"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Thursday, October 24, 2019

☆Tadabbur Kalamullah 19 Safar 1441H☆



ﻭَﻧَﺒْﻠُﻮﻛُﻢ ﺑِﺎﻟﺸَّﺮِّ ﻭَﺍﻟْﺨَﻴْﺮِ ﻓِﺘْﻨَﺔً ﻭَﺇِﻟَﻴْﻨَﺎ ﺗُﺮْﺟَﻌُﻮﻥَ

“Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya), dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan” [Surah al-Anbiya’ 35]

#Pujian adalah ujian (fitnah). Adakalanya menjadi ujian kebaikan, adakalanya menjadi ujian keburukan. Ini kerana ketika seseorang itu dipuji, boleh jadi ia akan merasa sombong dan merasa takjub pada diri sendiri, bahkan akan menyebabkan lupa bahawa semua nikmat itu adalah dari Allah swt. Sebahagiannya juga merasa hebat dan sombong serta lupa bersyukur kepada Allah. Kagum terhadap diri sendiri merupakan suatu sifat yang dapat membinasakan.

#Daripada Ibrahim at-Taimi dari ayahnya, ia berkata: “Kami duduk bersama Sayidina Umar bin Khattab r.a., lalu ada seorang lelaki memuji orang lain yang berada di hadapannya. Sayidina Umar lalu berkata:

عقرت الرجل، عقرك الله

“Engkau telah menyembelih orang itu, semoga Allah menyembelihmu".

#Daripada Sayidina Abu Bakrah r.a bahawa seorang lelaki telah memuji seorang lelaki yang lain di sisi Nabi saw. Lalu Nabi bersabda:

 وَيْحَكَ قَطَعْتَ عُنُقَ صَاحِبِكَ قَطَعْتَ عُنُقَ صَاحِبِكَ مِرَارًا إِذَا كَانَ أَحَدُكُمْ مَادِحًا صَاحِبَهُ لاَ مَحَالَةَ فَلْيَقُلْ أَحْسِبُ فُلاَنًا وَاللَّهُ حَسِيبُهُ وَلاَ أُزَكِّي عَلَى اللَّهِ أَحَدًا

"Celaka kamu. Kamu telah memotong leher sahabatmu, kamu telah memtong leher sahabat kamu. Sekiranya salah seorang daripada kamu semua ingin memuji sahabatnya sekalipun, hendaklah dia mengucapkan: “Aku menyangka fulan sedemikian dan Allah swt lah yang sebenar mengetahui keadaannya dan aku sama sekali tidak memuji seseorang pun mengatasi Allah swt" (HR Muslim)

#Daripada Abu Ma’mar, ia berkata: “Ada seorang lelaki berdiri memuji salah seorang gabenor. Miqdad ibnul Aswad lalu menyiramkan pasir ke wajahnya dan berkata:

أمرنا رسول الله صلى الله عليه وسلم أن نحثي في وجوه المداحين التراب

“Kami diperintahkan oleh Rasulullah saw untuk menyiramkan pasir ke wajah orang-orang yang memuji" (HR al-Bukhari dan Muslim)

#Jangan sesekali terpesona dan tertipu dengan pujian. Berkata Imam Ibnu Athaillah as-Sakandari rahimahullah: "Seorang Mukmin apabila dipuji nescaya dia akan malu kepada Allah dek kerana pujian dengan ciri dan sifat yang dia sendiri tahu bahawa sifat itu tidak ada pada dirinya".

#Diriwayatkan bahawa Imam Abu Hanifah rahimahullah pernah dipuji bahawa dia sentiasa menghidupkan malam dengan ibadah dan amal soleh. Sejak hari itu, Imam Abu Hanifah tidak pernah meninggalkan qiyamulail dan sentiasa memperbanyakkan ibadah dan amal soleh. Hal ini dilakukan bukan kerana pujian orang ramai itu tetapi kerana malu kepada Allah dan juga membenarkan sangka baik orang lain terhadapnya.

#Namun begitu, agama masih membenarkan kita memuji seseorang sebagai jika benar ada padanya kebaikan, juga sebagai motivasi untuknya dan jika bebas daripada fitnah. Hal ini kerana Nabi saw pernah memuji para sahabat dengan sabdanya: “Lelaki terbaik adalah Abu Bakar, Umar, Abu Ubaidah, Usaid bin Hudhair, Tsabit bin Qais bin Syammas, Mu’az bin Amru ibnul Jamuh dan Mu’az bin Jabal.” Kemudian baginda mengatakan: "Lelaki terburuk adalah fulan dan fulan. Baginda menyebut tujuh nama" (HR as-Sahihain dan at-Tirmizi)

#Hendaklah membaca doa ini ketika dipuji agar tidak tertipu dengan pujian tersebut yang boleh menjadikan kita ujub dan sombong:

ﺍَﻟﻠَّﻬُﻢَّ ﻻَ ﺗُﺆَﺍﺧِﺬْﻧِﻲْ ﺑِﻤَﺎ ﻳَﻘُﻮْﻟُﻮْﻥَ، ﻭَﺍﻏْﻔِﺮْﻟِﻲْ ﻣَﺎ ﻻَ ﻳَﻌْﻠَﻤُﻮْﻥَ ‏ ﻭَﺍﺟْﻌَﻠْﻨِﻲْ ﺧَﻴْﺮًﺍ ﻣِﻤَّﺎ ﻳَﻈُﻨُّﻮْﻥَ

“Ya Allah, semoga Engkau tidak menghukumku dengan apa yang mereka katakan. Ampunilah aku atas apa yang tidak mereka ketahui. Dan jadikanlah aku lebih baik daripada yang mereka sangkakan" (HR al-Bukhari)

♡Ingatlah bahawa pujian adalah fitnah (ujian) untuk kita. Jangan tertipu, terpedaya dan terpesona dengan pujian kerana ia boleh membinasakan kita. Pujian seringkali menipu. Jangan gila pujian!!♡


No comments: