الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ
“Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah dia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskannya (menceraikannya) dengan cara yang baik.” [Surah al-Baqarah 229]
#Tujuan sebuah perkahwinan adalah untuk membina kehidupan yang berteman, membina kebahagiaan hidup berkeluarga dan mewujudkan keharmonian sesama pasangan.
وَمِنۡ ءَايَٰتِهِۦٓ أَنۡ خَلَقَ لَكُم مِّنۡ أَنفُسِكُمۡ أَزۡوَٰجٗا لِّتَسۡكُنُوٓاْ إِلَيۡهَا وَجَعَلَ بَيۡنَكُم مَّوَدَّةٗ وَرَحۡمَةًۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّقَوۡمٖ يَتَفَكَّرُونَ
"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, *supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.* Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir" [Surah ar-Rum 21]
#Antara perkara utama yang sangat diharapkan ialah dapat mengekalkan kehidupan berumahtangga di antara pasangan suami dan isteri sehingga akhir hayat. Walau bagaimanapun, telah menjadi lumrah dan kebiasaan di dalam kehidupan yang mana terdapat sebahagian pasangan atau salah seorang daripada mereka tidak mematuhi peraturan dalam sebuah perkahwinan yang menyebabkan perkahwinan itu tidak kekal lama atas sebab-sebab yang tertentu. Daripada keadaan dan suasana itulah munculnya isu penceraian. Walaupun setiap pasangan berusaha menjauhi perceraian, namun tetap berlaku dari masa ke semasa.
#Walaupun perceraian itu sesuatu yang dibenci namun ia merupakan syariat daripada Allah swt. Ayat di atas antara dalil yang menunjukkan pensyariatan penceraian atau talak dan garis panduannya.
#Imam Ibnu Kathir rahimahullah menyebut di dalam tafsirnya: "Bahawa masyarakat Arab jahiliyyah pada waktu dahulu tiada satu sistem yang teratur untuk perceraian. Mereka sesuka hati boleh menceraikan isteri mereka dan sesuka hati rujuk kepada mereka meskipun sudah seratus kali bercerai. Ianya seolah-olah tiada berkesudahan. Islam datang kemudiannya untuk mengajarkan bahawa talak yang boleh dirujuk adalah sebanyak dua kali dan jika tidak mahu untuk dirujuk maka lepaskanlah isteri tersebut dengan baik tanpa menzaliminya".
#Selain itu terdapat juga sabda Nabi saw berkaitan penceraian. Daripada Sayidina Ibn Umar r.a, bahawa Nabi saw bersabda:
أَبْغَضُ الْحَلَالِ إِلَى اللَّهِ الطَّلَاقِ
“Perkara halal yang paling dimurkai Allah adalah talak (penceraian)" (HR Abu Dawud dan Ibn Majah)
#Oleh itu, dalam melayari bahtera rumahtangga, ianya amat memerlukan kepada ilmu, pengetahuan, kesabaran, akhlak yang baik, sifat toleransi dan berlapang dada, memahami tanggungjawab dan peranan antara suami isteri, menunaikan hak dan tanggungjawab masing-masing dan yang paling penting dalam semua itu adalah sifat saling memahami sesama pasangan.
♡Ingatlah, walaupun agama mengizinkan seorang suami itu untuk melafazkan talak atau menceraikan isterinya di atas sebab-sebab tertentu, akan tetapi, yang terbaik adalah mencari dahulu jalan penyelesaian dan menjadikan talak sebagai jalan yang terakhir. Semoga Allah memelihara rumahtangga kita dan mengekalkannya hingga ke akhir hayat. Aamiiin♡
No comments:
Post a Comment