"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Friday, April 15, 2011

Rempah perniagaan keluarga Noraini


Noraini Nasir (kiri) memerhatikan adunan rempah mi bandung
di rumahnya di Batu Pahat, Johor.


Berada dalam keluarga yang berniaga sate secara kecil-kecilan, menjadikan Noraini Nasir, 58, tidak kekok menjalankan perniagaan.

Pengalaman membantu ibunya berniaga soto, sate dan mi bandung dengan menyediakan ramuan rempah akhirnya menjadikan Noraini mahir dan seterusnya mampu menghasilkan rempah soto dan mi bandungnya sendiri.

Hasil titik peluh dan ilmu yang dipelajari daripada keluarga, khususnya ibu, Noraini kemudian berjinak-jinak berusaha memulakan perniagaan sendiri.

Namun, ketika itu pasaran Noraini hanya terhad kepada saudara-mara dan sahabat-handai yang tinggal berhampiran.

"Ketika itu saya mula menghasilkan satu kilogram (kg) rempah.

"Kemudian meningkat kepada tiga kg, lima kg hinggalah sekarang lebih 15 kg sehari," katanya semasa ditemui di rumahnya di Kampung Sate, Batu Pahat, Johor baru-baru ini bersama-sama rombongan AgroBank.

Selepas mendirikan rumah tangga, semangat Noraini untuk meningkatkan perniagaannya tidak luntur, malah sentiasa sentiasa berusaha mencari jalan meningkatkan ekonomi keluarga.

Noraini yang tidak betah tinggal diam di rumah mula mengikuti pelbagai kursus seperti jahitan dan masakan.

Lebih meminati masakan, Noraini memilih bidang jahitan sebagai mengisi masa lapang dengan menjahit baju ahli keluarga serta kelengkapan rumah lain.

"Selepas berumah tangga, saya memilih untuk mengeluarkan rempah soto dan mi bandung yang pada mulanya untuk pasaran saudara-mara, sahabat-handai dan jiran," katanya yang banyak dibantu oleh anak ketiganya Nurulhuda Ahmad.

Noraini berkata, sehingga kini anak-anaknya banyak membantu dalam operasi mengeluarkan rempah.

"Kini selain anak-anak membantu, terdapat tiga orang pekerja sambilan bagi melicinkan operas pengeluaran rempah," katanya yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik.

Ketika permintaan rempah soto dan mi bandung keluarannya semakin meningkat, Noraini menjengah Bank
Pertanian Malaysia (kini dikenali dengan AgroBank) bagi mendapatkan pinjaman bagi menambahkan modal.

Kali pertama pada tahun 2003, beliau mendapat pinjaman menerusi skim Skim Kredit Mikro (SKM) berjumlah RM10,000.

Apabila perniagaan semakin meningkat, Noraini memohon pinjaman tiga kali lagi pada tahun 2006, 2007 dan 2010.

Pada kali kedua, Noraini mendapat pinjaman sebanyak RM10,000 menerusi skim Modal Usahawan Tani (MUST) Normal.

Pada kali ketiga, sekali lagi beliau mendapat pinjaman RM20,000 menerusi skim MUST Normal.

Manakala pada tahun lepas dia menerusi skim Micro ESP-i sebanyak RM20,000 untuk membesarkan lagi perniagaannya bagi membeli mesin dan pelbagai peralatan lain.

Buat masa sekarang, Noraini boleh mengeluarkan sehingga 3,000 hingga 4,000 bungkus rempah soto dan mi bandung sebulan.

Bercerita mengenai pasaran, Noraini berkata, biasanya pembeli akan datang ke rumah mendapatkan bekalan.

"Sehingga kini, rempah soto dan mi bandung Nurain boleh didapati di kedai runcit, pasar serta pasar mini sekitar Batu Pahat dan Muar.

"Selain itu pengusaha kantin sekolah dan restoran di sekitar Batu Pahat dan Muar juga mendapat bekalan rempah dari saya," katanya.

Menyentuh mengenai bahan mentah yang digunakan yang menjadikannya lain daripada yang lain, Noraini berkata, dia sentiasa memastikan mutu bahan mentah terutama ketumbar yang digunakan.

"Saya sentiasa menggunakan rempah seperti ketumbar, jintan manis dan jintan putih yang bermutu dan tulen bagi memastikan rasanya," katanya.

Dia juga sentiasa ingat pesanan arwah suaminya agar sentiasa memastikan bahan yang digunakan bermutu tinggi bagi kepuasan pelanggan.

Noraini menambah, beliau mempunyai impian membina kilang memproses rempah soto dan mi bandung serta meluaskan lagi pasaran hingga ke seluruh negara malah ke luar negara.

Menyentuh mengenai persaingan, Noraini berkata, dia sentiasa mendapat maklum balas yang baik daripada pelanggan.

"Ini dapat dicapai dengan menjaga kualiti dan mendapatkan bahan mentah terbaik daripada pembekal," katanya.

Noraini berharap usahawan yang baru berjinak-jinak dengan perniagaan sepertinya mulakan dengan modal yang kecil dan tidak lekas putus asa.

"Saya mulakan usaha ini dengan modal sendiri yang sangat kecil sebanyak RM200 dan saya bersyukur dengan apa yang saya ada sekarang," katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0411&pub=Utusan_Malaysia&sec=Agrobiz&pg=ag_02.htm

No comments: