لَّهُمۡ فِیهَا مَا یَشَاۤءُونَ خَـٰلِدِینَۚ كَانَ عَلَىٰ رَبِّكَ وَعۡدࣰا مَّسۡـُٔولࣰا
"Mereka beroleh di dalam Syurga itu apa yang mereka kehendaki, mereka pula kekal di dalamnya. Balasan yang demikian adalah satu janji yang dijamin oleh Tuhanmu, lagi yang dipohonkan dan dituntut (dalam doa masing-masing)" [Surah al-Furqan 16]
#Penat lelah beramal, berjihad, berkorban dan berjuang didunia, berbaloi apabila seseorang itu dimasukkan ke dalam syurga yang dipenuhi dengan kenikmatan dan kerehatan. Apa sahaja yang diingini dan dikehendakinya akan diperolehi dan ditunaikan.
لَهُمْ فِيهَا فَاكِهَةٌ وَلَهُم مَّا يَدَّعُونَ
"Buat mereka (para penghuni syurga) buah-buahan di dalam syurga dan buat mereka apa sahaja yang mereka minta" [Surah Yasin 57]
#Para penghuni syurga dijanjikan begitu banyak kebaikan dan kenikmatan yang tidak terhitung jumlahnya.
لَهُم مَّا يَشَاءُونَ فِيهَا وَلَدَيْنَا مَزِيدٌ
"Buat mereka (para penghuni syurga) apa sahaja yang mereka mahukan dan di sisi kami ada penambahan (nikmat)" [Surah Qaf 35]
#Imam Ibn Jarir al-Thabari dalam tafsirnya berkata: ‘’Bagi golongan mereka ini yang bertakwa apa sahaja yang mereka mahukan di dalam syurga. Yang mana telah disediakan kepada mereka apa sahaja yang jiwa mereka mahukan serta keindahan-keindahan buat pemandangan mereka’’.
وَفِيهَا مَا تَشْتَهِيهِ الْأَنفُسُ وَتَلَذُّ الْأَعْيُنُ
"Di dalamnya (syurga) terdapat perkara-perkara yang menjadi syahwat (kehendak) kepada jiwa dan juga perkara-perkara yang melazatkan pemandangan mata" [Surah az-Zukhruf 71]
♡Dunia tempat beramal, letih dan berpenat lelah. Akhirat tempat berehat, berseronok dan bergembira. Oleh itu, jadilah manusia yang taat dan bertaqwa, moga kita dipilih untuk mendiami syurgaNya suatu hari kelak. Aamiiin♡
No comments:
Post a Comment