"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Sunday, September 29, 2019

☆Tadabbur Kalamullah 29 Muharram 1441H☆


لَـٰكِنِ ٱلَّذِینَ ٱتَّقَوۡا۟ رَبَّهُمۡ لَهُمۡ غُرَفࣱ مِّن فَوۡقِهَا غُرَفࣱ مَّبۡنِیَّةࣱ تَجۡرِی مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَـٰرُۖ وَعۡدَ ٱللَّهِ لَا یُخۡلِفُ ٱللَّهُ ٱلۡمِیعَادَ

"Tetapi (sebaliknya) orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka (dengan mengerjakan suruhanNya dan menjauhi laranganNya), dibina untuk mereka (di dalam Syurga) mahligai-mahligai yang tinggi bertingkat-tingkat, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Demikianlah janji yang ditetapkan Allah; Allah tidak sekali-kali akan mengubah janji-janjiNya" [Surah az-Zumar 20]

#Allah swt menjanjikan kesenangan, kemewahan dan kebahagiaan yang hakiki di Syurga kelak kepada orang-orang yang beriman dan bertaqwa. Mereka akan memperolehi nikmat yang tiada tolak bandingnya. Mereka akan hidup dengan penuh kegembiraan, keseronokan, keriangan, kepuasan dan penuh kerehatan. Wajah mereka berseri-seri kegembiraan.

وُجُوهࣱ یَوۡمَىِٕذࣲ نَّاعِمَةࣱ * لِّسَعۡیِهَا رَاضِیَةࣱ * فِی جَنَّةٍ عَالِیَةࣲ

"(Sebaliknya) muka (orang-orang yang beriman) pada hari itu berseri-seri. Berpuas hati dengan balasan amal usahanya (yang baik yang telah dikerjakannya di dunia). (Mereka tinggal menetap) di dalam Syurga tertinggi (tempat kedudukannya darjatnya)" [Surah al-Ghashiyah 8-10]

#Sabda Nabi saw dalam hadis Qudsi:

أَعْدَدْتُ لِعِبَادِيَ الصَّالِحِينَ مَا لاَ عَيْنٌ رَأَتْ وَلاَ أُذُنٌ سَمِعَتْ وَلاَ خَطَرَ عَلَى قَلْبِ بَشَرٍ

"Aku telah sediakan buat hamba-hambaKu yang soleh syurga yang tidak ada mata pernah melihatnya, tidak ada telinga yang pernah mendengarnya dan tidak terlintas dalam jantung hati manusia" (HR al-Bukhari)

#Mereka (ahli syurga) akan memperolehi segala apa sahaja kebaikan yang diinginkan. Semuanya akan dikurniakan oleh Allah swt sebagai balasan atas ketaatan dan ketaqwaan mereka didunia dahulu.

#Dikisahkan oleh Imam Ibnu Jarir dalam Tafsir at-Thabari, bahawa seorang arab badwi berkata kepada Rasulullah saw:

يا رسول الله إني أحبّ الإبلَ فهل في الجنة إبل فقال يا أعرابيّ إنْ يُدْخِلْكَ اللهُ الجَنَّةَ إنْ شاءَ اللهُ فَفِيها ما اشْتَهَتْ نَفْسُكَ وَلَذَّتْ عَيْنَاك

"Wahai Rasulullah sesungguhnya aku mencintai unta. Adakah di syurga nanti ada unta?’’. Lalu baginda saw menjawab: ‘’Wahai Arab Badwi, sekiranya Allah memasukkan kamu ke dalam syurga InsyaAllah, maka di dalamnya terdapat apa sahaja yang kamu kehendaki dan melazatkan pemandangan matamu”.

#Oleh itu, lakukanlah segala apa yang diperintahkan oleh Allah kepada kita dan jangan sesekali menderhaka kepadaNya. Tingkatkan amal dan taqwa sepanjang kehidupan didunia ini. Sayidina Muaz bin Jabal r.a bertanya Rasulullah saw:

 ‘’Wahai Rasulullah, beritahulah kepadaku tentang amalan yang boleh memasukkan aku ke dalam syurga dan menjauhkan aku dari neraka?’’ Maka kata Rasulullah saw: ‘’Sesungguhnya kamu telah bertanyakan kepadaku tentang suatu perkara yang besar dan sesungguhnya ia adalah mudah ke atas mereka yang Allah permudahkan. (Hendaklah) kamu beribadah kepada Allah dan jangan mensyirikkanNya, dirikanlah solat, tunaikanlah zakat, berpuasalah dalam bulan Ramadhan dan kerjakanlah ibadah haji’’ (HR at-Tirmizi)

♡Jom lakukan amal ketaatan dan perintah Allah dengan seikhlas hati demi kerana Allah. Semoga Allah swt memilih kita untuk menjadi penghuni syurgaNya. Aamiiin♡


No comments: