"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Saturday, January 15, 2011

14 tahun hidup tanpa payu dara


Ranjit Kaur (tengah) bersama pesakit kanser payudara memegang set donut merah jambu dan layang-layang reben merah jambu pada majlis pelancaran kempen Pink Purse dan Be A Pink Angel di J.Co Donut & Coffee Sunway Piramid Bandar Sunway baru-baru ini.


Pada 14 tahun lalu, Ranjit Kaur, menyangkakan dia akan meninggal dunia. Terkejut apabila dia didiagnosis kanser payu dara, berita itu ibarat hukuman maut buat wanita berusia 57 tahun ini. Presiden Pertubuhan Kebajikan Kanser Payu Dara Malaysia (BCWA) ini diserang kanser payu dara pada tahun 1998.

"Ketika diberitahu saya ada kanser itu, saya seperti berputus asa dan takut. Manakan tidak, setahun sebelum itu, bapa saudara saya meninggal dunia akibat kanser. Saya tidak mahu menjadi beban kepada keluarga dan masyarakat hanya kerana kanser.

Lebih-lebih lagi pada masa itu, kesedaran orang ramai terhadap penyakit ini sangat rendah. Saya khuatir akan kehilangan keyakinan diri. Hakikatnya, saya memang tiada motivasi terutama terhadap seksualiti diri. Saya sentiasa terfikir, siapa yang akan menjaga saya ketika sakit dan sebagainya," ujarnya yang telah mengikuti rawatan kimoterapi sebanyak 12 sesi selama sembilan bulan, disusuli rejim radioterapi, pengambilan pil Tamoxifen selama lima tahun dan Femara untuk lima tahun selanjutnya.

Dalam keadaan Ranjit yang lemah, dia dipertemukan dengan seorang pesakit kanser. "Kenapa awak kelihatan sihat dan tidak seperti seorang yang sakit? Bagaimana awak pulih?," persoalan Ranjit ketika pertama kali dipertemukan dengan pesakit yang telah 19 tahun menghidap kanser payu dara itu.

Pesakit itu menjawab, "Kalau awak menjalani rawatan, awak juga akan kelihatan sihat seperti ini,"'

Bersemangat

Sejak itu Ranjit menjadi bersemangat untuk menentang kanser dan meneruskan hidup walaupun dia telah menjalani pembedahan membuang salah satu payu daranya.

Ranjit kemudiannya diajak menyertai BCWA sejak tahun 1998 dan dia mula mengaktifkan diri dalam persatuan itu.

Walaupun Ranjit kini hidup dengan sihat dan normal, dia reda jika sel kanser itu kembali hidup.

Sebagai pesakit kanser, sel kanser boleh datang semula dan menyerang pesakit. Namun wanita ini sudah bersedia. Dia tidak mahu bergantung pada ubat semata-mata tetapi dia mahu menikmati masa berkualiti bersama keluarga dan teman-teman sehingga menghembuskan nafas terakhir.

Begitulah impian Ranjit yang mahu memberi kesedaran yang lebih tentang kanser payu dara kepada masyarakat.

"Tahap kesedaran sekarang sudah semakin pulih tetapi masih ramai yang tidak sedar pada peringkat awal. Ini menyebabkan penyakit ini sudah merebak ke seluruh badan. Bagi saya, bukan sahaja masyarakat luar bandar yang masih belum ada kesedaran tetapi mereka yang berpelajaran turut mempunyai kesedaran yang rendah.

Justeru itu, kami di BCWA mahu memperluaskan kempen kesedaran kanser ini," ujar bekas pelajar bidang Sains Kurang Upaya di Kolej Universiti London yang ditaja sepenuhnya oleh badan amal, Yayasan Rotary.

Dalam pada itu, BCWA sedia memberi sokongan emosi kepada pesakit baru termasuk menghantar ahli yang terlatih ke hospital-hospital untuk memberi latihan kepada penghidap lain.

 "Sebagai pesakit mereka memerlukan sokongan emosi, pendidikan dan bimbingan kepada diri sendiri selain kesedaran kepada orang ramai pengesanan peringkat awal. Antara aktiviti BCWA yang terbaru ialah mengumpul dana menerusi kempen 'Pink Purse' untuk aktiviti MURNI," katanya.

Tambah Ranjit, MURNI merupakan kenderaan berat yang telah diubahsuai, lengkap dengan jururawat bertauliah dan bekas pesakit barah payu dara yang terlatih. Kenderaan ini akan ke luar bandar untuk mengajar masyarakat luar bandar tentang gaya hidup sihat. Selain itu, mereka akan diberi panduan perubatan dan dididik untuk mendapatkan rawatan segera apabila didiagnos kanser payu dara.

Berkongsi pengalamannya bertemu pesakit kanser yang baru didiagnosis, pesakit akan banyak bertanya kepadanya tentang punca dia diagnosis kanser.

Antara soalan popular yang ditanya pesakit ialah apakah dia ada membuat salah, bagaimana gaya hidupnya dan adakah dia salah makan sehingga dia menghidap penyakit kanser.

Dengan nada lembut, Ranjit menjelaskan kepada mereka supaya tidak mempercayai khabar angin berkaitan kanser payu dara sebaliknya meminta nasihat doktor.

"Persoalan-persoalan ini sangat popular ketika saya bertemu dengan pesakit. Mereka takut menjalankan kehidupan normal seperti orang yang sihat. Padahal mereka boleh makan apa sahaja atau bersenam sama seperti orang lain," katanya.

 Dalam pada itu, Ranjit menyeru wanita agar sedar kehadiran penyakit ini. Katanya, kanser ini boleh menyerang mana-mana wanita walaupun ada lelaki yang dapat tetapi peratus besar adalah wanita.

"Kita boleh boleh buat pengesanan awal dan perlu berjumpa doktor setiap tahun untuk melakukan mamogram apabila usia mencecah 40 tahun. Ingat, tanggungjawab anda dalam tangan sendiri," ujarnya mengakhiri perbualan.


http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_03.htm

No comments: