هُوَ ٱلَّذِی جَعَلَ ٱلشَّمۡسَ ضِیَاۤءࣰ وَٱلۡقَمَرَ نُورࣰا وَقَدَّرَهُۥ مَنَازِلَ لِتَعۡلَمُوا۟ عَدَدَ ٱلسِّنِینَ وَٱلۡحِسَابَۚ مَا خَلَقَ ٱللَّهُ ذَ ٰلِكَ إِلَّا بِٱلۡحَقِّۚ یُفَصِّلُ ٱلۡـَٔایَـٰتِ لِقَوۡمࣲ یَعۡلَمُونَ
"Dia lah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya, dan Dia lah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-randah) pada tempat-tempat peredarannya masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-ayatNya (tanda-tanda kebesaranNya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu yang dijadikanNya)" [Surah Yunus 5]
#Setiap kejadian Allah swt, pasti mengandungi hikmah dan manfaatnya. Dalam ayat ini Allah menyebut tentang kejadian matahari dan bulan untuk menunjukkan kebesaranNya juga sebagai manfaat untuk seluruh makhluk ciptaanNya. Dalam pada itu, terdapat satu kejadian yang dikaitkan dengan matahari dan bulan iaitu gerhana.
#Kejadian gerhana matahari berlaku akibat dari kedudukan sejajar antara matahari, bulan dan bumi, manakala gerhana bulan berlaku apabila kedudukan sejajar antara matahari, bumi dan bulan. Kedudukan sebegini akan menghalang cahaya matahari daripada sampai ke bumi dan kerana itu, ia dinamakan gerhana. Kita sedia maklum bulan dan bumi sifatnya adalah menerima cahaya daripada matahari. Fenomena gerhana matahari adalah suatu iktibar kepada umat manusia bahawa kita adalah makhluk kecil dan lemah di sisi Allah swt. Allah memperlihatkan sedikit daripada bukti kekuasaanNya kepada manusia melalui peristiwa gerhana matahari yang juga antara satu fenomena alam yang hebat dan ajaib, bukti kekuasaan Allah yang tiada bandingnya.
#Kejadian gerhana matahari tiada kaitan dengan kejadian malang, penyakit atau kecelakaan sesuatu perkara. Sebaliknya, ia merupakan satu fenomena yang berlaku sejak dahulu lagi, termasuk ketika zaman Baginda saw.
#Berikut reaksi Nabi apabila berlakunya fenomena gerhana.
عَنْ أَبِي مُوسَى، قَالَ خَسَفَتِ الشَّمْسُ فِي زَمَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم. فَقَامَ فَزِعًا يَخْشَى أَنْ تَكُونَ السَّاعَةُ حَتَّى أَتَى الْمَسْجِدَ. فَقَامَ يُصَلِّي بِأَطْوَلِ قِيَامٍ وَرُكُوعٍ وَسُجُودٍ مَا رَأَيْتُهُ يَفْعَلُهُ فِي صَلاَةٍ قَطُّ. ثُمَّ قَالَ " إِنَّ هَذِهِ الآيَاتِ الَّتِي يُرْسِلُ اللَّهُ لاَ تَكُونُ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلاَ لِحَيَاتِهِ. وَلَكِنَّ اللَّهَ يُرْسِلُهَا يُخَوِّفُ بِهَا عِبَادَهُ. فَإِذَا رَأَيْتُمْ مِنْهَا شَيْئًا فَافْزَعُوا إِلَى ذِكْرِهِ وَدُعَائِهِ وَاسْتِغْفَارِهِ.
Daripada Sayidina Abu Musa r.a berkata: "Telah berlaku gerhana matahari pada zaman Nabi. Lalu baginda bangun dalam keadaan takut akan berlakunya hari Kiamat lalu berjalan sehingga tiba di masjid. Lalu baginda mendirikan solat yang paling panjang berdirinya, rukuknya dan sujudnya yang tidak pernah aku lihat baginda lakukan di dalam solat. Kemudian baginda bersabda: "Sesungguhnya ini adalah tanda-tanda yang Allah hantar. Ia tidaklah berlaku kerana kematian atau kehidupan seseorang. Akan tetapi Allah menghantarnya untuk menimbulkan rasa takut pada hambaNya. Apabila kalian lihat ia berlaku, segeralah mencari perlindungan dengan mengingati Allah, berdoa kepadaNya dan memohon keampunanNya" (HR Muslim)
♡Dahulu, tatkala berlaku gerhana, baginda Nabi gementar, takut serta bimbang berlakunya kiamat lalu lama bermunajat di dalam masjid. Namun, dunia sekarang semakin terbalik, lagi dunia semakin hampir penghujungnya, manusia semakin pelik gembiranya. Tatkala berlaku gerhana, manusia sibuk untuk ambil gambar, berselfie dengan gerhana, riuh rendah merakam video untuk di paparkan di media sosial dan menjadikan fenomena itu satu kejadian yang disambut dengan suka ria. Malangnya sebahagian besar langsung tidak menunaikan solat gerhana bahkan hanya sedikit sahaja kelibat manusia di masjid. Astaghfirullahalazim. Semoga kita menginsafi diri♡
No comments:
Post a Comment