إِن تُبۡدُوا۟ ٱلصَّدَقَـٰتِ فَنِعِمَّا هِیَۖ وَإِن تُخۡفُوهَا وَتُؤۡتُوهَا ٱلۡفُقَرَاۤءَ فَهُوَ خَیۡرࣱ لَّكُمۡۚ وَیُكَفِّرُ عَنكُم مِّن سَیِّـَٔاتِكُمۡۗ وَٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِیرࣱ
"Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu; dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan" [Surah al-Baqarah 271]
#Pertamanya, kita sangat digalakkan untuk bersedekah membantu mereka yang susah dan memerlukan. Sedekah merupakan amalan mulia yang disukai oleh Allah dan RasulNya.
#Sedekah boleh dilakukan secara terang-terangan dan juga secara rahsia. Yang utama ialah menjaga hati agar tidak wujud perasaan riyak dan menunjuk-nunjuk kepada orang lain. Jika tidak mampu mengawal hati maka sedekahlah secara rahsia dan ini lebih baik dan selamat.
#Diriwayatkan daripada Abu Hamzah ath-Thumali, katanya, dahulu, Ali bin Husain, cicit Rasulullah saw, biasa memikul guni yang mengandungi roti di bahunya dalam kegelapan malam untuk disedekahkan. Dia berkata: "Sesungguhnya sedekah secara rahsia boleh memadamkan kemurkaan Allah" (Lihat Safwan ash-Shafwah).
#Dari Amru bin Tsabit berkata: "Ketika Ali bin Husain meninggal dunia, beberapa orang memandikan jenazahnya. Mereka melihat ada bekas hitam di bahunya". Mereka bertanya: "Apa ni"? Ada yang menjawab: "Dia selalu memikul guni berisi gandum di bahunya pada waktu malam untuk diberikan kepada orang-orang fakir di Madinah" (Lihat Safwan ash-Shafwah).
#Daripada Ibnu Aisyah, dari ayahnya berkata: Aku pernah mendengar penduduk Madinah mengatakan: "Kami tidak pernah kehilangan sedekah rahsia sehinggalah Ali bin Husain meninggal dunia" (Lihat Aina Nahnu min Akhlak as-Salaf)
♡Sama-samalah kita berwaspada dalam setiap amalan kita. Suburkan amalan bersedekah namun sentiasa jaga hati agar niat kita benar-benar untuk membantu mereka yang memerlukan dengan harapan mendapat reda Allah dan keampunanNya dan bukannya untuk menunjuk-nunjuk serta mendapat pujian dan pengiktirafan manusia. Jom bersedekah!!♡
No comments:
Post a Comment