"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Thursday, April 4, 2024

Doa Munajat Ramadhan



Ya Allah… Ya Rahman… Ya Rahim…

Dalam dakapan Ramadhan yang suci ini, Dengan rasa rendah diri, kami yang kerdil dan hina ini memohon doa dengan penuh pengharapan kepada Mu ya Allah… semoga Engkau sudi mendengar permintaan kami, sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Mendengar.

Ya Fattahu Alim…

Ajarkanlah kami yang lemah ini untuk melihat jalan keluar dari semua masalah yang membelenggu kami. Bukakanlah hijab kepada kami yang tak mampu melihat setiap kebaikan pada kejadian dan takdir Mu. Ya Allah, takdirkanlah yang baik-baik untuk diri kami, Janganlah Kau menguji kami pada apa yang tidak mampu kami tangani. Bukakanlah pintu-pintu rahmat Mu untuk kami ya Allah…

Ya Allah Ya Rabbul Jalil….

Sejahterakanlah untuk kami dengan kesihatan yang baik supaya dengannya kami dapat beribadah kepada Mu. Ya Allah, ampunkanlah segala dosa kami, kerana kami terlalu banyak dosa kepada Mu ya Allah…

Kami lupa akan Engkau ketika sihat, kami ingat pada Mu bila ditimpa sakit. Kami lupa kepada Mu ketika senang, kami ingat pada Mu bila datang kesusahan. Kami lupa kepada Mu disaat kami gembira, Kami ingat kepada Mu ketika sedih dan kecewa. Kami habiskan usia muda dengan keseronokan dunia, kami mula mengingati Mu ketika usia sudah tua.

Justeru itu ya Allah, ampunilah semua dosa kami. Berilah kekuatan kepada kami untuk melawan hawa nafsu dan dunia yang sentiasa melalaikan kami daripada mengingati Mu ya Allah…

Ya Allah… Ya Rahman.. Ya Rahim…

Ampunkanlah dosa kedua ibubapa kami.

Setiap titik susu ibu yang mengalir dalam diri kami, Kau gantilah dengan kebajikan untuknya yang boleh membawanya ke syurga Mu ya Allah… ya Rahman… Pada setiap keringat yang mengalir pada tubuh ayah kami dalam mencari rezeki kepada keluarga kami, Kau gantikanlah dengan keampunan yang membawa ke syurga Mu ya Allah. Sesungguhnya pengorbanan mereka tidak akan mampu kami membalasnya. Bahkan terkadang mereka hidup dalam kesusahan dan kesempitan, sedangkan kami berada dalam kesenangan dan kemewahan.

Justeru itu kurniakanlah kepada kedua ibubapa kami tempat yang istimewa di syurga Mu  ya Allah…..

Ya Allah….

Kami juga memohon ampun untuk guru-guru kami, kaum kerabat kami dan sahabat-sahabat kami yang terlebih dahulu pergi meninggalkan kami ke alam barzakh. Golongkanlah mereka dalam orang-orang yang Kau redhai. Apabila tiba pula giliran kami menuju ke alam barzakh Mu, maka Kau ambillah kami dalam keadaan yang baik-baik, keadaan husnul khotimah, dalam keampunan dan rahmat Mu ya Allah…

Ya Allah Ya Aziz…

Kurniakanlah kepada kami jiwa yang tenang dan tenteram. Hiasilah hati kami dengan sifat syukur, redha, sabar, ikhlas, amanah dan bertanggungjawab. Kau jauhkanlah daripada kami sifat ujub, sum’ah, riak, takabbur, fitnah, mengadu domba, sangka buruk dan khianat.

Ya Rashid… Ya Rahman… Ya Rahim..

Jika ada di kalangan kami mereka yang diuji dengan kesusahan, maka Kau bantulah mereka, permudahkanlah urusan mereka. Jika ada di kalangan kami mereka yang bersedih hati, berikanlah ketenangan dan jalan keluar kepada mereka. Jika ada di kalangan kami sedang berhajat dengan keperluannya, maka tunaikanlah hajat mereka dan cukupkanlah keperluan mereka. Jika ada di kalangan kami mereka yang diuji dengan sakit, maka Kau sembuhkanlah mereka ya Allah agar mereka dapat beribadah bersama kami. Jika ada di kalangan kami mereka yang derhaka kepada ibubapa atau terkurang dalam melayani mereka, maka Kau ampunilah mereka. Jadikanlah kami anak-anak yang taat dan berbakti kepada ibubapa. Sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Mendengar dan Maha Mengasihani.

Ya Allah Ya Malikal Mulk… Ya Razzak.. Ya Fattahu Ya Alim…

Kurniakan kepada kami rezeki yang halal lagi diberkati yang dengannya kami semakin dekat dengan Mu. Sebaliknya, janganlah Kau jadikan kami daripada golongan yang lupa diri setelah mendapat kurniaan Mu.

Ya Allah….

Bantulah kami dalam menjalankan urusan agama kami. Elokkanlah urusan dunia kami, yang padanya tempat kami mencari kehidupan. Elokkanlah urusan akhirat kami, yang padanya tempat kami akan kembali untuk selama-lamanya. Jadikanlah kehidupan kami ini sebagai tambahan segala kebaikan kepada kami dan jadikanlah kematian sebagai ketenangan kepada kami dari segala kejahatan. Sesungguhnya kami ingin kembali kepada Mu dengan jiwa yang tenang dan tenteram.

Ya Allah ya Zal Jalali Wal Ikram…

Janganlah Kau jadikan Ramadhan ini sebagai yang terakhir buat kami, temukanlah kami dengan Ramadhan yang akan datang.

Tapi, andai inilah Ramadhan terakhir buat kami, jadikankanlah puasa kami sebagai puasa yang diterima lagi dirahmati. Jadikanlah Ramadhan ini paling bererti, penuh dengan cahaya iman, menerangi kegelapan hati kami menuju keredhaan serta kasih sayang Mu Ya Allah.

Jadikanlah Ramadhan ini sebagai penghapus dosa-dosa kami. Ya Allah, temukanlah kami dengan Lailatul Qadar. Pilihlah kami dikalangan hamba Mu yang dapat beramal di malam Al Qadr. Ya Allah, terimalah amalan kami. Terimalah taubat kami. Ampunkanlah segala dosa kami. Amankanlah kehidupan kami di sana nanti yang kekal abadi.

Kurniakanlah kepada kami syurga Mu yang maha luas nikmatnya.

Aamiin Aamiin Aamiin Ya Robbal alamin

No comments: