"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Monday, June 9, 2008

PD MUDAH SELENGGARA

PD mudah selenggara

Oleh Hafizah Iszahanid

Dialisis peritoneal boleh dilakukan di mana-mana ROHANA Abu Kassim berusia 32 tahun ketika hamil anak ketiga. Walaupun kehamilannya biasa tetapi keadaan dirinya sedikit luar biasa. Waktu itu, bidan kerajaan yang membuat pemeriksaan kandungannya memberitahu bahawa Rohana berhadapan dengan masalah kencing kotor manakala air kencingnya ada darah.
Berdasarkan simptom itu, Rohana mungkin berhadapan dengan masalah buah pinggang, tetapi untuk mendapatkan kepastian, Rohana dinasihatkan menjalani pemeriksaan. Kemudian, ketika kandungannya berusia lapan bulan, doktor terpaksa meminta Rohana melahirkan bayi lebih awal kerana risiko kerosakan buah pinggang yang tinggi jika bayi itu dilahirkan secara normal. "Pada mulanya doktor kata buah pinggang saya mungkin besar sebelah, tetapi selepas pemeriksaan dilakukan, saya disahkan alami penyakit buah pinggang," katanya.
Rohana yang kini berusia 58 tahun tidak dapat membayangkan sebenar mana masalah yang dihadapinya itu. Apa yang dia tahu, dia perlu makan ubat seperti yang ditetapkan doktor. Justeru, selama 23 tahun, Rohana tidak pernah sekali pun ingkar. "Masa dapat tahu sakit buah pinggang, ingatkan macam sakit lain, lepas makan ubat sembuhlah. Bagaimanapun, selepas makan ubat dalam tempoh yang lama, penyakit itu tidak berubah. Akhir sekali doktor meminta saya didialisis," katanya. Berbanding dengan pesakit buah pinggang lain, Rohana masih dianggap bertuah kerana komplikasi buah pinggangnya dapat dilengahkan. Hanya selepas 23 tahun, barulah Rohana berhadapan dengan masalah buah pinggang tahap akhir (ESRF) yang memerlukan dialisis. "Doktor memberitahu bahawa darah saya sudah mula kotor dan memerlukan dialisis," katanya yang sudah tiga tahun bersara sebagai Pengawal Ehwal Semasa di Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Oleh kerana Rohana patuh pada arahan doktor dengan makan ubat pada waktu ditetapkan dan mengamalkan diet yang sepatutnya diambil pesakit ginjal, tempoh untuk Rohana memerlukan dialisis agak lewat. Berbanding pesakit buah pinggang yang didiagnos pada peringkat akhir, kadang kala keperluan untuk dialisis hanya dalam tempoh setahun selepas didiagnos. Rohana berkata, selama 23 tahun dia kerap kencing pada waktu malam, lebih daripada dua kali, selain mengalami masalah sembab air pada kaki. Tiga tahun lalu, Rohana menjalani hemodialisis (HD), tetapi sejak tiga bulan lalu, Rohana kerap terasa pening dan mual sepanjang sesi. "Kekerapan rasa mual dan pening membuatkan saya fikir ia mungkin merosakkan badan saya. Mungkin ada orang yang sesuai dengan HD tetapi saya tidak," katanya. Rohana menjalani hemodialisis tiga kali seminggu di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Satu sesi HD mengambil masa empat jam. Jika bertugas di luar Kuala Lumpur, Rohana akan melakukan dialisis di hospital berdekatan. Tiga bulan selepas melakukan HD, Rohana diperkenalkan dengan dialisis peritoneal dialisis (PD). Berbanding HD, PD memberinya kebebasan untuk bergerak kerana ia boleh dilakukan di rumah. PD juga membolehkan dia minum air lebih daripada biasa. Malah, kerana tugas yang membawa Rohana kerap keluar dari Kuala Lumpur, PD mudah diselenggarakan. "Dialisis tidak menyakitkan, ia memudahkan saya. Bagaimanapun, pembedahan untuk menanam PD itu memang sakit. Begitupun, saya tidak menganggap penyakit buah pinggang yang dialami ini satu beban, sebaliknya saya sentiasa berfikiran positif. Saya bersyukur masih dipanjangkan usia malah ini mungkin ujian Tuhan sebab kita ini manusia tidak lepas daripada dosa," katanya. Rohana berkata, apabila memutuskan untuk menggunakan PD, petugas daripada wad nefrologi HKL datang ke rumahnya bagi memastikan kebersihan dan kesesuaian menggunakan PD di rumah. Penggunaan PD memang memerlukan keadaan yang sangat bersih bagi mengelakkan jangkitan. "Saya diajar oleh jururawat dan doktor, masa buat PD saya perlu jaga kesihatan dan kebersihan. Basuh tangan saja ambil masa lima minit dan waktu buat PD mesti tutup mulut," katanya. Dalam sehari, Rohana perlu membuat empat kali dialisis dengan PD yang mengambil masa antara 28 hingga 30 minit. Satu sesi PD bertahan empat jam, sebelum Rohana perlu menjalani dialisis untuk 28 minit berikutnya. "Saya suka PD kerana mudah untuk bergerak. Dengan PD, boleh makan sayur hijau dan minum air lebih sikit. Dulu, mula-mula tengok PD, saya terkejut juga, banyaknya wayar nak pasang ini dan tarik ini, tapi alah bisa tegal biasa. "Kalau pergi bercuti, saya masih boleh buat dialisis di hotel. Wayarnya saya sangkut di penyangkut baju, perlu kreatif sikit," katanya. Sudah namanya sakit, Rohana masih perlu berhati-hati. Walaupun masih boleh mengemas dan memasak, Rohana tidak boleh mengangkat barang yang berat. Rohana masih boleh memandu sendirian berulang alik dari ibu kota ke Ipoh, lokasi suaminya bertugas sekarang. Rohana sebelum ini pernah ditawarkan untuk membuat pemindahan organ di China, tetapi selepas memikirkan risiko kesihatan dan prosedur pemindahan buah pinggang di sana yang tidak setanding di Malaysia, Rohana menolaknya. "Berbanding di China, peraturan pemindahan organ di Malaysia sangat ketat. Pemeriksaan kesihatan juga dibuat kerana tidak mahu komplikasi kemudian hari. Saya bimbang kalau saya main buat saja, kesan selepas itu dan rawatan susulannya ditakuti lebih menjejaskan kesihatan," katanya. Melihatkan keceriaan dan kecergasan Rohana, mungkin tiada yang terfikir dia berhadapan dengan masalah buah pinggang. Katanya, dia tidak mahu murung dan berfikiran negatif kerana semua itu akan lebih menjejaskan kesihatan. Paling penting, dia mempunyai suami, anak dan cucu yang sering menyokongnya. InfoMasalah buah pinggang dan PD
Jumlah pesakit yang memerlukan dialisis meningkat secara dramatik dalam tempoh 20 tahun di Malaysia.
Lebih 2,500 orang berhadapan dengan ESRF setiap tahun. Jumlah itu meningkat berbanding 43 orang pada 1980 dan meningkat kepada 3,152 pada 2006.
Di Malaysia, 90 peratus pesakit buah pinggang memilih HD manakala 10 peratus memilih PD.
PD membantu mengurangkan tekanan darah.
PD membantu menurunkan keperluan ubat anti hipertensi.
Mengurangkan beban kerja kardiak.

No comments: