مَن جَاۤءَ بِٱلۡحَسَنَةِ فَلَهُۥ عَشۡرُ أَمۡثَالِهَاۖ وَمَن جَاۤءَ بِٱلسَّیِّئَةِ فَلَا یُجۡزَىٰۤ إِلَّا مِثۡلَهَا وَهُمۡ لَا یُظۡلَمُونَ
"Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya; dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun)" [Surah al-An'am 160]
#Allah swt Tuhan yang Maha Kaya sentiasa menjanjikan pahala yang berlipat kali ganda kepada hamba-hambaNya yang melakukan kebaikan. Bahkan gandaan ganjaran yang dijanjikan tidak pernah kurang, namun bertambah-tambah dan lumayan. Satu kebaikan yang dilakukan akan diberikan ganjaran sepuluh kali ganda sebagaimana yang disebutkan di dalam ayat di atas.
#Daripada Sayidina Zaid bin Khalid al-Juhani r.a bahawa Rasulullah saw bersabda:
مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لاَ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا
"Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang berpuasa dalam keadaan pahala orang tersebut tidak berkurangan sedikit pun" (HR at-Tirmizi)
#Berkata Imam Izzuddin al-Izz bin Abdus Salam dalam menjelaskan fadhilat memberi makan kepada orang yang berpuasa: ‘’Sesiapa yang memberi makan kepada 36 orang yang berpuasa dalam sepanjang tahun, maka dia akan mendapat pahala berpuasa selama setahun’’. Ini kerana, setiap kebaikan yang dilakukan oleh seseorang itu akan mendapat 10 ganjaran pahala.
#Namun disebutkan di dalam ayat yang lain digandakan sehingga 700 kali ganda bahkan melebihi 700 kali ganda.
مَّثَلُ ٱلَّذِینَ یُنفِقُونَ أَمۡوَ ٰلَهُمۡ فِی سَبِیلِ ٱللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنۢبَتَتۡ سَبۡعَ سَنَابِلَ فِی كُلِّ سُنۢبُلَةࣲ مِّا۟ئَةُ حَبَّةࣲۗ
"Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji (700 biji)" [Surah al-Baqarah 261]
#Sabda Nabi saw:
كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ يُضَاعَفُ، الْحَسَنَةُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعمِائَة ضِعْفٍ
“Setiap amalan anak Adam akan digandakan, satu kebaikan digandakan dengan sepuluh kali sehingga tujuh ratus kali ganda.” (HR Muslim)
#Di penghujung ayat 261 surah al-Baqarah Allah swt menyatakan bahawa Allah akan melipatgandakan lagi ganjaran melebihi 700 kali ganda.
وَٱللَّهُ یُضَـٰعِفُ لِمَن یَشَاۤءُۚ وَٱللَّهُ وَ ٰسِعٌ عَلِیمٌ
"Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya" [Surah al-Baqarah 261]
#Antara amal kebaikan yang tidak terhitung ganjarannya ialah puasa. Daripada Sayidina Abu Hurairah r.a, Rasulullah saw bersabda:
كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ يُضَاعَفُ الْحَسَنَةُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعِمِائَةِ ضِعْفٍ قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ إِلاَّ الصَّوْمَ فَإِنَّهُ لِى وَأَنَا أَجْزِى بِهِ
“Setiap amalan kebaikan yang dilakukan oleh manusia akan dilipat gandakan dengan sepuluh kebaikan yang semisal hingga tujuh ratus kali ganda. Allah swt berfirman: “Kecuali amalan puasa. Amalan puasa tersebut adalah untukKu. Aku sendiri yang akan membalasnya..." (HR al-Bukhari dan Muslim)
♡Kalam Allah dan kalam Rasulullah ini menunjukkan dorongan untuk kita memperbanyakkan melakukan amalan kebaikan dan meninggalkan kejahatan. Jom sibukkan diri dengan amal kebaikan dan raihlah sebanyak-banyaknya ganjaran yang dijanjikan♡
No comments:
Post a Comment