وَبَشِّرِ ٱلۡمُؤۡمِنِینَ بِأَنَّ لَهُم مِّنَ ٱللَّهِ فَضۡلࣰا كَبِیرࣰا
"Dan (dengan itu) sampaikanlah berita yang mengembirakan kepada orang-orang yang beriman, bahawa sesungguhnya mereka akan beroleh limpah kurnia yang besar dari Allah" [Surah al-Ahzab 47]
#Allah swt mewahyukan kepada para Nabi agar memaklumkan kepada orang-orang yang beriman bahawa mereka akan dikurniakan ganjaran yang hebat dan besar oleh Allah swt.
#Dengan tawaran ganjaran yang besar ini, maka sepatutnya kita menjadi orang yang benar-benar beriman kepada Allah dengan melaksanakan segala kehendakNya serta berusaha menjauhi segala kemurkaanNya. Benar-benar berusaha mempertahankan keimanan kita daripada rosak, cacat, batal dan calar serta istiqamah menyuburkan iman dengan pelaksanaan amal soleh sehingga ke hujung nyawa.
#Allah swt menyebut ganjaran yang ditawarkan kepada hambaNya yang beriman:
1. Dikurniakan syurga dan kenikmatannya:
وَبَشِّرِ ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ أَنَّ لَهُمۡ جَنَّـٰتࣲ تَجۡرِی مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَـٰرُۖ كُلَّمَا رُزِقُوا۟ مِنۡهَا مِن ثَمَرَةࣲ رِّزۡقࣰا قَالُوا۟ هَـٰذَا ٱلَّذِی رُزِقۡنَا مِن قَبۡلُۖ وَأُتُوا۟ بِهِۦ مُتَشَـٰبِهࣰاۖ وَلَهُمۡ فِیهَاۤ أَزۡوَ ٰجࣱ مُّطَهَّرَةࣱۖ وَهُمۡ فِیهَا خَـٰلِدُونَ
"Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; tiap-tiap kali mereka diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan syurga itu, mereka berkata: "Inilah yang telah diberikan kepada kami dahulu"; dan mereka diberikan rezeki itu yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya), dan disediakan untuk mereka dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya" [Surah al-Baqarah 25]
2. Dikurniakan pahala yang besar:
إِنَّ هَـٰذَا ٱلۡقُرۡءَانَ یَهۡدِی لِلَّتِی هِیَ أَقۡوَمُ وَیُبَشِّرُ ٱلۡمُؤۡمِنِینَ ٱلَّذِینَ یَعۡمَلُونَ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ أَنَّ لَهُمۡ أَجۡرࣰا كَبِیرࣰا
"Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (ugama Islam), dan memberikan berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar" [Surah al-Isra' 9]
3. Beroleh syurga, kesenangan dan kegembiraan yang sebenar-benarnya:
ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ بِـَٔایَـٰتِنَا وَكَانُوا۟ مُسۡلِمِینَ * ٱدۡخُلُوا۟ ٱلۡجَنَّةَ أَنتُمۡ وَأَزۡوَ ٰجُكُمۡ تُحۡبَرُونَ
"(Mereka itu ialah) orang-orang yang beriman akan ayat-ayat keterangan Kami, serta mereka menjadi orang-orang Islam yang taat patuh. (Mereka diberi sebaik-baik balasan dengan dikatakan kepada mereka): "Masuklah kamu ke dalam Syurga bersama-sama isteri-isteri kamu (yang beriman), dengan menikmati sepenuh-penuh kegembiraan dan kesenangan" [Surah az-Zukhruf 69-70]
♡Jadilah hamba Allah yang beriman kepada seluruh perintah dan kehendakNya, agar kita beroleh syurga dan segala kesenangan sebagaimana yang dijanjikan. Jangan sesekali menjadi manusia yang derhaka, fasik, kufur serta syirik kepadaNya kerana balasannya adalah sebaliknya iaitu azab, kesengsaraan dan penyesalan♡
No comments:
Post a Comment