"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Tuesday, September 17, 2019

☆Tadabbur Kalamullah 16 Muharram 1441H☆



یَـٰۤأَیُّهَا ٱلنَّبِیُّ حَرِّضِ ٱلۡمُؤۡمِنِینَ عَلَى ٱلۡقِتَالِۚ إِن یَكُن مِّنكُمۡ عِشۡرُونَ صَـٰبِرُونَ یَغۡلِبُوا۟ مِا۟ئَتَیۡنِۚ وَإِن یَكُن مِّنكُم مِّا۟ئَةࣱ یَغۡلِبُوۤا۟ أَلۡفࣰا مِّنَ ٱلَّذِینَ كَفَرُوا۟ بِأَنَّهُمۡ قَوۡمࣱ لَّا یَفۡقَهُونَ

"Wahai Nabi, kobarkanlah semangat orang-orang yang beriman itu untuk berperang. Jika ada di antara kamu dua puluh yang sabar, nescaya mereka dapat menewaskan dua ratus orang (dari pihak musuh yang kafir itu); dan jika ada di antara kamu seratus orang, nescaya mereka dapat menewaskan seribu orang dari golongan yang kafir, disebabkan mereka (yang kafir itu) orang-orang yang tidak mengerti" [Surah al-Anfal 65]

#Sabar adalah seni dalam berjuang dan berjihad. Ini kerana perjuangan memerlukan waktu dan tempoh yang panjang. Tempoh yang panjang untuk mencapai kemenangan itu menjadi salah satu ujian dalam menentukan tingkatan kesabaran dalam perjuangan. Namun dengan kesabaran akan wujud kenikmatan dan kepuasan ditengah-tengah kelelahan dan kepenatan berjuang. Ini akan menjadikan para pejuang yang sabar sentiasa bersemangat, kental dan tidak mengenal erti putus asa. Sabda Nabi saw:

وَاعْلَمْ أَنَّ النَّصْرَ مَعَ الصَّبْرِ، وَأَنَّ الْفَرَجَ مَعَ الْكَرْبِ، وَأَنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا "

"Ketahuilah bahawasanya kemenangan itu bersama kesabaran, dan jalan keluar itu bersama kesulitan, dan bersama kesulitan itu ada kemudahan" (HR at-Tirmizi)

#Dalam ayat di atas, Allah mengatakan bahawa dengan sikap sabar yang disertai tawakkal kepada Allah swt, para pejuang mampu mengalahkan musuh yang ramai dan dapat menghapuskan berbagai kejahatan orang-orang kafir. Ini kerana Allah akan sentiasa bersama pejuang-pejuang yang sabar.

إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ

"Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar" [Surah al-Baqarah 153]

#Di akhir zaman, perjuangan untuk mendaulatkan Islam akan sentiasa dimusuhi dan dihalang dengan pelbagai cara oleh musuh-musuh Islam. Oleh yang demikian, kesabaran tersangat diperlukan dalam jiwa para pejuang agar kekal istiqamah di atas jalan Islam sehingga ke titisan nyawa yang terakhir. Ketahuilah bahawa perjuangan mendaulatkan Islam di akhir zaman umpama menggenggam bara api. Sabda Rasulullah saw:

يَأْتِيْ عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ الصَّابِرُ فِيْهِم عَلَى دِيْنِهِ كَالقَابِضِ عَلَى الجَمْرِ

"Akan datang kepada manusia satu zaman di mana orang yang sabar daripada kalangan manusia yang berpegang dengan agamanya seperti seorang yang menggenggam bara api” (HR at-Tirmizi)

#Telah berkata al-Qari’: "Tidak mungkin seseorang itu boleh memegang atau menggenggam bara api melainkan ia memerlukan kesabaran yang tinggi dan perlu menanggung kesusahannya. Untuk itu, tidak dapat digambarkan pada waktu itu apabila seseorang itu ingin menjaga agamanya dan juga cahaya keimanannya kecuali dengan kesabaran yang tinggi” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi)

#Sentiasalah kita berdoa agar dikurniakan kesabaran dalam perjuangan:

رَبَّنَاۤ أَفۡرِغۡ عَلَیۡنَا صَبۡرࣰا وَتَوَفَّنَا مُسۡلِمِینَ

"Wahai Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami, dan matikanlah kami dalam keadaan Islam (berserah bulat-bulat kepadaMu)" [Surah al-A'raf 126]

♡Semoga Allah mengurniakan kita kesabaran dalam beramal, berjuang, berjihad dan dalam menghadapi berbagai ujian. Aamiiin♡


No comments: