"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Sunday, December 26, 2010

Hayat bersama organ transplan


Penampilan terbaru Muhammad Fikri.


LELAKI yang penulis kenal lima tahun dahulu tampil berbeza hari ini. Wajahnya lebih matang dengan penampilan baru gaya remaja lelaki terkini. Tiada lagi wajah menahan sakit dan gelisah. Segalanya kembali normal dan dia kini bahagia meniti usia remaja bersama keluarga dan teman-teman.
Ditemani ibu tercinta, Fatimah Osman, 44, Muhammad Fikri Nor Azmi, 20 hadir ke majlis Bicara Hati sempena Sambutan Minggu Kesedaran Pendermaan Organ dan Tisu 2010 baru-baru ini.

Sememangnya Fikri cukup dikenali dalam catatan sejarah transplan negara lantaran dia merupakan pesakit jantung pertama di Asia yang menerima jantung mekanikal.
Setelah hampir lima tahun menjalani pemindahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN), Muhammad Fikri kini mampu menjalani kehidupan normal.

Jantung yang diterima daripada penderma bukan Islam itu memberinya peluang untuk menikmati kehidupan seperti insan lain.

Menurut ibunya, Fikri lebih sihat dan bersemangat. Dia kini boleh berlari dan bermain bola keranjang seperti remaja aktif tanpa mengadu rasa sakit.

Namun di sebalik keceriaan Fatimah dan Fikri, mereka risau tentang tahap kesedaran pendermaan organ khususnya di kalangan orang Melayu.

"Apabila Fikri sakit dulu, timbul kegusaran di hati saya kerana takut tiada penderma organ. Saya mahu masyarakat melihat ini isu yang serius dan bersikap terbuka khususnya mereka yang beragama Islam. Saya pernah melalui saat perit ini dan tahu keperluannya masa itu.

''Isu ini tidak perlu dijadikan negatif kerana memberi kehidupan kepada orang lain sesuatu yang mulia," ujarnya yang aktif menyertai aktiviti Pusat Sumber Transplan Nasional.
Dalam pada itu, tidak mahu melihat orang lain yang mungkin memerlukan organ menderita, Fikri dan ibunya menyeru agar orang ramai bersedia menderma organ mereka.

"Yang pergi tetap pergi. Kadang-kadang kita tidak fikir, biarlah mereka yang pergi itu memberi kehidupan kepada orang yang masih hidup. Mereka yang meninggal dunia sebenarnya hanya meninggalkan fizikal tetapi mereka terus hidup dalam jiwa kita.

''Ramai yang kurang terdedah dengan pendermaan organ sehingga akhirnya wujud pelbagai persepsi. Ditambah pula dengan sikap orang Melayu yang tidak suka meluahkan hasratnya walaupun untuk kebaikan. Apabila mereka meninggal dunia, keinginan menderma organ tidak dapat ditunaikan.

''Apabila hasrat itu tidak dibincang dengan keluarga, mereka tidak membenarkan organ si mati didermakan kepada orang lain," kata Fatimah.

Mengimbas peristiwa lima tahun lalu, Fikri menjalani pembedahan pemindahan jantung pada 15 Disember 2005 dan telah melepasi tempoh kritikal setahun.

Walaupun identiti penderma jantung yang diterima Fikri tidak didedahkan, dia sentiasa mendoakan yang terbaik buat penderma dan keluarga.

Sebelum ini, Fikri hanya memikirkan kematian kerana penyakit yang dihidapnya membolehkan dia bertahan kurang daripada 15 tahun.

Fikri menghidap radang jantung atau miokarditis ketika umurnya 7 tahun. Lima tahun kemudian, keadaan jantungnya mengalami bengkak yang teruk dan gagal mengepam darah atau lebih dikenali dilated cardimyopathy.

"Pada masa itu, saya sebagai ibu tunggal mempunyai tiga orang anak terpaksa menumpukan perhatian. Dalam tempoh kritikal itu, doktor memaklumkan bahawa Fikri bakal mendapat jantung baru. Gembira tidak terkata ketika itu walaupun kami tidak mengenali penderma," ujarnya yang sedih dengan kematian Winnie yang menunggu penderma jantung hingga akhir hayatnya.

Lima tahun berlalu dan persoalan yang bermain di fikiran Fikri sudah pun terjawab. Jika dahulu Fikri tidak meletakkan harapan tinggi dalam akademik, tetapi akhirnya dia berjaya menamatkan pengajian A-Level di Kolej Brickfields Asia. Dia dalam perancangan melanjutkan pelajaran dalam bidang psikologi.

Fikri mahu belajar di luar negara jika ada peluang kerana dia masih tidak tahu jangka hayatnya akan bertahan sampai bila.

Dia kini yang lebih berdikari mahu berjaya dalam bidang yang diceburi dan mahu berkerja di hospital. Di samping memotivasikan diri sendiri, dia ingin membantu orang lain terutamanya dalam isu pendermaan organ.


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1226&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_05.htm

No comments: