قَالَتۡ أَنَّىٰ یَكُونُ لِی غُلَـٰمࣱ وَلَمۡ یَمۡسَسۡنِی بَشَرࣱ وَلَمۡ أَكُ بَغِیࣰّا
Maryam bertanya (dengan cemas): "Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak lelaki, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun, dan aku pula bukan perempuan jahat?" [Surah Maryam 20]
#Ayat ini menceritakan tentang suasana cemas yang berlaku kepada wanita solehah yang mulia iaitu Sayidatina Maryam, ibu Nabi Isa Alaihissalam tatkala di maklumkan oleh malaikat bahawa dia akan memperolehi seorang anak.
#Sayidatina Maryam terkejut dan cemas kerana beliau tidak pernah berkahwin, tidak pernah disentuh (disetubuhi) oleh mana-mana lelaki dan beliau bukanlah seorang perempuan jahat/liar. Malahan Sayidatina Maryam seorang wanita solehah dan seorang wanita yang kuat beribadah.
#Daripada Sayidatina A'isyah r.ha, bahawa Rasulullah saw bersabda:
سَيِّدَاتُ نِسَاءِ أَهْلِ الْجَنَّةِ أَرْبَعٌ: مَرْيَمُ بِنْتُ عِمْرَانَ، وَفَاطِمَةُ بِنْتُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَخَدِيجَةُ بِنْتُ خُوَيْلِدٍ، وَآسِيَةُ
“Penghulu wanita ahli syurga ada empat: Maryam binti Imran, Fatimah binti Rasulullah saw, Khadijah binti Khuwailid, dan Asiyah (isteri Firaun)” (HR al-Hakim).
#Allah swt memuji Sayidatina Maryam sebagai wanita yang benar:
مَا الْمَسِيحُ ابْنُ مَرْيَمَ إِلَّا رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِنْ قَبْلِهِ الرُّسُلُ وَأُمُّهُ صِدِّيقَةٌ ۖ
"Tiadalah Al-Masih Ibni Maryam (Nabi Isa) itu melainkan seorang Rasul yang telah terdahulu sebelumnya beberapa orang Rasul, dan ibunya seorang perempuan yang amat benar..."[Surah al-Maidah 75]
#Wahai para wanita sekelian, jadilah wanita yang solehah, yang kuat beribadah, yang menjaga aurat, yang benar tutur katanya, yang menjaga maruah, yang pemalu untuk melakukan dosa dan yang sentiasa menjaga diri daripada disentuh oleh lelaki yang bukan mahram sepertimana Sayidatina Maryam. Yang akhirnya dia dikurniakan Allah karamah dan keajaiban dalam kehidupannya (mengandung dan melahirkan anak tanpa perkahwinan dan tanpa persetubuhan). Inilah antara kemuliaan Allah kepada wanita solehah.
#Daripada Sayidina Abdullah bin ‘Amr r.a, Nabi saw bersabda:
الدُّنْيَا مَتَاعٌ وَخَيْرُ مَتَاعِ الدُّنْيَا الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ
"Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah" (HR Muslim)
#Sabda Nabi saw:
أَلاَ أُخْبِرُكَ بِخَيْرِ مَا يَكْنِزُ الْمَرْءُ الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ إِذَا نَظَرَ إِلَيْهَا سَرَّتْهُ وَإِذَا أَمَرَهَا أَطَاعَتْهُ وَإِذَا غَابَ عَنْهَا حَفِظَتْهُ
“Mahukah kamu aku beritahukan tentang sebaik-baik harta seorang lelaki?. Ia adalah wanita yang solehah. Apabila suami melihat kepadanya, dia akan menggembirakan, apabila suami memberi arahan kepadanya wanita itu taat, dan apabila suami tidak berada di sisinya, wanita itu menjaga maruah dirinya" (HR Abu Dawud)
♡Jadilah wanita solehah. Didiklah anak dan isteri agar menjadi wanita solehah, yang sentiasa mentaati Allah dan Rasul serta suaminya♡
No comments:
Post a Comment