"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Saturday, January 15, 2011

Lebih 70 peratus alami kerosakan gigi


BAWA anak bertemu pakar pergigian dari kecil untuk membiasakannya.


JUFFREY Alvin Choo baru berusia lima tahun. Pada usia semuda itu, dia sudah boleh membaca, menulis dan menyelesaikan pengiraan mudah.

Kanak-kanak pintar itu juga pandai bergaul dan mudah menyesuaikan diri di sekolah. Wajahnya comel, hasil perkahwinan campur bapa berbangsa Cina, Johan Ariff Choo dan ibu, Wan Salmiza Wan Salim menjadikan sesiapa yang melihatnya 'geram' dan ingin mencubit pipi anak kecil tersebut.

Namun bila dia tersenyum sehingga menampakkan gigi, ada yang mungkin mula mentertawakannya.

"Eeeee...gigi rongak. Mana gigi adik?" tanya penulis.

"Dah simpan sebab dah hitam (merujuk kepada giginya yang dicabut sendiri dan disimpan rapi)," jawabnya sambil tersenyum menampakkan beberapa ruang kosong pada rahang atasnya.

Menurut ibunya, Juffrey sukar memberus gigi sejak kecil lagi. Setiap kali dicuba, dia akan mengemam mulutnya dan pelbagai cara sudah dicuba namun tidak berhasil.

Disebabkan gemar mengunyah gula-gula dan makanan ringan membuatkan gigi kanak-kanak comel itu cepat rosak.

Penulis percaya, pasti ramai ibu-ibu di luar sana berdepan dengan masalah ini. Walaupun kerosakan gigi di kalangan kanak-kanak bukanlah satu masalah kesihatan yang serius dan ada pula yang menganggap kanak-kanak rongak sebagai comel, namun tentu lebih manis andainya mereka memiliki sebaris gigi kecil yang putih dan bersih bukan?

Kesihatan minggu ini mengupas kenapa masalah ini berlaku dan bagaimana cara mengatasinya?

Kurang kesedaran

Pakar Pergigian dan Ortodontik Kanak-kanak Prof. Dr. Nik Noriah Nik Hussien berkata, merujuk kepada Kajian Epidemiologi Kesihatan Pergigian Kebangsaan (NOSHH) pada tahun 2007 di kalangan kanak-kanak Malaysia berusia enam tahun, seramai 74.5 peratus mengalami masalah gigi.

Kawasan Kuala Lumpur katanya, mencatatkan rekod terbaik dengan 55.8 peratus kanak-kanak mengalami masalah gigi dan paling tinggi adalah Kelantan di mana 95.6 peratus kanak-kanak di situ mengalami kerosakan pada gigi susu mereka. Manakala bagi gigi kekal pula, sebanyak 10 peratus kanak-kanak mempunyai karies gigi

Dua tahun sebelumnya iaitu 2005, kajian yang sama mendapati seramai 76.2 peratus kanak-kanak berumur lima tahun mengalami masalah karies gigi atau gigi berlubang.

Kajian juga mendapati secara purata setiap seorang kanak-kanak mempunyai enam batang gigi berlubang.
Walaupun terdapat sedikit penurunan, keadaan tersebut masih dikira serius kerana Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyasarkan 50 peratus kanak-kanak seluruh dunia patut bebas daripada masalah gigi dan setakat ini hanya 25.5 peratus kanak-kanak Malaysia berkeadaan tersebut.

"Ini menunjukkan tahap kebersihan dan kesihatan gigi kanak-kanak di Malaysia masih rendah berbanding negara Barat," kata profesor dari Jabatan Pergigian dan Ortodontik Kanak-Kanak Universiti Malaya itu.

Semua itu jelasnya berpunca daripada sikap ibu bapa yang kurang mengambil berat terhadap penjagaan gigi anak kerana menganggap ia akan diganti dengan gigi yang baru.

"Perlu diingat, kerosakan teruk gigi susu boleh mengundang pelbagai masalah kepada pertumbuhan semula gigi kekal kelak," katanya.

Sebagai contoh, katanya jika anak mempunyai banyak kaviti pada gigi susu, ia boleh merosakkan gigi kekal yang sebenarnya sudah terdapat di dalam gusi. Kawasan gusi di mana kerosakan gigi susu berlaku boleh dijangkiti kuman yang seterusnya merosakkan gigi kekal yang masih tertanam di dalam gusi.

Selain itu katanya, gigi susu yang tertanggal awal juga mengundang masalah maloklusi (susunan gigi) seperti jongang dan akhirnya menyebabkan kanak-kanak tadi perlu menjalani rawatan pendakap gigi.

"Ini mengundang masalah lain pula kerana merawat susunan gigi dengan pendakap memerlukan masa dan kos yang lebih tinggi," kata beliau.

Gigi susu yang baik kata beliau membantu pertumbuhan gigi kekal yang teratur kerana setiap satunya sudah mempunyai pengganti masing-masing.

Selain daripada itu, masalah gigi juga boleh disebabkan sejarah keluarga. Seandainya ibu bapa mempunyai masalah gigi, maka tidak mustahil anak juga mewarisi keadaan tersebut.

Punca

Dr. Nik Noriah berkata, antara punca kerosakan gigi kanak-kanak adalah karies awal (ECC).

Karies wujud disebabkan penghakisan kronik gigi oleh asid organik yang dihasilkan bakteria di dalam mulut ketika proses fermentasi karbohidrat daripada makanan yang diambil.

Tompokan karies awal tanpa kaviti boleh dihilangkan melalui diet rendah gula dan menjaga kebersihan gigi dengan betul.

Bagaimanapun, bila permukaan gigi mula terhakis dan kaviti berlaku, tiada lagi cara alternatif untuk menahannya.

Walaupun keadaan ini tidak mengundang maut, tetapi kesakitan akibat karies yang tidak dirawat akan membuatkan kanak-kanak tadi berdepan dengan masalah seperti tidak hadir ke sekolah, sukar untuk mengunyah makanan dan bercakap juga menjejaskan aktiviti harian dan tumbesaran mereka.

Menurut definisi kerosakan gigi Drury 1999, keadaan ECC ditafsirkan bila terdapat satu atau lebih kerosakan gigi atau gigi hilang (cabut) pada gigi susu kanak-kanak berusia 71 bulan atau lebih muda.

Karies awal yang teruk kata Dr. Nik Noriah, berlaku pada permukaan licin gigi di kalangan kanak-kanak berusia tiga tahun ke bawah.

Satu atau lebih kerosakan atau masalah berlaku di gigi bahagian depan atas di kalangan kanak-kanak berumur antara tiga hingga lima tahun.

"Tentu ada yang bertanya mengapa bahagian gigi atas lebih cepat bermasalah daripada bawah?" soal beliau.

Menjelaskan lebih lanjut katanya, kehadiran air liur yang banyak pada bahagian rahang bawah dan lidah membantu membersihkan sisa makanan secara semula jadi.

Bukan sahaja makanan, susu juga mengundang pengumpulan karies kerana minuman tersebut mempunyai gula semula jadi di dalamnya.

Masalah katanya menjadi serius apabila ibu bapa membiarkan anak-anak mereka menghisap botol susu untuk tempoh yang lama terutamanya membiarkan botol susu lekap di mulut ketika tertidur.

"Ketika tidur, penghasilan air liur akan terhenti menyebabkan pengumpukan karies berlaku dengan lebih cepat," kata beliau.

Karies gigi merebak dengan cepat selagi kanak-kanak tadi kerap mengambil makanan yang mengandungi gula dan tidak menjaga kebersihan gigi.

Kerana itu penting ibu bapa mengawal pengambilan makanan anak-anak dan memastikan mereka membersihkan gigi dengan betul.

http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_01.htm

No comments: