1. Kebodohan boleh menjauhkan kita dari Allah. Perkara ini dinyatakan oleh Saidina Umar apabila beliau membaca ayat ke 6 dari Surah al-Infitar. Dalam ayat ini Allah bertanya kepada kita:
يَا أَيُّهَا الْإِنسَانُ مَا غَرَّكَ بِرَبِّكَ الْكَرِيمِ
Wahai manusia! Apakah yang memperdayakanmu (sehingga kamu berlaku derhaka) kepada Tuhanmu yang Maha Pemurah?
Lalu Umar berkata pada dirinya:
قال: الحمق يا رب
“Kebodohan wahai Tuhanku.” Iaitu kebodohanlah yang menyebabkan kita engkar dan jauh dari Allah.
2. Kebodohan boleh menyebabkan manusia menjauhi kita. al-Imam al-Thawri pernah berpesan supaya menjauhi orang yang bodoh. Malah menegaskan bahawa melihat wajah orang yang bodoh itu adalah satu kesalahan. Kata al-Thawri:
وقال الثوري : النظر إلى وجه الأحمق خطيئة مكتوبة
“al-Thawri berkata: Melihat wajah orang yang bodoh itu adalah satu kesalahan yang termaktub” (al-Ghazali, Ihya Ulumuddin).
3. Kebodohan boleh berjangkit. Ini adalah pandangan sebahagian sarjana silam yang melihat bahawa banyak bergaul dengan orang yang bodoh akan menjadikan diri kita seperti mereka. Kata Bisyr ibn al-Harith:
إن جاريت الأحمق كنت مثله وإن سكت عنه سلمت منه
“Sekiranya engkau banyak bergaul dengan mereka, engkau akan jadi seperti mereka. Dan sekiranya engkau mendiamkan diri, maka engkau akan selamat dari mereka.” (Ibn Abi Dunya, al-Qal wa Fadlihi)
4. Kebodohan boleh menewaskan kita. Saidina Umar pernah menasihatkan kita supaya jangan berdebat dengan orang bodoh kerana dia akan menewaskan kita dengan kejahilannya. Kata Umar:
عمر بن الخطاب :لا تخاطب الجاهل فيغلبك بجهله
Kata Umar al-Khattab: Jangan kamu berbicara (berdebat) dengan orang yang jahil kerana dia akan menewaskan kamu dengan kejahilannya.
Dengan sebab itu al-Imam al-Syafie menukilkan syair yang menyebutkan:
والصمت عن جاهل أو أحمق شــرف
“Dan berdiam diri dari orang yang jahil atau orang yang bodoh itu adalah satu kemuliaan.”
5. Kebodohan itu tidak bertepi. Ibrahim al-Nazzam pula pernah ditanya tentang had atau batas kebodohan. Seorang lelaki bertanya kepada beliau:
ما حدُّ الحمق؟ فقال: سألتني عمَّا ليس له حدٍّ
“Apakah had sesuatu kebodohan itu? Jawab Ibrahim: Sesungguhnya engkau telah bertanya kepadaku sesuatu yang tidak ada had baginya.” Bererti kebodohan itu tiada batas, bodoh terkadang tidak bertepi.
Sekadar tulisan santai. Semoga Allah melindungi kita dari kejahilan dan kebodohan.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
No comments:
Post a Comment