"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Wednesday, May 6, 2020

JANGAN FITNAH RASULULLAH BEGITU


1. Ada seorang feminis liberal mendakwa Rasulullah bersenang-senang beribadah di Gua Hira dengan meninggalkan isteri dan anak Baginda di rumah. Sehingga menyatakan bahawa perlakuan Baginda Nabi inilah yang dituruti oleh sebahagian Muslim hari ini yang meninggalkan keluarga mereka untuk keluar atas jalan Allah. Ini adalah satu fitnah yang berat!

2. Pertamanya, pemergian Rasulullah bukanlah untuk bersenang-senang beribadah sahaja, bahkan berdasarkan riwayat Ibn Ishaq, Baginda turut menjalankan kerja kebajikan sosial buat orang-orang miskin di Mekah. Kata Ibn Ishaq:

فَكَانَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم يُجَاوِرُ ذَلِكَ الشَّهْرَ مِنْ كُلَّ سَنَةٍ يُطْعِمُ مَنْ جَاءَهُ مِنَ الْمَسَاكِينِ

“Sesungguhnya Rasulullah berjiwar (beriktikaf) pada bulan Ramadan (di Gua Hira) pada setiap tahun dan Baginda turut memberi makan kepada orang miskin yang datang kepadanya.”

3. Bahkan tindakan Nabi yang beribadah di Gua Hira ini adalah satu rutin yang Baginda sering lakukan yang telah menjadi kebiasaan yang difahami oleh isteri Baginda. Kata Ibn Ishaq:

في رواية ابن إسحاق أنه صلى الله عليه وسلم كان يُجاور -أي يعتكف- في غار حراء في شهر رمضان من كل سنة

“Dan di dalam riwayat yang dinyatakan oleh Ibn Ishaq, Baginda Nabi “berjiwar” (beriktikaf) di dalam Gua Hiran pada bulan Ramadan setiap tahun.”

4. Jadi jelas di sini bahawa pemergian Rasulullah ke Gua Hira bukanlah untuk bersenang-senang atas kepentingan peribadi Baginda bahkan Baginda menjalankan khidmat sosial dengan membantu orang miskin. Malah Khadijah turut memahami keadaan Baginda yang beriktikaf tersebut sehingga Khadijah sendiri yang menyediakan makanan buat Baginda Nabi. Ini seperti yang diriwayatkan oleh al-Bukhari yang menyebutkan:

وَكَانَ يَخْلُو بِغَارِ حِرَاءٍ فَيَتَحَنَّثُ فِيهِ -وَهُوَ التَّعَبُّدُ- اللَّيَالِيَ ذَوَاتِ الْعَدَدِ قَبْلَ أَنْ يَنْزِعَ إِلَى أَهْلِهِ وَيَتَزَوَّدُ لِذَلِكَ، ثُمَّ يَرْجِعُ إِلَى خَدِيجَةَ فَيَتَزَوَّدُ لِمِثْلِهَا، حَتَّى جَاءَهُ الْحَقُّ

“Sesungguhnya Rasulullah bersendirian di Gua Hira (untuk beribadah) beberapa malam sebelum Baginda pulang ke rumah untuk bertemu dengan ahli keluarganya dan menambah bekalan untuk beribadah semula. Kemudian Baginda berjumpa semula dengan Khadijah, dan Khadijah menyediakan bekalan buat Rasulullah sama seperti sebelumnya, sehingga diturunkan kepada Baginda wahyu.” (HR al-Bukhari).

5. Lihatlah bagaimana indahnya kehidupan rumah tangga Nabi. Mereka adalah pasangan yang saling memahami dan saling membantu atas urusan kebaikan. Si isteri menyediakan bekalan makanan, dan si suami bukan sahaja pergi beribadah, malah kembali kepada keluarga dan membantu orang miskin.

6. Bahkan sekiranya kita teroka kisah-kisah dalam al-Quran, pengalaman yang sama turut dilalui oleh Nabi Ibrahim. Baginda terpaksa meninggalkan anak dan isteri ditanah yang kering yang tidak mempunyai tanaman. Sehingga Nabi Ibrahim memanjatkan doa kepada Allah agar Allah memelihara keluarga Baginda. Firman Allah:

رَبَّنَا إِنِّي أَسْكَنْتُ مِنْ ذُرِّيَّتِي بِوَادٍ غَيْرِ ذِي زَرْعٍ عِنْدَ بَيْتِكَ الْمُحَرَّمِ رَبَّنَا لِيُقِيمُوا الصَّلَاةَ

(Nabi Ibrahim berdoa) "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak tanaman padanya, di sisi Baitul Haram. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat)."

7. Pengorbanan Nabi Ibrahim lebih dahsyat dalam situasi ini.  Namun atas pengorbanan Nabi Ibrahim inilah agama Allah dibangunkan. Dan atas pengorbanan Rasulullah inilah Islam sampai kepada kita hari ini. Hairannya ada pula dikalangan liberal yang menolak untuk menjadikan kehidupan mereka sebagai contoh.

8. Apa yang diungkapkan oleh pejuang liberal ini adalah satu fitnah buat Rasulullah. Baginda hanya digambarkan bersenang-senang sedangkan bukan ini yang berlaku pada hakikatnya.

Moga Allah membimbing kita semua.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi

No comments: