قَالَ ٱخۡسَـُٔوا۟ فِیهَا وَلَا تُكَلِّمُونِ
(Allah) berfirman: "Diamlah kamu dengan kehinaan di dalam neraka, dan janganlah kamu berkata-kata (memohon sesuatupun) kepadaKu!" [Surah al-Mu'minun 108]
#Ingatlah bahawa neraka adalah tempat yang paling buruk dan hina. Penghuni neraka akan dihina dan di tempelak sebagaimana yang dirakam dalam ayat diatas.
#Ini adalah jawapan penghinaan Allah swt terhadap permintaan orang-orang kafir dan penghuni neraka ketika mereka sudah berada di dalam neraka. Permintaan dan rayuan mereka sama sekali tidak diperhatikan, bahkan mereka disuruh diam dan dilarang berbicara dengan Allah swt. Bayangkanlah, betapa besar kesengsaraan yang mereka alami dan alangkah besarnya penyesalan yang dihadapi mereka. Mereka akan mengalami kehinaan yang luar biasa di neraka kelak.
#Dalam ayat yang lain, dikisahkan bahawa penghuni neraka menjerit-jerit merayu agar mereka dipulangkan ke dunia dan mereka berjanji akan melakukan amal soleh. Sekali lagi Allah menjawab dengan jawapan yang tersangat perit, pedih dan hancur luluh harapan.
وَهُمۡ یَصۡطَرِخُونَ فِیهَا رَبَّنَاۤ أَخۡرِجۡنَا نَعۡمَلۡ صَـٰلِحًا غَیۡرَ ٱلَّذِی كُنَّا نَعۡمَلُۚ أَوَلَمۡ نُعَمِّرۡكُم مَّا یَتَذَكَّرُ فِیهِ مَن تَذَكَّرَ وَجَاۤءَكُمُ ٱلنَّذِیرُۖ فَذُوقُوا۟ فَمَا لِلظَّـٰلِمِینَ مِن نَّصِیرٍ
Dan mereka menjerit-jerit di dalam neraka itu (sambil merayu): "Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami (dari azab ini); kami akan mengerjakan amal-amal yang soleh, yang lain dari apa yang kami pernah kerjakan. (Lalu Allah menempelak mereka): "Bukankah Kami telah melanjutkan umur kamu dan memberikan masa yang cukup untuk berfikir dan beringat padanya oleh sesiapa yang suka berfikir dan beringat?. Dan kamu pula telah didatangi oleh Rasul (Kami) yang memberi amaran oleh itu, rasalah (azab seksa), kerana orang-orang yang zalim tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan" [Surah Fatir 37]
#Begitu juga jawapan tempelakan Allah dalam Surah as-Sajdah kepada penghuni neraka:
فَذُوقُوا۟ بِمَا نَسِیتُمۡ لِقَاۤءَ یَوۡمِكُمۡ هَـٰذَاۤ إِنَّا نَسِینَـٰكُمۡۖ وَذُوقُوا۟ عَذَابَ ٱلۡخُلۡدِ بِمَا كُنتُمۡ تَعۡمَلُونَ
(Lalu dikatakan kepada mereka: "Oleh sebab kelalaian kamu) maka rasalah azab seksa kerana kamu melupai pertemuan hari kamu ini. Sesungguhnya Kami pun tidak hiraukan keselamatan kamu lagi; dan (dengan yang demikian) rasalah azab yang kekal dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan" [Surah as-Sajdah 14]
♡Maka, menjadi kewajipan kita semua selagi kesempatan masih ada, selagi nyawa masih dibadan berimanlah bersungguh-sungguh, taatilah segala perintahNya, jauhilah segala laranganNya, gandakan amal ibadah, penuhkan jadual dengan kerja-kerja kebajikan dan kebaktian serta dekatkanlah diri dengan Allah swt. Jangan sesekali menderhakai Allah dan lalai mentaatiNya, padahnya akan menjadi makhluk terhina di dalam neraka. Berwaspadalah!!♡
No comments:
Post a Comment