jantung Kongenital (CHD)

Biasa disebut jantung berlubang, CHD berlaku apabila terdapat kerosakan pada struktur jantung dan saluran utama sejak bayi di dalam kandungan lagi. Banyak jenis kerosakan jantung berlaku, kebanyakannya sama ada menghalang aliran darah dalam jantung atau saluran berhampiran dengannya atau menyebabkan darah mengalir dalam jantung pada arah yang berlawanan.

Menurut Persatuan Jantung Kebangsaan Malaysia, satu dalam setiap 100 bayi yang lahir di negara ini berkemungkinan mengalami masalah jantung.

Dengan purata 500,000 kelahiran setiap tahun, dianggarkan 5,000 bayi di Malaysia berisiko menderita sakit jantung kongenital setiap tahun.

Secara global pula, insiden penyakit jantung kongenital di kalangan bayi yang baru dilahirkan berlaku antara empat hingga sembilan setiap 1,000 kelahiran. Justeru setiap tahun, terdapat hingga 1.5 juta kes seluruh dunia.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai keadaan itu, Konsultan Pediatrik dan Pakar Kardiologi Pediatrik dari hospital yang 
sama, Dr. Lim Miin Kang berkata, CHD merupakan penyakit yang disebabkan warisan (genetik) dan juga persekitaran.

“Jika ibu atau bapa mempunyai sakit ini, bayi yang dilahirkan mempunyai risiko 10 peratus mengalaminya,” katanya.
Selain itu katanya, faktor persekitaran antenatal termasuk jangkitan ketika mengandung (rubella), pengambilan alkohol atau dadah tertentu dan penyakit seperti kencing manis dan SLE turut menyumbang kepada permasalahan.

Bagaimana ia dikesan?

Dr. Lim menjelaskan bayi yang mengalami kecacatan jantung boleh dikesan ketika di dalam kandungan (bagi kes major) dan juga ketika dilahirkan (kes minor).

“Ujian ultrasound ketika ibu sedang mengandung mampu mengesan sebarang keganjilan pada denyutan jantung. Ia boleh dikesan seawal usia empat bulan,” katanya.

Menghurai lebih lanjut, beliau berkata, rentak normal jantung adalah “lup dup” dan jika ia berlainan seperti “lup cup”, bererti terdapat kecacatan pada jantung tersebut.

Jelasnya lagi, bayi CHD dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu bayi biru dan tidak biru (blue dan non-blue baby).

“Bayi tidak biru menghadapi masalah lubang pada jantung atau masalah dengan injap atrial. Jenis yang paling banyak ditemui adalah kecacatan septal ventrikular (VSD) dan atrial septal defect (ASD).

“Bayi biru pula mempunyai masalah halangan yang menyekat pengaliran darah ke paru-paru (tersumbat),” ujarnya.
Antara simptom yang biasa ditemui dalam kes kecacatan jantung kongenital adalah;

* jantung berbunyi (murmur)

* cyanosis (biru di badan atau muka)

* kesukaran menyusu

* nafas kencang

* berat badan tidak bertambah secara normal

* pendarahan

Dr. Lim berkata, jika ibu bapa mendapati anak mereka mempunyai simptom yang dinyatakan, dinasihatkan membawa 
ke klinik berhampiran dengan segera untuk pemeriksaan.

Jika terdapat kemungkinan masalah jantung major, bayi tersebut memerlukan pembedahan segera.
Dr. Lim menyatakan terdapat beberapa ujian yang dapat dijalankan untuk menentukan jika bayi atau kanak-kanak mempunyai masalah jantung.

Ujian ECG (electrocardiogram) katanya, akan dijalankan untuk memantau denyut jantung dan menentukan sama ada ia normal atau sebaliknya.

“Imbasan sinar-X dada juga mungkin dilakukan untuk melihat jika jantung membesar (bengkak) atau mempunyai masalah paru-paru. Ujian echocardiogram (ultrasound jantung) pula dapat mengesan beberapa kecacatan struktur 
jantung,” jelasnya.