"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Saturday, March 30, 2024

Manusia, Al-Quran dan Ramadan



Tahukah kita siapakah sebaik-baik manusia? Adakah kita tergolong dalam kalangan sebaik-baik manusia?

Pelbagai kriteria dan ciri boleh kita sebut yang menunjukkan seseorang itu terbaik. Mari kita lihat siapakah sebaik-baik manusia menurut Rasulullah SAW dalam hadis baginda.

خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ القُرْآنَ وَعَلَّمَهُ

“Sebaik-baik kamu adalah sesiapa yang belajar al-Quran dan mengajarkannya.” (HR Bukhari no. 5027).

Al-Quran adalah firman Allah SWT bersifat mukjizat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW yang tertulis dalam mashaf, disampaikan secara mutawatir dan berpahala ibadah apabila membacanya. Al-Quran juga adalah sumber utama hukum syariat Islam serta panduan hidup yang mengandungi keterangan petunjuk serta penjelasan yang benar dan salah.  Firman Allah SWT:

هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ

(Al Quran) sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang bathil). (al-Baqarah, 185). 

Ibn Kathir menjelaskan hadis ini bertujuan menjelaskan sifat-sifat orang Mukmin yang meneladani para rasul untuk memberikan manfaat kepada diri mereka dan melebar manfaatnya kepada orang lain yang mengikutinya (Fadail al-Qur’an, 1/126) melalui mempelajari al-Quran dan mengajarkannya kepada orang lain.

Ibn Hajar al-‘Asqalani menjelaskan bahawa orang yang belajar al-Quran mendapat kebaikan walaupun tidak mengajarkannya. Namun, orang yang belajar al-Quran dan kemudian mengajarkannya kepada orang lain akan mendapat kebaikan lebih banyak kerana mendapat manfaat sebagai (guru) yang diikuti (Fath al-Bari, 9/76). 

Hadis ini juga menjelaskan kemuliaan dan kelebihan bagi mereka yang mempelajari al-Quran. Bagi mereka yang telah belajar dan berkemampuan, mereka dituntut mengajarkannya pula kepada orang lain. Belajar al-Quran adalah dengan maksud mempelajari cara bacaan terutama secara musyafahah, memperbetulkan sifat huruf dan makhraj serta bertajwid bagi mencapai bacaan yang tartil.

Mereka yang tidak tahu membaca al-Quran, wajib mempelajarinya walaupun sudah berusia tanpa rasa malu.

Setelah berilmu, dituntut pula menjadi guru al-Quran kerana banyak ganjaran pahala bagi ilmu yang dimanfaatkan, lebih-lebih lagi ilmu al-Quran yang sentiasa dibaca oleh murid. 

Kita juga dituntut bertadabbur dengan merenungi ayat al-Quran, memahami dan mengamalkan isi kandungannya. Jika mempunyai kemampuan, hafaz dan belajarlah ilmu-ilmu al-Quran, antaranya tafsir, asbab al-nuzul, nasikh mansukh dan sebagainya. 

Al-Quran yang diturunkan pada bulan Ramadan adalah kitab hidayah, justeru jangan biarkan sebagai hiasan rak rumah dan masjid sahaja. Bergeraklah kita menjadi umat Muhammad yang terbaik di muka bumi ini dengan mempelajari, membaca dan menghayati al-Quran.

Terdapat hadis lain yang menjelaskan kelebihan ahli al-Quran, antaranya diangkat darjat di sisi Allah SWT serta pemberi syafaat pada hari akhirat kelak. Kelebihan bukan hanya untuknya sahaja malah untuk kedua ibu bapanya.

Daripada Buraidah al-Aslamiy RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
 
وَيُوضَعُ عَلَى رَأْسِهِ تَاجُ الْوَقَارِ  وَيُكْسَى وَالِدَاهُ حُلَّتَيْنِ لَا يُقَوَّمُ لَهُمَا أَهْلُ الدُّنْيَا  فَيَقُولَانِ : بِمَ كُسِينَا هَذِهِ  فَيُقَالُ : بِأَخْذِ وَلَدِكُمَا الْقُرْآنَ  ثُمَّ يُقَالُ لَهُ : اقْرَأْ وَاصْعَدْ فِي دَرَجَةِ الْجَنَّةِ وَغُرَفِهَا  فَهُوَ فِي صُعُودٍ  مَا دَامَ يَقْرَأُ هَذًّا كَانَ أَوْ تَرْتِيلًا

“Akan dipakaikan di kepalanya mahkota dan kedua ibu bapanya akan diberi perhiasan yang tidak boleh dinilai oleh penduduk dunia.

Lalu mereka bertanya: “Mengapa kami diberi perhiasan seperti ini?”. Allah menjawab: “Kerana anak kamu mempelajari al-Quran?”. Kemudian dikatakan kepadanya: “Bacalah dan naiklah ke tingkat syurga dan bilik-biliknya”. Dia akan terus naik selama dia membaca (ayat al-Qur’an)”. [Riwayat Ahmad, 38/42, no. Hadith 22950] al-Hafiz Ibn Hajar mengatakan sanad hadis ini hasan. 

Mari kita jadikan Ramadan kali ini sebagai bulan al-Quran dengan banyak membaca, menghayati dan mengajarnya.

No comments: