إِنَّ ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ سَیَجۡعَلُ لَهُمُ ٱلرَّحۡمَـٰنُ وُدࣰّا
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Allah yang melimpah-limpah rahmatnya akan menanamkan bagi mereka dalam hati orang ramai perasaan kasih sayang" [Surah Maryam 96]
#Orang yang beriman dan beramal soleh akan dirahmati oleh Allah dengan menjadikan kehidupan mereka penuh dengan kedamaian, keharmonian, kesatuan dan penuh kasih sayang. Orang ramai menyayangi orang yang beriman dan beramal soleh. Maka kita kena berusaha sehabis baik untuk menjadi insan beriman dan beramal soleh.
#Ketahuilah bahawa agama Islam mengajar umatnya agar sentiasa hidup berkasih sayang antara satu sama lain dan ajaran agama ini menyokong setiap perkara yang boleh mewujudkan sifat berkasih sayang sesama manusia.
#Daripada Sayidina Anas bin Malik r.a, bahawa Nabi saw bersabda:
لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ، حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ
“Tidak beriman (sempurna iman) seseorang itu sehingga dia kasih kepada saudaranya sebagaimana dia kasih kepada dirinya sendiri.” (HR al-Bukhari)
#Seseorang itu tidak dikatakan beriman sehinggalah tumbuh di dalam dirinya perasaan kasih sayang sesama mukmin. Daripada Sayidina Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah saw bersabda:
لا تَدْخُـلُوا الـجَنَّةَ حتـى تُؤمِنُوا، ولا تُؤمِنُوا حتـى تَـحابُّوا أوَلا أدُلُّكُمْ علـى شَيءٍ إذا فَعَلْتُـمُوهُ تَـحَابَبْتُـمْ؟ افْشُوا السّلامَ بَـيْنَكُمْ
“Mereka tidak akan masuk syurga sehingga mereka beriman dan tidak beriman mereka itu sehingga mereka berkasih sayang. Adakah kalian mahu aku tunjukkan sesuatu yang mana apabila kalian mengerjakannya nescaya kalian akan saling menyayangi sesama kalian? Sebarkanlah salam sesama kalian”. (HR Muslim)
#Dalam sebuah hadis Qudsi, Allah SWT memberi jaminan bahawa orang-orang yang berkasih sayang akan mendapat ganjaran yang teristimewa di akhirat kelak. Ganjarannya menyamai ganjaran yang dikurniakan kepada para Nabi dan orang yang mati syahid.
#Daripada Sayidina Muaz r.a katanya, aku telah mendengar Rasulullah saw bersabda, firman Allah swt: "Orang-orang yang berkasih sayang kerana keagunganKu akan mendapat mimbar-mimbar daripada cahaya yang diinginkan oleh para nabi dan syuhada’” (HR at-Tirmizi. Hasan lagi Sahih)
♡Berimanlah kepada Allah dengan keimanan yang sebenar-benarnya dan lakukanlah amal Soleh sebaik mungkin. Hiduplah dengan penuh kasih sayang, semoga kita digolongkan di kalangan hamba-hambaNya yang diredhai dan layak mendiami syurga bersama insan-insan yang istimewa di sisi Allah. Aamiiin♡
No comments:
Post a Comment